#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Hak Isteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hak Isteri. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 10, 2011

Taat bukan lesen halalkan penderaan

Oleh Marlina Amir Hamzah
2011/06/08
Berita Harian - Peguam Syarie Menulis


Isteri tidak sama pekerja seks kepada suami

SEJAK beberapa hari lalu kita digemparkan dengan penubuhan Kelab Taat Suami yang dikatakan sudah mempunyai 1,000 ahli terdiri daripada kalangan wanita kelas atasan, minda terbuka serta golongan intelek.

Kelab itu juga juga sedang memperluaskan cawangan ke negara Eropah, Britain, Perancis, Itali dan Jerman. Pengasas kelab itu adalah bekas pengikut kumpulan Al-Arqam.
Antara mesej kelab itu seperti dinyatakan Naib Presidennya, Dr Rohaya Mohamad adalah:

• Supaya isteri bersedia untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami demi mengelakkan suami berlaku curang atau mencari pelacur.
• Seorang isteri adalah pekerja seks yang baik bagi suami.
• Penderaan suami terhadap isteri adalah ujian daripada Allah kepada isteri dan isteri perlulah tetap mentaati suami.
• Membenarkan suami berkahwin lain sebagai ketaatan isteri terhadap suami.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah suatu akad yang menimbulkan hak serta tanggungjawab antara suami dan isteri. Seorang suami mempunyai hak untuk ditaati oleh isteri setakat dibenarkan hukum syarak manakala isteri mempunyai hak nafkah yang wajib disediakan oleh suami selagi isteri mentaati suaminya.

Firman Allah yang bermaksud: “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuan dan jangan kamu memudarat mereka untuk menyusahkan mereka.” (Surah A-Thalaq, ayat 6)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki dan perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun.” (Surah al-Nisa’, ayat 124)

Ayat menunjukkan kesamarataan antara lelaki dan perempuan di sisi Allah, yang membezakan hanyalah ketakwaan kepada Allah. Justeru, tidak timbul isu hanya isteri diwajibkan mentaati suami, sebaliknya suami juga mentaati perintah Allah dalam melayan isteri.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan Seksyen 60(2)(a)(b) dan (c), seseorang isteri boleh diisytiharkan sebagai nusyuz atau tidak taat kepada suami tidak layak mendapat nafkah daripada suami. Apabila isteri menjauhkan diri dari suami, apabila isteri meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suami, apabila isteri enggan berpindah bersama suami ke satu rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah menurut hukum syarak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Takutilah Allah dalam urusan kaum wanita, kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan nama Allah. Bagi mereka atas kamu rezeki makan minum dan pakaian.”

Imam Syirazi mendefinisikan nusyuz ialah isteri yang menderhakai, angkuh serta ingkar terhadap apa yang diperintah oleh Allah kepada mereka mengenai tanggungjawab perlu dilaksanakan terhadap suami.

Prof Dr Harun Din dalam bukunya Manusia dan Alam menyebut nusyuz adalah tindakan isteri yang menentang kehendak suami tanpa sebarang alasan syarak.

Isteri bukanlah pekerja seks yang baik bagi suami, penderaan suami terhadap isteri dilarang oleh Allah dan sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri. Justeru, isteri tidak sewajarnya membenarkan diri didera oleh suami semata-mata demi untuk mentaati suaminya.

Membenarkan suami berkahwin lain sebagai tindakan ketaatan isteri terhadap suami juga fahaman salah yang perlu diperbetulkan. Hanya seorang lelaki yang benar-benar boleh berlaku adil dan mempunyai kemampuan menyara isteri dan anak saja boleh berkahwin lebih daripada satu menurut hukum syarak.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka kahwinilah perempuan yang kamu sukai dua, tiga dan empat, tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil hendaklah kamu berkahwin seorang saja.” (Surah An-nisa’, ayat 3)

Berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadis, nusyuz tidak hanya berlaku dalam kalangan isteri kerana suami juga nusyuz. Nusyuz boleh ditakrifkan sebagai suami atau isteri yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pasangan seperti yang diperintah oleh Allah.

Dewasa ini berapa ramai suami yang nusyuz terhadap isteri apabila tidak menyediakan rumah kelamin, tidak menanggung makan minum, tidak membelikan pakaian isteri, tidak memberi nafkah batin kepada isteri, melakukan penderaan fizikal mahupun mental dan menghilang diri menyebabkan isteri digantung tidak bertali.

Semua ini boleh dilihat berdasarkan kes difailkan oleh isteri di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Penubuhan kelab ini dilihat sebagai suatu langkah ke belakang dalam usaha mengiktiraf martabat dan maruah wanita Islam di Malaysia khasnya dan dunia amnya.

Penubuhan kelab seumpama ini tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah perceraian yang dikatakan berlaku setiap 15 minit atau anak luar nikah yang lahir setiap 17 minit. Usaha yang padu ke arah melahirkan suami, bapa, anak lelaki dan muslimin mithali perlu menjadi agenda utama kerana lelaki pemimpin kepada perempuan.

Isnin, November 22, 2010

Derita batin sampai murtad

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Disebabkan tidak sanggup terus menderita akibat digantung tidak bertali’ selama 10 tahun, ada wanita Islam yang bukan saja berhijrah ke luar negara, malah menjadi murtad selepas berkahwin dengan lelaki bukan Islam.

Mendedahkan kes berkenaan, Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih Sungai Besi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman, berkata wanita terbabit yang berusia 40-an bertindak sedemikian selepas tertekan tindakan suami asalnya yang berkahwin lain dan mengabaikan nafkah zahir serta batin.

Menurutnya, wanita itu yang berkerjaya profesional mendakwa fobia dengan ‘kata dua’ suami yang mahu melihat dia menderita sehingga mati dan membiarkannya digantung tidak bertali. “Kes ini antara puluhan, malah ratusan masalah yang dihadapi ibu tunggal digantung tidak bertali yang tewas dalam perjuangan mendapatkan hak mereka mengikut yang terkandung dalam al-Quran.

“Sepatutnya golongan seperti ini dibantu. Malangnya, pada masa ini kesukaran mereka terus tidak dibela sewajarnya sehingga ada yang nekad mengambil keputusan yang salah,” katanya.

Beliau berkata, kes wanita tertekan berkenaan yang berhijrah ke luar negara dan meninggalkan Islam, amat menyedihkan, tapi ia bukan sesuatu yang aneh kerana mereka juga memiliki naluri untuk menjalani kehidupan lebih baik.

“Tetapi, mereka digantung tidak bertali dan tidak diberikan bantuan apabila diperlukan. Keadaan itu menyebabkan harapan mereka hancur terutama apabila proses di mahkamah juga tidak memihak kepada mereka,” katanya. Wan Abdul Halim berkata, kemelut yang dihadapi ibu tunggal dan wanita digantung tidak bertali ini boleh ditangani dengan baik jika pelbagai pihak memberi tumpuan terhadap permasalahan yang dihadapi golongan berkenaan sejajar apa yang terkandung dalam al-Quran.

Beliau berkata, wanita yang sudah nekad menukar agama itu individu berpendidikan yang arif mengenai hak wanita seperti terkandung dalam al-Quran dan mereka berharap undang-undang itu digunakan.

Bagaimanapun, katanya, apa yang diharapkan mereka tidak menjadi kenyataan, malah proses ‘melepaskan diri’ terlalu sukar walaupun suami sudah berkahwin baru dan sengaja mahu melihat isteri digantung tidak bertali sehingga mati.

Menurutnya, mahkamah syariah mempunyai tanggungjawab dan amanah cukup berat bagi mendaulatkan hak wanita seperti terkandung dalam al-Quran bagi memastikan golongan itu termasuk ibu tunggal dan mereka yang digantung tidak bertali diberikan keadilan sewajarnya.

“Keadilan penting bagi memastikan golongan berkenaan dibantu bagi membina kehidupan baru selain menyelamatkan mereka daripada sikap suami atau pihak tertentu yang hanya mementingkan diri sendiri.

“Kita tidak mahu ada sesetengah wanita sepatutnya mampu menjalani kehidupan sempurna, tetapi akibat dihalang pihak yang tidak bertanggungjawab, kehidupan mereka berubah ke kancah yang tidak sihat dan merosakkan masa depan mereka,” katanya.

Tanpa berselindung, beliau tidak menafikan ada ibu tunggal yang terbabit kes yang tidak sihat, tetapi jika dikaji secara terperinci ia boleh dikaitkan dengan punca yang tidak sepatutnya terjadi, termasuk tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki pilihan mereka.

Katanya, banyak masalah yang menyebabkan ibu tunggal itu tertekan termasuk anak yang tamak harta sehingga tidak membenarkan ibunya berkahwin lain kerana bimbang harta itu akan dimiliki pasangan baru ibu mereka.

“Sepatutnya, masalah yang membelenggu ibu tunggal dan mereka yang digantung tidak bertali boleh diselesaikan dengan baik jika lunas Islam dijadikan asas utama kerana ia sudah pasti akan memberikan satu keputusan yang adil dan saksama.

“Bukan itu saja, ia sudah pasti menyelamatkan golongan berkenaan supaya tidak melakukan tindakan tidak bijak, termasuk berfikir untuk meninggalkan agama dianuti,” katanya.

Rabu, Oktober 20, 2010

Isteri Bukan Hak Suami

Situasi: Puan A adalah isteri kepada seorang lelaki yang sering mabuk dan pulang ke rumah dengan emosi yang tidak stabil.

Kerap kali, Puan A dipukul, ditendang, ditengking oleh suaminya yang sentiasa memarahinya.

Kemuncak penderitaan Puan A adalah apabila dia dikelar suaminya dengan pisau panas hingga dia jatuh pengsan.

Malangnya, jeritan dan pekikkannya tidak pernah dihiraukan atau diambil peduli oleh sesiapa, walaupun mereka tinggal di salah sebuah unit rumah pangsa yang dikelilingi jiran tetangga yang sangat dekat.

SITUASI yang dinyatakan di atas adalah situasi yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Isteri tersebut menderita pelbagai kecederaan fizikal selain mental yang sangat tidak stabil akibat daripada perbuatan suaminya.

Namun fokus perbincangan kita pada kali ini adalah berkenaan sikap jiran atau masyarakat setempat yang memandang ringan atau mengambil keputusan untuk menutup sebelah mata (jika tidak kedua-duanya) terhadap penyakit masyarakat yang sedang menular dewasa kini - keganasan rumah tangga.

Masyarakat sebenarnya mampu untuk memainkan peranan besar bagi menghentikan jenayah tersebut daripada terus berlaku.

Secara umumnya, masyarakat masih beranggapan bahawa masalah dalam rumah tangga seseorang adalah masalah peribadi orang tersebut dan tidak seharusnya campur tangan.

Masyarakat juga sering mengambil sikap berkecuali dalam hal seperti itu atas alasan tidak mahu mencari masalah dengan terlibat dalam masalah orang lain.

Apatah lagi kita sering memberi justifikasi lemah bahawa masalah kita sendiri tidak selesai, jangan ditambahkan dengan masalah orang lain. Walaupun ia berlaku di sebelah rumah kita atau di depan mata kita sendiri.

Masih ramai di kalangan masyarakat kita juga mengatakan bahawa hal ehwal dan isu berkaitan dengan rumah tangga seseorang adalah hak peribadi dan hak mutlak seseorang itu.

