Rabu, Mei 04, 2011
Umat Islam dilarang hukum seseorang tanpa menyelidik
Sebar, kongsi maklumat palsu boleh timbul ketegangan, pertelagahan di kalangan masyarakat
KOMUNIKASI dan penyebaran maklumat tidak berlaku secara lisan tetapi disebar pantas secara maya (virtual) melalui internet. Penciptaan alat komunikasi ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan baik.
Pengguna perlu berdisiplin, mengikut peraturan dan bertanggungjawab supaya kemajuan itu tidak disalahgunakan terutama menyebarkan perkara tidak benar. Amat mendukacitakan apabila ada menggunakan kemudahan internet ini untuk menyebarkan maklumat palsu, pembohongan dan fitnah.
Senario ini menyebabkan masyarakat berada dalam dilema, sama ada mahu mempercayai atau terus menafikan sesetengah maklumat yang disebarkan melalui internet atau lisan itu. Kesan penyebaran maklumat melalui lisan mahupun internet sama saja. Jika secara lisan maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitu juga melalui internet. Malah melalui internet, latar belakang diri boleh dirahsiakan menggunakan nama samaran dan maklumat diri yang palsu.
Ada kala ini menyukarkan untuk mengesan ‘orang’ yang mendalanginya. Oleh itu, segala berita yang disebarkan, tidak kira melalui lisan mahupun internet hendaklah diselidik terlebih dulu. Untuk menilai kesahihan sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah ada garis panduannya.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti serta menyelidik terlebih dulu berita disampaikan kepada mereka. Jangan tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita dan jangan terlalu cepat menafikannya sebelum membuat penelitian terhadap kebenarannya.
Takut jika terlalu tergesa-gesa membuat keputusan berdasarkan berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.
Sebab penurunan ayat ini ada disebutkan hubung kait dengan berita dibawa al-Walid ‘Uqbah. Sa‘id daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid ‘Uqbah untuk mengambil hasil kutipan zakat daripada kaum Bani Mustaliq yang telah mengaku beriman kepada Rasulullah SAW dan memeluk agama Islam.
Apabila al-Walid tiba di perkampungan Bani Mustaliq, tiba-tiba hatinya berasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang ke Madinah dan melaporkan kepada Rasulullah bahawa kaum Bani Mustaliq telah murtad (terkeluar daripada agama Islam).
Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan Khalid al-Walid bersama sekumpulan tentera ke perkampungan Bani Mustaliq untuk memastikan sama ada benar atau palsu berita disampaikan al-Walid.
Kedatangan mereka itu secara rahsia kerana mahu Khalid menyelidik terlebih dulu dan jangan tergesa-gesa mengambil tindakan. Khalid dan tenteranya tiba di perkampungan Bani Mustaliq pada waktu malam.
Khalid kemudian menghantar beberapa orang perisik untuk menyelidiki keadaan kaum Bani Mustaliq dengan lebih dekat. Tidak berapa lama, perisik tadi datang kepada Khalid membawa laporan kaum Bani Mustaliq masih berpegang kuat dengan agama Islam. Buktinya azan masih kedengaran dan mereka menunaikan solat secara berjemaah.
Setelah itu, Khalid dan tenteranya pulang menemui Rasulullah SAW membawa laporan. Maka turun ayat 6, surah al-Hujurat. Kemudian Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyelidik dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah adalah daripada syaitan.”
Walaupun hadis di atas membicarakan sikap al-Walid yang menyebarkan berita palsu, tetapi hukumnya umum dan berlarutan sehingga ke hari akhirat. Kaedah tafsir menetapkan pengajaran dan iktibar itu diambil kira berdasarkan lafaz umum bukan sebab khusus.
Kisah ini memberi peringatan dan panduan kepada kita adab atau etika apabila menerima sesuatu maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Sikap tergopoh-gapah menerima sebarang berita disampaikan boleh mendatangkan penganiayaan kepada orang lain.
Umat Islam seharusnya berhati-hati menerima berita yang disebarkan. Penyebaran dan perkongsian maklumat yang tidak berpandukan kaedah ditetapkan dalam al-Quran dan hadis, boleh menimbulkan ketegangan dan pertelagahan dalam masyarakat.
Akhir-akhir ini, berita berbentuk khabar angin, hasutan, gosip liar dan fitnah, banyak disebarkan. Semuanya sengaja diada-adakan untuk tujuan tertentu. Namun, masih ada segelintir umat Islam yang mudah menerima tanpa memastikan kebenarannya.
Umat Islam dilarang cepat menghukum seseorang tanpa menyelidik berita disampaikan terlebih dulu. Contoh dalam asbab nuzul ayat di atas, jika al-Harith dan kaumnya dijatuhkan hukuman, maka sudah tentu ia penganiayaan dan kezaliman.
Selain itu, umat Islam juga seharusnya berfikir dengan rasional manfaat dan kemudaratan hasil tindakan yang akan dilakukan. Oleh itu, pandangan atau pendapat orang bijak dalam mempertimbang manfaat dan kemudaratan, perlu dihormati dan diterima pakai.
Rabu, Oktober 20, 2010
Isteri Bukan Hak Suami
Kerap kali, Puan A dipukul, ditendang, ditengking oleh suaminya yang sentiasa memarahinya.
Kemuncak penderitaan Puan A adalah apabila dia dikelar suaminya dengan pisau panas hingga dia jatuh pengsan.
Malangnya, jeritan dan pekikkannya tidak pernah dihiraukan atau diambil peduli oleh sesiapa, walaupun mereka tinggal di salah sebuah unit rumah pangsa yang dikelilingi jiran tetangga yang sangat dekat.
SITUASI yang dinyatakan di atas adalah situasi yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Isteri tersebut menderita pelbagai kecederaan fizikal selain mental yang sangat tidak stabil akibat daripada perbuatan suaminya.
Namun fokus perbincangan kita pada kali ini adalah berkenaan sikap jiran atau masyarakat setempat yang memandang ringan atau mengambil keputusan untuk menutup sebelah mata (jika tidak kedua-duanya) terhadap penyakit masyarakat yang sedang menular dewasa kini - keganasan rumah tangga.
Masyarakat sebenarnya mampu untuk memainkan peranan besar bagi menghentikan jenayah tersebut daripada terus berlaku.
Secara umumnya, masyarakat masih beranggapan bahawa masalah dalam rumah tangga seseorang adalah masalah peribadi orang tersebut dan tidak seharusnya campur tangan.
Masyarakat juga sering mengambil sikap berkecuali dalam hal seperti itu atas alasan tidak mahu mencari masalah dengan terlibat dalam masalah orang lain.
Apatah lagi kita sering memberi justifikasi lemah bahawa masalah kita sendiri tidak selesai, jangan ditambahkan dengan masalah orang lain. Walaupun ia berlaku di sebelah rumah kita atau di depan mata kita sendiri.
Masih ramai di kalangan masyarakat kita juga mengatakan bahawa hal ehwal dan isu berkaitan dengan rumah tangga seseorang adalah hak peribadi dan hak mutlak seseorang itu.
Lebih dahsyat lagi, ada yang mengiyakan bahawa isteri adalah hak mutlak suaminya dan suami tersebut bebas berbuat apa sahaja atas alasan suami adalah ketua dalam rumah tangga. Justeru, suami berhak menyelesaikan masalah rumah tangga mengikut cita rasa, keadaan dan kehendak dirinya sendiri.
Hakikat dari segi perundangan adalah sebaliknya. Melalui peruntukan yang termaktub di bawah Sekyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga (AKRT) 1994, adalah jelas bahawa pihak penggubal undang-undang negara melihat kepentingan peranan yang boleh dimainkan oleh orang perseorangan dalam masyarakat bagi membendung isu keganasan rumah tangga.
Seksyen 18 AKRT 1994, antara lain memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan keganasan rumah tangga telah berlaku, atau sedang berlaku boleh memberi maklumat kepada pegawai penguatkuasa atau pihak polis.
Lebih menarik, peruntukan undang-undang tersebut juga mewujudkan perlindungan berbentuk imuniti bagi pelapor tersebut daripada sebarang liabiliti fitnah, jika didapati laporan yang dibuat adalah terbukti tidak tepat atau tidak benar sama sekali.
Secara ringkasnya, peruntukan itu, memberikan hak kepada mana-mana orang dalam masyarakat kita untuk melakukan sesuatu dalam mendepani isu keganasan rumah tangga ini, iaitu melaporkan perkara tersebut ke pihak berkuasa.
Menariknya peruntukan ini memberikan juga kuasa atau hak kepada ahli masyarakat untuk melaporkan kes-kes keganasan rumah tangga yang mereka ada alasan untuk mempercayai bahawa ia telah atau sedang berlaku.
Ahli masyarakat tidak perlu menyaksikan peristiwa keganasan tersebut, dan peruntukan undang-undang mengatakan hanya cukup sekiranya mana-mana individu tersebut timbul syak atau ada alasan yang baik menjurus kepada persepsi bahawa keganasan rumahtangga telah atau sedang berlaku.
Peruntukan undang-undang ini jelas mengetepikan sikap 'jangan jaga tepi kain orang lain' dalam menangani isu keganasan rumah tangga dalam masyarakat kita hari ini.
Pendek kata dalam istilah yang bersahaja, setiap suami perlu ingat bahawa isteri bukan lagi hak mutlak mereka.
Jika seorang suami itu gagal atau tidak mampu menjaga isteri mereka dengan sempurna dan kehidupan rumah tangga hingga sering disulami dengan perlakuan atau tindakan yang ganas, maka orang lain boleh 'campur tangan' bagi menyelamatkan dan seterusnya 'membawa' sang isteri tersebut keluar dari kancah permasalahan yang dihadapi.
Selasa, Ogos 03, 2010
Perkampungan anak banduan

Ayahnya dipenjarakan seumur hidup atas kesalahan membunuh ibunya.
Tu Ling merupakan salah seorang daripada puluhan anak-anak malang China yang tinggal di perkampungan Sun, sebuah rumah perlindungan di pinggiran kota Beijing.
Ia diasaskan oleh bekas pegawai penjara bertujuan memberi sinar harapan kepada anak-anak banduan tersebut untuk menjalankan sebuah kehidupan yang baru.
"Saya sedar bahawa banduan-banduan itu amat mengambil berat terhadap anak dan keluarga mereka di luar sana," terang Zhang Shuqin, pengasas rumah perlindungan tersebut kepada pemberita AFP.
Zhang, 62, terinspirasi untuk membangunkan rumah tersebut setelah mewawancara puluhan banduan untuk akhbar dalaman bagi Biro Pentadbiran di Wilayah Shaanxi Utara.
Tergerak dengan cebisan cerita perpisahan antara keluarga yang memilukan itu, Zhang membuka rumah perlindungan pertamanya pada tahun 1996 di Shaanxi.
Sejak itu tanpa sebarang bantuan dana daripada kerajaan, dia membina lima lagi rumah perlindungan tersebut termasuk sebuah di Beijing.
"Ada sesetengah daripada anak-anak banduan hilang, dijual dan dibawa pergi oleh saudara-mara mereka. Malah, terdapat sebilangannya tidak mempunyai sesiapa untuk melindungi mereka sejak muda lagi," tambah Zhang.
Kanak-kanak seawal usia empat bulan telah dihantar ke perkampungan Sun selepas ibu bapa mereka dijatuhi hukuman. Kebanyakan mereka ditinggalkan oleh saudara-mara yang tidak mampu menjaga mereka kerana tekanan hidup.
Sebelum tiba ke perkampungan tersebut, sesetengah daripadanya terpaksa menjalani kehidupan yang tidak teratur dengan merempat di jalanan selama berbulan-bulan dan terlibat dalam aktiviti jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup.
ANAK-ANAK banduan ini diberikan pendidikan seperti mana kanak-kanak lain untuk memastikan mereka juga mempunyai masa depan.
Ma Yufei, 12, memberitahu AFP dia sudah menghabiskan separuh daripada hidupnya di perkampungan tersebut.
Pihak polis membawanya dari wilayah utara Hebei selepas ayahnya dipenjarakan. Dia menyatakan tidak tahu di mana ibunya berada dan terlalu trauma untuk menjelaskan jenayah yang dilakukan oleh ayahnya.
"Kanak-kanak ini mempunyai pelbagai masalah setibanya mereka di sini. Terdapat di antara mereka yang amat membenci polis disebabkan menahan ibu bapa mereka malah, sebilangannya mempunyai keinginan yang kuat untuk membalas dendam.
"Mereka mempunyai perangai yang buruk seperti mencuri, berbohong dan bertindak ganas untuk memastikan terus hidup sepanjang merempat di jalanan. Kami cuba untuk memperbaiki perilaku tersebut dengan memberikan kaunseling kepada mereka," jelas Zhang.
Kini, kanak-kanak tersebut tinggal di asrama yang dikelilingi kebun sayur, dusun dan taman permainan. Setiap asrama akan ditempatkan seorang 'ibu' untuk menjaga mereka.
Zhang berkata, mereka akan mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak lain di sekolah-sekolah biasa. Seandainya lulus dalam peperiksaan, mereka akan dihantar untuk melanjutkan pelajaran di universiti atau kolej teknikal sebagai persediaan masa depan yang lebih cerah.
"Tidak cukup hanya memberi makan dan minum. Mereka harus memiliki kemahiran agar dapat mencari pekerjaan," tambah Zhang.
Dalam memastikan segala kelengkapan mencukupi di perkampungan tersebut, Zhang bergantung kepada sumbangan yang dihulurkan oleh dermawan dan ahli perniagaan.
Ketika AFP berada di situ, terdapat beberapa kereta jenama Audi yang lazimnya digunakan oleh pegawai kerajaan atau ahli perniagaan kaya berhenti untuk menyampaikan guni-guni beras, tepung, pakaian dan kasut untuk kanak-kanak tersebut.
Zhang memberitahu untuk menambahkan lagi pendapatan rumah perlindungan itu mereka menjual ayam dan angsa yang diternak atau menjual buah pic yang terdapat di perkampungan tersebut.
"Saya sukakan suasana di sini kerana ditemani oleh rakan-rakan, adik, pak cik dan mak cik," kata Cao Xiangqian, 12.
Dia dan adiknya yang berumur lima tahun dihantar oleh datuk mereka setahun yang lalu selepas ayahnya dipenjarakan. Ibunya telah menghilang diri dan gagal dijejaki.
"Saya akan menghabiskan masa dengan bermain ping pong dan menonton televisyen. Saya amat menyukai filem-filem kung fu," kata Cao ketika duduk dengan sekumpulan rakan-rakan yang lain di hadapan televisyen asrama mereka.
CAO XIANGQIAN mempunyai kehidupan yang lebih baik di rumah perlindungan Sun.
Zhang memberitahu, sejak penubuhan perkampungan Sun lebih 14 tahun lalu, lebih 2,000 kanak-kanak telah dibantu meskipun dia mengetahui jumlah sebenar yang melarat di luar lebih besar.
Kaji selidik yang dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2005 mendedahkan hampir 600,000 anak-anak banduan memerlukan pertolongan. Malah, populasi banduan di penjara juga makin meningkat dan pembukaan perkampungan baru Sun sedang dalam pembinaan.
Sepanjang berada di asrama tersebut, Tu Ling tidak pernah berhenti melakar lukisan sambil menunggu ayahnya dibebaskan.
Zhang mengatakan peristiwa sebenar pembunuhan ibu Tu Ling masih belum diceritakan kepadanya kerana enggan psikologi kanak-kanak itu terjejas. Malah, namanya juga diubah bagi melindungi kepentingannya.
"Saya akan sabar menunggu ayah dibebaskan dan pulang ke Sichuan untuk mencari ibu kerana saya amat merinduinya," kata Tu Ling.
Rabu, Mei 26, 2010
Pasangan lakukan maksiat dikecam
BAGAN NAKHODA OMAR – Penduduk Kampung Banting di sini tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sendiri terhadap pasangan bukan muhrim yang ditangkap melakukan maksiat di kampung berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Banting Bagan Nakhoda Omar, Muhamad Bajuri Ibrahim, 50, berkata, penduduk kampung menyedari ada kereta dan pasangan muda dari luar yang masuk ke kampung untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.
Katanya, perlakuan tidak bermoral itu berlaku di tiga lorong antara Tebuk Haji Omar dan Tebuk Haji Mat Saman.
“Sebelum ini mungkin ada, tapi kami tidak perasan. Namun sejak akhir-akhir ini, ia berlaku. Sebaik kita menyedari masalah ini, kita pantau dan lihat lokasi yang menjadi pilihan mereka.
"Kita mengenal pasti antaranya disebabkan lorong tersebut sunyi dan dikelilingi kebun sawit dan pisang serta tiada rumah penduduk di kawasan itu.
“Selain itu, mereka memilih lokasi dekat pokok rimbun supaya terlindung daripada pandangan penduduk. Bagaimanapun, kami tidak dapat melakukan apa-apa dengan pokok tersebut memandang pemilik kebun tidak menetap di sini,” katanya.
Menurutnya, pasangan tersebut tidak mengira masa dan berani memasuki kampung itu untuk melakukan maksiat pada waktu siang ketika penduduk keluar bekerja.
“Kita percaya dan yakin mereka melakukan maksiat. Kita ada menerima aduan dan ada juga antara penduduk pernah melihat aksi mereka. Pernah satu ketika, penduduk yang terserempak dengan pasangan berkenaan hampir dirempuh ketika pasangan tersebut cuba melarikan diri,” katanya.
“Pada masa sama, kita yakin lorong-lorong ini menjadi tempat mereka melakukan maksiat daripada barang-barang yang ditinggalkan, antaranya kondom dan tisu,” katanya.
Baginya, mungkin sukar jika penduduk bertindak sendiri, tetapi dengan adanya maklumat antara satu sama lain, penduduk akan bergerak secara berkumpulan untuk membanteras.
“Amaran keras daripada penduduk kampung. Jangan lakukan maksiat di tempat kami kerana kami mungkin mengambil tindakan sendiri jika kami melihatnya sendiri. Sekarang kita sedang cuba memantau keadaan ini dan penduduk yang duduk berhampiran lorong turut bekerjasama memberikan maklumat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKKP Hashim Ramli berkata, bukan hanya perlakuan maksiat malah lorong itu dan kawasan sekitar pantai kampung berkenaan turut dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah.
“Kita sentiasa memantau dan sedang memerhatikan. Bagi sesiapa pun yang menjadikan kampung ini sebagai tempat melakukan salah laku moral perlu menghentikannya.
"Kegiatan ini sesuatu yang ditentang dan kita tidak mahu membiarkan perkara ini terus berlaku,” katanya.
Jumaat, April 30, 2010
Sama berdosa jika tak cegah
PENASIHAT Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata isu bersekedudukan yang berlaku dalam masyarakat hari ini fenomena yang menyedihkan untuk umat Islam.
Menurutnya, definisi bersekedudukan mempunyai perbezaan iaitu antara tinggal bersama lelaki dan perempuan bukan mahram, tetapi tidak melakukan kemungkaran serta pasangan yang belum berkahwin, tetapi hidup bagaikan suami isteri.
