Khamis, Disember 13, 2012
Ragam berkahwin pada 12.12.12
HONG KONG - Ribuan pasangan di Hong Kong, tanah besar China, India dan Asia Tenggara melangsungkan perkahwinan pada tarikh 12.12.12.
Pihak berkuasa di Hong Kong menyatakan seramai 696 pasangan melangsungkan perkahwinan semalam manakala di Singapura melibatkan 540 pasangan.
Sejumlah pasangan di tanah besar China turut berbaris untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat pendaftaran perkahwinan.
Menurut laporan media, lebih 4,700 orang membuat permohonan untuk mendaftarkan perkahwinan di Pejabat Hal Ehwal Awam di Beijing.
Di beberapa buah bandar Indonesia, terdapat ibu-ibu yang sanggup menjalani pembedahan bagi membolehkan anak mereka lahir pada tarikh 12.12.12.
Seramai 12 wanita, sebahagiannya berketurunan Cina menempah untuk dibedah awal di Hospital Bunda, Jakarta untuk melahirkan anak pada tarikh tersebut.
"Mereka (ibu-ibu) menyatakan mereka mahu melahirkan anak pada hari ini (semalam) kerana menganggap tarikh itu unik dan istimewa," kata jurucakap hospital tersebut, Samuel Robert.
Ratusan orang kelihatan berbaris di sebuah pejabat pendaftaran perkahwinan di Hong Kong dengan ramai pasangan sibuk bergambar dengan pakaian pengantin.
"Hari ini (semalam) merupakan amat istimewa dan kami boleh berkahwin sebelum 'hari kiamat' berlaku," gurau seorang pengantin lelaki, Raymond Ip.
Dia merujuk tentang hari kiamat yang diramalkan berlaku pada 21 Disember depan berdasarkan kalendar Maya.
Menurut Ip, tiada tarikh 13.13.13 menyebabkan dia menempah tarikh 12.12.12 untuk melangsungkan perkahwinan.
Menurut pengantin wanita, Terrance Fung, 29, tarikh 12.12.12 mempunyai keistimewaan kerana ia tarikh akhir untuk abad ke-21 yang mempunyai nombor yang sama.
Di Yogyakarta, Indonesia, seramai 12 pekerja berkahwin dengan pasangan masing-masing di sebuah kilang tebu.
Sementara itu, sistem komputer di pejabat daerah Bang Rak, Bangkok tidak dapat memproses permohonan perkahwinan yang terlalu banyak pada tarikh 12.12.12.
Menurut akhbar Bangkok Post, pengarah daerah itu, Ziachana Soodcharoen berkata, ramai pasangan yang menunggu sejak awal pagi di pejabat tersebut.
Pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan, pihak pejabat tersebut mengumumkan bahawa sistem komputer mengalami masalah kepada kumpulan bakal pengantin yang mahu mendaftarkan perkahiwnan.
Justeru, ramai pengantin terpaksa pergi ke daerah berdekatan untuk memperoleh sijil perkahwinan mereka.
Ramai pasangan yang mahu mendaftarkan perkahwinan di daerah Bang Rak itu kerana rak bermaksud cinta dalam bahasa Thailand.
Seorang pakar komputer di sebuah pejabat pentadbiran wilayah, Wichian Chidchanoknart berkata, komputer tersebut lambat memproses permohonan kerana jumlah pasangan yang mahu berkahwin pada tarikh tersebut terlalu ramai.
Di India, pasangan Brandon Pereira dan Emilia D'Silva dianggap paling bertuah kerana bertunang pada 10.10.10 dan mendaftarkan untuk perkahwinan secara sah pada 11.11.11 tetapi mengadakan majlis perkahwinan pada 12.12.12.
Di selatan Filipina, Ronnel Piligrino dan Anna Marie Poblacion meraikan perkahwinan mereka dalam sebuah khemah perlindungan untuk mangsa-mangsa taufan Bopha di bandar Osmena.
Majlis perkahwinan itu diadakan walaupun penduduk masih belum pulih daripada kesan taufan tersebut yang melanda pada 4 Disember lalu.
Taufan itu membunuh 647 orang dan menyebabkan sektor pertanian mengalami kerugian sebanyak AS$210 juta (RM640.84 juta). - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2EtP66qCW
Hakcipta terpelihara
Rabu, Januari 26, 2011
Raja Poligami
Berita Minggu

Jika Islam sudah menekankan konsep keadilan apabila lelaki berhasrat berkahwin empat sekali gus serta syarat-syarat asas mewajarkannya, bagi kaum dan negara lain pula, beristeri ramai itu sudah menjadi tradisi atau pesta tahunan.
Di Swaziland misalnya, sebuah negara di benua Afrika yang mana pemerintahnya, Raja Mswati III sememangnya layak dinobatkan Raja Poligami kerana memiliki 14 isteri sekali gus setakat ini!
Lebih menarik, semuanya dipilih menerusi adat unik yang mana mereka adalah kalangan anak dara Swaziland - negara di selatan Afrika itu yang datang menyerah diri sebagai bakal isteri.
Bukan sekali, malah setiap tahun dengan yang terbaru, November lalu, si dara Swaziland ini berarak separuh bogel di depan pemerintah berusia 43 tahun itu.
Mereka diarak dengan penuh tradisi dengan harapan dapat terpilih sebagai isteri baru dan berpeluang mengecap sedikit nikmat kekayaan biarpun terpaksa berkongsi dengan berbelas wanita lain.
Acara dua hari itu bermula dengan makan tengah hari di Istana Ludzidzini dan pesta itu berlarutan ke luar apabila ratusan wanita dengan pakaian skirt Swazi dan hanya rantai manik menutupi dada, menari sambil menghunus pisau dan perisai bagi menarik perhatian si Raja.
Pada hari kedua pula, gadis pilihan atau Permaisuri baru itu menghadiahkan pelbagai hantaran termasuk tikar rumput, peralatan memasak, selimut, perabot serta cenderahati lain.
Kehebatan Raja Mswati III itu bagaimanapun, belum dapat menandingi bapanya, Raja Sobhuza II yang sewaktu kematiannya pada 1986, mempunyai 70 isteri dan 1,000 cucu!
Malang sungguh apabila negara itu yang sepatutnya menumpukan soal pembangunan, sebaliknya sarat dengan masalah ramai rakyatnya menderita HIV dan kemiskinan. Tumpuan utama Raja Mswati ini sebaliknya, selain menambah isteri adalah boros berbelanja dengan memiliki deretan kereta mewah.
Seorang lagi Raja Poligami adalah Ancentus Akuku yang berasal dari Kenya, juga di Afrika. Sama seperti Raja Mswati III, hobi Akuku adalah mengumpul isteri.
Bak pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, kematian Akuku akhir tahun lalu pada usia 92 tahun, menyaksikannya mencatat nama sebagai poligamis terkenal dalam sejarah negara itu dengan meninggalkan 100 balu biarpun sudah berkahwin lebih 130 kali. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan turut melakar sejarah benua Afrika.
Dia turut dikenali jolokan nama 'Bahaya' kerana ramai wanita mendapati dirinya sukar ditolak. Akuku memiliki lima isteri ketika berusia 22 tahun. Dalam tempoh beberapa dekad antara 1939 dan 1992, Akuku yang berkahwin lebih 130 kali memiliki lebih 200 anak dan menceraikan lebih 80 wanita.
"Saya digelar 'Bahaya' kerana dapat menonjolkan diri ini di kalangan wanita. Saya kacak, bijak memilih pakaian dan tahu memikat hati wanita dengan kata-kata manis. Tiada wanita dapat menolak godaan saya," katanya kepada media, suatu ketika dulu.
Rahsia pemakanannya adalah menolak menu makanan berlemak dan garam yang membantunya mengelak penyakit kronik. Dia juga menghafal dan kenal semua anak-anaknya selain membuat jadual rumah mana yang perlu dikunjunginya mengikuti giliran.
Akuku, bagaimanapun bukan sekadar bijak menghasilkan anak tetapi pandai menguruskan keluarga serta amat mementingkan pendidikan dan ada anak-anaknya menjadi doktor, guru dan jurutera. Dalam tradisi Afrika, anak masih menjadi simbol kemakmuran. Jika kekayaan seseorang lelaki diukur melalui bilangan anak yang dimiliki, Akuku jelas berada dalam kelasnya tersendiri.
Di benua Arab juga tidak kalah dengan Raja Poligami dan Salem Juma'a, 75, yang juga warga Emiriah Arab Bersatu (UAE), layak diberi gelaran itu apabila mengahwini berbelas wanita yang kini cuma tinggal tiga. Dia yang mempunyai 52 anak, 10 daripadanya sudah meninggal dunia.
Salem juga pernah kahwin cerai dengan 12 wanita pelbagai negara - tiga dari Mesir, enam dari India dan tiga wanita tempatan.
"Ini pemberian Allah SWT.
Malah saya sudah ditakdirkan untuk beristeri ramai...rezeki tidak harus ditolak," katanya kepada media tempatan, baru-baru ini, merujuk kemampuannya beristeri ramai.
Namun, kehebatannya tidak setara Daad Abdulrahman, 64, juga warga UAE. Dia bukan sembarangan lelaki dan biarpun hanya berkaki satu, pesara tentera ini tetap ligat untuk meneruskan misi menghasilkan anak mencecah 100 orang menjelang 2015.
Ketika ini, dia mempunyai seramai 88 orang anak, termasuk 50 lelaki. Anak-anaknya paling sulung berusia 39 tahun dengan yang terbaru beberapa bulan. Malah, ada beberapa jandanya masih tinggal bersamanya.
Setakat ini, proses kahwin cerai yang dihadapinya menyaksikan Daad memiliki 16 isteri, namun hanya tiga kekal. Isteri paling muda, Majida, berusia 19 tahun yang dikahwini empat tahun lalu di Pakistan manakala dua lagi, Maryam, 45 tahun manakala Anifa, 22 tahun.
Dia menceraikan tujuh isteri, tiga lagi meninggal manakala tiga yang lain 'melarikan diri' dan tidak pernah kembali lagi.
Hebat atau tidak, rumahnya ibarat liga antarabangsa apabila dia mengahwini wanita Oman, India, Bangladesh, Maghribi dan rakyat tempatan.
Kini, dia memasang impian mahu mengahwini isteri keempat dari Sudan yang 40 tahun lebih muda daripadanya dan berharap memperoleh anak empat orang setahun sehingga matlamatnya tercapai.
Dia menyara keluarganya hasil pencen tentera selain sumbangan dermawan UAE yang sanggup membantunya merealisasikan impian memiliki 100 anak.
Ditanya apa rahsia kehebatannya, Daad berkata: "Saya mementingkan pengambilan makanan berkhasiat. Saya ada 40 biri-biri dan kambing.
Setiap minggu saya sembelih seekor dan menikmatinya bersama-sama isteri dan anak-anak. Mungkin inilah rahsia saya..."
