Rabu, Ogos 11, 2010
Ingat emak bila susah
‘‘Saya mempunyai adik-beradik seramai enam orang, lima daripada kami hanya mendapat pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, namun takdir menyebelahi adik bongsu kami yang mempunyai Ijazah dari Universiti. Tujuan saya bercerita bukan kerana cemburu kerana kepandaiannya, tetapi perangainya.
‘‘Oleh kerana hanya dia seorang dalam keluarga kami ada segulung Ijazah, sudah pastilah dia menjadi kebanggan keluarga khususnya emak ayah kami. Tetapi perangai dan tingkah lakunya termasuk kesombongannya, nauzubillah, mengalahkan orang ada Phd, kalahkan professor, sementara kesibukannya mengalahkan Perdana Menteri Malaysia. Tak ada masa langsung untuk emak ayah, apatah lagi untuk adik-beradik.
‘‘Sebenarnya perubahan kelakuan adik kami ini bermula apabila dia dibenarkan tinggal bersama saudara jauh kami dan tinggal di bandar. Alasan adik pada awalnya dia perlu pergi tusyen untuk kemudahan belajar. Jadi kalau berulang dari rumah kami memang jauh, maklum kami tinggal di luar bandar.
‘‘Jadi demi masa depannya emak dan ayah kami pun setujulah membenarkan dia tinggal secara menumpang di rumah saudara kami itu, dengan syarat dia tumpang tidur di sana hanya pada hari dia ada tusyen, kalau tidak dia mesti balik terus ke rumah.
‘‘Itu persetujuan awal emak dan ayah membebenarkan adik belajar tusyen dan tinggal di bandar. Tambahan pula ketika itu adik dalam tingkatan tiga, jadi dia amat perlukan tusyen untuk membolehkan dia menduduki peperiksaan besar akhir tahun. Oleh kerana itu permintaan anak bongsu, maka dia di benarkan.
‘‘Pada mulanya untuk menduduki peperiksaan tingkatan tiga sahaja dan dia pulang ke rumah kalau tak ada tusyen, tetapi akhirnya melarat bila dia dalam tingkatan empat dan lima. Kalau dulu dia duduk rumah saudara tiga hari seminggu, akhirnya dia duduk terus dan tak balik-balik ke rumah kerana terlalu sibuk dan perlu belajar menghadapi peperiksaan tingkatan 5 begitu katanya.
‘‘Bagaimana pun adik tak duduk percuma, emak dan ayah bagi saudara kami itu sagu hati kerana tumpang tidur dan makan, taklah banyak cuma RM40 sebulan sahaja, mereka setuju, tetapi entah macam mana adik boleh duduk terus di rumah saudara kami tu dan tak mau balik dengan alasan sibuk tusyen dan belajar.
Kebaikan
‘‘Lebih menarik lagi di rumah tersebut, adik diberikan sebuah bilik khas untuk dia senang belajar, dan boleh tinggal terus walaupun tanpa sebarang bayaran. Kerana kebaikan hati saudara kami itu, emak dan ayah langsung tak merasa syak wasangka, tolong menolong sesama saudara kata mereka. Hinggakan emak terlupa bahawa satu hari nanti emak akan kehilangan terus anaknya.
‘‘Keselesaan adik tinggal di bandar berterusan hinggalah adik menduduki tingkatan enam. Malah adik menganggap rumah saudara kami itulah rumahnya dia, bukan rumah emak ayah di kampung.
‘‘Selepas mendapat keputusan yang agak baik dalam STPM, adik menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah. Kini adik bekerja di sebuah Organisasi Gergasi itupun atas bantuan ayah kami yang berusaha mendapatkan jawatan bersesuaian untuk anak bongsunya di dalam organisasi tersebut, dan juga dah rezeki adik.
‘‘Masalahnya setelah bekerja beberapa tahun sekarang adik langsung tak pedulikan emak dan ayah, alasannya dia terlalu sibuk. Persoalannya sekarang saya tertanya diri sendiri, di manakah budi bicara dan akal yang Allah berikan kepada manusia hingga seseorang itu tidak boleh memberi nasihat dan panduan kepada adik hinggakan adik tak mahu balik menjengok ayah yang terlantar sakit. Malah saudara kami ini tergamak bercerita kepada orang bahawa adik tak selesa dan tak suka balik kampung.
‘‘Episod sedih emak bermula apabila emak sering menyebut dan menceritakan tentang kerinduan terhadap anak bongsunya. Setiap hari emak menanti kepulangan anaknya. Hari berganti bulan, bulan bertukar tahun, dan tahun silih berganti sehingga 2010 ini, anak bongsu ini hanya pulang setahun sekali ketika Hari Raya Aidilfitri. Itupun pada pagi hari raya sahaja, dan bergegas pulang pada petangnya.”
‘‘Cuti raya biasanya berterusan 3 - 4 hari tetapi adik tak ada masa untuk bermesra dengan emak dan ayah. Ayah kami dulu sihat tetapi sejak akhir-akhir ini dia uzur dan tidak boleh berjalan. Sedihnya anak saudara ayah nun jauh di utara dan di Pantai Timur boleh datang melawat ketika ayah dimasukkan ke hospital tetapi adik bongsu kami langsung tak menjengok, walaupun tempat kerjanya beberapa kilometer sahaja dari hospital.”
‘‘Malahan jika kami buat kenduri kahwin atau menziarah kematian saudara, batang hidung adik tak pernah nampak, dia sentiasa sibuk kalah Perdana Menteri.
Jadi sebelum terlambat nasihatkanlah adik bongsu kami itu supaya balik ke rumah emak dan ayah sementara hayat mereka masih ada. Semoga anda mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat.’’ Demikian cerita Hazrina.
Jumaat, Julai 30, 2010
Pembahagian secara faraid pelihara ikatan keluarga
Berita Harian - Agama
Semua waris simati layak kemuka permohonan tadbir harta pusaka
PAK Samad (bukan nama sebenar), seorang imam yang terkenal dan disegani di kampungnya meninggal dunia pada usia 65 tahun ketika menajak rumput di sawahnya. Beliau meninggalkan harta tidak alih berupa tanah sawah seluas 30 relung serta wang simpanan di Tabung Haji dan bank.
Pak Samad meninggalkan waris, balu, dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Tidak lama selepas kematian bapanya, Idrus (bukan nama sebenar), anak lelaki sulung dan adiknya, Yaakob (bukan nama sebenar) yang tinggal dan bekerja di bandar pulang ke kampung untuk berbincang mengenai harta peninggalan bapa mereka. Persoalan pokok yang dibincangkan adalah mengenai pembahagian tanah sawah milik simati yang kini terbiar. Sebagai anak lelaki sulung, Idrus melantik dirinya sebagai Pemegang Kuasa (Pentadbir Pusaka) untuk mengurus semua harta pusaka peninggalan bapanya. Idrus membuat keputusan membahagikan tanah itu mengikut hukum faraid dan memberi ibunya tanah sawah seluas lima relung (6/48 bahagian mengikut hukum faraid) yang terletak di pinggir hutan mengkuang, agak jauh dari rumah.
Dua adik perempuannya, Zainab dan Sapiah mendapat 7/48 bahagian setiap seorang iaitu tanah sawah seluas enam relung dan mereka berkongsi tanah di atas dua geran seluas 12 relung satu penjuru (satu penjuru bersamaan 0.1775 ekar).
Sementara Yaakob diberi dua keping tanah berkeluasan 11 relung satu penjuru. Idrus pula mengambil tanah dua relung yang sedang diusahakan ibunya dan tiga tanah sawah yang semuanya berjumlah 11 relung dua penjuru.
Ibu dan kedua adik perempuannya membantah cadangan pemberian tanah yang terlalu jauh dari tempat tinggal mereka dan sukar untuk diusahakan. Idrus marah dan bertindak mengambil semua geran tanah milik arwah tanpa memberi sekeping tanah kepada ibu dan adik perempuan.
Setelah dua tahun kematian Pak Samad, Idrus masih belum memohon Surat Kuasa Mentadbir. Semua tanah disewakan dan hasilnya dipungut Idrus tanpa diagihkan kepada waris yang lain.
Simpati dengan nasib tiga beranak itu, seorang jiran menasihatkan mereka ke AmanahRaya untuk menyelesaikan soal pembahagian harta pusaka. Zainab dan Sapiah mendapatkan khidmat nasihat daripada AmanahRaya.
Mereka diterangkan konsep Pemegang Kuasa hanyalah adat saja dan tidak mempunyai kuasa undang-undang.
Pemegang Kuasa bukanlah wakil diri yang sah kepada arwah dari segi undang-undang kerana tiada pelantikan secara undang-undang bagi tujuan itu.
“Dari segi undang-undang, Pemegang Kuasa sebegini tidak diiktiraf. Abang puan tidak boleh selama-lamanya menguasai semua harta arwah tanpa dibuat pembahagian kepada waris lain yang berhak,” jelas pegawai AmanahRaya kepada Zainab dan Sapiah.