Biarpun begitu, walau apa juga alasan yang diberikan, adalah haram dan berdosa besar bagi lelaki dan perempuan bukan mahram tinggal bersama.
"Bersekedudukan adalah gaya hidup barat yang tidak seharusnya menjadi ikutan masyarakat timur seperti negara ini.
"Sebagai insan yang dikurniakan akal fikiran yang sempurna, kita perlu berfikir panjang dan tidak sepatutnya meniru gaya hidup mereka tanpa menapis apa yang boleh dan tidak terlebih dulu.
"Penularan amalan gaya hidup yang jauh terpesong daripada agama itu mungkin disebabkan masyarakat kita hari ini mempunyai kebebasan yang melampau dan pada masa sama, disogokkan dengan kemudahan hiburan yang terlampau.
"Ini termasuk penyebaran klip video serta tayangan filem berunsur lucah dan kemudahan untuk mendapatkan kondom yang dijual secara terbuka untuk orang ramai.
"Semua ini perlu dikawal dengan lebih ketat kerana ia sebenarnya mampu mendorong generasi muda atau remaja untuk melakukan maksiat," katanya. Noh berkata, adalah wajib menurut hukum syarak untuk masyarakat 'menjaga tepi kain orang' jika ia boleh mendatangkan kebaikan untuk semua dan berdosa jika mereka tidak melakukannya.
"Masyarakat hari ini jauh berbeza dengan masyarakat dulu kerana masing-masing membuat hal sendiri. Ia jelas berbeza dengan masyarakat dulu yang menganggap anak jiran seperti anak sendiri dan mengambil tahu apa yang mereka lakukan.
"Lebih membantu jika masyarakat terutama ibu bapa kerap mengadakan pemeriksaan mengejut ke rumah sewa anak untuk mengetahui gaya hidup mereka.
"Pemilik rumah pula perlu mengambil tahu keadaan penyewa rumah dan jangan hanya tahu menerima sewa bulanan saja," katanya.
Justeru, katanya, semua pihak tidak boleh menuding jari menyalahkan satu sama lain kerana semuanya perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengatasi masalah berkenaan daripada terus berleluasa.
"Dalam masalah ini, empat tonggak utama iaitu pemimpin, ilmuwan serta ulama, ahli korporat dan masyarakat perlu berganding bahu untuk memastikan dapat mencari jalan terbaik untuk mengatasinya.
"Kita tidak boleh saling menyalahkan satu sama lain kerana masalah sosial ini sebenarnya berpunca daripada banyak faktor," katanya.
Selain itu, Menteri Di Jabatan Perdana, Datuk Seri Khir Jamil Baharom sebelum ini pernah berkata, pasangan wanita dan lelaki yang tinggal bersekedudukan memang terbukti mereka bersalah kerana tinggal bersama tanpa akad nikah tetapi 'saham' itu dikongsi ibu bapa dan masyarakat jika tidak ambil peduli dan membiarkannya.
"Ibu bapa perlu ambil tahu bagaimana anak mereka bernikah, tarikh pernikahan, wali atau keizinan. Mereka bersekedudukan memang bersalah, tetapi paling penting masyarakat prihatin dan ambil perhatian perbuatan terkutuk itu dapat ditegah.
"Tidak hanya membabitkan mana-mana kes, tetapi isu pasangan bersekedudukan amat merisaukan dan perkara itu perlu ditangani supaya tidak terus berleluasa," katanya.
Selasa, Mac 16, 2010
Benih cinta yang tidak dihargai

Suara bayi yang dikandung sembilan bulan sembilan hari itu juga bakal mencorak kebahagiaan rumah tangga ibu dan bapanya. Namun sayang sekali, kini tangisan kelahiran itu tidak lagi menjadi pengubat dan penawar buat sesetengah ibu.
Malah ada ibu yang sanggup melenyapkan tangisan pertama zuriat yang dia lahirkan hanya kerana seorang lelaki. Lalu tubuh kecil comel tidak bernyawa itu dibuang sesuka hati bagaikan sampah sarap yang sudah tidak berguna lagi.
Di mana harga kasih seorang ibu? Di mana letaknya nilai kemanusiaan fitrah wanita yang Allah SAW kurniakan kepada kaum Hawa?
Bermula dengan Oktober tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah mati akibat didera, dirogol dan diliwat oleh teman lelaki ibunya seorang warga Sudan. Kejadian itu berlaku di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur.
Dua minggu lalu, sekali lagi masyarakat dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang kanak-kanak, Syafiah Humairah Sahari, 3, meninggal dunia kerana didera teman lelaki ibunya.
Saya pasti ramai yang menitiskan air mata kala menatap seraut wajah Syafiah yang bagaikan tidur nyenyak ketika jenazahnya dikafankan.
Ibarat sekuntum bunga yang cantik dan semerbak harumnya begitulah wajah manis anak tidak berdosa itu yang kematiannya menjadikan ramai ibu-ibu tidak lelap mata kerana simpati dan sedih yang amat sangat termasuk juga saya.
Pada 1 Mac, seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput di dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di Segamat.
Wanita itu dipercayai membuang bayi yang dilahirkannya di dalam bungkusan plastik lalu ditinggalkan dalam tandas wanita pusat latihan memandu itu sebelum ditemui seorang kakitangan pusat latihan di situ.
Sedihnya kerana mayat bayi malang itu ditemui kira-kira dua hingga lima hari selepas dibuang. Wanita yang dipercayai ibunya ditahan kurang 24 jam selepas mayatnya ditemui. Bayangkan! Itukah nilai kasih sayang seorang ibu?
Kisah sedih lagi menyayat hati ini adalah antara sebahagian lakonan hidup manusia yang semakin keliru dengan kehidupan mereka. Bukan satu atau dua tetapi telah banyak kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak berlaku. Semuanya mendukacita dan memalukan.
Dan saya pasti kejadian ini akan berterusan entah sampai bila selagi kita sebagai manusia dan ahli masyarakat tidak insaf dan mengambil iktibar akan segala kejadian yang berlaku.
Ke mana hilangnya status institusi keluarga kita yang satu ketika bagaikan keluargaku syurgaku?
Apakah kerana cinta dihalang atau memang kerana rakusnya nafsu manusia fenomena ini bermaharajalela tanpa belas kasihan?
Tidak dinafikan masalah rumah tangga dan keluarga menjadi salah satu punca berlakunya kes pembunuhan serta pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara ini.
Nyata institusi keluarga kita semakin goyah. Kasih sayang antara ahli keluarga semakin pupus, ibu bapa bersikap lepas tangan lalu kehidupan berkeluarga sekarang menjadi ibarat masing-masing perahu masing-masing kayuh. Sampai atau tidak ke daratan, sendiri yang jawab.
Remaja atau wanita yang sudah berstatus ibu tunggal atau yang belum berkahwin kerap terjebak dengan cinta tiada noktah ini. Cinta datang dan pergi setelah nafsu disempurnakan.
Pengalaman bertemu penghuni beberapa buah rumah pemulihan dan perlindungan menjadikan saya percaya bahawa kebanyakan kes hubungan terlarang yang membawa kepada perkara terkutuk ini berpunca daripada kejujuran dan kesetiaan tidak bertempat kaum wanita terhadap pasangan mereka.
Terlalu daif tentang agama, percayakan kekasih, ingin mencuba seks, dirogol, pengaruh kawan-kawan yang negatif dan suka sama suka menjadi kata kunci berlakunya perbuatan keji yang menjadikan kaum wanita ini sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan cinta kasih kepada pasangan mereka.
Cinta juga meletakkan kebanyakan ibu tunggal yang kesepian berada dalam keadaan keliru untuk mendahulukan anak kandung atau kekasih hati.
Kerana cinta semuanya dituruti. Apabila nafsu mengatasi keimanan maka syaitan akan berada di tengah-tengah. Kerana cinta juga mereka sanggup melihat anak sendiri diseksa dan dianiaya sedangkan itu darah daging yang menjadi bukti benih cinta terdahulu.
Kematian Syafiah Humairah memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mengabaikan sebarang kes penderaan sebaliknya lebih membuka mata dan telinga untuk melaporkan sebarang rasa curiga terhadap individu yang dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak. Jangan apabila sudah berlaku semua mahu membuka mulut dan bercerita.
Kepada wanita dan ibu tunggal yang sedang mencari cinta baru, hati-hatilah. Cinta bukan segala-galanya, tolonglah jangan tinggalkan anak-anak anda bersama teman lelaki jika tidak mahu melihat hidup mereka musnah dek cinta anda yang belum diketahui nokhtahnya.
Sanggupkah anda melihat ini semua berterusan? Jika tidak, ayuh kita sedarkan masyarakat supaya bangkit melindungi kanak-kanak dan jangan bersikap sambil lewa. Biarlah dianggap menjaga tepi kain orang asalkan satu nyawa dapat diselamatkan.
Buat ibu bapa, luangkan masa berkualiti dengan anak-anak, pupuk dan berilah kasih sayang kepada ahli keluarga anda kerana ia satu keperluan dan tanggungjawab.
Jangan apabila terjadi seperti Safiah Humairah atau Aaliyah baru kita tersentak. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi kerana nasi sudah menjadi bubur.
Isnin, Mac 08, 2010
Masyarakat tak kisah maksiat
Oleh Hamizah Badiran
2010/03/08
KUALA LUMPUR: Kurangnya peranan ibu bapa dalam institusi kekeluargaan dan pembabitan masyarakat adalah antara punca pelbagai masalah sosial seperti penderaan kanak-kanak secara fizikal atau seksual, kes sumbang mahram dan pembuangan bayi.
Pengerusi Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata nilai murni seperti sikap bertanggungjawab menjadi nadi utama yang perlu dipupuk dalam diri setiap individu supaya mereka tahu kesan dan akibat sebelum melakukan sesuatu perkara yang boleh dikategorikan sebagai jenayah.
Pada ketika ini, saya begitu runsing dengan kes penderaan anak dan pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi dilakukan individu tidak bertanggungjawab.
“Kanak-kanak memerlukan kasih sayang, pendidikan sempurna, hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bersih bagi memastikan mereka membesar untuk menjadi insan berguna,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-23 Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana (SKTN), Ampang, di sini, semalam.
Katanya, bagi membendung masalah itu dari terus berleluasa, pihak berkuasa diakui menggalas tanggungjawab untuk melaksanakannya, tetapi mereka hanya akan bertindak selepas masalah itu terjadi.
“Justeru itu, pembabitan masyarakat dilihat amat penting kerana mereka boleh bertindak sebagai ejen penghubung bagi melaporkan kes seperti ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Kebanyakan masyarakat tidak mahu mengambil tahu apatah lagi menegur sekiranya ada di kalangan jiran atau penduduk di kawasan sekitar penempatan mereka melakukan penderaan dan maksiat lalu mendatangkan masalah di kemudian hari dan mangsa seperti kanak-kanak ini tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai langkah awal, ‘pendidikan karakter’ atau ‘character education’ di sekolah dianggap boleh membantu masalah ini daripada terus berlaku.
Melalui pelajaran itu nanti, anak-anak dapat membina karakter diri yang diterapkan dengan nilai murni seperti berdisiplin, mengawal perasaan marah, penuhi diri dengan ilmu agama dan sayang menyayangi sesama insan bagi memastikan mereka dapat menggunakan ilmu itu dalam menempuhi kehidupan dewasa.
“Saya berharap melalui usaha ini, mereka dapat menggunakannya sebagai prinsip hidup dan sentiasa beringat sebelum melakukan perkara berunsur negatif,” katanya.