#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Kekasih Gelap. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kekasih Gelap. Papar semua catatan

Isnin, November 19, 2012

Jatuh akibat nafsu

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 18/11/2012
Oleh HAFIZAHRIL HAMID

AHLI politik dan pemimpin sememangnya diharap oleh penyokong, pengundi dan mereka yang bekerja di bawahnya sebagai contoh dan tauladan.

Namun hakikatnya mereka juga manusia biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesalahan. Makanya terdapat segelintir di antara mereka yang terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti jenayah dan skandal seks.

Adalah malang apabila terdedah skandal seks melibatkan pemimpin ia akan menjadi bahan berita yang sentiasa mendapat perhatian. Jika ia hanya melibatkan orang biasa mungkin tidak ada yang mengambil berat.

Dunia politik moden sesungguhnya tidak pernah sunyi dari pelbagai skandal. Pada peringkat awal pemimpin sebegini seboleh mungkin akan menafikan skandal berkenaan tetapi akhirnya terpaksa mengakui malah karier politiknya berakhir, sesuatu yang pahit untuk ditelan akibat kesilapan sendiri.

Melihat gejala skandal seks melibatkan pemimpin Amerika Syarikat (AS) yang merupakan antara negara paling banyak terlibat dalam hal sebegini.

Dilaporkan hampir 200 orang pemimpin serta pembantu kepada pemimpin sama ada di peringkat pusat mahupun negeri pernah terlibat dalam skandal seks.

Di peringkat pusat antara nama tidak dapat dilupakan adalah bekas Presiden Bill Clinton yang terlibat dalam skandal bersama pelatih di White House, Monica Lewinsky serta terbaru Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus.

Kesilapan

Manakala di peringkat negeri antara nama-nama yang menarik perhatian adalah bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger yang mengaku pernah mempunyai hubungan sulit dengan bekas pembantu rumahnya.

Lebih menakutkan ada juga antara mereka yang mempunyai hubungan sulit dengan lelaki walaupun sudah berkahwin kemudian cuba berpura-pura di hadapan khalayak seolah-olah mereka lelaki tulen.

Antaranya Senator California, Roy Ashburn, Senator Larry Craig, Ahli Kongres Jon Hinson, Ahli Kongres Barney Frank dan ramai lagi.

Namun satu perkara menarik mengenai ahli politik mahu pun pemimpin tertinggi organisasi atau pun agensi awam yang terlibat dalam skandal seks ini, mereka akan meletakkan jawatan tanpa sebarang penafian panjang.

Bagi mereka apa yang berlaku adalah akibat kesilapan sendiri terperangkap dalam noda angkara nafsu. Namun begitu, integriti dan jawatan yang disandang adalah satu perkara penting dan perlu dipertahankan dan tiada kompromi mengenainya.

Walaupun sebelumnya agak sukar untuk mengakui kesilapannya namun setelah terbukti segalanya, mereka akhirnya mengaku dan mengundur diri.

Pancawarna minggu ini mengungkap skandal-skandal melibatkan pemimpin bukan untuk memalukan tetapi sebagai iktibar bahawa menjadi seorang pemimpin mereka bukan sahaja perlu bersih malah dilihat bersih.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121118/ke_01/Jatuh-akibat-nafsu#ixzz2D28efSUW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, Mac 10, 2011

Tujuh kali gugur bayi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


IPOH: Akibat begitu mudah termakan pujuk rayu teman lelaki, seorang janda muda membuat pengakuan mengejutkan apabila memberitahu pernah menggugurkan bayi dalam kandungannya sebanyak tujuh kali dalam tempoh empat tahun.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Balqis, 32, berkata perkara tidak masuk akal dilakukannya itu bermula selepas dia bercerai dan berkenalan dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin pada 2007.

Menurutnya, lelaki itu berjaya memikat hatinya dengan pelbagai janji manis untuk mengahwininya dalam tempoh terdekat.

“Saya meletakkan harapan tinggi kepadanya apatah lagi dengan hidup saya yang terumbang-ambing selain perlu membesarkan tiga anak hasil perkahwinan pertama sebelum ini.

“Malangnya rasa cinta keterlaluan itu menyebabkan saya terlanjur melakukan hubungan seks berulang kali sehingga mengandung sebanyak enam kali.

“Saya membuat proses pengguguran haram di klinik swasta dengan bayaran RM300 bagi sekali ‘cuci’. Pada mulanya doktor di klinik itu tidak begitu kisah dengan permintaan saya, namun dia mula bimbang apabila saya mahu membuat pengguguran kali kelima.

“Doktor terbabit menasihatkan saya tidak lagi membuat pengguguran janin kerana bimbang ia boleh merosakkan peranakan selain boleh mendapat kanser rahim,” katanya.

Menurutnya, walaupun pernah terlintas rasa berdosa namun dia tetap melakukan perkara terkutuk itu kerana termakan dengan janji kekasihnya untuk berkahwin.

“Pernah sekali saya menanggung kesakitan amat sangat selepas menggugurkan kandungan berusia tiga bulan yang ketika itu sudah mempunyai bentuk bayi. Malah pernah juga saya ‘lekat’ mengandung semula hanya selepas dua bulan menggugurkan janin.

“Sepatutnya saya menjalani tempoh pantang seperti wanita bersalin, namun semua itu saya abaikan kerana faktor kerja selain bimbang diketahui rakan sekerja,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengambil cuti rehat antara empat hari hingga seminggu.

“Akibat terlalu kerap menggugurkan janin, saya mengalami tekanan hidup, murung selain kerap dihantui rasa berdosa. Lebih teruk apabila saya sering bermimpi kanak-kanak menangis ketika tidur.

“Sepanjang empat tahun itu, saya disahkan mengandung enam kali sebelum menggugurkan kandungan itu menyebabkan berat badan saya susut kepada 47 kilogram,” katanya.

Isnin, Februari 07, 2011

Anak saksi maksiat ibu

Oleh Idris Musa, Muhd Izawan Baharin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang isteri berusia 38 tahun terkedu apabila dicekup suami sendiri ketika asyik memadu asmara bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Puchong Perdana, dekat sini.

Lebih mengaibkan perbuatan terkutuk wanita itu turut disaksikan anak perempuannya berusia 18 tahun yang mengikuti serbuan bersama beberapa pegawai sebuah masjid di kawasan itu.

Suami wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Razif, 47, berkata ketika serbuan kira-kira jam 2 pagi pada 2 Februari lalu, isterinya yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara, berdua-duaan dengan teman lelakinya berusia 49 tahun.

Menurutnya, kereta lelaki terbabit yang diletak di luar rumah turut ditutup nombor pendaftarannya supaya ia tidak dicam jiran sekeliling, sekali gus melindungi perbuatan maksiat mereka.

“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya apabila melihat isteri berasmara dengan lelaki itu. Lebih menyakitkan hati, lelaki terbabit turut berlagak samseng apabila mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya di hadapan anak perempuan saya,” katanya.

Menurutnya, selepas dicekup isteri dan kekasihnya itu yang juga seorang kakitangan sebuah universiti terkemuka di ibu negara dibawa ke Balai Polis Bukit Puchong untuk tindakan lanjut termasuk merekodkan laporan mengenai tindakan khalwat mereka.

“Sebaik sampai di balai (polis) tanpa rasa malu atau kesal, lelaki itu bertindak berani apabila meluru masuk untuk membuat laporan kononnya dia tidak bersalah dan rumahnya diceroboh.

“Lebih teruk, dia juga sengaja memeluk serta bermesra dengan isteri di depan kami semua bertujuan untuk menaikkan kemarahan saya,” katanya.

Razif berkata, isterinya dipercayai sudah menjalinkan hubungan dengan lelaki itu sejak empat bulan lalu dan dia sebelum ini sudah mengesyaki perkara itu, namun tiada bukti sehingga kedua-duanya tertangkap. “Kami sudah berkahwin selama 20 tahun dan dikurniakan lima anak. Sekarang keluarga serta anak-anak kucar-kacir disebabkan perbuatan isteri saya yang melampau ini,” katanya.

Ahli Jawatankuasa masjid, Harun Nayan yang terbabit serbuan khalwat itu berkata, tiga ahli kariah termasuk imam masjid di situ membuat serbuan selepas menerima aduan suami wanita terbabit yang mendakwa isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain dalam sebuah rumah.

Menurut Harun, suami serta anak perempuan wanita itu turut serta serbuan berkenaan dan sebaik pasangan terbabit ditahan, mereka dibawa ke balai polis.

“Laporan polis mengenai tangkapan pasangan khalwat itu dibuat imam yang mengetuai serbuan. Ia bagi membolehkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat siasatan lanjut selepas ini.

“Selepas laporan dibuat kami semua beredar dan kebiasaannya polis akan merujuk kes itu kepada Jais yang kemudian akan memanggil kami untuk mendapatkan butiran kes berkenaan, namun setakat ini kami belum dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jais, Mohamad Rais Rasid, berkata pihaknya belum menerima laporan kes terbabit, namun akan membuat tindakan susulan termasuk siasatan terperinci terhadap tangkapan itu.

“Walaupun tangkapan dilakukan pegawai masjid bersama penduduk, Jais masih mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan susulan termasuk pendakwaan kerana pegawai masjid dilantik oleh Jais dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Bilal, imam, nazir dan siak adalah pegawai masjid yang dilantik Jais dan tindakan yang diambil mereka tidak boleh dipertikaikan. “Dalam siasatan ini kami akan dapatkan keterangan saksi dan laporan daripada pihak sepatutnya seperti pihak masjid sebelum mengambil tindakan lanjut untuk pendakwaan,” katanya.

Menurutnya, jika ada bukti menunjukkan pasangan terbabit melakukan kesalahan syariah mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Isnin, Julai 26, 2010

Bakal isteri keempat


Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my
2010/07/25


KUALA LUMPUR: Didikan agama diberi secukupnya manakala batas pergaulan sentiasa dipantau keluarga, namun angkara cinta buta, seorang gadis rela menggadai maruah sehingga melahirkan anak luar nikah.

“Saya bukan jenis liar sebab ayah dan ibu menjaga saya dengan sempurna. Saya diberi didikan agama manakala batas pergaulan saya sentiasa dipantau keluarga.


“Entah bagaimana, perkenalan dengan seorang lelaki berusia 30-an membuatkan saya hanyut. Saya lupa keluarga... lupa dosa dan pahala,” kata Aleeya ketika ditemui baru-baru ini.

Baginya, lelaki itu membuatkan hidupnya bahagia sehingga dalam tempoh singkat dia dengan rela hati menyerahkan tubuhnya.

“Bukan saya tidak tahu perbuatan itu (seks sebelum berkahwin) berdosa. Saya juga tahu apa dibuat itu boleh membuatkan mengandung.

“Bagaimanapun, apabila nafsu menguasai diri, saya lupa segala-galanya. Saya merelakan diri diperlakukan seperti isteri,” katanya.

Menurutnya, lelaki ditemuinya disifatkan sangat baik dan bijak berkata-kata, membuatkan dia pasang impian untuk hidup bahagia.

“Saya berkenalan dengan lelaki itu di kedai makan ketika melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di ibu kota dua tahun lalu. Perkenalan singkat itu membuahkan cinta sehingga kami kerap keluar bersama.

“Dia terlalu baik dan budiman. Selepas beberapa kali bertemu, secara terus terang dia beritahu dia sudah berkahwin dan ada anak, namun kerana perasaan sayang yang mendalam, saya rela menerimanya,” katanya.

Keyakinan Aleeya terhadap lelaki itu semakin kukuh apabila turut diperkenalkan dengan isteri lelaki terbabit.

“Isteri lelaki itu menerima saya seadanya. Itu membuatkan saya rela menjadi isteri lelaki itu, sekali gus hidup bermadu. Namun hasrat bergelar isteri tidak kesampaian kerana keluarga tidak membenarkan saya berkahwin, sebaliknya mahu saya menumpukan kepada pelajaran,” katanya yang mengakui hubungannya dengan lelaki itu diketahui keluarganya.

Aleeya berkata, keluarganya meminta dia memberi tumpuan kepada pelajaran dan melupakan cintanya, tetapi dia tetap meneruskan hubungan terlarang itu.

“Setahun melakukan hubungan seks terlarang, saya dapati berlaku perubahan pada diri saya. Saya tidak datang haid selama dua bulan. Apabila melakukan pemeriksaan menggunakan alat ujian kehamilan, rupa-rupanya saya mengandung,” katanya.

Perasaan panik menyelubungi Aleeya, namun dia tidak merujuk masalahnya kepada sesiapa melainkan kepada kekasihnya.

“Lelaki itu mahu bertanggungjawab dan segera mengahwini saya. Dia ajak pulang ke kampung saya dan memberitahu perkara sebenar kepada keluarga saya, namun saya tidak berani.

“Ketika itu saya berasa selamat kerana lelaki itu menunjukkan kesungguhannya mahu bertanggung jawab,” katanya.

Ketika mabuk bercinta, dia mendapat tahu bahawa lelaki itu sebenarnya mempunyai bukan seorang tetapi tiga isteri.

Aleeya turut difahamkan, lelaki itu berkahwin lebih daripada satu menggunakan sindiket.

“Maklumat itu diperoleh daripada pihak tertentu. Saya berterus terang dengan lelaki itu dan dia menafikannya,” katanya.

Dia terus menaruh keyakinan dengan kejujuran lelaki itu sehingga sanggup menipu keluarga tidak pulang ke kampung ketika cuti semester kononnya mahu bekerja.

“Lama kelamaan saya tertekan dengan keadaan sedemikian. Saya akur dengan permintaan lelaki itu yang mahu membawa saya pulang ke kampung. Lelaki itu menjadi jurucakap saya kerana saya tidak berani berterus terang,” katanya.

Selepas rahsia terbongkar, lelaki itu menyatakan hasrat mahu memperisterikan Aleeya, namun tidak dipersetujui keluarga.

“Mereka (keluarga) tidak mahu melihat saya menderita, apatah lagi selepas mengetahui sisi gelap lelaki itu, termasuk dakwaan kononnya dia beristeri empat,” katanya.

Menurut Aleeya, itu kali terakhir dia bertemu lelaki itu, namun cinta yang mendalam membuatkan mereka tetap berhubung.

“Isteri lelaki itu turut sentiasa bertanya khabar saya. Apa pun saya sedar, saya masih perlukan keluarga. Saya bersyukur keluarga masih menerima saya dan mahu memelihara anak yang dikandungkan.

“Saya sedar pengorbanan keluarga terlalu besar... mereka sanggup menanggung malu dan memberi semangat untuk terus kuat membina hidup baru,” katanya.
Aleeya berkata, keluarganya mahu dia meneruskan pelajaran dan berjaya dalam hidup.

“Apabila di samping keluarga, perasaan menyesal menerpa tak sudah-sudah. Saya hanya mampu menangis dan menyesali apa dibuat,” katanya.

Khamis, Jun 17, 2010

Suamiku berkorban untuk kekasih

ARKIB : 13/06/2010
Utusan Malaysia - Keluarga


SUDAH bertahun-tahun ruangan DCCK ini menjadi bahan bacaan ramai kaum wanita, tetapi rasanya tidak ramai yang mengambil iktibar, baca sekadar baca dan untuk mengisi masa lapang sahaja, bila dah terjadi kepada diri sendiri barulah percaya. Bak kata pepatah Melayu dah terhantuk baru tengadah''

''Begitulah dengan saya suatu ketika dulu. Sekarang saya ingin jadikan diri saya sebagai contoh supaya anda jangan jadi macam saya, jadikan kesilapan masa lalu saya sebagai teladan.'' Demikian cerita Noralisa dalam e-melnya kepada penulis.

''Saya mahu tanamkan dalam minda pembaca semua jangan percaya seratus peratus sumpah apalagi janji manis suami. Mereka boleh bersumpah beratus malah beribu kali, tetapi satu pun tidak akan dikotakan.

''Apa yang mereka lakukan hanya untuk mententeramkan jiwa anda seketika supaya anda tidak histeria, mengamuk dan merajuk. Biarlah saya buka tirai kehidupan saya yang sudah lebih 20 tahun berkahwin dan ada empat anak untuk anda tatap.

''Siapa sangka setelah lama berkahwin, baru dua tahun lalu baru saya dapat tangkap aktiviti curang suami saya. Dia menjalin hubungan dengan ramai wanita.

''Hancur lulur hati saya, sebab selama ini saya terlalu percayakan dia, saya tidak sangka dia curang terhadap saya. Kerana daripada apa yang digambarkan kepada saya selama ini seolah-olah dia suami yang baik. Tapi itu semua pura-pura dia mempunyai kehidupan yang amat berbeza di belakang saya, yang tidak saya ketahui.

''Bila dapat tahu saya tak percaya juga, tapi saya selidik tanpa pengetahuannya, dalam diam saya dapat kumpul banyak bukti tanpa dia sedar.

''Satu hari saya tanya dia benarkah dia hubungan dengan perempuan lain. Dia nafikan malah menempelak saya balik konon dia begitu setia mengapa saya tuduh sembarangan. Terkejut dia bila saya tunjukkan bukti. Ada kondom dan ubat kuat yang dia tidak gunakan kepada saya. Saya sebutkan sekali nama teman wanitanya. Hubungan mereka bukan sekadar kawan biasa, malah lebih daripada itu.

''Akhirnya baru dia mengaku, tetapi tetap mendakwa mereka hanya kawan biasa. Takkan saya tak boleh bezakan antara kawan biasa dengan kekasih. Kemudian dia bersumpah tidak akan menjalin hubungan lagi, dia mengaku masih sayangkan kami.

''Tapi Allah tunjukkan bukti kecurangannya lagi. Sumpah jadi mainannya. Dia lebih sedia dengan wanita lain daripada saya.

''Saya amat sedih pengorbanan saya selama ini sia-sia, banyak wang ringgit saya lebur kerana percayakan suami. Dia suka buat bisnes, sayalah tempat dia mengadu pinjam duit. Simpanan saya habis, barang kemas lesap.

''Bila ada duit bukan dia bayar hutang saya atau tebus barang kemas, sebaliknya dia habiskan dengan wanita lain, siapa tak sakit hati. Macam mana bisnes nak maju kalau keuntungan dia buat maksiat. Jalan terakhir saya memohon cerai secara tuntutan fasakh.

''Bayangkan selama ini semua perbelanjaan makan minum dan urusan rumah tangga terletak ke atas bahu saya.

Perangai

''Tapi dengan perempuan lain dia sentiasa ada duit. Sanggup belikan dan bayar bil telefon. Bagi duit beribu ringgit. Kalau dengan anak-anak minta duit memanjang dia jawab tiada duit.

''Berbalik pada cerita permohonan cerai saya, bila dia tahu dia marah dan mengamuk. Tapi saya telah tetapkan hati. Kerana sakit hati dia tabur fitnah kepada ibu dan mertua saya kononnya saya minta cerai sebab ada jantan lain.

''Kepada anak-anak dia beritahu saya dah gila nak minta cerai. Sebenarnya anak-anak lebih dulu tahu perangai buruk ayahnya daripada saya, cuma mereka tak sampai hati nak bagi tahu saya. Mereka selalu tanya kenapa saya tak marah ayahnya balik subuh, takkan buat bisnes sampai subuh. Saya saja yang bodoh tak faham.

''Bila nak bercerai suami saya mula jalankan taktik memujuk, dia berjanji dengan peguam saya tidak akan mengulangi perbuatan terdahulu. Akhirnya peguam saya mencadangkan saya tarik balik dengan syarat suami saya bersumpah depan hakim secara suluk.

''Saya ikut cadangan peguam dengan syarat jika dia langgar syarat yang ditetapkan saya tidak akan bertolak ansur. Lagipun emak mertua saya mohon saya maafkan anak dia.

''Lepas saya tarik balik permohonan fasakh, suami saya bukan main baik lagi. Tapi sekejap saja. Baru-baru ini saya dapat tangkap dia buat hubungan dengan wanita lain. Jadi salahkah saya bertindak minta cerai?

''Saya bersyukur kepada Allah kerana kini rezeki saya semakin dilebarkan oleh-Nya. Sementara rezeki suami semakin sempit. Sebenarnya selama ini pendapatan suami hanya untuk dirinya sahaja, bukan untuk keluarga, dan inilah pembalasan Allah kepadanya.

''Jadi saya ingin mengingatkan kaum wanita janganlah percaya suami 100 peratus.

''Sebenarnya kalau siapa pun lihat muka suami saya tak akan percaya dia buat kerja terkutuk itu. Baiknya muka dan tingkah laku dia di mata orang macam orang alim ulamak bak kata orang sekarang muka syurga tapi hati neraka.

Demikian cerita Noralisa yang masih bersabar menunggu. Harapannya pengorbanannya selama ini membawa keberkatan kepada anak-anaknya dunia dan di akhirat.


Rabu, Mei 26, 2010

Isteri, kekasih sama-sama hamil

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@ hmetro.com.my
2010/05/26

PUTRAJAYA: Seorang lelaki ‘mata keranjang’ yang isterinya bakal melahirkan anak pada bila-bila masa ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana bersekedudukan dengan teman wanitanya yang hamil di Precint 9, di sini, kelmarin.


Teman wanita terbabit baru menamatkan pengajian di sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan bakal menerima ijazah dalam tempoh terdekat ini.

Tembelang kakitangan awam lingkungan 30-an terbabit dipercayai bersekedudukan dengan ‘isteri luar nikah’ berusia awal 20-an itu terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Jawi, menyerbu kediaman lelaki terbabit, selepas menerima aduan daripada penduduk yang curiga dengan kehadiran wanita mengandung di rumah terbabit.

Siasatan mendapati, lelaki sudah berumah tangga itu menghantar isterinya yang juga kakitangan kerajaan ke kampung kerana wanita berkenaan akan melahirkan anak pada bila-bila masa.

Kesempatan itu digunakan lelaki terbabit membawa kekasih gelap ke rumah dan menjalani kehidupan seperti suami isteri yang sah.

Sumber berkata, maklumat diperoleh mendapati lelaki terbabit sudah berumahtangga dan mempunyai seorang isteri dan anak.

“Bagaimanapun, isteri lelaki itu yang sarat mengandung dan dihantar suaminya pulang ke kampung untuk bersalin di sana.

“Kami percaya kesempatan itu membuka ruang lelaki terbabit membawa kekasih gelap yang juga sedang mengandung hasil persetubuhan haram mereka untuk tinggal di rumah berkenaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, penguat kuasa Jawi menyerbu rumah itu dan menahan pasangan terbabit yang mengaku bukan suami isteri.

Menurutnya, lelaki terbabit mengaku pasangannya sudah mengandung tujuh bulan, begitu juga isterinya yang bakal melahirkan anak bila-bila masa di kampung.

“Memang tidak ada individu lain di rumah itu dan pasangan terbabit seolah-olah hidup macam pasangan suami isteri.

“Lelaki terbabit memberi alasan dia kini dalam proses penceraian dengan isterinya walaupun pada waktu sama memiliki kekasih yang sudah mengandung.


“Malah, lelaki terbabit mendakwa hubungan dengan kekasihnya itu mendapat tentangan keluarga wanita berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, siasatan juga mendapati, gadis terbabit turut bertugas di sebuah jabatan kerajaan bakal menerima ijazah dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit bersekedudukan untuk tempoh agak lama sehingga menyebabkan kekasihnya mengandung.