#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Nafkah Anak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nafkah Anak. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 11, 2011

Lupa nafkah anak setelah bercerai

Rengekan Sarah (bukan nama sebenar) itu sebenarnya yang membuatkan Farid (bukan nama sebenar) cair sehingga dia sanggup memberi apa sahaja yang diminta oleh kekasihnya itu.

Lagipun Farid sudah bebas sekarang kerana telah sah bercerai. Kini tiada ada sesiapa lagi yang boleh menghalang hubungannya dengan gadis bertubuh seksi itu.

Farid juga sering tersenyum sendirian ketika mengenang semula percutiannya bersama dengan Sarah di kota Paris kerana disitulah impiannya selama ini telah dikotakan.

Beliau tidak kisah berhabis duit untuk membelikan hadiah barangan berjenama yang mahal asalkan dapat 'membeli' buah hatinya itu.

Paling penting pada Farid pelaburannya itu adalah untuk langkah seterusnya supaya pancing akan mudah menggena.

Tekaannya tepat kerana Sarah bukan sahaja tidak perlu dipaksa sebaliknya gadis bermata kuyu itu merelakan sahaja asalkan Farid dapat melepas apa yang dihajat selama ini.

Farid puas kerana dengan wang dia berjaya menundukkan Sarah yang digilainya sekian lama ini. Tetapi pada masa sama dia tidak sedar sudah sekian lama mengabaikan bayaran nafkah ke atas tiga anaknya selepas bercerai dengan Nabila (bukan nama sebenar).

Itu semua gara-gara berjoli sakan untuk Sarah sehingga sudah beberapa kali beliau menerima surat amaran dari mahkamah.

Kisah suami enggan membayar nafkah anak dengan memberikan pelbagai alasan sebenarnya sudah lama berlaku di dalam masyarakat.

Kes ini juga telah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Mengikut fakta kes, pemiutang penghakiman (bekas isteri) memohon mahkamah untuk mengarahkan bekas suami membayar RM29,050 bagi nafkah anak-anak yang tertunggak sejak sekian lama.

Bekas isteri mendakwa bekas suami telah gagal melaksanakan bayaran nafkah anak-anak RM2,000 sebulan seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.

Selain itu bekas isteri juga memohon kos tuntutan itu sebanyak RM5,000 ditanggung oleh bekas suami.

Bagaimanapun bekas suami tersebut memberi alasan tidak mampu membayar nafkah anak-anak kerana telah diisytiharkan muflis atau bankrap oleh Mahkamah Tinggi.

Wan Mahyuddin kemudiannya memutuskan supaya permohonan bekas isteri diluluskan dan memerintahkan bekas suami membayar RM 29,050 secara ansuran sehingga selesai.

Jelas Wan Mahyuddin, ia perlu dilakukan dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bekas isteri sebagai wakil kepada anak-anak sebanyak RM1,000 sebulan selama 29 bulan pada setiap 29 haribulan setiap bulan.

Mahkamah juga memerintahkan bekas suami berkenaan memfailkan dengan segera notis penghakiman berdasarkan peruntukan Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 sekiranya bekas suami gagal membayar RM1,000 sebulan.

Sekiranya bekas suami gagal membayar maka dia boleh dipenjarakan sehingga menjelaskan bayaran hutang nafkah anak-anak yang tertunggak.

Wan Mahyuddin menjelaskan, mahkamah juga mendapati bekas suami dalam keterangannya gagal membela diri dan tiada saksi-saksinya dipanggil bagi mengesahkan bayaran nafkah telah dibuat.

Walaupun bekas suami telah mengemukakan isu muflis tetapi mahkamah tidak menerima alasan itu untuk mengecualikan bayaran nafkah anak-anak berdasarkan rujukan dalam kitab dan hukum syarak.

Ini kerana mahkamah mengambil contoh dalam kes ini jika seseorang itu berhutang dengan bank untuk membeli sebuah kereta dan sekiranya peminjam diisytiharkan muflis tentulah bank akan menarik balik kereta yang dibeli dan akhirnya kereta tersebut akan dilelong oleh pihak bank.

Malang

Oleh itu, seorang yang telah muflis bukannya dikira terlepas dari membayar hutangnya dan sepatutnya harta-harta bekas suami dilelong dan diserahkan kepada bekas isteri.

Juga satu perkara yang malang jika seorang bapa berhutang dan tidak menjaga kebajikan anak-anaknya kerana anak adalah anugerah Allah yang paling bernilai menurut pandangan Islam.

Juga sudah menjadi kewajipan kepada bapa untuk membayar nafkah kepada anak-anaknya.

Malah mahkamah juga berpandangan bekas suami masih mampu membayar hutangnya kerana harta-harta yang dimilikinya tidak dibuktikan telah dijual sepenuhnya walaupun di dalam affidavit bekas suami menyatakan harta-hartanya telah dilupuskan.

Harta-harta itu termasuk harta alih (sebidang tanah kosong, hartanah kosong, kondominium dan rumah) dan harta tak alih (sebuah Toyota Estima, Honda CRV, Suzuki Vitara dan Proton Satria).

Berkenaan dakwaan bekas suami telah membuat beberapa bayaran nafkah anak-anak juga dipertikai mahkamah kerana ia telah dibuat tanpa mengikut perintah mahkamah ataupun tanpa persetujuan bekas isteri terlebih dahulu.

Malah tiada keterangan saksi-saksi diberikan dan qarinah seperti resit bayaran juga tidak diserahkan ke mahkamah semasa bekas suami memberi keterangan.

Walaupun adanya bayaran soalnya adakah bayaran yang pernah dibuat oleh bekas suami mencukupi bagi keperluan semua anak-anak.

Jika sudah mencukupi sudah, pada pandangan mahkamah sudah pasti bekas isteri tidak akan mengambil tindakan ke atasnya.

Jumaat, Ogos 06, 2010

Dendamkan bekas isteri, anak derita

2010/08/06
Harian Metro

RASA ego yang terlalu me­nguasai kebanyakan pasangan bercerai ada kalanya membuatkan mereka mengabaikan pemberian nafkah kepada zuriat sendiri, walhal ia adalah tuntutan agama.

Penjaga sama ada ibu atau bapa yang bertanggungjawab seharusnya melaksanakan tugas sebaiknya kepada anak-anak walaupun dia sudah bercerai dengan pasangan masing-masing. Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, perbuatan mengabaikan tanggungjawab membayar nafkah oleh segelintir pihak kepada anak yang di bawah jagaan bekas isteri dianggap menzalimi zuriat mereka sendiri.

“Konsep perkahwinan harus difahami pasangan yang berkahwin, antaranya mengembangkan zuriat dalam memenuhi kehendak batiniah secara halal.

“Kita harus terima hakikat dalam sesebuah perkahwinan tidak semuanya berakhir de­ngan kebahagiaan. Segelintir pasangan menempuh laluan sukar sehingga berlaku perceraian. Tetapi pasangan seharusnya ada cara hendak membayar nafkah kepada anak-anak kerana dalam undang-undang sudah termaktub cara pembayaran dan perkiraan mengikut kewajarannya. “Jika bimbang wang itu digunakan bekas isteri, mungkin cara terbaik adalah memasukkan wang itu ke dalam akaun anak-anak atau menghulurkan sendiri kepada mereka.

“Lebih baik lagi, cuba selesaikan segala masalah berkaitan anak seperti membayar yuran dan keperluan sekolah anak-anak kerana tanggungjawab itu boleh dilakukan secara berhemah.

“Jika itu dapat dilakukan sebaiknya oleh si bapa, tidak timbul soal bekas isteri menuntut nafkah yang tertangguh sehingga ia memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Beliau yang juga perunding motivasi untuk pelajar dan kekeluargaan, menyelar sikap segelintir lelaki yang liat membayar nafkah sehingga tertunggak sekian banyak dan memakan masa bertahun-tahun sehing­ga mangsa (terutama anak di bawah jagaan bekas isteri) terabai. Keadaan itu katanya, membuatkan anak marah, dendam atau kecewa dengan sikap bapanya dan tidak mustahil apabila membesar kelak, dia akan membenci bapanya itu.

Beliau juga tidak menafikan terdapat sesetengah bekas suami agak berada dengan pendapatan lumayan setiap bulan tetapi setiap kali kes disebut di mahkamah, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena kerana gagal menunaikan tanggungjawab terhadap anaknya.

“Jika bencikan bekas isteri atau berdendam dengannya berikutan perceraian, anak tidak seharusnya dijadikan mangsa. “Nafkah itu adalah hak anak kerana mungkin dia di bawah jagaan si ibu dan akibat perpisahan itu, si ayah tidak dapat bersama-sama menjaga anak. Jika haknya sudah diseleweng­kan si bapa atas perkara yang dinyatakan, si ayah itu sebenarnya berdosa.

“Sebagai ayah, dia kena ingat kerana jika itu yang dilakukan dengan niat yang tidak baik iaitu untuk membalas dendam atau rasa sakit hati, sekiranya si anak berdoa dan doanya dianggap sebagai doa daripada orang teraniaya. “Allah maha mendengar doa orang teraniaya dan akan dimakbulkan. Oleh itu, pesanan kepada si ayah, usah berdendam kerana dendam yang berterusan memberikan akibat yang tidak baik,” katanya.

Melihat rentetan kes bertahun-tahun di mahkamah, beliau mengakui keadaan itu turut menjejaskan prestasi si anak dalam pelajaran sehing­ga mencetuskan gejala sosial lain.

Bagi mengelak hal itu berlaku, beliau menasihatkan supaya orang ketiga harus dijadikan ‘perantara’ penting dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Cara terbaik dengan menggunakan khidmat nasihat ibu bapa sendiri atau bekas ibu bapa mentua serta ipar duai campur tangan dan berbincang sebaiknya dengan cara berhikmah. “Jalan terbaik harus difikirkan kerana rujukan dan rasa hormat terhadap ibu dan bapa atau keluarga masing-masing membantu untuk menangani masalah itu sebaiknya.

“Apapun masalah yang melanda, apa yang terpenting adalah kesedaran si ayah itu sendiri kerana jika dia berpegang kepada prinsip anak adalah amanah, dia harus menunaikan tanggungjawab atau amanah itu sebaiknya. “Dia juga bertanggungjawab memberi kasih sayang selain memastikan keperluan anak-anak dipenuhi demi kelangsu­ngan hidup serta masa depan mereka,” katanya.

Dr Tengku Asmadi turut menyarankan supaya pasangan yang bercerai tidak menanamkan rasa benci yang keterlaluan sehingga mengganggu perkembangan mental dan fizikal anak-anak dengan merendahkan tahap ego masing-masing.

6 tahun berjuang tuntut nafkah

Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
2010/08/06


HASLINDA Muhammad (bukan nama sebenar) merasakan diri tidak bertuah dalam hidup berumah tangga apabila terpaksa turun naik mahkamah hampir tujuh tahun, semata-mata menuntut nafkah buat satu-satunya puteri tercinta.

Dia hanya mampu bahagia dengan suami ketika menikmati usia perkahwinan hanya setahun. Selebihnya, dia hanya menanggung kedukaan berpanjangan sehingga memaksanya bertindak bijak supaya tidak terus bersedih.

“Pada mulanya, perkahwinan kami dirahsiakan kerana sebagai isteri kedua, kebenaran untuk berkahwin lagi di pihak madu saya agak sukar diperoleh. Untuk itu, kami terpaksa bernikah di selatan Thailand berwalikan bapa sendiri.

“Pada masa sama, saya berusaha mendaftar di sini dengan harapan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, sekurang-kurangnya ada juga hak,” katanya menceritakan pengalaman awal perkahwinannya dengan pilihan hati pada 2003.

Usia perkahwinan atas rasa cinta seorang penuntut dengan pensyarah itu rupanya terlalu pahit untuk dirungkai. Ini kerana apabila dia dikurniakan cahaya mata perempuan yang ketika itu baru berusia tujuh hari, suaminya terus menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Keperitan ditanggung membesarkan anak sendirian dan surat nikah pula belum diterima. Namun, sesuatu mengajarnya menilai hati budi lelaki yang bergelar suami apabila surat nikah tiba berserta surat cerai sekali gus.

Pengalaman itu benar-benar membuatkan dirinya nekad untuk turun naik mahkamah kerana merasakan lelaki itu juga perlu bertanggungjawab atas kesengsaraan yang ditang­gungnya.

“Sepanjang tempoh enam tahun turun naik mahkamah, banyak masalah terpaksa saya tempuhi. Mulanya menggunakan khidmat percuma Biro Bantuan Guaman tetapi ada saja masalah. “Kadang-kadang hakim bercuti kerana pergi kursus, ada kalanya bekas suami tidak hadir di mahkamah dan tidak menggunakan khidmat peguam.

“Sebenarnya, saya tidak minta banyak perkara. Setelah diceraikan, saya hanya minta hak saya seperti sedikit wang mutaah dan edah untuk saraan anak sebanyak RM200 sebulan.

“Apa yang sedihnya, banyak juga saya terima pesanan ringkas (SMS) daripada bekas madu saya dengan caci maki dan kata-kata kesat. Begitu juga dengan kata-kata suami yang sampai kini berbekas di hati saya. “Kau nak sangat cerai, kau jagalah anak”. “Dari situ, saya nekad untuk terus memperjuangkan hak anak saya ini supaya mendapat pembelaan sewajar­nya,” katanya yang bertugas sebagai pendidik di sebuah sekolah di Kajang, Selangor.

Ketika pertemuan dengan Haslinda, si cilik yang berusia enam tahun lebih itu turut menemaninya dan asyik memerhatikan kami berbual. Sesekali si ibu menitiskan air mata apabila bercerita kisah pedihnya. Si kecil itu, Alya Anta­sya (bukan nama sebenar) pula berlari di sekitar kantin sekolah dengan manjanya. Menceritakan pengalaman sepanjang membesarkan anaknya, dia berkata, bukan sekali Alya bertanyakan me­ngenai ayahnya. “Alya selalu bertanya me­ngenai ayahnya. Dia tidak pernah merasakan kasih sayang si ayah. Pertemuan pertama berlangsung dengan si ayah apabila saya pertama kali membawanya ke mahkamah syariah ketika kes dibaca dan bekas suami saya hadir.

“Sebaik sampai di mahkamah dan perbicaraan belum bermula, saya letakkan anak atas ribaan dia dan bekas suami terkejut melihat anak sudah besar. Saya terharu kerana dia yang banyak bertanya mengenai ayahnya selama ini dan apabila dapat bertemu, kelihatan anak benar-benar dahagakan kasih seorang ayah,” katanya.

Dia akui hanya di mahkamah saja mampu mempertemukan si anak dengan bapa­nya yang membuatkan anaknya berasa si bapa bekerja di mahkamah. Dalam fikiran yang masih kanak-kanak yang mampu terfikir untuk bertemu si bapa, mereka hanya perlu ke mahkamah untuk menanti peluang bertemu bapanya.

Lebih memilukan, gambar bekas suami mendukungnya sewaktu bayi dan sekeping dua gambar bapanya terselit dalam album yang selalu menjadi peneman anaknya ketika tidur.

Katanya, kes yang sering tertangguh akibat pelbagai alasan kadang kala membuat hatinya bosan untuk menuntut sesuatu biarpun ia menjadi haknya.

Melihat keadaan itu, dia akhirnya menggunakan khidmat peguam terkenal dan sanggup membayar ribuan ringgit. Menurutnya, bukan wang yang menjadi buruannya tetapi apa yang penting, dia mahu membuktikan mahkamah menjadi tempat paling adil untuk menilai dan menghukum mereka yang berhak memperoleh hak yang sebenar-benarnya. Si pelaku atau mereka yang alpa dengan tanggungjawab disedarkan daripada lena.

“Tidak dinafikan dalam kes sebegini, memang mahkamah tidak memihak kepada saya. Setelah berhabis duit, penat memanjat mahkamah rendah dan mahkamah tinggi, tiada apa yang saya peroleh setelah hampir tujuh tahun kes berjalan.

“Bagaimana wanita hendak mendapat perlindungan dan haknya kalau begini caranya? Sampai bila-bilapun nasib mereka tidak terbela.

“Walaupun tidak beranggapan anak sebagai beban, bekas suami sepatutnya tahu tanggungjawab terhadap anaknya. Zuriat ini amanah daripada Yang Maha Esa,” katanya dalam nada kesal.

Sebagai suami yang terpelajar, bahkan pensyarah di sebuah universiti swasta tanah air, dia berharap supaya bekas suaminya itu membuka mindanya bahawa penghakiman di akhirat kelak seharusnya lebih ditakuti.

Dia tidak pernah ralat dipertemukan jodoh dengannya tetapi yang amat dikesali sikap dan tanggungjawabnya langsung tiada. Apa yang dipinta bukannya puluhan ribu atau jutaan ringgit tetapi hanya nafkah bulanan dalam membesarkan zuriat tunggalnya itu.

Khamis, Januari 14, 2010

Cerai isteri, kenapa mesti abaikan anak?

Utusan Malaysia

ARKIB : 11/01/2010


MUSIM persekolahan 2010 baru bermula. Tentu ibu bapa merasa lega kerana anak-anak telah kembali ke sekolah setelah hampir dua bulan bercuti. Rungutan sebahagian daripada anak-anak disebabkan tidak cukup kelengkapan untuk ke sekolah, tentunya merunsingkan ibu bapa.

Namun apa daya, itulah yang termampu.

Demikian keluhan seorang ibu tunggal, Azita (bukan nama sebenar), berusia awal 30-an dalam e-melnya kepada saya.

Sedih juga membaca kisah Azita yang ditinggal suami kerana kehadiran orang ketiga yang menyebabkan Azita dan anak-anaknya seramai empat orang tersingkir daripada hidup bekas suami.

Azita mempunyai empat orang anak berusia antara 10 tahun hingga 15 tahun. Salah seorang daripada empat anaknya terpaksa diserahkan kepada abang bekas suaminya.

"Siapa yang hendak berpisah dengan anak kandungnya, tetapi itulah yang terbaik saya lakukan untuk masa depan anak itu kerana dia dipelihara oleh bapa saudaranya sendiri. Saya reda dengan takdir Allah dan berharap dia akan menjadi manusia berguna apabila dewasa nanti," kata Azita memulakan cerita.

Kini yang tinggal bersamanya hanya tiga orang itu pun seorang di utara, seorang di barat, seorang di timur sebab tinggal di asrama.

"Kerana tidak mahu pelajaran mereka tercicir, saya sanggup berpisah daripada mereka, sebab ilmu itu penting untuk masa depan mereka.

"Biarpun berjauhan segala perbelanjaan mereka saya tanggung dengan wang gaji saya setiap bulan. Nama sahaja ada bapa tetapi tidak bertanggungjawab langsung terhadap anak-anak.

"Bukan dia tidak tahu setiap awal tahun anak-anak perlukan wang ringgit untuk naik sekolah, ini tidak, buat macam orang bujang.

"Pernah anak-anak telefon minta duit, jawapannya, mana abah ada duit? Ini kah jawapan yang diberikan oleh seorang bapa? Apa dia lupa akan tanggungjawabnya? Apa dia ingat yang menelefon minta duit itu anak patung atau robot?

"Memang saya tahu dia tidak ada duit sebab dia tidak bekerja. Semua orang ada masalah dengan duit. Tetapi sebagai bapa tidak bolehkah dia berusaha untuk mencari duit bagi perbelanjaan anak-anaknya itu? Sekurang-kurangnya cari kerja untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak yang saya pelihara.

"Ini tidak, ceraikan isteri, buang dengan anak-anak sekali….makan ke anak, sekolah ke tidak, ada mereka peduli?

"Memang lelaki sekarang tidak ada perasaan kasih sayang kepada anak-anak mereka yang di pelihara oleh bekas isteri. Yang dia orang tahu, nikah, lepas dapat anak tinggal begitu sahaja, yang kena pikul isteri juga.

"Bukan setakat persekolahan, apabila musim hari raya begitu juga, tidak pernah hendak ambil tahu satu perkara pun tentang anak-anak.

"Pernah satu ketika apabila fikiran runsing, saya seperti mahu tinggalkan sahaja anak-anak dan buat haluan sendiri, tapi hati ibu, mana tergamak, mulut saja cakap, hati berkata tidak.

"Susah macam mana sekalipun anak tetap anak… kena jaga dan bagi pendidikan. Masa depan mereka yang penting.

"Saya juga sudah bosan hendak lalui semua ini, hendak menuntut di Mahkamah Syariah apa yang dapat? Naik turun beratus kali pun, bekas suami tetapi macam itu, mahkamah juga tidak dapat berbuat apa-apa apa lagi jika bekas suami tidak bertanggungjawab ini tidak bekerja.

"Yang rugi kita, bekas isteri, yang penat pun kita. Sudah duit ringgit habis buat tambang, masa juga terbuang, kes macam itu juga tidak ada kesan apa pun kepada bekas suami, sebab yang merana adalah bekas isteri dan anak-anak.

"Mereka tetap bahagia bersama isteri baru. Tambahan pula jika dapat kereta… hidup senang sebab isteri baru boleh tanggung. Ke hulu ke hilir dengan isteri baru macam baru pertama kali kahwin, tidak ada tanggungjawab.

"Saya hairan macam mana bekas suami tidak boleh berfikir dan tidak ada perasaan kasihan kepada anak-anak yang ditinggalkan. Lelaki dan bapa jenis apa mereka itu?

"Saya berdoa agar satu hari bekas suami yang perangai macam ini akan sedar akan kesilapan mereka dan insaf dengan perbuatan itu. Doa saya juga semoga anak-anak berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan soleh dan solehah.

"Saya berharap saya diberi kesihatan yang baik, kekuatan dan kesabaran untuk menangani kesempitan hidup ini selagi hayat di kandung badan. Insya-Allah," demikian Azita menamatkan ceritanya.

Kisah Azita bukan cerita baru yang pernah saya siarkan, ia kini menjadi satu virus yang semakin merebak di dalam kehidupan masyarakat kita.

Begitu juga kisah bekas isteri naik turun mahkamah kerana masalah nafkah anak semakin berleluasa. Setakat ini belum ada satu cara konkrit untuk menanganinya dan 'memaksa' bekas suami bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka yang dipelihara bekas isteri.

Saya puji sikap Anita yang tidak mahu bersandarkan kesempitan hidupnya dengan hanya naik turun mahkamah tetapi tidak ada jalan penyelesaian.

Hidup perlu diteruskan, masa depan anak-anak perlu dijana, itulah tindakan bijak Azita. Semoga apa yang diharapnya akan menjadi kenyataan. Anda patut menjadi ibu contoh.

Menutup kata, pesanan saya buat Azita, kita harus menjadi wanita yang hebat, perkasa, tabah dan bijaksana dalam menangani masalah. Ibaratnya seperti pokok mawar yang baru ditanam, jika tidak berbunga ia pasti akan terus tumbuh dan segar.

Salam

Jumaat, Julai 31, 2009

Anak tuntut nafkah

Soalan:
IBU bapa saya telah berpisah sejak setahun lalu. Sejak berpisah, bapa tidak pernah mempedulikan tentang anak-anaknya.


Ibu terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan rumah dan persekolahan kami adik-beradik.

Setahu saya, walaupun ibu dan ayah telah bercerai tetapi tanggungjawab ayah untuk memberi nafkah kepada kami adik-beradik tidak terhenti. Bolehkah SIS jelaskan dengan lebih lanjut.

Anak terbiar,
Kg. Baru KL.

Jawapan:
Pertalian darah antara anak dan bapa tidak terputus meskipun sesuatu perkahwinan itu telah berakhir. Bapa tetap perlu menjalankan tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada anak-anak sehingga tamat pengajian peringkat tertinggi dan mampu berdikari.

Sesungguhnya kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak merupakan perkara yang jelas dan dinyatakan dalam perundangan Islam di Malaysia dan juga hukum syarak.

Kita boleh lihat kewajipan bapa memberi nafkah dengan merujuk kepada surah al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud, "…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil…"

Berdasarkan ayat inilah maka Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan seksyen 72 yang menyatakan bahawa adalah kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak, tidak kira sama ada anak-anak itu di bawah jagaannya atau orang lain. Seksyen ini juga menyatakan bapa perlu menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran atau sebagai gantinya, kos kepada perkara-perkara tersebut.

Manakala Seksyen 59(1) mentafsirkan nafkah sebagai "…tempat tinggal, pakaian, makanan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya."

Dalam menentukan kemampuan bapa pula, antara faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah ialah pendapatan dan tanggungan lain bapa dan sebagainya.

Kita boleh merujuk kepada kes Mohamed lawan Selamah (1980) 2 JH 95, di mana ibu telah memohon nafkah anak-anak yang berusia 13 dan 9 tahun sebanyak RM90 sebulan bagi kedua-dua anaknya. Bapa menyatakan bahawa pendapatan beliau ialah RM120 sebulan. Mahkamah juga telah mendapati bahawa bapa tidak mempunyai tanggungan lain dan tinggal bersama ibubapanya yang menjaga makan minum bapa ini. Mahkamah telah memutuskan bahawa bapa membayar RM70 sebulan sebagai nafkah anak-anaknya. Ini merupakan 58 peratus daripada pendapatan bulanan bapa.

Alasan bahawa bapa tidak bekerja tidak boleh digunakan bagi mengelak pembayaran nafkah.

Nafkah merupakan hak seorang anak dan ia mestilah ditunaikan. Anak tidak boleh "dihukum" dengan mengurangkan nafkahnya apabila terjadi perceraian. Ini tidak adil bagi anak tersebut. Bapa haruslah berusaha untuk memberi yang terbaik kepada anaknya termasuklah jumlah nafkah yang adil.

Sesuatu kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh mahkamah tidaklah kekal dan boleh diubah. Ia boleh diubah mengikut kemampuan bapa dan anak-anak. Nafkah anak yang masih kecil tentunya tidak sama jika anak tersebut telah bersekolah. Justeru itu Seksyen 62 Enakmen menyatakan bahawa Mahkamah berkuasa untuk mengubah sesuatu perintah pembayaran nafkah jika sesuatu perubahan telah berlaku.

Oleh itu jelaslah di sini bahawa bapa wajib memberi nafkah kepada anak-anaknya walaupun telah berlaku perceraian.


Sumber : Utusan Malaysia


Isnin, Jun 15, 2009

Naik turun mahkamah hanya kerana RM50

RAMAI bekas isteri mengharapkan bekas suami akan lebih prihatin dalam menjaga kebajikan anak-anak mereka selepas berlaku perceraian.

Namun harapan hanya tinggal harapan. Keadaan akan menjadi sebaliknya apabila mereka tidak lagi hidup bersama terutama apabila masing-masing telah mendirikan rumah tangga dan mempunya keluarga baru.

"Jika semua lelaki yang bercerai berfikiran terbuka dan memenuhi tanggungjawab mereka, tidaklah ibu-ibu tunggal naik turun mahkamah dan menebal muka untuk mendapatkan hak anak-anak," demikian mukadimah Delima (bukan nama sebenar) kepada saya.

Delima berusia awal 40-an telah lima belas tahun mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang dicintai sepenuh jiwa raga.

Sayangnya perkahwinan mereka bahagia hanya sementara apabila hadir orang ketiga yang menggugat kebahagiaan rumah tangga.

Mereka dikurniakan empat orang anak berusia antara lapan hingga 15 tahun yang kesemuanya masih bersekolah.

Kepada saya, Delima meluahkan perasaannya terpaksa naik turun mahkamah hanya untuk mendapatkan nafkah RM50 seorang untuk anak-anaknya.

Bukan setakat sakit hati, sokongan suami dalam menyelesaikan perkara ini juga dingin. Malah dia langsung tidak mengambil berat dan menyifatkan tuntutan tersebut tidak penting kepadanya.

Kita ikuti luahan perasaan Delima untuk dikongsi bersama pembaca.

"Saya bukan berhasrat untuk mengaibkan kaum lelaki tetapi sekadar ingin perkara ini menjadi teladan dan menyedarkan golongan tersebut saja.

"Saya mengharapkan agar kaum bapa yang telah berpisah dengan isteri mereka supaya prihatin dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memberi nafkah kepada anak-anak sejajar dengan kehendak agama.

"Saya merupakan salah seorang bekas isteri yang malang. Perkahwinan kami tidak bertahan lama sebab ada orang ketiga. Kerana tidak mahu pening kepala memikirkan diri dimadu, saya mengambil keputusan berpisah. Empat orang anak tinggal bersama saya sebab bapa mereka tidak mahu menjaga mereka.

"Bayangkan telah berpuluh kali saya naik turun mahkamah sejak bercerai lima tahun lalu. Tak juga selesai, malah semakin sulit kerana suami langsung tidak mahu datang ke mahkamah.

"Bukan banyak pun yang saya tuntut, sekadar RM50 seorang. Jumlahnya hanya RM200, tidak sampai pun juta-juta.

"Tapi macam saya katakan, seksanya Allah sahaja yang tahu.

"Saya terpaksa mengambil cuti, tinggalkan anak-anak sendiri mengurus diri mereka dan habiskan wang untuk tambah minyak dan sebagainya.

"Hasilnya sampai hari ini tak ada. Bukan nak dapat RM50 yang dituntut, dipanggil untuk berbincang atau menyelesaikan kes pun tidak. Sebabnya suami tidak mahu datang untuk selesaikan masalah kami.

"Sedangkan saya telah maklumkan kepadanya tentang hajat saya. Bukan dia tinggal jauh, hanya 30 km dari rumah saya dan anak-anaknya tinggal.

"Tempat kerjanya juga saya tahu tapi tidak ada tindakan diambil terhadapnya walaupun telah macam-macam saya usahakan. Akhirnya kes terbengkalai begitu sahaja.

"Tambah memeritkan saya tidak diberi peluang untuk menjelaskan kesulitan yang saya alami untuk membesarkan anak-anak yang seramai empat orang itu kepada bekas suami.

"Sebaliknya dia menyalahkan saya kerana terlalu pentingkan diri sendiri dan berkira dengan anak-anak.

Alasannya sebab saya bekerja sedangkan dia kini sudah ada anak lain dengan isteri barunya. Patutkah seorang bapa berkata begitu.

"Habis anak yang saya jaga itu anak siapa? Bukankah darah daging dia juga. Dia langsung tidak mahu menerima kenyataan yang anak dia yang saya pelihara empat orang itu perlukan belanja untuk belajar dan hidup mereka.

"Bayangkan bapa jenis apa itu, sanggup ketepikan anak-anak kerana sudah ada isteri baru dan anak baru. Tergamaknya dia berkata begitu.

"Dia juga selalu ungkit duit gaji saya. Apa kena-mengena dia dengan duit gaji saya. Suka hati saya nak buat apa dengan duit saya, kami sudah tidak ada ikatan apa-apa.

"Kata dia saya tidak patut ungkit tentang nafkah anak yang dia tidak beri sebab saya ada kerja dan boleh tanggung mereka.

"Betul saya boleh tanggung, tapi mana tanggungjawab dia sebagai bapa? Mana kasih sayang dia pada anak-anak? Ada dia datang menjenguk dan bertanya khabar anak-anak?

"Masa kami hendak berpisah dulu dia mati-mati tidak mahu jaga anak-anak. Tak apa mengalah, saya yang ambil. Memang saya tidak akan beri kepada dia sebab anak-anak pun tidak mahu.

"Tidak sampai setahun bercerai, dia sudah berkahwin lain dan sekarang ada seorang anak, habis zuriat dia yang empat orang ini, bagaimana?

"Saya pelik dengan orang lelaki zaman sekarang. Kahwin cerai, kahwin cerai, kemudian pasang dua, tiga empat. Kahwin seronok tapi bab nak bagi nafkah anak isteri berkira dan lepas tangan.

"Bagaimanapun saya tidak mengatakan semua lelaki begitu. Ada juga yang baik dan bertanggungjawab tetapi majoritinya macam bekas suami, tidak berhati perut dan lepas tangan.

"Anak-anak langsung tidak mahu berjumpa bapa mereka dengan alasan bapa mereka tidak ambil peduli. Kalau saya suruh telefon mereka tidak mahu. Puas juga saya pujuk tapi mereka enggan. Saya tahu anak-anak terasa hati.

"Mana tidaknya, dengan anak-anak isteri baru dia boleh habiskan wang. Bawa mereka bercuti, membeli-belah dan sebagainya tetapi anak-anak dengan saya langsung dia tak ambil kisah.

"Sehinggakan anak-anak berkata , kalau mama tak cukup duit tak apalah, kami tak payah tuisyen dan pergi kokurikulum di sekolah.

"Tapi saya tidak sampai hati sebab saya mahu mereka juga menikmati zaman sekolah seperti anak orang lain yang tidak bermasalah.

"Saya mahu anak-anak saya mendapat pendidikan sempurna dunia akhirat demi masa depan mereka. Biarlah saya susah asalkan anak-anak gembira.

"Saya berharap bekas suami akan insaf dan melaksanakan tanggungjawabnya terhadap anak-anak dengan baik sebelum dia menutup mata. Kalau di dunia dia terlepas, di akhirat balasannya pasti menanti.

"Sebagai ibu, saya mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak saya . Semoga Allah SWT melindungi mereka di mana sahaja mereka berada,'' Delima menutup cerita.

Itulah risikonya apabila berlaku penceraian. Tapi saya tidak menyalahkan Delima dalam perkara itu kerana semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t

Bagaimanapun saya berharap masalah yang Delima hadapi ini akan segera berakhir bagi dia menikmati hidup baru yang lebih ceria bersama anak-anak yang dikasihi.

Seperti yang saya katakan, tidak semua perkahwinan membawa bahagia demikian juga dengan Delima yang terpaksa menerima hakikat dirinya kini seorang ibu tunggal beranak empat.

Namun saya kagum dengan kekuatan dan ketabahan Delima mengharungi hidup bersama anak-anaknya . Kekuatan inilah yang membantu meringankan masalah yang ditanggung.

Hidup dikelilingi zuriat yang menjadi permata hidup merupakan satu pengorbanan yang tidak ternilai. Mudah-mudahan segala apa yang Delima lakukan akan mendapat ganjaran setimpal

Pada masa yang sama teruskan usaha menuntut hak anak-anak. Walaupun RM50, ia tetap wang yang boleh membantu meringankan beban Delima. Jangan putus asa, setiap usaha pasti ada ganjarannya.

Kepada kaum Adam yang mungkin melupakan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak selepas mempunyai keluarga baru, insaflah, kembali ke pangkal jalan, sedarlah bahawa anak-anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai, ia perlu dijaga dan diberi didikan agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Semoga Delima dan anak-anak bertemu sinar bahagia yang mereka cari dalam perjalanan hidup yang masih panjang ini.

Mengundur diri, pesanan telus saya, hidup adalah ujian yang sering datang silih berganti dan berakhir dengan kebahagiaan walaupun kadang kala datangnya agak terlewat.

Salam.