#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Barah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Barah. Papar semua catatan

Ahad, November 01, 2009

Usia muda bukan jaminan

Oleh Hafizah Iszahanid


Barah payu dara tidak kenal umur, boleh dicegah jika dikesan awal

ABBY Tajudin, 33, bukanlah dalam kategori berisiko tinggi diserang barah payu dara. Tiada seorang pun dalam keluarganya diserang barah payu dara. Malah dengan usia 33 tahun, dia tidak pun membuat ujian imbasan mamogram sebelum ini.

Umumnya di hospital kerajaan, wanita berusia 40 tahun yang diwajibkan menjalani ujian mamogram. Wanita muda yang tidak berada dalam kumpulan berisiko, walaupun mahu melakukan ujian mamogram akan disuruh ke hospital swasta.


Justeru, sewaktu Abby diserang sakit belakang yang teruk dan mengambil masa hampir 30 minit untuk bangun dari katil setiap pagi, tidak terlintas langsung di fikirannya itu adalah simptom barah payu dara.

“Mulanya saya ambil paracetamol bagi melegakan kesakitan. Kemudian, apabila masih sakit saya berjumpa pakar tulang, tetapi tidak sembuh juga. Sakit masih berulang dan akhirnya saya dirujuk kepada pakar bedah payu dara. Rupanya sakit belakang itu ialah simptom barah payu dara,” katanya ketika ditemui pada majlis bersempena Bulan Kesedaran Barah Payu Dara Sedunia yang jatuh pada bulan ini.

Barah payu dara yang menyerang Abby ialah jenis metastasis (sel barah merebak ke saluran limfa atau salur darah sebelum ke organ lain) dan sudah merebak hingga ke tulang belakang. Lebih menyentuh hatinya, ia sudah di tahap empat!

Anehnya, Abby, anak bongsu enam beradik tidak mempunyai sejarah barah payu dara dalam keluarganya. Justeru, waktu disahkan menghidap barah payu dara, hidupnya seakan-akan terhenti seketika. Dia yang masih menjalani rawatan kemoterapi itu bagaimanapun, menyerahkannya kepada Allah SWT kerana percaya, setiap apa yang terjadi ada hikmahnya.

“Saya percaya pada qada dan qadar dan tidak akan mudah menyerah kalah. Saya akan terus berjuang menentang barah payu dara untuk dua anak yang sedang membesar,” kata ejen hartanah yang dan dikurniakan dua anak lelaki.

Malah kehadiran cahaya matanya itu menyebabkannya tetap tabah menjalani hidup. Untuknya, barah payu dara bukan penghalang untuk terus bekerja dan meneruskan kehidupan seperti insan lain.

Abby ialah antara contoh wanita yang diserang barah payu dara walaupun tidak tergolong dalam kumpulan berisiko. Dia masih muda, tidak lahir dalam keluarga yang mempunyai sejarah barah payu dara dan aktif bekerja dan bersukan.

Walaupun, satu daripada faktor risiko terbesar barah payu dara dikaitkan dengan faktor genetik, namun ia bukan satu kemestian.

Justeru, menjalani rawatan awal seperti ujian imbasan mamogram ialah antara keperluan utama wanita walaupun usia anda belum mencecah 40 tahun.

Pakar Bedah Payu Dara, Hospital Gleneagles Intan, Kuala Lumpur Datuk Dr Suseela Nair, berkata barah payu dara ialah barah yang paling kerap ditemui di kalangan wanita Malaysia, mencecah hingga 31.3 peratus daripada semua jenis barah.

“Wanita Cina dan India merekodkan kes tertinggi berbanding Wanita Melayu. Namun, angka itu berdasarkan statistik lawatan ke hospital. Justeru, ia mungkin tidak membayangkan jumlah kes sebenar,” katanya.

Jelas Dr Suseela, ada banyak kes pesakit lebih gemar merujuk kepada pengamal perubatan alternatif untuk rawatan berbanding mendapat rawatan di hospital. Pesakit hanya akan ke hospital apabila tidak sembuh dan ketika itu, ia sudah pun terlambat.

“Memilih rawatan tradisional bukan langkah bijak kerana keberkesanannya dalam rawatan barah payu dara belum dibuktikan,” katanya.

Jelasnya, gaya hidup sihat memang memainkan peranan mengelak barah payu dara. Namun lebih penting mengurangkan menu yang boleh menjadi faktor risiko seperti pengambilan terlalu banyak daging, produk tenusu, selain rendah pengambilan sayur-sayuran dan serat.

Namun, bolehkah anda melawan barah payu dara? Tentu saja, kerana barah payu dara mudah dikesan, selagi anda melakukan ujian mamogram atau melakukan ujian sendiri. Simptom barah payu dara juga mudah diketahui dengan simptom paling mudah - mengesan ketulan dalam payu dara.

Ujian mamogram pula memudahkan anda mengesan perubahan pada payu dara dengan imej yang jelas. Mamogram direka secara khusus untuk imbasan payu dara pada kadar radiasi yang rendah. Rawatan barah payu dara yang berjaya bergantung kepada pengesanan awal, justeru mamogram ialah antara kaedah pengesanan awal terbaik.

Pihak Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) melaporkan, mamogram membantu mengesan ketulan barah payu dara antara 85 ke 90 peratus bagi kalangan wanita berusia 50 ke atas.

Tidak dinafikan, payu dara yang juga gabungan lemak, kelenjar dan tisu yang kenyal.

Justeru ada kala ujian mamogram mendatangkan sedikit ketidakselesaan. Namun ia bukan alasan untuk tidak melakukannya, apatah lagi jika anda berada dalam golongan berisiko.

INFO:

Simptom

  • Ketulan pada payu dara dan makin jelas ketika haid
  • Pendarahan atau lelehan dari puting payu dara
  • Perubahan bentuk payu dara
  • Kulit payu dara atau puting yang tertarik ke dalam

    Golongan Berisiko
    • Usia yang meningkat (namun dalam kes Abby, barah payu dara boleh juga terjadi pada usia muda)
    • Sejarah keluarga (adik beradik dan saudara terdekat, nenek, sepupu, ibu saudara)
    • Pernah dirawat dengan barah payu dara sebelum ini
    • Haid yang datang pada usia muda (sebelum 12 tahun dan menopaus lewat (selepas 50 tahun)
    • Tidak menyusukan anak
    • Melahirkan anak pada usia lewat (melepasi 30 tahun)
    • Pemakanan tinggi lemak tetapi rendah serat
    • Obes, minum arak, merokok

Isnin, Oktober 19, 2009

Berpantang maut sebelum ajal

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

afzan@bharian.com.my

Fifi tabah terima kenyataan diserang barah payu dara pada usia 20-an

MELIHAT penampilannya yang ceria dan segar, siapa sangka wanita comel ini yang pernah bergelut dengan barah yang menjadi pembunuh nombor satu wanita, apatah pula dalam gembira membilang hari bergelar raja sehari.

Bak kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal. Penyakit yang dikatakan kerap menyerang wanita berusia 40 ke atas, rupanya semakin tidak mengenal mangsa. Bagi Fithrahana Baharuddin atau panggilan mesranya, Fifi, selagi termampu, beliau akan terus berjuang untuk menyelamatkan nyawa dan terus berfikiran positif mendepani masa depan yang belum pasti.

Oktober tahun lalu tarikh yang tidak mungkin lupus dalam ingatannya apabila secara tidak langsung mengesan ketulan keras sebesar syiling 20 sen di sebelah payu dara kanannya.

Beliau yang tidak pernah culas melakukan sendiri pemeriksaan payu dara (PSP) memang pasti ketulan itu berbeza daripada ketulan sedia ada kerana sudah arif mengenainya.

“Ia keras, tidak berubah kedudukan dan tidak sakit. Mendapatkan kepastian, saya tanya emak dan tidak lama selepas itu saya ke Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur untuk memastikan ketulan luar biasa itu.

“Masa itu memang saya tidak fikir yang buruk walaupun ada juga terdetik di hati, ia barah memandangkan kriteria ketulan itu. Tetapi saya pujuk hati menafikan hal berkenaan sebab saya terlalu muda, 26 tahun ketika itu untuk melalui semua itu,” katanya.

Melalui pembedahan ‘lumpectomy’, seminggu selepas itu pihak hospital memaklumkan bahawa ketulan itu adalah barah.

“Bila emak kata saya perlu mengambil keputusannya, saya ingat ingin pergi sendirian, tetapi emak berkeras untuk ikut. Mula-mula saya pelik juga kenapa emak ingin ikut serta, tetapi apabila sampai di hospital, barulah doktor mengatakan keputusan bahawa ketulan itu berbentuk barah. Emak yang tahu lebih awal mengenai keputusan itu dinasihatkan doktor untuk menemani saya menerima hakikat saya perlu menjalani rawatan mematikan sel barah yang mungkin sedang agresif,” katanya.

Fifi berkata, apabila menerima keputusan itu, beliau bagaikan tidak percaya berikutan usianya yang jauh daripada usia lazim yang dikaitkan dengan barah berkenaan, apatah pula tidak lama lagi akan bergelar pengantin.

“Bila tengok doktor pun serius dan emak pun macam nak nangis, barulah saya akur dan mula bertanya kenapa saya dan bukan orang lain, kenapa sekarang dan bukan 30 tahun lagi? Macam-macam saya fikirkan.

“Keesokan harinya apabila bangun dari tidur, barulah saya benar-benar berasa sedih dan maklumkan kepada bakal suami, Saiful Amani (ketika itu, mereka belum berkahwin). Beliau tenang mendengarnya. Apa yang paling saya sedih kerana saya tahu barah akan mengubah cara hidup saya dan keluarga,” katanya mengimbas kembali kenangan lalu.

Rutin hidupnya kian berbeza, bererti beliau kini perlu menyusun jadual hariannya. Hospital sudah menjadi rumah kedua buatnya. Pembedahan ‘clerance’ di kawasan ketumbuhan bagi mengelakkan barah kemungkinan berada di kawasan sekitar itu dilakukan, memberikan rasa tidak selesa. Kawasan bawah lengan kanan dirasakan kebas dan pelik.

“Ia tidak terhenti di situ apabila perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali. Bagaimanapun, saya meminta ia ditangguhkan dulu kerana saya ingin mendirikan rumah tangga sebelum itu,” katanya yang banyak membaca dan melayari laman web bagi mengetahui mengenai barah itu.

Persiapan perkahwinan mungkin tidak seperti pasangan lain kerana tergambar jadual rawatan demi rawatan di hospital. Bulan madunya bukan dihabiskan dengan menziarah sanak-saudara atau ke pusat peranginan, sebaliknya di hospital kerana tidak lama selepas berkahwin Fifi meneruskan rawatan kemoterapi.

Benarnya sangkanya kerana susulan rawatan itu memberikan rasa yang cukup tidak selesa.

“Selalunya selepas rawatan saya akan pulang ke rumah dan duduk dalam bilik gelap dan sunyi. Saya menjerit, saya menangis dan marah kepada sesiapa saja kerana tidak tertanggung rasa pedihnya. Tetapi saya bersyukur kerana keluarga dan rakan sekerja sangat memberikan sokongan. Bila dikenang balik peristiwa itu, rasa macam bersalah sangat kepada mereka,” katanya yang sudah menghabiskan tiga sesi rawatan kemoterapi setakat ini.

Fifi berkata, hakikatnya barah memang menakutkan, tetapi individu khususnya wanita tidak perlu takut menghadapinya kerana ada cara mengubatinya.

“Sakit dan takut memang ada, apatah lagi sekiranya kita masih muda, tetapi selagi kita berfikiran positif, Insya-Allah kita mampu menghadapinya,” katanya yang menyertai Yayasan Reben Merah Jambu atau dikenali sebagai Pride sejak tahun lalu kerana memikirkan ia bagaikan ‘terapi’ bila bersama kumpulan yang mengalami sakit sama.

Impian bergelar ibu

“SESIAPA yang bergelar isteri sudah pasti mengimpikan untuk memiliki anak sendiri, tidak terkecuali saya. Tetapi saya fikir biarlah bila saya benar-benar kuat dan sihat sebelum bergelar ibu,” katanya yang hanya boleh hamil pada 2012, itupun sekiranya kesihatannya mengizinkan.

Katanya, mengambil anak angkat mungkin jalan paling mudah mengisi kehidupannya bersama suami, tetapi katanya biarlah bila dirinya pulih sepenuhnya.

“Sejak memulakan kerja pada Mei tahun ini, saya dapati diri saya mudah penat dan letih. Kalau begitu keadaannya, bagaimana nak jaga baby kan? Tetapi saya bernasib baik kerana majikan saya faham,” katanya.

Hakikatnya, Fifi turut bersimpati dengan suaminya dan pernah menyatakan perkahwinan mereka mungkin tidak sama seperti pasangan berkahwin yang lain, tetapi Alhamdulillah hingga kini suaminya sentiasa di sisi memberikan sokongan.

Fifi berkata, setiap apa yang menimpanya mempunyai hikmah tertentu dan sejak dikesan menghidap barah, beliau menjadi seorang yang lebih penyabar dan menghargai nilai kasih sayang keluarga.

“Sebelum ini saya mudah juga naik angin, tetapi bila sakit dan tengok sokongan keluarga dan suami, saya menjadi lebih penyabar, mudah berterima kasih dan menghargai, walaupun pada perkara yang kecil. Sebagai contoh, emak, ayah dan suami berusaha mengadakan kenduri doa selamat, mencari air penawar untuk meringankan penderitaan saya itu,” katanya.

Fifi akur kemungkinan sel barah kembali menyerang adalah tinggi, tetapi tetap bersabar dalam menghadapi apa jua rintangan mendatang dan berdoa supaya lebih kuat menghadapinya.

“Saya berusaha mana yang boleh seperti makan makanan lebih sihat, bersenam ringan dan mendekatkan diri kepada Allah. Saya percaya sekiranya kita positif, kita mampu menghadapinya,” katanya.

Jumaat, September 04, 2009

Mamogram tentukan keseriusan kanser

ARKIB : 01/09/2009
Sumber : Utusan Malaysia

pemeriksaan mamogram boleh mengesan ketumbuhan dua tahun lebih awal sebelum ia dapat dirasa. - Gambar hiasan


Apabila menyebut 'kanser', pesakit pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan standard seperti kemoterapi atau radioterapi.

Pada peringkat itu, kebanyakan pesakit pasrah dengan dugaan menimpa dirinya dan tidak kurang ada yang berputus asa terhadap kehidupan yang dilalui.

Namun, tidak semestinya apa yang dijangka akan berlaku kerana pada akhirnya hanya yang Maha Esa sahaja yang berkuasa menentukan ajal maut setiap individu.

Perunding Pembedahan Payu Dara Pusat Perubatan Prince Courts, Dr. Harjit Kaur berkata, tanggapan salah pesakit menyebabkan hidup pesakit menjadi tertekan serta murung.

Hal demikian menyebabkan ramai beranggapan kanser sama maknanya dengan kematian sehingga menjadikan mereka tidak bersemangat meneruskan hidup.

Sehubungan itu, tambah Harjit, pengesanan awal penting dalam menentukan keseriusan tahap kanser tersebut.

''Sebenarnya, jika dikesan secara awal ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa dan peratusan untuk sembuh adalah tinggi.

''Oleh sebab itu, pemeriksaan payu dara sendiri, pemeriksaan klinikal serta mamogram sangat mustahak,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, pemeriksaan dan rawatan awal adalah satu keperluan dewasa ini bagi mengelakkan serangan penyakit yang akan membebankan diri dan keluarga kelak.

''Kalau kita sanggup berbelanja untuk memperbaiki rumah atau harta benda yang lain, mengapa kita tidak sanggup memperbaiki tahap kesihatan diri sendiri,'' katanya.

Jelasnya, antara sebab utama masyarakat tidak berusaha mendapatkan rawatan kanser kerana tiada keyakinan bahawa mereka mempunyai peluang untuk hidup.

"Wanita yang telah disahkan menghidap penyakit ini tidak mempercayai bahawa penyakit ini tidak boleh dikawal dan mereka hanya fikirkan hal kematian.

"Faktor kurangnya pengetahuan tentang rawatan penyakit ini, misalnya, wanita yang berada di luar bandar dan kampung menjadikan jumlah kes kematian akibat kanser ini meningkat,'' ujarnya.

Harjit memberitahu, wanita terutamanya golongan ibu perlu ingat sekiranya mereka tidak mengambil langkah kesihatan, bagaimana mereka hendak menjaga keluarga.

"Wanita mempunyai tanggungjawab yang banyak. Mungkin sokongan daripada keluarga terutamanya orang terdekat seperti suami memainkan peranan penting.

"Dalam hal ini, suami boleh menemankan isteri mereka untuk melakukan pemeriksaan awal dan apabila disahkan menghidap kanser ini,'' katanya.

Menurut Harjit, selain pemeriksaan sendiri di rumah , wanita boleh melakukan mamogram.

"Mamogram ialah satu pemeriksaan payudara menggunakan sinar-X.

"Ia akan memaparkan kelenjar susu, lemak dan saluran darah serta kelenjar di dalam ketiak. Pemeriksaan ini dilakukan oleh juru x-ray.

"Ia akan menghasilkan imej payu dara yang kemudian akan diproses secara digital dan dicetak pada filem,'' jelasnya.

Tambanya, adakalanya, kanser payu dara pada peringkat awal hanya dilihat sebagai sekumpulan kalsium halus (mikrokalsifikasi) dan ini hanya dapat dikesan dengan mamogram.

Ditanya kenapa seorang wanita itu memerlukan mamogram, Harjit menjelaskan, pengesanan awal melalui kaedah mamogram dapat mengesan kanser dan juga ketumbuhan yang bukan kanser yang masih terlalu kecil untuk dirasa oleh individu ataupun doktor.

"Mamogram boleh mengesan ketumbuhan dua tahun lebih awal sebelum ia dapat dirasa semasa membuat pemeriksaan.

"Ia juga boleh mengesan perubahan pada tisu-tisu payu dara yang boleh menunjukkan tanda-tanda kanser pada peringkat awal.

"Hakikatnya, saringan mamogram di kalangan kaum wanita yang tidak mempunyai apa-apa gejala penyakit payu dara telah menurunkan kadar kematian disebabkan kanser payu dara,'' ujarnya.

Tambahnya, antara persediaan yang perlu dilakukan ialah merancang pemeriksaan selepas haid atau apabila payu dara berasa tidak sakit dan tegang.

"Sekiranya kafien boleh menyebabkan payu dara anda berasa sakit dan tegang, berhenti mengambil produk mengandungi kafein seperti kopi, teh, coklat dan air bergas), '' jelasnya.

Pesannya, faktor pemakanan penting dalam mengurangkan risiko untuk penyakit kanser.

Oleh itu, amalkan pemakanan seimbang. Kurangkan pengambilan lemak.

Khamis, Julai 30, 2009

Menentang barah pangkal rahim



Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my



Kesedaran penting elak penyakit berbahaya daripada meningkat

JIKA melihat kepada perangkaan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2007, lebih 700 wanita Malaysia meninggal dunia akibat penyakit barah pangkal rahim pada setiap tahun dan angka ini ternyata menggerunkan.

Secara global pula lebih 270,000 kematian sama direkodkan akibat penyakit berkenaan atau secara jelasnya, seorang wanita maut bagi setiap empat minit di rantau Asia Pasifik.

Memang menakutkan, tetapi itulah hakikat yang perlu diterima berhubung bahayanya penyakit barah pangkal rahim jika tidak dicegah atau dikesan pada peringkat awal.

Pada masa ini, penyakit itu adalah pembunuh nombor dua di kalangan wanita di Malaysia selepas barah payu dara. Malah, perangkaan terbaru mendedahkan secara purata, sebanyak 16 kes baru penyakit barah pangkal rahim dilaporkan berlaku di kalangan 100,000 wanita di negara ini



Menyedari keadaan itu perlu dihentikan, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melancarkan kempen kesedaran penyakit itu dalam usaha menentangnya daripada berlaku.

Bertemakan `Kuasai Kanser Serviks’ kempen selama setahun itu menggalakkan wanita mengambil langkah pertama untuk melindungi diri mereka daripada penyakit barah pangkal rahim.

Pengarah Perubatan NCSM, Dr S Saunthari, berkata kempen itu bertujuan memperkasakan wanita Malaysia dengan `kuasa’ untuk membebaskan diri daripada penyakit barah pangkal rahim menerusi pendidikan berhubung penyakit itu dan menggalakkan mereka mendapatkan nasihat daripada profesional penjagaan kesihatan untuk langkah pencegahan.

Katanya, 19 kes barah pangkal rahim dilaporkan berlaku dalam lingkungan 100,000 penduduk wanita dan angka ini perlu dikurang atau ditiadakan langsung menerusi kesedaran mendalam bahawa penyakit itu boleh dicegah dan dirawat.



“WHO menyatakan bahawa barah pangkal rahim membunuh lebih ramai wanita setiap tahun berbanding melahirkan anak. Penyakit ini amat ditakuti, tetapi masih boleh dicegah dan mereka yang menderita penyakit berkenaan akan terjejas dalam kehidupan, kerjaya dan pengurusan keluarga.

“Jadi, langkah paling baik untuk mencegah atau mengurangkan penyakit barah pangkal rahim ini ialah menerusi pendidikan supaya wanita kerap melakukan pemeriksaan, mengambil suntikan vaksin dan menjalani rawatan yang betul,” katanya selepas majlis pelancaran kempen itu yang dilakukan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, di Sentul, baru-baru ini.

Kempen berkenaan adalah komitmen berterusan NCSM dalam usahanya menjaga kesejahteraan dan kesihatan awam serta menyelamatkan nyawa wanita daripada belenggu penyakit barah pangkal rahim itu.

Saunthari berkata, antara lain wanita perlu mengetahui pilihan pencegahan terhadap penyakit berbahaya itu, selain menggalakkan mereka membincangkan dengan profesional penjagaan kesihatan seperti pemvaksinan dan pap Smear atau lumuran pap untuk mencegah barah pangkal rahim.

“Kita berharap kempen ini akan memberi banyak maklumat kepada wanita Malaysia dan menasihatkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri. Bagi memastikan keberkesanan kempen, beberapa personaliti terkenal termasuk pelakon Sarimah Ibrahim; juruhebah radio, Jay Menon; selebriti televisyen, Rina Omar, Pamela dan Vanessa Chong serta Siow Hui Mei dilantik sebagai duta untuk membantu menyebarkan pesanan dan memperlihatkan kepentingan memahami pilihan pencegahan yang ada.

“Disebabkan penyakit berbahaya ini semakin menular, pendidikan dan seruan untuk bertindak amat penting untuk memastikan wanita sentiasa bersiap sedia menentang penyakit berbahaya ini,” katanya.

Syor wajibkan suntikan vaksin pada usia 12 tahun
PENINGKATAN kes penyakit barah pangkal rahim menyebabkan kerajaan mengkaji cadangan mewajibkan suntikan vaksin terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di negara ini dalam usaha mencegah penyakit barah pangkal rahim berikutan perbelanjaan rawatan penyakit itu yang kini mencecah RM382 juta setahun.

Pelaksanaan program itu membolehkan kerajaan melakukan penjimatan dianggarkan berjumlah RM322 juta setahun, tetapi keputusan akhir mengenainya hanya akan ditentukan hujung tahun ini selepas hasil kajian yang dilakukan kementerian sejak awal tahun lalu, dibentangkan kepada Kabinet untuk membuat pertimbangan mengenainya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan sedar bahawa penyakit barah pangkal rahim adalah pembunuh nombor dua wanita selepas barah payu dara dan di negara ini, penyakit itu membunuh 150 wanita setahun.

“Secara purata, sebanyak 16 kes baru penyakit barah pangkal rahim dilaporkan berlaku di kalangan 100,000 wanita di negara ini dan kos rawatan yang tinggi sehingga RM382 juta setahun, menyebabkan langkah pencegahan secara menyeluruh perlu diambil menerusi suntikan vaksin.

“Bagaimanapun, keputusan sama ada suntikan itu akan diberi secara percuma atau sebaliknya hanya akan ditentukan kemudian kerana ia membabitkan kos yang mahal, tetapi kerajaan tetap berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya selepas melancarkan kempen kesedaran Mencegah Barah Pangkal Rahim, di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir, Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Tony Skelchy dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr S Saunthari.

Liow berkata, kementeriannya juga perlu menjalankan kajian lain bagi memastikan keberkesanan suntikan vaksin dalam menghalang penyakit berbahaya itu berikutan maklumat doktor pada masa ini yang mengesahkan keberkesanannya hanya 70 peratus saja.

Katanya, suntikan itu juga tidak memberi kesan sampingan dan usia 12 tahun dianggap paling baik untuk menjalani suntikan vaksin berkenaan kerana ia mampu memberi perlindungan sehingga 20 tahun.

“Ini kerana kebanyakan mangsa penyakit itu adalah wanita berusia 30 tahun ke atas, sehingga menjejaskan kerjaya, penjagaan anak dan keluarga. Bagaimanapun, suntikan vaksin dikatakan hanya mampu menghalang 70 peratus saja penyakit itu, dan selebihnya perlu menjalani pemeriksaan pap smear setiap tiga tahun sekali,” katanya.

Walaupun kajian itu antara lain meneliti kekangan dihadapi kerajaan kerana membabitkan kos yang tinggi, pelaksanaannya memberi kesan baik dan sudah dilakukan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Liow berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan penyakit barah pangkal rahim membunuh seorang wanita bagi setiap empat minit di negara rantau Asia Pasifik, malah ianya semakin meningkat di negara membangun, menyebabkan kempen kesedaran di kalangan wanita perlu dilakukan secara agresif dalam usaha menghalang penyakit berkenaan.

“Gaya hidup moden masa kini turut menyumbang kepada peningkatan kes barah dan amat penting supaya pengesanan awal dilakukan kerana penyakit barah ini sebenarnya boleh dihalang. Sebagai contoh, sudah ada vaksin yang boleh mencegah serangan virus Human Papillomavirus atau Papiloma Manusia (HPV) yang menjadi punca penyakit barah pangkal rahim atau menahan daripada terjadinya barah pangkal rahim bagi mereka yang sudah dijangkiti HPV,” katanya.

FAKTA
Barah pangkal rahim:
* Suntikan vaksin boleh mencegah serangan virus Human Papillomavirus atau Papiloma Manusia (HPV) yang menjadi punca barah pangkal rahim atau menahan daripada terjadinya penyakit itu bagi mereka yang sudah dijangkiti HPV.

* Antara punca berlakunya barah pangkal rahim ialah wanita merokok, menggunakan pil perancang keluarga dalam tempoh lama, jangkitan HIV dan kerap melahirkan anak.

* Vaksin hanya mampu mencegah 70 peratus daripada berlakunya barah pangkal rahim dan sebab itu, wanita perlu membuat pemeriksaan pap smear atau lumuran pap setiap tahun

INFO
Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM):
* Badan kebajikan berdaftar yang ditubuhkan pada 1966 untuk menyediakan pendidikan, penjagaan dan perkhidmatan sokongan kepada penghidap barah.
* Persatuan ini adalah badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan barah yang pertama ditubuhkan di Malaysia
* Misi NCSM ialah memastikan rakyat Malaysia tidak takutkan barah dengan mewujudkan kesedaran berhubung penyakit itu iaitu pencegahan dan pengesanan awal, memberi penjagaan sebaik mungkin dan menyokong mereka yang menghidap barah
* NCSM menyediakan rawatan dan sokongan menyeluruh kepada pesakit dan penjaga, membantu mereka memahami dan menangani barah dalam pelbagai fasa menerusi lima pusat barah iaitu Pusat Sumber dan Kesejahteraan, Pusat Pengesanan Kanser Wanita, Pusat Perubatan Nuklear, Pusat Rawatan Kanser dan Rumah Harapan Kanak-Kanak.

Khamis, Mei 28, 2009

'Saya terpaksa buang rahim'

Oleh Halina Mohd Noorhalina@bharian.com.my

Bekas pesakit barah pangkal rahim akui kini nikmati kehidupan bermutu bersama keluarga

SEUMUR hidupnya, Teri Choong tidak pernah menyangka akan mengalami barah pangkal rahim (barah serviks). Ibu beranak empat yang ketika itu berusia sekitar 30-an, mengakui tidak mengetahui apa-apapun mengenai barah pangkal rahim dibandingkan dengan barah payu dara.

"Saya lebih berhati-hati dengan barah payu dara dan sering berjaga-jaga. Apabila disahkan mengidap barah pangkal rahim, saya buntu dan cukup terkejut kerana ia cukup berbeza dengan barah payu dara. Memang saya terfikir yang hidup saya akan berakhir, tetapi ia hanya sebentar. Selepas 10 minit, saya mula terfikir apa yang harus dilakukan selepas ini," katanya.

Tanpa memikirkan mengapa ia berlaku kepada dirinya, Teri sedar beliau tidak boleh menafikan apa yang sedang berlaku kepada dirinya ketika itu. Sebaliknya, beliau lebih ingin tahu mengenai cara untuk memulihkan dirinya dan siapa yang perlu ditemuinya. Baginya, barah tidak boleh dipandang rendah dan menafikannya hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Episod mengerikan itu bermula apabila Teri mendapati ada bintik darah pada seluarnya, tetapi cukup yakin itu bukan haid. Beliau sedar ada sesuatu yang tidak kena dan memastikan dirinya menjalani pemeriksaan doktor, namun ujian pap smear tidak dapat mengesan barah berkenaan.

"Saya tidak menyalahkan doktor walaupun pada mulanya ia tidak dapat dikesan kerana kedudukan barah di pangkal rahim memang sukar dikesan. Apabila dikesan, ia masih pada peringkat awal iaitu di tahap kedua. Bagi mengelakkan ia daripada merebak, doktor terpaksa membuang keseluruhan rahim saya. Saya tidak keberatan kerana memikirkan sudah mempunyai empat anak. Saya juga bersyukur kerana suami dapat menerima hakikat ini," katanya.

Biarpun hidup tanpa rahim, Teri yang juga Pengarah Eksekutif PJ Live Arts Sdn Bhd, tidak pernah merasakan kekurangan diri. Malah beliau berasa menjadi insan lebih baik berbanding sebelumnya. Belajar menerima hakikat, Teri menjalani kehidupan lebih tenang. Melihat keadaan dirinya itu, tiada sesiapa menyangka Teri pernah terselamat daripada barah.

"Saya tidak akan berputus asa kerana banyak perkara lagi yang belum saya lakukan. Saya mempunyai anak-anak dan kalau fikirkan soal mati, semua orang pasti mengalaminya juga suatu hari nanti. Itulah sebabnya saya buat keputusan untuk membuang seluruh rahim kerana kemungkinan sel barah boleh merebak ke tempat lain.

"Bagi saya, sama ada wanita sudah mempunyai anak atau sebaliknya tidak penting. Keputusan tepat harus diambil demi keselamatan diri. Walaupun belum mempunyai anak, mengapa tidak boleh membuang seluruh rahim kalau ia hanya akan mengancam keselamatan diri," katanya.

Kini Teri menjalani kehidupan bahagia seperti biasa tanpa bergantung kepada ubat. Senaman menjadi rutin hidupnya bagi mengekalkan stamina seperti berbasikal dan menyelam. Beliau menasihatkan wanita untuk menjaga kesihatan diri dan paling penting membuat saringan kesihatan khususnya barah.

Teri ditemui pada majlis pelancaran Passionately YOU Campaign 2009 di Hospital Assunta, Petaling Jaya baru-baru ini. Kempen kesedaran mengenai barah payu dara dan pangkal rahim itu dirasmikan Datin Paduka Marina Mahathir. Turut hadir, Ketua Eksekutif, Choy Wah Wei dan Amber Chia yang bertindak sebagai duta kempen berkenaan yang berlangsung 16 Mei hingga 11 Oktober tahun ini. Choy berkata kempen berkenaan bermatlamat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pengesanan awal barah melalu pemeriksaan sendiri dan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Bertemakan 'Tahu. Cegah. Sembuh' dan 'Jangan Elakkan Pemeriksaan Pangkal Rahim dan Payu Dara', ia dianjurkan dengan kerjasama beberapa organisasi lain seperti Asia Assistance, PJ Live Arts dan Jaya One serta syarikat farmaseutikal gergasi, MSD Malaysia.

"Kempen ini mengandungi pelbagai aktiviti termasuk pameran bergerak di Subang Parade. Pek pendidikan mengandungi maklumat mengenai barah pangkal rahim dan payu dara akan diedarkan kepada pengunjung. Orang ramai boleh menjalani pemeriksaan klinikal payu dara dan satu ruang tertutup khas diperuntukkan bagi keselesaan mereka yang ingin menjalani pemeriksaan.

"Pengunjung juga berpeluang menerima subsidi vaksin HPV oleh hospital Assunta yang berharga RM260 untuk suntikan pertama. Suntikan kedua dan ketiga pada harga sama juga boleh didapati di hospital Assunta, tetapi perlu mendaftar terlebih dulu. Suntikan ini boleh mencegah barah pangkal rahim dan lebih mahal berbanding harga subsidi iaitu sekitar RM300 ke atas untuk satu suntikan," katanya.

Hospital Assunta mensasarkan RM200 ribu dapat dikutip sepanjang kempen ini berlangsung melalui penjualan patung itik, kemeja-T, jualan pakaian oleh pereka fesyen tempatan pada Oktober, acara muzik, maraton dan sukan khusus untuk wanita dan hasil jualan tiket untuk program pertunjukan belia oleh PJ Live Arts. Hasil kutipan disalurkan kepada Yayasan Assunta yang memberikan rawatan percuma kepada pesakit kurang berkemampuan.

"Yayasan ini ditubuhkan sebagai khidmat sosial kepada orang ramai. Tahun lalu, kempen seumpama ini berjaya meraih RM100 ribu dan dana itu digunakan untuk merawat 20 pesakit kurang berkemampuan. Pesakit dipilih berdasarkan kedudukan ekonomi mereka melalui perjumpaan oleh kakitangan hospital," katanya.

Sementara itu, Marina berkata, pengetahuan adalah kuasa untuk melawan barah. Bagaimanapun perubahan perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai wanita menjalani pemeriksaan lebih awal.

"Barah tiada bezanya dengan HIV kerana hanya kesedaran dapat mencegahnya. Ada sesuatu yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan mereka daripada ancaman barah seperti ujian awal. Wanita juga berhak mengetahui apa yang boleh dilakukan. Kalau tahu sekalipun, mereka mungkin tidak yakin bagaimana cara yang betul. Misalnya membuat pemeriksaan sendiri payu dara dan kebanyakan wanita juga rasa tidak selesa dengan spatula yang digunakan semasa ujian pap smear. Kekeliruan ini harus diperbetulkan agar wanita dapat menjalani pemeriksaan dengan tetap," katanya.

INFO: Barah pangkal rahim

Gejala:
Perubahan prabarah dan peringkat awal barah pangkal rahim biasanya tidak rasa sakit atau menampakkan gejala lain. Oleh itu, penting untuk menjalani ujian Pap dengan kerap untuk mengesan prabarah serviks pada peringkat awal untuk rawatan yang paling berkesan.

Apabila penyakit barah serviks berkembang, wanita boleh memerhatikan satu atau beberapa gejala yang berikut :

1. Pendarahan yang abnormal daripada vagina:
Pendarahan yang berlaku antara haid.
Pendarahan selepas bersetubuh, menggunakan douche atau pemeriksaan pelvis.
Haid yang lebih lama dan lebih banyak daripada selalu.
Pendarahan selepas menopaus.

2. Lelehan yang banyak daripada vagina.

3. Rasa sakit pada bahagian pelvis.

4. Rasa sakit ketika bersetubuh.

Antara yang boleh dilakukan bagi mencegah barah pangkal rahim
Mempraktikkan tabiat seks yang sihat.
Berhenti merokok.
Menjalani ujian pemeriksaan Pap Smear.

Mengenai Ujian Pap Smear:

Berapa kerapkah ujian Pap Smear perlu diulang?

Sekiranya ujian pertama didapati normal, ulangi Pap Smear pada tahun berikutnya.
Jika ujian kedua juga didapati normal, anda bolehlah mengulanginya setiap tiga tahun sekali.

Siapakah yang harus menjalani ujian Pap Smear?
Setiap wanita yang pernah mengadakan hubungan seks perlu menjalani ujian ini.

Siapakah wanita yang tidak perlu menjalani ujian Pap Smear?
~ Wanita yang tidak pernah mengadakan hubungan seks tidak perlu menjalani ujian ini.
~ Wanita yang telah menjalani pembedahan membuang rahim (histerekomi) yang
disebabkan oleh masalah bukan barah contohnya, fibroid, endometriosis, DUB dan lain-lain kecual CIN.
~Usia lebih 65 tahun dengan syarat ujian Pap Smear sebelumnya adalah normal.