Jumaat, Ogos 06, 2010
Dendamkan bekas isteri, anak derita
Harian Metro
RASA ego yang terlalu menguasai kebanyakan pasangan bercerai ada kalanya membuatkan mereka mengabaikan pemberian nafkah kepada zuriat sendiri, walhal ia adalah tuntutan agama.
Penjaga sama ada ibu atau bapa yang bertanggungjawab seharusnya melaksanakan tugas sebaiknya kepada anak-anak walaupun dia sudah bercerai dengan pasangan masing-masing. Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, perbuatan mengabaikan tanggungjawab membayar nafkah oleh segelintir pihak kepada anak yang di bawah jagaan bekas isteri dianggap menzalimi zuriat mereka sendiri.
“Konsep perkahwinan harus difahami pasangan yang berkahwin, antaranya mengembangkan zuriat dalam memenuhi kehendak batiniah secara halal.
“Kita harus terima hakikat dalam sesebuah perkahwinan tidak semuanya berakhir dengan kebahagiaan. Segelintir pasangan menempuh laluan sukar sehingga berlaku perceraian. Tetapi pasangan seharusnya ada cara hendak membayar nafkah kepada anak-anak kerana dalam undang-undang sudah termaktub cara pembayaran dan perkiraan mengikut kewajarannya. “Jika bimbang wang itu digunakan bekas isteri, mungkin cara terbaik adalah memasukkan wang itu ke dalam akaun anak-anak atau menghulurkan sendiri kepada mereka.
“Lebih baik lagi, cuba selesaikan segala masalah berkaitan anak seperti membayar yuran dan keperluan sekolah anak-anak kerana tanggungjawab itu boleh dilakukan secara berhemah.
“Jika itu dapat dilakukan sebaiknya oleh si bapa, tidak timbul soal bekas isteri menuntut nafkah yang tertangguh sehingga ia memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Beliau yang juga perunding motivasi untuk pelajar dan kekeluargaan, menyelar sikap segelintir lelaki yang liat membayar nafkah sehingga tertunggak sekian banyak dan memakan masa bertahun-tahun sehingga mangsa (terutama anak di bawah jagaan bekas isteri) terabai. Keadaan itu katanya, membuatkan anak marah, dendam atau kecewa dengan sikap bapanya dan tidak mustahil apabila membesar kelak, dia akan membenci bapanya itu.
Beliau juga tidak menafikan terdapat sesetengah bekas suami agak berada dengan pendapatan lumayan setiap bulan tetapi setiap kali kes disebut di mahkamah, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena kerana gagal menunaikan tanggungjawab terhadap anaknya.
“Jika bencikan bekas isteri atau berdendam dengannya berikutan perceraian, anak tidak seharusnya dijadikan mangsa. “Nafkah itu adalah hak anak kerana mungkin dia di bawah jagaan si ibu dan akibat perpisahan itu, si ayah tidak dapat bersama-sama menjaga anak. Jika haknya sudah diselewengkan si bapa atas perkara yang dinyatakan, si ayah itu sebenarnya berdosa.
“Sebagai ayah, dia kena ingat kerana jika itu yang dilakukan dengan niat yang tidak baik iaitu untuk membalas dendam atau rasa sakit hati, sekiranya si anak berdoa dan doanya dianggap sebagai doa daripada orang teraniaya. “Allah maha mendengar doa orang teraniaya dan akan dimakbulkan. Oleh itu, pesanan kepada si ayah, usah berdendam kerana dendam yang berterusan memberikan akibat yang tidak baik,” katanya.
Melihat rentetan kes bertahun-tahun di mahkamah, beliau mengakui keadaan itu turut menjejaskan prestasi si anak dalam pelajaran sehingga mencetuskan gejala sosial lain.
Bagi mengelak hal itu berlaku, beliau menasihatkan supaya orang ketiga harus dijadikan ‘perantara’ penting dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku.
“Cara terbaik dengan menggunakan khidmat nasihat ibu bapa sendiri atau bekas ibu bapa mentua serta ipar duai campur tangan dan berbincang sebaiknya dengan cara berhikmah. “Jalan terbaik harus difikirkan kerana rujukan dan rasa hormat terhadap ibu dan bapa atau keluarga masing-masing membantu untuk menangani masalah itu sebaiknya.
“Apapun masalah yang melanda, apa yang terpenting adalah kesedaran si ayah itu sendiri kerana jika dia berpegang kepada prinsip anak adalah amanah, dia harus menunaikan tanggungjawab atau amanah itu sebaiknya. “Dia juga bertanggungjawab memberi kasih sayang selain memastikan keperluan anak-anak dipenuhi demi kelangsungan hidup serta masa depan mereka,” katanya.
Dr Tengku Asmadi turut menyarankan supaya pasangan yang bercerai tidak menanamkan rasa benci yang keterlaluan sehingga mengganggu perkembangan mental dan fizikal anak-anak dengan merendahkan tahap ego masing-masing.
6 tahun berjuang tuntut nafkah
nori@hmetro.com.my
2010/08/06
HASLINDA Muhammad (bukan nama sebenar) merasakan diri tidak bertuah dalam hidup berumah tangga apabila terpaksa turun naik mahkamah hampir tujuh tahun, semata-mata menuntut nafkah buat satu-satunya puteri tercinta.
Dia hanya mampu bahagia dengan suami ketika menikmati usia perkahwinan hanya setahun. Selebihnya, dia hanya menanggung kedukaan berpanjangan sehingga memaksanya bertindak bijak supaya tidak terus bersedih.
“Pada mulanya, perkahwinan kami dirahsiakan kerana sebagai isteri kedua, kebenaran untuk berkahwin lagi di pihak madu saya agak sukar diperoleh. Untuk itu, kami terpaksa bernikah di selatan Thailand berwalikan bapa sendiri.
“Pada masa sama, saya berusaha mendaftar di sini dengan harapan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, sekurang-kurangnya ada juga hak,” katanya menceritakan pengalaman awal perkahwinannya dengan pilihan hati pada 2003.
Usia perkahwinan atas rasa cinta seorang penuntut dengan pensyarah itu rupanya terlalu pahit untuk dirungkai. Ini kerana apabila dia dikurniakan cahaya mata perempuan yang ketika itu baru berusia tujuh hari, suaminya terus menghilangkan diri tanpa khabar berita.
Keperitan ditanggung membesarkan anak sendirian dan surat nikah pula belum diterima. Namun, sesuatu mengajarnya menilai hati budi lelaki yang bergelar suami apabila surat nikah tiba berserta surat cerai sekali gus.
Pengalaman itu benar-benar membuatkan dirinya nekad untuk turun naik mahkamah kerana merasakan lelaki itu juga perlu bertanggungjawab atas kesengsaraan yang ditanggungnya.
“Sepanjang tempoh enam tahun turun naik mahkamah, banyak masalah terpaksa saya tempuhi. Mulanya menggunakan khidmat percuma Biro Bantuan Guaman tetapi ada saja masalah. “Kadang-kadang hakim bercuti kerana pergi kursus, ada kalanya bekas suami tidak hadir di mahkamah dan tidak menggunakan khidmat peguam.
“Sebenarnya, saya tidak minta banyak perkara. Setelah diceraikan, saya hanya minta hak saya seperti sedikit wang mutaah dan edah untuk saraan anak sebanyak RM200 sebulan.
“Apa yang sedihnya, banyak juga saya terima pesanan ringkas (SMS) daripada bekas madu saya dengan caci maki dan kata-kata kesat. Begitu juga dengan kata-kata suami yang sampai kini berbekas di hati saya. “Kau nak sangat cerai, kau jagalah anak”. “Dari situ, saya nekad untuk terus memperjuangkan hak anak saya ini supaya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya yang bertugas sebagai pendidik di sebuah sekolah di Kajang, Selangor.
Ketika pertemuan dengan Haslinda, si cilik yang berusia enam tahun lebih itu turut menemaninya dan asyik memerhatikan kami berbual. Sesekali si ibu menitiskan air mata apabila bercerita kisah pedihnya. Si kecil itu, Alya Antasya (bukan nama sebenar) pula berlari di sekitar kantin sekolah dengan manjanya. Menceritakan pengalaman sepanjang membesarkan anaknya, dia berkata, bukan sekali Alya bertanyakan mengenai ayahnya. “Alya selalu bertanya mengenai ayahnya. Dia tidak pernah merasakan kasih sayang si ayah. Pertemuan pertama berlangsung dengan si ayah apabila saya pertama kali membawanya ke mahkamah syariah ketika kes dibaca dan bekas suami saya hadir.
“Sebaik sampai di mahkamah dan perbicaraan belum bermula, saya letakkan anak atas ribaan dia dan bekas suami terkejut melihat anak sudah besar. Saya terharu kerana dia yang banyak bertanya mengenai ayahnya selama ini dan apabila dapat bertemu, kelihatan anak benar-benar dahagakan kasih seorang ayah,” katanya.
Dia akui hanya di mahkamah saja mampu mempertemukan si anak dengan bapanya yang membuatkan anaknya berasa si bapa bekerja di mahkamah. Dalam fikiran yang masih kanak-kanak yang mampu terfikir untuk bertemu si bapa, mereka hanya perlu ke mahkamah untuk menanti peluang bertemu bapanya.
Lebih memilukan, gambar bekas suami mendukungnya sewaktu bayi dan sekeping dua gambar bapanya terselit dalam album yang selalu menjadi peneman anaknya ketika tidur.
Katanya, kes yang sering tertangguh akibat pelbagai alasan kadang kala membuat hatinya bosan untuk menuntut sesuatu biarpun ia menjadi haknya.
Melihat keadaan itu, dia akhirnya menggunakan khidmat peguam terkenal dan sanggup membayar ribuan ringgit. Menurutnya, bukan wang yang menjadi buruannya tetapi apa yang penting, dia mahu membuktikan mahkamah menjadi tempat paling adil untuk menilai dan menghukum mereka yang berhak memperoleh hak yang sebenar-benarnya. Si pelaku atau mereka yang alpa dengan tanggungjawab disedarkan daripada lena.
“Tidak dinafikan dalam kes sebegini, memang mahkamah tidak memihak kepada saya. Setelah berhabis duit, penat memanjat mahkamah rendah dan mahkamah tinggi, tiada apa yang saya peroleh setelah hampir tujuh tahun kes berjalan.
“Bagaimana wanita hendak mendapat perlindungan dan haknya kalau begini caranya? Sampai bila-bilapun nasib mereka tidak terbela.
“Walaupun tidak beranggapan anak sebagai beban, bekas suami sepatutnya tahu tanggungjawab terhadap anaknya. Zuriat ini amanah daripada Yang Maha Esa,” katanya dalam nada kesal.
Sebagai suami yang terpelajar, bahkan pensyarah di sebuah universiti swasta tanah air, dia berharap supaya bekas suaminya itu membuka mindanya bahawa penghakiman di akhirat kelak seharusnya lebih ditakuti.
Dia tidak pernah ralat dipertemukan jodoh dengannya tetapi yang amat dikesali sikap dan tanggungjawabnya langsung tiada. Apa yang dipinta bukannya puluhan ribu atau jutaan ringgit tetapi hanya nafkah bulanan dalam membesarkan zuriat tunggalnya itu.
Khamis, Mei 27, 2010
Temui jalan penyelesaian
2010/05/27
KUALA LUMPUR: Proses tuntutan nafkah edah dan tertunggak bekas isteri Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah dijangka menemui jalan penyelesaian pada 19 Jun ini.
Ia berikutan kedua-dua pihak iaitu Datin Fauziah Haron, 53, yang diwakili peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Kadar Shah, 62, diwakili Sulaiman Abdullah memaklumkan mereka kini dalam proses perbincangan di peringkat akhir.
Kamar Ainiah berkata, kedua-dua pihak kini dalam proses untuk meneliti perjanjian yang akan ditandatangani dan butiran pelaksanaan serta akan mengemukakan kepada mahkamah secepat mungkin sebelum tarikh sebutan yang akan datang, Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin menetapkan 19 Julai ini untuk merekodkan penyelesaian kedua-dua pasangan itu. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Fauziah menuntut haknya termasuk nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian hasil perkahwinannya dengan Kadar Shah. Kadar Shah sebelum ini membantah permohonan wanita itu atas dakwaan Fauziah tidak mempunyai locus standi (hak) selain mendakwa perkahwinan pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia, sebagai tidak sah kerana tiada dokumen atau sijil pernikahan. Tetapi, mahkamah memutuskan Fauziah mempunyai locus standi kerana selepas 27 tahun perkahwinan kedua-dua pihak dalam keterangan mengakui dengan suci hati wujud ikatan sah. Fauziah menuntut tuntutan mutaah, edah, wang yang diserahkan kepada defendan RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 berjumlah RM600,000.
Selasa, Ogos 18, 2009
Janda RM7j
metahad@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Menuntut hak, ambil kesempatan atau tamak? Itulah persoalan yang timbul apabila ada wanita membuat tuntutan hingga jutaan ringgit daripada bekas suami mereka apabila berlaku perceraian.
Sepanjang tahun lalu hingga Ogos tahun ini, tujuh kes perceraian membabitkan pemimpin politik, ahli perniagaan dan artis boleh dianggap paling mahal atau elit apabila jumlah keseluruhan tuntutan mereka melebihi RM7 juta.
Tuntutan paling tinggi dibuat Siti Aishah Chou Abdullah, 24, iaitu bayaran mutaah RM3 juta daripada bekas suaminya, Wan Ismail Wan Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Kelantan.
Ini diikuti bekas pramugari, Nor’aini Md Dom, 48, yang menuntut bayaran mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya, Mohamed Rithuan Mohamed Shamsudin, 57, pada November tahun lalu.
Azizah Ali, 47, bekas isteri pemilik syarikat perunding kejuruteraan awam di Kuala Terengganu, Terengganu, turut membuat tuntutan mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya.
Apabila ditanya mengenai rasional tuntutan dibuatnya, Siti Aishah berkata, biarpun ada pihak menganggap RM3 juta yang dituntutnya keterlaluan, jumlah itu sebenarnya wajar.
“Saya bukan tamak atau ingin mengaut hartanya tetapi jumlah tuntutan itu wajar kerana dia (bekas suami) tidak tunaikan janji dibuatnya sebelum kami berkahwin selain mengambil kira pengorbanan saya untuk menjadi isterinya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Wanita berasal dari Kemboja itu berkata, tuntutan mutaah RM3 juta itu adalah pampasan perceraiannya kerana dia dan dua anak, Wan Mohd Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, hidup terumbang-ambing selepas bercerai.
“Saya sanggup tinggalkan tanah air sendiri untuk berkahwin dengannya (bekas suami) kerana percaya mampu dapat perlindungan tetapi sebaliknya pula berlaku.
“Sebelum berkahwin, dia (bekas suami) berjanji mahu beri rumah besar (banglo) dan kereta mewah, tetapi semuanya hanya tinggal janji,” katanya.
Menurut Siti Aishah, selepas perceraian mereka disahkan pada 18 November tahun lalu, dia terpaksa pikul semua tanggungjawab mencari nafkah bagi menampung belanja dengan bantuan keluarganya.
Di kalangan artis pula, penyanyi popular 1980-an, Siti Fairuz Sheikh Mohamad, antara yang membuat tuntutan mutaah tertinggi iaitu RM200,000 selain pelakon, Norish Karman yang menuntut nafkah perbelanjaan RM11,000 sebulan daripada bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.
Siti Fairuz berkata, dia menuntut bayaran RM200,000 daripada bekas suami, Mohamad Zainuddin Kordi, 46, kerana jumlah itu adalah haknya.
“Mungkin ada yang menganggap tuntutan RM200,000 besar dan boleh membuatkan saya hidup mewah tetapi jika diukur daripada tahap ekonomi serta kehidupan sekarang, ia jumlah yang kecil.
“Sepanjang 20 tahun berkeluarga, saya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa dan tiada tabungan untuk masa depan. Oleh itu jumlah berkenaan saya tuntut sebagai hak, selain anggaran sepanjang tempoh perkahwinan,” katanya.
Menurut Siti Fairuz, jumlah itu dikira tidak mencukupi untuk dia membeli kediaman dan sebagainya, namun memadai baginya meneruskan kehidupan bersama lima anak di bawah tanggungannya.
“Ia boleh dianggap sagu hati perkahwinan dan saya akan gunakan untuk memulakan perniagaan bagi masa depan anak,” katanya.
Norish pula dalam hujah bertulisnya menyatakan, dia menuntut nafkah sementara RM11,000 sebulan kerana bekas suaminya mampu menyediakan tuntutan itu berdasarkan pendapatan yang dianggarkan sehingga RM20,000 sebulan.
“Permohonan dibuat demi kepentingan dan kebajikan anak supaya mereka dapat hidup selesa, gembira, berjaya dunia dan akhirat, walaupun rumah tangga ibu bapa mereka tidak dapat dipertahankan.”
Demikian antara kandungan hujah bertulis tuntutan Norish yang difailkan melalui peguam, Akbardin Abdul Kader, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 17 Julai lalu.
Hasil perkongsian hidup dengan Hashimuddin, Norish atau nama sebenarnya Nor’ Asikin, 34, dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany Hashimuddin, 10; Muhammad Hady Amieran Hashimuddin, 6; dan Nur Hanyz Amanda Hashimuddin, 5.
Dua lagi artis yang turut mengemukakan tuntutan nafkah tinggi daripada suami ialah pelakon, Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon dan Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain.
Kes tuntutan nafkah edah, mutaah dan tunggakan nafkah Lydiawati, 43, diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat, Selangor, Mei lalu dan dia menerima bayaran RM36,000 daripada bekas suaminya, Azhar Mohd Zar, 35.
Wan Nor Azlin 41, membuat 14 tuntutan, termasuk nafkah diri dan tiga anaknya berjumlah RM26,000 terhadap suami, Mohd Yazli Yaacob, 39, di Mahkamah Rendah Syariah, 8 April lalu.
JUMLAH TUNTUTAN
1. Siti Aishah Chou Abdullah - RM3 juta (mutaah)
2. Nor’aini Md Dom - RM2 juta (mutaah)
3. Azizah Ali - RM2 juta (mutaah)
4. Siti Fairuz Sheikh Mohamed - RM200,000 (mutaah)
5. Salina Zaimon (Lydiawati) - RM36,000 (nafkah)
6. Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain - RM26,000 (nafkah)
7. Nor’ Asikin Karman (Norish Karman) - RM11,000 sebulan
Tiada had tuntutan
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata tuntutan nafkah mencecah jutaan ringgit oleh bekas isteri bukan perkara luar biasa.
“Ini kerana, selain hak membuat tuntutan, tidak wujud had atau garis panduan berkaitan berapa jumlah yang boleh dituntut oleh seorang wanita daripada bekas suami.
“Contoh paling mudah ialah nafkah semasa. Bagi individu biasa, mereka menuntut RM10 sehari untuk makanan, tetapi bagi golongan berada ia boleh mencecah RM300,” katanya.
KUALA LUMPUR: Walaupun belum mencapai ‘tahap Hollywood’ yang ada kalanya membabitkan angka tidak masuk akal, tuntutan perceraian di negara ini jelas menunjukkan peningkatan berdasarkan ‘dengan siapa aku berkahwin’.
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata tuntutan nafkah mencecah jutaan ringgit oleh bekas isteri bukan perkara luar biasa.
“Ini kerana, selain hak membuat tuntutan, tidak wujud had atau garis panduan berkaitan berapa jumlah yang boleh dituntut oleh seorang wanita daripada bekas suami.
“Contoh paling mudah ialah nafkah semasa. Bagi individu biasa, mereka menuntut RM10 sehari untuk makanan, tetapi bagi golongan berada ia boleh mencecah RM300,” katanya.
Biasanya, mahkamah syariah hanya membenarkan tuntutan nafkah semasa berjumlah satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan bulanan orang yang dituntut.
“Asas nafkah semasa ada tiga, iaitu keperluan tempat tinggal, makanan serta pakaian. Oleh itu, biasanya nafkah semasa jumlahnya kecil kerana ia diberi dalam bentuk bulanan, tetapi berlainan dengan nafkah tertunggak.
