#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, November 19, 2012

Bekas kekasih tagih cinta

Sumber : Uttusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 18/11/2012


BIASANYA ruangan ini memaparkan masalah wanita menceritakan masalah suami curang dengan wanita lain, tetapi kisah saya lain. Cukup menarik untuk perhatian kaum isteri, kerana bukan saya yang curang, tetapi isteri saya, Zurina.

''Saya percaya kes isteri buat hubungan sulit dengan lelaki lain zaman dulu, memang kurang tetapi sekarang terdapat banyak kes isteri berzina dan sembunyikan daripada suami. Bila suami dapat tahu mereka nafikan malah salahkan suami sebagai jahat dan kaki pukul.

''Saya sudah berkahwin dengan Zu lebih 15 tahun, sepanjang 14 tahun saya rasa hidup kami cukup bahagia, hingga mendapat dua orang anak. Kami berjaya mengumpulkan wang dan membeli sebuah rumah dan menabung untuk masa depan anak-anak.

''Sepanjang perkahwinan, kami juga pergi berhibur bersama anak-anak, seperti ke Cameron Highland, Singapura, Thailand dan banyak lagi. Tetapi itu semua tidak cukup, menurut cerita kawan-kawannya, dia mahu ke luar negara.

''Dalam pada itu, saya ingatkan Zu bahawa dia harus bertanggungjawab kepada kedua ibu bapanya yang sering tak berduit dan bantuan bulanan kami masih tak cukup terutama setelah mereka berhenti kerja.

"Zu juga ingin menyambung pelajaran buat diploma luar kampus, saya izinkan dan dia berjaya. Tapi malangnya dia memang tak ambil peduli tentang hal mendidik anak-anak. Semua dilepaskan pada saya termasuk membantu ibu bapanya.


''Awal tahun lepas dia terpilih menghadiri kursus di Korea selama seminggu. Saya turut bangga. Saya menguruskan segala keperluan rumah dan anak-anak. Memang saya sudah biasa melakukan tugas seperti mencuci pakaian, mengampai kain, melipat dan seterika baju. Sejak kahwin dia tak pernah ke dapur, walaupun nak masak makanan ringkas seperti telur atau sayur goreng.


''Biasalah alasannya badan tak sihat kerana lelah, kerana itu semua tugas saya bereskan. Saya lakukan semua itu kerana terlalu sayangkan Zu, hinggakan apa sahaja yang diperlukan akan disediakan. Saya pernah menghabiskan RM4,000 kerana mahu memenuhi permintaannya menguruskan badan tetapi dia hanya melakukan separuh jalan.Pendek kata apa saja tersiar promosi kecantikan di TV dia mahu mencuba.


''Awal tahun ini Zu hendak ke China untuk berkursus. Di sinilah bermula segala-galanya Zu bertemu bekas kekasihnya. Perubahan sikapnya membuat saya berfikir dan membuat sedikit penyelidikan. Saya semakin syak apabila Zu selalu sangat berkursus di Langkawi.


"Entah mengapa malam itu terlintas di fikiran untuk mengesan lokasi Zu melalui telefon bimbitnya yang sedang aktif. Rupanya Zu ada di Genting Highlands, Pahang bukan di Langkawi, Kedah. Apabila balik dia menangis sambil bercerita yang dia membantu kawannya, Ayu di Genting. Memang tak masuk akal.


''Beberapa hari selepas itu, dia bertugas malam. Dari tempat kerja, dia hantar khidmat pesanan ringkas (sms) meminta dilepaskan dengan cara baik. Alasannya, saya adalah suami yang baik tetapi dia bukanlah perempuan yang baik. Berdebar jantung saya kerana ini bukan gurauan.


''Keesokkan harinya, saya ambil cuti kecemasan dan mengajak dia balik ke kampung untuk bercerita depan ibu bapanya. Ketika bercerita saya lebih banyak menangis dan Zu banyak mendiamkan diri. Emak Zu menasihatkan anaknya jangan bercerai, kerana dia tidak akan mendapat suami sebaik saya dan ada dua orang anak. Tapi Zu tetap membisu.


''Sejak itu saya mula jalankan siasatan, memerhatikan pergerakan Zu dan berjumpa sendiri Ayu. Ayu juga mendiamkan diri.


''Suatu malam, Zu melihat saya menangis. Untuk menenangkan fikiran saya solat. Selesai solat anak kami berbisik, katanya 'Pa, cuba periksa telefon mama mesti ada banyak rahsia'. Saya terus bangun dan mengambil telefon bimbit Zurina. Dia cuba merampasnya, berlaku pergelutan dan saya tidak sengaja menamparnya. Tapi dia semakin agresif cuba merampas kembali. Saya lantas membawa anak menaiki kereta untuk membaca apa yang terkandung dalam telefon bimbitnya.


''Berdiri bulu roma saya ketika membaca sms mereka. Terbukti Ayu bukanlah orang yang menemaninya ke Genting tetapi lelaki bekas kekasih lamanya Wan. Saya cuba membuat laporan polis tentang ketelanjuran melempangnya tetapi Zu terlebih dahulu telah buat aduan.


''Kemudian, saya ke Jabatan Agama Islam untuk membuat aduan dan meminta sesi kaunseling rumah tangga. Saya cuba hubungi Wan tetapi gagal. Zu akhirnya memberitahu bahawa Wan hanya kawan biasa.

Sebenarnya Wan seorang yang bijak dalam teknologi selular telefon terutama mengenai LTE. Tapi Zu mendakwa Wan seorang warak dan bijak dalam soal agama.

''Tapi kalau orang beragama tentu dia tak mahu berdua-duaan dengan isteri orang dan memanggil sayang setiap kali bersms. Setelah diselidik, jelas Zu kerap mengambil cuti sakit dan bermalam di Genting, beberapa buah hotel sekitar, KL, KLIA dan Putrajaya. Semakin diteliti semakin banyak pembohongan terbongkar. Akhirnya saya suruh Zu bersumpah tetapi dia enggan. Ketika itu tanpa saya sedar saya terus menamparnya.

''Beberapa hari kemudian saya dikejutkan kedatangan kereta peronda polis mengarahkan saya pergi ke balai polis. Saya terfikir kalau hilang pendapatan bagaimana anak-anakku meneruskan kehidupan?

''Saya pernah ke rumah Wan tetapi dia tidak ada di rumah. Saya tinggalkan nota meminta dia bersemuka tetapi dia enggan. Kerana tidak ada persepakatan dan Zu masih menafikan walaupun pelbagai bukti diberi termasuk dia pernah menjalani ujian kehamilan setelah balik dari China, sebaliknya dia mahu keluar dari rumah kami

''Setelah kes di bawa ke mahkamah syariah, maka jatuhlah talak. Kini saya faham, perasaan Zu terhadap saya telah mati. Kini dengan rezeki yang Allah kurniakan padaku, akan aku jaga dan besarkan dua anak kita kerana mereka adalah amanah yang wajib saya pikul.'' Itu cerita Om tentang kehidupannya kini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121118/ke_06/Bekas-kekasih-Btagih-cintaB#ixzz2D26Qw9Ha

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan