#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Pemakanan n Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemakanan n Kesihatan. Papar semua catatan

Jumaat, September 14, 2012

Makanan kesihatan bahaya

14/09/2012 Oleh Sophia Ahmad
Sumber : Berita Harian

Petaling Jaya: Kegilaan orang ramai khususnya wanita terhadap makanan kesihatan termasuk produk menguruskan badan boleh mengakibatkan nyawa mereka terancam sekiranya terjebak membeli produk palsu.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan) Farmasi, Mazlan Hamid, berkata kandungan dadah terlarang dalam produk itu akan menyebabkan keracunan dan kerosakan organ dalaman termasuk kegagalan jantung dan buah pinggang jika diambil berterusan. Kesan sama, katanya, turut didapati menerusi pengambilan minuman tenaga dan perangsang yang berlambak di pasaran.

Pengaruhi pengguna

“Minuman tenaga dan perangsang ini, iklannya sangat menarik dan berkesan sekali gus berjaya mempengaruhi pengguna. Ini yang mendatangkan bahaya kerana pengguna tidak tahu kandungan sebenar minuman atau produk yang diambil.

“Jika produk mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, kita tidak perlu risau dengan kandungannya, tetapi yang dibimbangkan apabila produk dipalsukan atau diseludup dari negara luar,” katanya kepada media selepas Bengkel Ubat-Ubatan Terlarang, di sini semalam.

Mazlan berkata, sepanjang Januari hingga Mei lalu, pihaknya merampas 13,028 jenis produk termasuk 93 yang disahkan palsu dalam beberapa siri serbuan serta operasi seluruh negara dan gerakan itu akan dilakukan berterusan termasuk di kedai ubat-ubatan tradisional yang sering dikesan menjual produk palsu serta diseludup dari luar.

Produk palsu

“Ada di antara produk palsu sukar dibezakan pengguna kerana menggunakan kaedah pembungkusan sama dengan produk asal, tetapi ada ciri-ciri tertentu yang dapat membezakannya,” katanya sambil menambah penggunaan hologram Meditag yang diwajibkan ke atas semua produk kesihatan mampu mengesan produk palsu dengan berkesan.

“Pelekat hologram boleh dibezakan menerusi penggunaan dekoder khas yang kita edarkan di kebanyakan farmasi utama seluruh negara. Petugas farmasi akan diberikan latihan khusus menggunakan dekoder berkenaan dan hasilnya, penjualan produk palsu di pasaran berkurangan agak signifikan,” katanya.

Antara produk palsu yang dikesan berada di pasaran tempatan ialah versi cetak rompak pil perangsang Viagra, ubat batuk Cap Ibu dan Anak, pil Panadol, minyak angin Cap Kapak dan cecair membersih mata Eye Mo.

Rabu, November 16, 2011

Akibat terlebih

Utusan Malaysia
13/11/2011


Selama hampir 25 tahun Zanariah tercari-cari apakah masalah yang beliau hadapi. Simptom yang dialaminya termasuklah kejang otot, sakit kepala yang kerap sehinggakan terpaksa menyimpan panadol di rumah sepanjang masa kerana sakit kepala datang dengan tidak semena-mena. Ada kalanya dia terpaksa mengambil cuti sakit kerana terlalu sakit.

Dia turut mengalami peningkatan berat badan keterlaluan meskipun mengamalkan diet yang ketat. Hal ini membuatkan Zanariah berasa kecewa kerana dia suka bergaya dan teringin mencuba fesyen baju yang cantik dan terkini. Dia juga mudah letih dan lesu, serta wajahnya tampak sembap. Akibatnya dia tampak tua dan sering digelar mak cik oleh orang yang melihatnya lantaran itu Zanariah sering mengelak keluar rumah.

Akhir-akhir ini dia tidak tahan dengan perubahan cuaca, merasakan badan berpeluh dan berbau. Dia juga lenguh, sakit sendi, kebas kaki dan tangan mudah terseliuh. Doktor menasihatkannya supaya jangan berlari kerana tubuh yang berat sukar ditampung oleh kakinya yang kecil. Zanariah juga mudah terkena gastrik, kerap berdebar dan mudah panik.

Pemeriksaan doktor menunjukkan dia mengidap darah tinggi, mempunyai kadar kolestrol yang tinggi serta kandungan gula dalam darah yang tinggi. Menurut doktor jika tidak berjaga-jaga besar kemungkinan dia akan diserang masalah kencing manis.

Zanariah mendapati tidurnya tidak lena, serta haidnya menjadi yang tidak menentu. Dia rasa tahap kesihatannya seperti orang tua meskipun usianya masih muda.

Ditanya punca masalahnya, doktor memberitahu keadaan itu disebabkan tubuhnya yang gemuk. Setiap kali Zanariah berdiet berat badannya semakin bertambah. Dia yakin tidak ada siapa pun percaya bahawa dia sememangnya menjaga pemakanan.

pemeriksaan

Seorang sahabat menasihatkan dia agar lebih banyak membaca serta membuat pemeriksaan paras hormon. Zanariah datang berjumpa saya untuk mengetahui lebih lanjut perihal masalah kesihatan berkaitan hormon.

Hasil pemeriksaan jelas menunjukkan dia mempunyai masalah hormon kortisol berlebihan. Keadaan ini dikenali sebagai Cushings Syndrome. Hormon kortisol yang tinggi mengubah penampilan seseorang. Lebih lama seorang itu terdedah kepada permasalahan ini maka lebih banyak perubahan yang kita nampak pada fizikalnya.

Ciri fizikal yang ketara ialah penambahan berat badan, lemak berkumpul pada muka perut, leher, belakang leher, manakala kaki dan tangan kelihatan kecil. Tanda regangan kulit mula kelihatan pada perut, payu dara dan bahu. Jerawat juga mudah tumbuh selain pertumbuhan bulu pada muka. Kulit wajah akan kelihatan kusam dan sesetengah wanita mengalami rambut gugur.

Kortisol yang berlebihan akan merangsang rasa lapar, membuatkan insulin meningkat dan rosak. Oleh kerana sel lemak bergantung kepada signal daripada kortisol untuk berpecah dan menghasilkan tenaga, maka hormon kortisol yang berlebihan akan menjadikan sel-lemak berkumpul dan membesar.

Rawatan bagi masalah seperti ini ialah memulihkan semula hormon dalam badan. Sebarang program diet dan senaman tidak mungkin berjaya lantaran kehadiran kortisol yang terlalu tinggi.

hormon

Kortisol ialah hormon yang terhasil dari kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang kita. Hormon kortisol terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak. Jika ia berlebihan atau berkurangan maka lemak akan berkumpul. Ia juga mustahak dalam penghasilan tenaga tubuh kita. Jika berkurangan atau berlebihan tenaga tidak dapat terhasil dengan baik.

Justeru itu hormon kortisol harus berada pada tahap optimum bagi seseorang itu memperoleh tubuh badan yang langsing serta tahap kesihatan yang baik.

Masalah obesiti selalunya disebabkan hormon kortisol yang berlebihan sering berlaku menyebabkan mereka sukar menurunkan berat badan.

Kortisol yang tidak seimbang sering mengganggu tindakan hormon lain seperti hormon tiroid, hormon estrogen, hormone progesterone dan lain-lain lagi. Ini kerana hormon saling bertindak secara synergistic. Kesan berlebihan atau ketiadaan satu hormon akan mengganggu tindakan hormon lain.

Faktor ini menyebab kan seseorang itu di ganggu masalah haid tidak teratur ,tubuh yang sembab serta degupan jantung yang tidak sekata.

Program penurunan berat badan yang ideal bagi masalah berat badan adalah:

* membaiki kadar hormon

* senaman yang membantu meningkatkan aktiviti hormon

* program pemakanan yang memulihkan sistem hormon.

Sesetengah makanan yang berkabohidrat seperti kanji, gula, nasi dan kentang meningkatkan insulin dan kortisol menyebabkan masalah obesiti semakin menjadi-jadi. Makanan yang sesuai adalah ikan, buah buahan serta sayur-sayuran yang mampu membuat paras gula dalam darah tetap berada pada tahap yang terkawal.

Perut buncit tanda awal penyakit

Utusan Malaysia
13/11/2011

SOALAN:
Ketika bersembang dengan rakan-rakan, ramai yang mengutarakan masalah yang sama iaitu perut semakin buncit selepas berkahwin. Saya ingin bertanya, adakah perut buncit merupakan masalah kesihatan? Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini.

-Zubir, Kelantan.



Saudara Zubir,

Terima kasih atas soalan yang saya kira sangat penting untuk diketahui ramai, sama ada kaum lelaki mahupun kaum wanita. Mungkin disebabkan cara kehidupan kita yang tidak aktif ditambah dengan pemakanan yang tidak sihat, maka berlakulah masalah perut buncit ini.

Ramai orang kerap bergurau dengan mengatakan perut buncit ini tanda bahagia atau tanda kemewahan tetapi yang pastinya perut buncit telah terbukti secara saintifik berkait rapat dengan banyak masalah kesihatan termasuklah masalah jantung. Lemak yang terkumpul di perut boleh diumpamakan lemak (viseral) di dalam organ-organ dalam badan termasuklah hati, jantung dan sebagainya.

Semakin buncit perut menandakan seseorang itu semakin tidak sihat. Ukuran lilit yang ideal bagi kaum lelaki ialah 90 sentimeter dan bagi wanita ialah 80 sentimeter.

Ukuran ini perlu dilakukan oleh pengamal perubatan atau mereka yang mengetahui teknik ukuran tersebut. Pergilah berjumpa dengan doktor atau jururawat bagi mendapatkan ukuran lilit perut saudara.

Perut buncit merupakan kriteria utama sebelum seseorang itu dilabelkan mendapat sindrom metabolik yang berkait rapat dengan penyakit-penyakit seperti diabetes mellitus, hipertensi, masalah jantung dan sebagainya. Tidak ada cara selain menjaga pemakanan yang baik dan melakukan senaman secara konsisten bagi mengatasi masalah perut buncit.

Mungkin cara sedutan lemak atau 'liposuction' boleh dilakukan tetapi kesannya adalah tidak berkekalan jika tidak mengamalkan cara hidup yang sihat. Semoga kita sama-sama berazam agar perut kita tidak buncit dan seterusnya mendapat kesihatan yang berkekalan, Insya-Allah.

