#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Hamil Luar Nikah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hamil Luar Nikah. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 15, 2011

Berazam sambung persekolahan lepas bersalin

BERANI mengambil keputusan untuk bercerai, tetapi apabila melibatkan soal anak, pasangan suami isteri yang bercerai pasti lepas tangan. Seperti nasib yang menimpa Kartini Kamaruddin (bukan nama sebenar) yang ditemui di Rumah Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Subang Jaya Selangor baru-baru ini.

Sementah usia 14 tahun, kini dia sarat mengandung. Malah sebenarnya sedang menunggu masa sahaja untuk melahirkan anak hasil hubungan luar nikah dengan seorang lelaki durjana bernama Hisyam Shamsuddin (bukan nama sebenar), 20.

Bagaimana boleh mengandung, jika tidak kerana satu hubungan seks?

Lebih parah, Kartini yang jahil agama tidak tahu pun bahawa hubungan seks dengan Hisham adalah salah. Kerana itu hubungan terlarang tersebut berlaku berulang-ulang kali.

Baik di rumah Hisham, di rumah kawan-kawan Hisham malah dalam kereta sekalipun, Kartini tidak pernah membantah dirinya diratah.

“Suka sama suka,” ujarnya pendek.

Bagaimana Kartini yang berasal dari kawasan perumahan Felda di selatan Perak itu tidak tahu bahawa seks di luar nikah adalah zina? Adalah satu dosa? Dan satu kebejatan sosial yang stigma buruk dilemparkan oleh masyarakat tidak akan pernah berubah terhadap si pelaku itu?

Dia tidak tahu semua itu kerana tidak pernah diajarkan begitu.

Tidak diajar? Apakah yang boleh kita harapkan untuk memastikan dia tahu segala-galanya? Sedangkan selama ini dia tidak pernah mendapat bimbingan, didikan dan sentuhan kasih sayang daripada si ayah apatah lagi si ibu.

Mereka dengan ego masing-masing hanya tahu mencari hala dan jalan masing-masing selepas bercerai di saat Kartini berusia dua tahun.

Sayu hati mengenangkan sehingga kini Kartini tidak pernah menatap wajah orang tuanya sendiri. Entahkan masih hidup atau sudah mati sejak berlaku detik perceraian yang sangat hitam itu.

“Sejak ditinggalkan mak dan ayah, neneklah yang menjaga saya. Sejak itu jugalah langsung tiada khabar berita mengenai mak dan ayah, jauh sekali untuk menjenguk saya dan nenek sehinggalah ke hari ini,” ujarnya.

Kartini mengakui bahawa dengan nenek, makan minum pakainya terjaga dan mencukupi. Begitu juga dengan kasih sayang tetapi tidak lebih dari itu.

Walaupun bersekolah di sebuah sekolah menengah di kampungnya tetapi jauh daripada mendapat didikan yang sempurna, mempunyai kawalan kendiri dan mengerti soal maruah dan harga diri yang sepatutnya diterima daripada ibu bapa.

Kartini menerima huluran tangan Hisyam yang muncul di saat dia seorang diri.

Atau lebih tepatnya, hasil lepak-lepak di tepi jalan, siapa juga pemuda yang datang menegur, Kartini tidak ada masalah membalas.

Tanpa menyedari niat sebenar lagi kotor yang bersalut di hati pemuda yang berkerja di sebuah kilang membuat kereta di utara Selangor itu, Kartini senang menghabiskan masa senggang bersamanya.

Hampir setiap petang Kartini akan menyelinap keluar dari rumah semata-mata untuk menemani Hisyam yang akan mengajaknya berjalan-jalan ke mana sahaja.

Dengan sikapnya yang rela memenuhi segala permintaan Kartini untuk dibelikan itu dan ini menyebabkan hati remaja ini semakin tertambat kepada Hisyam, yang dianggap satu kebaikan dan kemuliaan seorang lelaki yang sudi untuk membelikan apa sahaja.

