#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Kaunselor Anda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kaunselor Anda. Papar semua catatan

Ahad, Disember 13, 2009

Janda gugat bahagia

Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my

Rumah tangga berantakan selepas suami berkenan wanita lain

Soalan:
PERKAHWINAN saya biarpun baru berusia tiga tahun dan dikurniakan dua anak, terbukti sebegitu mencabar untuk saya. Saya tidak menyangka diuji sehebat ini. Ketika hamil anak kedua, suami berkenalan dengan seorang perempuan di laman sembang. Semuanya berpunca kerana suami terasa dicabar apabila saya mengesyaki dirinya. Saya mula curiga jika sebelum ini telefon bimbitnya tidak disorok tetapi secara tiba tiba dia melakukannya dan sering pulang lewat dari kerja. Jika di rumah pun, dia lebih banyak melayari laman sembang di internet.

Rahsianya terbongkar dan kami telah menyelesaikan masalah kami dengan baik dan perempuan itu tidak mahu lagi berhubungan dengan suami saya sebaik tahu dia sudah berkahwin. Kini masalah sama berulang dengan wanita lain - janda berusia 24 tahun. Untuk pengetahuan Umi, suami berusia 26 tahun dan saya, 29 tahun. Masalahnya, wanita ini enggan berundur biarpun selepas mengetahui status suami.

Saya dan suami sudah ke pejabat agama untuk permohonan cerai namun masih belum menghantar borang itu untuk didaftarkan. Saya dalam dilema sama ada untuk meneruskan perkahwinan ini atau berpisah dengan suami. Ya, saya masih sayangkannya dan mengenangkan anak-anak masih kecil berusia satu dan dua tahun. Apa harus saya lakukan?

Isteri Sedih

Jawapan:
SALAM ceria untuk Isteri Sedih. Perkahwinan adalah satu kontrak yang paling mahal dalam hidup pasangan dan paling sukar untuk menjaganya. Kerana kontrak ini sangat terbuka pada gangguan-gangguan dan cabaran terutama dorongan iblis yang tugasnya adalah menghancurkan semua kebahagiaan manusia yang mentaati Allah SWT. Iblis sentiasa menjadi musuh kita dan jelaslah keadaan anda yang mana suami masih mencari layanan dari luar rumah daripada menjaga dan memberi layanan terbaik kepada isteri dan anak-anaknya.

Cabaran ini boleh datang dari dalam diri kita sendiri atau datang daripada pasangan atau datangnya dari orang ketiga berbentuk bisikan manusia dan bisikan iblis. Inilah yang sedang terjadi pada anda dan suami.

Oleh itu, puan yang diberi kesempatan menjadi isteri dan jadi ibu walau dalam tempoh singkat, terimalah hadiah dari Allah SWT ini sebagai kesempatan bagi anda mengecapi bahagia sebagai sebuah keluarga walaupun kini suami sudah terperangkap hasutan iblis dengan cinta nafsu yang tidak bertunjangkan kepada Allah SWT. Ini terbukti apabila dia tidak berhasrat untuk membaiki hubungan dengan anda sebagai isteri yang sah, malah terus memburu wanita kedua selepas terkandas dengan wanita pertama.

Persoalannya sekarang terserah pada anda. Sama ada mahu terus jadi isteri yang sabar dan membaiki diri dengan mencari sokongan tambahan ibu bapa, keluarga sendiri dan keluarga mentua atau mahu bebas daripada jawatan isteri dan sanggup bergelar ibu tunggal. Pilihan terletak di tangan anda. Jika anda berasa mampu hidup berdikari dengan anak-anak tanpa suami, dengan maksud ada pendapatan sendiri , ada rumah dan ada kemudahan untuk meneruskan hidup sendiri dengan sokongan keluarga dan mampu jadi hamba Allah SWT yang taat kepada-Nya, maka berpisah itu dapat memberi masa untuk kedua pihak menilai diri sendiri dan membaiki diri masing-masing. Mungkin juga disusuli kemampuan untuk berbaik semula. Atau, kemungkinan perpisahan itu memberi ketenteraman yang sudah lama hilang daripada hidup masing-masing lalu berasa lebih berbahagia hidup tanpa suami dan menjadikan perpisahan itu terbaik untuk anda.

Agama kita sendiri mensyaratkan setiap perkahwinan harus memberi ketenteraman dan kebahagiaan, cinta dan kasih sayang antara dua pihak. Anak pula hadiah terbaik pengikat kasih sayang dan menjadikannya lebih erat. Jika matlamat ini menjadi sebaliknya, maka apa faedahnya perkahwinan itu dikekalkan, apa faedahnya anda menyimpan cinta pada orang yang tidak lagi mencintai anda? Adalah paling rugi dan bodoh mencintai orang yang sudah membenci kita.

Pada pandangan Umi, perkahwinan ini sememangnya sulit dipertahankan jika yang berusaha membaikinya hanya sebelah pihak saja. Ini kerana, suami dan isteri itu pasangan yang ibarat kasut, kalau dicuci sebelah dan sebelah lagi sentiasa kotor, mana mungkin kita gembira memakainya dalam keadaan sebelah bersih dan sebelah kotor.

Atau diibaratkan sebuah kapal, suami adalah nakhoda kapal yang menentukan arah tuju pelayaran ada isteri adalah anak kapalnya. Mana mungkin anak kapal dapat melayarkan kapalnya tanpa usaha dan tindakan dan bantuan nakhodanya. Jika terus belayar, pasti kapal tidak dapat sampai dan berlabuh di pelabuhan sepatutnya. Malah lebih malang lagi kapal terus terapung tanpa haluan dan akhirnya tenggelam dipukul ribut di samudera.

Pada anda yang kapalnya masih boleh belayar, anda perlu bertindak sebelum kapal tenggelam dan anak kapal mati lemas secara percuma. Ini kerana nakhoda kapal sudah tidak berminat untuk terus belayar dengan anda kelasinya. Anda tidak perlu bimbang untuk terus hidup. Anda masih muda dan masih boleh mencari pekerjaan atau masih sempat belajar kemahiran untuk mencari nafkah. Bangunlah keyakinan bahawa semua kesulitan tidak kekal dan pasti akan berlalu dengan syarat anda mengubah gaya hidup anda. Allah SWT tidak akan mengubah nasib kamu jika kamu tidak mengubahnya. Yakinlah bahawa bumi ini Allah jadikan cukup untuk semua manusia dari Nabi Adam hingga kiamat. Keyakinan ini akan membuat anda merasa tenteram bahawa Allah SWT itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

Jika anda fikir tidak boleh hidup tanpa suami, bermakna kasih sayang anda sudah nipis. Maka carilah semula kekuatan untuk berasakan kasih sayang Allah SWT itu tidak pernah kurang pada hambanya, hanya hambanya saja yang tidak merasakan kerana mereka terlalu mencintai manusia dan seluruh ini alamnya dengan melupakan pencipta-Nya. Yakinlah juga Allah SWT itu sangat adil, apa yang diberikan sesuai keadaan hamba-Nya, jika harta hilang akan diganti di akhirat, siapa dizalimi di dunia, akan dilayan sebaiknya di akhirat, siapa melakukan seksaan di dunia, pasti akan diseksa di akhirat. Sebab itu Allah SWT berpesan: “Tidak ada kezaliman pada hari ini, sesungguhnya Allah SWT cepat perhitunganNya.” (QS Ghafir:17).

Akhirnya, janganlah bersedih dengan masa lalu dan menunda kehidupan hari ini kerana takut akan hari esok atau kerana harapan saat indah di esok hari. Sebelum bertindak tanyakan pada diri anda, apa kemungkinan terburuk yang akan terjadi, kedua - siapkan diri anda untuk menerima dan menghadapinya kemudian, hadapi dengan tenang untuk menjadikan kemungkinan terburuk itu menjadi lebih baik. Selamat berjuang dengan istiqamah kerana Allah SWT.


Enggan terima jodoh orang kampung

Gadis berkerjaya, berfikiran moden mahu suami urban, bergaya

SAYA bukanlah golongan anak dara tua walaupun sudah berusia 28 tahun yang dianggap biasa pada zaman ini. Saya berkerjaya, lulusan luar negara dan saya adalah wanita bandar yang sukakan kehidupan kota. Saya berasal dari kampung dan keluarga pun masih memiliki nilai desa dan kemelayuan yang tinggi. Saya tidak ada masalah dengan hal itu kerana saya tahu asal usul saya.

Apa yang menjadi masalah apabila emak cuba menjodohkan saya dengan lelaki sekampung, anak jiran yang ada pertalian kekeluargaan biarpun ‘bau-bau bacang.’ Dia berkhidmat sebagai kerani dalam jabatan kerajaan di kampung.

Saya tidak mengenalinya, tetapi berdasarkan cerita emak, dia lelaki yang baik dan sopan santun. Saya bukanlah menghina lelaki itu, tetapi saya mahu mencari lelaki yang setaraf dengan saya dari segi pendidikan dan cita rasa.

Saya mahukan lelaki bergaya bandar atau urban seperti saya dan selesa hidup di kota. Keluarga lelaki itu awal-awal lagi sudah berpesan kalau berkahwin dengannya nanti, saya perlu minta bertukar bekerja di kampung sebab dia anak lelaki tunggal lima beradik dan perlu menjaga emaknya. Tentu saja saya tidak mahu kerana saya bekerja di syarikat swasta yang tiada cawangan di kampung. Sudah tentu saya kena berhenti kerja dan cari kerja lain. Nampaknya, awal-awal lagi keluarga lelaki itu sudah tunjuk belang hendak mengawal saya!

Puan, ayah tidak membantah dan tidak menyokong. Emak yang bersungguh-sungguh sukakan lelaki itu kerana keluarganya baik-baik dan dia juga baik dan kononnya kacak. Saya tidak peduli dengan kebaikan atau ketampanannya kerana mahu mengahwini lelaki yang memenuhi selera saya. Bagaimana saya mahu memberi penjelasan kepada ibu yang mahukan saya menikahi lelaki bukan pilihan hati?

Dara 28 Tahun.

JAWAPAN


Salam hormat buat Dara 28 Tahun. Umur tidak menjanjikan apa apa gelaran, kecuali manusia yang sibuk melabelkan umur dengan gelaran yang kadang kadang memalukan, kadang-kadang menghina dan menyinggung perasaan malah merendahkan. Gelaran seperti anak dara lanjut usia atau ‘andalusia,’ anak dara tua atau andartu adalah label dicipta manusia yang hatinya jauh hubungan dengan Allah SWT, yang tidak mengaitkan soal jodoh pertemuan dan ajal maut adalah dalam peta genggaman-Nya yang tidak dimaklumkan kepada manusia. Oleh itu, jangan bimbangkan itu walaupun usia anda baru mencecah 28 tahun.

Persoalan anda ialah soal membuat pilihan bagi meneruskan hidup di bumi Allah SWT. Pilihan ini dianggap penting kerana budaya melintasi gerbang perkahwinan menjadi penanda aras kematangan manusia dan kesempurnaan kehidupan bermasyarakat. Berpegang pada budaya berfikir inilah yang mendorong ibu anda mendesak anda untuk berumah tangga. Berdasarkan keyakinan inilah ibu bapa kadang-kadang berasa malu jika anda daranya lambat berkahwin kerana dianggap tidak laku lalu masuk ke gerbang ‘andartu’.

Faktor ini menguatkan lagi hasrat ibu untuk menjodohkan anda dengan jejaka pilihannya yang dirasakannya sesuai dengan kemahuannya. Tindakan dan desakan ibu menjadi lebih kuat kepada anda kerana ibu anda tidak pernah melihat atau dimaklumkan bahawa anda sudah punya calon sendiri.

Apatah lagi anda mungkin tidak pernah berbincang atau bercerita soal ciri-ciri calon suami idaman yang anda cari sama ada secara serius atau secara gurauan bagi melemparkan pandangan kepada kedua-dua orang tua anda terutama ibu anda. Ini kerana mana-mana ibu pun akan bimbang dan mungkin malu dengan persekitarannya kerana mempunyai anda dara yang belum berpunya sedangkan umurnya sudah layak berumah tangga, apatah lagi sudah bekerjaya.

Mungkin masyarakat persekitaran sudah mula bertanya-tanya dengan ibu mengenai anda, maklumlah dalam persekitaran di kampung pula. Berdasarkan kefahaman ini anda tidak boleh marah dengan tindakan ibu kerana mungkin juga dia mahu menimang cucu.

Apa yang wajar buat ialah berbincang secara terbuka dan ikhlas dengan bahasa yang santun berlandaskan rasa hormat yang tinggi di hati dengan ibu bapa berhubung dengan perkara ini. Anda boleh menyatakan pendirian anda dengan penuh hemah, tanpa berasa megah dengan apa yang anda miliki dan hajatkan, serta tidak menyatakan penolakan pada pilihan ibu sehingga membuat ibu bapa merasa tersinggung dan berkecil hati.

Sebagai anak yang sangat hormat dengan ibu bapa dan ‘berlesen’ rasa sayang yang tinggi kepada kedua ibu bapa, nyatakan mengapa anda harus tidak menerima cadangan ibu bapa. Nyatakan juga yang anda belum bersedia untuk berkahwin dan mencari pasangan yang tidak membuat terpaksa berpindah ke kampung. Nyatakan juga yang anda sangat sayang dengan kerja dan tempat kerja sekarang serta masa depan kerjaya anda dari segi pangkat, gaji dan jaminan lain yang dibekalkan oleh tempat kerja. Ditambah pula dengan faktor syarikat tiada cawangan di kampung.

Anda juga boleh menjelaskan betapa susahnya untuk mendapat pekerjaan sedemikian di tempat lain pada masa ini. Juga tidak salah jika anda mengakui bahawa anda sedang mencari pasangan yang selari dengan gaya hidup anda sebagai jaminan kelangsungan sesebuah rumah tangga dan keluarga. Adalah sangat bijak jika anda tidak mengatakan apa-apa kekurangan mengenai tokoh pilihan ibu anda itu seperti, orang kampung, pendapatan rendah dan kelulusan rendah dan lain-lain yang berbau menghina dan merendahkan dirinya! Malah tidak rugi jika memberikan sedikit kelebihannya seperti orangnya baik dan dan lain-lain yang positif.

Namun akhirnya, nyatakan yang anda belum bersedia untuk berumah tangga walaupun umur sudah cukup kerana mencari calon sesuai atau melanjutkan pelajaran atau merancang melakukan sesuatu projek besar dan lain-lain. Akhir sekali janganlah bersedih, kerana kesedihan hanya akan membuat anda lemah dalam beribadat, membuat anda malas berjihad, membuat anda putus harapan dan mendorong anda untuk buruk sangka. Rasa sedih juga akan menjadi akar penyakit jiwa, sumber penyakit saraf, boleh menghancur jiwa dan pencetus keraguan dan kebingungan.

Langkah paling baik, belajarlah mengatakan tidak dan rawatlah hati dan perasaan menggunakan apa yang kita ada. Kita masih ada al-Quran, ada doa, ada solat, ada sedekah, ada kesempatan berbuat baik. Jangan pernah menyerah dengan kebimbangan dan kesedihan, lawanlah dengan solat, bertasbih, menulis dan membaca dan menulis, terima tamu, silaturahim dan berdoalah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu (QS Al-Mukmin:60). Kemudian Allah SWT menjamin lagi menerusi firman-Nya dalam surah Al-A’raf: 55 yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada Rabb-mu dengan merendah diri dan suara yang lembut.”

Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. Dengan dua peringatan itu diharap anda akan mampu membina keyakinan untuk memperjuangkan masa depan anda. Anda adalah apa yang anda pilih, maka pilihlah apa yang anda rasa mampu menggembirakan anda dan keluarga.

Bimbang dikecewakan lagi

Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my

Duda takut bercinta semula selepas bercerai

Soalan:
SAYA duda 37 tahun dan tiada anak. Sudah lima tahun saya berpisah dengan isteri kerana tiada persefahaman. Saya ingin cuba kembali membina hubungan baru tetapi takut untuk memulakan kembali. Saya terfikir, mungkinkah saya akan dikecewakan seperti dulu. Malah pengalaman lalu bersama bekas isteri - bercinta sejak zaman belajar tetapi perkahwinan kami sempat bertahan lima tahun saja. Saya menyukai seorang perempuan di pejabat tetapi seperti takut untuk memulakan perhubungan. Apa pendapat puan?
DUDA TAKUT

Jawapan:
Salam semangat buat tuan yang bergelar duda. Tuan adalah hamba Allah SWT yang diuji dengan perceraian. Selama lima tahun anda sudah menamatkan episod perkahwinan pertama. Harus diingat, inilah ‘ sekolah’ perkahwinan pertama anda. Anda sudah kenal apa itu asam garam dalam perkahwinan. Anda juga sudah merasai dan mengalami pahit manisnya bercinta dan berumah tangga. Ini adalah pengalaman besar yang sudah pasti mematangkan anda untuk meneruskan hidup.

Sayangnya, anda mewarisi ‘ijazah’ dalam bentuk takut saja selama lima tahun. Sampai bila anda mahu terperangkap dengan rasa takut itu? Rasa takut yang tersimpan bermakna hubungan tuan dengan Pencipta kurang mesra. Akibatnya anda buruk sangka dengan Allah SWT, sedangkan Dia sentiasa memberikan yang terbaik buat hamba-Nya kerana kita adalah makhluk terbaik ciptaan-Nya dan paling dicintai Allah SWT.

Jadi, mana mungkin anda berasa terlepas daripada rasa cinta Allah SWT, sedangkan apa yang sudah dan akan terjadi pada anda, setiap saatnya diketahui dan dicatat Allah SWT sama ada yang anda nyatakan atau yang anda sembunyikan. Allah Maha tahu apa di dalam hati kita dan Allah SWT tahu apa yang di hadapan kita.

Perceraian yang anda alami bermakna anda bertemu dengan pasangan yang salah. Oleh itu anda diberi peluang untuk mencari gantinya dan mungkin dipertemukan dengan pasangan yang lebih baik. Sesuai dengan janji-Nya yang bermaksud: “Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi kaum itu tidak berusaha mengubah nasibnya sendiri.” Kuasa Maha Berkuasa yang melukis peta hidup kita sejak lahir hingga kita dijemput pulang oleh Penciptanya.

Oleh itu kita sebagai hamba tidak boleh buruk sangka dengan Allah SWT, sebab jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Wajarnya kita berbaik sangka dengan Allah SWT. Orang yang baik sangka kepada Allah SWT tidak akan gagal. Pengakuan ini disemadikan dalam hadis yang bermaksud : “Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada-Ku, maka berprasangkalah ia kepada Ku sesukanya.” Ini bermakna jika kita hamba-Nya berasa Allah SWT dekat, maka Allah SWT akan dekat, tapi jika kita berprasangka Allah SWT jauh, maka pastilah kita berasakan-Nya jauh lalu timbulkan pemikiran dan perasaan yang tidak positif dalam hidup kita. Oleh itu semak balik talian kita dengan Allah SWT.

Jika talian baik pasti kita berasa Allah SWT akan membimbing dan memberi petunjuk kepada kita dan memberi kekuatan untuk kita menjalani hidup yang lebih baik. Telitilah pesanan ulama ini : “Berharap adalah bahan penting untuk membangun kesabaran dan yang akan membantu orang untuk bersabar. Berharap bermakna berbaik sangka kepada Allah SWT. Berbaik sangka kepada Allah SWT kerana ini jaminan untuk tidak gagal.”

Yakinlah Allah Maha Penyayang pada hamba-Nya dan contoh cinta Allah SWT kepada hamba-Nya yang mengharap pertolongan daripada Allah SWT diberikan jalan keluar daripada semua kesulitan selepas ditemukan hambanya itu dengan kebuntuan, selepas pintu harapan tertutup, selepas kehabisan akal dan selepas tidak tahu lagi bagaimana mengakhiri tekanan dan masalah dan ujian terhadap dirinya.

Mengapa Allah SWT tentukan begitu? Tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT mahu menjadikan kesulitan dan kebuntuan itu sebagai pendorong untuk manusia mengarahkan harapannya kepada-Nya dan terus membaiki prasangka buruk menjadi prasangka baik kepada Allah SWT.

Jika ini dapat anda lakukan maka anda akan berasa tenang dan lapang fikiran dan perasaan dan menjadi pendorong untuk anda melangkah membaiki diri dan kehidupan. Apatah lagi jika doa ini selalu dimunajat pada Allah SWT: “Ya Allah, berilah aku ganjaran terbaik daripada musibah yang menimpa dan gantikan bagiku sesuatu yang lebih baik daripadanya.”

Insya-Allah, Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya. Pandangan saya, anda sewajarnya mencari pengganti yang baru agar masa dan usia tidak terbuang begitu saja, kerana umur sangat mahal harganya, maka jalanilah ia dengan sabar kerana qadar itu tidak selalu sesuai dengan keinginan kita.

Namun dengan segala keterbatasan yang ada, kita tidak mampu memahami mengapa qada dan qadar harus seperti itu dan kita tidak ada pilihan untuk tidak melalui dan menerimanya, yang ada hanyalah kemampuan berusaha secara terbaik dan tidak mengulangi kesalahan masa lalu, Insya- Allah anda akan berjaya seperti pesanan hadis: “Barang siapa yang Allah SWT menghendaki kebaikan kepadanya, maka dia akan diuji.”

Maka beranikan diri untuk memulakan hidup yang baru tanpa takut dan ragu-ragu. Ini kerana kedua-dua perasaan itu adalah racun kepada semua rancangan baik, seolah-olah kita membunuh diri sendiri. Ingatlah pesanan ini yang bermaksud: “Dan, janganlah kamu membunuh dirimu sendiri.” (QS An-Nisa’ :29) dan “Allah mentakdirkan dan Allah melakukan apa yang Dia kehendaki.” Selamat merubah kehidupan dengan mencintai Allah SWT dalam setiap langkah anda.


Ahad, November 01, 2009

Dugaan pengantin baru



Isteri muda tertekan suami menganggur, wang habis sara keluarga


Soalan:
Saya baru berkahwin empat bulan lalu. Suami saya diperkenalkan oleh kawan. Namun, dalam hati memang rasa kasih dan sayang ada untuk suami, begitu juga dengannya. Kami tiada masalah sebelum dan selepas kahwin.

Kami tinggal di rumah kuarters kerana saya kakitangan kerajaan. Baru-baru ini, suami kehilangan pekerjaan. Sejak itu, kami berusaha untuk mendapatkan kerja namun sudah hampir dua bulan, masih buntu. Gaji saya pula habis digunakan untuk perbelanjaan bulanan, begitu juga dengan wang simpanan untuk biayai pinjaman dan barang dapur. Kebetulan, ada ahli keluarga lain yang tinggal bersama saya sejak kami kahwin. Oleh kerana terlalu lama tinggal bersama kami, suami berasa kurang selesa apabila berada di rumah kerana dia tidak bekerja dan saya pula pulang lewat. Maka dia terpaksa duduk di rumah bersama ahli keluarga tadi. Tapi ini tidak berpanjangan kerana saudara perempuan itu akan berpindah, bulan depan.

Keadaan kewangan yang meruncing, termasuk perbelanjaan bulanan itu menyebabkan hubungan kami berdua agak tegang. Saya cuba bertahan dan memujuk suami untuk bersabar tetapi dia lebih mengikut perasaannya. Saya rasa tertekan. Hendak diceritakan kepada keluarga saya, takut pula hanya memalukan suami. Hendak mengadu kepada mentua, tidak sampai hati kerana bapa mentua menghidap sakit jantung. Saya serba salah jadinya. Saya tidak tahu apa yang harus saya buat melainkan berdoa pada Allah. saya cadangkan pada suami supaya cari kerja apa saja termasuklah di kiosk makanan, namun tidak diterima. Dia lebih mencari kerja melalui online. Saya mohon pada umi, apa yang perlu saya lakukan.


Isteri Sayu

Jawapan:
Salam semangat untuk Isteri Sayu. Apa yang anda hadapi sesungguhnya satu ujian getir daripada Allah SWT. Anggaplah ini sesungguhnya satu ujian untuk menguji anda sama ada anda mengahwini suami anda kerana Allah SWT atau kerana dirinya.

Perkahwinan yang baru berpucuk, belum pun kembang menjadi daun, sudah diuji seberat ini. Perkahwinan tidak hanya menyatu dua hati, tetapi paling penting bagaimana menjalin dan menyemai kasih sayang sewaktu susah mahu pun senang. Sejauh mana anda dapat memberi dan menerima, begitu jugalah yang harus dilakukan suami kepada anda.

Ini bermakna anda harus bertanyakan dengan diri anda, tanyakan sama ada anda masih sayangkan suami kerana dia suami yang dipilih Allah SWT untuk anda? Atau adakah anda menerimanya sebagai syarat untuk melepasi gerbang perkahwinan, sebagai mana adat orang hidup dan berumah tangga dan terlepas dari status andartu? Jika sebabnya kerana Allah SWT, maka mengadulah dengan Allah SWT kerana Dialah pembekal rezeki.

Jika anda renungkan, rasakan bahawa hidup ini ibarat seperti satu perdagangan. Peniaga tidak akan sentiasa rugi dan tidak mungkin rugi seumur hidup. Tetapi sebagai peniaga yang yakin bahawa setiap yang hidup ada rezekinya dan sudah ditakdirkan oleh Allah SWT dan Dia tidak pernah tidak adil pada hambanya. Kita juga sering diingatkan, andai kamu bersyukur pada apa yang diberikan sekarang, maka Allah SWT akan tambah rezekinya, Insya-Allah.

Tapi, jika kamu kufur maka Allah SWT akan tarik menjadi sesempit-sempitnya. Berdasarkan penjelasan ini sebenarnya anda masih sangat bernasib baik kerana masih mempunyai pekerjaan dan tinggal di rumah kerajaan yang sewanya antara yang terendah.

Sedangkan di pihak lain, ada keluarga yang mana kedua-dua suami isteri diberhentikan kerja, menganggur serentak. Bayangkan betapa sengsaranya mereka berdepan kesusahan sedemikian.

Mungkinkah dugaan yang anda hadapi ini menjadi ujian bagi membuktikan sedalam manakah cinta anda dan sejauh manakah suami mahu bertanggungjawab mempertahankan rumah tangga yang baru dibina. Ia juga menjadi medan menguji kesetiaan dan sebanyak mana pengorbanan yang mampu anda laksanakan demi memanjangkan hayat perkahwinan yang baru bermula. Atau dalam erti kata lain, sejauh mana anda dan suami dapat memastikan istana yang dibina dapat terus kukuh berdiri biarpun diterjah dugaan hebat.

Dan paling penting, setebal manakah lapisan kesabaran anda sebagai seorang hamba Allah SWT, seorang isteri dan seorang menantu dan sebagai pasangan dan sahabat kepada suami.

Sebagai hamba Allah SWT misalnya, adakah anda rela hati dan puas dengan pemberian-Nya? Menyingkap sejarah generasi awal umat Islam ini adalah orang yang secara material sememangnya susah malah termasuk fakir miskin. Mereka tidak memiliki harta melimpah, rumah untuk bermegah, kenderaan yang bagus, namun ternyata mereka mampu membuat kehidupan ini lebih bermakna serta membuat diri mereka dan masyarakatnya lebih bahagia.

Ini kerana mereka memanfaatkan setiap pemberian Allah SWT di jalan yang benar dan kerana itu umur, waktu, kemampuan dan keterampilan mereka menjadi penuh berkat.

Berbanding kita yang terkadang diberi secukupnya, seperti masih ada air yang hendak diminum, ada nasi yang nak disuap dan ada rumah tempat berlindung tapi terus diselubungi rasa takut hilang rasa selesa lalu mudah berasa derita, cemas dan gelisah kerana hubungan dengan Allah SWT ternyata jauh.

Jika anda mahukan kebahagiaan, terimalah apa yang Allah SWT berikan sekarang dengan rela hati atas prinsip hidup ‘jika anda sentiasa tetap senang hati, menerima sedikit apa pun yang anda miliki dan rela dengan segala sesuatu yang tidak lepas dari milik anda.’

Jika dilihat, anda masih boleh dianggap bernasib baik kerana suami tetap berikhtiar mencari kerja. Dia sudah berikhtiar dan tugas anda dan dia selepas berikhtiar, adalah berdoa dan merendah diri kepada Allah SWT kerana tabung rezeki ada ditangan-Nya. Ini jelas seperti “Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah SWT itu amat dekat.” (QS Al-Baqarah:214).

Dan dalam satu hadis sahih juga ada disebutkan: “Ketahuilah bahawa pertolongan itu ada bersama dengan kesabaran dan jalan keluar itu akan selalu beriringan dengan cubaan. Oleh itu jangan bersedih dan berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya, tiada berputus asa daripada rahmat Allah SWT kecuali orang-orang kafir.

Oleh itu kendalikan perasaan anda dengan bijak kerana emosi dan perasaan akan bergolak disebabkan dua perkara - kegembiraan yang memuncak dan musibah yang berat.

Oleh itu Rasulullah SAW ada mengingatkan umatnya: “Sesungguhnya aku melarang dua macam ucapan yang bodoh lagi tercela iaitu keluahan tatkala mendapat rahmat dan umpatan tatkala mendapat musibah.”

Suami kian hanyut

Isteri risau pasangan pentingkan duniawi, suka berahsia

SOALAN

SAYA seorang isteri dan ibu yang sedaya upaya mahu mempertahankan rumah tangga ini. Malangnya, saya mempunyai suami yang tidak mahu solat. Malah selama enam tahun berkahwin, dia tidak akan solat jika saya tidak menyuruh. Sedari dulu lagi, apabila saya tidur di bilik atas, dia akan turun ke tingkat bawah rumah jam 1 atau 2 pagi untuk melayari internet. Dia hanya naik tidur pada waktu saya mahu bangun dan menunaikan solat subuh.

Kedua ibu bapa mendidik saya dengan cukup, agama dan pendidikan duniawi. Selepas berkahwin saya bertudung, tetapi dalam setahun ini saya buka tudung kerana suami tidak suka saya bertudung. Apa yang membimbangkan, sekarang saya juga terikut-ikut perangainya yang tidak mahu solat. Kami selalu bergaduh bukan saja kerana dia tidak solat tetapi juga kerana dia suka menyimpan rahsia sejak kahwin sehingga sekarang.


Jiwa saya tidak tenang, sedih dan mahu dilepaskan olehnya. Saya tidak mahu anak-anak mengikut apa yang tidak sepatutnya. Percakapan hanya akan menjadi pergaduhan. Ibu bapa saya memang suruh saya bersabar, tapi patutkah saya bersabar dengan perangainya yang kelihatan seperti tidak berubah? Saya tidak mampu untuk menegurnya lagi, meletihkan mental dan fizikal saya.

ANITA

JAWAPAN

Salam keberanian buat Anita. Sesungguhnya hidup ini adalah ibarat seorang musafir yang sedang bernaung di bawah sebatang pohon, yang sejenak kemudian pergi dan meninggalkan pohon itu. Jika inilah kehidupan maka kita disuruh untuk terus berusaha dan tidak boleh berhenti mencari Allah SWT dalam semua urusan sebelum dijemput-Nya.

Oleh itu, seperti pesanan Rasulullah, “Orang yang cerdik adalah orang yang mampu menakluk hawa nafsunya dan melakukan persiapan bagi tempoh selepas kematian, sedangkan orang yang bodoh adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan mengharap pertolongan Allah SWT.

Berdasarkan pesanan ini jelas anda adalah tergolong dalam kumpulan cerdik yang sedang dipengaruhi untuk menjadi orang bodoh, mendapat suami yang tidak pernah solat, kecuali bila disuruh dan melakukan perkara yang bercanggah dengan tabii hidup beragama dan berkeluarga. Dia seharusnya perlu sedar siapa pemimpin dan dipimpin dalam rumah tangga?

Anda sudah ditunjukkan perlakuan kotor yang jelas menyimpang daripada perintah Allah SWT dan bertentangan perintah agama. Tindakannya yang enggan solat, ditambah dengan sikap suka melayari internet pada jauh-jauh malam hingga ke awal pagi serta sikap berahsia, bukan pegangan yang harus ada bagi mereka yang seharusnya bergelar suami dan nakhoda rumah tangga.

Orang yang menyimpang daripada jalan Allah SWT tidak akan melakukan yang baik kecuali berkelakuan kurang ajar dengan manusia dan menunjukkan sikap bermusuhan dengan-Nya secara terang-terangan hingga tidak ada lagi perasaan malu berbuat dosa. Orang sebegini juga tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas sehingga menjadikan mereka sama seperti binatang melata dalam bentuk manusia dan berkelakuan seperti haiwan berbentuk manusia.

Bagaimana orang sebegini yang anda harapkan untuk jadi pemimpin anda dan mahu anda taat perintahnya dan diikuti kelakuannya. Sedangkan anda di didik secara Islam. Jika dia terus enggan tunduk dengan perintah Allah SWT, mana mungkin dia akan membekalkan anda dengan kebahagiaan, sedangkan dia jauh malah berpaling dari pemilik dan pembekal kebahagiaan itu sendiri. Lebih malang lagi, anda sudah terikut-ikut dengan perangainya menjauhi Allah SWT - membuka tudung iaitu aurat setiap wanita dan meninggalkan solat. Sampai bila anda harus begini demi terus menawan kasihnya?

Anda perlu sedar, Allah SWT sudah berjanji akan memberikan kebahagiaan itu kepada orang yang Dia kehendaki. Bagaimana anda harus terus sabar bertahun-tahun sedangkan dia tidak berusaha untuk membaiki dirinya sendiri sebagai hamba-Nya? Bagaimana dia akan membimbing anda dan anak-anak anda sedangkan dia sudah membuat Allah SWT murka. Ini tidak termasuk soal mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada-Nya.

Jelaslah, apa yang dilakukannya sekarang jika terus berkelakuan sedemikian adalah menempah kesengsaraan di akhirat nanti yang berupa neraka jahanam. Dia hanya menambah kesengsaraan hidup dengan sikap tidak bertanggungjawab selain tekanan mental. Ini di jelaskan Allah “Dan, barang siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” (QS Thaha:124).

Oleh itu nasihat saya, puan harus mampu membuat perancangan hidup sendiri yang berteraskan agama dan membangun diri mengikut lunas agama. Jika anda bertanggung jawab dengan diri dan dengan Allah SWT, anda harus berani demi memperoleh akhir hidup yang baik. Sebab itu kita dipesan melalui QS Adh-Dhuha; “Dan, sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu dari permulaan.”

Jika anda tidak membuat pilihan cara hidup yang bersandarkan agama Allah SWT, memuliakan dan beribadat kepada-Nya, walaupun anda tinggal di istana yang paling megah, di rumah yang paling luas dan memiliki semua yang anda sukai, maka ketahuilah bahawa akhir kehidupan adalah pahit dan penderitaan yang sebenar-benarnya.

Andai ini terjadi bermakna sampai bila-bila pun, anda tidak akan memiliki kunci kebahagiaan. Jangan takut membuat pilihan dalam hidup ini demi syurga di dunia dan syurga di akhirat kerana Allah SWT sudah berjanji: “Sesungguhnya Allah SWT membela orang yang beriman (QS Al:Hajj:38).

Jangan takut menyelamatkan anak dan diri sendiri yang sudah lama menderita kerana jika kita mencari Allah SWT dalam hidup kita disediakan jaminan.

Dan, barang siapa yang beriman kepada-Nya nescaya Allah SWT akan memberi petunjuk kepada hatinya(QS At-Taghabun:11). Yakinlah janji Allah ini kerana Allah tidak mengizinkan kita menyiksa diri sendiri dalam hidup ini. Carilah cinta Allah jika cinta manusia membawa kamu menjauhi cinta Nya, kerana cinta Allah sangat abadi dan kudus. Hunuslah pedang semangat ituuntuk menebs pedihnya kehidupan ang sedang anda lalui. Amin....

Suami lupa daratan

Isteri sengsara tanggung hutang suami kemaruk cinta siswa

Soalan:
Puan, saya ada terbaca mengenai kisah penangan cinta siber tidak lama dulu. Kisah anak dara yang bercinta dengan suami orang. Dalam kes saya ini, sayalah isteri yang teraniaya apabila suami mula berpacaran dengan anak dara iaitu pelajar universiti.

Kami sama-sama graduan, ditakdirkan Allah SWT berjaya dalam hidup dan memiliki firma sendiri yang dikongsi bersama. Namun, suami hanya beri nama, semua urusan saya yang uruskan termasuk bayaran kad kreditnya. Dia hanya tahu guna kad kredit itu saja.

Kenakalan suami bermula apabila saya menghadiahkan sebuah komputer laptop sebagai hadiah hari jadi. Dari situ, dia mula nakal, bersembang di ruang siber dan hanya sesekali datang ke pejabat.


Saya uruskan hal ehwal keluarga di rumah dan hal ehwal pekerja di pejabat. Dia hanya tahu berbelanja dengan kad kredit (yang saya juga bayarkan setiap bulan) dan bersembang di ruang siber dengan gadis itu.

Mentua saya baik hingga tidak sanggup untuk bercerita mengenai keburukan anaknya yang sedang mabuk asmara dan melupakan tanggungjawabnya pada keluarga. Saya pendam semua tetapi saya tidak tahu sampai bila.

Saya masih sayangkan dia dan mahukan dia kembali, seperti mana saya mengenalinya sebelum ini. Namun, seakan-akan semakin jauh. Memang dia tidak memukul tetapi penderaan ke atas mental dan emosi rasanya lebih hebat. Apakah nasihat puan untuk saya? Menasihati dan bercakap dengan suami seperti bercakap dengan kayu mati kerana mabuk asmara dan tidak berminat mendengar nasihat.

Saya juga tidak faham dengan perangai anak dara zaman sekarang, apakah yang dikejar daripada suami orang. Cinta sejati atau kemewahan duniawi? Jika cinta, rasanya cinta tidak akan membenarkan pengkhianatan. Tetapi kemewahan duniawi selalunya menyebabkan orang tegar mengambil hak orang lain yang sama-sama dikumpul dibina bermula dari kosong.

Tidak mengapalah, hidup ini satu putaran, hari ini saya terkena esok mungkin dia. Namun, waktu ini saya mahu menyembuhkan hati, puan saya sayangkan suami tetapi saya tidak tahu apakah yang perlu saya lakukan waktu ini?

Isteri setia.

Jawapan:
Salam sabar buat isteri setia. Puan adalah antara isteri yang terperangkap dengan ‘dilema suami mabuk anak dara, atau anak dara mabuk pada lelaki berpunya dan berharta”.

Kisah ini berputar seperti bumi mengelilingi matahari, yang mana putarannya tidak pernah dirasai oleh penghuni bumi, tetapi hanya meninggalkan kesan yang sangat memilukan dan memalukan. Apapun kesannya, selaku isteri, anda harus merawat diri agar mampu meneruskan hidup di bumi milik Allah SWT ini.

Sedarlah kita dan mereka adalah manusia dan dunia ini tidak mungkin lepas daripada kotoran, yang membosankan mata dan mengotorkan iman, maka adalah tidak adil jika kita menginginkan adanya manusia yang sangat sempurna, sedangkan kita sememangnya dijadikan tidak sempurna. Hubungan yang paling abadi ialah hubungan kita dengan putaran hari, yang diselang seli dengan curahan hujan yang kadangkala menakutkan.

Namun jika dikaji punca turunnya hujan dan kejadiannya maka ketakutan kita pada hujan segera berlalu. Penyair ada menasihatkan, perlindungan kamu hanyalah Allah SWT jika kamu bertemu dengan kemarahan. Itulah sentuhan dan cumbuan terbaik daripada orang yang mentaati kepada Yang Maha Mencintai. Ini sesuai dengan pujukan Allah SWT bagi mereka yang berduka lara berbunyi “Seandainya tidak kerana kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya. (QS An-Nur:21).

Pujukan berbentuk amaran ini menjelaskan bahawa manusia memang terdedah kepada perlakuan menyimpang setiap saat, seperti kata bijak pandai. Adakah kayu walau sewangi manapun baunya, tidak mengeluarkan asap? Jawapannya tidak ada kayu yang dibakar tidak mengeluarkan asap. Begitu juga manusia, termasuklah suami puan. Jika ini yang dipaparkan oleh Allah SWT kepada manusia, maka kita selaku manusia harus menerima setiap yang dihidangkan Allah SWT kepada kita, sama ada kita mahu menjamahnya atau tidak itu adalah hidangan daripada Allah SWT untuk membantu hambanya untuk rapat kepadanya.

Persoalan yang puan hadapi adalah ujian tentang keteguhan hati dengan Allah SWT. Selama ini anda berada dalam zon selesa, mungkin ketika itu hubungan semakin renggang dengan Allah SWT kerana nikmat yang dicurahkan, lalu dipanggil semula untuk membaiki hubungan itu dengan-Nya. Sebagai hamba Allah SWT belajarlah berbincang dan berterus terang dengan pasangan, semak semula matlamat perkahwinan dan matlamat perniagaan. Adakah masih di landasan yang betul, jika dia mahukan perubahan maka berbincanglah dengan sabar, kerana lelaki ini, kata Umar ibn Khathab: “Bagi lelaki diam itu adalah kelalaian, sedangkan bagi wanita adalah dalam keadaan nafsu membara.” Maka bercakaplah dengan jujur dan santun dengan suami apa yang dia mahukan dalam hidup ini apakah yang sedang dirancang dan apakah yang mahu dicapai.

Dalam perbincangan itu nyatakanlah perasaan anda dan keputusan anda dengan jelas kepadanya. Jika dia bersetuju maka usahakan jalan penyelesaian yang terbentang luas di bumi Allah SWT ini, dimulai dengan berbincang, jika buntu, temuilah kaunselor yang anda percayai dan yakini keadilannya. Dan jika itupun tidak selesai maka bawalah kes ke pengetahuan mahkamah untuk memutuskannya.

Puan, tidak wajar hanya berdiam dan makan hati, sedangkan suami mabuk dilamun asmara, jika puan tidak bertindak mencari penyelesaian suami akan terus hanyut di arus sungai asmara dan tenggelam dalam dunia zina.

Saya mohon agar puan bertindak mengikut lunas yang betul, bukan dengan marah-marah, semak telefonnya, mesejnya, e-melnya dan perbuatan lain-lain yang membuang masa dan tenaga, tetapi hakikatnya jauh daripada titik penyelesaian.

Jangan biarkan hati puan dimamah luka dan lara yang tidak wajar dan tidak dirawat, kerana ini bermakna anda merelakan diri dizalimi keadaan dan suami. Sabar bukan berdiam diri dan membilang huraian air mata, tapi berusaha melepaskan diri dari enapan kecurangan dan ketidakadilan. Anda berhak untuk hidup bahagia sama ada bersama suami atau tanpanya. Kerana jadi isteri bukan lesen untuk derita dan mengalah tanpa punca.

Dalam persoalan puan jalan paling penting diambil jangan biarkan hari berlalu tanpa manfaat, dan jangan kau tanamkan kehebatan kamu pada sesuatu yang tidak produktif, sebab umur ini terlalu pendek untuk disia-siakan.

Nabi Isa pernah berkata : “Kebaikan itu ada tiga, iaitu ucapan, penglihatan dan diam.” Maka langkah pertama puan harus melatih lidah untuk bercakap kerana Allah SWT dan bertujuan mencari reda Allah SWT, jika dia melakukan selain itu maka itu adalah sia-sia. Jika penglihatan seseorang itu tidak untuk mengambil pelajaran bagi hidupnya, maka sesungguhnya dia telah luap dan lali. Barang siapa yang diamnya tidak kerana berfikir tentang kebenaran, maka dia sudah tenggelam dalam dunia main-main dan tidak serius.

Oleh itu bertindaklah puan dengan memulakan langkah mohon perlindungan daripada Allah SWT. Ini kerana sehebat manapun manusia dia pasti sangat memerlukan Allah SWT sebagai sumber perlindungan, kekuatan dan pertolongan, hukuman, kekayaan dan keabdian. Ini kerana hanya Allah SWT yang Maha Esa, Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Memelihara.

Jika puan tidak mahu menerima cubaan Allah SWT ini dan terus dikuasai nafsu negatif, bermakna puan sudah digenggam iblis dan akan menjadi pelurunya untuk kita bertindak lebih buruk. Biarpun puan masih sayang dengan suami tapi apalah maknanya sayang yang sudah berbaur iblis, yang mata dan hatinya sudah tidak kepada kita tapi sudah pada yang lain. Nasihat saya terima qada ini dengan lapang dada, pasti puan akan mampu melalui tekanan ini dengan rasa yang lebih mudah dan ringan.

Setelah menerima yakinlah ada hikmah yang dirahsia pembuat qada, dan Dia lebih tahu apa yang bermanfaat buat hambanya. Kedua, berpasrah dirilah menunggu ganjaran yang banyak yang dijanjikan Allah SWT kepada hamba-Nya yang sedang ditimpa musibah dan bersabar dan ketiga sedarilah bahawa semua keputusan dalam hidup kita ini adalah percaturan Allah SWT dan peranan hamba hanyalah berserah diri dan tunduk. Sikap reda akan menyingkirkan hawa nafsu dari dalam hati, bertindaklah mencari hak dan pembelaan yang sudah dibekalkan-Nya untuk insan bernama wanita. Selamat berjuang mencari kebenaran.

Isnin, Oktober 26, 2009

Antara dua pilihan

Siswi buntu antara lelaki alim dengan jejaka penyayang

SAYA seorang gadis berusia 24 tahun dan pelajar tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi awam. Ketika ini saya buntu memikirkan masalah memilih pasangan hidup. Untuk pengetahuan Umi, saya ada dua lelaki yang menyayangi saya. Cukuplah saya gelarkan mereka A dan B dan kedua-duanya bekerja di sebuah syarikat swasta.

A berusia 31 tahun, seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab terhadap orang tuanya kerana sanggup melebihkan kebajikan orang tuanya melebihi dirinya sendiri. Sifat itu membuatkan saya cukup menghormatinya tetapi saya mempunyai satu masalah tentang dirinya kerana dia jarang bersolat dan ini bertentangan syarat yang ditetapkan keluarga saya iaitu mencari lelaki yang patuh pada suruhan-Nya. B pula pentingkan solat walaupun di mana dia berada, tetapi sikap dia tidaklah penyayang seperti A. B berusia 24 tahun, tetapi sikap yang menitik beratkan solat itu membuatkan saya menyukainya tetapi saya keliru dengan diri saya sendiri siapa yang harus saya pilih kerana mereka juga kawan yang banyak berkorban dan memberi nasihat serta sanggup bersama di masa saya susah dan senang. Saya buntu memilih kerana mahukan lelaki yang boleh membimbing saya selepas berkahwin nanti .


Tanti
JAWAPAN


Tanti yang sulit membuat pilihan. Tanti, anda bertuah kerana dipertemukan dengan dua jejaka yang memiliki keistimewaan masing-masing. Namun dalam hidup ini, kita tidak dapat lari daripada membuat pilihan.

Malah dalam soal membuat pilihan mengenai pasangan hidup ini, Nabi junjungan mulia kita sudah berpesan banyak agar memilih yang terbaik.

Dan antara nasihat yang perlu diperhatikan ialah memilih teman yang berasal daripada keturunan yang baik-baik, bukan mereka yang ada keturunan gila, penyakit kusta dan lain-lain yang mungkin diwarisi melalui keturunan atau baka.

Seterusnya kita dinasihatkan memilih kekayaan. Jika boleh, pilih pasangan yang berharta maka kita mungkin menumpang kekayaannya. Nasihat ketiga, adalah aspek kecantikan atau ketampanannya. Ini kerana kecantikan atau ketampanan akan menjadi daya tarikan yang mampu mententeramkan hati bila dipandang.

Kita juga dinasihatkan agar kita memilih yang kuat agama. Malah Nabi sangat menggalakkan kita memilih yang beragama melebihi ciri-ciri yang lain. Malah ada pesanan yang dihebahkan, “lebih baik pasangan yang hitam legam tapi beriman daripada memilih yang kuning langsat tapi maksiat.”

Berdasarkan peringatan ini penting ini sudah pastinya anda perlu memilih lelaki yang kuat berpegang pada agama melebihi daripada ciri-ciri lain. Jika anda ingin mendapatkan kebahagiaan, rasa aman dan ketenangan maka setiap setiap kita dituntut untuk melakukan nilai-nilai keutamaan, bersifat mulia dan tindakan yang baik. Ini diingatkan oleh Nabi: “Berusahalah untuk melakukan apa yang bermanfaat untukmu dan memohonlah pertolongan kepada Allah SWT (al-Hadith).

Ini bermakna di tangan anda segala kemungkinan berhubung dengan pilihan hati ini. Orang yang tidak pernah atau jarang memuji Allah SWT atas semua nikmat, maka dia akan lupa kepada-Nya. Malah hidup mereka mengalami perasaan yang kosong, fikirannya kotor, tidak senonoh dengan Tuhannya. Selain pegangan agama yang paling penting juga di lihat sikap hidupnya. Jika dia menghargai hari ini, bersyukur dan tidak mudah marah-marah atau panas baran, maka itu tandanya dia sesuai menjadi suami.

Selain agama, lihat jugalah sikap lembut yang dimilikinya dalam masa bergaul dengannya. Jika jelas lembut dan santunnya menghormati diri anda, maka itu juga petanda baik, sebab rumah yang bahagia adalah rumah yang dibangun atas rasa saling mencintai, yang tegak berdiri di atas tapak cinta yang penuh dengan takwa kepada Allah SWT dan keredaannya. Ini diperjelaskan Allah SWT dalam At-Taubah:109: “Maka apabila orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah SWT dan keredaan(Nya) itu yang lebih baik, atau orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka jahanam? Dan Allah SWT tidak memberikan petunjuk kepada orang yang zalim. Jadi keterangan ini jelas bahawa anda harus memilih orang yang lebih condong ke arah keagamaan. Selamat membuat pilihan.

Ahad, September 06, 2009

Sengsara poligami

Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my

Suami muda buntu pilihan isteri pertama atau kedua

Soalan:
SAYA berusia 27 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata berusia setahun. Bagaimanapun, belum sempat menyambut ulang tahun kedua perkahwinan, saya berkahwin lagi dengan bekas kekasih. Saya memang tidak mampu menolaknya dan dia juga sanggup membelakangkan keluarga untuk menjadi isteri kedua saya. Sekarang ini saya keliru, memilih isteri pertama atau kedua. Isteri pertama tidak dapat menerima hakikat saya berkahwin lagi dan meminta saya menceraikannya. Isteri kedua pula tidak kisah asalkan saya berlaku adil. Saya pula menyayangi kedua-duanya. Apa saranan puan?

Khiry

Jawapan:
Salam ‘macho’ buat Khiry yang mabuk cinta. Anda adalah lelaki yang sangat prihatin dengan perasaan sendiri dan sangat ghairah untuk melebarkan cinta atas nama lelaki. Sikap ini baik kerana hendak menyelamatkan wanita, tetapi tindakan ini juga sangat melukakan wanita!

Lelaki ialah hadiah daripada Allah SWT dan anda dibekalkan dengan diri yang sasa dan hebat. Namun, perlu diingat, semua ini bukan diberi percuma oleh Allah SWT kepada lelaki. Ini kerana fungsi utamanya untuk membina kebahagiaan keluarga, menjadi anak soleh yang menyenangkan hati dan kehidupan orang tua dan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang.

Kemudian anda diamanahkan jawatan sebagai suami untuk membimbing isteri menjadi isteri solehah, kemudian dinaikkan pangkat sebagai ayah, mendidik dan membimbing serta menjadi contoh terbaik kepada anak agar mereka menjadi anak yang soleh dan solehah, kerana syurga isteri juga di tangan anda. Anda dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak dan isteri agar anda dan mereka mampu menjawab depan Allah SWT nanti atas sebab anda dilahirkan di dunia ini.

Kontrak paling banyak tanggungjawab di hadapan Allah SWT nanti ialah kontrak perkahwinan. Kasih sayang dan cinta kepada manusia yang meluap-luap tanpa disandarkan kepada Allah SWT, bukan kerana Allah SWT dan tidak mohon reda Allah SWT, malah hanya berpaut kepada cinta nafsu saja adalah perkahwinan yang bertunjangkan nafsu. Ia tidak akan membawa anda berasa nikmatnya bahagia baik di dunia dan akhirat.

Oleh itu sebelum anda dilaknat Allah SWT kerana berhasrat berpoligami bukan sebab yang dibenarkan oleh Allah SWT, melukakan hati isteri, menggugat hubungan mesra, ikhlas dalam keluarga, renggang hubungan dengan ibu bapa dan ipar duai, lebih baik berfikir menggunakan alasan agama bukan alasan cinta nafsu yang meluap hingga akhirnya anda bukan menikmati cinta bahagia tapi akhirnya membina istana yang panas bak neraka di dunia. Jika tidak bahagia di dunia, sulit untuk kita menikmati syurga di akhirat.

Cuba bayangkan, bekas kekasih anda sanggup membelakangkan keluarganya kerana mahu menikahi anda, ini bermakna perkahwinan anda tidak direstui orang tuanya. Jarang perkahwinan sebegini akan meraih buah yang namanya bahagia. Oleh kerana restu orang tua amat penting dalam apa saja urusan seorang anak terutama perkahwinan. Sudah dipesan agama, reda Allah SWT ada dalam redanya ibu bapa. Satu lagi cuba fikirkan sikap dan pegangan agama dan keyakinan mempunyai Tuhan bekas kekasih anda itu. Jika dia memahami agama dan mentaati perintah Tuhan dan hidup dengan berpegang kepada prinsip bertuhan, dia tidak akan sanggup melukakan dan membelakangkan ibu bapa dan keluarga yang sudah membesarkan dia dari dua jari telapak kaki sehingga pandai bercinta dengan anda.

Jika jasa yang sebesar ini tidak dapat dihargai dan dibalas dengan baik, malah dia sanggup pula meninggalkan mereka, hanya kerana memburu anda yang sudah bergelar suami dan ayah! Jadi baikkah dia? Hinggakan anda harus melukakan hati isteri yang anda nikahi dengan sah dan dengan restu orang tua. Ingat, jika seseorang sanggup tidak menghormati dan menyayangi kedua orang yang melahir dan membesarkan dan dengan mudah meninggalkan ibu dan ayahnya, dia juga akan senang nanti meninggalkan anda yang hanya berjasa sebagai bekas kekasih saja.

Jika dia sanggup melakukan hal sedemikian, dia juga tidak akan ragu-ragu untuk melakukan apa saja untuk mendapatkan apa yang dia hajatkan di dunia ini tanpa memikirkan perasaan malu dengan kedua-dua orang tuanya, perasaan isteri anda dan perasaan orang yang ada di persekitarannya. Adakah anda yakin dia mencintai anda dengan cinta sejati atau cinta nafsu saja.

Jika dia benar-benar mencintai anda, dia tidak akan mengganggu anda selepas dia mengetahui anda sudah berkeluarga dan dia juga tahu perkahwinan kedua pasti akan menggugat keharmonian rumah tangga pertama anda. Jika dia memegang prinsip hidup beragama yang kental, dia akan melihat perkara itu sebagai tidak ada jodoh. Sebab dia tahu jodoh di tangan Tuhan, bukan di tangannya. Dia juga pasti akan menghormati perkahwinan anda dan sepatutnya dia mampu menganggap anda sebagai sahabat atau melupakan saja anda kerana Allah SWT.

Malah dia sepatutnya mendoakan kebahagiaan anda kerana sudah jelas dan nyata anda dengan dia tidak tertulis jodoh. Ini tanda wanita yang baik hati dan jauh daripada sifat balas dendam atau sifat tamak sesama wanita. Selain itu hormatilah isteri yang sudah anda nikahi dan sudah berkorban untuk menghadiahkan anda seorang cahaya mata.

Ingatlah pesan orang tua ‘bila anda melukakan, anda tidak akan dapat lari daripada dilukai.’ Tambahan pula perkahwinan anda sangatlah baru dan mentah lagi. Mungkin saja anda berasa terhimpit dengan cubaan ini, kerana anda tidak sedar bahawa jalan keluarnya ada di tangan Sang Pencipta. Akhir sekali Umi pesan, jangan bersedih, sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan dan ketenangan hati anda.

Oleh sebab itu, jangan habiskan usia muda anda dengan kesedihan, jangan lalui malam anda dengan gelisah dan cemas, dan jangan biarkan minit-minit hidup anda untuk gundah dan jangan berlebihan memburu cinta dalam hidup ini sebab Allah SWT tidak suka orang yang suka berlebih-lebihan.

Sentiasalah bergerak, bekerja, mencari, membaca kitab suci al-Quran hingga waktu anda terisi sebaik-baiknya. Jangan biarkan seminit pun disia-siakan. Ingatlah sehari saja anda tiada aktiviti sehinggakan ada hari yang terbiar kosong nescaya gundah gulana, keresahan, kerenah godaan dan bisikan syaitan akan mudah menyelinap dalam tubuh anda.

Apabila ini terjadi, anda sudah menjadi lapangan permainan syaitan. Berhati-hatilah membuat keputusan, jangan sampai yang diburu tak dapat, yang dikendong berciciran....atau ayam terlepas tangan bau tahi. Cinta yang tidak berlandaskan Tuhan tidak akan membawa kita ke syurga Allah SWT.

Selasa, Jun 09, 2009

Isteri risau suami tak solat


Bersama Dr Rubiah K Hamzah bminggu@bharian.com.my

SOALAN

SAYA berusia 29 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Sudah dikurniakan dua anak dengan suami yang rajin bekerja dan penyayang. Suami saya tidak pernah solat, kecuali pada hari raya. Ini membuatkan saya hilang hormat padanya. Saya tidak tenang dengan sikapnya. Walaupun saya mengaji, solat dan kerap ke majlis agama hati saya masih kosong, mungkin saya tidak menghormati suami.

Puan saya teringin memiliki suami yang rajin solat, beragama, mengaji bersama, solat jemaah. Sayang saya tidak dapat suami begitu. Saya selalu menyindir dan nasihat suami tetapi hatinya masih belum terbuka.


Isteri Kebingungan.


Jawapan:

SETINGGI simpati buat puan kerana bersuamikan hamba yang tidak merasa hamba dan tidak berjiwa hamba Allah. Persoalannya mungkin bermula dari sikap anda yang tidak teliti dalam membuat pemilihan ketika diberi kesempatan memilih, sedangkan Nabi sudah berpesan supaya memilih pasangan berdasarkan agama, di samping syarat yang lain.

Nampaknya syarat itu tidak dituruti, maka di situlah permulaan masalah yang puan hadapi sekarang. Suami memegang jawatan ketua keluarga, bagaimana dia mahu melaksanakan tugas itu jika dia tidak cukup syarat menjadi ketua keluarga. Maka berlakulah ketempangan yang lain dalam kehidupan, termasuk munculnya sikap suka marah yang anda alami. Ini juga disebabkan rezeki yang dimakan tidak cukup bersih kerana suami yang menjadi pencari rezeki lupa berterima kasih pada pembekal rezeki berkenaan yakni Allah.

Apa maknanya suami baik dengan puan dan keluarga jika hubungan kosong dengan Allah yang membekalkan nyawa padanya. Bagaimana anda mengandaikan ada syurga di kaki suami jika suami tidak tahu dan tidak mahu melayakkan diri menjadi ahli syurga, sebab itu dipesan agama, taati suami yang mentaati Allah, jika tidak, taat puan padanya tidak ada maknanya sekadar menambah dosa puan dan dosa dia pada keluarga, terutama anak-anak pada masa akan datang. Bagaimana hati boleh tenteram jika ibadah terpenting ini tidak dilaksanakan, seolah-olah sama saja dia dengan orang kafir kerana bezanya orang Mukmin dengan orang kafir ialah solatnya. Malah, Allah menyatakan pada kita umatnya yang bermaksud: “Wahai yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang sabar.”- QS Al-Baqarah: 153.

Kita lihat perjalanan hidup Rasulullah saw pula bahawa baginda sendiri jika ditimpa sebarang ketakutan, baginda akan segera melakukan solat, malah baginda pernah berpesan pada Bilal yang bermaksud: “Wahai Bilal, tenteramkan (hati) kita dengan solat.” Selain itu nasihat lain daripada bijak pandai agama untuk kita iaitu jika hati berasa sempit, masalah yang dihadapi berasa rumit, banyak tipu muslihat, maka bersegeralah ke tempat solat. Nasihat lain pula ialah jika berasa hari ini gelap, malam mencengkam dan kawan berpaling meninggalkan kita, maka lakukanlah solat. Jika diteliti pesanan Allah yang menyentuh hal solat dan kita memahaminya, pasti kita tidak akan mampu untuk meninggalkannya.

Misalnya, ayat Allah bermaksud: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.” - QS Thaha: 132. Begitu juga perintah sangat mengesankan yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar.” - QS Al-Ankabut:45). Begitu juga pesanan lain yang bermaksud: “Sesungguhnya, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang mukmin yang beriman.” - QS An Nisa: 103.

Puan setelah sekian banyak penjelasan diberikan, saya berharap anda faham bahawa akan tertanggal hubungan kita dengan Allah sekiranya kita tidak mengerjakan solat. Bagaimana puan sanggup hidup dengan orang yang hanya hidupnya sama seperti binatang? Bagaimana puan mengharapkan dia akan menjadi pelindung daripada api neraka jika dia tidak pernah berasa sebagai hamba Allah dan tidak pernah memikirkan bagaimana untuk menjadi hamba Allah yang akan dijemput Allah. Jika puan mahu selamat buatlah pilihan sama ada mahu dengan Tuhan atau dengan suami yang jauh daripada Tuhan.

Pilihannya ada pada tangan puan. Jika puan tidak berusaha menyedarkannya atau hanya menyalahkannya atau puan selesa dengan kelakuannya, maka sudah tiada bantuan lain kerana Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi orang itu tidak mengubahnya sendiri. Allah membantu berdasarkan usaha dan doa kita. Jika mampu temukan suami dengan orang yang dia segani dalam keluarga dan masyarakat untuk bercakap dan menyedarkannya betapa sulitnya hidup orang yang tidak solat bukan saja di dunia, malah di akhirat lebih sukar lagi. Selebihnya teruslah berdoa kerana Allah tidak pernah menolak doa daripada hambanya. Jika anda mampu memperlihatkan kepadanya kesan positif hidup orang yang solat mungkin dia akan tertarik.

Rabu, Jun 03, 2009

Rintihan isteri kedua

Suami pilih kasih, lebih utamakan keluarga madu
Bersama Dr. Rubiah K. Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my

Soalan:
Saya berusia 35 tahun dan ibu empat cahaya mata. Saya sudah berkahwin 11 tahun lalu dan menjadi isteri kedua. Seperti kebanyakan isteri kedua lain, sepanjang perkahwinan terlalu banyak kekurangan yang perlu saya terima, termasuk kami anak beranak tidak pernah berhari raya dengan suami. Malah suami balik ke rumah pun seperti melawat kawan. Namun saya akui suami amat baik. Dari segi kemewahan hidup, semua disediakannya. Saya tiada masalah kewangan.

Namun ada masanya, jiwa saya memberontak. Saya juga ingin suami di sisi, berhari raya bersama, namun, nampaknya hingga sekarang tinggal harapan. Suami takutkan isteri pertama. Kenapa kebanyakan suami yang berpoligami, takut isteri pertama? Kami bukannya nikah secara rahsia.

Saya sudah tidak dapat bersabar lagi dan meminta suami melepaskan diri ini. Baru-baru saya mendapat tahu, madu saya seorang yang berkuasa dalam syarikat suami. Jika suami mati, madu saya tidak ada masalah kerana boleh mengambilalih perniagaan suami, tetapi saya bagaimana? Apa yang perlu saya lakukan tanpa sebarang pekerjaan? Oleh itu, saya minta dilepaskan kerana terlalu banyak kekurangan yang perlu saya terima. Suami tidak adil. Dia membelikan rumah teres dua tingkat, kondominium dan pangsapuri kepada madu. Tetapi saya hanya diberi rumah pangsa. Apa yang perlu saya lakukan ?

Zarina
Kuala Lumpur.

Jawapan:
TAHNIAH kerana anda sudah berjaya melayari hidup berkeluarga walaupun menjadi isteri kedua dan sudah punya anak yang sedang membesar.

Kesudian anda menjadi isteri kedua adalah satu nikmat dari Allah SWT. Apa lagi dijodohkan dengan orang kaya harta dan kaya rasa sehingga membolehkan anda merasa nikmat berkeluarga walaupun tidak dapat semuanya mengikut ukuran anda. Ini sudah satu nikmat dan rahmat dari Allah yang sangat-sangat perlu dihargai kerana di luar sana terlalu banyak orang yang bergadai nyawa hanya untuk mencari sesuap nasi pagi dan petang. Oleh itu jika anda masih ada nasi dan lauk yang enak untuk disuap dan rumah tempat berteduh serta anak-anak yang sihat untuk berkongsi kasih, maka itu sudah satu hadiah terhebat dari Allah SWT yang tidak ada tolok bandingnya di dunia ini.

Sedarkah puan terlalu ramai orang di luar sana yang tidak dapat kesempatan berkahwin dan ada yang terpaksa berbelanja berjuta ringgit untuk mendapatkan anak? Ini bermakna puan masih tergolong dalam golongan orang yang sangat bertuah. Namun, berdasarkan apa yang anda luahkan, jelas menunjukkan bahawa anda belum berpuas hati dengan apa yang sudah dikurniakan Ilahi. Keadaan itu timbul kerana anda menurut hati dan ‘apa yang anda mahu, bukan yang anda perlu’. Sedangkan apa yang anda mahu itu bukan apa yang suami dan Allah SWT mahukan. Jika apa yang kita mahu itu adalah kemahuan Allah juga, sudah pasti Allah akan dikurniakan.

Bersabarlah puan, kerana Allah tidak menunaikan hamba-Nya serentak. Kesemua doa kita kabulkan secara beransur-ansur. Apa yang anda alami adalah senario biasa menjadi isteri muda atau wanita yang bermadu tidak kira isteri nombor berapa pun. Pastilah anda di kedudukan itu, tidak boleh meminta tapi hanya sekadar menerima. Ini prinsip penting yang perlu dipegang. Anda berkongsi hak dengan pemilik pertama, maka orang kedua hanya menunggu saja bila hak diberi dan banyak mana. Tidak boleh mempersoalkan dan membandingkan antara anda dan madu. Kerana atas dasar apa pun, isteri tua yang masih memberikan khidmat terbaik pada suaminya tidak akan mudah diabaikan oleh suami dan sulit untuk mengubah cara hidup yang sudah terakam sejak mereka muda lagi.

Kita sekadar pendatang baru, konsep adilnya bukan saksama tapi diberi hak bila dirasakan perlu. Pantang minta hak kerana hak itu haknya suami. Jika suami boleh main peranan dengan baik pun konsep adilnya bukan memberi yang saksama tetapi tetap diberi dan pasti bahagiannya tidak sama kerana sejarah bersamanya saja tidak sama. Mereka sudah melalui jangka hidup berkongsi yang sangat lama dibanding dengan puan. Puan ditemui dalam perjalanan hidup saja bukan seperti menemui isteri pertama. Jika tempoh bersama itu berbeza, cara hidup itu berbeza dan tempoh berjuang tidak sama, mana mungkin puan menuntut yang sama antara anda dan madu.

Sikap inilah yang membuat semua isteri kedua menderita hasil ciptaan sendiri. Oleh itu sedarlah terkadang apa yang yang kita hajatkan melebihi daripada apa yang Allah peruntukan untuk kita. Oleh itu janganlah bersedih jika anda tidak dibelai, tidak diberi sebanyak yang anda fikir layak dan diberikan seperti anda fikirkan. Keadaan ini akan membuat anda sentiasa berasa tidak tenteram, tidak puas dan tidak gembira dalam hidup.

Sikap anda yang begitu jugalah yang mungkin membuat suami hanya datang bertandang saja di rumah anda, berubah sikap dan mulai tidak menghargai anda sebagai isteri keduanya. Bersyukurlah anda masih ditanggung semua keperluan utama. Jika anda masih berasa kurang, itulah perasaan yang menyelubungi diri sepanjang hidup hinggalah Puan menemui ajal.

Nasihat Umi, anggaplah perkahwinan sebagai hadiah. Hargailah hadiah itu dan anak-anak. Sebagai isteri kedua anda akan selamanya kurang dan terimalah hakikat itu dengan hati terbuka. Jangan membandingkan dengan apa yang suami putuskan, kerana suami tahu apa yang beliau lakukan. Jika beliau bersalah, maafkan dan mohon doa dengan Allah SWT untuk suami diberi keadilan di hati. Reda dengan apa yang diberi. Harta terbaik adalah anak-anak, bukan rumah dan wang semata-mata. Jika anda isteri yang baik, hargai apa yang diberi suami bukan mempersoalkan apa yang diberikannya.

Pesanan terbesar Umi, jangan membanding-bandingkan apa saja yang diberikan kerana sikap itu menggambarkan anda manusia yang tidak pernah cukup dan bersikap tamak. Ini adalah dilarang dalam agama dan dalam budaya.

Hayati pesanan Ibnu al- Mubarak seorang alim yang masyhur:
“Wahai orang yang menghina dan melecehkan orang lain, apakah anda sudah selamat dari musibah, adakah anda tidak memerlukan orang lain dalam hidup dan Allah SWT menjelaskan, dunia ini lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk, begitulah Allah menilai dunia ini. Maka wajar atau tidak anda takut dan gelisah kerananya”.

Puan sesungguhnya bahagia yang sebenarnya ialah bila kita merasa aman dalam diri, dalam keluarga dan dalam kehidupan sehari-hari bersandarkan reda kepada Allah SWT dan terhadap ketentuan-Nya.