Isnin, Ogos 23, 2010
Bahaya pil tangguh haid
2010/08/23
TAIF: Semakin ramai wanita muda, khususnya yang belum berkahwin, memakan pil untuk menangguhkan kedatangan haid sepanjang bulan puasa.
“Kerana teruja untuk berpuasa penuh sepanjang Ramadan, ramai wanita muda, termasuk yang belum berkahwin datang membeli pil Primolut N.
“Jualan pil itu meningkat sejak Ramadan bermula,” kata seorang ahli farmasi kepada akhbar Al-Watan.
“Mereka tidak langsung memikirkan kesan sampingan itu. Kebanyakan mereka membelinya daripada ahli farmasi yang mereka kenal tanpa preskripsi,” katanya.
Primolut N mengandungi bahan aktif norethisteron, produk hormon tiruan yang sama dengan hormon progesteron asli wanita.
Ia digunakan untuk menundakan kedatangan haid dan merawat gangguan yang berkaitan dengannya, Seorang pekerja swasta, Ummu Faris berkata, dia memakan pil itu kerana tidak mahu tertinggal puasa.
“Kerana sudah berumah tangga, saya tidak berdepan dengan masalah untuk membeli pil berkenaan,” katanya.
Pakar sakit puan di Hospital Al-Ameen di Taif, Dr Hanan Oyara, memberi amaran, penggunaan pil itu di kalangan wanita muda boleh menjejaskan kesihatan, termasuk kemungkinan mandul.
Rakannya, Dr Fatimah Younis berkata, pil itu boleh menyebabkan masalah kesihatan yang teruk di kalangan wanita yang berdepan dengan kekurangan hormon.
Bagaimanapun, menurutnya, ada pihak yang tidak menjelaskan kesan sampingannya.
Dr Dalal Namnawani dari Hospital Pakar Raja Abdul Aziz, juga di Taif berkata, pengambilan pil itu sepatutnya dilakukan di bawah pengawasan ahli perubatan. - AFP
Selasa, Ogos 03, 2010
Perkampungan anak banduan

Ayahnya dipenjarakan seumur hidup atas kesalahan membunuh ibunya.
Tu Ling merupakan salah seorang daripada puluhan anak-anak malang China yang tinggal di perkampungan Sun, sebuah rumah perlindungan di pinggiran kota Beijing.
Ia diasaskan oleh bekas pegawai penjara bertujuan memberi sinar harapan kepada anak-anak banduan tersebut untuk menjalankan sebuah kehidupan yang baru.
"Saya sedar bahawa banduan-banduan itu amat mengambil berat terhadap anak dan keluarga mereka di luar sana," terang Zhang Shuqin, pengasas rumah perlindungan tersebut kepada pemberita AFP.
Zhang, 62, terinspirasi untuk membangunkan rumah tersebut setelah mewawancara puluhan banduan untuk akhbar dalaman bagi Biro Pentadbiran di Wilayah Shaanxi Utara.
Tergerak dengan cebisan cerita perpisahan antara keluarga yang memilukan itu, Zhang membuka rumah perlindungan pertamanya pada tahun 1996 di Shaanxi.
Sejak itu tanpa sebarang bantuan dana daripada kerajaan, dia membina lima lagi rumah perlindungan tersebut termasuk sebuah di Beijing.
"Ada sesetengah daripada anak-anak banduan hilang, dijual dan dibawa pergi oleh saudara-mara mereka. Malah, terdapat sebilangannya tidak mempunyai sesiapa untuk melindungi mereka sejak muda lagi," tambah Zhang.
Kanak-kanak seawal usia empat bulan telah dihantar ke perkampungan Sun selepas ibu bapa mereka dijatuhi hukuman. Kebanyakan mereka ditinggalkan oleh saudara-mara yang tidak mampu menjaga mereka kerana tekanan hidup.
Sebelum tiba ke perkampungan tersebut, sesetengah daripadanya terpaksa menjalani kehidupan yang tidak teratur dengan merempat di jalanan selama berbulan-bulan dan terlibat dalam aktiviti jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup.
ANAK-ANAK banduan ini diberikan pendidikan seperti mana kanak-kanak lain untuk memastikan mereka juga mempunyai masa depan.
Ma Yufei, 12, memberitahu AFP dia sudah menghabiskan separuh daripada hidupnya di perkampungan tersebut.
Pihak polis membawanya dari wilayah utara Hebei selepas ayahnya dipenjarakan. Dia menyatakan tidak tahu di mana ibunya berada dan terlalu trauma untuk menjelaskan jenayah yang dilakukan oleh ayahnya.
"Kanak-kanak ini mempunyai pelbagai masalah setibanya mereka di sini. Terdapat di antara mereka yang amat membenci polis disebabkan menahan ibu bapa mereka malah, sebilangannya mempunyai keinginan yang kuat untuk membalas dendam.
"Mereka mempunyai perangai yang buruk seperti mencuri, berbohong dan bertindak ganas untuk memastikan terus hidup sepanjang merempat di jalanan. Kami cuba untuk memperbaiki perilaku tersebut dengan memberikan kaunseling kepada mereka," jelas Zhang.
Kini, kanak-kanak tersebut tinggal di asrama yang dikelilingi kebun sayur, dusun dan taman permainan. Setiap asrama akan ditempatkan seorang 'ibu' untuk menjaga mereka.
Zhang berkata, mereka akan mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak lain di sekolah-sekolah biasa. Seandainya lulus dalam peperiksaan, mereka akan dihantar untuk melanjutkan pelajaran di universiti atau kolej teknikal sebagai persediaan masa depan yang lebih cerah.
"Tidak cukup hanya memberi makan dan minum. Mereka harus memiliki kemahiran agar dapat mencari pekerjaan," tambah Zhang.
Dalam memastikan segala kelengkapan mencukupi di perkampungan tersebut, Zhang bergantung kepada sumbangan yang dihulurkan oleh dermawan dan ahli perniagaan.
Ketika AFP berada di situ, terdapat beberapa kereta jenama Audi yang lazimnya digunakan oleh pegawai kerajaan atau ahli perniagaan kaya berhenti untuk menyampaikan guni-guni beras, tepung, pakaian dan kasut untuk kanak-kanak tersebut.
Zhang memberitahu untuk menambahkan lagi pendapatan rumah perlindungan itu mereka menjual ayam dan angsa yang diternak atau menjual buah pic yang terdapat di perkampungan tersebut.
"Saya sukakan suasana di sini kerana ditemani oleh rakan-rakan, adik, pak cik dan mak cik," kata Cao Xiangqian, 12.
Dia dan adiknya yang berumur lima tahun dihantar oleh datuk mereka setahun yang lalu selepas ayahnya dipenjarakan. Ibunya telah menghilang diri dan gagal dijejaki.
"Saya akan menghabiskan masa dengan bermain ping pong dan menonton televisyen. Saya amat menyukai filem-filem kung fu," kata Cao ketika duduk dengan sekumpulan rakan-rakan yang lain di hadapan televisyen asrama mereka.
CAO XIANGQIAN mempunyai kehidupan yang lebih baik di rumah perlindungan Sun.
Zhang memberitahu, sejak penubuhan perkampungan Sun lebih 14 tahun lalu, lebih 2,000 kanak-kanak telah dibantu meskipun dia mengetahui jumlah sebenar yang melarat di luar lebih besar.
Kaji selidik yang dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2005 mendedahkan hampir 600,000 anak-anak banduan memerlukan pertolongan. Malah, populasi banduan di penjara juga makin meningkat dan pembukaan perkampungan baru Sun sedang dalam pembinaan.
Sepanjang berada di asrama tersebut, Tu Ling tidak pernah berhenti melakar lukisan sambil menunggu ayahnya dibebaskan.
Zhang mengatakan peristiwa sebenar pembunuhan ibu Tu Ling masih belum diceritakan kepadanya kerana enggan psikologi kanak-kanak itu terjejas. Malah, namanya juga diubah bagi melindungi kepentingannya.
"Saya akan sabar menunggu ayah dibebaskan dan pulang ke Sichuan untuk mencari ibu kerana saya amat merinduinya," kata Tu Ling.
Selasa, Julai 13, 2010
Bogelkan anak perempuan di kompleks beli-belah
2010/07/13
HONG KONG: Hanya kerana merosakkan suis kipas, seorang budak berusia lapan tahun dimalukan ibunya sendiri apabila dia dibogel dan ditinggalkan di sebuah kompleks beli-belah.
Mula-mula, budak terbabit dipukul dengan penyangkut baju.
Tidak puas dengan hukuman itu, ibunya, Wong Ngan-chun, 35, menanggalkan pakaian budak terbabit dan membawanya ke Kompleks Beli-belah Tuen Mun dan meninggalkannya di situ sendirian.
Akibat perbuatan itu, mahkamah mendapati perunding kecantikan itu bersalah dan menghukumnya supaya menjalani pengawasan 12 bulan.
Akhbar Hong Kong Standard melaporkan, hakim mendapati hukuman itu wajar kerana Wong menunjukkan kekesalan atas perbuatannya.
Namun, dia boleh dipenjara jika melakukan kesalahan sekali lagi.
Wong didapati mendera dan memalukan anaknya bulan lalu.
Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membelikan pakaian dan diberi kepada budak terbabit sebelum kes itu dilaporkan kepada polis.
Pemeriksaan kesihatan mendapati ada kesan lebam pada lengan, kaki, kepala dan dada budan terbabit. Selain rayuan daripada Wong, mahkamah turut mengambil kira keterangan suaminya yang dikahwini sejak 12 tahun lalu.
Suami Wong berkata, wanita itu mungkin tertekan selepas mengesyaki dia ada perempuan simpanan.
Kini, katanya, dia memaafkan Wing dan hubungan keluarga itu semakin rapat. - Agensi
Khamis, Mei 27, 2010
Anak saman emak
2010/05/27
Harian Metro
LONDON: Seorang lelaki menyaman ibunya kerana mendakwa wanita itu gagal menghalang dia dipukul teruk oleh bapanya.
Lelaki berusia 32 tahun itu berkata, ibunya yang kini berusia lewat 60-an tahun juga pernah memukulnya dan menjadi punca dia dipukul bapanya setiap hari kerana mengadu setiap kesalahan yang dilakukannya.
Peguam mangsa, Justin Levinson berkata, sebagai ibu, wanita itu bertanggungjawab melindungi mangsa dan juga empat adiknya daripada dipukul bapa mereka. “Dia tidak boleh membiarkan suaminya memukul mereka dan dia sepatutnya menceraikan lelaki itu,” katanya.
Lelaki dari Durham itu mendakwa dipukul empat kali sehari ketika berusia antara lima hingga 19 tahun. Dia dipukul dengan kayu, tali pinggang, wayar elektrik dan berus kayu hingga berusia 16 tahun dan kemudian dibelasah dan dicekik apabila usianya meningkat.
Saman itu dibuatnya selepas melihat nota hospital menunjukkan ibunya mendakwa dia adalah punca kepada masalah yang dialami keluarganya pada 2007. - Agensi
Rabu, Mei 26, 2010
Wanita Lebanon makin berani bersuara
BUKAN sekali tapi sudah tiga kali Doha mengalami insiden diserang dan diganggu secara seksual oleh pemandu teksi yang dinaikinya pada siang hari.
Mengambil pengajaran daripada kejadian tersebut dia menyertai sekumpulan wanita di Beirut, ibu negara Lebanon, untuk bersuara menentang sebarang bentuk keganasan dan gangguan seksual.
Walaupun secara umumnya isu seksual dianggap tabu oleh masyarakat di negara Arab itu, kumpulan aktivis tersebut meneruskan usaha kempen mereka bagi meningkatkan kesedaran.
Kempen turut membabitkan iklan televisyen yang menunjukkan seorang pekerja bernama Salwa dipanggil masuk ke pejabat bosnya. Apabila dia memasuki pejabat tersebut, bosnya dilihat sedang enak berehat di kerusi sambil menghisap cerut dan melayangkan borang kenaikan pangkat ke arah Salwa.
Salwa dengan gembira mengambil borang tersebut dan pada masa sama bosnya cuba menciumnya. Dengan wajah merah padam menahan marah, Salwa melayangkan beg tangannya ke arah lelaki tersebut sebelum menghempas pintu meninggalkan pejabat tersebut.
"Kami bukan berkhutbah mengenai keganasan. Mesej kami adalah untuk menggalakkan wanita agar mempertahankan diri mereka dan tidak takut dengan stigma masyarakat," kata Leen Hashem dari IndyACT, sebuah pertubuhan buka kerajaan yang menyokong kempen tersebut.
Walaupun Lebanon dianggap sebuah negara yang lebih 'kebaratan' berbanding negara-negara jirannya di dunia Arab, ia tidak mempunyai undang-undang seperti di Barat yang menghukum perbuatan yang dianggap sebagai gangguan seksual seperti kata-kata yang berbaur lucah mahupun sentuhan fizikal.
Hampir setiap hari wanita di negara itu mengalami gangguan seksual sama ada di jalan raya, tempat kerja atau ketika menggunakan pengangkutan awam.
Menurut kajian pada 2007 oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial Lebanon, tiga aduan gangguan seksual dan rogol difailkan di negara itu setiap minggu.
Bagaimana pun aktivis berkata, angka tersebut jauh lebih rendah daripada realiti sebenar.
"Malangnya fenomena ini terus berlarutan dan semakin meningkat.
"Bagi kebanyakan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual, isu tersebut masih tabu di kalangan masyarakat. Jadi slogan kami, Jangan Segan - Bersuaralah. "
Seorang pekerja sosial di Majlis Rakyat Lebanon Menentang Keganasan Keatas Wanita, Raghida Ghamlouch, berkata stigma masyarakat menjadikan mangsa tidak berani untuk bersuara.
"Masyarakat Lebanon masih didominasi oleh lelaki dan kesalahan selalunya diletakkan pada wanita.
"Wanita juga kerap diberi mesej yang salah. Mereka diberitahu bahawa adalah salah menahan teksi di jalan raya, atau berpakaian tertentu, atau jika mereka balik lambat dan sebagainya.
"Bagi wanita dewasa pula senarionya lebih teruk. Mereka dituduh dengan sengaja menggoda lelaki," katanya.
Satu lagi faktor yang menyebabkan mangsa-mangsa keganasan seksual lebih suka berdiam diri ialah, undang-undang yang tidak adil di mana gangguan seksual tidak dianggap sebagai perbuatan jenayah.
Malah perogol yang didapati bersalah boleh terlepas hukuman jika dia bersetuju untuk berkahwin dengan mangsa.
"Polis sendiri kerap mencemuh dan memperolok-olokan wanita yang datang ke balai polis untuk memfailkan aduan mengenai gangguan seksual atau keganasan domestik," kata Leena.
Sementara itu Raghida memberitahu, pihak berkuasa Lebanon masih tidak dapat memahami bahawa mangsa-mangsa ini takut nyawa mereka terancam dan kadang kala terpaksa mendapatkan rawatan psikologi untuk mengatasi trauma yang dihadapi.
"Mangsa biasanya akan mengalah dan berputus asa kerana mereka sedar walau apa juga yang mereka lakukan akhirnya mereka juga yang menjadi mangsa," katanya.
Pendapat tersebut diakui oleh seorang mangsa, Joy, 18 yang sehingga sekarang masih terbayang bagaimana seorang pemandu teksi mencabulnya dengan menyentuh alat sulitnya.
"Saya menjerit dan menangis tetapi dia tetap tidak peduli. Saya terpaksa melompat dari kereta. Sampai sekarang terasa sakitnya. Mereka yang melakukan keganasan ke atas wanita harus masuk penjara," katanya.
Sementara itu kempen yang dilancarkan oleh kumpulan aktivis wanita tersebut semakin menampakkan hasil.
Begitupun, mereka menggesa banyak lagi langkah perlu diambil bagi memastikan mangsa berasa selamat untuk bersuara dan mengambil tindakan.
"Jika aduan meningkat, mungkin pada waktu itu pihak berkuasa tidak boleh mengabaikan begitu saja. Mungkin waktu itu baru mereka nampak masalah sebenar," kata Leena.
Lelaki sengsara punca perkahwinan bahagia
2010/05/26
FRANKFURT: Satu penyelidikan di Jerman menunjukkan rahsia perkahwinan bahagia bagi lelaki ialah dengan hidup dalam kesengsaraan. Kajian membabitkan beribu-ribu pasangan di Britain, Jerman dan Australia mendapati, semakin gembira kehidupan suami berbanding isteri, semakin mudah mereka bercerai.
