Jumaat, Julai 30, 2010
Judi cetus sifat tercela
2010/07/30
ISLAM sudah memberikan panduan lengkap kepada umatnya bagaimana mencari sumber rezeki. Yang nyata ialah Islam memandu manusia bagaimana berusaha mencari kehidupan dunia melalui lunas-lunas yang bersih, halal dan suci. Amat malang jika segala panduan yang diberikan Allah dan ditunjukkan Rasulullah s.a.w diingkari begitu saja.
Kegawatan sosial dan kerosakan akhlak yang berlaku sebenarnya banyak berpunca daripada tidak patuh manusia kepada suruhan dan perintah Allah dan melanggar sunnah Nabi.
Antara akhlak perbuatan yang jelas bertentangan dengan kehendak agama ialah kegiatan perjudian. Allah melalui surah Al-Mai’dah ayat 90 mengatakan, ‘Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.’ Mengapakah Allah melarang umat Islam menghindari kegiatan berjudi? Kita boleh melihat keburukan judi dari pelbagai sudut seperti psikologi, sosial dan ekonomi.
Pertama: Keburukan dari aspek psikologi manusia. Akibat buruk kegiatan berjudi membawa kepada sikap mengambil jalan mudah untuk mengaut kekayaan tanpa memerlukan usaha keras. Sedangkan dalam Islam usaha dan kegigihan mencari rezeki yang baik, suci dan halal menjadi elemen utama kepada mendapat keberkatan.
Sikap malas berusaha tiada langsung dalam kamus kehidupan yang dianjurkan Islam. Allah berfirman, ‘Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.’ (Maksud surah Maryam ayat 25). Ini satu suruhan Allah supaya melakukan usaha terlebih dulu untuk mendapatkan rezeki. Ingatlah pepatah Melayu ‘Yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek.’ Ertinya rezeki datang bersama dengan usaha gigih yang dilakukan seseorang. Berlainan dengan berjudi kerana amalan tersebut mengundang sikap malas berusaha, sebaliknya hanya mengharapkan untung nasib semata-mata. Orang yang berjudi sudah pasti akan memasang angan-angan besar agar mendapat hadiah atau ganjaran besar.
Selain itu, kegiatan berjudi juga akan menyebabkan seseorang itu bersikap rakus, tamak haloba dan cintakan dunia. Semua sifat itu sangat keji dan dimurkai Allah. Apa tidak rakusnya, apabila seseorang itu memenangi sesuatu aktiviti judi, maka perasaan ingin kemenangan atau keuntungan akan membuak-buak dalam jiwa sekali gus lupa diri yang berkemungkinan membawa kepada kemuflisan. Inilah kesan psikologi negatif yang akan melanda seseorang yang gemar berjudi. Sebab itulah Allah melarang umat-Nya berjudi.
Kedua: Keburukan dari sudut sosial.
Aktiviti judi juga boleh menyebabkan permusuhan sesama manusia. Akibat kekalahan berjudi akan mencetuskan persengketaan dan pergaduhan. Ini kerana emosi kesan kekalahan berjudi sukar dikawal lantas membawa kepada saling bermusuhan dan mungkin juga sampai kepada tahap pembunuhan. Jika keadaan itu terjadi, sudah tentu hubungan dalam masyarakat menjadi tidak harmoni. Begitu juga perjudian boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga. Misalnya, jika suami seorang kaki judi dia akan bertindak mengabaikan rumah tangga. Keadaan anak isteri terabai dan situasi tersebut tidak mustahil menyebabkan perceraian. Bayangkan bagaimana rumah tangga yang selama ini bahagia, tiba-tiba runtuh lantaran judi. Anak-anak dan isteri juga menjadi mangsa.
Ketiga: Keburukan kepada ekonomi.
Memang judi memberikan impak negatif kepada sikap si pelakunya. Duit akan dihabiskan dengan kegunaan berjudi tanpa memikirkan hal lain. Hal itu mengakibatkan seseorang menuju kepada kepapaan.
