#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Pesona. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pesona. Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 22, 2010

Placenta praevia boleh ragut nyawa




PENDARAHAN ketika hamil merupakan antara perkara yang ditakuti kaum ibu mengandung kerana ia berisiko menyebabkan keguguran jika tidak disusuli dengan rawatan segera.

Pendarahan boleh berlaku di bahagian luar faraj iaitu pada vulva atau pangkal rahim. Ia boleh terjadi kerana komplikasi kehamilan atau keadaan plasenta yang tidak normal iaitu kedudukannya berhampiran atau betul-betul di atas serviks yang dipanggil placenta praevia.

Umum mengetahui, plasenta merupakan organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim. Ia berfungsi membekalkan makanan termasuk oksigen daripada ibu kepada janin dan mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu.

Namun, kedudukan plasenta yang songsang daripada kedudukan normal boleh mengakibatkan pendarahan yang serius.

Pakar Ginekologi dan Obstetrik, Hospital Pantai Ampang, Dr. Sudha Kumari memberitahu, terdapat empat jenis placenta praevia iaitu lateral, marginal, partial dan central.




“Plasenta praevia lateral merujuk kepada kedudukan plasenta yang cenderung jaraknya lima sentimeter atau lebih daripada serviks manakala kedudukan marginal pula menunjukkan plasenta berada betul-betul di margin serviks.

“Placenta praevia partial pula menunjukkan keadaan plasenta menutupi sebahagian serviks, manakala penutupan serviks sepenuhnya pula dipanggil central iaitu kedudukan plasenta betul-betul di atas serviks. Dalam keempat-empat kes, keadaan central ini paling merbahaya,” katanya.

Tambah Sudha, keadaan tersebut berlaku selepas tempoh 24 minggu kehamilan dan ia disebabkan beberapa perkara iaitu parut ketika proses kelahiran atau pembedahan, kekerapan bersalin dan infeksi.

“Keadaan ini akan menjadi punca plasenta akan terus melekat di situ dan tidak bergerak. Pada awal tempoh kehamilan, plasenta berada di mana-mana dalam rahim kerana pada masa itu saiz bayi terlalu kecil, namun apabila tempoh kehamilan bertambah ia (plasenta) berubah tempat ke bahagian atas rahim.

“Kedudukan plasenta yang tidak berubah dipanggil placenta praevia. Sebenarnya, plasenta tidak bergerak tetapi uterus membesar dan mengembang, oleh itu ia secara automatik akan naik ke atas,” ujarnya.

Ia akan terjadi selepas 24 minggu tempoh kehamilan kerana dalam tempoh tersebut plasenta akan berada di kedudukan atas.

Menurut Sudha, walaupun plasenta berada di bawah pada kehamilan minggu ke-24, kebarangkalian ia berpindah ke atas tetap ada dan ia memerlukan pemantauan kandungan dengan kerap.


WANITA yang mengalami placenta praevia terpaksa melahirkan anak melalui kaedah caesarean.

“Biasanya jika kedudukan plasenta dalam keadaan lateral dan marginal pada minggu ke-26 kehamilan, ada kemungkinan plasenta akan naik tetapi jika plasenta dalam keadaan central dan partial, kemungkinan besar ia tidak akan naik kerana kedudukannya betul-betul di atas serviks.

“Kerana itu, seseorang ibu perlu menjalani rawatan susulan dengan doktor. Selepas minggu ke-34 kita akan dapat tahu sama ada plasenta akan naik atau tidak,” katanya.

Siapa yang berisiko mendapat placenta praevia?

Mereka yang berisiko tinggi mendapat placenta praevia adalah dalam kalangan wanita yang pernah mengalami placenta praevia pada kehamilan sebelumnya.

Selain itu katanya, kekerapan bersalin setiap tahun, kelahiran anak kembar, pernah menjalani pembedahan caesarean dan fibroid, malah ada yang berpendapat wanita yang mengambil kokain dan merokok juga mempunyai risiko yang sama.

“Apabila umur meningkat risiko juga akan meningkat. Umur yang berisiko ialah wanita berusia bawah 20 tahun dan melebihi 35 tahun. Umur yang paling selamat ialah 20 hingga 30 tahun. Risiko wanita untuk mendapat placenta praevia adalah satu dalam 200 kehamilan.


BEGINILAH kedudukan plasenta yang normal iaitu di atas rahim bukan di kedudukan berhampiran serviks seperti gambarajah sebelah.

“Seseorang yang didiagnos mengalami placenta praevia apabila berlaku pendarahan pada minggu ke-24 kehamilan. Oleh itu, doktor perlu buat ujian ultra bunyi bagi memastikan kedudukan plasenta,” jelasnya.

Wanita yang dikesan mengalami placenta praevia dinasihatkan untuk berehat, tidak membuat kerja-kerja berat, tidak bersenam, tidak mengadakan pemeriksaan vagina dan tidak melakukan hubungan seks sepanjang tempoh kehamilan kerana ia boleh menyebabkan pendarahan.

Sudha memberitahu, wanita yang mengalami placenta praevia central dalam minggu ke-34 kehamilan akan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan.

“Jika tiada sebarang pendarahan, mereka boleh berehat di rumah dengan syarat, jarak rumah mereka dekat dengan hospital dan mempunyai pengetahuan mengenai keadaan kehamilannya bagi mengelakkan risiko ke atas ibu dan anak.

“Segera berjumpa dengan doktor jika berlaku sebarang pendarahan tanpa rasa sakit. Buat permulaan, pendarahan kali pertama akan keluar sikit dan akan berhenti seketika sebelum berlaku pendarahan yang banyak,” katanya.

Tambahnya lagi, jika berlaku sedikit pendarahan dalam tempoh kehamilan masuk minggu ke-34, pihak hospital akan menunggu sehingga cukup bulan, tetapi jika si ibu mengalami pendarahan yang banyak, bayi perlu dikeluarkan segera demi kebaikan ibu dan anak.


SUDHA menunjukkan kedudukan plasenta yang betul iaitu berada di atas bahagian rahim.

“Jika berlaku pendarahan yang banyak, jantung bayi akan jatuh dan bayi perlu dikeluarkan segera jika tidak, bayi akan mati di dalam kandungan.

“Ibu yang mengalami placenta praevia tidak boleh melahirkan bayi secara normal dan perlu menjalani pembedahan caesarean. Bukan itu sahaja, ia memerlukan doktor yang berpengalaman luas mengendalikan kes placenta praevia serta kakitangan hospital yang terlatih. Jika tidak keadaan itu mengundang risiko kematian,” jelasnya.

Ujar beliau, dalam keadaan pendarahan yang banyak, seboleh-bolehnya, doktor mahu menyelamatkan nyawa kedua-dua ibu dan bayi tetapi keutamaan diberikan kepada ibu.

Jumaat, Mei 21, 2010

Tanda lelaki tidak mahu komitmen

LELAKI yang suka mencari kesalahan pasangannya jelas tidak mahukan komitmen. - Gambar hiasan.
- -------------------------------------------------------------------------------

KOMITMEN merupakan satu perkara penting dalam sesuatu perhubungan, sama ada sebelum perkahwinan apatah lagi semasa melayari tempoh perkahwinan.

Ada ketikanya, komitmen masih perlu selepas berlakunya pembubaran perkahwinan terutamanya bagi perkara yang berkaitan dengan kemaslahatan dan kebajikan anak-anak.

Namun, masalah yang sering berlaku ialah kesukaran bagi seorang gadis (bagi yang belum berkahwin), isteri atau bekas isteri menentukan sama ada pasangannya atau bekas pasangannya itu memberikan komitmen yang sewajarnya atau sebaliknya.

Menurut Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, terdapat enam tanda utama seseorang itu enggan memberikan komitmen iaitu suka mengelak, memberi alasan, mencari salah pasangan, tidak memberikan kerjasama, sukar dihubungi dan tiada komunikasi.

1. Suka mengelak

Jika pasangan anda suka mengelak, sama ada daripada memperkatakan tentang hubungan, tentang hala tuju perkahwinan atau tentang apa jua perkara yang berkaitan dengan perhubungan tersebut, itu tandanya dia tidak berminat lagi untuk meneruskan komitmen terhadap hubungan tersebut.

Mengelak boleh berlaku dalam banyak keadaan. Selain tidak berterus terang, seseorang yang mahu mengelak juga akan mencari jalan agar membincangkan perkara lain yang tidak berkaitan dengan soal perhubungan atau menukar tajuk perbincangan tentang hubungan anda yang telah anda mulakan malah dia juga boleh mendiamkan diri.

2. Memberi alasan

Individu yang tidak mahu memberikan komitmen sebaliknya mudah memberi alasan apabila diajukan persoalan atau perbincangan mengenai hubungan bersamanya.

Sebagai contoh, jika anda merancang untuk berkahwin, si dia akan memberi alasan demi alasan untuk tidak mengusahakan rancangan perkahwinan anda itu. Sekiranya anda telah berkahwin pula dan si dia berusaha memberikan pelbagai alasan untuk tidak meluangkan masa bersama anda.

3. Mencari salah pasangan

Ada ketikanya pula, individu yang enggan berikan komitmen akan sengaja mencari malah mereka-reka salah pasangan.

Mereka akan bersikap agresif, menyalahkan pasangan walau hanya atas alasan yang remeh dan dalam sesetengah keadaan akan memanipulasi keadaan persekitaran hingga mewujudkan rasa bersalah yang tinggi kepada pasangan. Pengakuan bersalah pasangan pula akan menjadi batu loncatan buat mereka bagi menamatkan perhubungan.

4. Tidak berikan kerjasama

Individu yang tidak mahukan komitmen juga akan bersikap tidak bekerjasama. Mereka mungkin mengaku akan melakukan sesuatu yang dihajati oleh pasangan tetapi akhirnya pengakuan hanya tinggal pengakuan dan hajat pasangan akan dibiarkan tanpa sebarang pelaksanaan.

Individu ini juga akan bersikap tidak peduli dengan kehendak pasangan, biar dipujuk atau dirayu, mereka akan membatukan diri, bersikap selamba malah bersikap memekakkan telinga.

5. Sukar dihubungi

Individu yang tidak mahukan komitmen juga sukar untuk dihubungi. Selalunya mereka akan bersikap mendiamkan diri, tidak akan menghubungi anda kecuali dihubungi dan ada ketikanya tidak melayani panggilan anda.

Dalam perkahwinan pula, mereka akan bersikap menyendiri dan membiarkan pasangan bercakap sendiri.

6. Tiada komunikasi

Mereka yang tidak mahukan komitmen juga bersikap menafikan sebarang bentuk komunikasi dengan anda. Komunikasi bukan saja wujud dalam perbualan sebaliknya juga melalui bahasa tubuh iaitu sikap, perlakuan malah mimik muka.

Penampilan wajah yang tidak ceria atau masam ketika bersama pasangan, tanpa apa-apa penjelasan atau alasan yang wajar menjadi tanda dia tidak mahukan komitmen bersama anda.

Jumaat, September 04, 2009

10 tip menjadi pasangan yang baik


* Rujukan: \www.sekolahorangtua.com\
www.f-buzz.com


KURANG berkomunikasi, cemburu dan sikap tidak peduli menjadi antara sebab utama pasangan sering bertelingkah dan bermasam muka.

Sudah tentu kebahagiaan tanpa sebarang pertelingkahan yang serius diidamkan setiap pasangan dan perpisahan adalah sesuatu yang patut dielakkan.

Kadangkala individu tidak mempedulikan kekurangan diri dan tidak berusaha untuk mengubah diri demi memenuhi kepentingan perhubungan dan percintaan.

Tidak perlu menyalahkan pasangan jika berlaku sebarang salah faham. Sebaliknya, cuba perbaiki diri agar tidak menyumbang kepada pertelagahan.

Minggu ini, Pesona berkongsi 10 tip bagaimana menjadi pasangan yang baik sekali gus memperbaiki hubungan rumah tangga atau percintaan.

1)Terima seadanya: Jangan cuba untuk mengubah pasangan mengikut kemahuan anda. Ingat, pasangan yang anda kahwini atau cintai itu adalah pilihan anda sendiri. Jangan terlalu dambakan kesempurnaan. Terima segala kekurangan kerana tiada manusia yang sempurna. Cuba fikirkan kebaikan pasangan daripada terus memikirkan kekurangan dan keburukannya.

