#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Kes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kes. Papar semua catatan

Rabu, Disember 15, 2010

Temani mayat ibu

Sedih sangat baca kisah ni di Harian Metro hari ni...mengalir air mata...

SIBU: Kasih anak kecil yang tidak mengerti apa sebenarnya berlaku menyebabkan seorang
kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kelaparan dan ditemui tidak bermaya di sisi mayat ibunya yang sudah berulat dipercayai mati akibat dibunuh kira-kira tiga hari lalu di sebuah rumah teres di Jalan Hua Kee, di sini.

Ketika ditemui jam 4.30 petang semalam, kanak-kanak itu duduk tidak bermaya di sisi mayat ibunya yang terlentang di atas tilam dalam bilik tidur dengan kesan kecederaan di badan dan telinga kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan, berkata kanak-kanak berkenaan ditemui anggotanya yang bergegas ke lokasi selepas mendapat laporan pemilik rumah yang didiami wanita berumur 34 tahun itu apabila terhidu bau busuk.

Katanya, pemilik rumah itu pada mulanya ke rumah yang didiami ibu tunggal terbabit untuk
memungut sewa bulanan sebelum curiga apabila panggilannya tidak berjawab sebelum
terhidu bau busuk meloyakan daripada dalam rumah.

“Dia menghubungi polis yang kemudian membuka pintu dan menemui sekujur tubuh dalam keadaan sudah berulat terlentang di atas tilam di dalam bilik tidur.

“Di sisi mayat itu duduk seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan lemah kerana
tidak makan dan minum sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zamani berkata, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat itu, polis percaya wanita terbabit mati sejak tiga hari lalu dan kanak-kanak perempuan itu tetap menemani ibunya.

“Berdasarkan siasatan awal, kami menemui beberapa kesan kecederaan pada kepala dan telinga kanan mangsa dan tidak menolak kemungkinan wanita yang berasal dari Sibu itu mangsa
pembunuhan.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat ke atas mayat bagi mengetahui punca kematian wanita itu,” katanya.

Zamani berkata, kanak-kanak perempuan berkenaan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan
lanjut kerana dipercayai trauma dengan pengalaman yang dilaluinya dan keadaannya
dilaporkan stabil.

“Susulan penemuan mayat mangsa, polis menahan seorang lelaki yang juga bekas suaminya bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sabtu, September 05, 2009

Ibu tak sanggup pulang ke rumah

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Ibu mangsa bunuh membabitkan seorang kanak-kanak tiga tahun yang ditikam bapa saudaranya Selasa lalu masih trauma dengan kejadian menimpa anaknya itu.

Yusnisuhaila Yusoff, 36, yang belum dapat menerima hakikat kematian anak kesayangannya itu sehingga kini tidak boleh pulang ke rumah atau melihat pakaian serta mainan kegemaran anaknya.

Walaupun kejadian itu berlaku di rumah ibunya di Kampung Melayu, dekat sini, Yusnisuhaila belum dapat melupakan peristiwa paling menyayat hati dalam hidupnya.

Suaminya, Rosman Mohd Noor, 41, berkata Yusnisuhaila tidak mampu melihat dua rumah itu yang menjadi kenangan manisnya bersama arwah, Mohd Adam Azrai Rosman.

“Kejadian itu menyebabkan isteri bukan saja tidak mahu duduk di rumah ibunya, tetapi rumah kami sendiri di Kampung Tanah Puteh kerana banyak pakaian dan mainan baru dibeli untuk mangsa.

“Selepas kejadian, kami terpaksa berkumpul dan tinggal sementara di rumah datuk di Kampung Lembaga kerana masih trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, alat permainan di rumah mereka mengimbau detik paling menggembirakan dengan arwah yang sudah pandai bercakap dan meminta sesuatu.

“Permainan itu menjadi kegemaran arwah Mohd Adam sejak dia pandai bercakap dan pandai meminta sesuatu beberapa bulan lalu hingga memaksa saya bersama isteri melayani kerenahnya.

“Bukan isteri saja, saya sendiri menitiskan air mata apabila melihat pakaian raya yang baru dibeli untuk Mohd Adam dan itu semua hanya tinggal kenangan buat selama-lamanya,” katanya sebak.

Rosman berkata, dia bersama isteri terpaksa melupakan sementara rumah sendiri sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.

“Sekarang ini saya tidak boleh cakap apa-apa kerana keadaan keluarga kami masih diselubungi kesedihan selepas berlaku tragedi memilukan Selasa lalu.

“Saya masih teringat-ingat kenakalan anak kami itu, selain sifat manja dan periangnya,” katanya.

Katanya, dia sendiri belum dapat meneruskan kerja sebagai pemandu lori mengangkut kelapa sawit di Kampung Kuala Betis kerana sering terbayang-bayang wajah anaknya itu.

Selasa, September 01, 2009

‘Tunggu balasan akhirat’

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

KUALA LUMPUR: “Dia mungkin terlepas risiko dunia tapi risiko akhirat belum tentu lagi....kena tanggung balasan apa yang dibuatnya di dunia,” kata penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Mohd Fauzi Mustaffa.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan tidak berperikemanusiaan seorang pemuda berusia 24 tahun sanggup meninggalkan isterinya yang berusia 40 tahun selepas menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA), baru-baru ini.

Lelaki terbabit bukan saja meninggalkan isterinya begitu saja malah tidak menghargai pengorbanan wanita berkenaan yang menanggung perbelanjaan pengajiannya sepanjang empat tahun menuntut di IPTA.

Mohd Fauzi berkata, tindakan pemuda itu menggambarkan dirinya bukan saja tidak berhati perut malah contoh generasi muda yang terpengaruh dengan niat songsang ingin cepat ‘senang’ ketika masih menuntut.

“Orang begini dari awal dia berkahwin bukan kerana tanggungjawab dan kasih sayang sebaliknya dipengaruhi niat buruk yang ingin berada dalam kesenangan ketika sedang melanjutkan pengajian.

“Malah berdasarkan pengamatan dan apa yang diberitahu remaja kepada saya, penuntut institut pengajian tinggi suka mencari pasangan yang berumur tidak kira lelaki mahupun perempuan kerana boleh menanggung mereka.

“Bagi pemuda ini pula dia mungkin mengikut trend mencari pasangan berusia tetapi akhirnya terjebak dalam perkahwinan...dia berpura-pura cinta tetapi kemudian mengikis harta,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengamal Perubatan Islam Darussyifa' itu turut menjelaskan ilmu yang diperoleh secara mengikis harta orang lain tidak berkat sekali gus dikeji Islam.

Beliau menasihati wanita yang berdepan masalah sebegitu supaya melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk polis dan pejabat agama bagi membela nasib selain membawa suami ke muka pengadilan.

“Lebih-lebih lagi suami yang meninggalkan isteri melebihi tiga bulan dan membawa bersama harta si isteri, berhak membuat laporan polis kerana dia dianggap pencuri atau perompak terhormat,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan Emy Mayshta, 40, tidak semena-mena ditinggalkan suaminya sejurus lelaki muda terbabit menamatkan pengajian di sebuah IPTA di ibu negara, baru-baru ini.

Emy mendakwa suaminya berusia 24 tahun menghilangkan diri seminggu sebelum majlis konvokesyen pada 15 Ogos lalu, bersama tujuh gelang, rantai dan cincin emas miliknya dianggar bernilai lebih RM10,000 yang kononnya diambil sebagai simpanan.

Difahamkan sebelum menghilangkan diri, suaminya turut melarikan diri bersama beberapa dokumen penting milik Emy termasuk pasport dan sijil perkahwinan mereka.

Jumaat, Ogos 28, 2009

Suspek rogol 4 anak ditahan

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang sanggup mengambil kesempatan terhadap empat anaknya sejak mereka masih kecil lebih 10 tahun lalu akhirnya terkurung di lokap polis selepas ditahan, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata suspek berusia 47 tahun ditahan di rumahnya kira-kira jam 5 petang ketika sedang berehat.

Menurutnya, suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut selama lima hari bagi membantu siasatan kejadian rogol terhadap empat anak gadisnya sebelum ini.

‘Ratah’ tubuh 4 anak

KUALA TERENGGANU: Rahsia hitam dipendam tiga beradik akibat menjadi mangsa rogol dan cabul bapa sendiri sejak sekian lama akhirnya terbongkar selepas adik bongsu mereka turut menjadi mangsa ‘haruan makan anak’.

Kejadian bermula selepas mangsa terbaru berusia 15 tahun itu tersedar daripada tidur selepas terasa badannya ditindih sebelum melihat bapanya mencangkung atas badan menyebabkan mangsa menjerit.

Jeritan itu menyebabkan lelaki berkenaan melarikan diri manakala mangsa yang terkejut bingkas ke bilik air sebelum terasa pedih pada kemaluannya ketika membuang air kecil di rumah mereka di Kampung Raja, dekat Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, kejadian dikatakan berlaku penghujung April atau awal Mei lalu menyebabkan mangsa memaklumkan kepada ibunya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ibu mangsa yang cuba mendapatkan penjelasan daripada suaminya mendakwa turut diugut dan dimarahi supaya tidak menghebohkan kejadian itu atau dicederakan menyebabkan wanita itu terpaksa berdiam diri.

Menurutnya, selepas berjaya menakutkan isterinya, lelaki berkenaan menjadi semakin berani apabila sering mencabul anak perempuannya itu setiap kali berada di rumah menyebabkan mangsa tidak tahan diperlakukan demikian.

“Berikutan itu, mangsa mengadu kepada tiga kakaknya berusia 21, 23 dan 27 tahun, namun terkejut apabila mendapat tahu dua daripada kakaknya itu turut menjadi mangsa ‘haruan makan anak’ manakala seorang lagi sering dicabul,’” katanya.

Katanya, sebaik mendengar cerita kakaknya, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, kira-kira jam 3.30 petang, Sabtu lalu.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Menurutnya, setakat ini, polis sudah memanggil ketiga-tiga kakak mangsa untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan manakala suspek yang bekerja sendiri menghilangkan diri.Harian Metro difahamkan, seorang daripada anak suspek yang kini berusia 21 tahun dikatakan sering menjadi mangsa cabul lelaki berkenaan sejak berusia 14 tahun dan kejadian itu berlaku tiga hingga empat kali sebulan.

Selain itu, lelaki berhati haiwan itu juga sanggup memperkosa anaknya yang kini berusia 23 tahun sejak gadis berkenaan berusia tujuh tahun dan kejadian itu berlarutan hingga mangsa berusia 19 tahun.

Difahamkan, mangsa dirogol sekali atau dua kali sebulan dan suspek sudah meratah badan anaknya itu lebih 20 kali sepanjang 12 tahun hingga mangsa mendirikan rumah tangga pada 2005.

Selain itu, anak tiri mangsa yang kini berusia 27 tahun turut mengalami nasib sama apabila menjadi mangsa rogol sejak berusia 13 hingga 15 tahun. Malah, wanita itu juga dikatakan sering dipukul tanpa sebab dan diperkosa dua hingga tiga kali sebulan sepanjang tempoh itu.

Lesap tinggal suami, anak

MELAKA: “Fikiran saya menjadi semakin buntu apabila anak-anak kerap bertanya mengenai ibu mereka yang tidak diketahui untung nasibnya. Sebelum ini dia pernah menghilangkan diri sehari, tetapi kali ini dua minggu tiada khabar berita.”

Begitu keluhan tukang rumah, Junaidi Abdullah, 35, apabila isterinya, Dayana Shazareen Rahmat Shah, 27, menghilangkan diri sejak dua minggu lalu dan tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah, di sini.

Junaidi berkata, sebelum itu pada pagi 12 Ogos lalu, dia seperti biasa menghantar isterinya bekerja di sebuah kilang elektronik di Pengkalan Balak pagi sebelum melakukan urusan hariannya.

Menurutnya, menjelang tamat waktu kerja isterinya iaitu jam 8 malam, dia bergegas ke kilang untuk menjemputnya 15 minit lebih awal, tetapi hampa apabila wanita itu tidak muncul selepas 30 minit dia menunggu .

“Saya bertanya kepada pengawal keselamatan kilang dan terkejut apabila dia memaklumkan isteri saya tidak masuk bekerja pada hari itu.

“Hairan kerana saya sendiri menghantar dan melihatnya masuk ke dalam kawasan kilang,” katanya.

