Isnin, Mei 31, 2010
Sukar bendung
30/05/2010
KUALA LUMPUR: Gejala remaja sekolah terbabit dengan dadah sudah dianggap tidak menghairankan kerana berdasarkan kajian penagihan, biasanya bermula pada usia muda seawal 13 hingga 14 tahun.
“Berdasarkan kajian dibuat baru-baru ini oleh Badan Perhubungan Pengasih Sabah dan Sarawak, tiga jenis dadah paling popular digunakan remaja sekolah di sana ialah syabu, Nospam serta ubat batuk.
“Nospam atau ubat selsema mudah diperoleh di farmasi dan berdasarkan temu duga dibuat membabitkan empat remaja sekolah yang sudah insaf, mereka menggunakan antara 20 hingga 30 biji sehari diminum dengan air bergas,” katanya.
Menurut beliau, ini menunjukkan gejala pengambilan pelbagai jenis dadah di kalangan remaja sekolah sukar dibendung jika tiada sebarang tindakan lebih konkrit diambil dari sekarang.
Dadah terbabit pula semakin mudah diperoleh kerana remaja sekolah mempunyai rangkaian atau kumpulan sendiri yang sentiasa bersedia membekalkannya pada bila-bila masa.
“Pengasih melihat kemudahan teknologi maklumat disalahgunakan oleh kumpulan remaja sekolah terbabit. Paling mudah, mereka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan cara lain ialah melalui Facebook.
“Bagi memastikan ketagihan dapat dipenuhi, remaja sekolah perempuan pula sanggup menyerahkan diri masing-masing untuk dijadikan habuan seks atau seks oral sebagai bayaran pakej dadah dipesan, dan ia juga satu daripada penyebab gejala mengandung luar nikah serta buang anak,” katanya.
Selain itu, kajian Pengasih turut mendapati ada di kalangan anggota sindiket membekalkan dadah kepada remaja sekolah membabitkan remaja lepasan sekolah sama. Golongan terbabit pula dinaungi sindiket lebih besar.
“Ia adalah perniagaan menguntungkan, dan jika tidak dibendung, ia bukan saja bakal memusnahkan masa depan remaja sekolah malah pengedar yang juga terdiri di kalangan remaja sendiri,” katanya.
Menurut Yunus, keluarga juga menjadi punca utama anak remaja mereka terbabit dengan dadah kerana kebiasaannya, keluarga hanya mementingkan intelektual atau akademik anak-anak saja.
Bagaimanapun, keluarga tidak mementingkan aspek emosi anak-anak menyebabkan mereka beralih kepada rakan yang kononnya lebih memahami.
“Memang benar kecemerlangan akademik menjadi tumpuan utama keluarga terhadap anak masing-masing tetapi jika komunikasi dalam hal-hal lain dengan anak kurang, bagaimana mereka mahu merasakan kasih sayang atau keprihatinan keluarga terhadap mereka.
“Jangan pandang remeh perkara itu kerana semuanya bermula dari rumah. Jika remaja mendapat perhatian sewajarnya, sukar untuk mereka terbabit dalam gejala dadah atau sosial lain,” katanya.
Sementara itu, pakar motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali berkata, “Di Barat, perbuatan begini (merelakan tubuh diratah lebih daripada seorang lelaki) bagaikan ‘budaya’ di sana. Kini, ia sudah menular di kalangan masyarakat kita malah agak menyedihkan kebanyakannya terdiri daripada yang beragama Islam. Sekiranya tidak dibendung, tidak mustahil perangai jijik ini akan menjadi racun tanpa penawar buat mereka.”
Izuddin nyata terkejut dan menyelar aktiviti jijik dilakukan remaja belasan tahun itu dan berkata pelbagai faktor boleh menjadi pendorong kepada remaja terbabit mencuba perkara yang dilaknat Allah itu.
“Salah satu punca kepada masalah itu datangnya daripada keluarga sendiri. Zaman ini, ibu dan bapa sering sibuk mencari nafkah dan kadangkala langsung tidak meluangkan masa terhadap anak sendiri.
“Dek kurangnya perhatian dan kasih sayang, wujud satu ruang kosong dalam jiwa remaja itu.
“Cara mudah untuk menghalang masalah ini daripada berlarutan adalah daripada keluarga sendiri. Ibu bapa harus peka terhadap perubahan tingkah laku anak dan disusuli dengan perbincangan, nasihat dan langkah pencegahan.
“Bagaimanapun, jika tidak dapat dipulihkan juga, tindakan undang-undang adalah yang terbaik. Namun, jangan salah sangka, ia bukan untuk menghukum remaja itu sebaliknya ia cara sesuai untuk memulihkan akhlak agar tidak mengulangi masalah,” katanya.
Khamis, Mei 27, 2010
Remaja bersalah perkosa rakan sekolah
2010/05/27
JOHOR BAHRU: Seorang pelajar berusia 17 tahun didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan merogol rakan sekolahnya yang berusia 14 tahun.
Remaja berkenaan dituduh merogol rakan sekolahnya di rumah keluarganya di Bandar Tasik, Seri Alam di sini, kira-kira jam 12 tengah hari 16 September lalu.
Mengikut fakta kes, mangsa dikatakan pergi ke rumah tertuduh untuk melepak bersamanya, namun remaja lelaki itu mengajak mangsa memasuki biliknya sebelum dikatakan merogol mangsa selama kira-kira 15 minit.
Mangsa yang pulang ke rumah tidak melaporkan kejadian berikutan ibunya sakit dan hanya memberitahu keluarganya sebulan kemudian selepas ibunya pulih.
Remaja lelaki itu didakwa pada 15 Oktober tahun lalu, mengaku tidak bersalah namun Majistret Nor Shahid Abd Malik mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh selepas pihak pembela gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
“Bagaimanapun, laporan pemerhatian terhadap tertuduh yang akan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diperlukan sebelum hukuman dijalankan berikutan tertuduh adalah pesalah juvana,” katanya.
Rabu, Mei 26, 2010
Beruniform ke kafe siber
Oleh Zatul Iffah Zolkiply am@hmetro.com.my 2010/05/21
KUALA LUMPUR: Kerana ingin mengaut keuntungan, ada pengusaha kafe siber di ibu kota membenarkan pelajar yang berpakaian seragam sekolah memasuki premis perniagaan mereka walaupun menyedari ia menyalahi undang-undang.
Tinjauan Metroplus di beberapa kafe siber mendapati premis berkenaan membenarkan pelajar yang memakai uniform sekolah memasuki premis itu sewenang-wenangnya.
Tinjauan di kafe siber di Jalan Ipoh di sini, jam 1 tengah hari hingga 2 petang, baru-baru ini mendapati kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada pelajar dengan majoritinya memakai pakaian seragam sekolah menengah.
Ketika tinjauan, kebanyakan pelajar asyik bermain permainan video dengan ada antara kafe siber mengenakan bayaran RM2 satu jam. Tidak ketinggalan, mereka turut menawarkan pakej istimewa dengan harga RM5 (tiga jam), RM7 (lima jam), RM8 (lapan jam) dan RM10 untuk 10 jam.
Difahamkan, terdapat lima sekolah iaitu masing-masing dua sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di kawasan berkenaan. Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai P K Chong, 38, berkata, hampir setiap hari dia melihat pelajar yang memakai seragam sekolah memasuki kafe siber sama ada berkumpulan mahu pun seorang diri.
Menurutnya, seawal jam 10 pagi kafe siber terbabit dikunjungi pelajar sekolah. Ada kalanya, mereka berkumpul di depan kafe siber sebelum memasuki pusat Internet berkenaan.
“Saya sering melihat pelajar keluar dan masuk ke dalam kafe siber terbabit.
“Ada antara kafe siber terbabit pernah diserbu polis dan pihak sekolah, tetapi semuanya bersifat sementara apabila mereka terus membenarkan pelajar yang memakai seragam sekolah memasuki premis mereka,” katanya.
Chong berkata, isu ini tidak sewajarnya dipandang ringan dengan pemantauan pihak berkaitan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya tidak menimbulkan gejala sosial pada kemudian hari.
Malah, katanya, kehadiran mereka bukan hanya membuang masa, tetapi membazir wang memandangkan kebanyakan mereka menghabiskan masa bermain permainan video dengan ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak mereka.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihak kafe siber tidak sewajarnya hanya mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
Beliau berkata, isu pelajar memakai seragam sekolah memasuki kafe siber tidak seharusnya berterusan kerana ia memberi kesan buruk kepada pelajar.
Dalam hal ini, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengenakan tindakan tegas seperti menggantung lesen kafe siber yang membenarkan pelajar memakai seragam sekolah memasuki premis mereka.
“Tindakan drastik dan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan guru sangat diperlukan selain kesedaran pelajar itu sendiri.
Selain membazir wang dan masa, kami bimbang masalah ini akan memberi kesan kepada peningkatan kes sosial membabitkan pelajar,” katanya ketika dihubungi.
Pil dunia fantasi
anbia@hmetro. com.my2010/05/25
KUALA LUMPUR: “Harga murah 50 sen sebiji...tapi kalau mahu ‘power’ kena telan 10 biji sekali gus,” itu pengakuan seorang remaja yang ketagih mengambil pil Nospan dan Dextromethorphan untuk mendapatkan kepuasan seks selain melupakan masalah keluarga.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Agip, 18, memberitahu, pil terbabit mempunyai pelbagai ‘khasiat’ antaranya mampu melupakan apa saja masalah selain mampu membuatkan dia berkhayal soal seks ketika waktu santai.
Menurutnya, pil berkenaan popular di kalangan remaja yang fikiran mereka bercelaru dan mahukan keseronokan bagi tempoh tiga hingga lima jam.
“Biasanya pil putih ini ditelan bersama air bikarbonat dan kesannya boleh dirasai kira-kira 10 minit kemudian.
“Sukar untuk menjelaskan perasaan ketika dalam keadaan khayal tapi semuanya jadi seronok. Malah apa yang dibayangkan seolah-olah jadi kenyataan dalam mimpi,” katanya selepas ditemubual wartawan Harian Metro sejurus serbuan dilakukan pegawai Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sebuah premis menjual ubat di Damansara, di sini.
Menurutnya, ada di kalangan rakannya turut menggunakan pil terbabit untuk mendapatkan rasa lebih seronok ketika berasmara.
“Biasanya, pil itu mampu merangsang nafsu seks dan ramai yang ‘terbabas’ ketika memakannya ketika bersama buah hati” katanya.
Dia berkata, pil terbabit sebelum ini diperkenalkan kepadanya oleh seorang rakan sekolah yang memberitahu membelinya dari sebuah kedai ubat.
“Mulanya saya ingin menelan dua biji sekali gus namun rakan saya memberitahu jangan makan dua biji sebaliknya makan satu biji saja pun sudah terasa ‘power gila’.
“Namun lama kelamaan, jumlah pil terbabit semakin meningkat dari semasa ke semasa berikutan kesannya semakin berkurangan. Akibatnya saya perlu makan sehingga lima biji pil sekali gus untuk merasai kesannya,” katanya.
Penularan pil khayal psikotropik murah di kalangan pelajar semakin serius kebelakangan ini apabila pelbagai jenis pil psikotropik murah mampu menjadi pilihan remaja antaranya Nospan, Dormicum, Apo-Diazepam, Stilnox yang mampu dibeli semurah hanya 50 sen.
Terbaru, seramai 14 pelajar termasuk tiga perempuan ditahan ketika berada dalam keadaan khayal, dipercayai selepas mengambil pil itu di sebuah sekolah di Penanti, Pulang Pinang, baru-baru ini Semua pelajar yang berusia lingkungan 13 hingga 14 tahun itu ditahan dalam keadaan khayal, disyaki selepas mengambil pil berkenaan di dalam kawasan sekolah.