Akhirnya, Kartini terjebak pada perangkap yang dipasang oleh Hisyam. Maka berlakulah perlakuan-perlakuan yang tidak senonoh lagi sumbang dan menjijikkan tanpa dibantah sedikit pun oleh Kartini.

“Tidak sampai sebulan pun sejak kami mula berkenalan,” ujarnya berterus terang.

Membenarkan dirinya disentuh malah Kartini mengakui Hisyam melayaninya umpama puteri hingga menyebabkan dirinya dinodai bukanlah sesuatu yang perlu ditangisi.

Setelah dirinya hamil pun, Kartini masih lagi naif dengan nasib yang menimpa diri.

Tambahan pula kehamilan itu tidak pernah bocor kepada pengetahuan sesiapa, baik rakan-rakan, guru-guru di sekolah sehinggalah kepada neneknya sendiri.

“Nenek hanya tegur apabila badan saya semakin naik itu sahaja,” katanya.

Malah sehingga kandungannya memasuki lima ke enam bulan, Kartini seperti biasa ke sekolah kerana kandungannnya masih tidak nampak hingga boleh menimbulkan rasa curiga pada orang lain.

Sehinggalah salah seorang ibu saudaranya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mendapati perut Kartini semakin membusung tinggi. Ketika itu ia sudah tidak dapat dirahsiakan lagi.

Supaya bau tembelang yang pecah tidak busuk sekampung, Kartini perlu segera diselamatkan, sekurang-kurangnya supaya maruah keluarga (masih) terpelihara.

“Sebenarnya saya ada menghubungi Hisyam, memberitahunya yang saya tidak lagi datang bulan dan syak saya mengandung. Dia terus berjanji untuk mencarikan ubat yang boleh membuatkan saya datang bulan.

“Saya pun tunggu, tetapi lama kelamaan dia senyap. Tidak lagi datang mencari saya sehinggalah saya akhirnya dapat bercakap dengannya, tiba-tiba Hisyam mengaku bahawa dia sebenarnya sudah bertunang.

“Saya pun terdiam, tidak tahu hendak kata apa. Saya cuba hubungi dia lagi. Puas saya mendail nombor telefon bimbitnya dan akhirnya entah lelaki mana yang jawab!" ujarnya lemah.

Sehinggalah si ibu saudara menemui maklumat mengenai Baitul Fiqh ini, melalui sebuah majalah wanita, lalu Kartini pun segera di hantar ke sini!

“Bila masuk di sini, barulah buat pertama kali saya dihantar ke hospital (untuk menjalani pemeriksaan ibu mengandung) dan mujurlah saya (dan kandungan yang sudah masuk tujuh bulan itu) dalam keadaan sihat sehingga hari ini,” ujarnya.

Di Baitul Fiqh, Kartini adalah antara penghuni termuda yang pernah menjalani ‘perlindungan’ sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 2006.

Namun Kartini kelihatan ceria dan cergas walaupun sesekali mengesat air mata kala bercerita dan berazam akan kembali sebagai Kartini yang baru - serba baru.

“Saya hendak sambung sekolah dan tidak mahu lagi jadi begini,” katanya.

Jumaat, Disember 10, 2010

Hamil usia muda

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/11/07


Persepsi salah, tekanan rakan antara punca remaja terlanjur

LAPORAN remaja hamil di luar nikah dan pembuangan bayi yang dikaitkan dengan salah laku itu, sudah terlalu kerap dipaparkan media. Silap jika ada yang beranggapan ia cuma kes terpencil kerana boleh berlaku kepada mereka di bandar mahu pun di ceruk desa. Bukan saja di Malaysia, malah statistik di seluruh dunia menunjukkan hampir 80 juta daripada 210 juta kehamilan, adalah kehamilan tidak dirancang.

Peningkatan mendadak kehamilan luar nikah kalangan remaja bukan setakat krisis sosial tetapi turut memberi kesan ekonomi. Buktinya, di Amerika Syarikat, krisis hamil di usia muda mengakibatkan kerugian RM21.3 bilion dari segi pulangan yang ditanggung pembayar cukai ia termasuk perbelanjaan dari segi bantuan umum, penjagaan kesihatan, pengurusan keluarga angkat dan sistem perundangan jenayah.

Di Malaysia sebagai sebuah negara membangun, kita tidak mampu menanggung kesan buruk akibat kehamilan di usia remaja. Masalah berhenti sekolah, tidak berkahwin dan cenderung mendapatkan bantuan kebajikan berbanding merujuk rakan sebaya. Anak luar nikah itu juga tidak terkecuali alami masalah akibat tahap kesihatan yang rendah, pembangunan kognitif yang perlahan dan masalah perilaku lebih serius berbanding rakan sebaya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif merangkap Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi, PrimaNora Medical Centre, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, berkata, peningkatan bilangan remaja hamil adalah disebabkan semakin ramai yang melakukan hubungan seks pada usia muda.

“Kaji selidik pada 1994 hingga 1996 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan 24 peratus daripada remaja berusia 13 hingga 19 tahun pernah melakukan hubungan seks. Paling nyata adalah tekanan dari rakan sebaya yang menarik mereka melakukan aktiviti seksual,” katanya pada majlis pelancaran kempen ‘Yes, I Can,’ baru-baru ini.


Kempen anjuran Majlis Kontrasepsi Asia Pasifik (APCOC), Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persekutuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) yang bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal Bayer Schering Pharma Malaysia. Ia bertujuan membantu menangani isu kehamilan tidak dirancang dan pembuangan bayi menerusi kesedaran dan pendidikan yang boleh diperoleh menerusi laman web www.yesican.com.my.

Menurut Dr Nor Ashikin, apa dikesali, reaksi biasa yang diberikan adalah ‘semua orang melakukannya.’

Ternyata desakan untuk melakukan seks ada di sekeliling mereka iaitu pengaruh rakan sekolah, lebih 20,000 babak seksual di televisyen termasuk iklan, drama bersiri dan program hiburan. Muzik juga secara tidak langsung merangsang seksual manusia dengan bertindak mengaktifkan melatonin, hormon dari kelenjar pineal dalam otak. Ia diaktifkan oleh kegelapan dan dimatikan oleh sinaran lampu dan juga kelenjar sama yang diprogram untuk mencetuskan perubahan akil baligh dan memberi kesan kepada kitaran reproduktif dan keinginan seks manusia.

Menurut Dr Nor Ashikin, kurang pengetahuan berkaitan pencegah kehamilan menyebabkan tanggapan masyarakat terhadap pendidikan seks masih lagi satu pantang larang dan tiada cara terbaik untuk menguruskan kehamilan itu menyebabkan ramai bayi baru lahir, dibuang.

“Apa yang menghairankan, kebanyakan yang menyelar usaha memperkenalkan pendidikan seks di negara ini sekadar berpegang kepada tanggapan bahawa pengetahuan itu memudaratkan. Sebaliknya kajian membuktikan kejahilan dan sifat ingin tahu yang tidak diselesaikan, itu yang memudaratkan, bukan pengetahuan,” katanya.

Info
Mitos dan fakta pil perancang

* Boleh menyebabkan barah (Ia pelindung kanser ovari dan kanser rahim)

* Menyebabkan kecacatan kelahiran (100 juta wanita mendapat manfaat darinya dan tiada bukti untuk dikaitkan dengan kecacatan kelahiran)

* Menjejaskan kesuburan (Tahap kesuburan mula merosot mengikut usia)

* Hanya untuk merancang keluarga (Ia turut mengurangkan sakit akibat ovulasi, senggugut dan simptom sebelum haid)