#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, November 12, 2012

Kesal seorang anak yang pernah melupakan ibu!

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 10/11/2012
KASIH sayang adalah perasaan yang lahir daripada cantuman rasa rindu dan saling memerlukan. Ia anugerah Ilahi dan fitrah makhluk yang bernyawa.
Tanpa kasih dan sayang, hubungan akan menjadi hambar dan tidak bermaya, malah akan memutuskan silaturahim jika tidak kena caranya.

Dunia fana ini sememangnya harus diwarnai oleh kasih sayang sesama insan terutama ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita menjadi manusia.

Bermacam cara dilakukan untuk meraih kasih sayang. Orang muda, mahupun warga emas tidak boleh lari daripada menikmati kasih sayang.

Pendek kata, jangan ambil mudah soal kasih sayang kerana ia boleh membawa bahagia dan derita seperti mana yang berlaku kepada pengirim cerita minggu ini, Alif (bukan nama sebenar), seorang penjawat kerajaan.

Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Alif untuk iktibar kita semua. Begini kisah Alif.

"Saya berusia awal 30-an, anak bongsu daripada tiga beradik, seorang abang dan seorang kakak yang masing-masing telah berumah tangga. Kami mempunyai ibu yang tinggal nun jauh di utara.

"Abang sulung saya seorang pegawai kanan di sebuah bank ternama, kakak pula seorang pensyarah. Kami tiga beradik diberi pendidikan sempurna oleh ibu dan ayah. Tapi ayah tidak sempat melihat kejayaan kami.

"Setelah berkahwin, kami tinggal di bandar dan sibuk dengan kerja masing-masing. Ibu enggan ikut sebab lebih selesa tinggal di kampung. Puas saya pujuk, tapi ibu enggan juga.

"Akhirnya ibu tinggal seorang diri di kampung. Dek kerana terlalu mengejar duniawi, kami lupa kepada ibu. Walaupun setiap bulan ibu mendapat habuan lumayan daripada kami, tetapi itu tidak menggembirakan ibu.

"Jelas sekali ibu perlukan kasih sayang dan perhatian anak-anak yang semakin hari tidak mempedulikan dirinya.

"Kami lupa pada ibu yang keseorangan di kampung. Kami lupa ibu perlukan belaian dan kasih sayang kami. Setiap kali telefon, dia akan menangis. Katanya rindu kepada kami tiga beradik. Tapi kami tidak menghargai kasih sayang ibu.

"Saya mengharapkan kurniaan Ilahi tetapi saya tidak pernah mensyukuri anugerah-Nya dan membiarkan ibu dalam kesunyian. Saya menyesal kerana membiarkan ibu seorang diri selama ini.
"Saya leka membaca kisah-kisah sensasi duniawi yang melalaikan sehingga saya menjadi alpa dan hilang arah tuju. Saya sedih sebab ibu menyampaikan pengajaran dalam bentuk cerita kepada kanak-kanak di kampung untuk mengisi masanya yang terluang bagi menghilangkan kesunyian sejak ayah meninggal dunia.
"Tapi kami anak-anak ibu tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada ibu. Ibu kami biarkan menanggung rindu dan sunyi kerana sikap kami yang tidak mengenang budi.

"Suatu hari, seorang teman saya telah kematian ibunya. Saya lihat dia menangis dan meraung setelah mendapat berita tersebut. Setelah saya tanya, katanya sejak kahwin dan mempunyai tiga orang anak, dia langsung tidak pernah pulang ke kampung sebab perkahwinannya tidak direstui oleh ibunya.

"Dia marah ibunya kerana tidak menerima isterinya. Pada hal, dia kini hidup menderita kerana dikongkong isterinya yang mata duitan. Dia menyesal kerana tak sempat meminta ampun daripada ibunya.

"Melihat dia berkeadaan begitu menjadikan saya insaf dan malu dengan diri sendiri. Betapa saya anak yang kejam dan zalim terhadap ibu sendiri. Saya bertaubat dan mengambil keputusan mahu menjaga ibu sampai ke akhir hayat saya.

"Saya khabarkan kepada kakak dan abang tapi mereka buat selamba sahaja, macam tidak ingat akan pengorbanan ibu. Saya tidak memaksa mereka tetapi sekadar ingatkan sahaja sementara ibu masih ada.
"Saya ambil keputusan pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu. Saya berhenti kerja dan mencari kerja di tempat kelahiran saya. Alhamdulillah, apabila niat kita baik, insya-Allah, Allah akan bagi jalan yang mudah.

"Semuanya saya lakukan demi ibu. Syukur saya dapat kerja yang lebih kurang baik dengan jawatan yang saya tinggalkan. Saya tidak mahu berpisah lagi dengan ibu.

"Saya akan menjaga hati ibu dan menatangnya bagaikan minyak yang penuh. Saya tidak akan biarkan ibu menangis dan kesepian lagi. Abang dan kakak, terpulang kepada mereka, saya dah nasihat.

"Saya percaya seorang ibu mampu menyelami hati anak-anak walaupun mereka tidak menzahirkan dengan kata-kata, tetapi anak tidak. Saya berharap keputusan saya akan menggembirakan hati ibu.

"Kini saya gembira bersama ibu. Saya bangga dapat membantu ibu membuat kerja-kerja ringan di rumah sambil menemaninya menanam pokok-pokok bunga yang pelbagai jenis dan warna di sekitar kawasan rumah setiap kali ada masa terluang.

"Saya dapat bersama ibu ke masjid dan menghadiri majlis serta kenduri-kendara yang ada di kampung. Saya nampak kegembiraan ibu selepas saya pulang dan tinggal bersamanya.

"Di wajahnya senyum selalu terukir, dia bangga bercerita pada orang kampung yang saya pulang untuk menjaganya. Aduhai, sayunya hati saya Allah sahaja yang tahu.

"Pada masa yang sama, saya harap abang dan kakak sedar kesilapan mereka yang melupakan ibu dan kembali memohon maaf. Saya selalu berdoa agar apa yang telah kami adik-beradik lakukan kepada ibu akan mendapat keampunan Allah.

"Apa yang saya ceritakan ini adalah untuk teladan kepada masyarakat di luar sana yang mungkin terlupa tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa di kampung.

"Saya juga berharap apa yang berlaku ini tidak akan berlaku kepada orang lain. Nasihat saya jika masih ada ibu, berilah perhatian penuh kepada mereka dan curahkan kasih sayang kepada mereka. Jangan biarkan mereka menangis,'' demikian Alif menutup cerita.

Salam

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121110/ke_05/Kesal-seorang-anak-yang-pernah-melupakan-ibu#ixzz2BzmGK8RG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan