#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, November 08, 2012

Derita ibu angkara dadah

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 07/11/2012
Oleh NOR FARHANI CHE AD

SETIAP anak yang dilahirkan pasti ingin dilihat berjaya dan menjadi insan yang berguna kepada keluarga serta bangsa.
Namun seorang ibu, Salasiah, (bukan nama sebenar) terpaksa menanggung sengsara apabila tiga daripada empat anaknya terlibat dengan najis dadah yang akhirnya telah memusnahkan seluruh kehidupan dan keluarganya.

Sudahlah ditinggalkan suami tanpa berita dan nafkah, kerunsingannya bertambah melihat satu persatu anak-anaknya 'mati' dalam dunia khayalan ciptaan mereka sendiri.

Namun begitu, ibu ini tetap cekal dan tabah menerima apa yang terjadi sebagai takdir Tuhan.
Anak-anaknya iaitu seorang lelaki dan dua orang perempuan terbabit dengan dadah sejak 12 tahun lalu dan lebih menyayat hati, apabila salah seorang daripadanya telah meninggal dunia akibat HIV/AIDS.

Biarpun begitu, kehilangan anak perempuannya lebih 10 tahun lalu itu tidak pernah memberi sebarang keinsafan kepada dua lagi anak Salasiah yang terlibat dengan masalah yang sama.


Menceritakan pengalaman sewaktu mula-mula mengetahui anak sulungnya, Ahmad, 40, (bukan nama sebenar) mula berjinak-jinak dengan dadah, Salasiah tidak dapat menahan rasa sedihnya apabila melihat anak lelakinya itu menghisap dadah di dalam rumah mereka sendiri.

"Perasaan saya sangat sedih bercampur marah apabila melihat anak saya membuat perkara bodoh seperti itu. Saya nekad merampas dan membuang dadah itu.

"Namun kerana ketagih, dia tetap berdegil untuk terus menagih dadah," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Apabila bercerita mengenai anak bongsunya yang dikenali sebagai Mira, 30, (bukan nama sebenar), Salasiah mengaku anaknya itu terpengaruh oleh arwah kakaknya dan dia menagih ketika berumur belasan tahun lagi.

Derita Salasiah berlarutan apabila, sepanjang anak-anaknya terpengaruh najis dadah, dia kerap menjadi mangsa ugutan anak-anaknya untuk mendapatkan duit bagi membeli dadah.


"Barangan rumah habis dijual anak sendiri apabila saya tidak memberikan mereka wang. Wang simpanan saya juga dicuri, sehinggakan ke mana jua saya pergi, beg tangan harus dibawa termasuklah ketika masuk ke tandas, di dalam rumah," tambahnya.


Diugut dengan pisau


Apa yang menakutkan, Salasiah pernah diugut dengan pisau oleh anak-anaknya untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah untuk melepaskan gian.


Derita Salasiah memuncak apabila dia juga turut disisihkan jiran-jiran akibat perangai anak-anaknya sehinggakan dia tidak sanggup pulang ke rumah kerana tidak mampu menahan perasaan sedih berdepan situasi anak-anaknya itu.


"Kadangkala mereka akan datang ke rumah kawan-kawan mencari saya apabila mereka memerlukan wang dan ada yang mengadu mereka berbuat begitu dengan keadaan yang kasar dan menakutkan.

"Namun, perangai anak-anak saya ini sedikit pun tidak menjejaskan hubungan persahabatan dengan rakan-rakan baik yang sanggup menolong dan menjadi pendorong semangat kepada saya," ujarnya yang bekerja sebagai pencuci pejabat.

Namun, biar sebanyak mana pun hatinya terluka akibat perangai anak-anak, kasih sayang seorang ibu itu tidak pernah padam.

Berteraskan tulang empat keratnya, Salasiah terus bekerja bagi menyara diri dan anak-anaknya, biarpun usianya kini telah mencecah lebih 60 tahun.

Begitupun, pada suatu hari, akibat rasa tidak sanggup menghadapi kerenah anak-anaknya, Salasiah memutuskan untuk merelakan anak-anaknya dihantar ke pusat serenti.


Pihak polis telah dipanggil untuk menahan anak-anaknya ketika mereka sedang melepaskan gian dalam rumah.


"Biarpun memang agak tertekan apabila mendengar maki hamun ketika mereka ditahan, namun, saya tahu, itu adalah perkara terbaik yang dilakukan demi masa depan mereka.


"Ahmad yang kini berada di salah sebuah pusat serenti di Johor dijangka akan keluar pada tahun hadapan dan diharapkan menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Ahmad yang disifatkan oleh Salasiah sebagai anak yang baik berubah wajah akibat pengaruh kawan yang terdedah dengan masalah ketagihan dadah ketika menginjak remaja.


Salasiah juga sangat mengharapkan anak perempuannya, Mira akan berubah sepenuhnya apabila turut sama diletakkan di bawah pengawasan pusat serenti di pantai timur Semenanjung.


Bagi Salasiah, sekiranya terjadi perkara yang melibatkan penyalahgunaan dadah kepada anak-anak, ibu bapalah yang kerap dipersalahkan.


Namun bagi pihaknya sendiri, ibu bapa mana yang mahu melihat masa depan anak-anak mereka musnah akibat najis dadah.


"Saya sentiasa memberi yang terbaik kepada anak-anak dan doa juga tidak pernah putus saya panjatkan pada Allah.


"Namun apabila berlakunya perkara seperti ini terhadap anak-anak, saya anggap sebagai ujian Allah yang sentiasa menguji hambanya yang dikasihi.


"Kepada anak-anak, saya menasihati, mereka perlulah berfikir sebaiknya memilih jalan agar masa depan tidak disia-siakan di kemudian hari.

"Kenikmatan yang diperoleh daripada najis dadah ini hanyalah bersifat sementara yang memberi kesengsaraan yang mungkin memusnahkan kehidupan selama-lamanya," katanya.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121107/ke_01/Derita-ibu-angkara-dadah#ixzz2BzhGlLQ4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan