#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Kanser. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kanser. Papar semua catatan

Rabu, Jun 22, 2011

"Ketakutan itu membunuh"

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto WAHIDAH ZAINAL ARIPIN

BAGAIMANA perasaan anda andai suatu hari diberitahu doktor bahawa penyakit yang paling ditakuti sudah bersarang dalam tubuh? Gementar, cemas, takut dan pastinya soalan ini yang terbit dari bibir, "Mengapa saya?"

Soal sebanyak mana sekali pun, anda pasti tidak akan menemui jawapannya. Begitu yang dialami Lena Abdullah, saat disahkan bahawa ketulan kecil yang terdapat di bahagian pahanya adalah sel kanser yang sedang agresif.

Rasa takut dan putus asa menguasai diri. Berhari-hari beliau menangis dan memikirkan kenapa keadaan itu berlaku kepada dirinya.

"Saya tidak merokok, sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan. Malah saya juga tidak ada sejarah keluarga yang menghidap kanser, namun kenapa ia berlaku?," katanya memulakan bicara.

Namun, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak mahu mengalah dan terus bersedih. Berbekalkan sokongan keluarga terutama bila memikirkan anak-anak yang sedang meningkat remaja, dia mengumpul sisa kekuatan untuk bangkit melawan penyakit tersebut.

Melalui Internet dan buku, dia memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan. Tanpa menunggu lebih lama, Lena terus menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.

Tidak mempedulikan kata-kata 'nakal' seperti kemoterapi menyakitkan, wanita berasal dari Pulau Pinang itu tabah melalui setiap satu rawatan yang diwajibkan untuknya.

"Alhamdulillah, walaupun menderita kanser, namun saya bersyukur kerana sepanjang melalui detik itu saya tidak pernah rasa sakit yang teramat sehingga selesai rawatan kemoterapi terakhir sekitar Julai 2009," katanya.

Walaupun terdapat kesan sampingan seperti keguguran rambut dan kening ketika itu, namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang melawan penyakit itu. Lena menjalani kehidupan seperti biasa. Katanya dia ke pasar dengan memakai rambut palsu dan selendang.

"Sebenarnya kesan daripada rawatan itu berbeza setiap individu. Ada yang mengalami reaksi teruk ada yang sederhana. Tapi yang penting kita kena bersedia," katanya yang banyak mengamalkan pemakanan sup, buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang rawatan tersebut.

Melalui seorang teman, Lena mengetahui kewujudan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan berminat untuk terlibat dengannya. Sejak dua tahun lalu dia aktif terlibat dengan kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan pertubuhan itu.

Selepas melalui detik-detik yang sukar, wanita yang sentiasa ceria itu percaya dirinya kini semakin tenang menjalani hidup. Bersama rakan-rakan di NCSM, dia berkongsi pengalaman demi meningkatkan kesedaran pesakit dan juga masyarakat bagi melawan penyakit gerun tersebut.

"Ramai yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan bila mengetahui diri menderita kanser. Mereka bersedih dan menyerah kepada takdir semata-mata tanpa mahu berusaha. Bagi saya, kanser itu tidak membunuh, tapi ketakutan yang membunuh kita sebenarnya," katanya penuh yakin.

Lena menganggap kanser adalah rahmat yang diberi Tuhan hanya kepada insan terpilih sahaja. Penyakit itu katanya, mengajar tentang banyak perkara mengenai kehidupan yang hanya seketika cuma.

Jumaat, Jun 17, 2011

Bonjolan tanda kanser?

Soalan 2

Bonjolan tanda kanser?

Saya berumur 31 tahun dan mempunyai dua orang anak. Saya mempunyai kemusykilan yang sudah lama saya simpan dan malu untuk bertanya sebelum ini. Saya mempunyai bonjolan di bahagian bawah kedua belah ketiak saya. Dulu semasa saya masih anak dara saya ingat kan dia hanyalah lebihan lemak dan mungkin kerana saya mempunyai saiz payu dara yang agak besar. Tapi daripada dahulu saya memang malu untuk memakai kemeja-T atau baju yang berlengan sangat pendek kerana bonjolan lemak pada bawah ketiak saya itu akan nampak terkeluar.

Sehingga saya melahirkan anak yang pertama. Ibu saya perasan bonjolan itu dan bertanya kepada saya. Saya pun memang tak tahu kenapa saya ada bonjolan sebegitu dan rasa malu bila di ajukan soalan itu. Ibu saya mendesak saya supaya buat pemeriksaan kerana dia risau bonjolan itu adalah tanda-tanda kanser payu dara. Disebabkan rasa takut malu dan segan saya untuk berjumpa doktor saya memberi bermacam-macam alasan kepada ibu saya.


Doktor, bonjolan itu tidak pernah menyakitkan saya hingga semasa saya mengalami bengkak susu. Bonjolan itu turut saya mengeras dan menyakitkan seperti payu dara saya. Sekarang bonjolan itu kembali lembut seperti lemak biasa. Saya tertanya-tanya adakah bonjolan ini adalah tanda-tanda awal kanser payu dara seperti mana yang ibu saya fikirkan. Apakah yang saya lakukan?

* Yus, Dengkil


Jawapan:

Daripada sejarah dan simptom yang diceritakan, kemungkinan besar bonjolan yang dialami oleh Puan Yus disebabkan payu dara tambahan. Ia juga dikenali sebagai accessory breast atau polymastia. Sebanyak 0.4 hingga 6 peratus wanita mempunyai accessory breast ini. Besar kecilnya kelenjar payu dara tambahan ini pun bervariasi.

Adanya payu dara tambahan ini pada salah satu sisi ketiak ataupun kedua-dua belah ketiak. Kebiasaannya bonjolan (payu dara tambahan) akan lebih ketara semasa seseorang itu hamil atau menyusu anak. Ini disebabkan oleh rangsangan hormon.

Kadang-kadang bonjolan ini juga mempunyai areola (kulit berwarna gelap mengelilingi puting susu) dan juga puting susu. Maka tidak mustahil jika ia juga boleh mengeluarkan susu.

Wanita dengan kelainan seperti ini biasanya tidak selesa dengan kondisi tubuhnya. Munculnya kelenjar payu dara tambahan ini juga perlu berwaspada. Bonjolan yang tumbuh sebagai payu dara tambahan ini berkemungkinan berkembang menjadi tumor atau kanser yang tidak diingini.

Saya nasihatkan semoga Puan Yus berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Mungkin Puan Yus dinasihatkan untuk menjalani pembedahan pembuangan bonjolan ini jika ia merungsingkan dan juga untuk sebab kosmetik. Pada masa yang sama bonjolan tersebut dapat dikaji dengan lebih terperinci bagi mendapatkan diagnosis yang sebenar.

Rabu, Februari 16, 2011

Wanita bermadu mudah dijangkiti

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my


KUALA TERENGGANU - Wanita yang hidup bermadu lebih mudah terkena penyakit barah pangkal rahim atau kanser servik jika suami mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mengadakan hubungan kelamin.

Pakar Perubatan Keluarga dari Pejabat Kesihatan Daerah Marang, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, virus kanser servik pada kebiasaannya mudah berjangkit dan merebak melalui aktiviti bertukar-tukar pasangan.

Katanya, kanser servik banyak berlaku di Amerika Syarikat kerana amalan kerap bertukar pasangan, namun rakyat di negara ini juga tetap terdedah kepada penyakit itu.

"Mereka yang berpoligami perlu lebih berhati-hati kerana berisiko diancam kanser servik terutama kepada isteri yang dimadukan," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk Penyakit Pembunuh Senyap anjuran Unversiti Malaysia Terengganu di kampus universiti itu di sini semalam.