#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, November 19, 2012

Jatuh akibat nafsu

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 18/11/2012
Oleh HAFIZAHRIL HAMID

AHLI politik dan pemimpin sememangnya diharap oleh penyokong, pengundi dan mereka yang bekerja di bawahnya sebagai contoh dan tauladan.

Namun hakikatnya mereka juga manusia biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesalahan. Makanya terdapat segelintir di antara mereka yang terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti jenayah dan skandal seks.

Adalah malang apabila terdedah skandal seks melibatkan pemimpin ia akan menjadi bahan berita yang sentiasa mendapat perhatian. Jika ia hanya melibatkan orang biasa mungkin tidak ada yang mengambil berat.

Dunia politik moden sesungguhnya tidak pernah sunyi dari pelbagai skandal. Pada peringkat awal pemimpin sebegini seboleh mungkin akan menafikan skandal berkenaan tetapi akhirnya terpaksa mengakui malah karier politiknya berakhir, sesuatu yang pahit untuk ditelan akibat kesilapan sendiri.

Melihat gejala skandal seks melibatkan pemimpin Amerika Syarikat (AS) yang merupakan antara negara paling banyak terlibat dalam hal sebegini.

Dilaporkan hampir 200 orang pemimpin serta pembantu kepada pemimpin sama ada di peringkat pusat mahupun negeri pernah terlibat dalam skandal seks.

Di peringkat pusat antara nama tidak dapat dilupakan adalah bekas Presiden Bill Clinton yang terlibat dalam skandal bersama pelatih di White House, Monica Lewinsky serta terbaru Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus.

Kesilapan

Manakala di peringkat negeri antara nama-nama yang menarik perhatian adalah bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger yang mengaku pernah mempunyai hubungan sulit dengan bekas pembantu rumahnya.

Lebih menakutkan ada juga antara mereka yang mempunyai hubungan sulit dengan lelaki walaupun sudah berkahwin kemudian cuba berpura-pura di hadapan khalayak seolah-olah mereka lelaki tulen.

Antaranya Senator California, Roy Ashburn, Senator Larry Craig, Ahli Kongres Jon Hinson, Ahli Kongres Barney Frank dan ramai lagi.

Namun satu perkara menarik mengenai ahli politik mahu pun pemimpin tertinggi organisasi atau pun agensi awam yang terlibat dalam skandal seks ini, mereka akan meletakkan jawatan tanpa sebarang penafian panjang.

Bagi mereka apa yang berlaku adalah akibat kesilapan sendiri terperangkap dalam noda angkara nafsu. Namun begitu, integriti dan jawatan yang disandang adalah satu perkara penting dan perlu dipertahankan dan tiada kompromi mengenainya.

Walaupun sebelumnya agak sukar untuk mengakui kesilapannya namun setelah terbukti segalanya, mereka akhirnya mengaku dan mengundur diri.

Pancawarna minggu ini mengungkap skandal-skandal melibatkan pemimpin bukan untuk memalukan tetapi sebagai iktibar bahawa menjadi seorang pemimpin mereka bukan sahaja perlu bersih malah dilihat bersih.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121118/ke_01/Jatuh-akibat-nafsu#ixzz2D28efSUW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan