#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Bayi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bayi. Papar semua catatan

Sabtu, Januari 08, 2011

Dibuang kerana cacat?

Harian Metro - 8 Jan 2011

KLANG: Seorang bayi perempuan ditemui seorang lelaki dalam kotak di hadapan sebuah premis kosong di Taman Sentosa, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Muhamad Md Yusof berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati seorang bayi perempuan berusia lingkungan empat hingga lima bulan diletakkan dalam sebuah kotak. Katanya, bayi yang masih hidup itu lengkap berpakaian namun tiada sebarang dokumen pengenalan ditemui bersamanya. “Hasil pemeriksaan terhadap bayi berkenaan mendapati dia tidak mempunyai parut suntikan BCG serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Namun, kami percaya bayi itu mengalami masalah kesihatan kerana kepalanya didapati berair,” katanya. Bayi itu kini sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan susulan. “Polis akan membuat siasatan lanjut bagi mengesan ibu bapa bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rabu, Jun 30, 2010

Bayi menggigil

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
2010/06/30

SEREMBAN: “Pilunya hati saya apabila melihat keadaan bayi menggigil kesejukan, terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas kertas surat khabar,” kata Maideen Machapu, 42, pemandu lori syarikat kontraktor pemungut sampah yang menemui seorang bayi lelaki, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi lelaki dipercayai baru lahir dan masih hidup ditemui terbaring atas tong sampah di ruang membuang sampah rumah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.

Bayi malang berpakaian lengkap itu dikatakan hampir terjatuh sebelum diangkat beberapa jiran berdekatan yang turut tersentak menyaksikan kejadian terbabit.
Maideen berkata, dia berada dalam lori dan terkejut apabila dimaklumkan Bed Prasad Sharu, 23, mengenai penemuan berkenaan.

“Saya turun dari lori untuk memeriksa dan mendapati bayi lelaki cukup sifat itu terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas surat khabar tanpa sebarang nota atau objek lain.

“Saya seperti mahu menangis melihat bayi yang memakai baju, seluar, sarung tangan dan kaki menggigil teruk walaupun ketika itu tidak hujan,” katanya.

Menurut Maideen, dia segera memaklumkan kepada pemilik rumah berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Saya bersyukur kerana bayi malang yang dianggarkan seberat dua kilogram (kg) itu masih bernyawa dan amat kesal dengan tindakan kejam ibu bapanya yang sanggup membuangnya begitu.

“Mujur bayi itu tidak dibuang di rumah kosong kerana sampah di premis berkenaan kebiasaannya tidak dikutip dan saya tidak dapat bayangkan apa terjadi kepada bayi terbabit,” katanya.

Pemilik rumah berkenaan, Ng Ah Moy, 68, berkata, dia sedang berehat, terkejut apabila terdengar teriakan seseorang dari luar rumahnya.

“Sejurus keluar, saya dimaklumkan penemuan itu dan melihat jiran berdekatan sedang mendukung bayi malang terbabit sebelum sepasukan anggota polis tiba.

“Selain terkejut, saya yang menetap di sini sejak empat tahun lalu bersama anak dan menantu, sedih dengan kejadian ini. Kejam sungguh mereka yang tergamak membuang bayi tidak berdosa itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menahan wanita warga asing berusia 20-an di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Penahanan dilakukan hasil penelitian rakaman CCTV rumah berdekatan lokasi bayi itu dibuang,” katanya.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir.

Buang atas daun pisang

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/06/30

RAWANG: Malang sungguh nasib seorang bayi lelaki yang baru beberapa jam dilahirkan apabila ditinggalkan dalam keadaan bogel dengan hanya beralaskan daun pisang oleh ibu kandungnya sendiri di belakang sebuah rumah di Jalan Mawar 6, Taman Mawar, Rawang di sini, pagi semalam.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan remaja berusia 18 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai kain di bandar ini bagaimanapun menjerat dirinya sendiri apabila dia ditahan polis selepas seorang penduduk membuat laporan mengenai penemuan bayi berkenaan yang masih bertali pusat sejam selepas bayi itu ditinggalkan di belakang rumahnya, kira-kira jam 10 pagi.

Ketika ditahan, remaja berkenaan berada dalam keadaan lemah dan letih dipercayai kerana baru melahirkan anak dalam sebuah bilik di rumah ibu saudaranya di kawasan sama.

Difahamkan, remaja terbabit menumpang di rumah ibu saudaranya di sini selepas dia didapati mengandung hasil hubungan seks dengan teman lelakinya yang dikenali sejak Oktober tahun lalu dan sepanjang perkenalan itu, mereka dikatakan sudah dua kali melakukan persetubuhan haram.

