Khamis, April 24, 2014
Anak buka rahsia mak didera bapa
Oleh NORMALA HAMZAH
normala.hamzah@utusan.com.my
Tarikh : 19/04/2014
PERKAHWINAN bertujuan menyatukan dua insan dalam sebuah ikatan kasih yang diharap akan berkekalan sampai ke hujung nyawa. Susah senang, gagal atau berjaya dikongsi bersama dengan rasa penuh tanggungjawab asalkan hidup dapat diteruskan dalam suasana harmoni.
Pun begitu tidak semua perkahwinan membawa bahagia, ada yang derita hingga ke hujung usia dan ada juga yang patah di tengah jalan. Semuanya adalah suratan takdir dan tidak siapa mampu menolaknya.
Bagaimana pula dengan suami yang mendera isteri tetapi tidak mahu menceraikan isteri kerana ego dan tidak berhati perut?
Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini, kisah Mazni (bukan nama sebenar) yang telah berkongsi hidup bersama suaminya, Roslan (bukan nama sebenar) selama tujuh tahun. Perkahwinan yang menjadikan Mazni terseksa jiwa dan raga, malah dia hampir mengalami tekanan jiwa dengan sikap suami yang teramat ego.
Kita ikuti cerita Mazni.
'Saya berusia lewat 30-an, bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat insurans. Saya telah bernikah dengan Roslan, seorang penjawat awam selama tujuh tahun. Kami dikurniakan tiga orang anak berusia setahun, empat dan tujuh tahun.
'Kami bernikah atas pilihan keluarga. Saya tidak pernah kenal dia sebelum kami disatukan kerana ibunya yang beriya-iya mahukan saya sebagai menantu.
'Saya juga tidak tahu kenapa Roslan bersetuju dengan hajat ibunya, sedangkan dia tidak cintakan saya. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan jodoh. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan berusaha menjadi isteri yang baik dan solehah.
'Di peringkat awal pernikahan kami semuanya baik-baik belaka. Saya dilayan seperti mana suami lain melayan isteri. Apabila anak sulung kami lahir, suami mula buat hal. Perangainya mula berubah.
'Dia bukan kaki perempuan, tidak juga yang selalu keluar malam berfoya-foya. Masalah dengan suami saya, dia seorang yang panas baran dan suka memerintah.
'Saya sering diherdik, ditengking dan dimarahi tanpa sebab. Ada kalanya disebabkan masalah kecil, dia boleh menengking dan mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar kepada saya. Pun begitu, saya masih bersabar sebab ingatkan anak-anak. Malah dia kerap memukul saya di hadapan anak-anak.
'Daripada panas baran, dia mula naik tangan. Sikit sahaja silap, saya akan ditampar. Pendek kata, saya tidak boleh buat silap. Itu pun saya sabar. Tidak sekalipun saya ceritakan kepada sesiapa termasuk ibu dan ayah saya dan keluarga.
'Di rumah, saya didera mental dan fizikal. Semua kerja rumah saya harus buat sendiri. Tidak ada pembantu rumah. Mengemas, memasak dan membeli keperluan rumah, saya yang kena buat. Dia hanya menjadi pemerhati.
'Bayangkan, setiap hari saya terpaksa bangun pagi untuk memasak, membasuh pakaian dan menghantar anak ke taska. Mujur dua orang anak yang bersekolah naik bas. Sering kali saya masuk kerja lewat kerana kesesakan jalan atau terlewat bangun.
'Sekali dua, mungkin terlepas tetapi kalau selalu, kawan-kawan pun tidak dapat membantu. Akhirnya saya diberi surat amaran kerana terlalu kerap datang lewat ke pejabat. Saya cuba bercakap dengan suami dan minta dia carikan saya pembantu rumah.
'Nak tahu apa jawapannya, awak kan ada. Awaklah jadi pembantu rumah. Itu pun tak boleh buat! Sedihnya hati saya, Allah sahaja yang tahu. Saya cuba memujuk tetapi gagal, dia berkeras yang kami tidak perlukan pembantu rumah kerana membazir katanya.
'Memang saya akui, saya boleh buat semua kerja. Tetapi dengan kudrat yang ada, saya tidak mampu lagi bertahan. Saya sering keletihan apabila balik ke rumah. Pergi menjemput anak-anak di taska dan rumah jiran. Dari pukul 6 pagi, saya keluar rumah, sampai di rumah hampir 8 malam. Bayangkan!
'Suami langsung tidak ada tolak ansur untuk membantu. Anak menangis pun boleh dibiarkan begitu sahaja. Saya juga yang terpaksa bergelut dengan anak dan kerja rumah. Anak-anak sedang membesar dan perlukan perhatian kami sebagai ibu bapa, itu pun dia tidak faham.
'Saya pelik dengan perangai suami. Bagaimana dia boleh tidak ada perasaan kasihan sedikit pun kepada saya. Bukan dia tidak nampak bagaimana kalutnya saya untuk buat semua kerja rumah.
'Balik rumah, saya perlu memasak untuk makan malam. Kalau saya tak masak, dikatanya saya malas dan tidak pandai melayannya. Serba tak kena dibuatnya!
'Mengenangkan sikap suami, hati saya menjadi luluh, saya sangat sedih. Sering kali saya menangis apabila mendengar cerita kawan-kawan pejabat yang mana suami mereka suka membantu buat kerja di rumah. Saya selalu berdoa agar satu hari nanti suami akan berubah dan mohon Allah lembutkan hatinya.
'Satu hari, ibu saya datang ke rumah. Saya ambil cuti kerana nak jaga hati ibu. Anak-anak sangat gembira apabila saya ada di rumah, sebab mereka tidak payah pergi ke rumah jiran selepas balik sekolah.
'Entah macam mana anak sulung saya yang berusia tujuh tahun memberitahu neneknya yang saya selalu kena marah dan pukul dengan ayahnya. Apa lagi, mengamuk ibu saya terutama setelah tanda lebam dan bengkak di lengan saya kerana baru ditampar oleh suami sehari sebelum ini.
'Saya mengelak daripada bercerita hal sebenar tetapi gagal sebab anak saya yang sulung itu petah bercerita dengan neneknya apa yang ayahnya selalu buat terhadap saya dan juga mereka. Saya tidak dapat berbohong lagi. Mahu tidak mahu saya terpaksa berterus terang.
'Malam itu juga, ayah dan abang saya tiba di rumah. Rupa-rupanya ibu telah menelefon mereka memberitahu apa yang telah berlaku kepada saya. Saya menangis apabila ayah dan abang bertanya hal sebenar. Saya akhirnya memberitahu mereka yang selama ini saya tidak bahagia dan banyak berahsia dengan mereka.
'Malam itu, sebaik sahaja Roslan balik ke rumah, dia terkejut melihat ayah dan abang saya ada di rumah. Dia menegur dan bertanya khabar tetapi ayah bersikap dingin. Ayah benar-benar marah dan mahu membuat perhitungan dan menyelesaikan masalah kami berdua malam itu juga.
'Setelah diasak dan ditunjukkan bukti tangan saya yang bengkak dan lebam-lebam, akhirnya Roslan mengaku akan perbuatannya. Dia meminta maaf kepada ayah dan abang di atas perbuatannya itu. Tetapi abah tidak dapat menerima.
'Abah tegur perbuatannya yang tidak berhati perut itu. Pada masa yang sama ayah minta dia bertaubat dan menyediakan segala keperluan rumah untuk saya dan anak-anak jika mahu terus bersama saya.
'Pertengkaran hebat berlaku antara abah, abang dan Roslan. Keluarga Roslan juga dipanggil untuk menyelesaikan perkara ini. Terkejut keluarga mentua saya dengan apa yang berlaku.
'Saya menangis semahu-mahunya menyaksikan perdebatan antara dua keluarga ini. Tidak siapa tahu apa yang saya tanggung selama ini. Keluarga mentua memarahi saya kerana menyimpan rahsia ini terlalu lama. Sepatutnya saya berterus terang dengan mereka atau keluarga saya.
'Saya rasa tidak ada seorang isteri yang mahu membuka keburukan suami kepada keluarga, lebih-lebih lagi jika si isteri sangat mencintai suaminya, begitulah juga dengan saya. Tetapi kehendak Allah tidak siapa menduga, dalam sekelip mata masalah rumah tangga saya tersingkap.
'Roslan macam orang bodoh. Dia dihembur dengan kata-kata yang bukan kepalang oleh ibu bapanya. Saya hanya berdiam diri dengan air mata yang berlinangan di pipi. Bukan niat saya bercerita kepada sesiapa.
'Akan tetapi Allah Maha Mendengar dan Melihat penderitaan saya. Hari itu, Roslan diberi pilihan sama ada membebaskan saya atau bertaubat dan berubah.
'Dia memilih untuk bertaubat dan berubah. Dia melutut di hadapan ayah dan ibu saya serta ibu bapanya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya. Suasana sangat pilu.
'Saya meraung apabila Roslan memeluk saya dan memohon maaf atas keterlanjurannya selama ini. Katanya, dia tidak ada niat untuk menyeksa saya tetapi egonya mengatasi mindanya sebagai seorang suami yang perlu melindungi saya. Akhirnya keadaan kembali pulih.
'Suami diberi amaran keras oleh keluarga kami. Jika terjadi lagi perkara seumpama itu, dia tidak ada pilihan melainkan kehilangan saya dan anak-anak, itu kata dua yang abah dan abang saya berikan kepadanya.
'Alhamdulillah selepas peristiwa itu semuanya kembali tenang. Roslan berubah terus daripada perangai lamanya. Dia menjadi seorang suami dan ayah yang penyayang dan prihatin. Saya terasa seperti kami baru berkahwin dan memulakan kehidupan baru.
'Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Terutama peranan yang dimainkan oleh keluarga kami dalam menyelesaikan masalah ini. Terima kasih juga kepada anak saya yang membuka cerita kepada neneknya. Jika tidak, sampai bila saya akan terus terseksa pun, saya tidak tahu.
'Saya percaya, Allah menguji saya kerana Dia mahu memberi yang lebih baik untuk saya dan keluarga. Saya bersyukur dan berharap apa yang saya lalui akan menjadi teladan kepada pasangan suami isteri yang lain.
'Pesanan saya, sayangkan suami biar bertempat dan jangan sampai memudaratkan diri. Bertindak menjaga hak kita sebagai isteri jika tidak mahu menderita... saya telah menempuhnya dan saya tidak mahu anda pula melaluinya, demikian Mazni menamatkan ceritanya.
Menarik sungguh cerita Mazni. Jarang ibu bapa mahu mencampuri masalah rumah tangga anak dan menantu mereka. Tetapi keluarga Mazni bertindak bijak apabila bersemuka dengan suami Mazni dan keluarganya.
Inilah tindakan yang harus dibuat oleh ibu bapa apabila berdepan dengan krisis rumah tangga anak menantu. Bukan niat mengeruhkan keadaan tetapi menyelesaikannya dengan baik.
Semoga kes ini menjadi pengajaran buat Roslan dan Mazni dan didoakan agar kehidupan mereka sekeluarga dalam rahmat Allah hendaknya.
Mengundur diri, pesanan saya untuk pembaca budiman, di sebalik derita ada gembira, di sebalik bahagia ada air mata. Kembalilah kepada Allah apabila anda berada di persimpangan dalam mencari jalan pulang.
Salam
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140419/ke_01/Anak-buka-rahsia-mak-didera-bapa#ixzz2znfddbqa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Isnin, Mac 14, 2011
Isteri hanya daki di kulit
''Semua masalah disebabkan ada pihak berasa agihan kasih sayang tidak adil campur tangan orang ketiga, ditipu suami, keadilan memikul tanggungjawab yang terletak dibahu wanita sahaja. Peliknya walaupun perasaan mereka dilukai namun masih ramai wanita takut bertindak mempertahankan diri! Mengapa ini terjadi?'' tanya Puan Farahazwan dalam emelnya.
''Semua masalah itu tidak akan ada kesudahannya, selagi isteri tidak belajar bagaimana untuk mengatasinya. Mereka sedar semuanya berpunca daripada orang ketiga yang mendakwa jodohnya telah ditakdirkan. Orang ketiga mahukan kasih sayang. Dia pertahankan haknya tak kisahlah ada rumahtangga lain musnah asalkan hajatnya tercapai.
''Namun yang buat saya terkilan bila ada isteri dan anak-anak jadi mangsa keganasan suami-suami yang berpoligami. Saya sedih sangat lihat masih ada isteri yang sanggup pertahankan badannya dipukul dan dihina kerana sayangkan suami. Wahai isteri, tolonglah jangan tunggu sampai anda dan anak-anak cacat baru hendak dapatkan pertolongan.
Pelindung
''Kalau suami yang anda harapkan menjadi pelindung sudah mula angkat kaki tangan memukul anda dan anak-anak untuk melepaskan kemarahannya, jangan bermimpi yang anda dan anak-anak selamat hidup dengannya. Tak payah tunggu! sila angkat kaki!
''Setiap kita ada pilihan, pilihlah untuk hidup sejahtera atau sebaliknya. Jangan takut dengan rezeki dan hari depan, serahkan kepada-Nya.
''Saya suka berikan pandangan dari beberapa situasi yang mungkin boleh kita fikirkan. Terpulanglah kepada anda memikirkan. Mungkin ada yang setuju, mungkin ada tidak setuju. Iaitu tentang reaksi dan tindakan anda jika suami ingin berpoligami
''Pertama, benarkan saja. Terutamanya kalau suami anda berkemampuan lahir batin. Kerana kalau disekat, dia akan naik 'hantu' bila hasratnya dibantah. Ingat kepada Allah. Suami bukan hak kita. Hanya pinjaman. Mungkin sudah takdirnya dia ada jodoh lagi. Kuatkan semangat dan jangan susah hati. Berserah kepadaNya.
''Kedua, kalau suami tak minta berpoligami, tapi buat maksiat di belakang kita? Tindakan anda suruh dia kahwin. Cari borang kebenaran berpoligami dan deraf surat berjanjian supaya dia buat perjanjian tidak menganiaya anda dan beri nafkah anak anak.
''Buat maksiat memang seronok, sebab perisanya syaitan yang beri. Selagi tidak diikat dengan tanggungjawab, selagi itulah suami tak henti buat maksiat, jadi suruh dia kahwin. Jika dia suami yang bertanggungjawab pasti dia tak berani. Memang seronok buat maksiat tanpa tanggungjawab. Bila dah kahwin baru dia tahu langit tinggi atau rendah.
''Ketiga, jika anda tahu suami tak mampu berpoligami dan anda tak mahu bantu, bersedialah bercerai secara baik, tambahan jika suami sudah hilang rasa sayang terhadap anda. Langsung tak ada hati hendak pegang anda. Tak payahlah merayu-rayu. Lagi teruk jika dia anggap anda sudah tidak wujud dalam hidupnya. Maka anggaplah jodoh sudah habis.
''Tetapi berbincanglah baik-baik tentang masa depan anak-anak. Bersikap rasional dan beri keutamaan untuk mencari jalan penyelesaian tentang nafkah.
''Keempat, kalau suami jenis suka naik tangan kaki ke badan sampai cedera berdarah tunggu apa lagi, memang dah rezeki anda terlepas daripada genggaman suami zalim. Tapi sebelum itu simpan segala rekod dan bukti. Tuntut hak anda. Kalau suami jenis cepat 'meletup' segera dapatkan pertolongan sebelum anda maut.
''Memang banyak cabaran berumahtangga. Seronok hanya seketika semasa bercinta. Hari semalam dan hari ini tidak menjanjikan kesudahan yang baik untuk hari esok. Apa yang penting, lengkapkan diri dengan pengetahuan dalam berumah tangga, buka bank akaun simpanan anda sendiri demi masa depan. Ingat pesan orang tua-tua 'suami macam daki di kulit' bila-bila masa dia boleh buang anda.
''Jangan mengharapkan balasan daripada manusia atau suami anda. Tetapi, berilah yang terbaik sebagai seorang isteri dan ibu kepada suami anda. Anggaplah semua pengorbanan anda itu sebagai tanggungjawab dan komitmen anda sebagai hambaNya.
''Seperkara yang lebih penting dalam hidup kita, anda mesti bahagiakan diri anda dahulu. Jangan fikir hanya suami sahaja boleh membahagiakan anda. Anda boleh mencari kebahagian sendiri dengan menjadi insan yang baik dan beriman. Bila perasaan dan hati anda telah bahagian maka anda pasti dapat membahagiakan insan lain disekeliling anda.
''Jadilah manusia yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain khususnya kepada ibu bapa sendiri dan perbanyakkan sedekah jika anda mampu. Kerana itulah yang lebih penting sebenarnya dalam menjalani kehidupan di dunia ini dan menjadi bekalan di akhirat.
''Jangan sesekali mengharapkan jika anda bahagiakan hidup pasangan anda, maka dia akan bahagiakan anda! Belum tentu!
''Lebih teruk jika anda memikirkan hanya wang boleh membahagiakan anda. Kadang kala bila suami banyak wang anda akan jadi lebih tidak bahagia. Begitu juga halnya jika anda cuba menambat hati suami dengan memberikan dia wang. Lagi banyak anda beri, maka lebih jauh dia tinggalkan anda setelah apa yang dihajati tercapai.'' Demikian nasihat Farahazwan panjang lebar kepada wanita yang tidak pernah belajar tentang erti sebenar kehidupan dalam berumahtangga.
Jumaat, Mac 11, 2011
Belasah guna tali pinggang
Penangan pil kuda bukan saja menyebabkan lelaki berusia 23 tahun itu membelasah isteri dengan kaki dan tangan, malah lebih malang lagi apabila tubuh ibu kepada dua anak itu turut disebat dengan tali pinggang apabila si suami hilang kawalan akibat ketandusan bekalan dadah.
Lelaki terbabit yang bekerja sebagai pembantu penguat kuasa di sebuah agensi penguatkuasaan kerajaan di Kuala Lumpur dikatakan menagih pil kuda sejak setahun lalu dan dipercayai mendapat bekalan dadah berkenaan daripada pengedar di bandar raya itu.
Mangsa berusia 21 tahun nekad membuat laporan polis apabila lelaki terbabit yang bagaikan dirasuk syaitan membelasahnya dengan tali pinggang ketika pulang bercuti ke rumah keluarga di Felda Cherul, Cheneh,.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata pihaknya menerima laporan wanita terbabit yang dibuat di Pondok Polis Cheneh pada jam 2 petang, Ahad lalu.
Beliau berkata, susulan laporan itu, anggota polis di pondok berkenaan mengambil tindakan segera menahan lelaki terbabit dalam satu serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (KBSJN) Kemaman, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah di rumah keluarga lelaki berkenaan.
Menurutnya, dalam serbuan disaksikan kedua-dua orang tua lelaki terbabit pada jam 2.30 petang hari sama, anggota penguat kuasa berkenaan yang panik dengan kehadiran polis di rumah itu bertindak agresif bagi mengelak ditahan.
“Pemeriksaan pada badan lelaki terbabit tidak menemui sebarang dadah dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut.
“Lelaki terbabit dipercayai menagih pil kuda berdasarkan keputusan ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia positif metaphetamine,” katanya.
Abdullah berkata, lelaki terbabit sudah dibebaskan semalam dengan jaminan polis selepas direman selama tiga hari di lokap IPD Kemaman bermula Isnin lalu.
Katanya, anggota penguat kuasa itu akan dipanggil semula selepas polis mendapat laporan penuh ujian air kencing daripada makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beliau berkata, siasatan awal polis percaya lelaki terbabit bertindak agresif dan sering memukul isterinya apabila ketagihan selepas dipercayai terputus bekalan apabila pulang bercuti di kampung.
“Penangan dadah jenis metaphetamine seperti pil kuda boleh menyebabkan penagih hilang kawalan dan bertindak tanpa peri kemanusiaan sekiranya terputus bekalan,” katanya.
Abdullah berkata, siasatan terhadap lelaki terbabit dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun.
Jumaat, Februari 11, 2011
Sepak perut isteri hamil
am@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Seorang ibu kepada dua anak terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital di sini, apabila kandungannya berusia tiga bulan gugur selepas ditampar dan ditendang di perut oleh suaminya, Sabtu lalu.
Wanita berusia 22 tahun itu pada mulanya bertengkar dengan suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Luar, dekat sini.
Akibat tidak dapat menahan sabar, suaminya menampar mangsa beberapa kali sebelum menendang tubuh wanita itu dan perutnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata mangsa yang mengandung tiga bulan terpaksa menahan kesakitan selepas dikasari suaminya.
“Meskipun isterinya mengalami kesakitan akibat kekasaran yang dilakukannya, suami mangsa yang berusia 23 tahun meninggalkannya di rumah pada keesokan harinya untuk melakukan kerja di sebuah pelantar minyak,” katanya.
Manoharan berkata, berikutan tidak dapat menahan sakit dan menyedari berlaku pendarahan, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, petang Selasa lalu.
Katanya, doktor mengesahkan mangsa mengalami keguguran dan tertekan dengan kejadian berkenaan, wanita itu membuat laporan di Pondok Polis HSNZ pada jam 11 malam hari sama.
Kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Mangsa kini stabil dan menjalani rawatan akibat keguguran di hospital berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 313 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan keguguran tanpa kerelaan perempuan dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga sehingga 20 tahun dan denda.
Manoharan berkata, tiada tangkapan dilakukan setakat ini kerana suspek berada di luar daerah disebabkan bekerja di pelantar minyak berkenaan.
Isnin, Januari 31, 2011
Lelaki pukul isteri miliki emosi tidak stabil
Moderator Halaqah di TV9, Ahmad Shukri Yusoff berkata, banyak perkara tidak kena apabila berlaku kes pukul memukul kerana seorang suami sepatutnya melindungi isteri sebaik yang boleh.
“Dalam institusi perkahwinan memanglah ada pertelingkahan, tetapi tidak sampai ke tahap memukul dan mencederakan isteri kerana apabila sampai tahap mencederakan dan mendera ini boleh dikategorikan golongan yang mempunyai emosi tidak stabil.
“Bagi seorang isteri, apabila mendapati ada sesuatu yang boleh memudaratkan diri, janganlah didiamkan saja. Menjadi isteri solehah tidak bermakna membenarkan kezaliman berlaku pada diri sendiri,” katanya.
Muka depan Metro Ahad semalam melaporkan seorang isteri muda berusia 23 tahun menjadi mangsa keganasan suaminya berusia 27 tahun sehingga lebam dan cedera di badan kerana kerap dipukul dan ditendang, malah digigit.
Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi, namun suaminya dikatakan pandai berlakon bagi menutup kesalahannya dengan meminta maaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu, sehingga berguling di hadapan mentua. Dalam waktu sama si suami mengugut membelasah isterinya dengan lebih teruk jika membocorkan rahsia perkahwinan mereka kerana bimbang tidak disahkan dalam jawatan sebagai kakitangan kerajaan.
Pasangan itu berkahwin di selatan Thailand pertengahan tahun lalu dan belum mendaftarkan perkahwinan kerana setiap kali si isteri mahu berbuat demikian, si suami berdolak dalih dengan pelbagai alasan.
Ahmad Shukri berkata, dari sudut perkahwinan pasangan itu di Thailand dan keengganan mendaftarkan pernikahan di negara ini juga jelas menunjukkan suaminya seorang yang tidak bertanggungjawab dan mahu lari dari sebarang komitmen.
“Sebab itu perangainya boleh bertukar sebelum berkahwin dan selepas berkahwin, malah boleh berlakon baik di depan mentua dan secara umumnya lelaki seperti ini boleh disimpulkan bukan lelaki baik.
“Lelaki yang berwatak jahat, penuh kepura-puraan dan hanya tahu berseronok memang ada. Bagi wanita, kenalah berhati-hati sebelum memutuskan untuk berkahwin, lebih-lebih kepada yang bercadang untuk berkahwin di luar negara,” katanya.
Jumaat, Disember 10, 2010
Pelihara amanah
10 Dis 2010
KUALA LUMPUR: “Si suami perlu ingat bahawa isteri mereka adalah amanah Allah untuk dididik dan diasuh...bukannya barang untuk dipukul, diherdik dan dikasari,” demikian kata bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Beliau mengulas mengenai seorang lelaki yang dilaporkan mendera isterinya dengan membelasah dan memijak kepala isterinya di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, baru-baru ini.
Katanya, dalam Islam ada pelbagai cara baik bagi si suami untuk menasihati atau menegur isterinya jika didapati derhaka, termasuk memberikan nasihat dan memulaukan.
“Bukanlah cara untuk suami yang tidak berpuas hati dan ingin mengajar isterinya untuk melakukan keganasan sehingga mendatangkan kecederaan pada isterinya,” katanya.
Menurutnya, si isteri juga sebenarnya mempunyai hak untuk mengadu hal berkenaan selain membuat laporan polis dan tidak hanya mendiamkan diri semata-mata.
“Keganasan rumah tangga dilakukan suami tidak boleh disorok kerana berkemungkinan menjadi lebih teruk, termasuk membabitkan kematian,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan seorang lelaki yang bengang selepas ditegur isterinya kerana sering pulang lewat mengamuk dan memijak kepala wanita itu di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, 1 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 20-an dan bekerja sebagai kerani sedang menonton televisyen bersama anak perempuannya sebelum sebaik suaminya pulang, mangsa terus menegur lelaki itu.
Bagaimanapun, si suami yang tidak tahan mendengar leteran isterinya itu terus naik angin dan memarahi wanita berkenaan sebelum mereka bertengkar dan keadaan mula menjadi tidak terkawal apabila si suami tiba-tiba mengamuk dan membelasah isterinya tanpa belas kasihan.
Rabu, Oktober 20, 2010
Isteri Bukan Hak Suami
Kerap kali, Puan A dipukul, ditendang, ditengking oleh suaminya yang sentiasa memarahinya.
Kemuncak penderitaan Puan A adalah apabila dia dikelar suaminya dengan pisau panas hingga dia jatuh pengsan.
Malangnya, jeritan dan pekikkannya tidak pernah dihiraukan atau diambil peduli oleh sesiapa, walaupun mereka tinggal di salah sebuah unit rumah pangsa yang dikelilingi jiran tetangga yang sangat dekat.
SITUASI yang dinyatakan di atas adalah situasi yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Isteri tersebut menderita pelbagai kecederaan fizikal selain mental yang sangat tidak stabil akibat daripada perbuatan suaminya.
Namun fokus perbincangan kita pada kali ini adalah berkenaan sikap jiran atau masyarakat setempat yang memandang ringan atau mengambil keputusan untuk menutup sebelah mata (jika tidak kedua-duanya) terhadap penyakit masyarakat yang sedang menular dewasa kini - keganasan rumah tangga.
Masyarakat sebenarnya mampu untuk memainkan peranan besar bagi menghentikan jenayah tersebut daripada terus berlaku.
Secara umumnya, masyarakat masih beranggapan bahawa masalah dalam rumah tangga seseorang adalah masalah peribadi orang tersebut dan tidak seharusnya campur tangan.
Masyarakat juga sering mengambil sikap berkecuali dalam hal seperti itu atas alasan tidak mahu mencari masalah dengan terlibat dalam masalah orang lain.
Apatah lagi kita sering memberi justifikasi lemah bahawa masalah kita sendiri tidak selesai, jangan ditambahkan dengan masalah orang lain. Walaupun ia berlaku di sebelah rumah kita atau di depan mata kita sendiri.
Masih ramai di kalangan masyarakat kita juga mengatakan bahawa hal ehwal dan isu berkaitan dengan rumah tangga seseorang adalah hak peribadi dan hak mutlak seseorang itu.
Lebih dahsyat lagi, ada yang mengiyakan bahawa isteri adalah hak mutlak suaminya dan suami tersebut bebas berbuat apa sahaja atas alasan suami adalah ketua dalam rumah tangga. Justeru, suami berhak menyelesaikan masalah rumah tangga mengikut cita rasa, keadaan dan kehendak dirinya sendiri.
Hakikat dari segi perundangan adalah sebaliknya. Melalui peruntukan yang termaktub di bawah Sekyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga (AKRT) 1994, adalah jelas bahawa pihak penggubal undang-undang negara melihat kepentingan peranan yang boleh dimainkan oleh orang perseorangan dalam masyarakat bagi membendung isu keganasan rumah tangga.
Seksyen 18 AKRT 1994, antara lain memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan keganasan rumah tangga telah berlaku, atau sedang berlaku boleh memberi maklumat kepada pegawai penguatkuasa atau pihak polis.
Lebih menarik, peruntukan undang-undang tersebut juga mewujudkan perlindungan berbentuk imuniti bagi pelapor tersebut daripada sebarang liabiliti fitnah, jika didapati laporan yang dibuat adalah terbukti tidak tepat atau tidak benar sama sekali.
Secara ringkasnya, peruntukan itu, memberikan hak kepada mana-mana orang dalam masyarakat kita untuk melakukan sesuatu dalam mendepani isu keganasan rumah tangga ini, iaitu melaporkan perkara tersebut ke pihak berkuasa.
Menariknya peruntukan ini memberikan juga kuasa atau hak kepada ahli masyarakat untuk melaporkan kes-kes keganasan rumah tangga yang mereka ada alasan untuk mempercayai bahawa ia telah atau sedang berlaku.
Ahli masyarakat tidak perlu menyaksikan peristiwa keganasan tersebut, dan peruntukan undang-undang mengatakan hanya cukup sekiranya mana-mana individu tersebut timbul syak atau ada alasan yang baik menjurus kepada persepsi bahawa keganasan rumahtangga telah atau sedang berlaku.
Peruntukan undang-undang ini jelas mengetepikan sikap 'jangan jaga tepi kain orang lain' dalam menangani isu keganasan rumah tangga dalam masyarakat kita hari ini.
Pendek kata dalam istilah yang bersahaja, setiap suami perlu ingat bahawa isteri bukan lagi hak mutlak mereka.
Jika seorang suami itu gagal atau tidak mampu menjaga isteri mereka dengan sempurna dan kehidupan rumah tangga hingga sering disulami dengan perlakuan atau tindakan yang ganas, maka orang lain boleh 'campur tangan' bagi menyelamatkan dan seterusnya 'membawa' sang isteri tersebut keluar dari kancah permasalahan yang dihadapi.
Rabu, Ogos 18, 2010
Pijak isteri hamil
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/08/18
AMPANG: Puncanya hanya kerana menguatkan bunyi televisyen, namun habuan diterima begitu azab apabila seorang wanita yang sedang mengandung enam bulan dipijak suami sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di sini, Ahad lalu.
Berikutan itu, bayi dalam kandungan wanita terbabit masih belum diketahui tahap kesihatannya dan polis menunggu laporan perubatan akan dikeluarkan hospital dalam tempoh terdekat.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika pasangan berkenaan baru setahun mendirikan rumah tangga berada di rumah sebelum berlaku pertengkaran.
“Ketika kejadian, suami mangsa memintanya memperlahankan suara televisyen dipasang dan mangsa mengikut arahan lelaki terbabit dengan memperlahankannya.
“Bagaimanapun, suaminya memberitahu dia mahu keluar bermain snuker bersama rakannya,” katanya.
Menurutnya, baru saja beberapa langkah suaminya mahu keluar, mangsa kembali meninggikan suara televisyen membuatkan lelaki berkenaan naik angin dan berpatah balik.
“Suami mangsa menghampiri dan dengan nada marah mendakwa mangsa cuba bersikap kurang ajar dan sengaja mencabarnya.
“Bagaimanapun, mangsa memberitahu tidak berniat mahu menyakitkan hati suaminya dan meninggikan suara televisyen kerana menyangkakan suaminya keluar,” katanya.
Sumber terbabit berkata, suaminya yang tidak puas hati jawapan diberikan terus meluru sebelum memukul tangan mangsa dengan kuat sehingga menyebabkan kecederaan.
“Tidak cukup dengan itu, suami mangsa yang panas baran naik angin dan memijak perut mangsa yang mengandung enam bulan.
“Mangsa hanya mampu meraung dan menjerit meminta suaminya berhenti dari memijak perutnya sebelum lelaki berkenaan menghentikan tindakan itu dan meninggalkan mangsa menahan kesakitan,” katanya.
Menurutnya, isteri malang terbabit yang tidak puas hati dengan tindakan suaminya itu membuat laporan kepada pihak berkuasa dan susulan itu, polis menahan suami mangsa yang berusia 20-an untuk membantu siasatan.
“Lelaki berkenaan ditahan di rumahnya kelmarin bagi membantu siasatan kes terbabit dan setakat ini polis menunggu laporan pemeriksaan hospital untuk menentukan keadaan bayi dalam kandungan wanita itu.
“Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati wanita berkenaan bernasib baik kerana tidak keguguran dan mangsa mendakwa kandungannya sudah ada pergerakan dan mungkin dalam keadaan stabil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.
Isnin, Mei 31, 2010
Pukul isteri tuntut cerai
31/05/2010
AMPANG: Kerana tidak berpuas hati dengan isterinya, seorang lelaki bertindak luar dugaan apabila membelasah wanita terbabit bertubi-tubi ketika berada di Mahkamah Syariah Gombak Timur, di sini, Rabu lalu.
Mangsa yang juga seorang guru ditumbuk tanpa belas kasihan dan kejadian terbabit berlaku dari luar mahkamah hingga ke dalam mahkamah, dan turut disaksikan peguam serta bapa mentuanya.
Malah, lelaki berkenaan biadab apabila turut mengugut bapa mentuanya yang mahu menolong anak perempuannya yang ketika itu dibelasah.
Bagaimanapun, ‘drama’ aksi ganas itu berakhir tidak lama kemudian apabila polis menahan lelaki terbabit selepas menerima panggilan kakitangan mahkamah berkenaan. Menurut sumber polis, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika pasangan itu di mahkamah berkenaan menyelesaikan proses perceraian mereka.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang ketika itu berada dalam mahkamah keluar sebelum isterinya yang ternampak kelibat lelaki terbabit cuba melarikan diri.
“Namun, suaminya itu terus mengejar dan sebaik menghampiri wanita itu dia melepaskan tumbukan bertubi-tubi tanpa belas kasihan,” katanya.
Katanya, ketika kejadian, bapa mentua lelaki terbabit turut campur tangan, namun dia diugut mendapat habuan sama dengan anak perempuannya membuatkan bapa mentua hanya mampu mendiamkan diri.
“Mujur seorang rakan mangsa membantunya sebelum wanita terbabit melarikan diri dengan masuk dalam mahkamah.
“Sejurus masuk ke mahkamah, wanita terbabit duduk berhampiran peguamnya kerana terlalu takut melihat kelakuan ganas lelaki terbabit,” katanya.
Menurutnya, sangkaan wanita yang dia akan lebih selamat ketika berada dalam mahkamah ternyata meleset apabila suaminya yang masih tidak berpuas hati terus menghampirinya.
“Sejurus menghampiri mangsa dan juga peguamnya, lelaki terbabit melepaskan beberapa tumbukan lagi yang terkena kepala wanita terbabit.
"Mangsa kemudian diminta peguamnya itu masuk ke sebuah bilik untuk mengelak daripada dibelasah sementara beberapa orang cuba mengawal lelaki berkenaan,” katanya.
Sumber terbabit berkata, kakitangan mahkamah terpaksa menghubungi polis disebabkan tindakan ganas lelaki terbabit yang mencetuskan huru-hara di mahkamah sebelum ditahan.
“Berikutan dipukul, mangsa mengalami beberapa kecederaan di muka serta matanya lebam selain kesakitan di leher,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan wanita itu.
Menurutnya, lelaki berusia 38 tahun ditahan, namun dia dibebaskan kelmarin selepas siasatan dan segala keterangannya diambil.
“Kami menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Suami tipu
am@hmetro.com.my
2010/05/30
KUALA TERENGGANU: “Dia tipu, semua kenyataannya di akhbar hanyalah fitnah, perbuatannya itu semata-mata ingin memalukan saya, luluh hati saya apabila membaca dakwaannya itu sedangkan semuanya tidak berlaku, “kata seorang isteri yang mahu dikenali dengan panggilan Mama Yah, 48.
Menurutnya, dakwaan kononnya dia meninggalkan suaminya selepas menukarkan semua harta dan syarikat ke atas namanya tidak benar.
Ini kerana syarikat serta harta yang diusahakannya sejak 1999 itu ialah hasil titik peluhnya sendiri menggunakan wang simpanannya sebagai seorang guru.
“Selepas suami berhenti kerja sebagai pekerja am di sebuah bank, dia membuka kedai perabot terpakai tetapi gulung tikar beberapa tahun selepas itu. Melihatnya tiada pekerjaan saya terus melantiknya sebagai penolong pengurus di syarikat saya.
“Bagaimanapun, selepas menghantarnya ke Melaka untuk menguruskan cawangan syarikat, suami tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sehingga pihak universiti yang menggunakan perkhidmatan kami mengeluarkan surat tidak berpuas hati.
“Sehubungan itu, saya memutuskan untuk menukarkan tempat suami dengan pekerja lain sebelum suami membantu saya di cawangan pantai Timur,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Mama Yah berkata, sikap cemburu suami yang suka menuduhnya bermain kayu tiga bersama lelaki lain, termasuk dengan saudara serta abang kandung sendiri menyebabkan dia tidak tahan dan sering bergaduh.
“Setiap kali bergaduh dia akan memukul saya dengan teruk sehingga berdarah, tetapi kerana memikirkan dia masih suami dan ayah kepada enam anak kami, saya membatalkan hasrat melaporkannya kepada pihak polis.
“Oleh sebab itu, saya membuat keputusan keluar rumah dan ingin bercerai dengannya kerana tidak tahan hidup dengan lelaki yang suka memukul serta membuat tuduhan palsu dan menghebahkan fitnah itu kepada kenalan rapat atau penduduk kampung,” katanya.
Dia turut terkilan dengan sikap suaminya yang tergamak mendakwa dia merampas semua aset dan hartanya sedangkan dia (Mama Yah) yang meletakkan beberapa lot tanah di atas nama suami yang kemudiannya suami hibahkan ke atas nama kedua ibu bapanya.
“Selain itu, suami juga kini menikmati hasil sewa dua bangunan kedai milik saya yang berjumlah RM13,000 sebulan sehinggakan saya terpaksa berhadapan dengan hutang tunggakan bank kerana suami tidak membayarnya sebaliknya menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadi.
“Tipulah jika dia mendakwa hidupnya melarat dan sehelai sepinggang selepas saya meninggalkannya, malah Mahkamah Rendah Syariah Jajahan Kota Bharu sudah mengarahkannya supaya tidak mengganggu saya melalui surat perintah tegahan di bawah seksyen 107 mengikut enakmen undang-undang keluarga Islam.
“Walaupun begitu, dia masih mengganggu saya, lebih teruk apabila mengintip saya di rumah sewa di Kampung Gong Kapas, sedangkan saya tinggal bersama anak saudara lelaki yang kini berkerja di syarikat dan menemani saya di sini,” katanya.
Paling menyedihkan apabila mengenangkan nasib seorang warga Pakistan yang langsung tiada kaitan dengan masalah ini dan teman rapat kepada anak saudaranya dituduh menjalinkan hubungan dengannya.
“Sikapnya yang ingin menjadikan saya seorang isteri nusyuz dengan membuat dakwaan begitu menyebabkan orang lain yang tidak bersalah terpaksa menanggung akibatnya. Bayangkanlah, dia hanya melihat warga Pakistan itu ke rumah sewa saya untuk menemui anak saudara tetapi dia membuat dakwaan serta melaporkannya kepada Jabatan Agama dan Imigresen kononnya saya bersekedudukan dengan warga asing berkenaan.
“Akhirnya, insan yang tidak bersalah itu ditahan dan dimasukkan ke Pusat Tahanan Sementara Warga Asing di Depoh Hulu Terengganu. Walaupun memiliki pasport dan visa yang masih sah.
“Saya berharap kenyataan saya ini boleh merungkaikan kekeliruan seperti mana yang dilaporkan di akhbar sebelum ini,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah seorang suami yang ditinggalkan isteri yang kemaruk bercinta dengan warga asing yang didakwa pekerjanya sendiri.
Rabu, Mei 26, 2010
Wanita Lebanon makin berani bersuara
BUKAN sekali tapi sudah tiga kali Doha mengalami insiden diserang dan diganggu secara seksual oleh pemandu teksi yang dinaikinya pada siang hari.
Mengambil pengajaran daripada kejadian tersebut dia menyertai sekumpulan wanita di Beirut, ibu negara Lebanon, untuk bersuara menentang sebarang bentuk keganasan dan gangguan seksual.
Walaupun secara umumnya isu seksual dianggap tabu oleh masyarakat di negara Arab itu, kumpulan aktivis tersebut meneruskan usaha kempen mereka bagi meningkatkan kesedaran.
Kempen turut membabitkan iklan televisyen yang menunjukkan seorang pekerja bernama Salwa dipanggil masuk ke pejabat bosnya. Apabila dia memasuki pejabat tersebut, bosnya dilihat sedang enak berehat di kerusi sambil menghisap cerut dan melayangkan borang kenaikan pangkat ke arah Salwa.
Salwa dengan gembira mengambil borang tersebut dan pada masa sama bosnya cuba menciumnya. Dengan wajah merah padam menahan marah, Salwa melayangkan beg tangannya ke arah lelaki tersebut sebelum menghempas pintu meninggalkan pejabat tersebut.
"Kami bukan berkhutbah mengenai keganasan. Mesej kami adalah untuk menggalakkan wanita agar mempertahankan diri mereka dan tidak takut dengan stigma masyarakat," kata Leen Hashem dari IndyACT, sebuah pertubuhan buka kerajaan yang menyokong kempen tersebut.
Walaupun Lebanon dianggap sebuah negara yang lebih 'kebaratan' berbanding negara-negara jirannya di dunia Arab, ia tidak mempunyai undang-undang seperti di Barat yang menghukum perbuatan yang dianggap sebagai gangguan seksual seperti kata-kata yang berbaur lucah mahupun sentuhan fizikal.
Hampir setiap hari wanita di negara itu mengalami gangguan seksual sama ada di jalan raya, tempat kerja atau ketika menggunakan pengangkutan awam.
Menurut kajian pada 2007 oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial Lebanon, tiga aduan gangguan seksual dan rogol difailkan di negara itu setiap minggu.
Bagaimana pun aktivis berkata, angka tersebut jauh lebih rendah daripada realiti sebenar.
"Malangnya fenomena ini terus berlarutan dan semakin meningkat.
"Bagi kebanyakan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual, isu tersebut masih tabu di kalangan masyarakat. Jadi slogan kami, Jangan Segan - Bersuaralah. "
Seorang pekerja sosial di Majlis Rakyat Lebanon Menentang Keganasan Keatas Wanita, Raghida Ghamlouch, berkata stigma masyarakat menjadikan mangsa tidak berani untuk bersuara.
"Masyarakat Lebanon masih didominasi oleh lelaki dan kesalahan selalunya diletakkan pada wanita.
"Wanita juga kerap diberi mesej yang salah. Mereka diberitahu bahawa adalah salah menahan teksi di jalan raya, atau berpakaian tertentu, atau jika mereka balik lambat dan sebagainya.
"Bagi wanita dewasa pula senarionya lebih teruk. Mereka dituduh dengan sengaja menggoda lelaki," katanya.
Satu lagi faktor yang menyebabkan mangsa-mangsa keganasan seksual lebih suka berdiam diri ialah, undang-undang yang tidak adil di mana gangguan seksual tidak dianggap sebagai perbuatan jenayah.
Malah perogol yang didapati bersalah boleh terlepas hukuman jika dia bersetuju untuk berkahwin dengan mangsa.
"Polis sendiri kerap mencemuh dan memperolok-olokan wanita yang datang ke balai polis untuk memfailkan aduan mengenai gangguan seksual atau keganasan domestik," kata Leena.
Sementara itu Raghida memberitahu, pihak berkuasa Lebanon masih tidak dapat memahami bahawa mangsa-mangsa ini takut nyawa mereka terancam dan kadang kala terpaksa mendapatkan rawatan psikologi untuk mengatasi trauma yang dihadapi.
"Mangsa biasanya akan mengalah dan berputus asa kerana mereka sedar walau apa juga yang mereka lakukan akhirnya mereka juga yang menjadi mangsa," katanya.
Pendapat tersebut diakui oleh seorang mangsa, Joy, 18 yang sehingga sekarang masih terbayang bagaimana seorang pemandu teksi mencabulnya dengan menyentuh alat sulitnya.
"Saya menjerit dan menangis tetapi dia tetap tidak peduli. Saya terpaksa melompat dari kereta. Sampai sekarang terasa sakitnya. Mereka yang melakukan keganasan ke atas wanita harus masuk penjara," katanya.
Sementara itu kempen yang dilancarkan oleh kumpulan aktivis wanita tersebut semakin menampakkan hasil.
Begitupun, mereka menggesa banyak lagi langkah perlu diambil bagi memastikan mangsa berasa selamat untuk bersuara dan mengambil tindakan.
"Jika aduan meningkat, mungkin pada waktu itu pihak berkuasa tidak boleh mengabaikan begitu saja. Mungkin waktu itu baru mereka nampak masalah sebenar," kata Leena.
Jumaat, Mac 05, 2010
Lelaki malu mengaku mangsa penderaan domestik
Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Gambar SHAIFUDIN MOHD NOR
ARKIB : 02/03/2010
Utusan Malaysia
UMUM mengaitkan penderaan domestik dengan si pesalah laku sebagai pihak lelaki. Malah 85 peratus kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan penderaan suami terhadap isteri mereka.
Namun bagaimana pula apabila sebaliknya? Baru-baru ini, akhbar melaporkan kes penderaan membabitkan lelaki berusia 47 tahun yang mendakwa didera isteri dan anak-anaknya di Melaka.
Pelbagai tanggapan dilemparkan terhadap kes yang jarang-jarang sekali kedengaran berlaku dalam masyarakat kita apatah lagi lelaki Asia diangkat sebagai ketua keluarga hakiki.
"Ini yang membuatkan lebih sukar mencari rujukan tentang kes penderaan terhadap lelaki, lebih-lebih lagi di seluruh Asia.
"Sedangkan di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), kes-kes penderaan terhadap suami atau keganasan wanita ke atas pasangan mereka sering dilaporkan kepada pihak berkuasa," kata Dr. Sajaratulnisah Othman.
Beliau merupakan pakar dalam bidang keganasan rumah tangga, sering membuat kajian mengenai kes-kes terkini di samping mencari kesimpulan punca, akibat dan kesan daripada permasalahan tersebut.
Dr. Sajaratulnisah yang juga Ketua Bahagian Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata, sama seperti penderaan terhadap isteri, suami yang menjadi mangsa dera juga terdedah kepada tiga jenis keganasan iaitu;
* Fizikal
* Seksual
* Psikologikal
Perbandingan
Beliau berkata, kebanyakan kes penderaan terhadap isteri lazimnya membawa kesan mudarat termasuk maut dan akibat sama juga berlaku terhadap mangsa kaum lelaki.
Sehingga kini, tiada jumlah sebenar didapati dari segi perangkaan lelaki mangsa penderaan dalam perhubungan domestik sama ada didera atau dilayan secara ganas oleh wanita.
Pun begitu dianggarkan dalam 100 situasi (kes) penderaan, 40 peratus daripadanya disyaki melibatkan pesalah laku wanita terhadap mangsa lelaki.
Di AS, dianggarkan 400,000 wanita didera oleh pasangan mereka setiap tahun. Ini bermaksud terdapat kira-kira 200,000 lelaki turut dilayani secara ganas oleh isteri mahupun teman wanita masing-masing.
Menurut Dr. Sajaratulnisah, kebanyakan kes tersebut melibatkan penderaan atau gangguan psikologi terhadap mangsa.
Dalam kes demikian, si isteri menggunakan apa jua sumber terdekat (maklumat, latar belakang suami) untuk digunakan terhadap suami bagi mengawal mangsa seterusnya menjejaskan kestabilan emosinya.
Punca
Apabila ditanya mengenai punca kes seumpamanya boleh tercetus, beliau menjelaskan beberapa faktor yang mampu menyumbang ke arah berlakunya keganasan domestik terhadap lelaki.
"Terdapat teori bahawa gangguan ekologi (persekitaran kehidupan) menjadi penyebab timbulnya kes penderaan suami," ujarnya.
Kelemahan identiti maskulin lelaki akibat tercabar hebat oleh wanita juga boleh menimbulkan potensi suami ditindas isteri secara psikologi mahupun fizikal.
Apabila peranan suami sebagai ketua keluarga terus-terusan dicabar, akibat pelbagai faktor antaranya kuasa dan kewangan seperti isteri memegang jawatan lebih tinggi serta menyumbang lebih pendapatannya kepada keluarga.
Jurang status ekonomi dan sosial antara suami isteri itu boleh menjejaskan fungsi institusi keluarga terbabit jika gagal ditangani dengan bijak.
Kesan
Malang sekali, penderaan domestik merupakan antara jenayah yang paling sukar ditangani kerana lazimnya mangsa enggan membuka pekung dan mendedahkan keburukan suami atau isteri.
Sedangkan ramai di antara mereka terpaksa menanggung kesan teruk akibat perlakuan ganas ke atas mereka seperti trauma dan gangguan mental sehingga tidak mampu berfungsi di tempat kerja.
Di samping itu, mangsa penderaan selalunya berasa gelisah, takut, bimbang keluar rumah dan berjumpa rakan-rakan atau saudara atau Post Traumatic Stress Disorder (Gangguan tekanan selepas trauma).
Ini membuatkan mangsa sentiasa teringat dan terbayang kejadian penderaan terhadap mereka berulang-ulang kali sehingga mengakibatkan mangsa mengambil pil tidur, dadah dan alkohol untuk melupakannya.
"Malah ada di antara pesakit saya sendiri yang tampil dengan komplen tentang sakit perut, bila diperiksa tiada apa-apa.
"Lama-kelamaan, penyakit itu sentiasa datang dan pergi apabila ditanya barulah pesakit terbabit mengaku dia sudah lama didera tetapi enggan membuat laporan polis," katanya.
Tiada sokongan
Mungkin akibat kurangnya sokongan daripada masyarakat, menyebabkan mangsa dera tidak mahu tampil mendedahkan perlakuan ganas pasangan terhadap mereka.
Atau mungkin juga, mangsa yang sudah berbelas tahun didera tidak mahu mengabaikan anak-anak dan menjadikan mereka mangsa penceraian.
Sedangkan wanita mangsa dera pun sukar mencari jalan keluar daripada nasib malang yang menimpa inikan pula kaum lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung keluarga.
Tambah Dr. Sajaratulnisah lagi, beliau sendiri tidak pernah memaksa pesakitnya membuat laporan polis jika disyaki mangsa dera.
Sebaliknya, mereka dialu-alukan meluahkan perasaan mengenai apa yang berlaku ke atas diri mereka dan doktor sepertinya boleh membantu jika ingin menghentikan perbuatan kejam pasangan itu.
"Kami bersedia menyediakan segala dokumentasi diri pesakit sebagai rujukan penting dalam mahkamah sekiranya mangsa ingin mendapatkan keadilan untuk diri dan anak-anak," ujarnya.
Selasa, Februari 09, 2010
Lelaki makin ganas?
fairuzaidan@bharian.com.my
Faktor mental, hormon androgen, persekitaran jadi punca lelaki cenderung bertindak fizikal
LIMA hari menjengah tahun baru, negara digemparkan dengan berita kematian ngeri membabitkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Kes pembunuhan yang cukup tragis itu menyaksikan seorang daripada anggota keluarga terbabit dipancung kepala hingga putus, dua mangsa dipotong di pergelangan tangan manakala seorang lagi mati dalam keadaan pisau terpacak di dada.
Siasatan polis membawa kepada penahanan seorang lelaki yang juga anggota keluarga si mati bagi membantu pihak berkuasa merungkai misteri pembunuhan empat sekeluarga itu.
Dalam kes berlainan, seorang suami didakwa bersekongkol dengan tiga lelaki lain untuk membunuh seorang konduktor bas dengan menjerut mangsa hingga mati sebelum menimbus mayatnya di sebuah taman perumahan di ibu negara.
Bukan setakat jerut, amarah si suami bersama tiga lelaki lain turut mengakibatkan mangsa dipukul dengan objek keras hingga mengalami kecederaan di kepala.
Dalam kes berasingan pula, dilaporkan perbuatan isteri menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima suaminya mengakibatkan beliau diseret beberapa meter dari kereta yang dinaiki hingga mengalami kecederaan dan gegaran otak.
Melihat rentetan kes serius membabitkan pelaku lelaki sejak awal tahun ini, timbul persoalan apakah lelaki sekarang makin ganas dan rakus hingga tergamak melakukan tindakan fizikal melampaui batas?
Lebih membimbangkan, makin banyak kes serangan fizikal termasuk yang mendatangkan kematian dilaporkan membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga sendiri. Perkembangan ini pasti membuka perdebatan pengkaji sosial berhubung faktor yang mendorong pelaku bertindak ganas terhadap anggota keluarga sendiri atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pelaku.
Faktor keganasan domestik iaitu serangan terhadap anggota keluarga terdekat meletakkan institusi kekeluargaan di ambang kerapuhan. Ini kerana perilaku seperti keganasan yang membawa kepada kematian seolah-olah tidak mengenal sesiapa termasuk anggota keluarga atau insan tersayang.
Selain itu, apakah faktor tekanan hidup yang menjejaskan mental pelaku dikhuatiri menjadi punca lelaki melakukan jenayah?
Aktivis dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, jumlah kes serangan fizikal yang membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini, membimbangkan.
“Dari aspek serangan, jelas menunjukkan pelaku tidak kisah siapa termasuk ahli keluarga sendiri ketika menyerang. Sama ada bertujuan mendatangkan kesakitan melalui serangan atau dengan niat membunuh sebagai hukuman untuk di mati.
“Ada pelbagai teori yang dikaitkan mengenai punca serangan. Ada teori mengatakan motif serangan disebabkan faktor pengaruh dadah, alkohol dan kurang siuman semata-mata untuk melepaskan diri daripada kesalahan.
“Inilah yang diperdebatkan penganalisis jenayah dan pakar perubatan di mana wujud perbezaan pendapat dalam soal hukuman ke atas pesalah,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.
Kata Kamal Affandi, seseorang yang memperlakukan jenayah bunuh misalnya tidak seharusnya mudah diperakui sebagai mengalami sakit mental. Sebaliknya, perlu diselidik segenap aspek termasuk penggunaan senjata jika ada dan bentuk serangan.
Beliau berkata, adalah mustahil pesakit mental mampu mengatur siri serangan termasuk menggunakan senjata seperti pisau yang jelas dilakukan dengan niat untuk mencederakan mangsa.
“Lebih-lebih lagi, spot atau tempat sasaran serangan seperti muka, tangan dan dada sebagai contoh, dilihat sebagai tempat strategik menyerang mangsa.
“Jika seseorang dikatakan kurang siuman, mengapa dia tidak menyerang dengan tangan sendiri sebaliknya menggunakan senjata?” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.
Mengulas lanjut bentuk serangan dari aspek tikaman, Kamal Affandi berkata, berdasarkan kebiasaan, mangsa sering dibunuh dengan tikaman secara berulang seperti lima, tujuh hinggalah 13 tikaman.
Soalnya, mengapa perlu tujuh atau 13 tikaman sedangkan satu tikaman mungkin boleh membunuh mangsa?
“Jika dilihat, ada pelaku sengaja menikam mangsa bertubi-tubi walaupun mangsa sudah mati pada detik itu,” kata Kamal Affandi.
Ditanya punca penjenayah melakukan serangan bertubi-tubi, beliau berkata, ia mungkin didorong faktor kebencian dan kemarahan yang dipendam sekian lama hingga berlaku konflik lalu tercetusnya serangan keganasan.
Beliau berkata, perlakuan serangan sepatutnya dapat dikawal dengan mengkaji perilaku seseorang yang difikirkan berpotensi menyerang.
“Mereka ini seharusnya diberi bimbingan kaunseling lebih awal untuk mengawal perasaan marah dan baran. Pada satu tahap, mereka juga boleh mengatur janji temu bersama pakar psikologi dan psikiatri,” katanya.
Mengenai tempat aduan rujukan kes keganasan, Kamal Affandi berkata masyarakat boleh segera merujuk hospital terdekat selain menghubungi talian 15999 untuk mendapatkan kaunseling dan cadangan langkah susulan.
Fahami psikologi perilaku di luar kawalan
BANYAK faktor mendorong lelaki mengambil tindakan nekad mengganas termasuk memperlakukan perkara di luar kawalan seperti memukul, mencederakan dan mengakibatkan kematian.
Mengulas perilaku lelaki yang bertindak ganas dari sudut psikologi, Profesor Psikiatrik Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Azhar Zain, berkata lelaki yang memiliki lebih banyak hormon androgen berbanding wanita terdedah kepada perilaku pemarah.
Katanya, hormon androgen yang menjadi sifat semula jadi sekunder yang merangsang kelelakian seseorang antara lain mengakibatkan lelaki lebih mudah marah hingga pada tahap mampu bertindak ganas jika tidak dikawal.
“Dari sudut biologi, lelaki mudah terangsang untuk berasa cepat marah atas sebab hormon androgen yang tinggi berbanding wanita. Andai perilaku diri yang sukar bertolak ansur dan mudah marah, keadaannya bertambah parah.
“Selain faktor hormon, pembangunan persekitaran yang membentuk perilaku seseorang juga menjadi faktor yang boleh merangsang lelaki menjadi ganas seperti pengalaman ketika kecil, didikan ibu bapa serta terdedah dengan persekitaran yang tidak baik,” katanya.
Ditanya punca lelaki bertindak ganas, Dr Azhar berkata, kesempatan yang ada pada detik itu memungkinkan lelaki bertindak sedemikian hingga mencetuskan keganasan di luar kawalan.
Katanya, ditambah lagi dengan faktor lain seperti sejarah kelakuan ganas serta berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol juga mendorong lelaki menjadi ganas.
“Namun, perilaku lelaki yang bertindak ganas ini sebenarnya boleh dikawal jika mendapat kerjasama mereka sendiri. Tidak kira, diri sendiri yang mencuba untuk mengawal kemarahan atau mendapatkan rawatan secara profesional.
“Ini termasuk pengambilan ubat-ubatan, rawatan psikologi dan teknik untuk mengawal kemarahan yang prosesnya mengambil masa,” katanya.
Dr Azhar berkata, faktor personaliti, keturunan, tekanan perasaan dan gangguan mental secara susulan memungkinkan seseorang lelaki mengambil jalan mudah untuk mengekspresi kemarahan diri.
“Sebagai contoh, seorang lelaki yang menghadapi masalah kewangan, pada masa yang sama berkonflik dengan isteri di rumah. Tiba pula di pejabat dia dimarahi pengurus. Tidak mustahil punca kemarahan yang bertimpa-timpa itu boleh tercetus apabila berlaku konflik dengan rakan sepejabat,” katanya.
Ditanya insan terbaik yang boleh membantu lelaki yang dalam keadaan amarah, Dr Azhar berkata, orang yang paling dekat dan dipercayai sesuai memberi nasihat dan kaunseling untuk membina semula motivasi dan sikap positif lelaki ganas.
“Saya tidak pernah berpeluang berdepan dengan lelaki yang memiliki kesalahan serius. Sebaliknya, kes yang dirujuk rata-rata lelaki yang mencederakan orang, bergaduh dan membakar rumah pada lingkungan usia 20 tahun hingga 30 tahun,” katanya.
INFO: Lapan implikasi amarah...
* Dipulau masyarakat
* Punca pergaduhan
* Mendatangkan konflik perceraian
* Terdedah serangan penyakit kronik seperti darah tinggi dan sakit jantung
* Murung dan tekanan perasaan
* Hilang pekerjaan
* Melakukan kesalahan penderaan.
TIP: Redakan kemarahan
1. Ikuti latihan dan kegiatan sukan
Kajian menunjukkan individu yang menumpukan kegiatan luar mempunyai tekanan darah yang sempurna dan kurang berisiko mendapat sakit jantung.
2. Ubah diet pemakanan
Ramai pakar pemakanan berpendapat, menambah berat badan menokok beban yang lebih pada sistem biologi badan dan saraf minda. Merubah gizi yang lebih menyihatkan membantu anda lebih cergas, lebih bertenaga dan lebih berkeyakinan.
3. Minuman secawan kopi
Kafein adalah bahan perangsang yang dianggap berbahaya pada kesihatan. Ia boleh menyebabkan seseorang terangsang dan jika berlebihan menimbulkan keresahan, mengganggu ketenangan minda dan mempercepatkan degupan jantung.
4. Berhenti merokok
Individu yang berhenti merokok mendapati fungsi paru-paru menjadi lebih baik pada masa beberapa hari saja. Anda dapat berasakan pernafasan lebih licin dan selesa kerana udara meresap ke saluran darah lebih berkesan.
5. Berfikiran positif
Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elak daripada memekik atau bertindak garang. Kemarahan yang dilihat secara positif boleh menjadikan tekanan bertukar kepada kekuatan.
Selasa, Ogos 18, 2009
Hentak kepala isteri
asnawi@hmetro.com.my
BAHAU: Seorang wanita yang sedang tidur bukan saja dikelar lehernya dengan pisau, malah turut dihentak kepalanya dengan bata oleh suaminya yang dipercayai kaki botol menyebabkan mangsa berlumuran darah akibat cedera parah di sebuah rumah ladang di Rompin, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mangsa yang berusia 32 tahun sedang tidur, apabila suaminya yang pulang ke rumah mereka di ladang berkenaan dalam keadaan mabuk dan mengamuk.
Lelaki berkenaan meletakkan pisau pada leher mangsa menyebabkan leher wanita itu cedera terkena mata pisau.
Lelaki itu yang bagaikan tidak mengenang budi kerana tidak bekerja tetapi hidup hasil titik peluh isterinya yang membanting tulang bekerja di ladang berkenaan, turut menghentak kepala isterinya dengan bata menyebabkan wanita berkenaan berlumuran darah.
Kejadian itu bukan kali pertama berlaku kerana lelaki terbabit pernah melakukan perbuatan sama tahun lalu, menyebabkan dia dikenakan hukuman penjara beberapa bulan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad, berkata mangsa yang cedera akibat perbuatan kejam suaminya itu, datang membuat laporan polis pagi semalam.
Menurutnya, wanita itu dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan kerana kecederaan yang dialaminya.
“Dalam laporannya, mangsa mendakwa dia dipukul menggunakan bata di kepala dan suspek meletakkan pisau pada leher hingga mencederakannya.
“Polis masih melakukan gerakan mengesan suami mangsa berusia lingkungan 30-an dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan siasatan.
Katanya, wanita itu cedera di kepala dan leher tetapi tidak serius.
Khamis, Julai 30, 2009
Upah samseng pukul suami
norzasrudin@kosmo.com.my
KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak berpuas hati dengan aduan mengenai hubungan sulitnya, seorang isteri dipercayai mengupah orang untuk memukul suaminya hingga pengsan baru-baru ini.
Akibat kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Kemaman mengalami kecederaan di badan dan kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku dari pejabat agama kira-kira pukul 8.30 pagi.
Katanya, lelaki tersebut menyebut tentang aduan yang dibuat oleh mangsa tentang kecurangan isterinya dan minta diadakan satu pertemuan untuk berbincang.
"Lelaki tersebut meminta mangsa datang bertemunya di tepi jalan di sebuah sekolah menengah di Kemaman," katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.
Menurut Mohd. Fauzi, mangsa sampai di tempat yang dijanjikan pada pukul 9.30 pagi tetapi lelaki itu tidak muncul.
Bagaimanapun ketika mangsa masuk ke dalam kereta untuk beredar, sekumpulan lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba menyerbu lalu memukulnya hingga pengsan.
Katanya, apabila sedar, mangsa berada di dalam kereta di rumah ibu mertuanya di Kampung Bukit Kuang, Kemaman dan dimasukkan ke Hospital Kemaman dua hari kemudian.
Katanya, mangsa mengesyaki isterinya menjadi dalang kejadian itu dan membuat laporan di Balai Polis Chukai kira-kira pukul 12.04 tengah hari kelmarin.
Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan percaya puncanya disebabkan masalah rumah tangga.
Sumber : Kosmo
Isnin, Julai 27, 2009
Penderaan seksual
Oleh Maiamalina Mohamed Amin maiamalina@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Tindakan suami yang mendesak isteri memuaskan nafsu luar biasanya sehingga mahukan persetubuhan belasan kali sehari, disifatkan penderaan seksual yang tidak ubah seperti rogol.
Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata meskipun menjadi tanggungjawab isteri memenuhi tuntutan batin suami, namun tidak pada tahap yang melampau.
Menurut beliau, si isteri boleh memohon fasakh sekiranya mendapati nafsu berlebihan suami boleh memudaratkan dirinya atau mungkin membawa kepada perkara lebih buruk termasuk kematian sekiranya berlaku seks ganas.
“Isteri memang boleh mohon fasakh dalam kes ini tetapi jika mohon bercerai atas alasan lain, tidak boleh kerana (memenuhi nafsu suami) adalah sebahagian tanggungjawab isteri dari segi batinnya, dia wajib jalankan.
“Jika tidak mampu (melayan suami) itu yang Islam benarkan poligami supaya keinginan batin suami boleh dipenuhi isterinya yang lain, namun tidak ramai wanita yang sanggup pula,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Metro Ahad, semalam mengenai dua wanita yang baru berkahwin tidak sampai setahun terpaksa mengemukakan permohonan fasakh di mahkamah syariah berikutan tidak mampu melayani nafsu suami.
Kedua-duanya mendakwa menderita kerana terpaksa melayani tuntutan batin luar biasa suami yang mahu melakukan hubungan seks hingga 17 kali sehari termasuk percaya suami berdamping dengan makhluk halus bagi mendapatkan kekuatan berkenaan.
Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata wanita yang menderita keganasan seksual akibat nafsu berlebihan suami berisiko menghadapi gangguan psikologi.
“Tidak dinafikan wanita yang menerima layanan suami begini mungkin akan terganggu dari sudut psikologinya, apatah lagi apabila bersabit keganasan seksual, cuma apabila kes ke mahkamah, sukarlah kumpul bukti sebab dera seksual,” katanya.
Bersabit suami yang dipercayai berdamping syaitan untuk mendapatkan kebolehan luar biasa begitu, Noor Aziah berkata, jarang mendengar kes perceraian akibat perbuatan terbabit tetapi tidak menafikan ia wujud.