Mereka dinasihatkan untuk mengemukakan Permohonan Mentadbir Harta Pusaka bagi semua harta arwah termasuk simpanan wang di Tabung Haji dan bank. Zainab dan Sapiah risau akan dimarahi Idrus jika membuat permohonan itu nanti.
Pegawai AmanahRaya memberitahu semua waris yang berhak kepada harta pusaka layak menjadi pemohon.
Masalah geran tanah asal yang disimpan Idrus tidak menjadi halangan kerana AmanahRaya akan membuat carian rasmi tanah itu berdasarkan salinan geran yang ada dalam simpanan mereka.
Melalui carian itu, permohonan mendapatkan nilaian tanah dari Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta serta proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau perintah pembahagian harta pusaka arwah dari Pejabat Penyelesaian Pusaka Kecil dapat dilakukan.
Pada masa sama, Idrus bertemu dengan pegawai kes di AmanahRaya dan setelah diberi penerangan lengkap, faham bahawa tindakan beliau selama ini salah serta berjanji memberi sokongan kepada AmanahRaya dan akan menyelesaikan masalahnya dengan waris lain.
Perkembangan itu memudahkan usaha penyelesaian oleh AmanahRaya. Setelah semua siasatan lengkap dan pengesahan penilaian dibuat terhadap enam keping tanah serta jumlah wang simpanan di Tabung Haji dan bank diperoleh, permohonan mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dikemukakan ke Pejabat Penyelesaian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian.
Tidak lama selepas itu, Pejabat Penyelesai Pusaka Kecil mengeluarkan Notis Petisyen Dan Pendengaran untuk perbicaraan Permohonan Surat Kuasa Mentadbir kepada AmanahRaya sebagai pemohon dan juga kepada semua waris.
Pada hari pendengaran permohonan, semua waris hadir. Mereka kelihatan gembira ketika menjejakkan kaki ke Pejabat Tanah untuk perbicaraan permohonan Surat Kuasa Mentadbir bagi harta pusaka arwah Pak Samad.
Ketika menunggu giliran, pegawai AmanahRaya meminta waris berbincang cara terbaik membahagikan harta pusaka itu.
Perbicaraan permohonan berjalan lancar kerana mereka bersetuju membahagikan tanah sawah seluas 30 relung mengikut faraid.
Sementara semua wang simpanan di Tabung Haji dan di bank diserahkan kepada ibu mereka dengan AmanahRaya dilantik sebagai Pentadbir Harta Pusaka yang sah. Begitu juga tanah setengah relung yang turut menempatkan tapak rumah diserahkan kepada ibu mereka.
Semua ahli keluarga berpuas hati apabila melangkah keluar dari bilik Mesyuarat Pejabat Tanah. Ibu mereka juga gembira kerana tanah dan tapak rumah didiaminya kembali menjadi miliknya sementara Zainab dan Sapiah mendapat bahagian tanah yang boleh mereka usahakan.
Semua mereka saling berpelukan antara satu sama lain sebelum membawa haluan masing-masing.
Jumaat, Ogos 28, 2009
‘Ratah’ tubuh 4 anak
KUALA TERENGGANU: Rahsia hitam dipendam tiga beradik akibat menjadi mangsa rogol dan cabul bapa sendiri sejak sekian lama akhirnya terbongkar selepas adik bongsu mereka turut menjadi mangsa ‘haruan makan anak’.
Kejadian bermula selepas mangsa terbaru berusia 15 tahun itu tersedar daripada tidur selepas terasa badannya ditindih sebelum melihat bapanya mencangkung atas badan menyebabkan mangsa menjerit.
Jeritan itu menyebabkan lelaki berkenaan melarikan diri manakala mangsa yang terkejut bingkas ke bilik air sebelum terasa pedih pada kemaluannya ketika membuang air kecil di rumah mereka di Kampung Raja, dekat Besut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, kejadian dikatakan berlaku penghujung April atau awal Mei lalu menyebabkan mangsa memaklumkan kepada ibunya.
Bagaimanapun, beliau berkata, ibu mangsa yang cuba mendapatkan penjelasan daripada suaminya mendakwa turut diugut dan dimarahi supaya tidak menghebohkan kejadian itu atau dicederakan menyebabkan wanita itu terpaksa berdiam diri.Menurutnya, selepas berjaya menakutkan isterinya, lelaki berkenaan menjadi semakin berani apabila sering mencabul anak perempuannya itu setiap kali berada di rumah menyebabkan mangsa tidak tahan diperlakukan demikian.