Lebih dahsyat lagi, ada yang mengiyakan bahawa isteri adalah hak mutlak suaminya dan suami tersebut bebas berbuat apa sahaja atas alasan suami adalah ketua dalam rumah tangga. Justeru, suami berhak menyelesaikan masalah rumah tangga mengikut cita rasa, keadaan dan kehendak dirinya sendiri.

Hakikat dari segi perundangan adalah sebaliknya. Melalui peruntukan yang termaktub di bawah Sekyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga (AKRT) 1994, adalah jelas bahawa pihak penggubal undang-undang negara melihat kepentingan peranan yang boleh dimainkan oleh orang perseorangan dalam masyarakat bagi membendung isu keganasan rumah tangga.

Seksyen 18 AKRT 1994, antara lain memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan keganasan rumah tangga telah berlaku, atau sedang berlaku boleh memberi maklumat kepada pegawai penguatkuasa atau pihak polis.

Lebih menarik, peruntukan undang-undang tersebut juga mewujudkan perlindungan berbentuk imuniti bagi pelapor tersebut daripada sebarang liabiliti fitnah, jika didapati laporan yang dibuat adalah terbukti tidak tepat atau tidak benar sama sekali.

Secara ringkasnya, peruntukan itu, memberikan hak kepada mana-mana orang dalam masyarakat kita untuk melakukan sesuatu dalam mendepani isu keganasan rumah tangga ini, iaitu melaporkan perkara tersebut ke pihak berkuasa.

Menariknya peruntukan ini memberikan juga kuasa atau hak kepada ahli masyarakat untuk melaporkan kes-kes keganasan rumah tangga yang mereka ada alasan untuk mempercayai bahawa ia telah atau sedang berlaku.

Ahli masyarakat tidak perlu menyaksikan peristiwa keganasan tersebut, dan peruntukan undang-undang mengatakan hanya cukup sekiranya mana-mana individu tersebut timbul syak atau ada alasan yang baik menjurus kepada persepsi bahawa keganasan rumahtangga telah atau sedang berlaku.

Peruntukan undang-undang ini jelas mengetepikan sikap 'jangan jaga tepi kain orang lain' dalam menangani isu keganasan rumah tangga dalam masyarakat kita hari ini.

Pendek kata dalam istilah yang bersahaja, setiap suami perlu ingat bahawa isteri bukan lagi hak mutlak mereka.

Jika seorang suami itu gagal atau tidak mampu menjaga isteri mereka dengan sempurna dan kehidupan rumah tangga hingga sering disulami dengan perlakuan atau tindakan yang ganas, maka orang lain boleh 'campur tangan' bagi menyelamatkan dan seterusnya 'membawa' sang isteri tersebut keluar dari kancah permasalahan yang dihadapi.

Rabu, Julai 07, 2010

Hanya lelaki berwibawa berhak berpoligami

Sumber : Utusan Malaysia
4/1/2010

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Beberapa tokoh agama terkenal negara sependapat menyatakan bahawa hanya lelaki yang benar-benar berwibawa dan mampu berlaku adil sahaja boleh berpoligami. Selain itu, mereka juga berpendapat, lelaki yang mahu berpoligami juga seharusnya mengambil keputusan itu bukan hanya didorong nafsu semata-mata.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin berkata, sebelum berpoligami, seorang lelaki itu perlu memikirkan sama ada mereka mampu atau tidak untuk membimbing isteri masing-masing.

"Jika lelaki tersebut tidak mampu membimbing seorang isteri yang sedia ada, bagaimana pula dia boleh membimbing isteri-isteri barunya yang lain?

"Ciri-ciri untuk berpoligami bukan sekadar hanya mampu dari sudut kewangan tetapi ia perlu dipertimbangkan dalam banyak perkara," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat yang membidas sikap lelaki dari negeri itu yang suka berpoligami semata-mata mahu memeras keringat dan harta isteri tanpa memikirkan tanggungjawab sebenar sebagai seorang suami.

Nik Abdul Aziz berkata, kejahilan tentang poligami menyebabkan ramai lelaki Melayu dari Kelantan beristeri lebih dari seorang dan isteri- isteri berkenaan terpaksa bekerja mencari rezeki untuk suami.

Dalam pada itu, Dr. Asri turut mencadangkan agar pihak bertanggungjawab menghukum lelaki yang menipu mana-mana wanita untuk kepentingan diri.

"Ini kerana ada juga lelaki yang menipu bakal isteri dengan menyatakan dia mempunyai kerja dan sumber kewangan yang kukuh.

"Mahkamah perlu memainkan peranan dengan menilai semula status perkahwinan mereka sekali gus menjatuhkan hukuman ke atas suami yang didapati menipu isteri dalam soal ini,'' tegasnya.

Mengulas perkara yang sama, pendakwah bebas, Md. Daud Che' Ngah berkata, Islam hanya membenarkan poligami jika seseorang lelaki itu benar-benar boleh berlaku adil.

"Islam menyuruh lelaki yang mahu berpoligami agar berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai suami.

"Agama kita sama sekali tidak membenarkan seseorang lelaki berkahwin hanya kerana mahu mengaut keuntungan daripada wanita yang dikahwininya," jelasnya.

Sehubungan itu Md. Daud berkata, lelaki yang berpoligami seharusnya mampu memberi nafkah zahir dan batin serta prihatin terhadap isteri dan anak-anak.

"Jika seseorang lelaki mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak, mereka sebenarnya bergelumang dengan dosa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah pula berkata, lelaki yang berniat untuk berpoligami harus melihatnya dari sudut agama dan bukannya nafsu semata-mata.

"Sebelum berpoligami, mereka perlu melihatnya dari cermin syariah dan sunah bagi mencari sebab mengapa mereka mahu dan dibolehkan berpoligami.

"Matlamat murni konsep poligami itu tidak akan dapat dicapai jika lelaki hanya melihat poligami dari sudut nafsu semata-mata," ujarnya.

Khamis, Mei 27, 2010

Temui jalan penyelesaian

Harian Metro
2010/05/27


KUALA LUMPUR: Proses tuntutan nafkah edah dan tertunggak bekas isteri Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah dijangka menemui jalan penyelesaian pada 19 Jun ini.

Ia berikutan kedua-dua pihak iaitu Datin Fauziah Haron, 53, yang diwakili peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Kadar Shah, 62, diwakili Sulaiman Abdullah memaklumkan mereka kini dalam proses perbincangan di peringkat akhir.

Kamar Ainiah berkata, kedua-dua pihak kini dalam proses untuk meneliti perjanjian yang akan ditandatangani dan butiran pelaksanaan serta akan mengemukakan kepada mahkamah secepat mungkin sebelum tarikh sebutan yang akan datang, Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin menetapkan 19 Julai ini untuk merekodkan penyelesaian kedua-dua pasangan itu. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Fauziah menuntut haknya termasuk nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian hasil perkahwinannya dengan Kadar Shah. Kadar Shah sebelum ini membantah permohonan wanita itu atas dakwaan Fauziah tidak mempunyai locus standi (hak) selain mendakwa perkahwinan pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia, sebagai tidak sah kerana tiada dokumen atau sijil pernikahan. Tetapi, mahkamah memutuskan Fauziah mempunyai locus standi kerana selepas 27 tahun perkahwinan kedua-dua pihak dalam keterangan mengakui dengan suci hati wujud ikatan sah. Fauziah menuntut tuntutan mutaah, edah, wang yang diserahkan kepada defendan RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 berjumlah RM600,000.

Sabtu, Disember 12, 2009

Isteri tuntut mutaah

SOALAN

PERCERAIAN saya dan bekas suami (A) telah disahkan di mahkamah. Perkahwinan kami telah bertahan selama 15 tahun dan ada tiga orang cahaya mata.

Saya kini sedang dalam proses untuk menuntut mutaah. A telah memberitahu saya bahawa dia hanya akan membayar RM500 sebagai mutaah.

Menurutnya mutaah ini hanya adat Melayu, bukan menurut hukum Syarak.

Di negara Islam lain, tiada bekas isteri yang dapat mutaah dan ia hanya ada di Malaysia.

Dia juga berkata bahawa bayaran RM500 lebih daripada cukup. Saya kini menjadi ragu-ragu, adakah apa yang A katakan itu benar? Bolehkah saya menuntut mutaah?

Azizah Harun,

Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Jawapan

Selain daripada hak menuntut nafkah, seorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati.

Hak itu bersandar kepada Surah al-Baqarah, ayat 241 yang bermaksud, "Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang yang bertakwa."

Juga dalam ayat 236 yang bermaksud, "…Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu)…"

Daripada dua ayat ini, jelas menunjukkan mutaah yang menjadi hak isteri adalah bersandarkan kepada hukum Syarak.

Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati kepada mahkamah.

Selepas mendengar keterangan daripada kedua pihak dan berpuas hati bahawa isteri diceraikan tanpa sebab yang patut, mahkamah boleh memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum Syarak.

Dalam kes di Pulau Pinang, Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH (2) 63, mahkamah berpendapat bahawa mutaah bertujuan menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup baru tanpa suami.

Tentang kemampuan suami ini, kita boleh merujuk kepada kes Tengku Anun Zaharah lwn Datuk Dr Hussein (1980) 3 JH 125 yang mana peguam pihak isteri telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal Shaksiah fi Ahkam zaujat watalaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar kepada bekas isterinya sebagai bayaran mutaah.

Jika pada zaman itu jumlah sedemikian boleh dibayar sebagai mutaah, maka jumlah RM25,200 yang diminta sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan itu.

Dalam kes Noor Bee di atas, mahkamah juga telah mengambil kira pengorbanan oleh isteri sepanjang perkahwinannya selain daripada kemampuan suami dalam memutuskan kadar mutaah yang patut diberikan kepada isteri.

Dalam permohonan mutaah kepada mahkamah, puan boleh mengambil kira perkara-perkara seperti jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan puan dan bekas suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku untuk dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada puan.

Memandangkan mutaah ini bersandarkan kepada hukum Syarak, maka peruntukan tentang mutaah bukan sahaja terdapat di Malaysia.

Terdapat juga negara-negara Islam lain yang memberi hak mutaah kepada isteri yang diceraikan. Di Indonesia misalnya, ada diperuntukkan tentang mutaah wajib dan mutaah sunat.

Di negara-negara Asia Barat seperti undang-undang di Jordan, Syria dan Mesir bersependapat bahawa pihak isteri berhak untuk mendapat bayaran pampasan iaitu mutaah apabila diceraikan oleh suami tanpa sebab yang patut atau munasabah.

Jumaat, Disember 11, 2009

Boleh bela diri sendiri

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Wanita yang menghadapi masalah rumah tangga dan kesempitan wang boleh menjadi peguam untuk membela diri sendiri di mahkamah syariah jika kes mereka berlarutan untuk tempoh lama, kata pakar sosiologi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman.

Beliau berkata, walaupun tindakan membela diri sendiri itu agak ‘pelik’, tetapi ia adalah antara pendekatan pilihan yang boleh dilakukan dan dibenarkan mahkamah jika wanita teraniaya terbabit tidak mampu mengupah peguam. Wan Abdul Halim membuat gesaan itu kerana mengakui dan mendapati kebanyakan golongan wanita terpaksa berhabisan ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan kebenaran fasakh atau perceraian daripada mahkamah.

Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada golongan wanita teraniaya yang tidak sanggup lagi ke mahkamah kerana terpaksa menanggung perbelanjaan peguam, terutama apabila kes mereka tertangguh untuk beberapa tahun.

“Sebenarnya golongan wanita ini terutama mereka yang tidak berkemampuan selalu menjadi mangsa apabila cuba membawa sesuatu kes mereka ke mahkamah.

Masalah utama yang dihadapi adalah bagi mendapatkan peguam untuk membela mereka yang sudah pasti memerlukan perbelanjaan besar walaupun pada masa sama mereka ‘berperang’ dengan masalah peribadi,” katanya, semalam.

Tanpa berselindung, Wan Abdul Halim yang juga Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih, berkata memang tidak menjadi masalah jika wanita terbabit mempunyai sumber kewangan bagi mengupah peguam, tetapi apa yang menjadi masalah apabila ia membabitkan golongan wanita tidak berkemampuan.

Menurutnya, beliau banyak menerima rungutan golongan yang tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi mewakili menyelesaikan kes mereka di mahkamah.

“Walaupun ada perkhidmatan Biro Bantuan Guaman (BBG), tetapi jumlah yang memerlukan khidmat itu terlalu ramai sehingga ada kes yang berlarutan dan menimbulkan masalah kepada wanita terbabit,” katanya.

Jumaat, November 13, 2009

Seks ganas runtuhkan keluarga

Utusan Malaysia
Arkib 13/11/2009

SOALAN:SAYA telah berkahwin selama satu tahun. Suami saya mula berubah setelah saya mengalami keguguran. Jika dahulu dia seorang yang lembut, kini dia seorang yang kasar dan panas baran. Dia sering mendera saya dari segi fizikal dan mental.

Dari segi seksual pula, dia amat ganas dan dia seringkali memaksa dan memukul saya apabila dia mahu bersama-sama saya. Kadang-kadang saya terasa seperti ‘dirogol’ suami sendiri. Saya tidak tahan hidup dengannya lagi dan sentiasa dalam ketakutan. Saya ingin bercerai tetapi tidak tahu bagaimana. Bantulah saya SIS.

*Mira,
*Serdang.

Jawapan:
Kebanyakan kita tidak sedar bahawa perlakuan seks tanpa kerelaan pasangan adalah satu bentuk penderaan dan boleh dianggap sebagai keganasan rumah tangga. Akta Keganasan Rumahtangga 1994 menyebut keganasan rumah tangga adalah satu jenayah dan akta tersebut mendefinisikan keganasan rumah tangga sebagai “sebarang perlakuan mencederakan atau menyakiti dan menyebabkan seseorang hidup dalam ketakutan.”


Walaupun dalam Undang-undang Keluarga Islam tidak menyatakan tentang “perlakuan seks tanpa kerelaan” (marital rape) tetapi ia adalah salah satu bentuk penderaan yang memberi kesan yang negatif dari segi mental dan fizikal seorang individu.

Kita boleh mengambil contoh di Kuantan, apabila seorang mekanik didapati bersalah atas dua tuduhan. Tuduhan pertama ialah melakukan seks ganas ke atas isterinya dan dia telah dipenjarakan tanpa dibenarkan ikat jamin kerana dikhuatiri akan mengulangi perbuatannya itu. Bagi tuduhan ini, dia telah dihukum penjara maksimum lima tahun mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan hubungan seks dan aktiviti seksual tidak diingini pasangan apabila meliwat isterinya lima minit selepas melakukan kesalahan pertama. Bagi tuduhan kedua ini, dia dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Jika puan sudah membuat keputusan bahawa perceraian ialah jalan penyelesaian, puan boleh memfailkan tuntutan cerai fasakh terhadap suami.

Puan mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon fasakh di Mahkamah Syariah di bawah Seksyen 53 (1)(h), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam(Negeri Selangor) 2003 yang menyebut “Seseorang perempuan atau lelaki...dengan alasan yang berikut, iaitu - (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain - (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.”

Justeru puan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap perlakuan ganas suami yang menyebabkan puan berada di dalam keadaan ketakutan.

Apa yang perlu puan lakukan ialah dapatkan pemeriksaan doktor di hospital kerajaan, laporan pakar kaunseling juga boleh dijadikan bukti, setelah itu puan perlulah membuat laporan polis.

Laporan-laporan ini penting bagi mengukuhkan lagi permohonan cerai fasakh yang difailkan.
Meskipun hubungan seks dalam institusi perkahwinan adalah sesuatu yang sah dan halal tetapi perlulah dilayari dengan penuh kasih sayang dan harmoni bukannya dengan keganasan kerana ia boleh meruntuhkan sesebuah institusi keluarga.

Isnin, Oktober 19, 2009

Lafaz rujuk sah jika keluar daripada mulut suami secara ikhlas

Soalan:
Sebulan lalu saya bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri tidak rela dengan perpisahan berlaku dan menyuruh saya merujuknya semula. Isteri juga melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi "Saya rujuk semula dengan awak". Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya itu atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa.

Mamat,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Rujuk adalah penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam, Allah meletakkan hak rujuk di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagi isteri masih dalam edah. Allah Taala berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 228: "Dan suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri pada masa edah mereka jika (suami) bertujuan hendak berdamai".

Saidina Umar R.A meriwayatkan, "Rasulullah SAW menceraikan Hafsah, kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya". Menurut jumhur ulama, terdapat tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).

  • Rukun pertama, suami hendaklah seorang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal Islam.
  • Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai edah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuk itu tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh edah.

Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya edah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.

Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti 'engkau' atau 'nama isteri itu' atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah pula tidak boleh digantungkan (ditaklik) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: "Saya rujuk awak jika awak suka." Atau: " Saya kembali kepada awak jika awak berhenti kerja." Kewujudan saksi hanya disunatkan.

Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri masih suka kepada suaminya. Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya adalah sah walaupun rujuk dibuat itu dalam keadaan bergurau.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuk nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah. Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI) memperuntukkan bahawa suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talak rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat edah. Oleh itu suami tidak boleh rujuk jika sekiranya tempoh edah bagi talak rajie itu tamat.

Dalam Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya. Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.

Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231: "Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan ayat hukum itu sebagai ejekan dan permainan".

Dari segi hukum rujuk, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya.

Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri. Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlaku rujuk.

Jawapan disediakan Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Yusmawati Abllah

Berita Harian 15/10/2009

Selasa, Ogos 18, 2009

Nafkah boleh diberikan dalam pelbagai bentuk

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

Memasukkan wang dalam akaun isteri sudah dianggap menunaikan tanggungjawab

PERSOALAN saya mengenai pemberian nafkah kepada isteri. Apakah kita perlu melafazkan di depan isteri, setiap kali memberikan nafkah berkenaan. Bagaimana jika suami itu sering keluar bekerja sehingga tiga bulan lamanya yang memang tidak dapat melafazkan, tetapi sekadar menyerahkan wang nafkah itu menerusi cara pemindahan wang ke dalam akaun bank isteri.

Soalan kedua, jika kita bekerja di atas kapal melebihi tiga hari, adakah kita boleh mengerjakan solat jamak? Adakah selepas lebih tiga hari itu, kita perlu solat seperti biasa?

Ingin Tahu,
SELANGOR.


Perkataan nafkah ini dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja nafaqa yang bermaksud berjalan ataupun habis. Nafaqun pula merujuk pada jalan yang menembusi ke sesuatu arah. (Rujuk Mufradat Alfaz al-Quran oleh al-Asfahaniy hlm 818 )

Kemudian perkataan ini digunakan dalam erti yang lebih luas membabitkan pembiayaan atau perbelanjaan. Ada banyak penggunaan dalam al-Quran yang merujuk kepada pengeluaran harta, contohnya ayat ke 7 surah al-Talaq, maksudnya: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah SWT akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."

bn Kathir dalam huraiannya menerusi Tafsir Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan khusus memberikan peringatan kepada suami tentang tanggungjawab membiayai isteri dan anak kerana mereka adalah amanah yang wajib diselesaikan.

Secara dasarnya nafkah dalam Islam adalah disebabkan tiga perkara iaitu:

  • Keturunan atau nasab
  • Pernikahan
  • Pemilikan

    Maka berpandukan keterangan di atas suami diwajibkan membiayai anak dan isteri. Anak pula wajib membiayai ayah ibu yang susah dan tuan diwajibkan menyara hamba.

    Kegagalan menjalankan tanggungjawab ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Nabi SAW memberikan amaran dalam hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Nasaei dan al-Bazzar yang bermaksud: "Cukuplah seseorang itu menjadi berdosa apabila dia mengabaikan orang yang berada di bawah jagaannya."

    Dalam hadis yang lain mengenai kelebihan menjalankan kerja menyara keluarga ini Nabi pernah bersabda, dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Dan sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu belanja yang dengannya engkau menuntut keredaan Allah SWT, melainkan engkau diberikan pahala dengannya sehingga apa yang engkau suapkan ke mulut isterimu."

    Mengukuhkan perkara di atas, Allah turut berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233, maksudnya: "Dan kewajipan bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya."

    Menurut pakar tafsir Muhammad Ali al-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir, ayat ini menggunakan ayat 'ke atas lelaki yang dilahirkan anak itu untuknya (bapa) bagi memberitahu tanggungjawab suami adalah menjaga kepentingan isteri dan anak yang diperoleh daripadanya itu. Ini berterusan selagi isteri itu belum diceraikan. Menurut beliau lagi, kadar makanan dan bentuk pakaian yang dimaksudkan itu merujuk pada adat kebiasaan setempat.

    Kalangan ulama mazhab al-Syafie contohnya Al-Imam al-Nawawi menjelaskan dalam al-Majmuk, berdasarkan ayat ke-233 ini, suami berkewajipan menyediakan untuk isteri nafkah jenis makanan tempatan.

    Apabila kita mengkaji sirah kalangan sahabat yang berhubungkait hubungan suami isteri, kita akan lihat suami mempunyai kaedah yang berbeza-beza menangani perbelanjaan rumah tangga. Sebagai contohya Abd Rahman bin Auf yang sentiasa memaklumkan kadar nafkah yang akan diberikan pada isteri.

    Sebaliknya Ali bin Abi Talib pula tidak melakukan perkara itu sehingga ada hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim isteri kepada Ali iaitu anak perempuan Nabi Fatimah datang kepada Nabi mengadu kesusahan hidup dan memohon agar diluluskan peruntukan pembantu rumah untuk beliau.

    Kedua-dua riwayat ini menunjukkan suami di kalangan sahabat mempunyai pendekatan yang berbeza dalam perkara ini. Berpandukan hujah syarie di atas jelaslah kepada kita mengenai kepelbagaian kaedah menyara keluarga membabitkan isteri dan anak. Nafkah itu wajib dilaksanakan, cuma kaedahnya boleh dipelbagaikan sama ada diberikan terus dalam bentuk kewangan, atau penyediaan makanan. Selagi ia memenuhi keperluan isteri dan anak, jelas kepada kita Islam tidak membataskan kepada bentuk pemberian secara khusus. Justeru, suami yang membiayai perbelanjaan isteri menerusi bayaran terus ke akaun dianggap sudah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang dituntut syarak.

    Bagi persoalan kedua, Islam membenarkan seseorang itu melakukan solat musafir yang membabitkan jamak dengan syarat yang tertentu. Solat seperti ini adalah suatu kemudahan yang disifatkan sebagai sedekah seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim (No 686).

    Malahan seseorang yang bermusafir itu juga dibenarkan mengerjakan solat secara qasar iaitu meringkaskan solat yang empat rakaat menjadi dua. Solat yang dimaksudkan adalah solat Zuhur, Asar dan Isyak.

    Ini adalah berlandaskan firman Allah dalam surah al-Nisak ayat 101, maksudnya: "Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu."