“Nafkah tertunggak boleh mencecah ratusan ribu ringgit kerana bekas suami gagal menjelaskan nafkah semasa yang perlu dibayar setiap bulan untuk tempoh lama seperti bertahun-tahun,” katanya.
Musa berkata, jika bekas suami gagal melunaskan nafkah mengikut perjanjian dan ia kali pertama berlaku, mahkamah akan mengarahkan bekas suami membuat bayaran mengikut kadar atau cara yang diterima kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, jika bekas suami masih ingkar, mahkamah ada kuasa untuk memutuskan cara pembayaran dibuat sama ada bayaran penuh, walaupun ia mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit, atau bayaran bulanan.
“Bayaran bulanan juga boleh dilakukan melalui potongan gaji daripada majikan bekas suami. Ia bergantung kepada kata putus mahkamah.
“Ada juga contoh di mana bekas suami mempunyai rumah sewa dan sewa kediaman berkenaan dimasukkan terus ke akaun anak sebagai bayaran nafkah,” katanya.
Berkaitan penyelesaian mutaah pula, Musa berkata, ia sagu hati perceraian yang wajib dibayar bekas suami kepada bekas isteri yang diceraikan tanpa sebab wajar menurut syarak.
Kerana itu ada di kalangan wanita membuat tuntutan mutaah dalam jumlah besar mencecah jutaan ringgit kerana berasakan hak mereka tidak dibela.
“Bagaimanapun, jumlah jutaan ringgit yang dituntut itu bukan jaminan untuk wanita memperoleh keseluruhannya. Ini kerana ia juga bergantung kepada kemampuan bekas suami,” katanya.
Dalam masa sama Musa mengingatkan, nafkah yang diberi bekas suami setiap bulan tidak boleh digunakan oleh bekas isteri kecuali untuk anak.
Menurut beliau, kerana itu, anak berumur 12 tahun ke atas boleh meminta wang nafkah berkenaan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing.
“Jika ibu makan duit anak, ibu terbabit perlu menjawab di akhirat atas perbuatannya yang tidak amanah,” katanya.
Nafkah boleh diberikan dalam pelbagai bentuk
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
Memasukkan wang dalam akaun isteri sudah dianggap menunaikan tanggungjawab
PERSOALAN saya mengenai pemberian nafkah kepada isteri. Apakah kita perlu melafazkan di depan isteri, setiap kali memberikan nafkah berkenaan. Bagaimana jika suami itu sering keluar bekerja sehingga tiga bulan lamanya yang memang tidak dapat melafazkan, tetapi sekadar menyerahkan wang nafkah itu menerusi cara pemindahan wang ke dalam akaun bank isteri.
Soalan kedua, jika kita bekerja di atas kapal melebihi tiga hari, adakah kita boleh mengerjakan solat jamak? Adakah selepas lebih tiga hari itu, kita perlu solat seperti biasa?
Ingin Tahu,
SELANGOR.
Perkataan nafkah ini dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja nafaqa yang bermaksud berjalan ataupun habis. Nafaqun pula merujuk pada jalan yang menembusi ke sesuatu arah. (Rujuk Mufradat Alfaz al-Quran oleh al-Asfahaniy hlm 818 )
Kemudian perkataan ini digunakan dalam erti yang lebih luas membabitkan pembiayaan atau perbelanjaan. Ada banyak penggunaan dalam al-Quran yang merujuk kepada pengeluaran harta, contohnya ayat ke 7 surah al-Talaq, maksudnya: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah SWT akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."
bn Kathir dalam huraiannya menerusi Tafsir Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan khusus memberikan peringatan kepada suami tentang tanggungjawab membiayai isteri dan anak kerana mereka adalah amanah yang wajib diselesaikan.
Secara dasarnya nafkah dalam Islam adalah disebabkan tiga perkara iaitu:
Maka berpandukan keterangan di atas suami diwajibkan membiayai anak dan isteri. Anak pula wajib membiayai ayah ibu yang susah dan tuan diwajibkan menyara hamba.