“Berikutan itu, mangsa mengadu kepada tiga kakaknya berusia 21, 23 dan 27 tahun, namun terkejut apabila mendapat tahu dua daripada kakaknya itu turut menjadi mangsa ‘haruan makan anak’ manakala seorang lagi sering dicabul,’” katanya.
Katanya, sebaik mendengar cerita kakaknya, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, kira-kira jam 3.30 petang, Sabtu lalu.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.
Menurutnya, setakat ini, polis sudah memanggil ketiga-tiga kakak mangsa untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan manakala suspek yang bekerja sendiri menghilangkan diri.Harian Metro difahamkan, seorang daripada anak suspek yang kini berusia 21 tahun dikatakan sering menjadi mangsa cabul lelaki berkenaan sejak berusia 14 tahun dan kejadian itu berlaku tiga hingga empat kali sebulan.
Selain itu, lelaki berhati haiwan itu juga sanggup memperkosa anaknya yang kini berusia 23 tahun sejak gadis berkenaan berusia tujuh tahun dan kejadian itu berlarutan hingga mangsa berusia 19 tahun.
Difahamkan, mangsa dirogol sekali atau dua kali sebulan dan suspek sudah meratah badan anaknya itu lebih 20 kali sepanjang 12 tahun hingga mangsa mendirikan rumah tangga pada 2005.
Selain itu, anak tiri mangsa yang kini berusia 27 tahun turut mengalami nasib sama apabila menjadi mangsa rogol sejak berusia 13 hingga 15 tahun. Malah, wanita itu juga dikatakan sering dipukul tanpa sebab dan diperkosa dua hingga tiga kali sebulan sepanjang tempoh itu.
Selasa, Ogos 18, 2009
Derita kakak sampai ke hujung nyawa
JODOH, pertemuan dan maut ditentukan oleh Allah SWT. Dia penentu segala kejadian yang berlaku di muka bumi ini. Daripadanya kita datang, kepadanya juga kita kembali! Pertemuan saya dengan Ija (bukan nama sebenar) berlaku semasa saya berkunjung ke kampung Ija untuk melawat arwah atuknya.
Dalam perjalanan ke tanah perkuburan saya berbual-bual dengan Ija kerana kami berjalan beriringan. Saya perasan suara Ija agak sedih.
Saya yakin ada sesuatu yang meruntun hatinya dan ingin diluahkan. Sampai di tanah perkuburan, kami mengambil tempat di tepi pagar.
"Doakan arwah atuk selamat di alam baqa. Sedekah Fatihah dan berdoa mudah-mudahan atuk ditempatkan bersama orang yang soleh," perlahan saya berkata.
Ija mengangguk, lama dia terdiam. Air mata menitis membasahi pipinya. Wajahnya terus murung. Saya tidak mahu menganggu emosinya ketika itu, mungkin ada hal lain yang mengusik perasaannya.
Di kejauhan, urusan menurunkan jenazah atuk Ija ke liang lahad berjalan lancar di tengah kesedihan kaum keluarga, jiran dan sahabat handai.
"Saya baru kehilangan kakak dua minggu lalu. Sakit kanser. Dia menderita zahir batin," Ija tiba-tiba meluahkan perasaannya tanpa saya minta.
Matanya bergenang. Jauh dia melemparkan pandangan seolah-olah mengingatkan sesuatu yang telah lama ingin diluahkan kepada seseorang.
Nyata orang itu adalah saya. Seperti biasa saya menjadi pendengar setia. Saya memegang bahunya cuba menenangkan keadaan. Dalam situasi seperti itu Ija memerlukan kekuatan.
"Melihat jenazah atuk, saya menjadi semakin sedih dan hiba apabila terkenangkan arwah kakak. Teringat saat kakak menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anak tanpa suami dan keluarga mentua. Kejam sungguh mereka!" spontan terkeluar kata-kata daripada bibir Ija dengan air mata berlinangan di pipi.
Menyedari apa yang ingin saya tahu semuanya sudah terluah, saya tidak bertanya lanjut dan membiarkan Ija terus bercerita.
"Semuanya gara-gara pernikahan kakak dulu tidak direstui oleh mentua. Dari mula mereka bercinta, bernikah sampai saat kakak berhenti bernafas keluarga mentua masih enggan menerimanya sebagai menantu.
"Apa saja yang kakak buat semua tidak kena. Dia dihina, dicerca dan dibuat seperti melukut di tepi gantang, mujur kakak bekerja senang sikit hidupnya," sebak Ija meneruskan cerita.
Saya mengenggam erat kedua-dua tangan Ija dan memberi kata-kata perangsang sambil meminta dia bertenang. Kesabaran adalah perkara utama yang perlu dilakukan, tabahkan hati, kuatkan semangat, nasihat saya.
"Betul kak, tapi kalau mengenangkan apa yang abang ipar buat kepada arwah kakak, saya amat marah. Sudahlah ibu dan adik- beradiknya tidak ambil peduli tentang kakak, abang ipar pula buat hal.
"Dia ambil kesempatan keadaan kakak yang uzur untuk menjalin hubungan dengan wanita lain. Kakak terlantar di dalam rumah, dia sesuka hati mengusung kekasihnya ke sana ke mari macam tidak ada tanggungjawab. Sampai hati dia! Suami jenis apa itu?
"Keluarga saya yang bergilir-gilir menjaga kakak dibantu oleh pembantu rumah. Abang berlagak macam tidak ada apa-apa yang berlaku di dalam rumahtangganya. Dia keluar masuk rumah tanpa pedulikan kakak yang hanya mampu memandangnya dengan mata yang redup setiap kali dia melintas.
"Sakit hati saya. Anak-anak turut menjadi mangsa tetapi abang ipar saya pandai, dia mengumpan dua anak lelakinya dengan macam-macam perkara dan hadiah sehingga mereka mengikut cakapnya.
"Mujur anak bongsu mereka selalu menemani ibunya selepas balik sekolah. Sekurang-kurangnya kakak terasa diberi perhatian," kata Ija.
Menurut Ija, mereka marah sebab keluarga abang iparnya langsung tidak ada perikemanusiaan terhadap kakaknya sepanjang empat tahun dia menderita sakit kanser.
Mereka langsung tidak datang menjenguk sedangkan kami adik-beradik sudah menerima keadaan yang telah berlaku.
"Jahat sangatkah arwah kakak saya sampai begitu sekali mereka perbuat. Pada hal kakak tidak pernah kacau mereka. Mereka yang terlalu mengawal abang ipar saya sehingga bencikan isteri sendiri.
"Saya masih berusaha memujuk keluarga mentua untuk datang melawat kakak semasa dia sedang nazak. Seorang ustazah juga diminta memujuk mereka, sayangnya sehingga kakak menghembuskan nafas terakhirnya, seorang pun ahli keluarga mentuanya tidak datang.
"Abang pula entah di mana … tiga jam selepas kakak pergi meninggalkan dunia ini, baru dia muncul. Mana tak sakit hati, selepas itu buat-buat sedih dan menangis. Untuk apa? Kakak sudah tidak bernyawa lagi" soal Ija.
Begitulah lumrah dunia, manusia tidak dapat mengawal perasaan mereka untuk menyakiti sesama manusia.
Saya akur kesedihan yang Ija dan keluarganya tanggung.
Siapa tidak merasa sedih jika darah daging diperlakukan begitu. Hinggakan kadang kala sukar untuk mempercayai dalam alaf baru ini masih ada manusia yang berfikiran kuno.
"Saya masih terbayang bagaimana bibir kakak kumat-kamit bertanyakan suami dan mentuanya. Apalah yang kami mampu lakukan saat itu melainkan menangis dan membisikkan kalimah syahadah di telinga agar dia dapat pergi dalam ketenangan," tambah Ija.
Alhamdulillah kata Ija, arwah kakaknya pergi dalam keadaan aman dan tenang. Di sebalik wajah yang kurus cengkung kerana derita sakit, arwah kelihatan seperti sedang tidur.
"Saya teringat saat manis bersama arwah kakak semasa dia sihat dan sepanjang dia terlantar sakit. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dihimpunkan bersama ahli sunnah waljamaah," suara Ija semakin perlahan dan sebak sambil menekup mukanya dengan kedua-dua tangan.
Saya tahu dia menangis. Saya biarkan dia begitu sehingga jiwanya kembali tenang. Sehingga bacaan talkin bergema memecah kesunyian di sekitar tanah perkuburan itu, saya masih melihat Ija menangis.
Biarlah dia menangis sepuas-puasnya. Mudah-mudahan selepas ini Ija akan kembali tenang dan menerima hakikat, hidup ini sentiasa diuji. Betapa sayangnya Ija kepada kakaknya, Tuhan lebih sayangkan dia. Redakan pemergiannya dan jangan putus berdoa agar rohnya dicucuri rahmat.
Mengundur diri sambil mengingatkan diri saya dan pembaca juga, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Melihat apa yang terbaik untuk hambaNYA dalam meniti kehidupan yang pasti ada nokhtahnya.