“Lelaki perlu hidup dalam keadaan kurang gembira jika mahu bahagia dengan isteri, tetapi kebiasaannya, isteri yang mulakan prosiding cerai,” lapor kajian itu. – Agensi
Ahad, November 22, 2009
Krim kecantikan jadikan wanita lebih tua
KYOTO - Penyelidik Jepun mendapati wanita yang memakai produk kosmetik untuk antipenuaan sebenarnya mempercepatkan lagi kulit menjadi tua, lapor sebuah akhbar semalam.
Penemuan itu hasil kajian saintis di Universiti Perubatan Kyoto Prefectural yang dibiayai oleh sebuah syarikat. Penyelidik menjelaskan, proses penuaan itu diakibatkan oleh bahan-bahan pengawet yang digunakan dalam kosmetik tersebut.
Mereka malah mendapati secara purata wanita lazim melakukan solekan rutin dengan menggunakan sejumlah 515 bahan kimia sintetik berbeza pada tubuh mereka setiap hari.
Kebanyakan produk di pasaran didapati berasaskan kepada bahan pembersih kediaman yang boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti alahan dan kulit sensitif.
Ia juga menyebabkan gangguan hormon, kesuburan dan barah manakala bahan paraben seperti Methylparaben mudah menjadi toksik apabila didedah kepada sinaran matahari.
Bahan popular ini yang digunakan sebagai pengawet dapat ditemui di dalam lebih 16,000 produk termasuk syampu, gel rambut, losyen badan, pelembap dan ubat gigi. - Agensi
Ahad, September 06, 2009
Angkara internet
IA sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka. Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada seorang Islam menjadi murtad.
Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan lari dari rumah.
Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di laman sembang popular, Facebook. Rifqa kini tinggal di rumah keluarga angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung nasib dirinya, selesai.
Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh berkenaan.
Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa 'perang suci' Kristian-Islam semakin ketara.
Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang tidak mudah melatah dengan kejadian itu. Bayangkan keadaan yang pasti lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta tuduhan jenayah culik.
Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’ biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti bagi menyokong dakwaan itu.
Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook, manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di sekolahnya.
Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan Rifqa murtad dan lari dari rumahnya. Jika tidak, mana mungkin remaja yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah Blake.
Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka. Belum pun reda kejutan itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya mendekati Kristian.
“Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan pihak ketiga.
Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada mematuhi peraturan sebenar Islam.
“Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang menyangkal tuduhan anaknya.
Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu pun bapanya bukanlah jenis zalim. Buktinya, Rifqa selama ini bebas melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga alim.
Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya? Tanpa rasa takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.
“Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan media.
Sabtu, September 05, 2009
Bekas khas kutip bayi dibuang
JOHANNESBURG - Sebuah rumah kebajikan di sini, Afrika Selatan mempunyai cara tersendiri bagi mengambil bayi yang dibuang oleh ibu bapa yang menghadapi kesan krisis ekonomi, lapor sebuah akhbar semalam.
Lubang yang diperbuat daripada logam itu dikenali sebagai Baby Bin memberi harapan baru kepada keluarga miskin yang berhubung nasib masa depan bayi mereka.
Pengurus pertubuhan kebajikan yang dikenali sebagai Door of Hope, Kate Allen, 34, yang mengurus Baby Bin berkata: "Adalah mengejutkan apabila melihat kesan kemelesetan ekonomi. Terdapat terlalu sedikit golongan kaya yang menawarkan kerja kepada penduduk miskin Afrika Selatan."
Bilangan bayi dibuang di Afrika Selatan kini meningkat daripada lima orang sebulan pada tiga tahun lalu kepada 15 orang setiap bulan.
Kebanyakan bayi itu tidak cukup zat makanan dan dibuang pada waktu malam. - Agensi
Jumaat, September 04, 2009
Wanita berkuasa di dunia
Sumber : Utusan Malaysia
Oleh Hafizahril Hamid
|
|
PADA 20 Ogos lepas majalah kewangan terkemuka, Forbes mengeluarkan senarai 100 wanita paling berkuasa di dunia. Menariknya walaupun wanita yang terpilih ini dikatakan sangat berkuasa dan berpengaruh dari 100 mereka yang tersenarai hanya 18 dari mereka terlibat dalam politik. Dari senarai tersebut juga dua wanita yang terpilih merupakan dari golongan bangsawan iaitu Ratu Elizabeth II yang menduduki tempat ke-42 dan Ratu Rania dari Jordan yang berada di kedudukan ke-76. Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama turut tersenarai buat pertama kali pada tahun ini.
Walaupun Michelle merupakan orang yang paling dekat dengan Presiden AS, Barack Obama, namun beliau hanya mampu berada di tangga ke-40.
Selebihnya wanita-wanita berkuasa ini menduduki hierarki tertinggi dalam dunia korporat. Keupayaan para wanita ini sememangnya membanggakan walaupun dari segi kedudukan dan pengaruh politik mereka mungkin dilihat agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum Adam. Namun kejayaan mereka mentadbir dan mengurus syarikat-syarikat terkemuka dunia telah membuktikan bahawa tangan yang mengayun buaian turut mampu menggoncang dunia.
Kesemua wanita ini bertanggung jawab mengawal wang tunai berjumlah AS$26 trilion (RM93 trilion ) di seluruh dunia. Namun begitu kegawatan ekonomi yang melanda dunia turut sama menjejaskan kedudukan wanita yang tersenarai tahun lepas sehingga ada di antara mereka yang disingkirkan dari jawatan yang dipegang. Antara mereka ialah bekas presiden syarikat bermasalah Alcatel Lucent, Patricia Russo dan bekas Presiden Morgan Stanley, Zoe Cruz.
