Jumaat, Mac 18, 2011
Rahmat nasi dan budu
bhnita@bharian.com.my
2011/03/18
Mas nekad majukan diri dan keluarga
KEPERITAN dan kesusahan hidup masih dirasai Mas Hamat, 56, apabila beliau terpaksa menyediakan nasi berlaukkan budu bagi membesarkan tujuh anaknya sebelum beliau berjaya sebagai pengusaha makanan ringan yang meraih pulangan sehingga RM20,000 sebulan.
Kesusahan hidup yang dialaminya selepas berpisah dengan suami, kira-kira 15 tahun lalu itu membuat beliau bertekad untuk mengubah nasib keluarganya dan beliau memulakan dengan perniagaan menjual kain untuk menampung kehidupan pada 1995.
"Kehidupan saya bersama anak sangat memeritkan hingga pada suatu ketika, saya hanya mampu menyediakan nasi dan budu untuk mereka.
"Kerana ingin keluar daripada kepompong kemiskinan, saya bertekad untuk memulakan perniagaan dan mula menjual pakaian serta kain dari rumah ke rumah.
Saya turut membuat beberapa jenis makanan ringan seperti popia dan kuih goyang untuk dijual ketika mengutip hutang pakaian daripada pelanggan," katanya yang kini menjadi pengusaha produk Jayanita.
Namun, permintaan makanan ringannya semakin meningkat malah, keuntungan diperoleh daripada perniagaan itu lebih tinggi berbanding perniagaan pakaian membuatkannya tekad untuk memberi tumpuan pada perniagaan makanan ringan.
Pada 2002, Mas berjaya membuka sebuah bengkel kecil di hadapan rumah sebagai tempat operasi untuk membuat produk makanan ringan.
Permintaan semakin meningkat tetapi beliau pula kekurangan peralatan untuk memenuhi keperluan. Beliau memohon bantuan daripada Ahli Parlimen Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.
"Datuk Ramzi kemudian bersetuju untuk menyalurkan bantuan kepada saya untuk membesarkan perniagaan dan sebagai permulaan, beliau memberi RM5,000 menerusi skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bagi membesarkan bengkel.
"Saya meneruskan pembuatan makanan ringan di bengkel berkenaan sehingga 2006 dan pada hujung tahun berkenaan, wakil Pejabat Pertanian Kuala Krai datang dan bertanya jika saya ingin memperbesar bengkel sedia ada.
"Saya bersetuju dengan cadangan itu dan pada penghujung 2008, bengkel yang dijanjikan siap dibina dengan kos kira-kira RM20,000," katanya.
Dengan kekuatan empat pekerja, dibantu dua anak, produk makanan ringan Mas dijual serata Semenanjung, termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Melaka.
Laluan untuk Mas mengembangkan perniagaan terbentang luas. Banyak skim pinjaman disediakan kerajaan membantunya, antaranya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Setakat ini, lebih RM160,000 dipinjam Mas untuk menerus dan membesarkan perniagaan.
Berkat sokongan, perniagaannya semakin maju dan hari ini, Mas boleh senyum bangga dengan keuntungan bersih sekitar RM20,000 sebulan.
Mas kini lebih bersemangat memajukan diri dan keluarga. Beliau sedang memohon untuk mendapatkan Sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi membolehkan produknya menembusi pasaran luar negara.
Jumaat, September 04, 2009
Wanita berkuasa di dunia
Sumber : Utusan Malaysia
Oleh Hafizahril Hamid
|
|
PADA 20 Ogos lepas majalah kewangan terkemuka, Forbes mengeluarkan senarai 100 wanita paling berkuasa di dunia. Menariknya walaupun wanita yang terpilih ini dikatakan sangat berkuasa dan berpengaruh dari 100 mereka yang tersenarai hanya 18 dari mereka terlibat dalam politik. Dari senarai tersebut juga dua wanita yang terpilih merupakan dari golongan bangsawan iaitu Ratu Elizabeth II yang menduduki tempat ke-42 dan Ratu Rania dari Jordan yang berada di kedudukan ke-76. Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama turut tersenarai buat pertama kali pada tahun ini.
Walaupun Michelle merupakan orang yang paling dekat dengan Presiden AS, Barack Obama, namun beliau hanya mampu berada di tangga ke-40.
Selebihnya wanita-wanita berkuasa ini menduduki hierarki tertinggi dalam dunia korporat. Keupayaan para wanita ini sememangnya membanggakan walaupun dari segi kedudukan dan pengaruh politik mereka mungkin dilihat agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum Adam. Namun kejayaan mereka mentadbir dan mengurus syarikat-syarikat terkemuka dunia telah membuktikan bahawa tangan yang mengayun buaian turut mampu menggoncang dunia.
Kesemua wanita ini bertanggung jawab mengawal wang tunai berjumlah AS$26 trilion (RM93 trilion ) di seluruh dunia. Namun begitu kegawatan ekonomi yang melanda dunia turut sama menjejaskan kedudukan wanita yang tersenarai tahun lepas sehingga ada di antara mereka yang disingkirkan dari jawatan yang dipegang. Antara mereka ialah bekas presiden syarikat bermasalah Alcatel Lucent, Patricia Russo dan bekas Presiden Morgan Stanley, Zoe Cruz.
Menduduki tangga pertama, Canselor Jerman, Angela Merkel kekal wanita paling berkuasa di dunia bagi tahun keempat berturut-turut selepas majalah tersebut menonjolkan peranannya sebagai pemimpin negara ekonomi keempat termaju di dunia. Beliau yang akan berhadapan dengan pilihan raya pada September ini dijangka akan terus mempertahan jawatan itu berikutan keupayaannya memimpin Jerman mengharungi kemelut ekonomi dunia.
Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hanya menduduki tempat yang ke-36, satu kedudukan yang dilihat agak terkebelakang berbanding jawatan dan pengalaman beliau. Clinton jatuh dari tangga 28 pada tahun lepas semasa beliau hampir memenangi pencalonan Presiden AS bagi Parti Demokratik ke tangga 36 pada tahun ini, meskipun mengetuai Jabatan Negara AS yang paling berpengaruh. Malah ada yang mempertikaikan pemilihan senarai 100 wanita berkuasa ini kerana Hillary sewajarnya menduduki tempat yang lebih baik.
Antara wanita yang terlibat dalam politik dan menempatkan diri dalam senarai ini ialah Presiden Argentina, Cristina Fernandez yang menduduki tempat ke-11, Presiden Parti Kongres Kebangsaan India, Sonia Gandhi tempat ke-13, Menteri Ekonomi, Kewangan dan Pekerjaan Perancis, Christine Legarde tempat ke-17 dan Presiden Chile yang menduduki tempat ke-22, Michelle Bachelet.
pemimpin wanita
Nama-nama lain ialah seperti Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo yang menduduki tempat ke-44, Yulia Tymoshenko yang juga Perdana Menteri Ukraine, tempat ke-47, Presiden Liberia, Ellen Johnson-Sirleaf tempat k- 67, Mary McAleese yang juga Presiden Ireland, Perdana Menteri Iceland, Johanna Sigurdardottir tempat ke-75 dan Perdana Menteri Bangladesh Hasina Wajed yang menduduki tempat ke-79. Satu-satunya pemimpin wanita dari dunia Arab yang tersenarai dan menduduki tempat ke-95 ialah Menteri Ekonomi UAE, Sheikha Lubna Al Qasimi.
Bagi wanita yang menduduki tempat tertinggi dalam senarai wanita berkuasa dari dunia korporat, tempat kedua dalam senarai ini diungguli oleh Sheila Bair yang juga pengerusi Federal Deposit Insurance Corp. Syarikat ini yang bertanggungjawab menginsurankan bank-bank di AS yang kini masih belum selamat dari kemelut kegawatan ekonomi.
Wanita seterusnya adalah seorang yang menarik untuk diperkatakan. Beliau merupakan wanita berusia 53 tahun dan dilahirkan di daerah Chennai dalam Tamil Nadu, India. Beliau turut mendapat pendidikan Madras Christian College di Calcutta sebelum melanjutkan pelajaran di
Yale School of Management. Beliau yang dimaksudkan ialah Indra Krishnamurthy Nooyi atau lebih dikenali sebagai Indra Nooyi yang kini memegang jawatan sebagai
Ketua Pegawai Eksekutif di PepsiCo, sebuah syarikat terkemuka dunia dalam bidang makanan dan minuman.
Beliau yang memegang jawatan itu sejak dari 2006 dibayar gaji sebanyak AS$6,230,366 (RM 22.3 juta) setahun. Nooyi sememangnya telah tersenarai antara wanita berkuasa dunia sejak memegang jawatan tertinggi di PepsiCo sejak 2006.
Cynthia Carroll, Ketua Eksekutif syarikat Anglo American yang juga antara syarikat perlombongan terbesar di dunia menduduki tempat keempat dalam senarai tersebut tahun ini.
Syarikat tersebut yang mempunyai pegangan besar dalam pelbagai syarikat perlombongan sama ada emas, berlian mahu pun besi dan kuprum seperti DeBeers, MMX Minas-Rio dan AngloGold Ashanti.
Pengalaman selama 17 tahun dalam bidang perlombongan dan industri minyak dan gas telah menjadikan beliau antara pemimpin yang dihormati dalam industri tersebut.
Tempat kelima senarai tersebut pula diduduki oleh Ho Ching yang juga ketua eksekutif di syarikat pelaburan Temasek Holdings yang dimiliki oleh kerajaan Singapura. Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Beliau pernah mengumumkan untuk berundur dari syarikat yang memiliki aset melebihi AS$100 bilion pada 6 Februari 2009 dan digantikan dengan Charles "Chip" W. Goodyear. Namun pada 21 Julai beliau kekal dengan jawatan tersebut setelah Goodyear berhadapan masalah dengan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Dalam memperkatakan tentang kedudukan wanita, sesungguhnya dunia harus mengakui bahawa kedudukan wanita kini semakin baik berbanding zaman sebelumnya. Di Malaysia. bersesuaian dengan peredaran zaman kedudukan wanita juga semakin baik dalam pelbagai bidang sama ada politik mahupun ekonomi dengan menjawat pelbagai jawatan yang satu ketika dimonopoli oleh lelaki.
Namun begitu kita tidak seharusnya terlalu terikut-ikut dan terpengaruh dengan kehendak Barat yang seboleh-bolehnya mahu kita mengikut rentak mereka dalam semua perkara dari politik mahupun cara kita berpakaian. Kita telah dididik supaya berbangga dengan cara dan acuan kita yang tersendiri. Inilah perkara yang membezakan kita dengan nilai-nilai Asia dan ketimuran yang jauh berbeza dengan mereka di Barat. Janganlah hanya kerana perkara remeh seperti ugutan media Barat dalam isu rotan baru-bari ini kita perlu berasa takut dan terikut-ikut dengan kehendak mereka. Walau apa pun, kedudukan dan peranan wanita di negara ini masih banyak yang perlu dipertingkatkan dan adalah diharapkan supaya satu hari nanti nama wanita Malaysia mampu menjadi pegawai tertinggi syarikat ternama dunia seperti yang dilalui oleh CEO PepsiCo, Indra Noir. Pastinya dengan kedudukan sebegini hebat ia mampu membuka mata seluruh dunia terhadap keupayaan wanita negara ini sekali gus melayakkan mereka menduduki senarai antara wanita berkuasa dunia.
Jumaat, Ogos 21, 2009
Menjadi kaya dengan menulis?
Penulis yang menghasilkan lapan buah novel sejak 2002 dengan karya pertama, Suara Hati berkata, menjadi kaya semata-mata hasil menulis hanya wujud di Barat tetapi tidak di Malaysia.
''Ini kerana di Barat, jumlah cetakan sesebuah novel boleh mencapai hingga berjuta-juta naskhah kerana pasarannya meluas hingga ke seluruh dunia tetapi di Malaysia jumlah cetakannya hanya untuk pasaran di dalam negara, Brunei dan Singapura.
''Ini bermakna jumlah cetakan sesebuah novel tidak banyak. Jadi sukar untuk saya mengatakan seseorang penulis di Malaysia boleh menjadi kaya hasil daripada penulisan kecuali bagi penulis yang memiliki syarikat penerbitan sendiri dan mampu bersaing serta bertahan dalam dunia penerbitan yang penuh cabaran.
''Di negara ini, bagi penulis yang ingin menjadi 'senang sedikit' hanya dengan duit royalti harus tahu memanfaatkan ganjaran itu dengan membuat pelaburan yang menguntungkan dan bukan membelanjakan sesuka hati. Ini kerana royalti yang diterima tidak banyak dan ada pula dibayar berdikit-dikit.
''Pada saya, selalunya saya menggunakan royalti yang diterima dengan membuat pelaburan dalam hartanah, saham dan sebagainya.
" Hanya dengan cara inilah jumlah yang sedikit akan beransur-ansur menjadi banyak dan penulis akan menikmati kehidupan yang lebih selesa hasil daripada penulisan,'' katanya ketika ditemui di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Penulis yang mempunyai beberapa buah rumah kerana pelaburannya melalui hasil royalti itu memberitahu, penulis akan menerima bayaran royalti daripada penerbit setelah hasil karyanya diterbitkan.
Bayaran royalti
Bayaran royalti bergantung kepada jumlah cetakan buku dan kadar bayaran seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian.
''Mengimbau penglibatan awal saya dalam bidang penulisan, walaupun karya pertama saya iaitu Suara Hati sudah diterbitkan, saya tidak tahu bagaimana kiraan bayaran royalti dibuat dan jumlah bayaran yang akan saya terima.
''Hal ini kerana saya tidak mengenali penulis-penulis senior untuk mendapatkan maklumat daripada mereka. Saya juga tidak bertanya kepada editor kerana pada ketika itu bagi saya yang lebih penting ialah manuskrip saya diterbitkan. Saya ingin membuktikan kepada anak-anak murid saya bahawa saya juga boleh menulis novel.
''Alhamdulillah bayaran royalti pertama yang saya terima amat memuaskan. Ini sekali gus menyuntik semangat saya untuk terus menulis. Bagaimanapun dari awal pembabitan telah saya tetapkan hanya sebuah novel sahaja yang akan saya tulis dalam setahun tetapi kini saya menimbangkan cadangan pihak penerbit supaya menghasilkan dua buah novel setahun.
''Bagi saya menulis bukan semata-mata kerana bayaran royalti tetapi untuk memberi kepuasan diri sendiri dengan setiap novel yang dihasilkan.
''Penulis yang berkarya dan mengharap untuk mendapatkan royalti yang banyak tentu akan berasa kecewa jika pendapatan yang diterima tidak seperti yang diharapkan,'' jelasnya yang sememangnya kelihatan hidup mewah dengan hasil penulisan novel. Beliau juga mengakui kemampuannya untuk melancong ke luar negara setiap tahun bersama keluarga melalui ganjaran royalti.
Sementelah pula mempunyai suami yang sememangnya pakar dalam menguruskan pelaburan hartanah telah memungkinkan Anis menceburi bidang tersebut.
''Pembelian beberapa hartanah inilah yang boleh mengingatkan saya penat lelah dan idea yang dicurahkan dalam menghasilkan sesebuah novel.
"Sehubungan itu, adalah tidak rugi malah bakal memberi keuntungan di kemudian hari kerana hartanah ini akan meningkat dari tahun ke tahun,'' jelasnya yang sering mengadakan penyelidikan mendalam melalui Internet sesuatu isu yang bakal mewarnai novel cintanya.
Sementara itu, bagi penulis novel dan buku masakan yang juga selebriti chef, Norzailina Nordin mengakui memang ada di kalangan penulis di negara ini menerima pendapatan lumayan daripada bayaran royalti, tetapi hanya segelintir sahaja terutama yang telah terkenal.
Bagaimanapun, lumayannya hanya boleh ditakrifkan dalam lingkungan taraf kehidupan negara ini sahaja dan bukannya lumayan seperti penulis di Barat yang mencecah jutaan ringgit.
''Lumayannya pendapatan penulis bergantung kepada jumlah jualan karyanya. Sekiranya novelnya memang laris seperti pisang goreng panas, maka banyaklah habuan diterima.
''Di Barat, dengan hanya sebuah novel sahaja telah boleh memberi mereka gelaran jutawan manakala di Malaysia, setakat ribuan sahaja.
"Penulis-penulis masih bertongkat-tongkat dalam menuju ke arah lumayan dan mungkin suatu hari nanti, kita akan mendengar jutawan penulis akan muncul di kalangan rakyat Malaysia sekiranya novelnya diterima oleh peminat dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa,'' katanya yang telah menghasilkan hampir 24 buah novel dan chef undangan di televisyen tempatan dan Singapura.
Menurut Norzailina yang berjinak dalam penulisan sejak berada dalam tingkatan lima, penulis Malaysia hanya boleh digelar setakat 'senang sedikit' bukanlah lumayan dalam erti kata sejagat.
''Ini kerana jumlah cetakan tidak banyak dan bergantung kepada jualan buku. Ganjaran royalti yang diterima oleh penulis bergantung kepada syarikat penerbitan yang dihantar karyanya. Setiap syarikat mempunyai kiraan yang berbeza, begitu juga dengan jumlah cetakan bagi sesebuah buku yang dihasilkan.
''Ada yang menerima 15 peratus daripada keuntungan dan ada yang 10 peratus daripada harga buku, itupun setelah ditolak harga kertas, kos percetakan dan kos-kos sampingan.
''Keuntungan itulah yang akan diperoleh oleh penulis. Selalunya penulis-penulis terkenal yang mempunyai peminat tersendiri akan menagih lebih keuntungan kerana peminat ini akan sentiasa menunggu-nunggu novel terbaru mereka,'' kata penerima 20 Most Prolific Women Writers of Malaysia oleh Great Estern-MPH Bookstore tiga tahun lalu.
Melihatkan jumlah novel dan buku yang ditulisnya saban bulan dan tahun, Norzailina bolehlah dikira salah seorang penulis yang menerima pendapatan lumayan.
Walaupun sentiasa merendahkan diri dan berselindung dengan kenyataan lumayan, namun beliau mengakui wang royalti yang tidak putus-putus diterimanya daripada pelbagai penerbitan sedikit sebanyak menambah simpanannya terutama digunakan untuk pendidikan anak-anaknya yang berada di menara gading.
''Saya suka hidup bersederhana dan tidak menggunakan wang royalti itu untuk bermewah-mewah tetapi dimanfaatkan untuk pelajaran anak-anak dan simpanan di hari tua,'' ujarnya yang berjiwa romantik sekali gus mempengaruhi gaya penulisannya yang banyak diambil daripada pengalaman diri sendiri, rakan-rakan dan adik-beradik.
Bagi penulis novel kemasyarakatan secara sambilan, Salina Ibrahim, lumayan atau tidak pulangan yang diperoleh setelah hasil diterbitkan sebenarnya bergantung kepada karya dan juga penerbit novel itu sendiri.
Jika karya yang dihasilkan mampu menarik minat pembaca dan penerbit juga menjalankan pelbagai promosi untuk memperkenalkan novel tersebut di pasaran, maka tidak mustahil pendapatan yang diperoleh boleh mencecah ribuan ringgit hanya dalam tempoh masa tidak sampai satu tahun.
''Jika tanya pendapat saya, jawapannya mudah, mungkin betul kerana novel pertama yang saya hasilkan pada tahun 2001, bertemakan kemasyarakatan mampu memberikan pulangan belasan ribu ringgit dalam tempoh setahun setelah diterbitkan.
''Sebenarnya sama ada anda mampu meraih hasil lumayan ataupun tidak ia bergantung kepada beberapa faktor dan boleh dikatakan dua faktor yang penting ialah karya dan juga penerbit itu sendiri.
''Selain karya yang bagus dan boleh diterima pembaca, penerbit juga harus memainkan peranan penting dalam mempromosi dan memasarkan bahan terbitan mereka,'' ujarnya.
Bagi anak kelahiran Perak ini, bermula tahun 2001 hingga 2008, beliau berjaya menghasilkan tujuh buah novel dan yang terbaru dua lagi novel masih dalam proses.
Beliau yang juga merupakan Editor Pengurus Kumpulan Majalah Islam di salah sebuah syarikat penerbitan kini mampu mengukir senyuman kerana walaupun tidak memperoleh pulangan yang lumayan tetapi hasil wang royalti yang diterimanya, Salina sudah mampu membeli sebuah rumah, menukar kereta, membeli komputer riba, menunaikan umrah dan banyak lagi.
Bagi mereka yang ternanti-nantikan karya terbaru Salina Ibrahim, dapatkan naskah terkini hujung tahun ini.
''Untuk novel kelapan saya ini, sudah 80 peratus hampir siap tetapi judulnya biarlah saya simpan dahulu.
''Manakala untuk karya saya yang kesembilan, ia masih dalam proses penulisan tetapi saya sudah memulakannya,'' katanya mengakhiri perbualan.