Harian Metro
2010/07/25
KUALA LUMPUR: “Gejala sosial membabitkan penuntut pengajian tinggi bukan perkara baru, malah menular sejak 1970-an,” kata Pakar Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Hussain Habil.
“Tidak kurang juga yang ambil kesempatan atas tiket belajar dan bebas daripada perhatian keluarga. Kesempatan itu membuatkan mereka leka menjelajah dunia luar yang sebelum ini sukar dijejaki,” katanya.
Dr Hussain berkata, meskipun gejala sosial membabitkan pelajar universiti semakin menjadi-jadi, ia belum mencapai tahap membimbangkan.
Namun, katanya, ia harus dibendung melalui pendekatan sesuai untuk pelajar iaitu sesi kaunseling dan kuliah agama.
“Biasanya, pelajar yang ditangkap melakukan pelbagai kesalahan sosial akan dibuang. Namun, pada pendapat saya, cara itu tidak menyelesaikan masalah.
“Mungkin dengan cara berkenaan, pelajar itu tetap meneruskan perbuatan mereka, lebih-lebih lagi apabila menerima pelbagai tekanan dan kecewa kerana dibuang universiti.
“Sebaik-baiknya mereka mendapatkan khidmat pakar kaunseling, diikuti sesi pemulihan secara spiritual. Namun, mereka masih harus dihukum atas kesalahan itu tetapi bukan dengan pembuangan,” katanya.
Sementara itu, penceramah bebas, Hassan Mahmud Al Hafiz berkata, punca berlakunya masalah itu disebabkan pengaruh hiburan yang melampau-lampau.
Katanya, masalah itu bagai satu fenomena iaitu semakin menjadi-jadi dan menunjukkan peningkatan.
“Cara terbaik menanganinya ialah memperketatkan sistem kawalan pelajar dan tenaga pengajar di IPT harus membentuk keperibadian akhlak baik kepada pelajar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan