#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Kemurungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemurungan. Papar semua catatan

Jumaat, September 04, 2009

Menangani kesedihan ditinggal suami

ARKIB : 31/08/2009
Sumber : Utusan Malaysia
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

peserta dikehendaki berbaring, diberi bantal dan selimut, sambil diiringi kata-kata daripada moderator serta diiringi alunan muzik instrumental untuk memberi ketenangan.


BERCERAI, ditinggalkan, berpisah dan teraniaya sama ada daripada aspek mental ataupun fizikal adalah antara beberapa terma yang amat digeruni wanita yang telah berkahwin.

Wanita yang berhadapan dengan situasi di atas lazimnya membiarkan diri terus tertekan, dihantui rasa takut dan bersalah yang bercampur baur dalam diri.

Tidak ramai daripada wanita yang ditinggalkan atau diceraikan mengetahui saluran yang betul untuk merujuk masalah mereka. Apabila perasaan negatif menyelubungi diri, pelbagai tindakan yang tidak masuk akal boleh terjadi.

Bagi wanita yang pernah berhadapan dengan situasi penceraian atau salah satu yang disebutkan di atas, jangan patah semangat kerana ada golongan ingin membantu.

Baru-baru ini bertempat di Pusat Konvensyen Swan, Pusat Perubatan Sunway, Selangor telah diadakan forum bertajuk 'Memperkasakan Wanita yang Ditinggal' yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Ch'ng Lin Ling serta Ketua Divisi Kesihatan Siemens Malaysia, Micheal Schmermer sebagai penaja forum.

Forum dua hari tersebut disertai oleh 30 wanita yang telah ditinggalkan. Forum yang lebih berbentuk kepada bengkel ini diketuai oleh Perunding Psikologi Klinikal Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan.

Beliau yang juga merupakan pensyarah psikologi di Monash University, Sunway, berkata, wanita yang hadir dalam bengkel ini datang dari pelbagai latar belakang dan sejarah hidup.

Meluahkan

"Dalam bengkel tersebut masing-masing akan meluahkan fasa kesedihan dan kesakitan yang telah mereka lalui dan saya akan memberikan panduan untuk mengatasinya.

"Bukan itu sahaja, mereka turut diberitahu cara-cara untuk mengatasi kesunyian setelah ditinggalkan pasangan masing-masing," jelasnya yang pernah memberi rundingan kepada lebih 5,000 individu yang berhadapan dengan masalah kekeluargaan.

Menurut Paul, paling penting bagi wanita yang berhadapan situasi sebegini ialah kekuatan yang datang dalam diri mereka sendiri.

Antara jenis rawatan yang boleh diberikan kepada mereka ialah stimulasi dan rangsangan yang dilakukan secara individu dan dalam kumpulan.

Ketika satu sesi meluahkan perasaan, ramai peserta yang menitiskan air mata. Mereka dikehendaki berbaring, diberi bantal dan selimut, sambil diiringi kata-kata daripada moderator serta alunan muzik instrumental dipasang untuk memberi ketenangan kepada peserta.

Mereka kemudiannya dikehendaki menggunakan satu perkataan bagi menggambarkan keadaan diri mereka ketika itu.

Peserta kemudiannya dikehendaki berbaris dalam dua barisan dan bergilir-gilir mengambil tempat sambil membacakan emosi yang tercatat pada sekeping kertas yang ditampal pada bahagian depan baju masing-masing.

Pada forum tersebut, penulis berkesempatan menemuramah tiga peserta yang sudi berkongsi kisah rumah tangga mereka dan perasaan setelah menyertai bengkel memperkasakan wanita yang ditinggalkan.

Pengakuan eksklusif:

MASRIAH Abdullah, 54, seorang pekerja di klinik swasta. Ibu kepada lima anak berusia antara 21 hingga 31 tahun ini mengikut suaminya yang melanjutkan pelajaran di England pada tahun 1993.

"Suami saya seorang yang panas baran. Sepanjang 19 tahun lamanya saya mengalami penganiayaan mental.

"Satu hari ketika dia hendak mengambil peperiksaan, suami telah menjatuhkan talak ke atas saya. Ketika itu saya merasakan pengorbanan saya sia-sia belaka, dia (suami) mendapat apa yang diingini, saya pula tidak berpeluang meneruskan cita-cita saya dalam bidang perubatan. Situasi tersebut benar-benar mengganggu fikiran dan emosi.

"Kekecewaan itu masih kekal hingga kini. Bagaimanapun dengan adanya bengkel seperti ini saya dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi dan sedikit demi sedikit mengawal rasa marah dan kecewa yang selama ini membelenggu diri," ujarnya.

SABRINA Low, 45, ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Berasal dan menetap di Kuala Lumpur. Menurut Sabrina, perkahwinan dia dan suami memang bahagia hinggalah ketika dia hampir melahirkan anak kedua.

"Perkahwinan saya menjangkau empat tahun namun ketika usia kandungan kedua memasuki lapan bulan, suami membuat pengakuan bahawa dia sudah mempunyai kekasih lain.

"Saya rasa seperti mahu mati. Dalam masa menunggu untuk bersalin saya tidak mampu menjamah apa-apa makanan pun hinggalah rakan saya membawa saya berjumpa dengan kaunselor. Saya akhirnya bersalin tanpa suami di sisi dan selepas itu saya membawa diri dan anak-anak tinggal bersama ibu bapa.

"Bagaimanapun, setelah melibatkan diri dalam beberapa bengkel motivasi, barulah saya rasa bersyukur kerana bercerai. Tidak ada gunanya tinggal bersama suami yang kaki judi dan kaki perempuan.

"Kini kehidupan saya lebih baik dan saya juga telah sembuh daripada luka akibat ditinggalkan suami," ujarnya yang hingga kini masih belum berjumpa pengganti.

JOANNE Lim, 70, memang kelihatan lebih muda dari usianya. Jika orang mengatakan masalah membuatkan kita tampak lebih berusia dari umur sebenar tapi tidak bagi ibu kepada tiga orang cahaya mata ini. Dia yang berasal dari Pulau Pinang berpisah dengan suami ketika berusia 36 tahun.

"Saya diceraikan sehari selepas melahirkan anak bongsu. Walaupun sudah bercerai, hati saya berkeras tetap mahukannya, saya akui rasa sayang terhadap suami amat kuat, dalam masa yang sama saya rasakan saya amat bodoh kerana menyayangi orang yang membenci saya.

"Selepas bercerai, saya mudah jatuh hati kepada mana-mana lelaki yang mendekati saya. Saya ada menerangkan kepada pakar psikologi tentang keadaan tersebut dan mereka mengatakan bahawa saya masih mahukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang suami. Tetapi hingga kini saya masih sendiri kerana belum bertemu dengan yang sesuai.

"Melibatkan diri dalam bengkel seperti yang dianjurkan pada hari ini amat membantu perasaan sedih yang saya alami. Ia sekali gus membuatkan saya tabah dalam meneruskan kehidupan bersendiri," ujarnya yang telah bercerai selama lebih 30 tahun.

Isnin, Julai 27, 2009

Nekad selepas suami mati

KUALA LUMPUR: Kemurungan selepas kematian suami sejak dua tahun lalu dipercayai punca seorang wanita warga emas bertindak nekad mengikat tangan kirinya dengan batu sebelum ditemui mati di sungai di Batu 11, Bestari Jaya, Kuala Selangor, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati kes berkenaan tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kita (polis) memperoleh laporan hasil bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Tanjung Karang dan ikatan tali pada tangan mangsa didapati longgar.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barangan milik mangsa, antaranya telefon bimbit dan barang kemas, masih ada di sekitar lokasi kejadian dengan jarak 500 meter dari kediaman mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa yang juga ibu angkat kepada seorang anggota polis di Ijok dipercayai mengikat tangan kirinya menggunakan tali untuk menenggelamkan dirinya.

“Mangsa bertindak demikian dipercayai berikutan tidak dapat menahan sedih akibat kematian suaminya sejak dua tahun lalu.

“Mayat mangsa dituntut ahli keluarga dari hospital semalam untuk dikebumikan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, ratusan penduduk kampung itu gempar berikutan penemuan mayat seorang wanita terapung bersama tali yang diikat dengan batu sebesar buah kelapa.

Mayat mangsa, Hasnah Ijoh @ Johari, 54, dari Kampung Ladang Baru, Selangor, ditemui jam 5.30 petang oleh beberapa penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu.

Difahamkan, tali diikat pada batu itu yang ditemui berhampiran mayat dijadikan pemberat untuk menenggelamkan mangsa.

Polis bergegas ke tempat kejadian dan mangsa dipercayai mati dalam tempoh kurang tiga jam sebelum ditemui.