Khamis, Jun 21, 2012
Akibat campur tangan keluarga
Dalam keasyikan melayan cinta, pasangan terlupa bahawa perkahwinan memerlukan persetujuan dan restu ibu bapa. Apabila calon isteri atau suami tidak dipersetujui oleh salah satu atau kedua-dua ibu bapa, pasangan akan menghadapi pelbagai rintangan.
Ada yang tidak dapat bertahan lama kerana sikap keluarga yang tidak henti-henti mengganggu sehingga membawa kepada perceraian. Campur tangan keluarga bukan sekadar ibu bapa/ibu bapa mentua tetapi adik-beradik dan ipar-duai.
Ada banyak bentuk campur tangan keluarga, antaranya ibu kepada suami yang sering mengarahkan suami dengan pelbagai arahan dan suami pula mengikut arahan tanpa berbincang dengan isteri.
Apa yang jelas, suami yang sangat rapat dengan ibunya sebelum berkahwin belum dapat mengimbangkan hubungannya dengan ibu dan isterinya. Dia juga tidak dapat memahami tanggungjawabnya pada isteri. Sebagai ketua rumah tangga dia mesti berbincang dengan isteri bagaimana boleh terus membantu keluarganya sendiri dan pada masa sama, tidak membuat isteri merasa terabai atau dihargai.
Pasangan mesti boleh duduk semeja membincangkan kedudukan kewangan kerana jika suami berbuat sesuatu tanpa berbincang, ia kemungkinan besar melibatkan kewangan keluarga.
Misalnya, ibu menghubungi anaknya dan memaklumkan dia akan buat kenduri arwah pada hujung minggu pertama bulan Jun. Isteri pula telah menjemput kawan-kawan ke rumah kerana ingin menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka. Dia juga telah mencadangkan kepada suami untuk menjemput kedua-dua ibu bapa mereka.
Suami apabila mendapat maklum yang ibu bapa bercadang membuat kenduri, terus bersetuju tanpa memberitahu ibu yang dia juga akan mengadakan kenduri pada hari itu.
Bayangkan rasa hati isteri yang terpaksa membatalkan semua jemputan yang telah dibuat beberapa minggu sebelumnya. Nampak seperti tidak munasabah tetapi ia berlaku.
Satu lagi contoh, isteri meminta suami membelikannya dapur baru atau membaik pulih dapur rumah mereka. Suami mengatakan dia tidak ada duit. Namun, apabila ibunya tiba-tiba datang dan meminta bantuan serupa, suami terus bersetuju dan memberi wang kepada ibunya. Semua ini akan menyebabkan isteri merasa kecewa dengan sikap sedemikian suami.
Iri hati
Ada juga pasangan yang terpaksa berhadapan dengan adik-beradik pasangan mereka. Ada adik-beradik berasa iri hati apabila seorang menantu perempuan mendapat perhatian penuh daripada mentuanya. Ini kerana sikap ibu mertua yang suka memuji menantu kesayangan di hadapan menantu lain.
Tidak dapat dinafikan sebagai manusia, ibu juga tidak terlepas daripada kesilapan seperti bersikap pilih kasih sesama anaknya. Setiap anak adalah istimewa dan mempunyai kelebihannya masing-masing. Jadi jika sudah biasa memberi tumpuan hanya pada anak tertentu, ibu juga apabila menjadi mentua kadang-kadang memberi perhatian lebih kepada menantu tertentu dan cuba mencari salah menantu lain.
Ini akan merenggangkan hubungan kekeluargaan kerana menantu yang tidak mendapat tempat di hati mentua akan merasa kecewa dan akan memberi pelbagai alasan untuk tidak pulang ke rumah mentua. Akhirnya, bertengkar bila isu balik kampung dibincangkan.
Menantu juga secara tidak langsung akan menceritakan ketidakselesaannya kepada anak-anaknya yang menyebabkan anak-anak juga tidak menghormati nenek mereka dan akhirnya tidak mahu pulang ke kampung ayahnya. Ada pasangan yang hidup berumahtangga bertahun lama dan tidak bercerai tetapi hubungan dengan keluarga pasangan tidak dapat dijalin dengan baik.
Anak-anak juga akan dapat mengesan masalah kekeluargaan yang dihadapi ibu bapa mereka dan ini akan menimbulkan kesan dalam hidup mereka juga. Sebenarnya campur tangan keluarga dalam rumah tangga boleh dielakan jika semua orang dapat memahami hak dan tanggungjawab masing-masing serta menghormati hubungan ibu-anak, suami-isteri, cucu-nenek dan sebagainya.
Malangnya dalam kursus perkahwinan perkara seperti ini tidak disebutkan atau dibincangkan. Sebagai ibu bapa yang menjadi mentua, mereka perlu tahu tahap dan hak campur tangan mereka terhadap anak mereka dan pasangannya. Ada pasangan yang tinggal sebumbung dengan ibu bapa salah seorang daripada mereka dan tidak pula mereka bercerai-berai. Ini kerana mereka tahu tahap dan had pergaulan dalam sebuah rumah tangga.
Sebab itu ada pepatah Melayu pukul anak sindir menantu menunjukkan sikap orang Melayu yang tidak suka berterus terang tetapi lebih suka menyindir dan ini menyebabkan ketidakselesaan. Sebagai ibu (terutamanya) jangan sekali-kali menceritakan keburukan menantu (isteri/suami) kepada anak. Carilah hanya kebaikan menantu dan bukan kelemahannya.
Bagi menantu pula, baik lelaki atau perempuan, terimalah mentua seadanya tanpa perlu mengadu kepada suami atau isteri tentang layanan yang diberikan. Kita semua dibesarkan dengan cara ibu bapa kita sendiri dan kita mesti reda bahawa Allah SWT telah menjadikan manusia berbeza dan di atas perbezaan itu kita jatuh cinta dan berkahwin.
Perkara remeh temeh seperti pujian atau sindirian tidak perlu difikirkan dan hanya melihat keseronokan suami/isteri berada di samping keluarganya. Begitu juga apabila ada anak. Sentiasa menggalakkan anak menghormati dan menyayangi nenek dan datuk kedua pihak dan memastikan anak-anak tidak dipengaruhi perasaan kita sendiri terhadap ibu bapa atau mertua.
Sebagai isteri, jangan tanya apa yang suami kita bualkan dengan ibu bapanya kerana itu adalah hubungan mereka yang telah terjalin sejak suami anda dilahirkan. Selalu ingatkan suami tanggungjawabnya terhadap ibu bapanya. Suami pula, janganlah melarang isteri melawat ibu bapanya dan menjaga mereka seperti sebelum dia berkahwin. Jika isteri terlepas pandang akan tanggungjawabnya kepada suami dan anak-anak, ingatkan dia.
Jangan bersikap kasar terhadap mentua, kerana mereka seperti ibu bapa anda juga. Pasangan suami isteri mesti selalu menjaga mulut supaya tidak terlepas cakap terutama melibatkan keturunan pasangan masing-masing seperti, "Hah ini memang perangai emak awak." atau "Adik-beradik awak memang kurang ajar." atau "Emak awak macam tulah." Ini kerana akan menyakitkan hati pasangan kerana ia melibatkan keturunan dan cara pasangan kita dibesarkan.
Hidup berumahtangga sangat memerlukan timbang rasa dan tolak ansur serta hormat menghormati.
Sumber : Utusan Malaysia
Isnin, Julai 05, 2010
Enam kali isteri lari tinggalkan suami
27/06/2010
KALAU cerita suami tinggalkan anak-anak kita dah biasa dengar, tapi kali ini isteri pulak lari tinggalkan anak-anak, bukan seorang tapi dua, bukan sekali tapi enam kali dia lari. Pelik tapi benar. Begitu cerita Khairi dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon yang terputus beberapa kali terhenti kerana tangisan anaknya.
‘‘Saya kenal dengan Shira 9 tahun lalu ketika sama-sama mengambil kursus jangka pendek dalam bidang ICT di sebuah institut latihan di bandar utara tanah air. Perkenalan itu membawa bibit-bibit percintaan. Namun saya terpaksa menjarakkan diri setelah tahu dia sudah bertunang dengan penjawat awam pasukan beruniform.
‘‘Habis kursus saya balik ke rumah tiba-tiba Shira datang cari saya seminggu kemudian. Keluarganya dapat tahu terus telefon suruh saya hantar Shira balik. Memikirkan dia anak dara orang, saya patuh dan hantar Shira balik nun dia utara. Apa lagi saya dimaki hamun dan dituduh larikan anak dara orang, walaupun anaknya yang lari ikut saya. Mereka tuduh saya mahu batalkan pernikahannya yang tak sampai dua bulan lagi.
‘‘Walaupun saya cuba menjelaskan keadaan, tetapi saya dituduh guna ilmu pikat Shira. Malangnya bila saya balik Shira tetap lari lagi tinggalkan keluarganya. Kena maki lagi. Tapi kali ini saya nekad menikahi Shira. Kami nikah di Songkhla.
‘‘Saya fikir masalah tamat setelah kami nikah, sebaliknya menjadi lebih teruk. Keluarga Shira tetap mahu kami bercerai. Untuk menyelamatkan keadaan saya daftarkan perkahwinan di Perlis, fikirkan senang, rupanya susah.
‘‘Lepas sebulan saya datang bertanya tentang pendaftaran nikah kami, malangnya semua pegawai dan petugas beritahu mereka tak terima permohonan saya, walaupun saya tunjukkan reset penerimaan dari mereka. Tapi semua geleng kepala kata tak tahu. Kata mereka tak ada rekod penerimaan. Pelik sungguh.
‘‘Lagi sakit hati bila mereka sindir saya katanya inilah padahnya larikan tunang orang. Kerana marah saya buat aduan di pejabat Pengaduan Awam. Peliknya di situ pun saya kena sindir. Banyak betul kontek keluarga Shira kat negeri ni.
‘‘Selepas siasat terbongkar rahsia, semua masalah ini rancangan keluarga Shira dan saudara terdekatnya yang bekerja di pejabat agama. Mereka mahu kami bercerai.
‘‘Saya ambil keputusan tinggalkan kampung pindah ke ibu kota, mungkin di sini rezeki kami. Tak sampai tiga bulan saya terima surat dari pejabat agama minta kami hadir ke mahkamah untuk tujuan perbicaran pengesahan perkahwinan kami. Lega!
‘‘Tapi sangkaan kami meleset, sebaliknya ustad ini suruh kami masuk ke pejabatnya bukan mahkamah syariah. Dalam bilik tersebut tersedia menuggu keluarga Shira. Ustad itu paksa saya lafazkan cerai sebanyak 3 kali. Katanya penting untuk pengesahan perkahwinan kami nanti. Tapi saya bukan bodoh. Saya keluar tinggalkan ustad dan keluarga Shira ternganga.
‘‘Hidup kami tambah bahagia bila dikurniakan anak sulung yang sihat. Tetapi masalah baru timbul, tiba-tiba aja Shira mendakwa dia berdosa tak ikut cakap keluarga kerana berkahwinan dengan saya. Belum pun anak berusia setahun dia lari tinggalkan anak dan saya balik ke kampungnya. Nasib ada ibu yang mahu membantu saya jaga anak.
Dihalau
‘‘Saya pergi kampung Shira pujuk dia balik, sebaliknya saya dihalau dan diherdik macam haiwan oleh keluarga Shira. Tak sampai seminggu Shira pulang ke pangkuan kami.
‘‘Namun episod sedih Shira lari tinggalkan saya terjadi lagi ketika anak kami berusia 2 tahun. Sekali lagi saya pujuk, berulang lagi maki hamun saya terima. Kali kedua Shira lari 3 minggu tinggalkan kami.
Sangkaan saya Shira akan berubah setelah usia meningkat, tetapi tetap buat kelakuan yang sama. Dia kembali kepada saya tiga minggu kemudian.
‘‘Kali keempat dia lari tinggalkan kami meninggalkan kesan cukup perit. Saya terkejut bila pulang rumah saya lihat perabut rumah Shira sudah jual kepada jiran tetangga. Lagi pelik kali ini dia tak lari balik kampung, tapi lari ke rumah keluarga angkatnya.
‘‘Ketika itu anak sulung kami berusia 5 tahun yang kedua tak sampai pun setahun. Dan dia baru hamil. Tetapi kemudiannya dia gugurkan kandungannya. Kerana menurut keluarganya kalau hamil menyulitkan proses perceraian. Kerana ketika itu anak kedua masih kecil, saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga mereka.
‘‘Enam bulan kemudian Shira balik ke rumah. Saya benar-benar keciwa, tetapi kerana anak saya terima apa juga yang terjadi. Lagi pun Shira berterus terang kepada saya dia lari kerana tidak bernafsu kepada saya, walaupun ketika itu saya baru berusia 30 tahun. Dia cuma muda dua tahun sahaja daripada saya.
‘‘Shira mengajak saya pergi berubat. Demi keluarga saya ikutkan kehendaknya. Tukang ubat pulak kata keluarga Shira tetap mahu kami bercerai. Macam-macam. Tak lama kemudian dia lari lagi untuk kali kelima.
‘‘Saya cukup menderita bila tak ada pekerjaan. Hidup umpama kais pagi makan pagi, untung ada ibu dan saudara mara mahu membantu. Saya cuba pujuk Shira kembali tapi kali ini dia sudah banyak berubah. Laman Sembang Sosial menjadi kegemaran dan hobinya nombor satu. Kata orang dalam laman itu dia mengaku masih gadis, dengan meletakkan gambarnya untuk tatapan ramai. Nampaknya lebih suka hidup bebas.
‘‘Keluarga Shira gembira dengan perubahannya. Malah mereka menyediakan apa sahaja keperluannya, sama ada pakaiannya, makan minum dan wang ringgit semua sedia. Asalkan tidak bersama saya. Apakah hina sangat saya pada pandangan mereka?
‘‘Saya cuba pujuk Shira kembali. Tapi kakaknya suruh saya ceraikan Shira. Sejarah 9 tahun lalu diungkit kembali, menyalahkan saya 100 peratus membawa adiknya lari. Kini yang jelas Shira semakin ligat dan bebas ke mana sahaja. Makan angin ke KL jadi perkara biasa. Keluarga Shira menasihatkannya, jangan risau pasal anak-anak, bila besar nanti taulah mereka cari emaknya.
‘‘Saya sudah letih memujuk, namun bersyukur kini saya dapat pekerjaan yang baik, walaupun terpaksa mengejar waktu menjaga anak-anak. Kakak bantu saya menghantar anak-anak ke sekolah dan ke tadika. Yang sulung sudah bersekolah.
‘‘Baru-baru ini saya pujuk Shira sekali lagi, melalui telefon tetapi dia minta diceraikan. Saya minta dia supaya fikir masak-masak. Katanya dia sudah lama sedia diceraikan. Saya betul-betul hiba mendengar permintaannya ketika itu di sebelah saya anak sulung kami, sementara yang kecil duduk di riba saya. Hanya air mata menjadi teman saya.
‘‘Kini hancur sudah mahligai yang kami bina selama 9 tahun di atas dasar cinta dan terlalu banyak pengorbanan telah saya lakukan.
‘‘Saya dengar banyak cerita pasal Shira di kampungnya, maklum pekan kecil, semua orang kenal antara satu sama lain. Kerana itulah saya cuba memulihkan nama baiknya, saya mahu dia jadi isteri yang baik.
‘‘Tetapi keluarganya sentiasa menghalang, apakah saya ini begitu hina pada pandangan mereka? Hinggakan anak-anak saya juga tidak di terima? Apakah mereka terlalu agong?’’ demikian cerita Khairi panjang lebar tenang kehidupannya yang sentiasa dibenci oleh keluarga isterinya.
Hairan juga kerana biasanya setiap ibu sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anaknya setelah berumah tangga dan membantunya apabila menghadapi musibah, bukannya mendoakan mereka supaya bercerai berai. Apa lagi menjadi dalang dan penghasut.
Isnin, Mei 31, 2010
Pukul isteri tuntut cerai
31/05/2010
AMPANG: Kerana tidak berpuas hati dengan isterinya, seorang lelaki bertindak luar dugaan apabila membelasah wanita terbabit bertubi-tubi ketika berada di Mahkamah Syariah Gombak Timur, di sini, Rabu lalu.
Mangsa yang juga seorang guru ditumbuk tanpa belas kasihan dan kejadian terbabit berlaku dari luar mahkamah hingga ke dalam mahkamah, dan turut disaksikan peguam serta bapa mentuanya.
Malah, lelaki berkenaan biadab apabila turut mengugut bapa mentuanya yang mahu menolong anak perempuannya yang ketika itu dibelasah.
Bagaimanapun, ‘drama’ aksi ganas itu berakhir tidak lama kemudian apabila polis menahan lelaki terbabit selepas menerima panggilan kakitangan mahkamah berkenaan. Menurut sumber polis, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika pasangan itu di mahkamah berkenaan menyelesaikan proses perceraian mereka.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang ketika itu berada dalam mahkamah keluar sebelum isterinya yang ternampak kelibat lelaki terbabit cuba melarikan diri.
“Namun, suaminya itu terus mengejar dan sebaik menghampiri wanita itu dia melepaskan tumbukan bertubi-tubi tanpa belas kasihan,” katanya.
Katanya, ketika kejadian, bapa mentua lelaki terbabit turut campur tangan, namun dia diugut mendapat habuan sama dengan anak perempuannya membuatkan bapa mentua hanya mampu mendiamkan diri.
“Mujur seorang rakan mangsa membantunya sebelum wanita terbabit melarikan diri dengan masuk dalam mahkamah.
“Sejurus masuk ke mahkamah, wanita terbabit duduk berhampiran peguamnya kerana terlalu takut melihat kelakuan ganas lelaki terbabit,” katanya.
Menurutnya, sangkaan wanita yang dia akan lebih selamat ketika berada dalam mahkamah ternyata meleset apabila suaminya yang masih tidak berpuas hati terus menghampirinya.
“Sejurus menghampiri mangsa dan juga peguamnya, lelaki terbabit melepaskan beberapa tumbukan lagi yang terkena kepala wanita terbabit.
"Mangsa kemudian diminta peguamnya itu masuk ke sebuah bilik untuk mengelak daripada dibelasah sementara beberapa orang cuba mengawal lelaki berkenaan,” katanya.
Sumber terbabit berkata, kakitangan mahkamah terpaksa menghubungi polis disebabkan tindakan ganas lelaki terbabit yang mencetuskan huru-hara di mahkamah sebelum ditahan.
“Berikutan dipukul, mangsa mengalami beberapa kecederaan di muka serta matanya lebam selain kesakitan di leher,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan wanita itu.
Menurutnya, lelaki berusia 38 tahun ditahan, namun dia dibebaskan kelmarin selepas siasatan dan segala keterangannya diambil.
“Kami menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Selasa, Mac 16, 2010
Tiada ibu salahkan anak sendiri
Feminin - Utusan Malaysia
BUKAN senang memahami hati budi mertua tambahan pula jika kita bukan menantu pilihan. Depan nampak baik lemah lembut bukan bererti mertua menyukai kita hinggalah kita tinggal bersamanya dan memahami perasaannya yang tidak senang bermenantukan kita wanita yang tidak disukainya.
''Ramai bertanya mengapa baru setahun dua kahwin dah nak bercerai berai, rumah tangga berantakan. Hanya mereka yang mengalaminya sahaja memahami dan boleh menjawabnya,'' demikian cerita Hanijuzliza dalam e-melnya.
''Dulu saya juga tidak faham, tetapi setelah menghadapi mertua begini, barulah saya mengerti tinggi rendahnya dunia, hingga membuat fikiran kita bercelaru, buntu, serta salah, berdosa dan macam-macam lagi. Penyakit ini bertambah teruk lagi apabila suami sama ikut membenci saya, kerana mengikut kata ibunya.
''Saya baru dua tahun berkahwin, ketika hendak bersalin saya hendak tinggal di rumah sendiri, tetapi suami berkeras mengajak tinggal di rumah ibunya, senang, ada orang nak jaga semasa dalam pantang, begitu katanya.
''Walaupun awalnya saya menolak, kerana saya tak mahu menyusahkan ibunya sebab beliau bekerja, tentu sibuk tak ada masa nak jaga saya, tetapi dia berkeras mahu saya duduk rumah emaknya, maka saya terpaksa mengikut.
''Benar seperti yang diduga, kesibukan ibunya bekerja membuatkan saya lebih susah duduk di rumahnya, sebab saya tak tahu susun atur pinggan mangkuk dalam rumahnya. Berbanding kalau tinggal di rumah sendiri, saya ada makcik yang boleh menjaga saya semasa dalam pantang.
''Lebih malang lagi baru dua minggu tinggal di rumah mertua, pelbagai masalah timbul bermula dengan kehadiran neneknya. Sejak itu macam-macam benda terjadi.
''Rupanya dalam diam mertua dan neneknya berpakat menceritakan keburukan saya kepada suami, Hashnan. Katanya semua tentang diri saya dibencinya. Pendek kata apa yang saya lakukan serba tak kena pada penglihatan mereka.
''Suami saya pulak jenis panas darah. Cepat melenting bila mendangar apa juga keburukan tentang diri saya dari mulut emak dan neneknya. Tanpa usul periksa saya ditanya dan dijerkah. Dua tiga kali bolehlah saya sabar tapi kalau memanjang kena marah saya pun ada perasaan, saya jawab, apa lagi berlaku pertengkaran yang berakhir dengan muka saya ditempeleng. Mulut saya ditampar. Lebih pedih lagi saya kena tumbuk di mata. Itu membuatkan saya berpindah ke rumah sendiri.
''Benar rumah itu bukan rumah saya, tetapi rumah peninggalan arwah emak saya yang meninggal dunia dua tahun sebelum saya berkahwin. Di rumah itu tinggal bersama adik beradik saya seramai tiga orang. Duduk di rumah itu percuma, cuma bayar bil air dan elektrik sahaja. Itu pun kongsi dengan adik-beradik saya.
''Tetapi jika tinggal di rumah pusaka itu menjadi masalah kepada mertua saya dia kena fikir panjang. Sebab sejak kami berkahwin Hashnan cuma beri saya RM100 sebulan sahaja. Yang lain dia tak ambil tahu, semua saya uruskan sendiri bersama adik beradik saya. Lagi pun emak saya ada tinggalkan rumah sewa jadi dapatlah saya bantu adik saya yang tak bekerja itu. Bukan duit saya apatah lagi duit Hashnan. Jika itu yang mertua saya bimbang kalau Hashnan duduk di rumah emak saya.
