#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Panduan Hidup. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Panduan Hidup. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 10, 2010

Lelaki sejati

Kacak, segak, bijak dan matang, belum dianggap pakej lengkap, sebaliknya perlu disertai sikap bertanggungjawab dan hormati orang tua

"FUH...segaknya teman lelaki Aimera. Bukan main tegap lagi badan dia dengan susuk tubuh yang sasa ala-ala jaguh angkat besi berat, muka pun kacak tambah lagi hidung mancung. Lelaki ‘macho’ sangat! Sesuailah dengan dia yang memang cantik dan bijak bergaya,” keluh Rokiah yang kagum dengan penampilan teman lelaki rakan sekerjanya. Namun rakan semeja mendengar yang mendengarnya, pula menjawab luahan Rokiah dengan muka selamba mengenai untungnya wanita itu mendapat suami bukan hanya berjaya dalam profesion, malah tangkas menguruskan hal rumah tangga.

“Memanglah lelaki sejati daripada luarannya. Segak, kacak, gagah. Cukup pakej penampilannya. Tapi Rokiah, aku rasa suami kau pun tak kurangnya boleh dikategorikan sebagai lelaki sejati. Kerja hebat, tolong kau masak, kemas rumah di hujung minggu. Tapi kurangnya, ketinggian dia normal,” kata rakan Rokiah sambil tersenyum manis.

Sambil menongkat dagu, Rokiah hanya diam terpaku tidak mampu membalas sindiran rakannya itu dan sesi luahan hatinya pun terputus begitu saja.

Dari situ, timbul persoalan pada pandangan umum bagaimanakah kita mengukur ‘lelaki sejati’ seperti yang diidamkan ramai wanita? Rupa paras berserta badan sasa mahupun sikap peribahasa mereka menjadi mercu lambang kelelakian? Gaya boleh diasah, tapi bercerita mengenai perilaku dalaman tiada siapa boleh jawab.

Bersama-sama kita berkongsi pendapat dan pandangan beberapa wanita yang berpengalaman dalam mencari pengertian lelaki sejati, mungkin dari sini secara tidak langsung dapat dijadikan sebagai panduan kepada sesiapa saja yang ingin mencari pasangan sesuai untuknya.
Izan Mohd Radzuan menyatakan sememangnya lumrah manusia sukakan sesuatu yang tampak indah dan menarik di pandangan dan setiap individu mempunyai persepsi berbeza ketika membuat pilihan pasangan hidup.

“Rasanya perkara normal apabila memandang jejaka berbadan tegap dengan kelebihan paras rupa menawan mesti kita terpikat. Sebab ia diibaratkan sajian enak buat mata yang sentiasa mengamati persekitaran.

“Perasaan bangga pun pasti muncul apabila kita diapit lelaki bijak bergaya. Berbunga jugalah hati bila rakan memuji betapa kacaknya teman lelaki yang dibawa sesuatu ke majlis,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pendapat Izan tidak hanya terhenti di situ, pada masa yang sama, beliau juga menegaskan apa pun yang dimiliki secara fizikal, adanya sesuatu yang boleh direka dan dibuang, tapi tingkah laku yang lahir dari dalam hati tidak mampu dikikis.

“Kacak dan sasa boleh kita buat dalam tempoh yang sangat singkat. Tapi hati budi, bukan sesuatu hasil rekaan kreatif. Bagi saya untuk menilai sama ada jejaka itu lelaki pilihan adalah menerusi sikap dan layanan terhadap wanita.

“Lelaki perlu tahu menghormati hak dan tempat wanita. Ukuran kelelakiannya boleh diukur dari situ. Mereka yang matang dalam membuat keputusan dan tidak mendesak boleh berbaris dalam turutan lelaki pujaan wanita,” jelasnya sambil tergelak kecil.

Sementara itu, Suraiyah Mohamad turut menyokong mengenai rupa paras perlu juga diambil kira kerana penampilan mencerminkan diri kita. Namun, ia perlu disematkan sebagai kriteria kedua dalam senarai jika ingin mencari teman hidup.

Katanya, penampilan adalah perkara yang boleh dipelajari dan berubah dalam sekelip mata. Namun, untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan berdisiplin amat sukar dan ia lahir secara sendirinya dalam diri sejak dari awal lagi.

“Bukan mudah untuk kita jadi seorang yang berdisiplin, lebih-lebih lagi jika terlalu sibuk dengan tugas seharian. Untuk memikul tanggungjawab yang diberikan juga bukan perkara main-main kerana ia memerlukan kekuatan dalaman.

“Adalah lebih bagusnya jika seseorang itu matang daripada usianya, kerana ramai berpendapat lelaki lambat berfikiran dewasa dan perkara itu amat membimbangkan jika wanita bersamanya jauh lebih berusia daripadanya.

“Apa pun, peranan lelaki sejati tidak patut terletak pada luaran mereka saja. Kalau mereka pandai melakukan tugas sampingan seperti memasak atau mengemas, pasti menjadi pujaan ramai memandangkan wanita masa kini juga tidak kurangnya sibuk dengan kerjaya dipilih,” jelasnya tanpa teragak-agak.

Suraiya juga berpendapat pasangan yang tahu memberi saling memberi ruang dan bijak membahagi masa serta tanggungjawab memang menjadi idaman semua insan.

Sementara itu, Salina Mohamed Ishak berkata, seseorang itu tidak seharusnya melihat dari segi fizikal lelaki saja, sebaliknya perlu mendekati dan memahami secara keseluruhan peribadi dirinya sebelum mengambil keputusan menjadikannya sebagai pasangan istimewa.

Katanya, rupa paras dan bentuk tubuh adalah ‘pinjaman’ saja kerana lambat laun kesemuanya akan berubah apabila angka usia semakin meningkat. Baginya, kredit akan diberikan kepada lelaki yang tahu menghormati warga emas kerana itu membuktikan dia tahu menghormati wanita.

“Bukan senang nak ukur sama ada lelaki itu betul-betul sejati mahupun sebaliknya dan bergantung kepada individu sendiri bagaimana ingin menilainya. Tapi bagi saya, jika jejaka itu tahu menghormati orang tua dan bijak membawa diri, dia menjadi lelaki sejati idaman saya.

“Di situ, kelelakiannya teruji dan bukan mudah untuk kita mengambil hati orang tua. Malah untuk menjadi seorang yang pandai membawa diri. Mengambil hati orang tua juga bukan senang kerana perkara itu tidak boleh disembunyikan di sebalik topeng,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pendapatnya mengenai kelebihan lelaki yang pandai menguruskan hal kerja rumah, katanya, adalah perkara wajib untuk lelaki mempelajari perkara itu dan jika mereka memang sedia kala berminat adalah keuntungan kepada pasangannya.

“Kita tidak seharusnya hanya memandang pada kelebihannya seperti pandai memasak atau menggosok baju dan sekali gus membuat telahan dia adalah lelaki sejati. Mungkin memang dia sudah diasah dari kecil untuk melakukan tugasan sedemikian dan tabiat itu terus tertanam dalam dirinya.

“Jadi untuk nak menguji lelaki itu sejati atau sebaliknya cuba jangan hanya melihat pada luaran saja, tetapi pada dalamannya juga. Nilai di mana kelebihan dan kekurangannya. Dengan itu kita akan benar-benar mengenali lelaki terbabit,” katanya sebelum menamatkan perbualan petang itu.

Apapun juga pandangan dilontarkan, perkara utama yang perlu diberi keutamaan dalam mencari lelaki sejati, janganlah kita tergopoh. Buat kaum Adam, mungkin anda juga mempunyai pengertian tersendiri terhadap kelebihan yang ada pada dirinya sebagai ’lelaki sejati’.

Jumaat, Julai 02, 2010

Kes cerai pada usia emas

Utusan Malaysia
30/06/2010

Mengharapkan kasih yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa, namun akhirnya kecundang jua di tengah jalan. Lebih memilukan apabila perpisahan berlaku ketika masing-masing sedang meniti usia senja.

Trend bercerai pada usia tua semakin meningkat tanpa mengira negara, bangsa, agama mahupun warna kulit.

Contoh paling klasik membabitkan pasangan bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, 62, yang mengumumkan perpisahan dengan isterinya, Tipper, 61. Mereka setelah 40 tahun hidup bersama.

Kata Pakar Kaunseling Keluarga, Profesor Madya Dr. Saedah A. Ghani perceraian di kalangan pasangan warga emas di negara ini juga membimbangkan walaupun kesnya tidak banyak.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, antara bukti yang dilihatnya adalah secara purata lima daripada 10 orang rakan baiknya bercerai pada usia emas.

"Ketika menuntut di luar negara, saya menganggap perceraian di kalangan usia emas hanya membabitkan masyarakat atau pasangan di negara Barat namun apabila pulang ke Malaysia, saya terkejut kerana ia juga semakin banyak di Asia termasuk Malaysia.

"Kebanyakannya berlaku apabila suami kahwin lain dan menganiaya isteri menyebabkan isteri diceraikan atau memohon cerai," katanya ketika ditemui di pejabatnya di USIM baru-baru ini.

Perceraian membabitkan warga emas, kebiasaannya berlaku pada peringkat kelima perkembangan keluarga.

Ini kerana kata Saedah, perkembangan keluarga hampir sama dengan perkembangan tumbesaran manusia.

"Perkembangan keluarga membabitkan enam peringkat yang mana pada peringkat pertama, anak remaja mula mencari pasangan hidup dan peringkat kedua berlaku apabila pasangan berkahwin serta hidup bersama.

"Peringkat ketiga pula, pasangan suami isteri dan anak kecil manakala peringkat keempat, keluarga dengan anak remaja," katanya.

Saedah berkata, peringkat kelima digelar peringkat melancarkan keluarga yang mana anak sudah dewasa dan keluar rumah sama ada melanjutkan pengajian atau berkahwin.

"Ketika ini, pasangan suami isteri akan tinggal berdua pada usia emas dan sudah pencen.

"Akhir sekali atau peringkat keenam, ia peringkat cabaran apabila anak mula mempersoalkan siapa akan menjaga ibu bapa yang menyebabkan warga emas ini terabai," tambahnya.

Pada masa sama, katanya, ketika peringkat ketiga sesetengah suami sudah mula berfikir untuk berkahwin lain akibat faktor tertentu seperti berasa kurang sesuai hidup bersama dan sebagainya.

Kebiasaannya, mereka tidak meneruskan atau 'menangguhkan' hasrat itu kerana tidak sampai hati apabila memikirkan anak yang masih kecil.

Namun, suami kebiasaannya akan berkahwin lain pada peringkat kelima. Ketika itu mereka sudah bebas dari tanggungjawab apabila anak dewasa.

"Dengan wang simpanan, pencen atau KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang diperoleh selepas bersara, suami akan mula memikirkan keinginan yang belum dicapai selama ini dan mula memenuhinya termasuk mungkin berkahwin lain.

"Saya bukan menyalahkan lelaki atau menyebelahi wanita, namun realitinya suami selalu menjadi punca perceraian.

"Berbeza dengan wanita kerana jika difikir wanita akan mula hilang tarikan pada usia 40-an yang menutup keinginan atau peluangnya untuk berkahwin lain," katanya.

Namun, ketika ditanya faktor lain seseorang lelaki berkahwin baru, akuinya, sikap segelintir wanita yang memilih berkahwin dengan suami orang atau sanggup menjadi isteri kedua menyebabkan lelaki sanggup menceraikan isteri tuanya.

Tambahnya, bilangan wanita yang semakin ramai melanjutkan pengajian ke peringkat universiti berbanding lelaki mungkin antara faktor utama mereka sukar mencari individu setaraf untuk dijadikan pasangan hidup.

Bukti yang dapat dilihat, ujarnya, apabila daripada 68 pelajar yang ada dalam kelasnya, hanya lapan lelaki. Selebihnya wanita.

Faktor lain jelasnya, adalah krisis pertengahan umur yang kebiasaannya dialami warga emas. yang membuatkan mereka berfikir sejauhmana sudah berjaya sebagai insan, ibu atau bapa apabila mencecah usia tua.

"Sekiranya mereka tidak gembira dengan apa yang dicapai, mereka akan memperbaikinya serta mula mencari kebahagiaan itu dan begitu sebaliknya.

"Jika mereka tidak bahagia dengan perkahwinan dibina selama ini misalnya, mereka akan mencari pasangan baru dan berkahwin untuk mendapatkan kebahagiaan, " tambahnya.

Menurut Saedah, jika mengikut peringkat perkembangan keluarga yang normal, seseorang itu perlu menyediakan diri dengan ilmu akhirat apabila sudah tua supaya menjadi insan lebih baik.

"Individu yang berkahwin baru seolah-olah memulakan kehidupan berkeluarga di peringkat awal seperti perlu menyediakan perbelanjaan yang banyak dan bebanan menyara keluarga baru.

"Perkahwinan itu juga boleh menimbulkan konflik seperti tanggapan buruk jiran dan masyarakat, perasaan malu anak dilihat sebagai cucu, disisih keluarga isteri tua serta tekanan kerana perlu mengikut permintaan atau kegemaran isteri muda dan anak kecil," katanya.

Selain itu, jelasnya, seseorang perlu berjumpa dengan kaunselor jika mempunyai keinginan untuk berkahwin lain supaya dapat membuat pertimbangan dan keputusan terbaik.

Ujarnya, lebih baik jika suami berbincang dengan isteri dan anak-anak supaya mereka tahu dan faham namun ramai lelaki berkahwin secara sembunyi yang akhirnya menyebabkan isteri dan anak-anak memulaukan apabila mengetahuinya.

Khamis, Julai 01, 2010

Cara tangani 'isu sensitif’'

2010/07/01
Berita Harian


ADA orang memiliki emosi yang sensitif. Ia adalah ciri yang positif andainya ia menjadikan anda seorang yang bertimbang rasa dan mudah simpati terhadap perasaan serta penderitaan orang lain.

Masalahnya timbul apabila sesetengah orang menjadi terlalu sensitif apabila mereka tidak mendapat perhatian seperti yang diharapkan. Mereka mudah tersinggung, merajuk atau berkecil hati dengan teguran yang dianggap sebagai kritikan. Mereka akan berasa jengkel dan susah hati apabila ada yang melanggar peraturan peribadi mereka. Ia sememangnya suatu cabaran apabila anda perlu berhati-hati dengan setiap apa yang dikatakan atau dilakukan kepada orang lain. Kita sering kali berhadapan dengan situasi yang mana dalam satu-satu keadaan, kita perlu bersikap lebih bijaksana dan lebih berhati-hati dalam tindakan. ‘Nasihat’ atau ‘cadangan’ yang biasa ada kalanya dianggap sebagai kritikan, atau malahan, suatu penghinaan. Berikut adalah beberapa ‘isu sensitif’ yang biasa terjadi dan boleh diatasi dengan cara yang lebih halus bagi mengelakkan keadaan serba-salah:

Nafas berbau: Pepatah lama yang mengatakan ‘anda adalah apa yang anda makan’ merujuk kepada tanggapan bahawa untuk berasa cergas dan sihat, anda perlu makan makanan yang baik. Ini kerana ia boleh menjadi penyebab berlakunya masalah bau nafas yang teruk. Bawang putih contohnya, terkenal dengan khasiatnya, namun ia juga boleh menimbulkan masalah apabila diambil terlalu banyak sewaktu makan tengah hari, iaitu sebelum berlangsungnya mesyuarat yang penting! Antara cara paling mudah untuk ‘memberitahu’ seseorang yang nafasnya berbau ialah dengan menawarkan mereka perasa pudina. Anda juga perlu mengambil satu dan berlagaklah seperti biasa. Pastinya tidak lama kemudian mereka akan sedar mengapa anda asyik menyogokkan perasa pudina kepada mereka, dan pada waktu itu mudahlah bagi anda untuk memberitahu mereka keadaan yang sebenar.