Bagaimanapun, sejurus mengetahui remaja itu mengandung, teman lelakinya yang selama ini dikatakan hanya mengambil kesempatan selepas menabur janji dan ungkapan cinta, menghilangkan diri.

Difahamkan, teman lelakinya enggan bertanggungjawab menyebabkan kehidupan remaja terbabit terumbang-ambing sebelum dia mengambil keputusan menumpang di rumah ibu saudaranya.

Remaja dari Taman Puchong Permai, Puchong, dekat sini itu terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya untuk mengelak jiran mengetahui dia mengandung.

Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui seorang penduduk selepas dia mendengar tangisan ketika melalui kawasan berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan laporan itu, anggota Unit Peronda Polis (MPV) Rawang bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi terbabit masih hidup dan cukup sifat.

“Hasil siasatan dan beberapa maklumat yang diperoleh, polis menahan seorang remaja berusia 18 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi terbabit kira-kira jam 11 pagi.

“Suspek ditahan di rumah ibu saudaranya yang berusia 40-an,” katanya.
Menurutnya, ketika ditemui bayi malang itu dalam keadaan sihat dan tidak ada kesan lebam atau luka di badannya kecuali hanya sedikit kesan gigitan serangga.

“Kami percaya bayi itu hasil hubungan terlarang suspek bersama teman lelakinya yang dilahirkan di rumah saudaranya itu dan polis tidak menolak kemungkinan ada individu lain membantu membuang bayi terbabit.

“Polis akan mengambil keterangan ibu saudara suspek yang berkemungkinan besar bersubahat dalam kes pembuangan bayi itu dan gerakan mengesan teman lelakinya dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, manakala bayi dan suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan susulan berikutan bimbang terdapat kecederaan dalaman pada bayi terbabit.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan remaja terbabit kurang bergaul dengan penduduk di kawasan itu dan beberapa jiran memaklumkan mereka pernah ternampak suspek, namun tidak mengetahui yang dia mengandung hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.

Isnin, Mei 31, 2010

Bayi jadi sasaran

SEORANG wanita yang dituduh mencuri telefon bimbit mengamuk dengan mencampakkan bayinya sebelum memijak kanak-kanak itu.

Pertengkaran menjadi serius dan polis terpaksa dipanggil.

Apabila seorang anggota keluarga pelajar itu turut campur tangan dengan menolak wanita itu, dia melakukan tindakan mengejutkan dengan mencampakkan bayi yang didukungnya dan memijak-mijak kanak-kanak itu sambil menjerit membantah tuduhan pelajar berkenaan.

Bagaimanapun, bayi berkenaan terselamat dan wanita itu ditahan oleh polis untuk siasatan lanjut.

Harian Metro
Berita Utama
2010/05/30

Selasa, Mac 16, 2010

Benih cinta yang tidak dihargai


ARKIB : 15/03/2010
Utusan Malaysia
Tangisan seorang bayi yang baru menjenguk dunia pasti mengundang air mata ibu yang melahirkannya. Kesakitan serta-merta hilang diganti dengan rasa syukur dan bangga bergelar ibu.

Suara bayi yang dikandung sembilan bulan sembilan hari itu juga bakal mencorak kebahagiaan rumah tangga ibu dan bapanya. Namun sayang sekali, kini tangisan kelahiran itu tidak lagi menjadi pengubat dan penawar buat sesetengah ibu.

Malah ada ibu yang sanggup melenyapkan tangisan pertama zuriat yang dia lahirkan hanya kerana seorang lelaki. Lalu tubuh kecil comel tidak bernyawa itu dibuang sesuka hati bagaikan sampah sarap yang sudah tidak berguna lagi.

Di mana harga kasih seorang ibu? Di mana letaknya nilai kemanusiaan fitrah wanita yang Allah SAW kurniakan kepada kaum Hawa?

Bermula dengan Oktober tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah mati akibat didera, dirogol dan diliwat oleh teman lelaki ibunya seorang warga Sudan. Kejadian itu berlaku di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur.

Dua minggu lalu, sekali lagi masyarakat dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang kanak-kanak, Syafiah Humairah Sahari, 3, meninggal dunia kerana didera teman lelaki ibunya.

Saya pasti ramai yang menitiskan air mata kala menatap seraut wajah Syafiah yang bagaikan tidur nyenyak ketika jenazahnya dikafankan.

Ibarat sekuntum bunga yang cantik dan semerbak harumnya begitulah wajah manis anak tidak berdosa itu yang kematiannya menjadikan ramai ibu-ibu tidak lelap mata kerana simpati dan sedih yang amat sangat termasuk juga saya.

Pada 1 Mac, seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput di dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di Segamat.

Wanita itu dipercayai membuang bayi yang dilahirkannya di dalam bungkusan plastik lalu ditinggalkan dalam tandas wanita pusat latihan memandu itu sebelum ditemui seorang kakitangan pusat latihan di situ.

Sedihnya kerana mayat bayi malang itu ditemui kira-kira dua hingga lima hari selepas dibuang. Wanita yang dipercayai ibunya ditahan kurang 24 jam selepas mayatnya ditemui. Bayangkan! Itukah nilai kasih sayang seorang ibu?

Kisah sedih lagi menyayat hati ini adalah antara sebahagian lakonan hidup manusia yang semakin keliru dengan kehidupan mereka. Bukan satu atau dua tetapi telah banyak kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak berlaku. Semuanya mendukacita dan memalukan.

Dan saya pasti kejadian ini akan berterusan entah sampai bila selagi kita sebagai manusia dan ahli masyarakat tidak insaf dan mengambil iktibar akan segala kejadian yang berlaku.
Ke mana hilangnya status institusi keluarga kita yang satu ketika bagaikan keluargaku syurgaku?

Apakah kerana cinta dihalang atau memang kerana rakusnya nafsu manusia fenomena ini bermaharajalela tanpa belas kasihan?

Tidak dinafikan masalah rumah tangga dan keluarga menjadi salah satu punca berlakunya kes pembunuhan serta pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara ini.

Nyata institusi keluarga kita semakin goyah. Kasih sayang antara ahli keluarga semakin pupus, ibu bapa bersikap lepas tangan lalu kehidupan berkeluarga sekarang menjadi ibarat masing-masing perahu masing-masing kayuh. Sampai atau tidak ke daratan, sendiri yang jawab.

Remaja atau wanita yang sudah berstatus ibu tunggal atau yang belum berkahwin kerap terjebak dengan cinta tiada noktah ini. Cinta datang dan pergi setelah nafsu disempurnakan.

Pengalaman bertemu penghuni beberapa buah rumah pemulihan dan perlindungan menjadikan saya percaya bahawa kebanyakan kes hubungan terlarang yang membawa kepada perkara terkutuk ini berpunca daripada kejujuran dan kesetiaan tidak bertempat kaum wanita terhadap pasangan mereka.

Terlalu daif tentang agama, percayakan kekasih, ingin mencuba seks, dirogol, pengaruh kawan-kawan yang negatif dan suka sama suka menjadi kata kunci berlakunya perbuatan keji yang menjadikan kaum wanita ini sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan cinta kasih kepada pasangan mereka.

Cinta juga meletakkan kebanyakan ibu tunggal yang kesepian berada dalam keadaan keliru untuk mendahulukan anak kandung atau kekasih hati.

Kerana cinta semuanya dituruti. Apabila nafsu mengatasi keimanan maka syaitan akan berada di tengah-tengah. Kerana cinta juga mereka sanggup melihat anak sendiri diseksa dan dianiaya sedangkan itu darah daging yang menjadi bukti benih cinta terdahulu.

Kematian Syafiah Humairah memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mengabaikan sebarang kes penderaan sebaliknya lebih membuka mata dan telinga untuk melaporkan sebarang rasa curiga terhadap individu yang dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak. Jangan apabila sudah berlaku semua mahu membuka mulut dan bercerita.

Kepada wanita dan ibu tunggal yang sedang mencari cinta baru, hati-hatilah. Cinta bukan segala-galanya, tolonglah jangan tinggalkan anak-anak anda bersama teman lelaki jika tidak mahu melihat hidup mereka musnah dek cinta anda yang belum diketahui nokhtahnya.

Sanggupkah anda melihat ini semua berterusan? Jika tidak, ayuh kita sedarkan masyarakat supaya bangkit melindungi kanak-kanak dan jangan bersikap sambil lewa. Biarlah dianggap menjaga tepi kain orang asalkan satu nyawa dapat diselamatkan.

Buat ibu bapa, luangkan masa berkualiti dengan anak-anak, pupuk dan berilah kasih sayang kepada ahli keluarga anda kerana ia satu keperluan dan tanggungjawab.

Jangan apabila terjadi seperti Safiah Humairah atau Aaliyah baru kita tersentak. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi kerana nasi sudah menjadi bubur.
Aduhai Syafiah Humairah Sahari, bersemadilah dengan tenang di alam baqa. Di situlah tempat paling aman dan bahagia buat seorang anak yang suci bersih sepertimu. Al-fatihah!
Salam.

Ahad, November 29, 2009

Bayi luar nikah mati didera

KANGAR: Sepasang kekasih yang bersekedudukan sehingga melahirkan seorang anak luar nikah ditahan selepas dipercayai mendera sehingga mati bayi berusia setahun 10 bulan itu, di sini, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku selepas pasangan kekasih berusia 23 tahun itu membawa bayi perempuan berkenaan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Khamis lalu untuk mendapatkan rawatan disebabkan demam.

Menurut sumber, bayi yang kemudian dimasukkan ke wad HTF meninggal dunia pada malam hari itu.

Sumber itu berkata, pemeriksaan doktor mendapati berlaku pendarahan dalaman, termasuk usus bayi pecah selain ada kesan lebam di kepala dan badan, dipercayai akibat didera.

Kata sumber itu, pasangan kekasih dari Kampung Repoh, dekat sini, itu bersekedudukan sekian lama hingga melahirkan seorang bayi perempuan.

Sabtu, September 05, 2009

Bekas khas kutip bayi dibuang


SEORANG sukarelawan wanita mendukung seorang bayi yang dibuang di Johannesburg.


JOHANNESBURG - Sebuah rumah kebajikan di sini, Afrika Selatan mempunyai cara tersendiri bagi mengambil bayi yang dibuang oleh ibu bapa yang menghadapi kesan krisis ekonomi, lapor sebuah akhbar semalam.

Lubang yang diperbuat daripada logam itu dikenali sebagai Baby Bin memberi harapan baru kepada keluarga miskin yang berhubung nasib masa depan bayi mereka.

Pengurus pertubuhan kebajikan yang dikenali sebagai Door of Hope, Kate Allen, 34, yang mengurus Baby Bin berkata: "Adalah mengejutkan apabila melihat kesan kemelesetan ekonomi. Terdapat terlalu sedikit golongan kaya yang menawarkan kerja kepada penduduk miskin Afrika Selatan."

Bilangan bayi dibuang di Afrika Selatan kini meningkat daripada lima orang sebulan pada tiga tahun lalu kepada 15 orang setiap bulan.

Kebanyakan bayi itu tidak cukup zat makanan dan dibuang pada waktu malam. - Agensi

Selasa, Julai 28, 2009

Bayi ditinggal ibu tanpa sijil lahir

KUALA LUMPUR: “Saya tidak anggap ia sebagai beban, malah bagi saya ia adalah rezeki daripada Allah,” kata Yusmanti Jusoh, 36, yang kini menjaga bayi berusia tiga bulan yang diberi nama Mohammad Ammar.

Bayi itu ditinggalkan ibunya berusia 40-an, yang datang ke rumah Yusmanti kerana mencari orang menjaga bayinya kerana dia menyatakan hendak bekerja selepas pantang.

“Saya dan keluarga ketika itu sedang berehat di hadapan rumah, lalu didatangi seorang wanita yang bertanya di mana boleh dia mendapatkan orang untuk menjaga bayinya kerana dia menyatakan hendak bekerja selepas pantang.“Lalu saya bersetuju mengasuh bayi itu dan wanita terbabit berjanji akan membayar upah RM400 sebulan,” katanya.

Dia yang tidak dikurniakan cahaya mata, bagaimanapun menganggap bayi itu seperti anak sendiri walaupun sehingga kini wanita yang menyerahkan bayi terbabit tidak pernah muncul sejak April lalu.

Menurutnya, apabila dia bertanya mengenai sijil kelahiran bayi itu, wanita terbabit berjanji akan memberikan kepadanya pada keesokan hari, namun sehingga kini wanita itu tidak pernah muncul apatah lagi bertanya khabar anaknya.

“Nama sebenar bayi itu juga tidak kami ketahui dan akhirnya kami sekeluarga memutuskan untuk memanggilnya dengan nama Mohammad Ammar.

“Ammar sudah saya sayang dan dijaga seperti anak sendiri, saya tidak mahu orang lain menganggap yang bukan-bukan mengenainya,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Sazalan Abdul Ghani, 36, berkata dia berharap wanita terbabit dapat tampil dan memberikan sijil kelahiran Ammar.

“Jika dia tidak mahu lagi menjaga Ammar, kami bersedia mendidik dan menjaganya, tetapi apa yang penting adalah mengenai sijil kelahiran Ammar,” katanya yang datang ke Balai Berita di sini, semalam.Mereka yang mempunyai maklumat mengenai ibu bayi itu boleh menghubungi Sazalan di talian 019-9569662.