    Antara syarat untuk melakukan solat musafir ini adalah perjalanan itu melebihi dua marhalah iaitu 90 kilometer dan bukannya bertujuan maksiat. Sekiranya saudara bekerja sepanjang waktu di atas kapal menuju ke pelbagai tempat, maka perjalanan yang dilalui itu dianggap musafir yang membolehkan solat dilakukan secara jamak dan qasar. Cuma apabila tinggal tetap di sesuatu tempat melebihi empat hari tidak termasuk hari datang dan pulang, maka secara automatik gugurnya kelayakan melakukan solat musafir kerana sudah dianggap mukim.

  • Bagi anda yang mempunyai kemusykilan mengenai agama, sila hantarkan soalan di e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

  • Rabu, Jun 24, 2009

    Memahami maksud idah

    Oleh Idris Musa

    idris@hmetro.com.my

    PERSOALAN mengenai idah jarang diperkatakan dengan anggapan ramai tahu mengenainya, tetapi yang nyata masih ada kurang faham sehingga keadaan menjadi keliru.

    Menurut kitab fiqah, idah ialah waktu menunggu diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan, sama ada cerai hidup atau cerai mati, bagi mengetahui sama ada empunya diri hamil atau tidak.

    Bagi wanita hamil, idahnya sehingga lahir anak dikandungnya itu, baik cerai mati atau cerai hidup.

    "Dan perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya." (Surah at-Talaq: 4)

    Wanita tidak hamil, ada ketikanya bercerai mati dan bercerai hidup. Bagi yang bercerai mati, idahnya empat bulan sepuluh hari.

    "Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari." (Surah al-Baqarah: 234)

    Jika diperhatikan, ayat 4 surah at-Talaq umum membabitkan cerai hidup dan cerai mati apabila hamil idahnya sehingga lahir anak dan ayat 234 surah al-Baqarah juga umum membabitkan wanita hamil dan tidak apabila bercerai mati idahnya empat bulan sepuluh hari.

    Di sini wujud sedikit perselisihan faham mengenai wanita bercerai mati sedangkan dirinya hamil, manakala anaknya lahir sebelum cukup empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal.

    Apakah idahnya tamat dengan melahirkan anak walaupun belum cukup tempoh empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal kerana berdasarkan umumnya ayat pertama di atas?

    Haruskah idahnya dicukupkan juga empat bulan sepuluh hari kerana berdasarkan ayat yang kedua?

    Menurut jumhur ulama salaf (terdahulu), idahnya ialah lahir anaknya walaupun belum cukup empat bulan sepuluh hari.

    Tetapi menurut pendapat lain yang diriwayatkan daripada Ali, idahnya mesti mengambil yang lebih panjang. Walaupun anaknya lahir lebih awal, idahnya harus menunggu sehingga empat bulan sepuluh hari.

    Menurut pendapat itu, jika sampai tempoh empat bulan sepuluh hari, tetapi anak yang dikandungnya belum lahir, idahnya harus menunggu sehingga bersalin.

    Selain itu, ada perbezaan pendapat mengenai idah wanita hamil.

    Imam Syafie berpendapat idah wanita terbabit dengan lahirnya anak dikandung apabila anak itu dari suami yang menceraikannya. Tetapi jika anak bukan dari suami yang menceraikannya, wanita terbabit tidak beridah dengan kelahiran anak.

    Pendapat Abu Hanifah, perempuan itu harus beridah dengan lahir anaknya, baik anak itu anak daripada suami yang menceraikannya atau bukan, walau anak zina sekalipun.

    Idah bagi wanita bercerai hidup dengan suaminya ialah tiga kali suci sekiranya dia mempunyai haid.

    "Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)." (Surah al-Baqarah: 228)

    Mengira tiga kali suci itu tidak dicampuri suaminya, dengan suci sewaktu perceraian dikira satu kali suci. Tetapi jika dalam suci waktu perceraian itu dicampuri, dikira tiga kali suci mulai suci dari haid pertama selepas perceraian. Demikian juga perceraian yang berlaku ketika haid, dikira tiga kali suci dari suci selepas haid yang berlaku sewaktu perceraian.

    Keadaan terbabit sekali gus menyebabkan idah bagi seseorang wanita lebih panjang. Oleh kerana itu, adalah dilarang suami menceraikan isteri dalam keadaan haid dan suci yang sudah dicampuri.

    Isteri yang diceraikan suaminya sebelum dicampuri tiada idah (tidak perlu beridah).

    "Kemudian kamu talak mereka itu sebelum kamu campuri, maka tidaklah mereka beridah." (Surah al-Ahzab: 49)Tetapi bagi wanita yang tiada haid, idahnya tiga bulan.

    "Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan..." (Surah at-Talaq: 4)

    Perempuan yang tiada haid ada tiga golongan; iaitu yang masih kecil (belum sampai umur), sudah sampai umur, tetapi belum pernah haid dan orang tua yang sudah keputusan haid.

    Wanita beridah tidaklah boleh dibiarkan begitu saja, malah mereka masih mempunyai hak daripada bekas suaminya, seperti tempat tinggal (rumah), pakaian dan segala perbelanjaan.

    Mereka ialah wanita yang taat dalam idah rajiyah (boleh dirujuk), kecuali isteri derhaka, tidak berhak menerima apa-apa.

    Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Dari Fatimah binti Qais, berkata Rasulullah s.a.w kepadanya: 'Perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman daripada bekas suaminya itu apabila bekas suaminya itu berhak rujuk kepadanya.'" (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

    Wanita dalam idah bain (tidak boleh dirujuk) jika hamil juga berhak mendapatkan kediaman, nafkah dan pakaian.

    "Jika mereka (janda yang dicerai) mengandung, maka beri nafkahlah olehmu sampai lahir kandungannya." (Surah at-Talaq: 6)

    Sementara wanita yang dicerai secara bain, tetapi tidak hamil, sama ada bain dengan tebus talak mahupun dengan talak tiga, mereka hanya berhak mendapatkan tempat tinggal.