2)Berkomunikasi secara terbuka: Jangan selalu membuat andaian mengenai perasaan pasangan anda. Adalah lebih baik mengajak pasangan untuk berbincang secara terbuka mengenai segala hal. Belajar untuk mengekspresi perasaan dengan cara terbaik supaya pasangan memahami anda ketika anda marah, terluka, tersinggung atau gembira. Ucaplah kata sayang sekerap yang mungkin walaupun kadangkala ia dianggap keterlaluan. Tetapi itulah yang mahu didengar oleh pasangan. Sikap mendiamkan diri adalah sesuatu yang patut dielakkan.

3)Aktiviti bersama: Aktiviti bersama mampu merapatkan perhubungan. Carilah sesuatu yang boleh dilakukan bersama. Misalnya, menonton video di rumah atau menonton wayang seperti waktu bercinta dahulu. Anda perlu berhati-hati jika anda lebih gemar untuk bersama rakan-rakan melebihi pasangan anda. Ini kerana itu adalah petanda yang tidak baik.

4)Tunjukkan cinta anda: Setelah berumah tangga, ramai yang kurang mengambil perhatian mengenai perihal hati pasangan. Ramai yang berkata 'sudah kahwin untuk apa romantik lagi'. Itu adalah tanggapan yang salah. Rasa cinta dan sayang tidak ada salahnya jika diluahkan dengan sejambak bunga buat isteri atau makan malam romantis untuk suami. Menunjukkan rasa cinta secara berterusan kepada pasangan adalah sesuatu yang mampu mengekalkan perhubungan pada tahap yang selesa.

5)Kawal perasaan: Apabila marah atau ada hal yang mengganggu anda, cubalah bertenang dan bertanya kepada pasangan. Elakkan tuduhan melulu dan meninggikan suara kerana ia hanya akan membawa kepada pergaduhan. Pasangan akan menghargai jika anda bertenang dalam menghadapi sebarang situasi.

6Jangan ungkit kisah lalu: Berhentilah mengungkit masa lalu yang negatif. Tidak ada sesiapa mahu mengingati kesilapan yang mungkin merupakan kenangan pahit atau memalukan. Jangan jadikan kesilapan lalu pasangan sebagai senjata setiap kali berlaku pertengkaran.

7)Kurangkan rasa cemburu: Setiap individu tidak boleh lari daripada pasangan cemburu. Namun, cemburu yang keterlaluan patut dielakkan kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan dan rasa tidak selesa pada diri sendiri. Hubungan cinta harus dibina atas dasar percaya kepada pasangan.

8)Jaga komitmen antara satu sama lain: Elakkan membuat janji yang tidak mampu dipenuhi. Jika berlaku, ia akan menyebabkan pasangan kurang menghormati kita. Menjaga kepercayaan merupakan komitmen dalam satu perhubungan yang sihat. Apabila pasangan merasakan anda mula mengabaikan komitmen, maka bersiap sedialah untuk kehilangannya.

9)Jujur: Jujur adalah perkara yang paling penting dalam perhubungan. Jangan sesekali menipu pasangan kerana ia adalah antara punca utama sebuah perpisahan. Kejujuran yang dimaksudkan adalah kejujuran untuk mengungkap perasaan kita terhadap pasangan. Jika terluka, katakan bahawa anda terluka. Katakanlah dengan tenang tanpa perlu meninggikan suara.

10)Beri layanan terbaik sepanjang hidup: Layanlah pasangan anda seperti sebelum berkahwin. Jika dahulu jalan berpimpinan tangan, pimpinlah tangan pasangan setelah berkahwin. Ramai pasangan cenderung untuk mengabaikan keakraban perhubungan selepas berkahwin kerana lebih tertumpu kepada keperluan keluarga atau anak-anak.

- JULIA ISMAIL

Sumber : KOSMO

Jumaat, Julai 17, 2009

Isyarat 'angkat kaki'

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

SUKAR bagi salah seorang pasangan kekasih melafazkan kata putus tanpa sebab yang munasabah. Lebih-lebih lagi, ikatan cinta yang dijalin itu sudah bertahun-tahun lamanya.
Takut sekiranya hati pasangan terguris akibat panahan kata-kata yang terkeluar dari mulut anda, maka anda mula melakukan pelbagai perkara yang menjadi isyarat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan.


Seandainya anda bijak dan mula menghidu tanda-tanda si dia ingin membebaskan dirinya daripada anda, apa yang perlu anda lakukan adalah bersiap sedia menghadapi saat keperitan itu. Isyarat itu juga boleh digunakan untuk 'merawat' hubungan daripada terus putus.

Perhatikan tanda-tanda yang si dia mula mencari punca pertengkaran sehingga menjadi alasan untuknya memutuskan ikatan cinta atau mencari pelbagai kesalahan untuk menyatakan bahawa anda tidak lagi serasi.

Berikut adalah lima isyarat utama yang menandakan si dia tidak lagi berminat untuk meneruskan hubungan cintanya walaupun anda sukar menerima kenyataan sebenar.

1 Sentiasa timbul masalah
CINTA sejati tidak bermakna anda harus akur dengan setiap kata-katanya pada setiap masa. Konflik yang berlaku secara kecil-kecilan sebenarnya baik untuk perhubungan.

Namun, jika pasangan menjadi sangat sensitif dengan masalah-masalah kecil, misalnya tentang pemilihan pakaian, tempat makan ataupun cara percakapan anda, mungkin itulah tanda-tanda awal bahawa si dia sedang mencari alasan untuk keluar daripada hubungan kamu berdua.

2 Kurang berhubung
SEBELUM ini, si dia tidak pernah gagal menelefon anda pada setiap saat semata-mata untuk bertanyakan khabar atau hanya ingin mengucapkan 'aku rindu kamu'. Tetapi kini, deringan telefon daripadanya tidak lagi kedengaran, bahkan tiga jam sekali barulah anda menerima mesej yang pendek daripadanya.

Jika si dia tidak lagi melakukan tindakan yang biasa dilakukannya sebelum ini, itu tandanya si dia sedang berusaha menjauhkan diri dari anda.

3 Penampilan tidak seperti biasa
DENGAN tiba-tiba, si dia mengubah cara penampilannya. Mungkin si dia ingin mencari sesuatu yang baru dalam hidupnya tetapi itu membuatkan anda tertanya-tanya apakah punca sebenar perubahan dirinya itu.

Jika si dia mengubah penampilan diri dengan melakukan satu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini, mungkin dia sedang berfikir untuk memutuskan hubungan kerana ada wanita lain dalam hidupnya.

4 Mengkritik
JIKA si dia tidak lagi mempunyai perasaan terhadap anda, jangan terkejut sekiranya dia kurang bertoleransi atau sentiasa mencari kesalahan diri anda. Daripada cara anda bergaul, makan sehinggalah bau minyak wangi, ada sahaja hal yang tidak kena. Si dia sentiasa mengkritik segala perkara yang anda lakukan. Itu sudah jelas menunjukkan bahawa si dia semakin kurang berminat untuk meneruskan hubungan cinta dengan anda lagi.

5 Hilang kemesraan
JIKA kemesraannya semakin luntur terhadap anda, kemungkinan besar si dia tidak lagi tertarik dengan anda atau sudah bosan dengan anda. Si dia juga akan mencari alasan untuk tidak mahu berjumpa anda. Cuba fikirkan cara lain untuk membuatkan si dia kembali bersemangat dengan cinta anda. Misalnya, melakukan perkara yang si dia minati bersama.

Besar kemungkinan, tanda-tanda ini tidak selalunya menunjukkan 'isyarat pasti' bahawa si dia ingin memutuskan hubungan. Namun, kadangkala kombinasi tanda-tanda inilah yang akan membuatkan si dia benar-benar ingin memutuskan hubungan cinta dengan anda. Untuk memastikannya, jangan panik dan bincang dari hati ke hati. Adakah hubungan ini masih boleh dipertahankan atau lebih baik berpisah? Sekiranya isyarat tersebut menunjukkan petanda bahawa hubungan boleh diperbaiki maka anda harus meneruskan perjuangan ke arah itu. Jangan putus asa.