#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label BMDua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BMDua. Papar semua catatan

Ahad, September 06, 2009

Bahana dadah

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my




Anak kecil, warga tua dan anggota keluarga jadi sasaran 'bangkai bernyawa'

SEBAIK umat Islam melangkah masuk tahap 10 hari kedua Ramadan yang dijanjikan pengampunan, rakyat Malaysia sebaliknya dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak tidak berdosa di tangan bapa saudaranya, seorang penagih dadah tegar, Selasa lalu.

Dalam kejadian di Gua Musang itu, Mohd Adam Azrai Rosman, 3, sedang seronok menunjukkan baju raya baru dibeli apabila bapa saudaranya yang berusia 22 tahun tiba-tiba meluru dan terus menikam rusuk mangsa dengan pisau.

Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai penagih tegar baru saja mengambil dadah ketika melakukan jenayah menyayat hati itu.

Dia dipercayai bertindak kejam kerana hasratnya berkahwin ditentang keluarga termasuk bapa mangsa, Rosman Mohd Nor, 41, kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan bagi menyara dirinya sendiri atau pun insan bergelar isteri.

Tiada yang lebih menyayat hati daripada imbasan wajah comel Mohd Adam Azrai terpampang di dada-dada akhbar sehari selepas kejadian - wajah suci anak kecil yang tidak mengerti apa-apa, jauh sekali erti dendam dan sakit hati.

Sebuah rumah di Temerloh hangus dibakar sekumpulan penagih dadah, tahun lalu.

Mohd Adam Azrai bukan mangsa pertama penangan najis dadah yang tidak boleh dinafikan berjaya mengambil alih mengawal kewarasan penagih untuk melakukan tindak tanduk di luar batas kemanusiaan.

Mereka sudah tidak kenal saudara jika ketagihan memuncak dan dalam keadaan khayal selepas mengambil najis dadah itu, fikiran yang tidak stabil boleh mendorong penagih dadah melakukan apa saja, hatta membunuh sekalipun.

Malah kisah penagih dadah membuat kecoh dan mengugut anggota keluarga sudah kerap dilaporkan. Dalam kejadian Ogos lalu di Kuala Terengganu, seorang lelaki yang dipercayai penagih tegar dimasukkan ke Wad Psikiatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas mengamuk dan mengugut untuk meracun ahli keluarga serta jirannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Kampung Kelulut, Marang, suspek yang tinggal bersama ibu bapa dan kakaknya dikatakan tiba-tiba mengamuk dengan bertindak memecahkan cermin dan barangan dalam rumah, memotong wayar elektrik dan memancitkan tayar kereta milik keluarganya.

Mek Mong Mamat menjadi mangsa tetakan penagih dadah.

Sementara itu, di Kota Sarang Semut, Kedah, pada Julai lalu, seorang lelaki yang tidak sampai 24 jam dibebaskan dari penjara, dipercayai penagih dadah membakar 30 naskhah al-Quran yang disimpan dalam sebuah masjid di Kampung Tualang.

Seorang cucu pula sanggup mengugut membunuh nenek sendiri berusia 86 tahun sebelum meragut dua rantai emas dan satu loket berlian bernilai kira-kira RM3,500 miliknya di Kampung Molek dalam kejadian di Dungun pada November lalu.

Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai seorang penagih dan pernah ditahan kerana mencuri barangan milik ibu saudara serta adik-beradiknya, selain kesalahan dadah.

Dalam kejadian lebih kejam pada 2007 di Georgetown, seorang wanita warga emas berusia 56 tahun dipukul hingga mati sebelum mayatnya dibakar, dipercayai dilakukan seorang penagih dadah. Lelaki berusia 30-an itu dipercayai membunuh wanita berkenaan selepas mangsa enggan menyerahkan wang kepadanya.

Mudah sebenarnya meneka apa yang bersarang dalam fikiran mereka apabila sudah dikuasai najis dadah sehingga sanggup bertindak sedemikian rupa. Kewarasan yang semakin terhakis disebabkan ketagihan dadah menjadikan mereka hilang pertimbangan sebagai manusia, sebaliknya cuma menurut nafsu yang dipandu iblis untuk bertindak di luar batasan.


Penagih dadah sering hilang pertimbangan

PENGAMBILAN dadah perangsang dalam tempoh panjang akan merosakkan fizikal dan mental kerana ia adalah campuran bahan beracun, kata Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Ahmad Hatim Sulaiman.

Beliau berkata, selain kerosakan gigi, gusi, sistem penghadaman dan hati, kesan paling teruk ialah kerosakan saraf otak yang boleh menyebabkan penagih menjadi gila.

“Nasihat saya jangan sesekali mencuba. Pengedar mendakwa ia tidak menyebabkan ketagihan tetapi saya mahu tegaskan dadah sintetik memang menyebabkan ketagihan. Sekali mencuba, mereka akan terus ketagih.

“Mereka yang mengambil dadah ini akan mengalami simptom seperti mendengar suara, percaya adanya ancaman yang mendorong mereka bertindak ganas termasuk membunuh.

“Selepas mengambil dadah itu, reaksi penagih bergantung kepada keadaannya ketika itu. Jika takut, dia akan berasa sangat takut seperti mendakwa nampak hantu dan jika dalam keadaan marah, mereka akan bertindak agresif,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan PPUM ada menyediakan rawatan untuk penagih dadah sintetik sejak setahun lalu dan mencatatkan kejayaan memberangsangkan.

“Kami membekalkan ubat dan rawatan percuma selama tiga bulan untuk penagih dadah sintetik kerana masih pada peringkat kajian. Mereka dirawat dengan ubat dan psikoterapi. Dalam kes ini, seramai 40 penagih tegar dadah sintetik terbabit dan boleh katakan lebih separuh daripada mereka sudah sembuh sepenuhnya.

“Bagi kes teruk, penagih akan ditempatkan di wad untuk seminggu atau dua minggu kemudian dibenarkan keluar selepas mendapati keadaan mereka semakin stabil. Bagi sebulan atau dua bulan, rawatan susulan dilakukan seminggu sekali dan seterusnya bergantung kepada keadaan mereka.

“Ada yang datang secara sukarela selepas membaca iklan dalam akhbar dan ada juga keluarga yang datang merujuk anggota keluarga mereka ke sini. Peratus kejayaan begitu memberangsangkan,” katanya.

Katanya, penagih atau keluarga yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 03-79604367 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi, berkata penagih yang mengambil dadah sintetik membabitkan campuran bahan kimia cenderung hilang pertimbangan dan bertindak agresif hingga membahayakan orang lain.

Mengulas kejadian menyayat hati yang menimpa Mohd Adam Azrai, Mohd Yunus, berkata dadah sintetik seperti syabu mampu membuatkan penagih berdepan kemurungan teruk dan cepat marah.

“Pengambilan ganja dalam tempoh lama juga memberikan kesan sama. Dalam kejadian itu, penagih mungkin nampak kanak-kanak berkenaan sebagai objek yang mengancam dan membuatkan dia bertindak menikam mangsa.

“Sebenarnya banyak lagi kes seumpama itu yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Jenayah dilakukan penagih tegar seperti rogol, sumbang mahram, pukul sehingga membabitkan pembunuhan tidak dilaporkan keluarga.

“Mereka mungkin malu untuk berdepan tindakan polis dan mahkamah tetapi sikap itu menyebabkan tragedi berlaku. Malah ada kes suami isteri yang sudah bercerai tetapi masih tinggal serumah semata-mata untuk menjaga status kemasyarakatan mereka,” katanya.

Mohd Yunus menggesa keluarga supaya segera melaporkan kehadiran penagih tegar di kalangan mereka kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian yang menimpa Mohd Adam Azrai tidak berulang lagi.

“Hasil 18 tahun membabitkan diri mengendalikan kaedah pemulihan, saya dapati keluarga tidak mengizinkan laporan dibuat mengenai anggota keluarga mereka yang menagih dadah. Saya minta mereka buang rasa malu, sebaliknya laporkan segera kepada badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) demi keselamatan keluarga.

“Penagih seperti ini tidak boleh mengawal kemarahan mereka atau panas baran. Perkara biasa kepada orang lain dilihat besar oleh penagih dadah sintetik dan mendorong mereka bertindak ganas,” katanya.

Angkara internet

Remaja murtad lari dari rumah selepas akrab dengan mubaligh di Facebook


IA sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka. Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada seorang Islam menjadi murtad.

Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan lari dari rumah.

Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di laman sembang popular, Facebook. Rifqa kini tinggal di rumah keluarga angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung nasib dirinya, selesai.

Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh berkenaan.

Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa 'perang suci' Kristian-Islam semakin ketara.

Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang tidak mudah melatah dengan kejadian itu. Bayangkan keadaan yang pasti lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta tuduhan jenayah culik.

Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’ biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook, manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di sekolahnya.

Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan Rifqa murtad dan lari dari rumahnya. Jika tidak, mana mungkin remaja yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah Blake.

Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka. Belum pun reda kejutan itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya mendekati Kristian.

“Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan pihak ketiga.

Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada mematuhi peraturan sebenar Islam.

“Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang menyangkal tuduhan anaknya.

Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu pun bapanya bukanlah jenis zalim. Buktinya, Rifqa selama ini bebas melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga alim.

Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya? Tanpa rasa takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.

“Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan media.

Isnin, Jun 01, 2009

'Jiwa kosong, dahaga perhatian’'

BMDUA

PEGANGAN agama yang longgar serta penekanan ibu bapa yang terlalu mementingkan pencapaian akademik adalah antara penyebab utama jiwa pelajar tertekan lalu mudah terjebak dalam kejadian tidak diingini termasuk jenayah.

Tidak cukup dengan itu, pelajar yang rata-ratanya berada dalam lingkungan usia kritikal turut tertekan akibat kesuntukan masa - menghadiri sesi persekolahan biasa pada waktu pagi atau petang disusuli sekolah agama atau kelas tuisyen yang perlu diikuti.

“Ini menjadikan kehidupan mereka amat tertekan. Jadual mereka padat dengan tanggungjawab akademik serta perlu memenuhi tuntutan ibu bapa sepanjang masa.

“Jiwa mereka kosong kerana tidak mempunyai masa untuk diri sendiri seperti relaks atau melakukan kegiatan yang diingini. Keadaan mungkin dapat dielakkan jika mereka mempunyai pegangan agama kerana jiwa dan rohani mereka terisi,” kata pakar motivasi remaja, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, ketika dihubungi baru-baru ini.

Berikutan itu, mereka menjadikan kesempatan menemui atau lepak bersama rakan-rakan di dalam atau luar sekolah, sebagai saluran melepaskan tekanan.

“Keadaan bahaya apabila mereka tidak pedulikan latar belakang rakan, asalkan boleh serasi. Jika rakan yang baik, tidak mengapa, tetapi andai kawan yang digauli itu nakal, ia boleh menarik pelajar itu terjebak sama.”

Faktor lain, katanya, adalah disebabkan keadaan diri pelajar sebagai golongan ‘pencari perhatian.’

“Pelajar bukan saja golongan yang suka mencuba pelbagai perkara baru. Tetapi mereka juga dahagakan perhatian, biarpun caranya berbeza antara satu individu kepada yang lain. Bagi pelajar cerdik, masalah itu tidak timbul kerana mereka sentiasa dipuji.

“Tetapi bagaimana dengan pelajar yang tidak pernah dipuji guru mahu pun ibu bapa sendiri? Ini menyebabkan ada di antara sanggup melakukan perkara seperti jenayah dan seterusnya dipuji rakan dalam kumpulan itu.

“Jika dihukum di khalayak ramai sekali pun, ada di antaranya berasa seronok dan bangga kerana sudah mendapat perhatian pelajar lain.”

Katanya, perkembangan masa kini yang menyaksikan kemudahan maklumat di hujung jari, juga mendedahkan pelajar kepada pelbagai pengaruh bahaya.

Dr Tengku Asmadi menyifatkan usia 14 hingga 15 tahun sebagai tempoh paling kritikal kerana pelajar itu dalam proses menuju keremajaan dan mencari identiti.

“Apa juga pengaruh yang datang, mudah meresap masuk. Keadaan mungkin sebaliknya jika mereka mempunyai benteng pertahanan diri dan mental hasil kekuatan rohani serta asuhan ibu bapa yang baik.”

Bagi menangani masalah ini, beliau berkata, ia seharusnya bermula di rumah dan barulah diikuti peranan guru dan sekolah.

“Ibu bapa perlu sedar mereka yang menetapkan acuan dan seterusnya diisi guru dan bahan lain yang menjadi sumber rujukan pelajar. Andai acuan itu lemah, sudah pasti diri pelajar itu juga goyah dan bermasalah," katanya.