Kegagalan menjalankan tanggungjawab ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Nabi SAW memberikan amaran dalam hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Nasaei dan al-Bazzar yang bermaksud: "Cukuplah seseorang itu menjadi berdosa apabila dia mengabaikan orang yang berada di bawah jagaannya."
Dalam hadis yang lain mengenai kelebihan menjalankan kerja menyara keluarga ini Nabi pernah bersabda, dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Dan sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu belanja yang dengannya engkau menuntut keredaan Allah SWT, melainkan engkau diberikan pahala dengannya sehingga apa yang engkau suapkan ke mulut isterimu."
Mengukuhkan perkara di atas, Allah turut berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233, maksudnya: "Dan kewajipan bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya."
Menurut pakar tafsir Muhammad Ali al-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir, ayat ini menggunakan ayat 'ke atas lelaki yang dilahirkan anak itu untuknya (bapa) bagi memberitahu tanggungjawab suami adalah menjaga kepentingan isteri dan anak yang diperoleh daripadanya itu. Ini berterusan selagi isteri itu belum diceraikan. Menurut beliau lagi, kadar makanan dan bentuk pakaian yang dimaksudkan itu merujuk pada adat kebiasaan setempat.
Kalangan ulama mazhab al-Syafie contohnya Al-Imam al-Nawawi menjelaskan dalam al-Majmuk, berdasarkan ayat ke-233 ini, suami berkewajipan menyediakan untuk isteri nafkah jenis makanan tempatan.
Apabila kita mengkaji sirah kalangan sahabat yang berhubungkait hubungan suami isteri, kita akan lihat suami mempunyai kaedah yang berbeza-beza menangani perbelanjaan rumah tangga. Sebagai contohya Abd Rahman bin Auf yang sentiasa memaklumkan kadar nafkah yang akan diberikan pada isteri.
Sebaliknya Ali bin Abi Talib pula tidak melakukan perkara itu sehingga ada hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim isteri kepada Ali iaitu anak perempuan Nabi Fatimah datang kepada Nabi mengadu kesusahan hidup dan memohon agar diluluskan peruntukan pembantu rumah untuk beliau.
Kedua-dua riwayat ini menunjukkan suami di kalangan sahabat mempunyai pendekatan yang berbeza dalam perkara ini. Berpandukan hujah syarie di atas jelaslah kepada kita mengenai kepelbagaian kaedah menyara keluarga membabitkan isteri dan anak. Nafkah itu wajib dilaksanakan, cuma kaedahnya boleh dipelbagaikan sama ada diberikan terus dalam bentuk kewangan, atau penyediaan makanan. Selagi ia memenuhi keperluan isteri dan anak, jelas kepada kita Islam tidak membataskan kepada bentuk pemberian secara khusus. Justeru, suami yang membiayai perbelanjaan isteri menerusi bayaran terus ke akaun dianggap sudah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang dituntut syarak.
Bagi persoalan kedua, Islam membenarkan seseorang itu melakukan solat musafir yang membabitkan jamak dengan syarat yang tertentu. Solat seperti ini adalah suatu kemudahan yang disifatkan sebagai sedekah seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim (No 686).
Malahan seseorang yang bermusafir itu juga dibenarkan mengerjakan solat secara qasar iaitu meringkaskan solat yang empat rakaat menjadi dua. Solat yang dimaksudkan adalah solat Zuhur, Asar dan Isyak.
Ini adalah berlandaskan firman Allah dalam surah al-Nisak ayat 101, maksudnya: "Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu."
Antara syarat untuk melakukan solat musafir ini adalah perjalanan itu melebihi dua marhalah iaitu 90 kilometer dan bukannya bertujuan maksiat. Sekiranya saudara bekerja sepanjang waktu di atas kapal menuju ke pelbagai tempat, maka perjalanan yang dilalui itu dianggap musafir yang membolehkan solat dilakukan secara jamak dan qasar. Cuma apabila tinggal tetap di sesuatu tempat melebihi empat hari tidak termasuk hari datang dan pulang, maka secara automatik gugurnya kelayakan melakukan solat musafir kerana sudah dianggap mukim.