''Gaji Hashnan bukan banyak, adalah seribu setengah. Bagi saya RM100 bakinya untuk dirinya sendiri. Pada pandangan saya kalau emaknya bertimbang rasa, dia patut tanya saya, bukan menghasut Hashnan pukul saya. Kalau Hashnan tak bagi dia duit bukan salah saya. Salah diri sendiri kerana tak pandai didik anak tahu membalas jasa.
''Salah satu sebab saya tak mahu tinggal di rumah mertua, sebab di rumah itu dah ada abang dan kakak ipar saya bersama dua orang anaknya. Dah ramai sangat. Namun kalau mertua saya perlukan duit minta saja pada Hashnan saya tak pernah sekat.
''Kerana sakit hati saya pindah ke rumah arwah emak semula. Kerana marah Hashnan kata dia menyesal kahwin dengan saya dan tak ikut cakap emak kahwin dengan gadis pilihannya. Pakcik dan makcik yang bersimpati nasihatkan saya bercerai.
''Habis pantang saya berulang alik pergi kaunseling ke pejabat agama. Hashnan tak mahu ceraikan saya kecuali saya mohon cerai taklik. Itu nasihat emaknya, kerana mahu ambil anak saya. Semasa kami masih bersama dia tak pernah peduli tentang anak, dia keluar pagi balik malam, tak tahu beli susu anak, lampin pakai buang apa lagi menghantar dan mengambil anak dari rumah penjaga. Nasib saya tinggal dengan adik-beradik, kalau saya tak sempat merekalah tolong ambil anak saya. Sedangkan Hashnan tak ambil peduli dia lepaskan pada saya. Jadi macam mana dia nak jaga anak?
''Walaupun saya cetak ilmu agama, tapi saya bertanya kepada orang yang tahu, mereka kata jika suami sudah menyediakan rumah, membeli barang basah dan kering, susu dan lampin anak, pakaian untuk saya. Maka suami saya tak payah bagi duit belanja. Tapi cukup ke dengan RM100 sebulan? Kerana sekarang dia duduk di rumah emaknya. Langsung sesen tak bagi duit untuk nafkah anaknya.
''Ketika saya kena lempang, kena tumbuk sampai mata lebam dalam rumah mertua saya, bapa saudara dan emak saudara saya datang berjumpa mertua saya bertanya. Malangnya pak mertua saya bercakap tak tau berhenti macam bersyarah.
''Kata Hashnan saya dibenci mertua kerana suara saya kuat, emaknya lembut kalau bercakap perlahan. Tapi pada saya biarlah suara saya kuat asalkan saya jujur dan ikhlas, daripada suara macam berbisik tetapi bisanya lebih tajam dari pedang. Saya suka berterus terang, tak pandai jadi penghasut, seperti orang bercakap dalam kelambu, suka berpura-pura, pandai berlakon untuk kepentingan diri.
''Saya juga tahu tanggung jawab anak lelaki pada emak ayahnya tak akan putus selagi mak ayah masih hidup, tetapi biarlah berlaku adil tahu menilai kasih emak dan kesetiaan isteri. Kini saya masih lagi kaunseling tapi Hashnan dah tak ambil pusing, dia lebih enjoy hidup macam orang bujang di rumah emaknya.
''Jadi di sini saya nak tanya pembaca apakah tindakan yang patut saya ambil? Patutkah saya kembali kepada Hashnan atau menuruskan perceraian kami? Patutkah saya memohon cerai taklik? Jadi apa pendapat pembaca? Namun saya tak mahu berpisah dengan anak saya.''
Demikian teruknya masalah Hanijuzliza.
Mungkin pembaca boleh membantu meringankan sedikit masalah Hanijuzliza namun mana ibu sanggup berpisah dengan anaknya?
Sabtu, November 21, 2009
Syak mentua seterika muka anak
fauzie@hmetro.com.my
KUANTAN: Alasan tidak masuk akal apabila seorang nenek mendakwa cucunya terkena seterika panas di beberapa bahagian badan akibat perbuatan kanak-kanak itu sendiri, sekali gus mengundang curiga menantunya yang juga bapa budak perempuan berusia dua tahun terbabit yang mengesyaki anaknya didera.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, lelaki terbabit yang berada di tempat kerjanya di Indera Mahkota di sini, menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak mereka yang dijaga wanita berusia 49 tahun itu cedera.
Bapa berusia 32 tahun yang juga seorang mekanik bergegas ke rumah ibu mentuanya di Kampung Tengah di sini, bagi mendapatkan kepastian.
Namun, setiba di sana, dia terkejut mendapati kecederaan dialami anak sulungnya itu tidak mungkin akibat perbuatan sendiri kerana kesan melecur terdapat pada muka dan kedua-dua tangan.
Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, anak perempuannya dijaga ibu mentuanya dan mereka tinggal berasingan.
Dia yang dihubungi semalam berkata, anak sulungnya itu baru enam bulan dijaga ibu mentuanya selepas dia menghadapi krisis rumah tangga dengan isterinya yang berusia 30 tahun.
“Saya tak boleh terima alasan anak saya terkena seterika selepas dia bermain dengan alat menggosok pakaian itu seperti didakwa emak mentua.
“Jika benar dia terkena seterika akibat perbuatan sendiri, tak mungkin kecederaan dialaminya membabitkan bahagian muka dan kedua-dua belah tangan.
“Bukan satu bahagian saja yang kena, tapi banyak bahagian badan lain,” katanya yang tidak puas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu.
Berikutan itu, katanya dia membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian itu.
Menurutnya, ini kejadian pertama menimpa anaknya sejak dijaga wanita berkenaan enam bulan lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.
Katanya, lelaki berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas menghantar anaknya untuk pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
“Polis sedang menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dilakukan.
“Jika benar kanak-kanak itu didera, polis akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu,”
Ahad, November 01, 2009
Wanita dihina & disisih
Saya cemburu melihat kawan yang ada keluarga bahagia, sedangkan bagi saya hanya air mata menjadi teman. Setiap hari saya melihat mereka ketawa. Jika ada majlis keramaian di sekolah, emak dan bapa mereka datang menemani. Saya? Selalu dibiarkan bersenderian.
Ketika berumur 16 tahun, saya lari dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap emak. Saya kemudian berkenalan dengan seorang lelaki dan terus berkahwin pada usia muda. Saya berkahwin bukan kerana cinta, tapi kerana ingin mencari tempat tinggal.
Menjelang majlis akad nikah, barulah pertama kali saya berjumpa bapa kandung yang tidak pernah saya jumpa selama 16 tahun. Malangnya, sikap bapa juga lebih kurang sama dengan perangai emak.
Bapa minta semua duit kahwin saya, baru dia setuju nak jadi wali. Nak tak nak, saya terpaksa mengikut cakapnya.
Selepas berkahwin, bermulalah episod kedua penderitaan hidup saya. Emak mentua tidak sukakan saya kerana saya tidak macam menantu yang lain. Mereka ada harta dan keluarga bahagia, tapi saya tidak.
Saya selalu dihina di depan orang ramai, malah emak mentua juga selalu melaga-lagakan saya dengan adik ipar saya. Bila saya tanya kenapa dia buat begitu, emak mentua diam saja. Biasalah, mungkin mereka membenci saya. dari kecil hingga dewasa, saya hidup sebagai wanita yang disish dan dihina.
Saya cemburukan kakak ipar saya kerana dia ada segala-galanya termasuk harta dan keluarga bahagia. Saya selalu minta kepada Allah supaya saya dapat hidup bahagia sepertinya.
Kenapa Tuhan tidak adil dengan saya? Saya sekolah hanya setakat darjah enam, jadi macam mana saya nak dapat kerja yang bagus. Saya juga tidak pandai bersolat. Suami pun buat tidak tahu dengan saya. Dia tidak pernah mengajar saya perkara-perkara agama.
Sampai bila saya perlu hidup menderita? Semua orang benci pada saya. Hidup saya membawa sial kepada semua orang. Sudah menjadi adat dunia, apabila ada harta, baru orang suka.
* Ita, Pahang.
Ita,
Hidup kita ini tidak selalu indah. Setiap orang pasti ada suka duka yang perlu dilalui. Apa yang perlu kita lakukan, perbaiki diri. Jika tidak tahu bagaimana hendak mengerjakan solat. Bergurulah dengan buku. Selain itu, ita perlu meluahkan segalanya dengan suami. Mungkin dia sendiri tidak tahu apa yang Ita inginkan dalam hidup. Kebahagiaan itu tidak akan tercapai dalam sehari. Mungkin Ita diuji pada usia yang masih muda. Allah bukan tidak adil. Ia hanya secebis ujian buat Ita.
Jangan menyesali nasib diri. Ukuran diri kerana harta hanya pada pandangan manusia. Di akhirat kelak, hanya iman dan takwa bekalan manusia. Mulai sekarang, Ita perlu memperbaiki diri. Penuhkan ilmu di dada dengan keimanan. Jangan sekali-kali berputus asa dan mempertikaikan takdir Allah. Dekatkan diri, bersolat dan mohon doa agar Ita sekeluarga diberi petunjuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Isnin, Julai 27, 2009
Menantu perempuan mesti beralah
PENDEDAHAN seorang nenek yang menceritakan pengalamannya dalam ruangan ini minggu lalu menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit pandangan.
Tetapi tanpa mahu merujuk secara keseluruhan kepada keluhan tersebut, saya cuma ingin mengulas mengenai sikap menantu perempuan.
Saya sendiri sudah mendengar banyak cerita mengenai menantu perempuan yang kadang kala menunjukkan kerenah yang bukan-bukan.
Ada antara mereka tidak tahu menghormati mertua, biarpun sebenarnya kalau mertua tidak mengizinkan sudah tentu mereka tidak akan mendapat suami yang mereka idamkan. Mereka berpendapat, apabila seseorang lelaki itu sudah berkahwin maka ia menjadi hak eksklusif mereka, orang lain tidak boleh kacau-kacau termasuklah ibu bapa lelaki berkenaan.
Kesudahannya hubungan menantu dengan mertua menjadi renggang. Kalau hendak balik ke rumah mertua macam-macam alasan diberikan tetapi kalau hendak balik rumah sendiri awal-awal lagi sudah kemaskan pakaian.
Kepada kaum wanita yang menjadi menantu, faham-fahamlah bahawa tanggungjawab seorang lelaki terhadap ibu bapa mereka tidak akan berakhir biarpun mereka sudah berkahwin. Selagi ibu bapa mereka masih bernafas di alam fana ini, selagi itulah mereka bertanggungjawab menjaga kedua-dua orang tuanya.
Saya sering baca di ruangan ini, paparan-paparan mengenai sikap menantu lelaki termasuklah kritikan oleh sesetengah isteri kerana si suami terlalu beratkan ibu bapa mereka.
Bagi saya, itu sikap yang mulia cuma jangan sampai rumah tangga dan kebajikan anak-anak terabai.
Saya juga sering berjumpa dengan menantu perempuan yang suka sangat mengkritik ibu bapa mertua mereka. Mungkin kedua-dua orang tua itu ada buat salah tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim.
Tetapi masalahnya kaum wanita ini kebanyakannya suka sangat ikut perasaan. Bila nampak suami berat sikit di sebelah ibu bapanya, mula buat muka. Sebenarnya, selagi suami itu tidak mengabaikan rumah tangga, biarlah dia menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki.
Selain itu, kalau sudah meminta tolong ibu bapa mertua menjaga anak-anak maka faham-fahamlah untuk memberikan sedikit sumbangan. Jangan kerana hendak jimat wang maka anak-anak dihantar kepada ibu bapa mertua untuk dijaga.
Sebenarnya orang tua kita tak kisah untuk menjaga cucu-cucunya, malah kasih sayang mereka kepada cucu kadang kala lebih tinggi berbanding mereka sayangkan kita. Namun orang Melayu diajar untuk berbudi berbahasa, maka kalaulah ibu bapa mertua dah jaga anak-anak kita, pandai-pandailah kita membalas budi mereka.
Sebagai datuk dan nenek, mereka tidak akan meminta balasan, malah mereka bahagia bila cucu-cucu ada di rumah, tetapi kita pun kena juga tahu apa yang patut kita berikan. Jangan ingat kudrat yang mertua kita keluarkan percuma sahaja. Sepatutnya pada usia tua mereka berehat dan menumpukan perhatian kepada beribadat kepada Allah.
Tetapi bila kita hantar anak-anak ke rumah mereka untuk dijaga, sedikit sebanyak waktu lapang mereka sudah terganggu. Namun kita yakin mereka tidak akan bersungut.
Satu hal lagi, kalau bermusuh dengan ibu bapa mertua, janganlah menghasut suami pun ikut sama. Apa pun berlaku hubungan anak dan ibu bapa tidak boleh diputuskan. Si suami pun janganlah mengikut sahaja, kalau tahu si isteri melakukan perkara yang salah.
Tetapi paling baik si menantu harus tahu beralah, jangan hendak tunjuk keras kepala tidak tentu fasal kerana apa pun kita harus faham bahawa setiap niat yang baik pasti diberkati Allah.
Mungkin sesetengah mertua ada perangainya sendiri tetapi kita tidak boleh melawan kerana apa pun mereka akan tetap pertahankan pendirian mereka.
Oleh itu daripada pening-peningkan kepala adalah lebih baik menantu-menantu perempuan ini bersabar sahaja. Bagi si suami pula, pandai-pandailah menyelesaikan masalah yang timbul, jangan kita pun berat sebelah.
Saya memberikan pandangan ini secara ikhlas dan berharap tidak ada mana-mana pihak tersinggung.
Hasbullah, Melaka.