Menduduki tangga pertama, Canselor Jerman, Angela Merkel kekal wanita paling berkuasa di dunia bagi tahun keempat berturut-turut selepas majalah tersebut menonjolkan peranannya sebagai pemimpin negara ekonomi keempat termaju di dunia. Beliau yang akan berhadapan dengan pilihan raya pada September ini dijangka akan terus mempertahan jawatan itu berikutan keupayaannya memimpin Jerman mengharungi kemelut ekonomi dunia.
Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hanya menduduki tempat yang ke-36, satu kedudukan yang dilihat agak terkebelakang berbanding jawatan dan pengalaman beliau. Clinton jatuh dari tangga 28 pada tahun lepas semasa beliau hampir memenangi pencalonan Presiden AS bagi Parti Demokratik ke tangga 36 pada tahun ini, meskipun mengetuai Jabatan Negara AS yang paling berpengaruh. Malah ada yang mempertikaikan pemilihan senarai 100 wanita berkuasa ini kerana Hillary sewajarnya menduduki tempat yang lebih baik.
Antara wanita yang terlibat dalam politik dan menempatkan diri dalam senarai ini ialah Presiden Argentina, Cristina Fernandez yang menduduki tempat ke-11, Presiden Parti Kongres Kebangsaan India, Sonia Gandhi tempat ke-13, Menteri Ekonomi, Kewangan dan Pekerjaan Perancis, Christine Legarde tempat ke-17 dan Presiden Chile yang menduduki tempat ke-22, Michelle Bachelet.
pemimpin wanita
Nama-nama lain ialah seperti Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo yang menduduki tempat ke-44, Yulia Tymoshenko yang juga Perdana Menteri Ukraine, tempat ke-47, Presiden Liberia, Ellen Johnson-Sirleaf tempat k- 67, Mary McAleese yang juga Presiden Ireland, Perdana Menteri Iceland, Johanna Sigurdardottir tempat ke-75 dan Perdana Menteri Bangladesh Hasina Wajed yang menduduki tempat ke-79. Satu-satunya pemimpin wanita dari dunia Arab yang tersenarai dan menduduki tempat ke-95 ialah Menteri Ekonomi UAE, Sheikha Lubna Al Qasimi.
Bagi wanita yang menduduki tempat tertinggi dalam senarai wanita berkuasa dari dunia korporat, tempat kedua dalam senarai ini diungguli oleh Sheila Bair yang juga pengerusi Federal Deposit Insurance Corp. Syarikat ini yang bertanggungjawab menginsurankan bank-bank di AS yang kini masih belum selamat dari kemelut kegawatan ekonomi.
Wanita seterusnya adalah seorang yang menarik untuk diperkatakan. Beliau merupakan wanita berusia 53 tahun dan dilahirkan di daerah Chennai dalam Tamil Nadu, India. Beliau turut mendapat pendidikan Madras Christian College di Calcutta sebelum melanjutkan pelajaran di
Yale School of Management. Beliau yang dimaksudkan ialah Indra Krishnamurthy Nooyi atau lebih dikenali sebagai Indra Nooyi yang kini memegang jawatan sebagai
Ketua Pegawai Eksekutif di PepsiCo, sebuah syarikat terkemuka dunia dalam bidang makanan dan minuman.
Beliau yang memegang jawatan itu sejak dari 2006 dibayar gaji sebanyak AS$6,230,366 (RM 22.3 juta) setahun. Nooyi sememangnya telah tersenarai antara wanita berkuasa dunia sejak memegang jawatan tertinggi di PepsiCo sejak 2006.
Cynthia Carroll, Ketua Eksekutif syarikat Anglo American yang juga antara syarikat perlombongan terbesar di dunia menduduki tempat keempat dalam senarai tersebut tahun ini.
Syarikat tersebut yang mempunyai pegangan besar dalam pelbagai syarikat perlombongan sama ada emas, berlian mahu pun besi dan kuprum seperti DeBeers, MMX Minas-Rio dan AngloGold Ashanti.
Pengalaman selama 17 tahun dalam bidang perlombongan dan industri minyak dan gas telah menjadikan beliau antara pemimpin yang dihormati dalam industri tersebut.
Tempat kelima senarai tersebut pula diduduki oleh Ho Ching yang juga ketua eksekutif di syarikat pelaburan Temasek Holdings yang dimiliki oleh kerajaan Singapura. Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Beliau pernah mengumumkan untuk berundur dari syarikat yang memiliki aset melebihi AS$100 bilion pada 6 Februari 2009 dan digantikan dengan Charles "Chip" W. Goodyear. Namun pada 21 Julai beliau kekal dengan jawatan tersebut setelah Goodyear berhadapan masalah dengan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Dalam memperkatakan tentang kedudukan wanita, sesungguhnya dunia harus mengakui bahawa kedudukan wanita kini semakin baik berbanding zaman sebelumnya. Di Malaysia. bersesuaian dengan peredaran zaman kedudukan wanita juga semakin baik dalam pelbagai bidang sama ada politik mahupun ekonomi dengan menjawat pelbagai jawatan yang satu ketika dimonopoli oleh lelaki.