Sepatutnya umat Islam terus memperkasakan diri dengan menjana sumber ekonomi secara halal dan memberikan manfaat kepada ummah dan bukan mencari harta kekayaan melalui cara haram. Allah melarang sama sekali umat-Nya mendapat kekayaan daripada sumber dan kaedah haram.
Sabda Rasulullah, ‘Sesungguhnya perkara halal itu nyata dan haram pun nyata, di antara kedua-duanya pula terdapat perkara syubhat yang tidak dapat dikesan kebanyakan manusia.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seseorang yang memperoleh kekayaan daripada sumber perjudian dianggap mendapat sesuatu yang haram dan memakan hasil tersebut akan membawa kepada seksaan Allah di akhirat kelak.
Rasulullah sebagaimana diriwayatkan at-Tirmidzi, ‘Setiap daging yang tumbuh (dibina) daripada hasil haram, maka neraka adalah lebih utama baginya.’
Selain itu, berjudi juga menyebabkan jiwa dan fikiran si pelaku menjadi pasif dan lemah semangat untuk berusaha. Mereka tidak mempunyai semangat berdikari untuk mencari rezeki.
‘Sesungguhnya Allah mencela sikap lemah (pasif). Oleh itu, hendaklah kamu tangkas dan pantang menyerah kalah (sebelum berusaha dan mendapat kejayaan).’ (Hadis riwayat Abu Daud). Ini adalah kata-kata motivasi terbaik buat seluruh mukmin agar terus menjana semangat tinggi dalam mencari sumber pendapatan halal dengan sikap yang gigih.
Mangsa culik koma
Harian Metro
2010/07/30
JERTIH: Seorang pelajar perempuan terselamat daripada menjadi mangsa culik apabila kereta yang digunakan penjenayah terbabit terbabas ketika cuba melarikan remaja berkenaan di Kampung Limbongan, dekat sini, kelmarin.
Pelajar berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Nur Zahirah (SMKNZ), Besut, itu diculik dua lelaki ketika berada di luar pagar sekolah berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang selepas pelajar itu yang baru keluar mengikuti kelas tambahan di sekolah berkenaan menunggu ibunya di luar pagar sekolah.
Bagaimanapun, tiba-tiba dua lelaki berusia 23 dan 15 tahun yang menaiki sebuah Perodua Kenari berhenti di hadapan pelajar itu sebelum mereka turun dan mengheret mangsa masuk ke dalam kereta berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Nor, berkata penjenayah terbabit memecut dan niat mereka tidak berpanjangan apabila kereta dipandu seorang daripada suspek terbabas dan jatuh ke dalam parit kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Katanya, seorang guru yang melihat kejadian itu menelefon polis memaklumkan kejadian berkenaan dan sepasukan polis berkejar ke tempat kemalangan.
Menurutnya, guru berkenaan menemui beg sekolah pelajar itu yang terjatuh ketika bergelut dengan suspek serta menemui dokumen peribadi remaja itu sebelum menghubungi keluarganya.
Beliau berkata, ketika polis tiba di tempat kemalangan kira-kira 15 minit kemudian, suspek sudah melarikan diri dan pelajar berkenaan ditemui pengsan di dalam kereta itu.
Katanya, pelajar berkenaan yang parah di kepala dan leher dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, kira-kira jam 8.30 malam semalam.
“Sehingga kini, keadaan mangsa masih koma akibat parah selepas bergelut dengan dua lelaki terbabit,” katanya.
Berikutan kejadian itu, polis melancarkan gerakan mengesan suspek dan bertindak atas maklumat awam sebelum menangkap dua lelaki terbabit kira-kira sejam kemudian di sebuah rumah di Kampung Alur Jejawi, Kuala Besut. Menurut Nor Zainy, polis mendapat arahan tahanan reman tujuh hari mulai semalam dan kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah, Kampung Raja.
Rahsia suami kantoi
am@hmetro.com.my
2010/07/29
JOHOR BAHRU: Seorang isteri terkejut besar selepas mengetahui rahsia suaminya menjadi pengunjung setia ‘Rumah Kuning’ iaitu sarang pelacuran bagi kelas bawahan.