Junaidi cuba menghubungi telefon bimbit isterinya, tetapi tiada jawapan.

Menurutnya, dia juga mencari isterinya di rumah keluarga, saudara-mara serta rakan, tetapi mereka tidak tahu di mana ibu kepada tiga anak itu berada hingga menimbulkan ‘misteri’ disebabkan tiada sebarang perselisihan faham berlaku.

Junaidi berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Shazareen diminta menghubunginya di talian 012-2715713 atau 019-6512979.

Malang isteri tua

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Habis madu sepah dibuang. Itulah nasib dialami seorang wanita yang tidak semena-mena ditinggalkan suaminya sejurus lelaki muda terbabit menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara, baru-baru ini.

Tindakan lelaki terbabit bukan saja mengejutkan isterinya, Emy Mayshta, 40, malah boleh dianggap tidak berperikemanusiaan kerana wanita berkenaan sebelum ini mendakwa menanggung segala perbelanjaan pengajiannya selama empat tahun di IPTA.

Emy mendakwa, suaminya yang berusia 24 tahun menghilangkan diri seminggu sebelum majlis konvokesyen pada 15 Ogos lalu dan tidak pulang ke rumah mereka di Jalan Mat Raji, Padang Jawa, dekat sini, hingga kini.

Katanya, kali terakhir dia bertemu suaminya pada majlis konvokesyen, namun hanya sempat berbual beberapa minit sebelum lelaki itu lari dan hilang di tengah-tengah kemeriahan majlis graduasi bersama keluarganya.

“Dia lari saya tak kisah, tapi apa yang saya nak ialah dia serahkan semula tujuh gelang, rantai dan cincin emas yang dianggarkan berharga lebih RM10,000 yang diambil kononnya sebagai simpanan.

“Saya juga tak kisah kalau dia sudah tawar hati terhadap saya dan tak mengaku saya isterinya, tapi apa yang saya nak ialah hak saya,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, sebelum menghilangkan diri, suaminya turut melarikan beberapa dokumen penting milik Emy termasuk pasport dan sijil perkahwinan mereka.

Lelaki itu kini dikatakan menyewa rumah bersama rakannya di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Emy membuat laporan di Balai Polis Pantai di sini, kelmarin berhubung kejadian berkenaan.

Emy berkata, dia juga sudah ratusan kali menghubungi dua telefon bimbit milik suaminya untuk berbincang perkara berkenaan, namun gagal.

“Apa yang saya tahu, dia meninggalkan saya disebabkan hasutan keluarganya yang memintanya membubarkan perkahwinan kerana perbezaan umur kami.

“Saya tak kisah semua itu, tapi apa yang saya minta ialah datang jumpa saya dan berbincang secara profesional,” katanya yang turut mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan mereka yang kini dibela keluarga mentuanya.

Emy berkata, dia menanggung segala perbelanjaan termasuk yuran pengajian suaminya selama empat tahun di IPTA berkenaan menggunakan wang simpanan hasil penat lelahnya bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional.

“Setiap minggu saya akan beri RM500 kepadanya dan ia berlanjutan selama empat tahun pengajiannya.

“Bukan saya nak ungkit tapi semua diambilnya. Malah, sepanjang hidup bersama, saya turut perturunkan segala ilmu saya kepadanya,” katanya.

Perkenalan mereka bermula apabila suaminya mendapatkan khidmat perubatan secara tradisional selepas dia terkena penyakit misteri dan sejak itu cinta mereka berputik sebelum memutuskan berkahwin di rumah keluarga mentuanya, empat tahun lalu.

Selasa, Ogos 18, 2009

Hentak kepala isteri

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


BAHAU: Seorang wanita yang sedang tidur bukan saja dikelar lehernya dengan pisau, malah turut dihentak kepalanya dengan bata oleh suaminya yang dipercayai kaki botol menyebabkan mangsa berlumuran darah akibat cedera parah di sebuah rumah ladang di Rompin, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mangsa yang berusia 32 tahun sedang tidur, apabila suaminya yang pulang ke rumah mereka di ladang berkenaan dalam keadaan mabuk dan mengamuk.

Lelaki berkenaan meletakkan pisau pada leher mangsa menyebabkan leher wanita itu cedera terkena mata pisau.

Lelaki itu yang bagaikan tidak mengenang budi kerana tidak bekerja tetapi hidup hasil titik peluh isterinya yang membanting tulang bekerja di ladang berkenaan, turut menghentak kepala isterinya dengan bata menyebabkan wanita berkenaan berlumuran darah.

Kejadian itu bukan kali pertama berlaku kerana lelaki terbabit pernah melakukan perbuatan sama tahun lalu, menyebabkan dia dikenakan hukuman penjara beberapa bulan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad, berkata mangsa yang cedera akibat perbuatan kejam suaminya itu, datang membuat laporan polis pagi semalam.

Menurutnya, wanita itu dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan kerana kecederaan yang dialaminya.

“Dalam laporannya, mangsa mendakwa dia dipukul menggunakan bata di kepala dan suspek meletakkan pisau pada leher hingga mencederakannya.

“Polis masih melakukan gerakan mengesan suami mangsa berusia lingkungan 30-an dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan siasatan.

Katanya, wanita itu cedera di kepala dan leher tetapi tidak serius.

Khamis, Ogos 06, 2009

Suami kuat nafsu dijel 10 tahun

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
06/08/2009

KUANTAN: “Apa salah seorang isteri dalam kehidupan suaminya apabila dia diheret, ditampar dan dicekik ketika melakukan persetubuhan hanya untuk melayan nafsu beberapa minit.

“Bukankah perhubungan itu sepatutnya dilayari dengan baik dan mendatangkan kepuasan kepada suami isteri,” kata Hakim Hassan Abdul Ghani di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hassan berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap seorang mekanik, Khairulhisam Abdul Khalid, 34, yang didapati bersalah terhadap tuduhan merogol dan meliwat isterinya yang berusia 32 tahun pada 19 April lalu.

Hakim juga berkata, isteri wajar dibelai dengan kasih sayang, bukan untuk dicederakan, justeru pasangan hidup lelaki itu berhak dilindungi daripada kekerasan suaminya.

“Keadaan saksi (mangsa) yang sebak ketika memberi keterangan dalam perbicaraan sudah cukup menggambarkan keperitan hidup dilaluinya bertahun-tahun sejak bersuamikan tertuduh.

“Namun, saksi terpaksa mendiamkan diri untuk mempertahankan rumah tangga dibina serta zuriat perempuan yang kini berusia lapan tahun,” katanya.

Hassan berkata, mahkamah memuji sikap isteri tertuduh yang sanggup mendedahkan keaibannya selepas tidak lagi mampu bertahan dengan perlakuan ganas suami sendiri.

“Walaupun pendedahan saksi ibarat membuka pekung di dada, perbuatannya akan jadi sumber inspirasi kepada wanita lain yang menghadapi masalah sama.

“Mahkamah tidak nampak mengapa tertuduh sewenang-wenangnya berbuat begitu terhadap isteri sendiri dan mengapa dia mengulangi perbuatannya walaupun sudah berjanji tidak berbuat demikian.

“Jika tertuduh berani melakukan perbuatan itu berulang-ulang, maka dia juga mesti berani menerima hukuman dikenakan,” tegasnya.

Khairulhisam menghadapi dua pertuduhan iaitu melakukan serangan seksual terhadap isterinya yang bekerja sebagai setiausaha sehingga menyebabkan kecederaan pada jam 3.15 petang, 19 April lalu.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja melakukan hubungan seks dan aktiviti seksual tidak diingini pasangannya apabila meliwat isteri lima minit selepas melakukan kesalahan pertama.

Bagi pertuduhan pertama, Khairulhisam dihukum penjara maksimum lima tahun mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan, manakala bagi pertuduhan kedua, dia dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan mengikut Seksyen 377C kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Hassan menetapkan hukuman bagi setiap pertuduhan kes itu yang pertama dibicarakan di negara ini membabitkan seksyen berkenaan sejak Kanun Keseksaan dipinda dua tahun lalu, berjalan serentak mulai semalam.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, manakala tertuduh diwakili peguam Syed Azimal Syed Abu Bakar.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa mengeluarkan baju dari mesin basuh di rumah mereka apabila tiba-tiba ditarik keluar suaminya yang kemudian mengheretnya ke bilik tidur untuk melakukan hubungan seks.

Mangsa enggan melakukan persetubuhan dan meminta suami melepaskannya tetapi permintaan itu tidak diendahkan, sebaliknya dia dicekik dan ditampar serta diugut supaya menurut perintah.

Tertuduh kemudian menyetubuhi isterinya secara paksa walaupun mangsa merayu supaya dilepaskan.

Sambil tangan kirinya mencekik leher mangsa, tertuduh kemudian secara paksa melakukan seks luar tabiie terhadap isterinya tanpa mempedulikan jeritan dan tangisan wanita itu.


Khamis, Julai 30, 2009

Upah samseng pukul suami

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak berpuas hati dengan aduan mengenai hubungan sulitnya, seorang isteri dipercayai mengupah orang untuk memukul suaminya hingga pengsan baru-baru ini.

Akibat kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Kemaman mengalami kecederaan di badan dan kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku dari pejabat agama kira-kira pukul 8.30 pagi.

Katanya, lelaki tersebut menyebut tentang aduan yang dibuat oleh mangsa tentang kecurangan isterinya dan minta diadakan satu pertemuan untuk berbincang.

"Lelaki tersebut meminta mangsa datang bertemunya di tepi jalan di sebuah sekolah menengah di Kemaman," katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Menurut Mohd. Fauzi, mangsa sampai di tempat yang dijanjikan pada pukul 9.30 pagi tetapi lelaki itu tidak muncul.

Bagaimanapun ketika mangsa masuk ke dalam kereta untuk beredar, sekumpulan lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba menyerbu lalu memukulnya hingga pengsan.

Katanya, apabila sedar, mangsa berada di dalam kereta di rumah ibu mertuanya di Kampung Bukit Kuang, Kemaman dan dimasukkan ke Hospital Kemaman dua hari kemudian.

Katanya, mangsa mengesyaki isterinya menjadi dalang kejadian itu dan membuat laporan di Balai Polis Chukai kira-kira pukul 12.04 tengah hari kelmarin.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan percaya puncanya disebabkan masalah rumah tangga.


Sumber : Kosmo

Wanita ditemui mati dalam bilik hotel

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pasangan suami isteri ini telah membina rumah tangga selama sembilan tahun.

Sepanjang tempoh perkahwinan itu, si isteri kerap pulang ke rumah ibu bapanya mengadu dipukul suami.

Malah, wanita itu difahamkan pernah membuat beberapa laporan polis mendakwa dia sering dipukul tetapi menarik balik semua dakwaan tersebut selepas dipujuk oleh suaminya.

Namun, segala-galanya berakhir hari ini apabila wanita terbabit ditemui mati dalam keadaan berbogel dengan kesan lebam di badan.

Mayat mangsa dipercayai dipukul dengan teruk menggunakan seterika ditemui di sebuah bilik Hotel Kepong di Jalan Jinjang di sini hari ini.

Mangsa, Subaidah Abu Bakar, 30, dikatakan bertengkar dengan suaminya yang berusia 34 tahun selepas didakwa mempunyai hubungan sulit.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Supritendan Zakaria Pagan, mayat mangsa ditemui suami dan seorang rakan wanita mangsa yang dikatakan keluar bersama selepas insiden pergaduhan itu.

"Suami mangsa bagaimanapun melarikan diri sejurus mendapati isterinya tidak bernyawa lagi. Manakala, rakan mangsa yang terkejut meminta bantuan pekerja hotel berkenaan.

"Tompokan darah mangsa turut dikesan pada dinding bilik terbabit dipercayai kesan hantukan.

"Menurut keterangan saksi, suami mangsa yang dipengaruhi dadah turut menumbuk matanya sehingga lebam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Zakaria memberitahu, pasangan suami isteri itu menginap di bilik hotel terbabit sejak 24 Julai lalu, manakala rakan wanita mereka menumpang di bilik yang sama dua hari kemudian.

Difahamkan, mereka yang tinggal di Slim River, Perak tiba di ibu kota untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

Kata Zakaria, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya sedang memburu suami mangsa bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek menggunakan van jenis Nissan Vannette warna biru bernombor pendaftaran WNB 5698.

"Suspek ada menghubungi bapa mangsa kira-kira pukul 8.30 pagi ini memberitahu dia dan isterinya terlibat dalam kemalangan. Bagaimanapun, usaha bapa mangsa untuk menghubungi semula menantunya itu gagal," katanya.

Pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata.


Sumber : Utusan Malaysia


Mangsa dera dibunuh suami
Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Sudah sembilan tahun Subaidah Abu Bakar, 30, menanggung derita kerana menjadi hamba dera suaminya yang merupakan seorang penagih dadah.

Dalam tempoh itu, Subaidah dikatakan telah lima kali membuat laporan polis namun setiap kali laporan dibuat wanita itu pasti akan menarik balik semula laporan tersebut lantaran sayang terhadap suaminya yang berusia 34 tahun.

Dikatakan setiap kali didera, Subaidah sudah pasti teruk dipukul bukan saja dengan tukul besi, dicucuh dengan api rokok dan kepala dihantuk ke dinding. Apa-apa saja yang tercapai oleh tangan suaminya pasti objek itu hinggap ke atas tubuhnya sebagai 'hadiah'.

Derita berpanjangan wanita itu berakhir semalam apabila dia ditemui mati di tingkat tiga sebuah hotel di Jalan Kepong Usaha 2 di sini dipercayai angkara suaminya.

Mangsa dipercayai dibunuh antara pukul 12 malam dan 4 pagi. Sebelum tragedi itu, pasangan dari Slim River, Perak itu yang tinggal di hotel sejak Jumaat lalu dipercayai bergaduh ekoran si suami menuduh mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam pergaduhan itu, suami mangsa yang bagai orang hilang akal dipercayai telah menghentak dan melibas kepala dan seluruh badan mangsa dengan cerek, termos dan wayar.


Selasa, Julai 28, 2009

Ditambat rakan suami

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin anbia@hmetro.com.my

GOMBAK: Kecewa selepas gagal memujuk wanita pujaan hati yang berstatus ‘isteri orang’ untuk berkahwin dengannya, seorang lelaki bertindak luar biasa dengan mengurung wanita berkenaan dalam rumahnya sebelum menjadikannya hamba seks selama empat bulan.

Lebih malang apabila wanita berkenaan yang kehilangan suami turut diperkosa puluhan kali selain didera secara zalim oleh lelaki terbabit sepanjang tempoh menjadi orang tawanan.Tambah menyayat hati apabila wanita malang berkenaan diikat kaki dan tangannya sebelum ditambat pada meja bagi mengelakkannya melarikan diri setiap kali suspek mahu meninggalkan rumah.

Sumber polis berkata, penderitaan dialami wanita rakyat tempatan itu berlaku selepas suaminya, seorang pendatang warga Myanmar, ditahan Jabatan Imigresen kerana didapati memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, suami wanita itu berusia 20-an yang ditahan pihak berkuasa sekitar Mac lalu ketika menjual sayur di sebuah pasar, dekat sini, kini dilaporkan ditahan di pusat tahanan imigresen untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan penahanan lelaki terbabit menyebabkan isterinya yang berusia 24 tahun terpaksa menjaga dua anak mereka yang masih kecil, berusia lima dan tujuh tahun di sebuah rumah di Rawang.

“Pada masa sama, seorang lelaki tempatan yang juga kenalan rapat suami mangsa, turut mendiami sebuah bilik di pangsapuri yang disewa wanita berkenaan,” katanya.

Menurutnya, menyedari mangsa tidak ditemani suami selain ditinggalkan keseorangan, suspek yang masih bujang, mula cuba menggoda dan memikat wanita berkenaan beberapa kali walaupun menyedari buah hatinya itu sudah berumahtangga.

“Bagaimanapun, wanita berkenaan yang masih berstatus seorang isteri menolak cinta gila lelaki berkenaan kerana memikirkan nasib suami dan anak-anak yang perlu dibela.

“Namun, suspek berusia 30-an itu enggan mengalah sebelum memujuk mangsa berkahwin dengannya dan seterusnya melupakan suaminya. Malangnya, suspek nyata bertepuk sebelah tangan apabila mangsa berkeras menolak permintaannya menyebabkan lelaki itu bertindak ganas dengan menyerang dan mengurungnya,” katanya.

Menurutnya, suspek yang tidak boleh menerima kenyataan cintanya ditolak, kemudian mengurung mangsa dalam bilik di rumah sewa berkenaan sejak Mac lalu.

“Sepanjang tempoh mangsa dikurung, dia tidak dibenarkan keluar rumah selain dipukul dan diperkosa tidak ubah seperti hamba seks.

“Jika suspek ingin keluar bekerja, dia akan terlebih dulu mengikat kaki dan tangan mangsa sebelum ditambat pada meja untuk mengelakkan mangsa melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa yang tidak tahan didera fizikal dan mental akhirnya berjaya membebaskan diri sebelum meminta bantuan daripada jiran.

“Jiran mangsa yang mendapat tahu mengenai insiden itu segera membuat laporan di balai polis berdekatan. Hasil bantuan polis, mangsa akhirnya dibebaskan daripada ‘neraka’ berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut sehingga siasatan terhadap kes terbabit diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, polis masih memburu suspek yang melarikan diri sejurus mengetahui wanita itu berjaya dibebaskan pihak berkuasa dan dia dipercayai bersembunyi di kawasan berhampiran.

Isnin, Julai 27, 2009

Sempat sarung kain janda

Oleh Zuliaty Zulkiffli am@hmetro.com.my


LANGKAWI: Disebabkan takut dan panik ketika diserbu jabatan agama, seorang lelaki hanya sempat menyarung kain batik milik seorang janda untuk menutup badannya sebelum lari bersembunyi di bahagian tandas dapur sebuah rumah di Kampung Nyior Cabang, Mukim Padang Mat Sirat, di sini, awal pagi semalam.

Malah, lelaki berusia 27 tahun itu juga terpaksa ‘bergayut’ seperti seekor kelawar di pintu bilik air rumah berkenaan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa tetapi tindakannya gagal apabila dicekup tidak lama kemudian.

Penguasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal), Aswad Kasa, berkata beliau bersama tiga anggota yang menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat itu bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan, kira-kira jam 3 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pintu hadapan rumah itu dikunci dengan mangga kononnya rumah itu tiada berpenghuni tetapi selepas mengetuk pintu belakang rumah terbabit, seorang wanita berusia 25 tahun yang hanya berkemban kain batik membukanya tidak lama kemudian.

“Wanita itu mendakwa tinggal seorang diri di rumah itu selepas berpisah dengan suaminya manakala anak lelaki mereka tinggal bersama bapanya.

“Bagaimanapun, pemeriksaan kemudian mendapati terdapat seorang lelaki berada di dinding bilik air sedang ‘bergantung’ seperti kelawar dalam keadaan ketakutan sebelum ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan pasangannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan didapati bersalah kerana melakukan maksiat.

Aswad berkata, berdasarkan maklumat, lelaki itu kerap ke rumah wanita itu sejak seminggu lalu untuk bermalam di rumah berkenaan.

Katanya, pasangan itu mengenali antara satu sama lain ketika mereka sama-sama berniaga di pasar malam dan mengambil peluang itu untuk melakukan maksiat.

“Pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuah untuk maklumat tangkapan sebelum dibawa ke pajabat agama untuk siasatan lanjut.

Nekad selepas suami mati

KUALA LUMPUR: Kemurungan selepas kematian suami sejak dua tahun lalu dipercayai punca seorang wanita warga emas bertindak nekad mengikat tangan kirinya dengan batu sebelum ditemui mati di sungai di Batu 11, Bestari Jaya, Kuala Selangor, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati kes berkenaan tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kita (polis) memperoleh laporan hasil bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Tanjung Karang dan ikatan tali pada tangan mangsa didapati longgar.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barangan milik mangsa, antaranya telefon bimbit dan barang kemas, masih ada di sekitar lokasi kejadian dengan jarak 500 meter dari kediaman mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa yang juga ibu angkat kepada seorang anggota polis di Ijok dipercayai mengikat tangan kirinya menggunakan tali untuk menenggelamkan dirinya.

“Mangsa bertindak demikian dipercayai berikutan tidak dapat menahan sedih akibat kematian suaminya sejak dua tahun lalu.

“Mayat mangsa dituntut ahli keluarga dari hospital semalam untuk dikebumikan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, ratusan penduduk kampung itu gempar berikutan penemuan mayat seorang wanita terapung bersama tali yang diikat dengan batu sebesar buah kelapa.

Mayat mangsa, Hasnah Ijoh @ Johari, 54, dari Kampung Ladang Baru, Selangor, ditemui jam 5.30 petang oleh beberapa penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu.

Difahamkan, tali diikat pada batu itu yang ditemui berhampiran mayat dijadikan pemberat untuk menenggelamkan mangsa.

Polis bergegas ke tempat kejadian dan mangsa dipercayai mati dalam tempoh kurang tiga jam sebelum ditemui.

Suami isteri jual dadah diberkas

CHANGLUN: Akibat permintaan tinggi terhadap dadah, sepasang suami isteri di sini sanggup menjual dan mengedar dadah semata-mata untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah walaupun menyedari risiko bakal dihadapi boleh membawa hukuman mati jika didapati bersalah.

Bagaimanapun, kegiatan pasangan yang masing-masing berusia 23 dan 24 tahun itu mengedar dadah secara kecil-kecilan di sini dan Jitra terbongkar apabila mereka ditahan di sebuah rumah di pekan Changlun di sini, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Baharom Othman, berkata serbuan dilakukan anggotanya diketuai Sub Inspektor Muslim Alias sejurus menerima maklumat berhubung kegiatan pasangan terbabit.

Beliau berkata, selepas membuat pemeriksaan dalam rumah terbabit, pihaknya menemui beg telefon bimbit di atas katil dalam bilik tidur pasangan itu dan mendapati ia mengandungi 10 bungkusan dadah jenis heroin seberat 22 gram.

“Suspek lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pengumpul besi buruk manakala isterinya yang berusia 24 tahun itu pula bekerja di sebuah agensi pelancongan di Changlun terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut dan dipercayai sudah melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Difahamkan, pasangan itu yang mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun dikatakan terpaksa mengambil risiko menjual dadah akibat pendapatan mereka tidak menentu manakala hasil jualan dadah lebih lumayan daripada pekerjaan lain.

Pasangan itu kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki heroin.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut sama ada wanita itu turut terbabit dalam pengedaran dadah bersama suaminya dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Ini adalah tangkapan ketiga membabitkan pasangan suami isteri mengedar dadah yang berjaya diberkas polis sepanjang bulan ini.

Pada 8 Julai lalu, Jabatan Narkotik IPK Kedah menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Kampung Hutan Palas, Kodiang kerana memiliki 13 peket disyaki heroin manakala pada 9 Julai lalu, polis menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 19 tahun dan rakan mereka berusia 24 tahun, selepas Perodua Viva yang dinaiki terbabas di Kampung Padang Tui, Air Hitam, Jitra ketika dikejar polis.

Berikutan kejadian itu, polis menemui tujuh peket heroin dan tiga plastik lutsinar yang mengandungi syabu dipercayai untuk diedar di sekitar kawasan itu. Kesemua suspek masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketika diminta mengulas mengenai penahanan ketiga-tiga kes yang membabitkan pasangan suami isteri dalam kes dadah itu, Baharom berkata, mereka tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain atau terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Katanya, berkemungkinan besar mereka melakukan kegiatan itu disebabkan desakan hidup atau mahu mengejar keuntungan berikutan harga dadah yang semakin meningkat pada masa kini sehingga menyebabkan pasangan suami isteri sanggup terbabit dalam kegiatan itu.

Paksa isteri ‘layan’ rakan

Oleh Hadzlihady Hassan dan Shanty Nur Shaffizan Shafee

am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mendakwa menderita akibat tindakan melampau suami sendiri yang memaksanya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain yang sengaja dibawa ke rumah, dipercayai semata-mata untuk memuaskan nafsu gila lelaki itu, sejak empat tahun lalu.

Malah, ketika melakukan hubungan seks, isteri malang berusia 30 tahun itu terpaksa menahan malu kerana perbuatan itu disaksikan sama ada suaminya atau tetamu tidak diundang terbabit.

Insiden terbaru berlaku kelmarin apabila lelaki terbabit mengarahkan isterinya melakukan hubungan seks dengan seorang rakannya sambil diperhatikannya.

Tidak tahan dengan perlakuan melampau suami, wanita itu nekad melaporkannya kepada pihak berkuasa sebelum serbuan dilakukan polis di rumahnya, kelmarin.

Dalam laporannya kepada polis, ibu kepada seorang anak berusia tiga tahun itu mendakwa dia pernah melakukan hubungan seks dengan dua lelaki serentak iaitu suami dan kawan suaminya.

Perbuatan itu bukan berlaku sekali atau dua, malah berulang kali membabitkan beberapa lelaki berlainan yang dibawa pulang suaminya ke rumah sejak mereka mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun lalu.

Sumber memberitahu Harian Metro, dalam kejadian terbaru kelmarin, rakan suami wanita berkenaan berkunjung ke rumah pasangan itu di sebuah kondominium di kawasan Bukit Indah, Ampang, jam 10 malam.

“Wanita terbabit yang sudah menjangkakan dia akan menjadi mangsa nafsu pelik suaminya kemudian cuba melarikan diri dengan memberi alasan mahu ke kedai.

“Ketika itu, wanita berkenaan menghubungi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk meminta bantuan supaya menyerbu kediamannya,” katanya.

Sumber terbabit berkata, setengah jam selepas itu wanita berkenaan pulang ke rumah dan melihat suami bersama anaknya dalam bilik air sebelum lelaki itu meminta isterinya melakukan hubungan seks dengan rakannya.

“Bagaimanapun, mangsa enggan menurut permintaan pelik suaminya sebelum disuruh masuk ke bilik.

“Tidak lama kemudian, suami wanita itu bersama rakannya masuk ke bilik itu,” katanya.

Menurutnya, sejurus masuk ke bilik, lelaki terbabit terus melakukan hubungan seks bersama isterinya sambil ditonton rakannya.

“Rakan suami mangsa kemudian terangsang selepas menonton aksi seks pasangan terbabit.

“Lelaki itu kemudian turut melakukan hubungan seks bersama pasangan berkenaan dan wanita itu terpaksa merelakan dia diperlakukan sebegitu semata-mata mahu memenuhi selera seks pelik suaminya,” katanya.

Menurut sumber itu, tidak lama kemudian, penguat kuasa Jais bersama anggota polis tiba di rumah pasangan berkenaan dan menahan kedua-dua lelaki terbabit berdasarkan laporan wanita itu.

Difahamkan, kedua-dua lelaki itu masing-masing berusia 30-an dan 40-an adalah jurutera di syarikat swasta.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan kedua-dua lelaki terbabit.

Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas keterangan mereka diambil.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai rogol dan mangsa dihantar menjalani pemeriksaan doktor, namun siasatan lanjut dan menyeluruh perlu dilakukan.

“Selain suami mangsa dan rakannya, wanita itu turut dipanggil memberi keterangan dan polis juga akan mengambil keterangan anak mereka yang berusia tiga tahun.

“Kami masih menunggu laporan perubatan dan jika benar ada tanda menunjukkan wanita berkenaan menjadi mangsa pemuas nafsu kedua-dua lelaki terbabit, tindakan selanjutnya akan diambil,” katanya.

Harian Metro dimaklumkan, semua bukti seperti kesan tompokan air mani yang ditemui pada tilam dan bantal sudah diambil selain ujian asid deoksiribonukleik (DNA) turut dilakukan.

Sementara itu, difahamkan wanita berkenaan sebelum ini pernah meminta cerai daripada suaminya, namun lelaki terbabit pandai memujuk setiap kali isterinya mengajukan hasrat berkenaan.

Tak puas tiga isteri

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my

TELUK INTAN: Dia mempunyai tiga isteri, namun seorang bapa berperangai iblis masih belum puas hingga tergamak menjadikan anak kandungnya berusia 14 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu buas seksnya lebih 60 kali sejak November tahun lalu.

Sejak pertama kali dirogol pada tahun lalu, mangsa yang juga pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di daerah ini terus ‘diratah’ oleh bapa kandungnya berusia 50 tahun sebanyak dua kali seminggu sehinggalah perlakuan itu dibongkar dan dilapor kepada polis jam 11.50 pagi kelmarin.

Mangsa yang juga anak kedua daripada enam beradik menetap bersama keluarganya di Hutan Melintang, tidak sanggup membiarkan lagi perlakuan bapanya meratah tubuhnya itu sebelum memaklumkan perbuatan berkenaan kepada kakaknya.

Kakaknya kemudian menceritakan kisah malang adiknya itu kepada seorang guru sekolah di tempatnya belajar mengenai tingkah laku jijik bapa kandung mereka.

Selepas merekodkan segala keterangan dan masalah yang dihadapi mangsa, guru sekolah berkenaan membuat laporan polis yang kemudiannya menahan bapa mangsa untuk siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Superitenden Chan Kuang Yu, berkata lelaki berusia 50 tahun itu kini ditahan untuk siasatan serta direman selama tujuh hari.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 376B, Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

“Mangsa yang juga anak suspek pula dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa pertama kali dirogol di rumahnya dan selebihnya dilakukan di luar rumah termasuk di sebuah kebun kelapa sawit berdekatan rumah mereka.

Chan berkata, setiap kali merogol mangsa, suspek akan membawa mangsa keluar rumah sama ada untuk ke kedai atau bersiar-siar sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu pada malam harinya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa turut diugut oleh suspek supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa termasuk ibunya yang juga isteri ketiga suspek.

“Kami percaya, mangsa yang sudah tidak tahan dengan penderitaan akibat dirogol oleh bapanya bertindak membongkar kejadian itu kepada kakaknya,” katanya.

Jumaat, Julai 17, 2009

Nenek jumpa cucu baru lahir dalam semak

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my

INILAH bayi perempuan yang ditemui sebaik dilahirkan ibunya semalam.

TANAH MERAH - Seorang wanita terkejut apabila terjumpa bayi yang baru sahaja dilahirkan dikerumuni kerengga dalam semak di belakang rumahnya di Kampung Alor Tapah, Bukit Gading di sini semalam.

Lebih mengejutkan lagi, ibu bayi perempuan yang masih bertali pusat itu adalah anak kandungnya, seorang remaja berusia 16 tahun yang cuba menyembunyikan kelahiran tersebut.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, remaja tersebut dipercayai hamil tanpa pengetahuan ibunya telah bersalin seorang diri di belakang rumahnya dan meninggalkan bayinya di situ.

"Ibu remaja tersebut yang berusia 30-an terdengar tangisan bayi di bela- kang rumahnya pada pukul 8 pagi lalu terus pergi mencari dan terkejut melihat seorang bayi perempuan dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Selepas memandikannya, wanita yang juga nenek bayi terbabit memaklumkan kepada penduduk kampung serta jururawat desa sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah oleh pihak polis.

Abdul Aziz berkata, terdapat kesan gigitan kerengga di bahagian kepala dan badan bayi itu ketika ditemui.

Jelasnya, polis menahan remaja tersebut yang dipercayai telah melahirkan bayi tersebut pada pukul 4 pagi.

Abdul Aziz memberitahu, ahli keluarga remaja tersebut dipercayai tidak mengetahui remaja itu mengandung sehingga melahirkan bayi berkenaan.



Isnin, Julai 13, 2009

Mafia betina


Oleh Khairul Hamizy Ramlee
KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar perempuan tingkatan satu layak digelar ‘mafia betina’ ketika membelasah dan mendera dua rakan sebaya, baru-baru ini.
Ini kerana mangsa bukan setakat ditampar dan diterajang, malah dipaksa bergusti sesama sendiri. Lebih mengejutkan, penderaan itu dilakukan di dalam surau di luar sekolah!
Tidak cukup dengan itu, aksi kejam kira-kira 30 minit itu dirakam dan diedarkan di kalangan rakan sebelum dimuat turun ke dalam Internet melalui laman You Tube menyebabkan kedua-dua mangsa kini malu dan trauma untuk berhadapan dengan pelajar lain di sekolah.
Difahamkan, kejadian bermotifkan dendam kira-kira jam 2.30 petang itu bermula apabila seorang mangsa, Azani Jusharmiela Mohd Jaafar, 13, yang belajar di sebuah sekolah menengah di Dungun, dijemput tiga pelajar terbabit dari rumahnya sebelum membonceng motosikal ke sebuah surau kira-kira empat kilometer dari situ.
Sejurus tiba, dia melihat seorang lagi rakannya yang juga pelajar sebuah sekolah di Kerteh berada di situ.
“Sebaik memasuki surau, saya dan rakan ditampar dan dihentak ke pintu menyebabkan kepala saya benjol.
Katanya, selepas ketiga-tiga pelajar perempuan samseng itu puas membelasah, dia dipaksa bergusti dengan rakannya sambil aksi mereka dirakam menggunakan telefon bimbit.
Bimbang terus dibelasah, kedua-dua mangsa terpaksa mengikut ‘skrip’ arahan tiga ‘mafia betina’ terbabit.
“Kami terpaksa bergusti sesama sendiri dan mengikut semua arahan mereka bagi mengelak terus dibelasah. Mereka juga mengugut kami supaya tidak beritahu guru dan ibu bapa.
“Selepas tiga hari kejadian, saya bertemu tiga pelajar samseng terbabit di sekolah dan hanya mendiamkan diri apabila bersua muka.
“Sebelum itu, kami tak tahu rakaman itu disebarkan dalam You Tube sehinggalah saya melihatnya sendiri sebaik mendapat maklumat daripada seorang rakan,” katanya di sini, semalam.
Azani Jusharmiela berkata, dia yang trauma beberapa minggu selepas kejadian, kemudian mengadu kepada seorang kakaknya kerana tidak tahan dengan sikap tiga mafia betina terbabit yang berbangga dengan perbuatan mereka.
Kakaknya, Azani Juhaiza Mohd Jaafar, 23, yang bekerja di ibu negara berkata, dia terperanjat dan marah dengan tindakan tiga pelajar perempuan terbabit yang mengaibkan adiknya di Internet.
Katanya, dia hanya mengetahui perbuatan itu ketika pulang ke rumahnya di Kampung Felda Kerteh untuk bercuti dan naik darah sebaik diceritakan adiknya.
“Sesiapa pun pasti berang dengan perbuatan kurang ajar itu dan tindakan pihak sekolah saja tidak cukup untuk menghukum mereka.
“Mereka baru berusia 13 tahun tapi berani melakukan jenayah seperti ini. Jika besar nanti saya tak tahulah macam mana kejamnya lagi mereka.
“Jika saya sendiri membalas perbuatan mereka, kes ini akan mungkin jadi lebih panjang, oleh itu biarlah pihak polis saja menyelesaikannya,” katanya selepas membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira 9.30 pagi semalam.
Menurutnya, adiknya kini malu bersemuka dengan rakan selepas tersebar rakaman itu di Internet dan menjadi pendiam serta jarang keluar rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

Staf LHDN parah dipukul perompak

TANGKAK: Seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, parah dipukul dipercayai dengan batu bata dalam kejadian rompakan di rumahnya di Kampung Parit Bunga, dekat Sungai Mati, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 10 malam kelmarin hingga jam 7 pagi semalam, ketika Jamaliah Mahat, 55, tinggal bersama empat cucunya berusia antara tiga tahun hingga 11 tahun, manakala anak perempuannya yang juga ibu tunggal keluar bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas empat kilometer dari rumah berkenaan.

Kejadian disedari jam 8 pagi oleh cucu mangsa Siti Nur Shakina Ratief, 10, ketika bangun tidur dan menemui nenek mereka berlumuran darah di tepi katil.

Anak mangsa, Kyairiyyah Shafiee, 28, pula berkata beliau menyedari kejadian itu ketika pulang ke rumah jam 8 pagi dan mendapati ibunya diusung ke ambulans dengan kepalanya berlumuran darah.

Katanya, anak keduanya, Siti Nur Shakina bangun jam 8 pagi mendapati neneknya berlumuran darah di bilik tidurnya sebelum memaklumkannya kepada anak sulungnya, Muhamad Afiq, 11.

"Afiq terus berlari ke pondok telefon awam kira-kira 50 meter dari rumah dan cuba menghubungi telefon bimbit saya tetapi saya tidak mendengarnya," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata siasatan masih dijalankan dan mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).