Namun begitu kita tidak seharusnya terlalu terikut-ikut dan terpengaruh dengan kehendak Barat yang seboleh-bolehnya mahu kita mengikut rentak mereka dalam semua perkara dari politik mahupun cara kita berpakaian. Kita telah dididik supaya berbangga dengan cara dan acuan kita yang tersendiri. Inilah perkara yang membezakan kita dengan nilai-nilai Asia dan ketimuran yang jauh berbeza dengan mereka di Barat. Janganlah hanya kerana perkara remeh seperti ugutan media Barat dalam isu rotan baru-bari ini kita perlu berasa takut dan terikut-ikut dengan kehendak mereka. Walau apa pun, kedudukan dan peranan wanita di negara ini masih banyak yang perlu dipertingkatkan dan adalah diharapkan supaya satu hari nanti nama wanita Malaysia mampu menjadi pegawai tertinggi syarikat ternama dunia seperti yang dilalui oleh CEO PepsiCo, Indra Noir. Pastinya dengan kedudukan sebegini hebat ia mampu membuka mata seluruh dunia terhadap keupayaan wanita negara ini sekali gus melayakkan mereka menduduki senarai antara wanita berkuasa dunia.
Orang Eropah berubah wajah kerana makanan
Sumber : Utusan Malaysia
|
|
Penduduk Eropah yang telah mengubah tabiat pemakanan mereka 5,500 tahun dahulu kerana masalah kekurangan makanan telah menyebabkan muka mereka menjadi pucat sehingga ke hari ini.
Ahli-ahli saintis percaya, perubahan wajah tersebut berpunca daripada kekurangan makanan ketika mereka berkebun di ladang sehingga menyebabkan kekurangan vitamin D serta menyebabkan perubahan tona warna pada kulit.
Semasa berkebun di ladang, mereka juga terdedah dengan pancaran sinaran matahari menyebabkan kulit bertambah gelap. Faktor makanan yang tidak betul dan kekurangan zat menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.
Ahli-ahli sains di Universiti di Oslo percaya bahawa perubahan dalam cara pemakanan yang betul dengan cara lebih mementing makanan yang kaya dengan vitamin D akan menjadikan kulit seseorang itu semakin cerah dan mempunyai tona muka lebih sekata.
Penyelidikan telah membuktikan susu dan beberapa makanan lain seperti ikan berlemak adalah diperkuatkan dengan vitamin D tetapi kebanyakan orang mendapat sangat sedikit melalui pemakanan mereka.
Kekurangan Vitamin D juga boleh membawa kepada masalah lain seperti mudah mendapat kanser, masalah tulang, kencing manis dan sklerosis.
Isnin, Julai 27, 2009
Ibu bayi kepala dua pernah bermimpi

JAKARTA - Ibu bayi dua kepala di Riau, Indonesia pernah bermimpi dia akan melahirkan anak dengan dua kepala, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut suami ibu itu, Badrun, isterinya bermimpi akan melahirkan anak dua kepala ketika kandungannya belum genap tujuh bulan.
Dalam mimpinya itu, anak itu memeluk bapanya tanpa menyebut sepatah perkataan pun.
"Ternyata mimpi itu menjadi nyata," kata bapa anak tersebut.
Bayi berkepala dua itu dilahirkan oleh Nurhayati yang berumur 23 tahun di sebuah hospital di Pekanbaru menerusi pembedahan pada Khamis lalu.
Selepas dilahirkan, bayi lelaki itu mempunyai dua kepala, satu badan, dua tangan, dua kaki, satu ginjal, satu jantung, dua paru-paru, satu lubang dubur manakala beratnya ialah 3,200 gram. Agensi
Jumaat, Julai 24, 2009
Pelajar bunuh 2 wanita untuk kajian
Menurut polis, wanita yang berumur 24 tahun itu mengaku melakukan perbuatan tersebut.
Dia menggunakan sebilah kapak dan memerhatikan dengan teliti detik-detik terakhir wanita itu meninggal dunia.
Mangsa pertamanya ialah seorang jirannya iaitu Olga Stepushenko yang berumur 85 tahun.
"Saya mengambil sebilah kapak dan menetak di kepalanya beberapa kali. Apabila dia rebah, saya duduk di sebelahnya dan menunggu sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir," kata Tatyana.
Empat hari selepas membunuh wanita itu, dia membunuh seorang jiran Stepushenko iaitu Zoya Karpova juga dengan menggunakan kapak.
Dia kemudian mengkaji proses pereputan mayat kedua-dua wanita itu.
Tatyana ditangkap oleh polis selepas jiran-jirannya memberitahu dia pernah menemui kedua-dua mangsa. - Agensi
Bidaan dara Duenos lebih RM11 juta
Duenos menjual dara itu dengan tujuan untuk mencari wang bagi membiayai rawatan perubatan ibunya yang menghidap penyakit Alzheimer.
Gadis itu yang kini menetap di Valencia, Sepanyol akan menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membiayai pengajiannya dalam bidang perubatan.
Duenos akan menyiarkan dokumen perubatan bagi membuktikan dia masih dara.
Wanita itu berkata, pendapatannya sebagai seorang pembersih rumah di sini tidak dapat membantunya untuk menyimpan wang bagi membiayai rawatan ibunya.
Duenos memberitahu, dia membaca iklan beberapa gadis lain yang menawarkan dara menyebabkan dia mahu melakukan perbuatan sama.
"Ia bukannya keputusan yang mudah untuk dibuat kerana tidak terlintas dalam pemikiran bahawa saya akan bersama dengan orang yang tidak dikenali pada malam pertama saya," katanya.
Bagaimanapun, dia menolak satu bidaan yang mencecah lebih £2 juta kerana pembida tersebut mahu melakukan hubungan seks dengan kerap sedangkan daranya itu ditawarkan untuk satu malam sahaja. - Agensi