Tidak berzip: Keadaan ini pastinya agak menduga kerana ia berpotensi menjadi suatu situasi yang memalukan bagi pihak yang ‘tidak berzip’. Untuk mengelakkan rasa janggal yang berterusan, sebaiknya anda menarik orang itu ke tepi dan beritahu mereka secara lembut. Jika individu itu daripada jantina berbeza, adalah lebih baik untuk menyuruh orang lain memberitahu lelaki ataupun wanita berkenaan. Mereka mungkin akan ketawa, tetapi tetap berasa malu dengan kejadian itu, namun pastinya mereka akan berterima kasih kerana ia menyelamatkan mereka daripada terus malu.

Bau Badan: Bagaimanakah caranya untuk memberitahu rakan sekerja? Dengan amat berhati-hati. Ini adalah tugas untuk teman baik rakan sekerja itu. Perkara yang sebegini seeloknya datang daripada seseorang yang tidak mempunyai niat buruk; kerana ia tidak akan membuatkan tindakan itu kelihatan seperti suatu penghinaan, namun sebaliknya sikap yang berlandaskan keprihatinan. Jika anda bukannya rakan sekerja yang paling akrab dengan individu itu, maka beritahulah orang yang rapat dengannya.


“Kami sebenarnya prihatin mengenai Maria; kami semua sukakan dia dan tak mahu dia gusar akan perkara ini. Awak yang paling rapat dengan dia; apa yang boleh awak cadangkan untuk langkah seterusnya?” Sekiranya individu itu benar-benar sahabat Maria, beliau tentu akan merasakan bahawa maklumat berkenaan adalah kurang memalukan jika diberitahu sendiri oleh beliau. Kalaupun beliau sendiri menolak untuk terbabit dalam memberitahu hal itu, beliau mungkin tahu pendekatan yang boleh digunakan untuk memberitahu Maria – atau beliau sendiri mungkin tahu punca masalah itu!

Memakai kasut berlainan warna: “Saya ada kasut yang stailnya amat saya minati dan saya beli dua pasang: satu hitam dan satu biru. Awal-awal pagi lagi saya sudah bersiap dan tak nak kejutkan suami, jadi saya bersiap dalam gelap. Saya pergi kelas macam biasa dan selepas makan tengah hari, rakan sekerja beritahu yang saya memakai kasut berlainan! Malunya saya memikirkan semua orang yang mungkin sudah ternampak saya berjalan pergi balik waktu makan tengah hari!’ – Pernahkah anda mengalami situasi ini? Seperti kebanyakan orang lain, cara terbaik mengatasi masalah ini ialah dengan memberitahu individu itu secepat mungkin. Anda juga tentu mahu tahu secepat mungkin bukan? Tindakan yang sama juga perlu diambil jika anda terlihat tanda harga yang masih tergantung pada baju, tali yang tersangkut pada kemeja, tuala kertas yang terlekat pada kasut dan sisa makanan yang terselit di celah gigi.

Gigi sensitif: Ini mungkin tidak dilihat sebagai suatu isu yang sensitif, namun orang ramai sering berasa malu untuk mengakui bahawa mereka mengalami gigi sensitif. Keadaan ini memaksa mereka menjauhkan diri daripada keluar secara berkumpulan atau menghadiri jamuan makan malam kerana malu tidak dapat makan atau merasa sesetengah makanan disebabkan ‘keadaan’ mereka. Seperti biasa, lebih elok untuk kita bersikap bijaksana dan bertimbang rasa apabila berhadapan dengan keadaan ini. Beritahu mereka bahawa perkara itu boleh diatasi dan ia adalah masalah biasa.

Gigi sensitif (atau kehiperpekaan dentin dalam istilah perubatan) adalah ketidakselesaan pada sebatang gigi atau lebih, yang disebabkan oleh makanan dan minuman panas, sejuk, manis atau masam, ataupun hanya setakat dengan menghirup udara sejuk. Rasa sakit biasanya tajam dan mendadak, dan boleh menusuk sehingga ke hujung saraf gigi anda. Malangnya, makanan manis atau masam seperti hidangan ikan masak masam manis yang baru anda sediakan juga boleh menyebabkan kesakitan yang ditakuti penghidap gigi sensitif

Jumaat, Mei 07, 2010

Fokus: Waspada, elak jadi mangsa rogol

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2010/05/07

MELETAKKAN kepercayaan terhadap seseorang perlu ada sempadan atau batasan. Faktor itu adalah ‘penyelamat’ dan perisai utama daripada mengelakkan individu itu menjadi mangsa mahupun apa saja bentuk penganiayaan yang mungkin tidak diduga, boleh berlaku bila-bila masa saja.

Aktivis Keselamatan, K Balasupramaniam, berkata tidak dinafikan ada kes rogol dan jenayah lain yang berkaitan dengan perasaan dendam, sakit hati dan sebagainya kepada mangsa, malah pelakunya, tidak mustahil individu yang dikenali atau rapat dengan mangsa termasuklah, teman, kekasih dan sebagainya.

Justeru, Balasupramaniam berkata, wanita yang lazimnya menjadi mangsa tidak kira ke mana saja pergi atau dirinya berada, tidak boleh leka walaupun hanya untuk sedetik.

Katanya, mempunyai perasaan syak mahupun was-was perlu sentiasa ada dalam diri pada setiap wanita, lebih-lebih lagi jika bersendirian dan bersama dengan orang yang tidak dikenali kerana semua itu boleh menjadi ‘penyelamat’ serta dapat mengelakkannya daripada menjadi mangsa.

“Perasaan hati selalunya adalah benar. Oleh itu individu kena percaya kepada perasaan diri sendiri, misalnya jika berasa tidak sedap hati maka hendaklah lebih was-was lagi. Lebih-lebih lagi, jika duduk dalam ‘hutan batu’ setiap individu perlu ada pertahanan survival diri - jangan cepat percaya dan mudah diperdaya sekali pun orang itu baik dengan kita. Ingatlah, bersifat baik belum tentu lagi bersikap pelindung,” katanya berkongsi pandangan bagi individu mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.
Balasupramaniam berkata, untuk keselamatan individu yang sudah mengetahuinya lemah dan tidak berdaya bertindak bersendirian jika berdepan dengan sebarang kemungkinan yang tidak diingini, sebaik-baiknya jangan mendedahkan perkara itu.
Contohnya, jika individu berkenaan tinggal bersendirian di rumah dan didatangi orang yang tidak dikenali, jangan sama sekali memberitahu keadaan itu.
“Begitu juga apabila keluar rumah atau pergi ke mana-mana dengan seseorang termasuklah teman, jiran dan sebagainya, antara helah yang boleh digunakan ialah menelefon ahli keluarga atau orang lain yang dikenali bahawa ketika itu anda bersama dengan individu berkenaan. Dengan teknologi yang ada hari ini, mungkin juga boleh menghantar MMS wajah orang yang anda keluar bersama itu kepada keluarga dan sebagainya.

“Taktik seumpama itu boleh menyebabkan individu yang berniat melakukan sesuatu tidak baik dengan anda membatalkan hasrat kerana bimbang, jejak atau tindakan jahat itu mudah dikesan,” katanya.

Rakan jadi dajal

SEPERTI gunting dalam lipatan. Dalam diam, rakannya menjadi ‘dajal’ yang memusnahkan kemanisan hidup remajanya. Itulah nasib menimpa Ikin yang menjadi mangsa rogol angkara rakan baik yang dikenali sejak kecil lagi.

Semuanya berpunca daripada perasaan cemburu yang tersembunyi dan dengki membuak rakan Ikin kepadanya apabila beliau dinaikkan pangkat. Malangnya, Ikin tidak menyedari hal itu dan rahsia itu hanya terbongkar apabila dirinya sudah pun menjadi mangsa.

Ikin bekas pekerja kilang elektronik berkata, beliau tidak menyangka sama sekali keinginan menyambut hari kemerdekaan di bandar, membawa padah dalam hidup dan menjadi kenangan pahit serta tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.

“Itulah pertama kali saya ingin melihat suasana sambutan hari kemerdekaan di bandar dan saya memang jarang keluar malam apatah lagi jika tiada apa-apa hal. Malam itu saya dan dua lagi rakan perempuan keluar bersama. Kedua-duanya, sama bekerja dengan saya dan kami kenal baik antara satu sama lain. Malam tu, memang seronok dan meriah, tetapi apa yang dirancang lain pula jadinya,” kata Ikin dalam nada perlahan.

Ikin yang berasal dari selatan berkata, ketika berasa haus rakannya menawar diri untuk membelikan air minuman. Tanpa ada perasaan syak wasangka, air dibelikan rakan disedut bagi membasahkan tekak. Selepas meminum air itu kepalanya berpinar dan pandangannya semakin kelam, malah Ikin tidak tahu apa yang berlaku selepas itu.

“Sedar-sedar, saya sudah berada di atas katil di sebuah rumah yang saya sendiri tidak tahu di mana tempat itu. Waktu itu sudah pagi dan saya tanya kepada dua rakan, apa yang berlaku dan mereka kata saya pengsan, sebab itulah terpaksa bermalam di situ. Saya berasa hairan tetapi tidak syak apa-apa kerana tidak berasa apa-apa perubahan pada diri, malah pakaian yang dipakai juga lengkap dan sama seperti malam itu,” katanya lalu menghela nafas panjang.

Empat bulan selepas kejadian itu, rakan yang bersubahat dan diasak perasaan bersalah menganiaya Ikin, membocorkan rahsia sebenar peristiwa pada malam itu. Bagaikan luruh jantung Ikin, mendengar cerita yang berlaku. Wanita bertubuh kecil itu kebingungan dan tidak tahu apa yang mesti dilakukan.

Akhirnya, perkara itu dikongsi bersama dengan penyelia dan laporan polis dibuat. Dua minggu selepas itu, lelaki merogolnya berjaya ditangkap, manakala rakan yang menganiayanya menghilangkan diri entah ke mana. Malang yang menimpa Ikin tidak habis di situ kerana didapati mengandung lima bulan.

“Hari-hari saya menangis dan kadang-kadang, rasa hendak bunuh diri, tetapi nasib baiklah, ibu serta nenek sentiasa memberikan sokongan,” ceritanya lagi. Ibu Ikin mencadangkannya memasuki mana-mana pusat perlindungan wanita. Ikin yang tidak berdaya berdepan tekanan, menerima cadangan itu.

Ikin diterima memasuki Kompleks Dar-Assa’adah dan kini sudah hampir setahun menjadi penghuni di situ. Malah, anaknya sudah pun berusia lima bulan dan kini dijaga oleh ibunya di kampung. Hari raya tahun lalu, Ikin sempat menghabiskan masa bersama anak lelakinya itu.

“Sehingga hari ini saya tidak pernah melihat wajah sebenar perogol itu. Saya hanya melihatnya melalui gambar yang ditunjukkan ibu. Dulu, memang ada perasaan marah dan geram pada lelaki itu, tetapi kini saya terima dengan reda apa yang sudah berlaku dan biarlah Allah saja membalasnya.

“Saya dapat tahu, perogol itu dijatuhkan hukuman tujuh sebatan dan penjara. Dia juga pernah beritahu kepada ibu saya untuk bertemu dan datang minta maaf dengan saya selepas keluar penjara nanti. Tetapi bagi saya, lebih baik tidak payah tengok mukanya langsung,” katanya tegas.

Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, Ikin berkata, akan lebih berhati-hati dan selepas ini mungkin tidak akan mudah mempercayai seseorang sekalipun sudah lama kenal.

Mengenai perancangan masa depan, Ikin yang berpeluang belajar menjahit di pusat perlindungan itu bercadang untuk bekerja kerana ingin menanggung dan menjaga sendiri anaknya selepas tempoh berada di pusat perlindungan di situ tamat nanti.

Mangsa si pemasang jeriji

TAKUT, sedih, marah dan macam-macam lagi perasaan bercampur-baur dalam diri Roslina apabila mendapati dirinya mengandungkan anak yang bukan disemai daripada benih cinta, sebaliknya akibat perbuatan keji lelaki jahanam tidak dikenali sehingga mencalar maruah diri.

Namun, Roslina tidak berdaya untuk memutarkan masa yang sudah berlaku. Meskipun, terlalu pahit untuk diterima semua itu, anak bongsu dalam lapan beradik itu terpaksa reda berdepan dengan kenyataan.

Menceritakan peristiwa yang merenggut kebahagiaannya sehingga memaksanya membawa diri ke pusat perlindungan Kompleks Da-Assa’dah, Roslina berkata, hari yang dianggap berlangsung dengan baik dan sempurna, tidak sangka adalah hari paling malang buatnya.

“Pagi itu di tadika tempat saya mengajar ada gotong-royong dan selepas habis, semuanya balik kecuali saya yang perlu mengunci tadika berkenaan sebelum pulang. Saya juga tidak boleh pulang awal kerana hari itu ada kerja pemasangan jeriji oleh lelaki yang rumahnya hanya bersebelahan dengan tadika itu. Mahu tidak mahu, saya perlu menunggunya habis melakukan tugas itu. Waktu itu memang tinggal kami berdua saja.

“Dalam sibuk buat kerja, lelaki itu kemudian memberitahu saya dia berasa haus dan ingin membeli air, malah turut menawar membelikan minuman untuk saya. Tanpa berfikir panjang saya pun setuju. Sebaik saja lelaki itu membelinya, saya pun terus minum air berkenaan dan akhirnya tidak sedarkan diri.

“Apabila bangun, saya mendapati seluar yang saya pakai sudah tertanggal. Saya syak sesuatu yang buruk telah berlaku pada saya dan begitu panik tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Akhirnya, saya telefon bapa dan memberitahu kejadian itu,” katanya yang mengakui berasa malu untuk membongkar cerita mengaibkan itu.

Roslina berkata, disebabkan berasa terlalu malu, trauma dan dilanda perasaan yang tidak keruan, kejadian itu tidak dilaporkan pada pihak berkuasa. Bagaimanapun, sebelum itu bapa dan abang-abangnya berusaha juga mencari lelaki jahanam itu, konon untuk ‘mengajarnya’.

Ternyata, lelaki itu lebih licik dan sudah pun menghilangkan diri. Mendiamkan diri, membuatkan Roslina terus tertekan dan keadaan bertambah teruk apabila mendapati dirinya mengandung.

“Sikap saya tidak seperti sebelum itu. Kanak-kanak yang saya ajar menjadi takut dengan saya kerana sikap saya yang cepat marah dan tidak mesra lagi dengan mereka. Keadaan lebih teruk apabila dapat tahu saya mengandung empat bulan. Saya asyik mengurung diri saja. Keluarga kemudian membuat keputusan melaporkan kejadian itu kepada polis dan menghantar saya ke pusat perlindungan wanita supaya jiwa tenteram dan semangat saya kembali pulih,” katanya yang sudah pun selamat melahirkan bayi lelaki beberapa bulan lalu ketika berada di pusat perlindungan itu.

Roslina yang berasal dari Pantai Timur berkata, melalui polis barulah diketahui bahawa lelaki yang merosakkan hidupnya itu sebenarnya memang dikehendaki pihak berkuasa kerana melakukan beberapa kesalahan jenayah, namun lelaki itu masih tidak dapat dikesan.

“Anak saya kini di bawah jagaan ibu saudara. Walaupun, kelahirannya di dunia bukan atas kerelaan, saya tetap menyayanginya. Anak saya itu tidak bersalah dan sebab itulah saya mahu berikannya kasih sayang seperti sebuah keluarga sempurna dan tidak mahu apabila besar kelak, dia berasa tersisih atau rendah diri,” katanya meluahkan naluri hatinya sebagai ibu.

Roslina yang berkelulusan diploma dalam bidang kejuruteraan berkata, kejadian hitam itu turut hampir merosakkan hubungan baiknya dengan teman lelaki yang sudah dikenali sejak lima tahun lalu. Mujur, teman lelaki yang sudah merancang menyuntingnya sebagai suri dalam hidup, masih boleh menerima Roslina seadanya, tetapi tidak pasti bagaimana penerimaan keluarganya.

Selepas keluar dari pusat perlindungan itu Roslina merancang untuk mengambil kursus pengasuhan kanak-kanak bagi membolehkannya meneruskan kerjaya dalam bidang yang diceburi sebelum ini.

Jumaat, April 23, 2010

Pasrah terima ujian

Apa yang kita boleh lakukan jika tidak dapat menerima qada' dan qadar?

RAMAI orang yang kerap mengalami trauma putus asa dalam hidup atau perjuangan mereka apabila berhadapan dengan persaingan dan kekalahan.

Terlalu berfikiran negatif hinggakan tidak ada usaha untuk mencari penyelesaian.

Pejuang-pejuang Melayu ketika menuntut kemerdekaan tidak pernah berasa gusar dengan penjajah British. Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharaja Lela dan Md. Salleh adalah di antara wira yang berani. Perjuangan adalah kemenangan. Walaupun mereka tewas dalam pertempuran, tetapi perjuangan yang dibawa oleh mereka berakhir dengan kemerdekaan negara.

Mereka tidak lari daripada perjuangan kerana sikap dan keyakinan mereka terhadap kemenangan. Imam Abdullah Haroon, salah seorang pejuang dasar aparteid di Afrika Selatan adalah seorang yang berketurunan Melayu.

Walaupun kisah perjuangannya tidak seharum nama Nelson Mandela, kubur Imam Abdullah pernah diziarahi oleh bekas Presiden Afrika Selatan itu.


Demi perjuangan menentang dasar yang zalim itu, Imam Abdullah ditahan selama 130 hari dengan seksaan yang sungguh sakit dan tidak berperikemanusiaan.

Panglima perang Islam, Khalid Al-Walid tidak pernah kalah dalam pertempuran, semangat juangnya sangat tinggi dan beliau hanya mengeluh kerana tidak mati syahid di medan perang.

Sebagai contoh, jika ada orang mengatakan Melayu tidak mampu dan tidak boleh buat sesuatu kerja, jangan terus melenting, mengamuk dan terus rasa putus asa. Melenting, mengamuk dan putus asa merupakan satu imbasan perlakuan tidak mampu menerima kritikan.

Jadi, macam mana kita hendak maju? Yang terbaik ialah dengan mengambil kritikan itu sebagai cabaran kita bertindak bagi membuktikan kita boleh buat. Apa yang mereka buat, kita juga boleh buat malah lebih baik daripada mereka.

Melayu hari ini pun rata-ratanya telah mendapat pendidikan yang sangat baik dan mampu membuat analisis yang mudah. Perubahan ketara yang Melayu kena berani lakukan ialah bersedia menerima kritikan sebagai peluang membuktikan kemampuan dan keupayaan diri sendiri.

Individu yang berjaya adalah orang yang berhenti menyalahkan orang lain. Menuding jari ke arah apa sahaja kecuali diri sendiri tidak akan memberi sebarang makna dalam hidup.

Paulo Coelho, seorang penulis yang terkenal di peringkat antarabangsa, memulakan usaha menulis buku novel bermodalkan kisah sebenar beliau kerana perasaannya tidak gembira dan sukar mencapai matlamat dalam hidup.

Kisah ceritanya sangat berkait dengan perjalanan kerohanian. Justeru, The Alchemist, buku paling laris beliau mengisahkan pengalamannya melawat Mesir, berkawan dengan orang Islam dan melihat kehidupan perjalanan hidup rakannya sebagai seorang Islam yang taat.

Dalam ceritanya itu, Coelho mendengar bacaan al-Quran yang kuat menusuk hatinya yang kemudiannya memberikannya penuh inspirasi bahawa Tuhan, pada hakikatnya, menunjuk arah kepada manusia. Katanya: "Jika kita mendengar apa yang Tuhan beritahu, tidak ada pilihan untuk kita melakukan kesilapan."

Jika seseorang memberi fokus kepada hidupnya, masa depannya dan orang di sekelilingnya maka setiap hari adalah pembawa perubahan. Apabila hidup bersama keinginan yang membuak-buak, kita mula belajar untuk berbakti dan menghambakan diri kepada Allah, Tuhan yang maha Pengasih lagi maha Penyayang.

Allah menimbulkan keinginan kita terhadap sesuatu yang menjadi hajat kita dengan mencampakkannya ke dalam hati. Dan rahsia mendapatkannya ialah dengan yakin sepenuh hati bahawa Allah akan menunaikan hajat kita.

Cubalah biasakan diri kita untuk menerima qada' dan qadar Allah. Apa yang kita boleh lakukan jika tidak dapat menerima qada' dan qadar? Apakah kita boleh masuk perut bumi atau membina tangga untuk ke langit?

Jalan keluarnya adalah dengan rasa reda dan kita pasrah. Renungkan firman Allah: "Di mana pun kamu berada, kematian akan menemui kamu, meskipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" - surah An-Nisa': 78. Rasulullah memberi peringatan dalam sabdanya yang bermaksud: "Maka barang siapa yang reda (terhadap ujian yang Allah timpakan) maka ia akan memperoleh reda Allah (dan pahalanya) dan barang siapa membenci (dan tidak reda terhadap ujian yang Allah timpakan), maka dia akan memperoleh kemurkaan Allah (dan seksanya)."

Tawakal, keimanan teguh elak penyakit jiwa

Oleh Penulis Khas YaPEIM

PENYAKIT psikologi seperti tekanan perasaan, bimbang, sedih, hasad dengki serta putus asa sebenarnya berpunca daripada fikiran tidak rasional yang ada dalam minda seseorang. Ia berlegar di sekitar salah faham terhadap empat perkara pokok iaitu :
1 - Allah

2 - Hakikat diri insan
3 - Hakikat dunia
4 - Hari akhirat.

Beberapa contoh salah faham terhadap Allah ialah seseorang yang berusaha keras dan berasakan dengan pasti bahawa dia akan mendapat apa yang diusahakannya. Namun apabila gagal, dia akan berasa sedih dan tertekan.

Begitu juga keadaan seseorang yang putus kasih, akhirnya menyebabkan dia berada dalam kesedihan yang melampau serta putus harap. Sama juga yang sedih dan terkilan kerana segala pengorbanannya tidak diiktiraf oleh majikan hingga melemahkan semangat untuk terus cemerlang.

Banyak lagi contoh yang dapat diketengahkan, namun apa yang pasti semua permasalahan psikologi tadi disebabkan jahilnya kita dengan hakikat Allah atau jauhnya Allah daripada kehidupan kita. Harus diingat bahawa Allah yang menentukan segala keputusan. Kita hanya sekadar merancang dan melakukan yang terbaik. Selebihnya serahkan kepada Allah. Dengan berpendapat bahawa kita mesti dapat apa saja diusahakan adalah sesuatu yang tidak rasional dan akhirnya menyebabkan kita tertekan serta merana.


Di sinilah konsep tawakal dan kepercayaan kepada qada dan qadar perlu diingatkan. Bagi individu yang putus kasih, seharusnya beliau memahami jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Dalam hal seseorang yang terkilan kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya, beliau harus ingat bahawa Allah Maha Mengetahui dan segala sesuatu pastinya tidak terlepas daripada pandangan-NYA.

Sebab itulah kita sewajarnya bersikap ikhlas dalam pekerjaan kerana mungkin kita tidak mendapat perhatian dan pengiktirafan duniawi, namun kita akan mendapat ganjaran lebih besar dan bermakna di akhirat nanti. Contoh di atas, jelas menunjukkan kejahilan terhadap Tuhan punca penyakit psikologi yang kita alami.

Salah faham terhadap hakikat diri, contohnya seseorang yang berfikiran bahawa harta dapat menjamin kabahagiaan, tetapi apabila harta sudah banyak, bukannya hati bertambah senang, malah semakin tertekan.

Anak beranak berpecah belah kerana harta dan ada yang sanggup berbunuhan kerana tamakkan harta. Tidur malam tidak sempurna sama ada asyik memikirkan bagaimana mahu menambah harta atau takut harta dilarikan orang.

Jika kita mengenali siapa kita sebenarnya, iaitu hakikat ruh dan jasad, kita akan mengetahui hakikat diri yang sebenar adalah ruh bukannya jasad. Jasad hanya kenderaan bagi ruh dan harta pula hanya sekadar memenuhi kehendak jasad. Apabila mati, jasad kita tinggalkan akan hancur musnah, tetapi roh (yang kita rujuk sebagai ‘aku’) akan meneruskan perjalanan ke alam berikutnya.

Faktor utama yang membahagiakan roh adalah kenal dan dekatnya ia dengan Tuhannya. Sebab itu, lagi dekat kita dengan Allah, lagi bahagia kita rasakan, tetapi lagi jauh kita dengan Tuhan, bertambah sengsara kita rasakan.

Orang kaya-raya dan berkedudukan, tetapi tidak mengamalkan ajaran Allah dan Rasul, rohnya sakit dan tidak akan bahagia. Hatinya penuh dengan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam penyakit psikologi lain. Namun jika rohnya sihat, tetapi berkurangan sedikit daripada aspek keperluan jasadiah, dia masih tersenyum bahagia.

Salah faham terhadap dunia berlaku apabila kita mengharapkan sesuatu bersifat duniawi akan kekal. Kasih suami pada isteri, ibu pada anak, biar seutuh mana sekalipun, pastinya akan berkesudahan dengan perpisahan. Tiada yang kekal kecuali Allah.

Oleh itu, mengharapkan sesuatu yang tidak kekal supaya kekal adalah tidak rasional. Kita yang akan merana jika fahaman sebegini berada dalam kotak fikiran.

Disebabkan itu, dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan pemilihan pasangan, Rasulullah SAW menyuruh kita memilih pasangan yang beragama, kerana agama adalah sesuatu yang kekal. Rumah tangga yang dibina atas asas agama pasti lebih utuh daripada yang dibina atas asas kecantikan dan harta yang sifatnya sementara.

Salah faham terhadap hari kemudian berlaku apabila kita menganggapnya tidak penting kerana ia jauh dan tidak nampak. Namun sebaliknya, hari akhirat adalah penting kerana ia adalah destinasi terakhir dan abadi.

Memahami hakikat ini, kita sewajarnya tidak mudah menangis dan berasa sedih apabila berhadapan dengan permasalahan duniawi. Kita sepatutnya tahu menyusun keutamaan dengan mendahulukan apa yang dapat menjamin kebahagiaan kita di sana.

Ada tiga perkara yang perlu kita usahakan sebagai bekalan di akhirat nanti seperti yang disaran Rasulullah SAW iaitu anak salih yang mendoakan kedua ibu bapanya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.

Bersesuaian dengan pentingnya amal jariah, penubuhan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai institusi amal jariah haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Banyak penyakit psikologi dialami masyarakat hari ini berpunca daripada kejahilan atau kurangnya ilmu khususnya berkaitan empat perkara. Sumber ilmu yang benar seharusnya daripada agama. Agama memberikan mekanisme pertahanan yang kuat untuk kita berdepan segala cabaran di dunia.