#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Suami Orang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Suami Orang. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 11, 2011

Lupa nafkah anak setelah bercerai

Rengekan Sarah (bukan nama sebenar) itu sebenarnya yang membuatkan Farid (bukan nama sebenar) cair sehingga dia sanggup memberi apa sahaja yang diminta oleh kekasihnya itu.

Lagipun Farid sudah bebas sekarang kerana telah sah bercerai. Kini tiada ada sesiapa lagi yang boleh menghalang hubungannya dengan gadis bertubuh seksi itu.

Farid juga sering tersenyum sendirian ketika mengenang semula percutiannya bersama dengan Sarah di kota Paris kerana disitulah impiannya selama ini telah dikotakan.

Beliau tidak kisah berhabis duit untuk membelikan hadiah barangan berjenama yang mahal asalkan dapat 'membeli' buah hatinya itu.

Paling penting pada Farid pelaburannya itu adalah untuk langkah seterusnya supaya pancing akan mudah menggena.

Tekaannya tepat kerana Sarah bukan sahaja tidak perlu dipaksa sebaliknya gadis bermata kuyu itu merelakan sahaja asalkan Farid dapat melepas apa yang dihajat selama ini.

Farid puas kerana dengan wang dia berjaya menundukkan Sarah yang digilainya sekian lama ini. Tetapi pada masa sama dia tidak sedar sudah sekian lama mengabaikan bayaran nafkah ke atas tiga anaknya selepas bercerai dengan Nabila (bukan nama sebenar).

Itu semua gara-gara berjoli sakan untuk Sarah sehingga sudah beberapa kali beliau menerima surat amaran dari mahkamah.

Kisah suami enggan membayar nafkah anak dengan memberikan pelbagai alasan sebenarnya sudah lama berlaku di dalam masyarakat.

Kes ini juga telah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Mengikut fakta kes, pemiutang penghakiman (bekas isteri) memohon mahkamah untuk mengarahkan bekas suami membayar RM29,050 bagi nafkah anak-anak yang tertunggak sejak sekian lama.

Bekas isteri mendakwa bekas suami telah gagal melaksanakan bayaran nafkah anak-anak RM2,000 sebulan seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.

Selain itu bekas isteri juga memohon kos tuntutan itu sebanyak RM5,000 ditanggung oleh bekas suami.

Bagaimanapun bekas suami tersebut memberi alasan tidak mampu membayar nafkah anak-anak kerana telah diisytiharkan muflis atau bankrap oleh Mahkamah Tinggi.

Wan Mahyuddin kemudiannya memutuskan supaya permohonan bekas isteri diluluskan dan memerintahkan bekas suami membayar RM 29,050 secara ansuran sehingga selesai.

Jelas Wan Mahyuddin, ia perlu dilakukan dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bekas isteri sebagai wakil kepada anak-anak sebanyak RM1,000 sebulan selama 29 bulan pada setiap 29 haribulan setiap bulan.

Mahkamah juga memerintahkan bekas suami berkenaan memfailkan dengan segera notis penghakiman berdasarkan peruntukan Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 sekiranya bekas suami gagal membayar RM1,000 sebulan.

Sekiranya bekas suami gagal membayar maka dia boleh dipenjarakan sehingga menjelaskan bayaran hutang nafkah anak-anak yang tertunggak.

Wan Mahyuddin menjelaskan, mahkamah juga mendapati bekas suami dalam keterangannya gagal membela diri dan tiada saksi-saksinya dipanggil bagi mengesahkan bayaran nafkah telah dibuat.

Walaupun bekas suami telah mengemukakan isu muflis tetapi mahkamah tidak menerima alasan itu untuk mengecualikan bayaran nafkah anak-anak berdasarkan rujukan dalam kitab dan hukum syarak.

Ini kerana mahkamah mengambil contoh dalam kes ini jika seseorang itu berhutang dengan bank untuk membeli sebuah kereta dan sekiranya peminjam diisytiharkan muflis tentulah bank akan menarik balik kereta yang dibeli dan akhirnya kereta tersebut akan dilelong oleh pihak bank.

Malang

Oleh itu, seorang yang telah muflis bukannya dikira terlepas dari membayar hutangnya dan sepatutnya harta-harta bekas suami dilelong dan diserahkan kepada bekas isteri.

Juga satu perkara yang malang jika seorang bapa berhutang dan tidak menjaga kebajikan anak-anaknya kerana anak adalah anugerah Allah yang paling bernilai menurut pandangan Islam.

Juga sudah menjadi kewajipan kepada bapa untuk membayar nafkah kepada anak-anaknya.

Malah mahkamah juga berpandangan bekas suami masih mampu membayar hutangnya kerana harta-harta yang dimilikinya tidak dibuktikan telah dijual sepenuhnya walaupun di dalam affidavit bekas suami menyatakan harta-hartanya telah dilupuskan.

Harta-harta itu termasuk harta alih (sebidang tanah kosong, hartanah kosong, kondominium dan rumah) dan harta tak alih (sebuah Toyota Estima, Honda CRV, Suzuki Vitara dan Proton Satria).

Berkenaan dakwaan bekas suami telah membuat beberapa bayaran nafkah anak-anak juga dipertikai mahkamah kerana ia telah dibuat tanpa mengikut perintah mahkamah ataupun tanpa persetujuan bekas isteri terlebih dahulu.

Malah tiada keterangan saksi-saksi diberikan dan qarinah seperti resit bayaran juga tidak diserahkan ke mahkamah semasa bekas suami memberi keterangan.

Walaupun adanya bayaran soalnya adakah bayaran yang pernah dibuat oleh bekas suami mencukupi bagi keperluan semua anak-anak.

Jika sudah mencukupi sudah, pada pandangan mahkamah sudah pasti bekas isteri tidak akan mengambil tindakan ke atasnya.

Jumaat, Februari 18, 2011

Dibuai alam fantasi

KUALA LUMPUR: Kurangnya pengisian emosi dan kerapuhan spiritual menjadi faktor penyebab wanita terutama pelajar semakin mudah terpedaya janji manis dan godaan ‘lelaki hidung belang’ hingga sanggup menghabiskan wang ringgit dan menjadi hamba cinta.

Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata kebanyakan wanita berjaya menguruskan daya pemikiran dengan baik, namun gagal mengawal godaan emosi yang membuatkan mereka hanyut di alam fantasi.

“Tidak dinafikan wanita kini semakin cemerlang dalam pelajaran, tetapi dalam masa sama jumlah siswi yang menjadi mangsa cinta semakin meningkat,” katanya ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam.

Laporan itu menyebut seorang siswi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar ibu kota yang sanggup menghabiskan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya untuk berseronok bersama teman lelakinya berusia 40-an dan beristeri dua.

Siswi itu yang kini menyesal atas kesalahannya mengakui pernah berhutang keliling pinggang dengan rakan selain menipu kedua ibu bapanya dengan alasan perlu membeli buku dan barangan keperluan lain semata-mata untuk mendapatkan wang.

Selepas hampir setahun menjalinkan hubungan dan mengikis wang siswi itu, lelaki terbabit menghilangkan diri.

Rabu, Februari 09, 2011

Takut bermadu?

Utusan Malaysia
06/02/2011

KISAH minggu lalu tentang bermadu dan berkongsi menarik perhatian Mimizarina untuk berkongsi pengalaman pahit yang dilaluinya. Hingga kini dia masih tidak faham mengapa ramai kaum wanita takut bermadu.

''Sudah bertahun-tahun saya mengikuti ruangan ini rasanya sekali dua saya terbaca kisah wanita yang izinkan suaminya berpoligami, yang lainnya semua akan bertindak sebaliknya, ada juga jadi lebih ganas bila dengar cerita suami ada kekasih haru apa lagi kalau suami melahirkan hasrat hendak kahwin lagi. Mengapa jadi begini?'' Itu pertanyaan Mimizarina dalam emelnya.

''Saya berkahwin ketika berusia 35 tahun. Suami saya sudah pastilah suami orang. Saya kira tentu pembaca dapat menelah masalah yang saya hadapi dengan madu saya di samping memahami masalah suami saya sendiri. Pelbagai ragam dan syarat ditetapkan sebelum hasrat saya berkahwin dengan suaminya dapat diterima. Iaitu izin bersyarat.

''Macam-macam syarat dan masalah diletakkan ke bahu suaminya supaya hasrat kami hendak berkahwin tidak terlaksana. Masalah pertama tentulah soal kewangan, dia bimbang suaminya tak mampu menanggung dua keluarga sedangkan dia sudah ada tiga orang anak.

Kasih-sayang

''Kepada suami saya mahupun saya sendiri itu bukan masalahnya, sebab saya bekerja dan sudah memegang jawatan yang agak tinggi. Jadi masalah berebut duit tak timbul langsung, sebab saya boleh tanggung diri sendiri.

''Lebih daripada itu saya juga memiliki rumah dan kereta sendiri. Jadi di sini jelas unsur-unsur 'nak mengaut harta' suaminya tidak timbul sama sekali. Sebab kalau selama ini saya boleh bayar ansuruan kondo dan kereta mewah yang saya miliki, takkan saya tak boleh teruskan selepas berkahwin. Apa yang saya harapkan cuma kasih-sayang dan perlindungan dari seorang suami. Saya ingin menumpang kasih sayang suaminya. Tetapi itu pun tidak diizinkan oleh isterinya, dia seolah-olah takut bahawa saya akan kawal harta dan duit ringgit suaminya, dan merampas kasih sayang suami dan anak-anaknya.

''Oleh kerana suami saya ketika itu masih berkeras hendak memperisterikan saya, dan masih berkeras mahu berpoligami, maka terjadikan pergaduhan antara mereka suami isteri yang berakhir dengan berpisah. Sebab isterinya tak rela bermadu sebab dia takut keselesaan, kesenangan serta kasih sayang suaminya saya rampas.

''Apabila terjadi perceraian maka sudah tentulah saya dipersalahkan dan dipertanggung jawabkan 200 peratus menjadi punca dan penyebab perceraian mereka. Sedangkan isterinya tidak menyalahkan dirinya bahawa dia sendiri yang meminta diceraikan sebab dia tidak mahu berpoligami. Rugikah dia kalau dia dipoligamikan?

''Sebagai manusia, yang dilahirkan dengan unsur-unsur kasih sayang, saya tidak faham mengapa kita tidak merelakan kasih dan sayang suami kita dikongsi bersama orang lain. Sekiranya bimbang suami tidak berlaku adil, bukankah setiap masalah boleh di selesaikan dengan baik kalau dibawa berbincang dan bermuzakarah?

''Lebih teruk lagi bila saya berkahwin dengan suami orang, mestilah ada yang gatal-gatal mulut bertanya "dah tak ada lagi ke orang bujang dalam dunia ini nak dibuat suami?" Masalahnya, bukan tak ada! Tetapi masalah saya setiap kali bercinta dan berkasih dengan orang bujang bagai nak rak dan saya memberi seluruh jiwa raga dan cinta saya kepadanya. Akhirnya saya ditinggalkannya juga dengan pelbagai alasan.

''Ada jugak lelaki bujang yang menolak cinta saya katanya "awak tak layak untuk saya!" sebabnya hanya kerana jawatan dan pendapatan saya lebih besar daripada dia.

''Pada pandangan saya juga, bercinta dan berkasih dengan suami orang tu bukanlah satu kesalahan, bukan juga satu dosa, selagi kita masih lagi menjaga adab dalam perhubungan kita di sisi Allah, kerana saya orang Islam. Dan saya amat berpegang kepada ajaran keluarga saya, berkawan boleh tetapi jangan sampai terlanjur.

''Kini saya masih ada beberapa orang rakan perempuan yang masih belum berumahtangga dan masing-masing takut untuk terlibat dengan lelaki yang berstatus suami. Sebab mereka tidak mahu dituduh perampas. Jauh sekali dituduh hendak merampas harta benda lelaki tersebut. Sedangkan mereka memegang jawatan tinggi.

''Di sini saya ingin bertanya kepada pembaca khususnya kaum wanita sekelian, kalau sudah tak ada orang bujang atau duda yang sudi hendak memperisterikan mereka, salahkah kalau lelaki yang berstatus suami memperisterikan mereka? Tolong jawab!

''Kenapa para isteri menjadi 'kedekut' dengan beranggapan suami itu adalah hak mutlak mereka seorang sahaja? Tidak boleh dikongsi dengan wanita lain. Bab inilah yang saya tidak faham sangat. Saya sendiri merelakan mereka untuk bermadu dengan saya, mereka pulak yang tak mahu bermadu dengan saya?

''Namun pada pandangan saya keengganan mengizinkan suami berpoligami disebabkan dua perkara asas; Pertama kerana lemahnya pegangan agama, si isteri tadi, walaupun mereka beragama Islam.

''Kedua, kurangnya kesedaran tentang kasih-sayang yang dikurniakan Allah kepada setiap insan, yang seharusnya dikembang dan disebarkan kepada semua umat-Nya. Sedarkah anda bahawa kasih sayang adalah milik setiap insan. Bukan milik peribadi anda.

''Saya juga nak tanya apakah para isteri semua lebih rela ramai gadis tak kahwin atau jadi andartu daripada berpoligami? Saya faham kalau suami tak mampu memang mereka tak layak berpoligami.'' Demikian cerita Mimizarina.

Selasa, Ogos 17, 2010

Bila orang tua bercinta

TUJUAN saya menulis di ruangan ini bukan nak buka pekung di dada, tetapi ingin mendinginkan dada ini yang sudah lama mendidih macam gunung berapi. Jadi daripada merosakkan jiwa lebih baik saya hamburkan keluar, paling tidak tenang sedikit hati yang bergelora.

''Saya berkahwin lebih 25 tahun, anak-anak semua sudah besar, yang sulung sudah setahun bekerja dan kalau diizinkan Allah kami bakal menerima menantu tahun depan. Tetapi kelakuan suami saya amat memalukan, umur saja tua, rambut putih, tetapi berlagak macam orang muda. Demikian cerita Nilawati dalam e-melnya.

''Suami saya bukanlah berpangkat besar, tetapi dia jadi ketua di jabatannya. Di pejabat, baik kakitangan biasa mahupun pegawai atasan semua panggil dia tuan haji, tetapi kelakuannya tidak seperti yang digambarkan, semakin tua semakin miang.

''Sebelum ini pun pernah dia buat perangai, tapi hilang selepas itu, namun sejak usia masuk peringkat emas perubahan kelakuannya nampak sangat jadi tak senonoh terutama sejak dia pandai terima dan hantar pesanan ringkas (SMS).

''Lama kelamaan dia jadi syok sendiri, ketawa sendiri dan senyum sendiri. Jadi kita fikir tentulah cerita-cerita kelakar dalam SMS tu, kita tak kisahlah.

''Tetapi pepatah Melayu ada mengatakan ''sepandai-pandai tupai melompak, satu hari jatuh juga ke tanah'. Entah macam mana satu hari suami saya tertinggal telefon bimbitnya di rumah. Kebetulan anak sulung saya, Along ada dia pun buka dan baca.

''Dia terkejut bila membacanya, mula-mula baca satu, kemudian dia baca semua yang tersimpan dalam peti simpanan.

''Beberapa hari dia simpan rahsia tak bagi tahu saya, dia tak mahu lukakan hati saya. Dan sejak itu kelakuannya berubah. Dia jadi pendiam, hinggakan nak bercakap dengan teman lelakinya pun dia jadi hilang mood.

Rahsia

''Satu hari Along bercerita, katanya mungkin ayah ada teman wanita. Terkedu saya. Tapi Along suruh saya bersabar, perhatikan kelakuan ayah katanya. Memang kelakuan orang tua bercinta lain sungguh. Jadi tak tentu arah. Hinggakan dia berhenti solat nak jawab SMS. Lepas berjawab-jawab baru dia nak solat semula.

''Satu hari saya tanya suami saya, dia nafikan, dia mengamuk bila dapat tahu saya pandai buka SMS.

''Katanya wanita tersebut bekerja di pejabatnya. Mereka berbincang pasal kerja. Sebenarnya wanita itu bukan kawan sepejabat, tapi kenalan yang berpakat nak buat bisnes, tetapi lama-kelamaan mereka pakat-pakat main cinta. Sedihnya wanita tersebut isteri orang, kerana cinta mereka lupa siapa diri mereka sebenar.

''Bila rahsia sudah terbuka, saya pun jalankan siasatan. Bila dia balik saya minta jawapan dan kepastian dari suami saya, apa lagi tentulah dia berang, mengamuk. Tapi saya tak peduli, sebab tujuan saya nak selamatkan rumahtangga. Tapi lain pula dengan suami saya, dia tuduh saya sengaja nak memalukan dia di pejabat.

''Bila rahsia terbongkar, aman sebulan dia tak hantar SMS lagi. Tapi masuk bulan kedua dia buat hal semula, kali ini lebih teruk lagi, dia hantar SMS tak kira siang mahupun tengah malam. Dia sengaja nak sakitkan hati saya bila dengar bunyi SMS masuk.

''Tambah teruk lagi, kali ini dia bukan setakat hantar SMS, malah bercakap dengan wanita tersebut, siap dengan senyum dan lentuknya. Dia langsung tak ada perasaan malu bila bercakap depan anak-anak yang sudah dewasa. Bila bercakap dia seolah-olah ada dalam pejabatnya sendiri. Macam tak ada orang langsung.

''Kerana dah tak tahan selalu bertengkar dan bergaduh, saya suruh dia kahwin lagi, saya sanggup dimadukan. Tapi dia menolak, katanya berkahwin dua bukan amalan adik beradiknya, jadi sibuk bercinta nak buat apa?

''Akhirnya barulah saya faham dia nak kahwin lagi, tapi bukan berpoligami. Dia cari jalan nak ceraikan saya, dan keluar dari rumah ini. Tapi anak-anak suruh saya bersabar. Kata mereka ayah tengah gila bercinta jadi saya kena sabar.

''Along lagi sedih, sebab dia merancang nak kahwin tahun depan, sekarang ayah pula nak ceraikan saya. Inilah yang menyusahkan fikiran Along.

''Sejak akhir-akhir ini bab pukul memukul dah jadi lumrah dalam hidup saya. Pantang saya minta duit lebih untuk makan minum anak-anak dia mengamuk.

''Peristiwa terbaru dia halau saya keluar rumah semata-mata kerana saya tegur dia pasal membaca dan menghantar SMS ketika sedang makan. Katanya kalau tak suka dengar bunyi SMS, pintu terbuka luas untuk saya keluar. Dia pukul saya sampai terkencing dalam kain dan heret saya keluar rumah.

''Bila anak-anak masuk campur mereka pun dihalau keluar. Riuh rendah rumah dengan tangisan dan jerit pekik. Hilang rasa malu pada jiran. Tapi kami tetap tak keluar rumah. Saya kasihan anak yang tak berdosa pun jadi mangsa. Saya izinkan dia kahwin, tapi jangan seksa saya begini.

''Saya sedar dia jadi sombong kerana dah berpangkat dan berduit, perempuan itu tak mahu berpoligami, dan syaratnya mesti kahwin sebelum dia bersara. Sebabnya tentu anda faham kan? Namun saya tetap tidak akan keluar dari rumah walaupun diceraikan.'' Demikian cerita Nilawati panjang lebar.

Isnin, Julai 26, 2010

Bakal isteri keempat


Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my
2010/07/25


KUALA LUMPUR: Didikan agama diberi secukupnya manakala batas pergaulan sentiasa dipantau keluarga, namun angkara cinta buta, seorang gadis rela menggadai maruah sehingga melahirkan anak luar nikah.

“Saya bukan jenis liar sebab ayah dan ibu menjaga saya dengan sempurna. Saya diberi didikan agama manakala batas pergaulan saya sentiasa dipantau keluarga.


“Entah bagaimana, perkenalan dengan seorang lelaki berusia 30-an membuatkan saya hanyut. Saya lupa keluarga... lupa dosa dan pahala,” kata Aleeya ketika ditemui baru-baru ini.

Baginya, lelaki itu membuatkan hidupnya bahagia sehingga dalam tempoh singkat dia dengan rela hati menyerahkan tubuhnya.

“Bukan saya tidak tahu perbuatan itu (seks sebelum berkahwin) berdosa. Saya juga tahu apa dibuat itu boleh membuatkan mengandung.

“Bagaimanapun, apabila nafsu menguasai diri, saya lupa segala-galanya. Saya merelakan diri diperlakukan seperti isteri,” katanya.

Menurutnya, lelaki ditemuinya disifatkan sangat baik dan bijak berkata-kata, membuatkan dia pasang impian untuk hidup bahagia.

“Saya berkenalan dengan lelaki itu di kedai makan ketika melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di ibu kota dua tahun lalu. Perkenalan singkat itu membuahkan cinta sehingga kami kerap keluar bersama.

“Dia terlalu baik dan budiman. Selepas beberapa kali bertemu, secara terus terang dia beritahu dia sudah berkahwin dan ada anak, namun kerana perasaan sayang yang mendalam, saya rela menerimanya,” katanya.

Keyakinan Aleeya terhadap lelaki itu semakin kukuh apabila turut diperkenalkan dengan isteri lelaki terbabit.

“Isteri lelaki itu menerima saya seadanya. Itu membuatkan saya rela menjadi isteri lelaki itu, sekali gus hidup bermadu. Namun hasrat bergelar isteri tidak kesampaian kerana keluarga tidak membenarkan saya berkahwin, sebaliknya mahu saya menumpukan kepada pelajaran,” katanya yang mengakui hubungannya dengan lelaki itu diketahui keluarganya.

Aleeya berkata, keluarganya meminta dia memberi tumpuan kepada pelajaran dan melupakan cintanya, tetapi dia tetap meneruskan hubungan terlarang itu.

“Setahun melakukan hubungan seks terlarang, saya dapati berlaku perubahan pada diri saya. Saya tidak datang haid selama dua bulan. Apabila melakukan pemeriksaan menggunakan alat ujian kehamilan, rupa-rupanya saya mengandung,” katanya.

Perasaan panik menyelubungi Aleeya, namun dia tidak merujuk masalahnya kepada sesiapa melainkan kepada kekasihnya.

“Lelaki itu mahu bertanggungjawab dan segera mengahwini saya. Dia ajak pulang ke kampung saya dan memberitahu perkara sebenar kepada keluarga saya, namun saya tidak berani.

“Ketika itu saya berasa selamat kerana lelaki itu menunjukkan kesungguhannya mahu bertanggung jawab,” katanya.

Ketika mabuk bercinta, dia mendapat tahu bahawa lelaki itu sebenarnya mempunyai bukan seorang tetapi tiga isteri.

Aleeya turut difahamkan, lelaki itu berkahwin lebih daripada satu menggunakan sindiket.

“Maklumat itu diperoleh daripada pihak tertentu. Saya berterus terang dengan lelaki itu dan dia menafikannya,” katanya.

Dia terus menaruh keyakinan dengan kejujuran lelaki itu sehingga sanggup menipu keluarga tidak pulang ke kampung ketika cuti semester kononnya mahu bekerja.

“Lama kelamaan saya tertekan dengan keadaan sedemikian. Saya akur dengan permintaan lelaki itu yang mahu membawa saya pulang ke kampung. Lelaki itu menjadi jurucakap saya kerana saya tidak berani berterus terang,” katanya.

Selepas rahsia terbongkar, lelaki itu menyatakan hasrat mahu memperisterikan Aleeya, namun tidak dipersetujui keluarga.

“Mereka (keluarga) tidak mahu melihat saya menderita, apatah lagi selepas mengetahui sisi gelap lelaki itu, termasuk dakwaan kononnya dia beristeri empat,” katanya.

Menurut Aleeya, itu kali terakhir dia bertemu lelaki itu, namun cinta yang mendalam membuatkan mereka tetap berhubung.

“Isteri lelaki itu turut sentiasa bertanya khabar saya. Apa pun saya sedar, saya masih perlukan keluarga. Saya bersyukur keluarga masih menerima saya dan mahu memelihara anak yang dikandungkan.

“Saya sedar pengorbanan keluarga terlalu besar... mereka sanggup menanggung malu dan memberi semangat untuk terus kuat membina hidup baru,” katanya.
Aleeya berkata, keluarganya mahu dia meneruskan pelajaran dan berjaya dalam hidup.

“Apabila di samping keluarga, perasaan menyesal menerpa tak sudah-sudah. Saya hanya mampu menangis dan menyesali apa dibuat,” katanya.

Khamis, Julai 08, 2010

Memburu cinta suami orang

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga

CINTA tidak boleh dipaksa, kata orang tetapi cinta juga boleh ditolak jika risikonya tinggi dan mengancam kebahagiaan orang lain.

Kisah cinta tiga segi mungkin lumrah tetapi cinta yang sengaja dicari juga bersepah-sepah.

Jika di katakan cinta itu buta rasanya tidak lagi relevan sebab yang buta adalah orang yang mencari cinta, tidak pandai menilai dan memilih.

Itulah mukadimah saya minggu ini, episod kisah cinta yang menghancurkan kebahagiaan orang lain.

Menariknya minggu ini kisah dikirim oleh seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang di utara tanah air yang menamakan dirinya Shira.

Kata Shira dia terpanggil berkongsi kisah ini kerana tidak sanggup lagi melihat gelagat kebanyakan gadis yang sekarang ini terlalu ghairah menjerat suami orang untuk dijadikan teman hidup. Contohnya kisah yang berlaku di sebuah kilang, tempat kerja Shira.

Apa yang ingin Shira ceritakan adalah untuk panduan dan iktibar kaum wanita yang mungkin sedang terjerat di dalam kancah tiga segi seperti kisah ini.

Begini kata Shira. "Saya ingin menyentuh tentang sikap anak gadis kita sekarang yang pada saya tidak ada perasaan malu atau segan lagi.

"Sikap merendah diri, lembah lembut dan berbudi bahasa terutama dengan orang tua sudah semakin luntur. Jarang ditemui gadis yang berbudi pekerti tinggi seperti pada masa lalu.

"Yang dilihat kebanyakannya gadis dan wanita yang tidak lagi menjaga tingkah laku, tidak hormatkan orang dan bergaul dengan lelaki melebihi batas.

"Saya ingin mengambil contoh akan kejadian di tempat saya bekerja, sebuah kilang di utara tanah air.

"Kisahnya membabitkan seorang gadis berusia 25 tahun yang mempunyai menjalin hubungan dengan seorang penyelia di kilang yang sama berstatus suami orang.

"Lelaki ini mempunyai isteri dan tiga orang anak. Tahap percintaan mereka amat kritikal dan hampir bernikah.

"Setiap hari mereka makan dan pulang bersama. Malah mereka langsung tidak ada segan silu untuk bermesra di tempat kerja.

"Meluatnya saya... Bukan saya sahaja semua pekerja lain juga mengalami perasaan yang sama.

"Nak dijadikan cerita isteri penyelia itu dapat menghidu hubungan mereka. Apa lagi, meluru si isteri datang ke kilang dan bersemuka dengan gadis tersebut.

"Kecoh satu kilang. Mereka bertengkar dan saling memburuk-burukkan antara satu sama lain.

"Bos besar kilang juga turut terbabit meleraikan keadaan. Bagaimanapun si gadis ini masih tunjuk cool macam tidak ada apa berlaku.

"Semua orang menuding jari kepada penyelia tersebut kerana menjadi punca pergaduhan mereka. Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.

"Selepas kejadian itu penyelia itu macam kena ikat kakinya. Pergi dan balik kerja dijemput oleh isteri. Sehinggakan waktu makan tengah hari juga isteri datang menjemput untuk makan bersama-sama.

"Akhirnya kerana tidak tahan malu dan tidak dipeduli lagi oleh si penyelia, gadis itu mohon tukar tempat kerja.

"Korek punya korek akhirnya saya dapat tahu sebelum ini ada pekerja lain juga cuba mengurat dia. Tetapi tidak dilayan kerana tidak ada jawatan dan tidak kacak.

"Saya ingat perkara itu berhenti di situ rupanya tidak. Sebelum bertukar tempat kerja dia sempat juga bercinta dengan lelaki lain juga suami orang.

"Konon cerita lelaki ini pada mulanya cuba menasihati dia dia tetapi tersangkut. Mujur lelaki itu cepat sedar.

"Bila sudah terlepas daripada cengkaman gadis itu baru masing-masing tersedar, pada hal gadis itu bukanlah hebat sangat, rupa paras pun biasa sahaja.

"Saya dengar berita kerana kecewa tidak ada teman lelaki walaupun usia sudah 25 tahun gadis itu telah berjumpa seorang bomoh untuk mandi bunga supaya lelaki jatuh hati kepadanya.

"Sejauh mana kebenaran dakwaan itu wallahualam. Tetapi apa yang saya perhatikan, ada kebenarannya. Kebanyakan kakitangan kilang amat mesra dengannya.

"Jika lelaki yang tidak kuat iman pasti akan tunduk kepadanya tetapi mujurlah semua yang terkena cepat sedar dan kembali ke pangkal jalan.

"Sebagai orang lama saya juga turut menasihat pekerja lelaki di kilang itu supaya berwaspada dengan gadis itu. Mana tahu kalau ada yang terjerat lagi.

"Sekarang kilang tempat kerja kami kembali aman setelah dia berpindah.

Syukur alhamdulillah.

"Tapi melalui kawan-kawan khabar yang saya dengar di tempat kerja barunya juga dia mengulangi sikapnya itu memburu cinta suami orang.

"Apa pun saya berharap dia akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Pada gadis-gadis jagalah maruah diri. Hormati hak orang lain dan jangan jadi perampas hanya untuk keseronokan sendiri sedangkan orang lain menderita," kata Sira menutup cerita.

Cerita Shira bagaikan kisah dalam drama.

Saya setuju dengan Shira yang mengatakan gadis dan wanita sekarang amat berani. Keberanian mereka cukup luar biasa.

Bagaimanapun, elok kita ambil iktibar daripada kisah yang telah Shira ceritakan. Elakkan berbuat sesuatu yang boleh menghancurkan hati orang lain terutama dalam bab rumah tangga.

Ingatlah kebahagiaan terletak pada cara bagaimana kita melalui ujian untuk satu kehidupan panjang yang menceriakan.

Menutup kata, pesanan saya, seorang wanita yang berfikir akan mampu mengubah padang menjadi sebuah kebun yang indah.

Salam

Khamis, Mei 27, 2010

Padah cinta suami orang

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/05/27


KUALA LUMPUR: Akibat menjalin cinta dengan suami orang, seorang penyampai berita sebuah stesen televisyen menerima padah apabila dia diserang isteri dan ibu mentua teman lelakinya di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Akibatnya, wanita berusia 34 tahun itu cedera di muka serta kepala dan kini terpaksa mengambil cuti berikutan tidak mahu kejadian memalukan itu dihidu rakan sekerja. Teman lelakinya turut cedera selepas diserang isterinya yang juga seorang warga Uzbekistan.

Difahamkan, serangan terbabit berlaku di hadapan dua anak lelaki penyampai berita terbabit ketika dia yang berusia 34 tahun berada di sebuah gimnasium kanak-kanak di pusat beli-belah berkenaan.

Malah, penyampai berita berkenaan turut dihamburkan pelbagai kata kesat oleh dua beranak warga asing terbabit yang tidak puas hati kerana mendakwa dia cuba merampas suami.

Menurut sumber polis, sebelum tercetusnya serangan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian keretanya dicalar dan dipecahkan cermin yang dipercayai dilakukan individu sama.

“Mangsa ketika itu meletakkan kereta di parkir kondominium sewanya di Jalan Duta di sini dan terkejut apabila mendapati kenderaannya calar dan cerminnya pecah.

“Kejadian itu dipercayai turut dilakukan dan didalangi dua beranak terbabit yang tidak puas hati dengan penyampai berita berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian keretanya dirosakkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebelum kes berkenaan dipindahkan ke IPD Sentul.

Sumber itu berkata, belum selesai kes keretanya dirosakkan disiasat, keesokannya kira-kira jam 5 petang mangsa yang ketika itu bersama pembantu rumah menghantar dua anaknya ke sebuah gimnasium kanak-kanak ‘diserang’.

“Mangsa yang juga seorang ibu tunggal didatangi dua wanita warga asing terbabit yang menyerbu sebelum menghamburkan pelbagai kata kesat.

“Malu dengan kejadian tidak disangka itu, mangsa cuba menjauhkan diri daripada mereka, namun dia dikejar dua beranak terbabit sebelum mereka membelasahnya,” katanya.

Akibatnya, mangsa yang baru bercerai dengan suaminya dibelasah teruk di kepala dan beberapa anggota badan termasuk kesan cakar di muka sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Penyampai berita terbabit yang masih trauma dengan kejadian berkenaan membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Damansara untuk tindakan susulan dan meminta dirinya dilindungi.

Difahamkan, teman lelakinya seorang warga tempatan dan wanita berkenaan kini mengambil cuti panjang bagi menenangkan fikiran selain menyelesaikan kes terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana ugutan dan 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.