Rabu, September 07, 2011

Usah salahkan makanan

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2011/09/04


Amalkan makan berpada, status kesihatan ketika musim perayaan

SELEPAS sebulan melatih diri berlapar dan dahaga serta mendisiplinkan tubuh kerana berpuasa, kehadiran Aidilfitri menyaksikan ramai kembali bebas mengamalkan diet asal. Malangnya, diet asal itu menjadi lebih berat apabila perut ‘dikejutkan’ dengan pelbagai hidangan sarat di rumah terbuka atau ketika mengunjungi rumah sanak saudara, termasuklah pada hari ini. Aktiviti menziarahi sanak saudara juga bermakna setiap kali mereka akan makan dan minum menyebabkan jumlah pengambilan makanan seharian berganda. Selain juadah yang mewah minyak dan lemak, minumannya pula terlebih manis dalam bentuk air berkarbonat. Lalu timbul persoalan - bagaimana mahu mendapatkan makanan ‘baik’ atau berkhasiat dan mengelak makanan tidak baik atau berisiko. Hakikatnya, aspek pemakanan sedemikian terlalu subjektif untuk dibincangkan kerana berkait rapat dengan persepsi. Ia perlu dilihat dari beberapa sudut seperti kesannya terhadap individu normal yang sihat, yang berpenyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi, kanak-kanak yang sedang membesar dan ibu mengandung (kelompok dengan hal kesihatan yang berbangkit).

Bagi mereka yang berpenyakit dan wanita mengandung, diet mereka tertakluk kepada makanan yang mengandungi keseimbangan nutrisi, vitamin dan mineral selain pengambilan ubat-ubatan dan suntikan. Bila tiba Aidilfitri, mereka perlu mengubahsuai pengambilan makanan mengikut keperluan dan bukannya perasaan.

Menurut Perunding Saringan dan Kecemasan, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Abu Hassan Samad, agak malang kerana kebanyakannya tidak kembali kepada diet yang normal kerana bermulanya fasa menjamu selera ketika berkunjung ke rumah sanak saudara tidak ketinggalan diteruskan dengan tradisi majlis rumah terbuka sepanjang Syawal.

“Aktiviti menziarahi sanak saudara juga bermakna setiap kali mereka akan makan dan minum menyebabkan jumlah pengambilan makanan seharian berganda. Tidak hairanlah ramai yang gagal menurunkan berat badan malah semakin meningkat selepas berpuasa dan minggu pertama Aidilfitri.”


Dari segi teknikalnya, berat badan sepatutnya berkurangan, tetapi dengan pilihan pelbagai makanan di bazar Ramadan, bufet berbuka puasa di hotel tidak ketinggalan mengambil makan lewat malam, Ramadan dan Aidilfitri menjadi cabaran kepada golongan ini.

Apa yang boleh dilakukan tanpa membelakangkan budaya kunjung mengunjung sambil menjamu selera dengan pelbagai juadah yang terhidang adalah dengan mengekalkan garis panduan asas iaitu pengambilan karbohidrat yang kerap namun berpada dan bersamaan dengan jumlah pengambilan karbohidrat sehari.

Elakkan sikap pantang jumpa dan suka mencuba makanan baru. Selagi anda berdisiplin dan mengikuti garis panduan dan prinsip asas ini, kesejahteraan diri pasti akan dicapai. Bagi pesakit yang mengambil ubat kencing manis, darah tinggi atau kolesterol, mereka boleh mengubahsuai ubatan mengikut diet yang sesuai.

Paling utama, amalkan disiplin diri. Jangan makan terlalu banyak dan beringat sebelum kena. Tidak salah untuk menjamu selera pada hari raya, tetapi hadkan pada hari pertama saja. Janganlah pula amalan itu berterusan selama sebulan. Masuk hari kedua, buatlah pengubahsuaian terutama pesakit yang mengambil insulin dan perlu menjaga kadar gula dalam darah.

Tiada istilah makanan baik dan tidak baik kerana hakikatnya makanan hadir sebagai sumber nutrisi kepada manusia. Apa yang berlaku adalah, setengah makanan membekalkan lebih nutrisi, mineral dan vitamin serta manfaat dari segi kesihatan berbanding makanan lain. Ini termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan juga daging. Makanan yang diproses tidak begitu baik untuk anda memandangkan ia mengandungi lemak, dan biasanya sedikit saja nutrisi berbanding makanan dalam keadaan semula jadi.

“Memandangkan ada makanan yang banyak lemak, protin, vitamin jadi prinsip terbaik adalah menggunakan kebijaksanaan untuk mendapatkan diet yang seimbang dan memadai untuk keperluan tubuh. Keperluan lelaki dewasa tidak akan sama dengan seorang kanak-kanak yang sedang membesar. Biarpun dengan pengambilan karbohidrat dan protin yang banyak tidak akan memudaratkan anak-anak ini kerana mereka kekal aktif.

Sementara orang dewasa perlu mengubahsuai jumlah dan jenis makanan dengan keperluan tubuh lebih-lebih lagi mereka yang tidak aktif dan tidak bersenam. Elakkan memakan banyak makanan berlemak dan tinggi karbohidrat.

Apa yang membuatkan makanan mendapat persepsi buruk adalah kerana amalan gaya hidup manusia itu sendiri. Kita memilih makanan yang tidak sesuai dan berpadanan dengan keperluan tubuh sedangkan kesihatan dan kesejahteraan bergantung sepenuhnya kepada nutrisi, vitamin dan mineral. Jangan sesekali menyalahkan makanan yang terhidang kerana ia wujud atas alasan yang baik dan betul.

Info
Tip diet lebaran

•Kekalkan pengambilan karbohidrat kerap tapi berpada.
•Elakkan sikap pantang jumpa dan suka mencuba makanan baru.
•Pesakit yang mengambil ubat kencing manis, darah tinggi atau kolesterol, boleh mengubahsuai ubatan mengikut diet yang sesuai.
•Paling utama, amalkan disiplin diri. Tidak salah untuk menjamu selera pada hari raya, tetapi hadkan pada hari pertama saja. Janganlah pula amalan itu berterusan selama sebulan.
•Masuk hari kedua, buatlah pengubahsuaian terutama pesakit yang mengambil insulin dan perlu menjaga kadar gula dalam darah.
•Elakkan memakan banyak makanan berlemak dan tinggi karbohidrat.


Kurang gula, garam, minyak

Gula sebenarnya boleh wujud secara semula jadi (dalam buah-buahan, sayur-sayuran berkanji, susu dan hasil tenusu) atau secara tersembunyi (gula yang ditambah semasa memproses makanan dan semasa memasak di rumah. Contohnya minuman ringan, minuman kordial, minuman bergula, gula-gula serta kuih-muih tradisional).

Mengurangkan gula

Perlu diingat, pengambilan gula yang sederhana dalam sehari adalah dalam lingkungan 10 sudu teh (50 gram) termasuk bagi gula semula jadi atau gula tersembunyi. Namun gula dalam minuman adalah amat berbahaya kerana badan kita tidak dapat tukarkan gula ini kepada tenaga. Gula yang terkumpul ini akan ditukar kepada lemak yang menyebabkan seseorang itu gemuk dan berisiko mengidap penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung. Gigi juga boleh rosak.

Mengurangkan garam

Garam diperlukan dalam menyedapkan juadah makanan. Tetapi pengambilan garam secara berlebihan membahayakan kesihatan. Kita memerlukan garam dalam kuantiti yang sedikit. Ini kerana garam yang berlebihan berkait dengan tekanan darah tinggi. Jadi, sepanjang lebaran pastikan tidak menggunakan garam secara berlebihan. Selain itu, bahan-bahan makanan seperti herba (kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang) boleh juga dijadikan pengganti dalam menyedapkan juadah. Bahan-bahan seperti ini kurang bahan perisa dan ia juga mempunyai khasiat tersendiri yang baik untuk kesihatan.

Mengurangkan minyak

Apabila menjelang lebaran, masyarakat kita banyak menggunakan minyak dalam masakan. Ini ditambah pula dengan penggunaan santan untuk membuat rendang sedangkan minyak yang berlebihan dalam masakan boleh mengundang penyakit. Untuk rendang, cuba elakkan menggunakan minyak masak. Cukuplah hanya menggunakan santan sahaja kerana santan boleh bertindak sebagai minyak. Jadi, apabila minyak dan santan digunakan sekali, ia menyebabkan minyak berlebihan.

Melebihkan buah-buahan

Makanan ini sering dilupakan semasa menghidang juadah semasa lebaran. Apa kata, gunakan buah-buahan untuk dijadikan pengganti pemanis mulut. Buah-buahan pelbagai rasa, warna, bentuk dapat menarik tetamu. Lebih menarik, ia kaya vitamin C yang amat diperlukan badan.

Melebihkan sayur-sayuran

Selain hidangan daging dan ayam, sayur-sayuran yang kaya serat dan zat mineral ini juga boleh dijadikan juadah. Ini kerana kandungannya itu amat penting bagi tubuh dan sistem penghadaman. Kehadiran serat ini dapat membantu mengurangkan tahap kolesterol darah. Sehubungan itu, hidangan sayur-sayuran amat penting semasa menikmati juadah lebaran kerana dapat mengimbangi diet kita terutama sekali tahap kolesterol darah yang terhasil daripada pengambilan daging dan ayam. Misalnya, semasa memasak mi goreng, lebihkan sayur-sayuran sebagai rencah utama.

Sumber: Kementerian Kesihatan

Isnin, Ogos 22, 2011

Air garam penawar racun

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


BAZAR Ramadan tidak pernah gagal menarik pengunjung dengan variasi juadah buka puasanya. Namun, seorang murid perempuan di Meru, Klang, Selangor, Nurdini Mohamad Ali, 11, meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas makan makanan yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di situ.

Selain Nurdini, ahli keluarganya yang lain turut mengalami simptom keracunan makanan setelah menikmati hidangan berbuka puasa yang sama.

Makanan yang dijual di tempat terbuka seperti bazar Ramadan dan pasar malam adakalanya mendedahkan pengguna kepada keracunan makanan lebih-lebih lagi apabila peniaga kurang mementingkan kebersihan dan kesegarannya.

Justeru, Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Wendy Lim menasihatkan orang ramai agar berhati-hati memilih makanan yang dibeli di luar.

“Saya tahu apabila berdepan dengan pelbagai hidangan yang lazat kadang-kadang kita terlupa untuk memeriksa tahap kebersihannya.

“Sebenarnya tidak susah untuk menilai kualiti sesuatu makanan berdasarkan bau dan rasanya. Jika ia berasa dan berbau masam, elakkan memakan makanan tersebut.

“Sebahagian makanan yang dijual di bazar Ramadan selalunya dimasak dan dijual lebih awal dari waktu berbuka puasa dan ia mudah rosak,” ujarnya kepada Jurnal.

Menurut Wendy, keracunan makanan adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus, bakteria dan parasit yang akhirnya menjadi toksik berbahaya kepada perut.

Virus

“Organisma tersebut mudah merebak melalui cecair dan makanan yang kotor.

“Antara jenis virus, bakteria dan parasit yang terlibat termasuklah rotavirus, adenovirus, E. Coli, salmonella, shigella dan giardia,” ujarnya.

Disebabkan organisma tersebut mudah merebak melalui minuman dan air, Wendy menyarankan agar pengguna memilih gerai minuman yang mengamalkan kebersihan.

“Contoh makanan yang kurang bersih adalah minuman air tebu. Selalunya batang tebu yang dilonggokkan itu akan terus diperah bersama-sama kulitnya untuk mendapatkan jus.

“Cuba bayangkan bagaimana ia dihidangkan dalam keadaan begitu sedangkan virus dan bakteria mudah merebak?

“Selain itu, air batu juga sering menyebabkan masalah keracunan makanan kerana kebanyakannya disediakan dengan air yang tidak dimasak terlebih dahulu,” katanya lagi.

Jelas Wendy, antara golongan berisiko kepada kematian setelah mengalami keracunan makanan adalah kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, golongan warga emas dan mereka yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.

“Golongan itu sangat berisiko untuk mengalami dehidrasi yang melampau akibat keracunan makanan. Kanak-kanak mudah mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa,” jelas Wendy.

Justeru apabila berdepan dengan simptom keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah dan keletihan akibat dehidrasi selepas beberapa jam menikmati juadah, Wendy menyarankan agar pesakit menjalankan rawatan sendiri sebelum berjumpa doktor.

Jelasnya, minum air bergaram mampu mengembalikan keseimbangan bendalir badan yang terhidrat akibat muntah dan cirit-birit.

“Garam penting kerana ia dapat mengembalikan kandungan sodium dan potasium dalam tubuh.
“Anda boleh melakukannya sendiri. Campurkan sedikit garam dan gula bersama air sejuk untuk diminum. Tidak salah untuk meletakkan sedikit perasa kepada minuman itu.

“Namun, sebaik-baiknya anda harus bersedia dengan ubatan berkaitan seperti larutan garam dehidrasi yang boleh didapati di farmasi dan minum banyak air masak,” katanya sambil menambah, kaedah tersebut tidak mengubati keracunan makanan sebaliknya bagi mengembalikan kandungan garam dalam badan.

Rabu, Ogos 10, 2011

Pemilihan diet ikut piramid makanan

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my



BERKHASIAT...ibu perlu bijak mempelbagaikan hidangan supaya anak-anak berselera ketika berbuka dan bersahur

PUASA sudah memasuki hari ke-10. Bagaimana prestasi anak anda? Adakah dia berupaya berpuasa penuh sepanjang sembilan hari Ramadan atau hanya separuh saja? Adakah dia nampak letih, bersemangat atau semakin longlai apabila tiba waktu berbuka?

Melatih anak berpuasa adalah satu cabaran apabila mereka sudah mencecah usia yang sesuai mengikut pertimbangan ibu bapa. Ini kerana pada usia tertentu, anak sudah sepatutnya dilatih berpuasa secara berperingkat bermula dengan separuh hari, tiga suku dan seterusnya berpuasa penuh.

Bagi anak yang tidak tahan berpuasa atau mungkin juga hampir pitam, itu petanda dia tidak mempunyai tenaga mencukupi untuk bertahan sehingga ke petang.

Pitam, berpeluh sejuk, menggeletar dan lemah adalah tanda kekurangan gula atau gula rendah di dalam tubuh. Keadaan yang dipanggil hipoglisemia ini sering berlaku kepada kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pusrawi, Mazuin Kamarul Zaman, orang dewasa dan kanak-kanak pada amnya mempunyai sistem pencernaan yang sama. Apa yang membezakannya adalah kanak-kanak memiliki simpanan tenaga yang sedikit berbanding dewasa.

“Kanak-kanak mempunyai simpanan tenaga yang terdapat pada lemak, otot dan gula di hati yang terhad berbanding orang dewasa. Oleh itu, tanpa sahur yang lengkap dan seimbang, kanak-kanak tidak mampu untuk berpuasa hingga Maghrib,” katanya.

Ini berbeza bagi orang dewasa, walaupun tanpa sahur yang mencukupi, simpanan tenaga orang dewasa mampu membekalkan tenaga untuk seharian. Apabila kanak-kanak menghampiri akil baligh, pembentukan otot dan lemak akan kelihatan pada lelaki dan kanak-kanak perempuan kerana ketika ini pertumbuhan badan mereka semakin berkembang dan menuju ke arah seperti orang dewasa. Pertambahan otot dan lemak bermakna simpanan tenaga juga akan bertambah.

Dalam usaha memastikan anak berjaya melaksanakan rukun Islam ketiga ini, ibu bapa memainkan peranan penting menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang kepada mereka. Pemilihan makanan seimbang mengikut piramid makanan ketika bersahur dan berbuka membantu kanak-kanak menjalani ibadat puasa sebaiknya.

“Setiap juadah disediakan sama ada berbuka dan bersahur perlu mengandungi karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin dan mineral.

“Ini bermakna mereka perlu makan nasi atau bijirin lain bersama sumber protein seperti ayam dan ikan serta sayur-sayuran untuk serat dan vitamin daripada buah-buahan seperti kurma.

“Sediakan makanan mengandungi karbohidrat seperti roti, nasi dan mi untuk membekalkan tenaga secukupnya semasa berpuasa. Untuk protein dan kalsium secukupnya galakkan anak makan daging, ikan, ayam, kekacang, susu dan produk tenusu ketika bersahur dan berbuka,” katanya.

Apa yang menjadi masalah adalah kanak-kanak yang sangat selektif dalam pemilihan makanan. Mereka hanya makan makanan yang disukai saja misalnya memilih untuk makan sandwic, bihun atau mi ketika berbuka.

“Sekiranya anak menyukai makanan ini, pastikan hidangan disediakan lengkap dengan sayur-sayuran, ikan, daging atau ayam.

“Begitu juga sandwic, pastikan diletakkan salad, tomato, ayam atau telur bagi memberikan keseimbangan tenaga kepada mereka,” katanya.

Menurut Mazuin, sekiranya anak tidak berselera untuk makan nasi atau makan makanan berat ketika bersahur, boleh digantikan dengan bijirin seperti oat atau roti. Ini kerana serat yang terkandung dalam bijirin dan sayur-sayuran mampu melambatkan rasa lapar dan membantu pengawalan aras gula dalam darah. Makanan berserat juga melancarkan proses penghadaman dan perkumuhan.

“Makanan berserat terbahagi dua iaitu serat larut dan serat tidak larut. Serat larut membantu memperlahankan penyerapan gula di dalam darah selain membantu mengawal kolesterol dalam badan.

“Antara makanan yang mengandungi serat larut ialah buah-buahan dan kekacang. Serat jenis ini menyerap air sekali gus membantu menjadikan seseorang itu cepat kenyang.

“Serat tidak larut pula berfungsi memastikan salur pencernaan bebas daripada sebarang halangan bagi mengelakkan daripada sembelit atau buasir. Contoh makanan mengandungi serat tidak larut ialah bijirin penuh dan sayur-sayuran,” �ujarnya yang menggalakkan ibu bapa memberi anak makan kurma sebagai sumber serat yang kaya dengan vitamin dan mineral.

Selain makanan berkhasiat, kanak-kanak dinasihatkan minum banyak air kosong bagi menggantikan kehilangan air daripada proses perpeluhan dan perkumuhan.

“Ketahuilah kanak-kanak lebih mudah kehilangan air dalam badan berbanding orang dewasa kerana perbezaan aktiviti fizikal. Atas alasan ini, mereka perlu minum lebih banyak air bagi mengelakkan kekeringan. Pengambilan air yang secukupnya juga dapat membantu menyingkirkan kekotoran dan toksin dalam tubuh,” katanya.


Panduan:

Ketika bersahur

•Pastikan makanan yang diberi kepada anak seimbang seperti yang disarankan dalam piramid pemakanan.
•Sediakan makanan kegemaran anak bagi menggalakkan kanak-kanak bersahur tetapi elakkan makanan segera kerana tidak bagus untuk perkembangan tubuh mereka.
•Pelbagaikan menu hidangan supaya anak tidak jemu makan makanan sama setiap hari.
•Pastikan anak bersahur lewat agar tidak cepat rasa lapar dan letih.
•Galakkan anak meminum susu terutama apabila anak tidak berselera untuk bersahur.


Ketika berbuka puasa:

•Pastikan anak berbuka puasa dengan makanan yang lengkap.
•Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sebaliknya biar mereka makan kerap.
•Kurangkan pengambilan makanan berminyak, banyak rempah dan pedas.
•Galakkan anak meminum air selepas berbuka sehingga bersahur bagi mengelakkan kekeringan.
•Pastikan berat anak tidak menurun ketika bulan puasa.

Menurut Pegawai Agama Hospital Pusrawi, Yaakob Abd Hamid, kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa sehingga usia mereka akil baligh, namun ibu bapa harus memberi latihan serta galakan kepada anak pada usia yang awal.

Sebelum melatih anak berpuasa, ibu bapa perlu terlebih dulu mengajar anak mengenai Ramadan dan keistimewaannya. Didik anak untuk mencintai Ramadan pada setiap tahun serta tidak lupa menyelitkan mengenai aktiviti sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah dan berbuat baik kepada semua orang. Beritahu juga pada anak mengenai al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan.

“Penerangan ini sangat penting kerana ia dapat memberi gambaran jelas kepada anak mengenai kebaikan berpuasa,” katanya.

Apabila anak sudah sanggup berpuasa, mereka seharusnya diberi kata-kata semangat sehingga tiba waktu berbuka. Misalnya dengan memberi kata-kata nasihat mengenai orang susah yang tidak dapat makan dan minum serta meningkatkan tahap kesihatan badan. Namun sekiranya menjejaskan kesihatan, ibu bapa seharusnya meminta anak-anak berbuka puasa.

“Dalam hal ini jangan lakukan paksaan kepada anak sebaliknya gunakan kaedah memujuk supaya mereka melakukannya dengan ikhlas,” ujarnya.

Menurut Yaakob, memberikan ganjaran kepada anak-anak supaya mereka berpuasa penuh adalah satu bentuk galakan yang boleh dilakukan supaya mereka lebih bersemangat berpuasa.

“Ganjaran boleh diberikan dalam bentuk wang, barang permainan atau dijanjikan percutian keluarga. Lama-kelamaan apabila mereka mula melakukan sendiri berpuasa, ia bukan lagi semata-mata mendapat ganjaran sebaliknya keikhlasan kerana Allah,” katanya.

Ramadan juga adalah waktu sesuai melatih anak-anak daripada melakukan perbuatan kurang elok serta mencegah mereka daripada berbohong.

Selain itu, bawa mereka menunaikan solat terawih bersama-sama di masjid serta mengajar mereka membaca al-Quran. Paling penting, latih anak-anak untuk bangun sahur supaya mereka tidak lapar keesokan harinya.

Rabu, Jun 22, 2011

Q&A : Sistem pertahanan badan

Saya kerap mendapat demam dan selsema berbanding rakan-rakan lain. Kawan mencadangkan saya agar mengambil vitamin C untuk membantu saya menguatkan sistem imun. Adakah ia memadai atau perlukah saya mengambil bersama vitamin lain untuk memperkuatkan sistem pertahanan tubuh?

Jawapan: Sistem imun yang lemah bukan sahaja meningkatkan risiko mendapat demam, selsema tetapi juga pelbagai jangkitan serta masalah kesihatan. Proses penyembuhan daripada masalah kesihatan juga akan lebih perlahan. Demam, selsema, mudah jatuh sakit dan jangkitan, sering kelesuan, merupakan beberapa contoh lazim yang mungkin berkaitan kelemahan fungsi imun.

Sistem imun adalah kompleks dan penting untuk kesejahteraan hidup. Sistem imun yang kuat dan seimbang diperlukan untuk pengekalan kesihatan. Kemerosotan sistem imun boleh disabitkan oleh pelbagai faktor termasuk tekanan emosi dan fizikal, persekitaran, pendedahan terhadap radiasi dan pelbagai lagi. Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang juga turut memberi impak ke atas sistem imun.

Antara nutrien-nutrien penting yang bermanfaat kepada sistem imun adalah beta-karoten, vitamin C, E dan beberapa mineral seperti selenium dan zink. Tidak dapat dinafikan cara terbaik memperolehi nutrien-nutrien ini adalah melalui pengambilan pelbagai jenis makanan. Makanan berkhasiat seperti sayuran segar dan buah-buahan, bijirin penuh serta jumlah protein yang mencukupi adalah penting untuk memperolehi tubuh yang sihat. Namun akibat pengambilan makanan proses yang banyak serta tabiat pemakanan yang seringkali diabaikan dan ditambah pula dengan gaya hidup yang tidak sihat, pengambilan suplemen mungkin boleh membantu dan boleh dijadikan alternatif.

Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling banyak difahami. Fungsi asasnya adalah untuk membantu dalam pertumbuhan dan pembaikan tisu serta mengekalkan gusi, tulang dan gigi yang sihat. Ia penting untuk fungsi sistem imun yang optimum dan membantu tubuh melawan jangkitan.

Vitamin C merupakan salah satu nutrien radikal bebas yang utama. Bagaimanapun, ia tidak boleh disimpan dalam tubuh dan mudah termusnah oleh haba semasa memasak. Kita perlu mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C setiap hari untuk memperolehi bekalan yang berterusan.

Vitamin E pula perlu untuk mengekalkan sistem imun yang sihat, jantung, dinding kapilari, kulit dan mengurangkan keterukan keradangan. Ia juga memainkan peranan dalam melambatkan masalah degeneratif seperti penuaan pramatang. Zink dikenali sebagai nutrien mikro kerana diperlukan dalam jumlah kecil untuk kesihatan. Ia disahkan sebagai nutrien penting yang diperlukan untuk fungsi imun yang optimum, kesihatan kulit dan penyembuhan luka.

Mineral seperti selenium juga diperlukan untuk pembentukan enzim glutathione peroxidase, di mana enzim ini memainkan peranan penting dalam pertahanan daripada radikal bebas. Selain itu, selenium mengekalkan hati berfungsi secara optimal, merangsang sistem imun, selain untuk mata, kulit, rambut dan jantung.

Selain daripada menggalakkan sistem imun yang lebih baik, nutrien-

nutrien ini juga merupakan antioksida yang membantu meneutralkan radikal bebas dalam tubuh. Dalam tubuh, radikal bebas ini terbentuk hasil daripada pengoksidaan. Bahaya akan timbul apabila lambakan berlebihan radikal bebas berada dalam tubuh. Dengan sebab itulah vitamin dan nutrien seringkali digabungkan bersama dalam satu formulasi untuk kesan sinergistik.

Dalam usaha memperkuatkan sistem imun, jangan abaikan aspek emosi iaitu tangani stres dengan baik serta sentiasa amalkan pemakanan seimbang dan sihat serta tekankan amalan gaya hidup sihat.

Jumaat, Jun 03, 2011

Atasi pedih ulu hati

Oleh Profesor Madya Dr. Sheikh Anwar Abdullah
Utusan Malaysia

FAKTA memang tidak berbohong. Penyakit sistem penghadaman semakin meningkat saban hari dan kini menjadi 10 punca kematian paling tinggi di Malaysia. Ketahui lebih lanjut nasihat pakar sistem penghadaman tentang bagaimana risiko dapat dikurangkan dan cara pengurusan masalah penghadaman anda. Panel pakar kami akan cuba menjawab persoalan atau menjelaskan segala keraguan anda tentang kesihatan penghadaman. Hantarkan soalan anda bersama dengan nama, jantina, umur, alamat dan nombor telefon ke emel: digestivehealth@versa-group.coml dan faks ke: 03-5638 9909.

Kandungan artikel ini adalah sebagai panduan atau rujukan sahaja, dan tidak bertujuan menggantikan nasihat perubatan daripada doktor.

Soalan 1: Ayah saya meninggal dunia pada tahun lepas kerana barah usus. Adakah ini bermakna risiko saya mendapat barah usus juga tinggi? Jika ya, adakah terdapat langkah pencegahan untuk mengurangkan faktor risiko?

Pembaca: Kamisah

Ya, salah satu faktor risiko utama anda mendapat barah usus adalah ahli keluarga yang disahkan menghidap barah usus. Malah, 1 dalam setiap 5 orang yang mendapat barah usus mempunyai ahli keluarga lain yang disahkan menghidap penyakit ini. Risiko ini meningkat sekiranya mereka yang disahkan adalah ahli keluarga terdekat (ibu bapa, adik-beradik atau anak-anak), atau jika ahli keluarga mendapat barah pada usia muda. Sebab kepada risiko tinggi ini tidak begitu jelas, meskipun penyakit kanser dipercayai "diwarisi dalam keluarga" disebabkan gen yang diwarisi dan faktor perkongsian persekitaran, atau kombinasi kedua-duanya.

Mereka yang mungkin menghidap kanser kolon mungkin menunjukkan beberapa tanda amaran seperti perubahan dalam tabiat membuang air besar (sembelit atau cirit-birit), najis berdarah, sakit abdomen yang teruk atau penurunan berat badan tanpa sebab. Jangan biarkan gejala ini, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda menunjukkan gejala-gejala di atas.

Anda boleh mengurangkan risiko mendapat barah usus dengan mengamalkan diet dan gaya hidup yang sihat. Makan lebih banyak makanan yang kaya dengan oksidan seperti buah-buahan sitrus dan sayuran hijau gelap dan kuning, dan makanan rendah lemak dan tinggi serat (sekurang-kurangnya 25 g serat sehari). Senaman dan pengambilan 1,000 mg kalsium sehari juga boleh membantu. Di samping itu, berhenti merokok jika anda merokok dan hadkan pengambilan alkohol.

Ketiadaan sebarang faktor risiko tidak bermakna seseorang individu tidak akan mendapat barah usus. Bagaimanapun, lebih banyak faktor risiko yang anda miliki, lebih tinggi risiko anda menghidapinya. Segera dapatkan pemeriksaan doktor jika anda menunjukkan sebarang gejala atau tanda amaran, iaitu kehilangan berat badan tanpa sebab, perubahan tabiat membuang air besar dan pendarahan dalam najis, atau jalani pemeriksaan biasa secara tetap kerana barah usus boleh dicegah dengan pengesanan awal.

Soalan 2: Ketika mengandung, saya mengalami refluks asid yang berterusan, menyebabkan pedih ulu hati. Apakah sebenarnya punca pedih ulu hati dan apakah langkah-langkah untuk mengurangkannya atau lebih baik lagi, mencegahnya?

Pembaca: Syafiqah

Pedih ulu hati sebenarnya adalah rasa perit yang boleh dirasai di dada dan kerongkong. Ia berlaku apabila asid dari perut bergerak masuk semula ke esofagus. Mulut anda juga akan berasa masam dan berasid. Jika anda mengalami refluks asid yang berterusan lebih daripada dua kali seminggu, ini dikenali sebagai Penyakit Refluks Gastroesofugus (GERD).

Ramai wanita mengandung mengalami tanda refluks asid pada trimester ketiga kehamilan disebabkan peningkatan paras hormon yang melembutkan ligamen, kebiasaannya memastikan sfinkter esofagus bahagian bawah (LES) sentiasa ketat. Uterus yang lebih besar juga menyebabkan organ dari abdomen ke perut tertolak pada diafragma menyebabkan berlakunya refluks asid kerana fungsi LES terjejas. Gejala refluks asid juga boleh disebabkan oleh hernia hiatus, yang menolak sebahagian daripada perut melalui diafragma hiatus. Oleh sebab berat badan bertambah semasa mengandung, berat berlebihan pada bahagian pinggang sering kali menekan abdomen dan meningkatkan tekanan pada bahagian dalam. Tekanan ini boleh memaksa makanan masuk ke dalam esofagus

Antara golongan yang mudah menghidap refluks asid termasuklah mereka yang makan secara berlebihan, minum terlalu banyak alkohol, dan mengambil ubat tertentu, makanan berempah dan berminyak, dan juga makanan berasid. Mereka ini juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat GERD. Makanan yang boleh memburukkan lagi gejala GERD termasuklah pudina, coklat, tomato, bawang, makanan berlemak, kopi, teh, jus buah- buahan sitrus dan alkohol. Sebaliknya, pengambilan sedikit halia boleh mengurangkan gejala GERD.

Anda boleh mengurangkan gejala refluks asid dengan makan sedikit tetapi secara lebih kerap, selalu bersenam (tetapi elakkan senaman melompat naik dan turun dan sebarang aktiviti membongkok ke depan) dan memakai pakaian longgar. Anda juga boleh mengurangkan gejalanya dengan menaikkan sedikit kepala katil dan juga tidur mengiring ke kiri, kerana dalam kedudukan ini, perut lebih rendah daripada esofagus. Jangan minum alkohol dan berhenti merokok jika anda mengalami sebarang gejala asid refluks. Anda juga patut mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika muntah teruk.

Khamis, Februari 17, 2011

Tanda pengenalan penyakit

Oleh Shah Che Ahmad
bhnita@bharian.com.my
2011/02/17


Elak serangan lebih teruk

KELEWATAN mengenal pasti alahan atau menerima rawatan yang tidak sepatutnya disebabkan kecemasan boleh menyebabkan penyakit bertambah teruk, malah mengundang maut.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan seorang suri rumah yang menderita sakit kulit kronik, selepas didakwa tersalah makan ubat yang diberikan sebuah hospital besar di Kota Bharu. Akibat kejadian itu, kulit Normah Husin, 47, menggelupas serta gatal selain bengkak keseluruhan muka sehingga sukar untuk membuka mata, bercakap dan berjalan.

Kejadian itu berlaku apabila Normah memakan ubat yang dibekalkan selepas menjalani rawatan mencuci buah pinggang.

Ibu lima anak, Sharifah Kisut, 52, kini tergolong dalam kategori golongan orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan kaki kiri dan jari kedua-dua belah tangan, gara-gara tersalah makan ubat.

Difahamkan, Sharifah yang mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang memakan ubat gastrik diberi sebuah klinik kesihatan selepas mendapatkan rawatan akibat sakit perut.

Selepas beberapa bulan, kaki kirinya menjadi bengkak dan busuk menyebabkan terpaksa dipotong hingga ke paras peha. Begitu juga dengan keadaan dua jari tangan kanannya yang juga terpaksa dipotong kerana sudah membengkak manakala dua jari tangan kirinya mereput dan terputus.

Mendedahkan kepentingan rawatan kecemasan segera dan mengelakkan kejadian salah makan ubat, Medic Alert menyarankan kepada orang ramai khususnya penghidap penyakit kronik untuk mempunyai tanda pengenalan penyakit sendiri.

Pengarah Kolej Perubatan Sains, Universiti Cyberjaya, Dr Abdul Ali Raja Mohamed, berkata tanda pengenalan penyakit memaparkan maklumat kesihatan individu, termasuk jenis penyakit, kumpulan darah dan alah kepada sesetengah ubat.

Menggunakan tanda pengenalan kesihatan Medic Alert itu, katanya, membantu doktor membuat rawatan kecemasan segera serta mengenal pasti jenis ubat yang sesuai diberikan kepada pesakit sejurus melihat tanda pengenalan itu.

“Pesakit yang menghidap asma, darah tinggi, serangan jantung, epilepsy, hemophilia, hypertension, parkinson dan alzheimer serta keadaan luar biasa perlu mendapatkan tanda pengenalan kesihatan bagi mengelakkan kesilapan mengambil ubat, yang akan mengakibatkan serangan yang lebih teruk,” katanya ketika ditemui.

Pakar rawatan kecemasan, Dr Rishya Manikam, mengakui tanda pengenalan itu penting bagi setiap individu sebagai persediaan jika berlaku kemalangan serius yang mengakibatkan pengsan, koma atau hilang ingatan.

“Doktor perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk mengenal pasti jenis darah seseorang pesakit yang mengalami kehilangan darah yang banyak seperti kecelakaan jalan raya.

“Melalui tanda pengenalan kesihatan ini akan menjadi rujukan terus kepada doktor untuk memberikan rawatan yang tepat dengan segera,” katanya.

Dr Rishya berkata, pesakit yang mempunyai tanda keselamatan kesihatan tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk memberikan maklumat kesihatan dirinya apabila ingin diberi rawatan.

“Sejurus melihat tanda pengenalan kesihatan itu, doktor boleh terus mengetahui jenis penyakit dan alah yang dihadapi pesakit.

“Terdapat juga ukiran nombor kod pengguna untuk diakses oleh doktor yang mengandungi maklumat kesihatan lanjut pesakit di belakang tanda pengenalan kesihatan itu,” katanya.

Tanda pengenalan itu, katanya, bukan saja berguna di Malaysia, malah kini turut diguna pakai di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Iceland, New Zealand, Afrika Selatan, United Kingdom dan Zimbabwe.

Medic Alert ditubuhkan sejak 55 tahun lalu di California dan diperkenalkan pada 1967 di Malaysia dengan empat bilion pengguna di serata dunia. Medic Alert Yayasan Malaysia bertindak sebagai organisasi sukarela bertujuan membantu golongan yang mengalami latar belakang perubatan tersembunyi yang mungkin mengancam nyawa dan memerlukan rawatan khusus.

Bergerak dengan kemajuan teknologi dan inovasi, tanda pengenalan kesihatan Medic Alert kini direka dalam pelbagai bentuk aksesori tubuh manusia seperti rantai leher, gelang tangan dan kaki serta jam tangan yang diperbuat daripada logam berkualiti dan emas, mengikut permintaan.

Medic Alert Yayasan Malaysia turut mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana syarikat atau pertubuhan untuk menderma kepada Medic Alert bagi menampung perbelanjaan dan kos pengurusan.

Bagi yang berminat untuk mendaftar atau mendapat maklumat lanjut boleh layari di www.MedicAlert.com

Selasa, Disember 21, 2010

Sakit perut tanda kanser usus

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

PERNAHKAH anda mengalami gastritis? Mungkin ramai pembaca di luar sana tidak mengetahui apa itu gastritis kerana ia merupakan nama saintifik bagi penyakit angin atau sakit perut.

Gastritis atau angin bukanlah satu penyakit. Tetapi satu keadaan di mana berlaku inflamasi dalam lapisan perut.

Tetapi merupakan tanda-tanda awal kanser perut.

Menurut Pakar Bedah dan Runding Gastrointestinal, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ramesh Gurunathan, sekiranya mereka yang mengalami sakit perut berlarutan atau kerap mengalaminya, dinasihatkan agar mendapatkan rawatan doktor atau melakukan ujian endoskopi.

Malah tambah beliau, sekiranya ia tidak dirawat dengan segera ia boleh membawa maut.

''Keadaan ini (angin) disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai helicobacter pylori iaitu sejenis bakteria yang boleh dirawat dengan antibiotik.

''Tetapi sekiranya ia (bakteria tersebut) tidak dirawat dengan segera, ia boleh membawa maut di mana bakteria tersebut akan bertukar menjadi sel-sel kanser.

''Untuk itu, sekiranya pesakit mengalami sakit perut yang kerap ataupun berlarutan, selain diberikan ubat oleh doktor, mereka juga berhak untuk melakukan ujian endoskopi untuk mengetahui penyakit sebenar,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, di Malaysia, kanser perut merupakan penyakit yang ketujuh tertinggi di kalangan kaum lelaki manakala bagi wanita pula ia merupakan penyakit yang ke-10.

Sebanyak 50 peratus daripada penduduk dunia sememangnya dijangkiti dengan bakteria helicobacter pylori dan 90 peratus masyarakat setempat akan mengalami sakit perut atau angin.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara tahun 1997 hingga 2007, di Malaysia terdapat 13,539 kes dan setiap tahun lebih daripada 100 orang akan meninggal.

Jika dilihat tahun-tahun sebelum ini, terdapat 800 kes baru yang dikesan tetapi bermula daripada tahun 2000 jumlah tersebut telah meningkat sehingga 1,000 kes.

Peningkatan angka tersebut menurut Dr. Ramesh kerana di Malaysia sendiri kurang pendedahan diberikan kepada masyarakat mengenai kanser perut.

Berbicara dengan lebih lanjut mengenai kanser perut, jelas Dr. Ramesh lagi, secara amnya, inflamasi terjadi akibat jangkitan bakterium yang sama dengan ulser perut dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada gastritis termasuklah kecederaan traumatik dan penggunaan pil penahan sakit secara kerap.

Bagaimanapun ujar beliau lagi, gastritis juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam perut tetapi ia jarang berlaku melainkan jika terdapat ulser.

Pendarahan di dalam perut akan menyebabkan pesakit muntah darah atau membuang najis yang hitam seakan tar di mana ia memerlukan penjagaan perubatan dengan segera.

Kanser perut, selain disebabkan oleh bakteria helicobacter pylori, ulas Dr. Ramesh, para penyelidik percaya bahawa amalan memakan makanan yang diawet, termasuklah makanan yang dikeringkan, disalai atau dijeruk juga menjadi punca kanser perut.

Tambahnya, negara Jepun adalah negara yang mempunyai kadar pesakit kanser perut yang tertinggi di dunia.

Beliau memberitahu, kelambatan diagnosis kanser perut merupakan masalah utama yang dihadapi oleh pakar perubatan dalam menangani kes kanser di Malaysia.

Ini disebabkan gejala kanser perut hanya timbul setelah ketumbuhan tersebut di tahap yang kronik dan terlalu lewat.

Bagaimanapun, kanser perut yang dikesan di peringkat awal (early gastric cancer) berpotensi untuk sembuh berbanding kanser perut peringkat lewat.

Untuk itu, Dr. Ramesh turut menasihatkan agar mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat dalam menentukan tahap kesihatan masing-masing.

''Gaya hidup yang sihat dan amalan melakukan pemeriksaan usus dan perut sekali setahun merupakan langkah pencegahan yang paling efektif bagi mengelakkan nyawa daripada diragut penyakit itu,'' katanya.

Rabu, September 08, 2010

Hormon anti penuaan

ARKIB : 29/08/2010
Utusan Malaysia - Kesihatan


Ramai yang memberi reaksi positif apabila saya memperkatakan tentang anti penuaan. Tidak kurang juga yang mempunyai tanggapan negatif kerana tidak tahu dan kurang memahami pengertian anti aging atau anti penuaan yang sebenar.

Mereka menganggap perubatan anti penuaan sebagai cubaan melawan takdir ketentuan Ilahi dan hanya mampu memberi kulit yang licin tanpa kedut tanpa membantu kesihatan dalaman tubuh. Ini adalah tidak benar kerana perubatan anti penuaan mempunyai matlamat menghindari penyakit dan masalah manusia apabila berhadapan dengan isu-isu penuaan.

Anti penuaan adalah satu cabang kesihatan yang membolehkan kita hidup sihat pada usia tua, mengekalkan kesihatan dan kehidupan ideal manusia. Ia mengekalkan fungsi organ dalaman badan seperti jantung, buah pinggang, kelenjar-kelenjar yang penting serta kesihatan otak manusia. Ia juga menjadikan kelenjar hormon dalam tubuh kita berfungsi semula sebagaimana semasa muda.

Pada zaman ini tempoh hayat seorang manusia dianggarkan selama 90 tahun. Ramai yang masih hidup sihat meskipun sudah melebihi usia tersebut.

Kata-kata yang sering diluahkan oleh mereka yang kurang pengetahuan mengenai anti penuaan adalah:

l Menjadi tua dan mengalami menopaus adalah proses semula jadi maka tidak ada apa yang mampu mengubahnya.

l Saya sudah menopaus dan mencapai usia 60-an maka tidak mungkin saya boleh kembali muda. Saya tidak percaya wujudnya kaedah yang boleh membuatkan saya lebih muda.

l Usia tua adalah takdir yang tidak boleh ditolak.

l Saya mengamalkan cara hidup sihat, senaman serta mengamalkan pemakanan seimbang. Sudah tentu badan saya sihat. Mengapa saya perlukan perubatan anti penuaan?

Cuba anda fikirkan fakta ini.

l Punca utama kematian adalah usia yang tua. Orang yang mencecah usia 40 ke atas mudah mendapat kanser, kerana itu mereka digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.

l Orang yang berusia mudah mendapat tulang rapuh. Ramai orang orang tua terlantar di hospital kerana osteoporosis yang teruk membuatkan tulang patah.

l Orang yang tua mudah murung dan sensitif

l Orang tua mudah mendapat darah tinggi, sakit jantung dan sakit kronik lain berbanding orang muda.

l Paras kolestrol, gula dalam darah dan fungsi organ akan menjadi tidak baik apabila usia meningkat.

Mestikah seseorang berasa murung, letih, layu dan kelesuan apabila usia meningkat? Mestikah paras rupa berubah menjadi cengkung dan berlekuk-lekuk, wajah menjadi berpigmen serta berkedut?

Usia tidak dapat ditolak namun jika kita mengamalkan perubatan anti penuaan kita akan dapat menghalang penyakit penyakit dan masalah penuaan.

Masalah penuaan bagi lelaki

l Andropaus. Lelaki menjadi murung kurang bertenaga, mudah marah dan mudah tertekan.

l BPH prostat menjadi bengkak dan mula mengganggu sistem urinasi (kencing). Mereka mula mendapat jangkitan kencing yang kerap.

l ED adalah masalah menegangkan zakar.

Bagi wanita pula;

l Menopaus

l Masalah pada buah dada

l Masalah rahim dan vagina.

Bagi lelaki dan wanita

l Atherosclerosis

l Darah tinggi dan kencing manis

l Dementia (nyanyuk atau pelupa)

l Lain lain yang melibatkan sakit tua seperti tulang rapuh dan sakit badan.

Dari segi kosmetik pula kesan kesan penuaan mengakibatkan paras rupa yang cantik hilang serinya.

Apabila usia bertambah kelenjar hormon pada tubuh bekerja keras bagi memastikan penghasilan yang cukup untuk tubuh badan kita. Hormon merupakan molekul-molekul yang amat penting serta mempunyai tugas khas bagi menseimbangkan dan memastikan fungsi tubuh badan menjadi lancar. Kelenjar ini menjadi mengecut dan kurang aktif apabila usia meningkat. Hal ini dapat dilihat melalui kajian para saintis yang menilai saiz kelenjar melalui kaedah CT scan.

Cuba lihat di sekeliling kita. Seorang wanita atau lelaki yanng periang berubah menjadi murung dan anti sosial apabila usia meningkat. Tidak kurang juga mengalami masalah berat badan yang tidak dapat diturunkan melalui pemakanan semata-mata. Diet tidak akan berkesan tanpa pengurusan hormon yang betul. Dengan terapi hormon yang betul barulah seseorang mampu menurunkan beratnya dengan efektif.

Seseorang yang kurang hormon akan letih, lesu dan kurang gembira. Badannya terasa berat dan sukar untuk bersenam. Apabila hormon rendah tubuh akan berasa malas dan letih selalu. Apabila hormon metabolik tertentu ditambah, ia akan berubah menjadi lebih baik dan cantik. Tubuh mula membakar lemak di dalam badan. Hasil tubuh mendapat tenaga yang baik dan mula menjadi lebih langsing.

Mengapa kadar patah tulang, serta tulang rapuh sering berlaku pada orang tua. Jawapannya adalah kerana hormon tubuh sangat rendah membuatkan kadar penyerapan kalsium menjadi tidak efektif.

Mengapa orang orang tua cepat tersinggung dan mudah bersedih. Ini juga kerana tubuhnya tidak mempunyai hormon yang cukup. Hormon tertentu merangsang perasaan agar positif dan sentiasa gembira.

Apabila kelenjar hormon mengalami keletihan maka penghasilan hormon terjejas. Kelenjar-kelenjar yang keletihan akhirnya gagal berfungsi. Inilah puncanya seseorang menjadi lesu dan lemah. Bagi wanita pula kegagalan fungsi hormon seks mengakibatkan menopaus yang merupakan satu gangguan hebat bagi tubuh. Justeru menjaga kelenjar hormon agar menopaus berlaku dalam suasana yang tidak mengganggu fungsi tubuh adalah disarankan.

Pada minggu akan datang saya akan mengupas isu hormon dengan lebih mendalam lagi.

Buat sendiri di rumah

Utusan Malaysia - Kesihatan
ARKIB : 29/08/2010


Apa yang kita makan setiap hari bukan saja menjadi membentuk badan secara fizikal malah menentukan masa depan kesihatan tulang jantung dan juga risiko mendapat diabetes ketika mencecah usia akhir 40-an.

Oleh itu ambil makanan dan minuman yang mampu merangsang metabolisme antaranya:

* Menambah cili atau mustard dalam makanan akan membantu membakar sehingga 12 peratus kalori.

* Lima cawan teh hijau sehari juga dipercayai merangsang metabolisme dan membakar 100 kalori sehari.

* Amalkan susu soya, tauhu dan kacang soya dalam pemakanan harian. Ia mengandungi oestrogen yang membantu menseimbangkan perubahan hormon yang boleh menyebabkan kelaparan.

* Pentingkan makanan kaya protein setiap kali mengambil makanan untuk mengekalkan rasa kenyang dan juga melawan perubahan mood yang boleh menimbulkan rasa lapar.

* Cuba minum susu dan makan telur semasa bersarapan; tuna, salmon, kekacang dan ayam untuk makan tengah hari; daging merah tipis atau produk berasaskan soya bagi makan malam.

* Amalkan makan kekacang antara makan tengah hari dan minum petang. Badam boleh merangsang kalsium yang diperlukan untuk pembentukan tulang dan vitamin E bagi mendapatkan kulit yang berkualiti dan cantik selain membantu mengawal berat badan.

* Beri perhatian kepada makanan yang kaya dengn nutrisi dan jangan 'bazirkan' kalori anda untuk makanan yang tidak mampu merangsang nutrisi penting untuk badan.

* Tukar diet bebas lemak dan karbohidrat kepada diet sihat yang seimbang dengan mengawal peratusan makanan yang diambil.

Bina piramid pemakanan anda terdiri daripada 40 peratus karbohidrat kompleks, 30 peratus protein dan 30 peratus lemak sihat.

Badan pear atau epal?

ARKIB : 05/09/2010
Utusan Malaysia - Kesihatan


KITA sering melihat bentuk tubuh manusia yang berbeza-beza. Ada orang yang besar di dada dan lengan. Ada pula mempunyai dada dan lengan yang kecil namun saiz punggung lebar dan besar

Seorang sahabat saya mempunyai punggung yang serta paha yang besar walaupun jika dipandang daripada saiz tubuhnya di bahagian atas dia tampak kecil sahaja. Badan yang sebegini dinamakan bentuk pear. Ia seolah-olah buah pear yang kecil daripada tangkainya namun lebar di bawah.

''Saya terpaksa memakai skirt atau kain kembang bagi menutup kekurangan ini,'' kata kawan saya itu lantaran menurut beliau memakai seluar memang tidak sesuai kerana punggung yang terlalu lebar. Keadaan itu mendatangkan masalah kepada sahabat saya apabila mahu membeli baju. Jika bajunya muat sudah tentu kainnya ketat lantaran saiz tubuhnya yang mengembang di bahagian punggung. Seorang sahabat yang lain pula mempunyai tubuh yang berbentuk epal. Tubuhnya besar dan lebar di bahagian dada dan belakang (atas), manakala paha dan kaki pula kecil. Punggungnya juga kecil. Namun beliau kelihatan sangat gemuk kerana bahagian belakang badan dada dan pinggangnya berlemak. Dengan kata lain bentuk tubuh seperti ini diberikan gelaran bentuk epal lantaran bentuknya yang gempal di atas dan menguncup pula di bahagian bawah..

Seorang sahabat saya pula mengadu perutnya buncit. Walaupun dia tidaklah terlalu gemuk namun perutnya tidak dapat disembunyikan. Puas dia mencuba pelbagai jenis jamu dan ubat-ubatan tradisional bagi menurunkan saiz perut namun tidak berjaya. Masalah perut buncit sering berlaku kepada lelaki.

Seorang sahabat pula mengadu anaknya terlalu gemuk dan rendang sahaja. Tubuhnya seimbang dari atas ke bawah dipenuhi lemak sahaja. Dia turut berasa hairan apakah masalah yang dihadapi oleh anaknya itu. Apabila berdiet berat tidak boleh turun dengan mudah. Anaknya juga tidak makan terlalu banyak namun berat badannya sentiasa sama sahaja meskipun menjaga pemakanan dengan ketat.

Mengapakah ini berlaku? Mengapakah seseorang tidak serupa bentuk tubuhnya berbanding orang lain?

Jawapannya adalah kerana di dalam tubuh kita terdapat kelenjar hormon yang berbeza-beza keaktifannya. Kelenjar hormon yang aktif akan menjadi kelenjar yang dominan di dalam tubuh seseorang dan akan merembes lebih banyak hormon berbanding kelenjar yang kurang aktif.

Kelenjar hormon bukan sahaja mempengaruhi bentuk tubuh seseorang malah juga mempengaruhi perangai seseorang, corak pemakanan, kecenderungan terhadap cuaca dan suhu persekitaran dan sikap seseorang dalam menangani kehidupan sehariannya. Hal sebegini sangat unik. Justeru itu jika kita tahu kelenjar hormon yang dominan dalam tubuh adalah lebih mudah bagi untuk menangani masalah kesihatan kita.

Kelenjar utama dalam tubuh kita adalah kelenjar pituitary yang terletak di otak, kalenjar insulin di pankreas, kelenjar tiroid di leher dan juga kelenjar adrenal di buah pinggang kita. Kesemua kelenjar ini memainkan peranan yang berbeza, berfungsi membentuk tubuh dan menjadikan tubuh berbeza-beza bentuknya.

Tubuh kita akan terbentuk mengikut rangsangan hormon yang dominan. Jenis hormon yang dominan ditentukan oleh genetik seseorang di mana setiap daripada kita mempunyai kelenjar yang berbeza aktivitinya. Seseorang yang lahir di kalangan ahli keluarga yang mempunyai kelenjar tiroid yang dominan akan mempunyai bentuk tubuh yang tinggi lampai dan berbadan kurus. Mereka ini mempunyai kadar metabolik tubuh yang amat tinggi dan mampu membakar lemak dengan mudah dan cepat. Oleh kerana itu mereka tidak mudah gemuk melainkan jika wujudnya masalah yang membuatkan kerosakan pada kelenjar tiroid mereka. Mereka yang mempunyai kelenjar adrenal sebagai kelenjar dominan akan mempunyai tubuh berbentuk epal. Bahagian atas tubuh besar dan berlemak manakala bahagian yang lain kecil saja. Kumpulan ini mempunyai tenaga yang tinggi sepanjang hari. Mereka tidak mudah merasa letih dan mampu bekerja atau menjalankan aktiviti fizikal sepanjang hari. Mereka juga mempunyai semangat yang tinggi dan amat tekun dalam urusan pekerjaan.

Mereka yang mempunyai punggung lebar dan dikatakan berbentuk pear pula mempunyai hormon gonad sebagai kelenjar mereka yang dominan.

Sara ialah seorang gadis berusia 35 tahun dan bertubuh gemuk. Dari zaman kanak-kanak lagi tubuhnya besar dan tidak pernah turun beratnya meskipun Sara mengamalkan diet yang ketat. Sara telah mencuba pelbagai kaedah diet namun tidak juga berhasil. Perubatan tradisional dan moden juga dia telah dicuba namun tidak juga berhasil.

Sara cepat berasa letih. Dia cuba melakukan senaman namun tubuhnya terasa berat sekali. Dia juga berasa tangan dan kakinya agak sejuk. Apabila teman-teman mengajak berenang di kolam maupun pantai Sara enggan masuk ke dalam air kerana dia berasa sejuk. Sara hairan kerana dia mempunyai lemak yang banyak dalam badan namun kenapa asyik berasa sejuk. Sejak akhir akhir ini Sara berasa berat badannya naik mendadak lagi. Dia juga melihat perubahan pada struktur kulitnya yang tampak kasar dan dan di bawah matanya kelihatan agak lebam.

Rambutnya menjadi agak kasar dan gugur dengan banyak. Sara mengagak mungkin hal ini disebabkan oleh usianya yang meningkat.

Masalah yang dihadapi oleh Sara adalah kekurangan hormon tiroid di dalam tubuhnya. Ini membuatkan Sara menjadi perlahan pergerakannya dan lemak mudah berkumpul. Hormon tiroid adalah hormon yang menjana metabolik tubuh. Ia membolehkan tubuh kita menjana tenaga yang digunakan bagi aktiviti tubuh kita. Apabila usia meningkat hormon ini semakin berkurangan dan menyebabkan kita semakin lesu. Memang benar ramai di antara kita yang tidak menyedari hakikat ini namun setelah dibuat analisis barulah kita faham masalah sebenar.

Kunyit mencegah pelbagai penyakit?

Kunyit (curcumin), sejenis rempah yang digunakan dalam masakan, merupakan salah satu penyembuh semulajadi paling mujarab. Kegunaannya telah bermula selama 2,500 tahun dahulu. Rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya.

Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit.

Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semulajadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti-kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis.

Dalam 688 kajian, lebih daripada 400 yang telah dikemukakan mengesahkan sifat anti karsinogenik, anti-radang dan anti oksida yang menakjubkan pada kunyit. Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat mempunyai empat ujian klinikal untuk menguji tindakan curcuminoid terhadap kanser kolorektum, pankreas, mieloma berganda dan Alzheimer.

Sifat anti kanser kunyit

Kajian mencadangkan mereka yang mengambil diet kaya dengan kunyit akan mempunyai kadar rendah kanser payu dara, prostat, paru-paru dan kanser kolon.

Bharat B. Aggarwal, professor perubatan kanser di Jabatan Terapeutik Pusat Kanser Anderson University of Texas M.D. telah melakukan kajian rempah ini selama satu dekad.

Penyelidik Pusat Kanser tersebut mendapati curcuminoid juga menghalang aliran biologi penting yang diperlukan dalam perkembangan melanoma dan kanser lain. Kajian tersebut diterbitkan pada 15 Ogos 2005 dalam isu jurnal Cancer dan menunjukkan bagaimana kunyit menghentikan strain melanoma di makmal daripada berganda dan mengarahkan sel kanser untuk membunuh diri sendiri.

Kunyit- Mencegah Alzheimer

Penyakit Alzheimer, sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa. Ciri Alzheimer digambarkan oleh plak amiloid yang terbentuk dalam otak. Plak amiloid adalah gugusan sejenis protin dikenali sebagai amiloid beta. Plak tersebut merosakkan sel otak dengan "mencekik" mereka. Plak amiloid juga menjana radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel otak.

Kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal. NFkB menyebabkan radang yang juga menyumbang kepada pembentukan amiloid beta. Kunyit telah menunjukkan keupayaan menurunkan pembentukan amiloid beta melalui perencatan NFkB. Dengan merencat pembentukan amiloid beta melalui mekanisme dwi-tindakan dalam perlindungan terhadap radang dan kerosakan radikal bebas, curcuminoid menjadi agen semulajadi untuk mencegah dan memperlahankan perkembangan Alzheimer. Kajian klinikal sedang dijalankan di UCLA dengan menggunakan curcumin bagi penyakit Alzheimer.

Kunyit - Kelegaan bagi sakit sendi dan radang

Arthritis adalah sejenis penyakit pro-radang. Kunyit telah digunakan berdekad lamanya untuk merawat keadaan radang seperti osteoartritis. Tindakan anti-radang adalah disebabkan oleh perencatan NFkB. Pada tahun 2006, curcuminoid bersama dengan ubat popular, Celecoxib, sejenis perencat COX-2 telah menunjukkan tindakan bersinergi mengurangkan radang. Penemuan ini adalah penting kerana perencat COX-2 mempunyai kesan sampingan. Jika anda menggabungkan rawatan ini dengan curcuminoid anda boleh mengurangkan dos ubat tersebut dan mengurangkan kesan sampingannya.

Masalah utama dalam penggunaan kunyit

Kunyit adalah bahan yang tidak larut dalam air dan ia susah diserap ke dalam peredaran darah,

Sekiranya ia berjaya diserap, ia amat cepat diuraikan. Ini mungkin merupakan sebab kebanyakan orang tidak dapat memperoleh kesemua faedah curcuminoid apabila diambil sebagai makanan tambahan yang mengandungi kunyit sahaja.

Untuk memperolehi faedah curcuminoid secara menyeluruh, sila rujuk ahli farmasi anda hari ini.

Ini penting untuk mendapat formulasi khas menggabungkan piawaian esktrak kunyit agar mengandungi 95 peratus curcuminoid dengan bioperine yang dipatenkan iaitu esktrak Lada Hitam.

Isnin, Ogos 23, 2010

Bahaya pil tangguh haid

Harian Metro - Global
2010/08/23


TAIF: Semakin ramai wanita muda, khususnya yang belum berkahwin, memakan pil untuk menangguhkan kedatangan haid sepanjang bulan puasa.

“Kerana teruja untuk berpuasa penuh sepanjang Ramadan, ramai wanita muda, termasuk yang belum berkahwin datang membeli pil Primolut N.

“Jualan pil itu meningkat sejak Ramadan bermula,” kata seorang ahli farmasi kepada akhbar Al-Watan.

“Mereka tidak langsung memikirkan kesan sampingan itu. Kebanyakan mereka membelinya daripada ahli farmasi yang mereka kenal tanpa preskripsi,” katanya.

Primolut N mengandungi bahan aktif norethisteron, produk hormon tiruan yang sama dengan hormon progesteron asli wanita.

Ia digunakan untuk menundakan kedatangan haid dan merawat gangguan yang berkaitan dengannya, Seorang pekerja swasta, Ummu Faris berkata, dia memakan pil itu kerana tidak mahu tertinggal puasa.

“Kerana sudah berumah tangga, saya tidak berdepan dengan masalah untuk membeli pil berkenaan,” katanya.

Pakar sakit puan di Hospital Al-Ameen di Taif, Dr Hanan Oyara, memberi amaran, penggunaan pil itu di kalangan wanita muda boleh menjejaskan kesihatan, termasuk kemungkinan mandul.

Rakannya, Dr Fatimah Younis berkata, pil itu boleh menyebabkan masalah kesihatan yang teruk di kalangan wanita yang berdepan dengan kekurangan hormon.

Bagaimanapun, menurutnya, ada pihak yang tidak menjelaskan kesan sampingannya.

Dr Dalal Namnawani dari Hospital Pakar Raja Abdul Aziz, juga di Taif berkata, pengambilan pil itu sepatutnya dilakukan di bawah pengawasan ahli perubatan. - AFP

Khamis, Julai 01, 2010

Buasir boleh diatasi

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/07/01

Wanita hamil antara pesakit paling ramai

SATU daripada lima dewasa di negara ini dilaporkan, pernah menderita akibat buasir sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayatnya tanpa mengenal status, manakala dijangka kira-kira satu daripada 3,000 yang pertama kali merasai pengalaman mengandung, boleh mengalaminya ketika tempoh kehamilan itu berlangsung. Hakikatnya buasir bukan penyakit baru, malah pada abad ke-17 lagi, pengkaji sejarah mencatatkan Pemerintah Perancis, Napoleon Bonaparte, kehilangan kuasa sebagai Maharaja sebab kalah pada peperangan Waterloo dan kekalahan itu dikaitkan akibat beliau menderita buasir. Sementara Presiden ke-39 Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter terpaksa meninggalkan jamuan Krismas pekerja Rumah Putih, bagi mendapatkan rawatan akibat sakit buasir.

Buasir atau nama sainsnya ‘haemorrhoids’ terbahagi kepada dua jenis, iaitu di dalam atau terkeluar daripada dubur. Buasir, terhasil daripada regangan berulang kali ketika pergerakan usus dan masalah ini bertambah teruk sekiranya diikuti masalah sembelit. Pendarahan adalah gejala utama buasir dan hampir 70 peratus penghidapnya mengalami masalah pendarahan setiap kali membuang air besar.

Pengurus Negara Farmaseutikal Penjagaan Kesihatan Herba Himalaya, K Chandrasekaran, berkata punca utama buasir disebabkan oleh tekanan meningkat dalam abdomen yang boleh menyebabkan saluran darah meregang dan bengkak, menimbulkan pelbagai gejala, termasuk rasa gatal dan pendarahan yang banyak.

Masalah itu dibahagikan kepada dua jenis iaitu buasir dalam yang berlaku pada bahagian dalam dubur sementara buasir luar, boleh terkeluar dan boleh dilihat serta dirasai pada bahagian dubur.
Katanya, buasir tidak terjadi dalam masa satu hari, sebaliknya ia terbentuk secara perlahan-lahan apabila individu mendapati dirinya sukar membuang najis diikuti tabiat meneran ketika melakukannya.

“Cara pembuangan najis sering dikaitkan dengan masalah individu. Sekiranya seseorang itu berhadapan dengan tekanan, ia mungkin menyebabkan sukar membuang air besar atau sembelit. Sembelit terjadi akibat kekurangan fiber dalam diet, bebanan berkaitan dengan sembelit semakin besar apabila individu jenis yang gemar berlengah ke tandas atau gemar meneran apabila membuang air besar.

“Sementara itu, masalah obesiti boleh juga menyumbang kepada buasir. Apabila sekilogram berat badan bertambah, abdomen berisiko berdepan dengan bebanan tidak wajar. Apabila diikuti dengan diet tidak betul, ia akan meningkatkan lagi risiko buasir,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, wanita hamil tidak terkecuali menghidap buasir akibat tekanan kandungan yang semakin membesar.

Perubahan hormon progesterone juga sering mengakibatkan pergerakan usus menjadi perlahan. Berikutan ‘kerja’ penghadaman yang semakin lambat, lebih banyak penyerapan berlaku menjadikan najis bertambah keras. Pembesaran janin dalam rahim akan menekan saluran darah pada kawasan rektum (dubur) menyebabkan ia mula membengkak. Tekanan otot dubur pada kawasan yang bengkak pula menyulitkan proses pembuangan najis, malah pendarahan boleh berlaku apabila najis keras bergesel dengan buasir.

Kebiasaannya, tekanan akan berkurangan selepas kelahiran membolehkan kawasan yang bengkak berkenaan kembali surut. Kadangkala ia semakin teruk hingga buasir boleh terkeluar ketika proses meneran untuk melahirkan bayi. Melakukan kerja berat atau yang boleh memberikan tekanan pada tubuh badan juga boleh menyumbang kepada berlaku masalah sembelit.

Chandrasekaran berkata, tidak sukar mengesan simptom buasir kerana ia berkait rapat dengan tabiat pembuangan najis dan kawasan dubur. Rasa gatal atau sakit sekeliling dubur, darah segar yang menitis ketika membuang najis selain rasa pedih sekitar rektum antara tanda anda mengidap buasir.

Hakikatnya buasir boleh ditangani pada peringkat awal dengan mengelakkan berlakunya sembelit. Ia boleh dilakukan dengan mengambil lebih banyak makanan berserat tinggi seperti bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang.
Beliau berkata, makanan berserat tinggi boleh diambil bagi membantu najis menjadi lembut, selain kekerapan bersenam, membantu perjalanan pembuangan air besar.

“Makanan turut mempengaruhi sembelit, yang menjadi punca buasir. Elakkan minuman berkafein seperti teh dan kopi. Minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas air sehari bagi mengelakkan badan kekurangan air, sekali gus melancarkan pembuangan najis.

“Amalan pembuangan air besar yang baik seperti mengelak meneran terlalu kuat selain segera ke bilik air jika ada gesaan untuk membuang air besar membantu proses pembuangan. Sebaliknya tabiat membaca dalam bilik air terlalu lama akan menyebabkan buasir menjadi teruk. Selain itu pastikan tidak duduk dan berdiri terlalu lama serta jangan mengangkat barang berat,” katanya.

Bagi ibu hamil pula, sebaik saja ibu hamil mendapatkan rawatan pemeriksaan di hospital atau klinik kesihatan, langkah pencegahan awal adalah memberikan mereka nasihat mengenai corak pemakanan sihat termasuk untuk mengelakkan buasir.

Antaranya mengetepikan makanan pedas dan mengutamakan kelompok makanan tinggi serat seperti buah, sayur dan bijirin. Minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari juga mampu mengelakkan sembelit.

Sekiranya simptom buasir mengganggu keselesaan hidup seperti sakit, perdarahan dan berlaku jangkitan kuman maka pembedahan boleh dipertimbangkan. Ada beberapa kaedah pembedahan yang digunakan seperti mengikat buasir dengan getah, laser dan diatermi bagi buasir yang kecil. Sementara itu, komplikasi pembedahan ini adalah perdarahan, sakit dan infeksi. Sekiranya hamil lagi selepas pembedahan dilakukan, kemungkinan buasir ini boleh berulang semula.

Rawat secara mudah

SUNGGUHPUN pembedahan antara alternatif akhir merawat buasir, ia boleh dicegah menerusi penggunaan produk Himalaya, dikenali Pilex dan Triphala yang terhasil menerusi ramuan tumbuh-tumbuhan.

Terhasil dalam bentuk sapu, antara ramuan Pilex ialah ‘mimosa pudica’; vitex negundo; dan ‘calendula officinalis’. Sapuan pada bahagian khusus dalam jumlah kecil pada masa ditetapkan, membantu mengurangkan bengkak selain menyembuhkan luka dalaman.

Sementara itu, triphala dalam bentuk oral, terhasil menerusi buah-buahan termasuk ‘emblica officinalis’; ‘terminalia bellerica’ dan ‘terminalia chebula’. Ia berfungsi sebagai melancar serta mengeluarkan sisa najis degil tertinggal yang menjadi penyebab utama sembelit.

Produk berkenaan boleh digunakan secara bersama atau berasingan, tetapi perlu mendapatkan rundingan perubatan khususnya bagi ibu hamil dan menghadapi sebarang masalah kesihatan. Ia ditawarkan pada harga RM25.90 dan RM46.90.

Walaupun ada penawarnya, Chandrasekaran berkata, individu perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat, bagi mengelakkan buasir kembali. Begitu juga selepas buasir dipotong, jangan abaikan kebersihan diri. Seeloknya jangan culas mengikuti nasihat doktor biarpun anda sudah disahkan bebas daripada buasir tidak kira anda lelaki atau pun wanita, hamil atau pun tidak.

INFO: Terdapat empat jenis buasir:

Pembengkakan pada bahagian dalam saluran dubur, berdarah, tetapi tidak boleh dilihat dari luar dubur.

Pada tahap kedua buasir ditemui dalam lokasi sama, tetapi terkeluar daripada dubur apabila membuang air besar, tetapi akan kembali ke tempat asal sejurus selepas itu.

Pada tahap ketiga pula buasir akan menjadi lebih besar, dan terkeluar seperti buasir tahap kedua, tetapi akan kekal di luar dubur dan perlu dimasukkan semula menggunakan jari.

Pada peringkat paling teruk, buasir tidak boleh dimasukkan ke dalam. Ia terletak di bawah dubur dan boleh menjadi bengkak dan terasa amat sakit terutama jika bekuan darah terjadi di dalamnya. Individu akan berasa tidak selesa sekiranya buasir tidak dirawat.

Hindari buasir

* Minum banyak air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari (1.2 hingga 2 liter).

* Makan makanan yang berserat tinggi seperti bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia dikatakan melancarkan pengeluaran najis.

* Gunakan tandas pada satu jangka masa yang sama seperti apabila bangun pagi dan selepas meminum segelas besar air.

* Elakkan makanan yang mengganggu sistem (pedas atau beralkohol) dan usus (kopi dan teh).

* Sentiasa bersenam seperti berjalan kaki dan berenang. Elakkan sukan berkuda atau berbasikal.

* Rawatan ringkas boleh dilakukan dengan merendam dubur dalam air garam yang suam selama 10 minit satu atau dua kali sehari apabila ada tisu bengkak di dubur. Garam yang digunakan adalah garam masak yang biasa. Proses ini dipanggil sitz bath. Air garam mempunyai dua fungsi iaitu mengecutkan tisu yang bengkak dan meredakan kesakitan