    "Tinggalkanlah mereka di tempat kediaman yang sepadan dengan keadaan kamu." (Surah at-Talaq: 6)

    Bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, wanita dicerai secara talak bain yang tidak hamil tidaklah berhak mendapatkan nafkah dan tempat tinggal.

    Dari Fatimah binti Qais dari Nabi s.a.w mengenai perempuan yang ditalak tiga, kata Rasulullah, dia tidak berhak tempat tinggal dan tidak pula nafkah. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

    Adapun firman Allah dalam surah at-Talaq ayat 6, kata mereka hanya terhadap wanita dalam idah rajiyah.

    Bagi wanita yang beridah disebabkan kematian suami, mereka tidak mempunyai hak sama sekali walaupun hamil kerana diri dan anak yang dikandungnya sudah mendapat hak pusaka daripada suaminya yang meninggal.

    "Janda hamil yang kematian suaminya tidak berhak mengambil nafkah." (Riwayat Daruqutni)

    Jumaat, Mei 29, 2009

    Islam lindungi hak isteri

    Hosted by Cute Icons.NET


    Oleh Idris Musa
    idris@hmetro.com.my

    TIADA lafaz paling keramat dari lidah seorang lelaki yang bergelar suami, kecuali talak, bahkan dilihat dari satu sudut ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.

    Ada benarnya, kerana dalam Islam lafaz talak atau cerai yang keluar dari bibir si isteri tidak diambil kira, walaupun dia melafazkannya berulang kali dengan bersungguh-sungguh, sekali gus menunjukkan kuasa talak hak suami.

    Firman Allah bermaksud: "Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya dan hitunglah masa idah itu (dengan betul) serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu..." (al-Quran, surah al-Talaq-65: 1)

    Walaupun begitu, seorang suami harus berwaspada.

    Sabda Nabi bermaksud: "Allah tidak menjadi sesuatu yang halal, yang lebih dibenci oleh-Nya dari talak."

    Dan lagi: "Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak." (Riwayat Abu Dawud)

    Seorang suami tidak wajar mempermainkan perkataan cerai kerana sekali ia terlepas dari mulut, mereka mungkin menyesal seumur hidup.

    Rasulullah bersabda: "Tiga perkara menjadi serius walaupun dalam keadaan main-main atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba.

    "Tetapi, sejauh mana lafaz cerai menjadi hak eksklusif suami? Apakah hak untuk berpisah bagi si isteri terkunci rapat? Jika benar, bukankah ia menzalimi isteri dan tidakkah undang-undang Islam ini menganiayai wanita!

    Pensyarah Kanan Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata dalam Islam, lelaki dan wanita mempunyai hak.

    Menurutnya, ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya..." (al-Quran, surah al- Baqarah: 228)

    "Hak ini termasuk hak untuk dilayan secara adil dan baik dalam semua keadaan, kedua-duanya dalam kes perkahwinan dan perpisahan," katanya, dalam satu ruangan soal jawab hukum di laman sesawang.

    Sebagaimana lelaki mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan, wanita juga ada hak berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan konflik yang mengakibatkan kekecewaan dan kesengsaraan.

    Katanya, Allah memerintahkan lelaki berbuat baik terhadap wanita sepanjang waktu dan sebarang perlakuan tidak adil, menjadikan isteri tahanan penjara dalam perkahwinan.

    "...maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik..." (al-Quran, surah al-Baqarah: 231)

    "Dengan penjelasan penting al-Quran ini, Islam mengajar kita apabila seorang suami melanggar prinsip terbabit, isteri mempunyai hak mengambil apa-apa tindakan undang-undang bagi membubarkan perkahwinan.

    "Ia adalah hak yang diberikan Islam kepadanya dan keputusan mahkamah dalam kes ini benar-benar berdasarkan Islam, bagi dirinya hanya bertindak dalam usaha untuk menghindari penganiayaan dan kecederaan dirinya," katanya.

    Beliau berkata, prinsip perundangan Islam menjelaskan, perlindungan mesti diambil bagi mengelak kecederaan dan kerosakan.

    "Justeru, katanya, jika seorang isteri itu tidak mendapat keselesaan daripada suaminya, dia berhak meminta cerai.

    Ulama terkemuka, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam, berkata wanita yang tidak tahan tinggal dengan suaminya ada hak untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan, dengan mengembalikan mas kahwin (mahar) kepada suaminya.

    Pemberian dari isteri itu katanya, sama ada lebih atau kurang nilainya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.

    Bagaimanapun, katanya, seorang suami itu sepatutnya tidak meminta lebih daripada yang diberikannya kepada isteri.

    "Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah berdosa (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim." (al-Quran, surah al-Baqarah: 229)

    Bagaimanapun, menurut al-Qaradhawi, adalah tidak dibenarkan bagi wanita untuk mendapat cerai dari suami kecuali dia diberikan layanan yang teruk atau dalam keadaan itu dia mempunyai sebab munasabah.

    Katanya, Nabi bersabda, maksudnya: "Sekiranya mana-mana wanita meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang kukuh, terhalang haruman syurga darinya."(Hadis riwayat Abu Daud)

    Dari penjelasan ini, nyata sekali nasib seorang isteri masih terbela di dalam Islam dan dia mempunyai hak untuk bercerai apabila dirasakan perkahwinan sudah tidak memberikan nikmat kepadanya.

    Perceraian itu boleh dituntut di Mahkamah Syariah, sama ada dengan cara fasakh (pembubaran perkahwinan) atau tebus talak (cerai yang diucapkan oleh suami dengan pembayaran dari pihak isteri kepada suaminya).

    Dalam undang-undang keluarga Islam, perceraian boleh juga berlaku melalui talak taklik, pertukaran agama dan li'an.