Sarang pelacuran berkenaan yang tersorok di sebuah kawasan perumahan di pinggir bandar raya ini hanya boleh diakses melalui tempahan istimewa telefon.
Selain itu, sarang pelacuran itu hanya mempunyai satu jalan keluar masuk menjadikan ia kubu paling selamat bagi mereka yang gemar menikmati tubuh montok pelacur warga Indonesia.
Kegiatan tidak bermoral pengusaha Rumah Kuning yang menjadi ‘resort’ lelaki hidung belang itu dibongkar seorang wanita yang berang selepas mengetahui suaminya menghabiskan hasil perniagaan mereka untuk mendapatkan layanan istimewa wanita asing terbabit.
Pendedahan itu bermula apabila wanita yang mahu dikenali sebagai Rashidah, 28, itu curiga dengan sikap suaminya yang cukup liat dan kerap menghilangkan diri ketika diminta menjaga premis menjual barangan am milik mereka.
Menerusi bantuan rakan, Rashidah mengintip pergerakan suaminya sebelum mendapati lelaki itu sering berkunjung ke sebuah kediaman di satu kawasan perumahan.
“Sebelum tembelangnya pecah, saya pernah beberapa kali bertanyakan hal itu padanya. Bagaimanapun dia enggan mengaku dan menyatakan dia sebenarnya melepak dengan rakan untuk menghilangkan rasa bosan.
“Saya turut menelefon suami ketika giliran menjaga kedai, tetapi ada masanya tidak berjawab dan selepas beberapa kali mencuba suami akan menjawab dan memberi alasan berada dalam tandas atau memutuskan perbualan kononnya tiada liputan,” katanya ketika ditemui di bandar raya ini.
Tidak tahan dengan sikap suaminya yang kaki kelentong itu, Rashidah mendesak lelaki itu menceritakan perkara sebenar sebelum mengaku pernah beberapa kali mengunjungi pusat pelacuran itu.
“Selepas didesak dia mengaku sering melanggan wanita dengan menggunakan hasil jualan di kedai kami.
“Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya perasaan saya apabila suami tergamak melakukan perkara seperti itu.
Disamun dalam pejabat
Harian Metro
KUANTAN: Tindakan seorang wanita berusia 25, menolak pelawaan lima rakan sepejabat untuk makan tengah hari bersama bertukar mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa samun dalam kejadian di sebuah pejabat di Semambu, kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, pekerja wanita berusia 25 tahun berkenaan yang bekerja di sebuah syarikat menjual barangan elektrik pada mulanya dipelawa rakannya untuk makan bersama namun memilih bersendirian di pejabat ketika waktu rehat.
Namun, tindakan wanita berkenaan ternyata silap apabila dia bukan saja diikat kaki dan tangan, malah mulutnya turut ditutup dengan pita pelekat oleh seorang lelaki tidak dikenali. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata pekerja wanita berkenaan hanya menyedari kehadiran lelaki terbabit sejurus dia keluar dari bilik air dan terkejut apabila suspek secara tiba-tiba meluru ke arahnya.
Katanya, lelaki berkenaan kemudian mengikat kaki dan tangan mangsa selain mulutnya ditampal pita pelekat.
"Selepas mengikat mangsa, suspek yang tidak bersenjata mengugut mangsa supaya mendiamkan diri jika tidak mahu dicederakan sebelum menggeledah pejabat berkenaan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Mohd Haris berkata, suspek berjaya mengambil wang tunai berjumlah RM3,852 milik syarikat berkenaan.
"Mangsa yang berjaya membuka ikatan selepas penyamun berkenaan melarikan diri kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berhubung kejadian itu.
“Siasatan awal polis mendapati suspek memasuki pejabat berkenaan melalui pintu depan pejabat sebelum meluru ke arah mangsa dan mengikatnya," katanya.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Pembahagian secara faraid pelihara ikatan keluarga
Berita Harian - Agama
Semua waris simati layak kemuka permohonan tadbir harta pusaka
PAK Samad (bukan nama sebenar), seorang imam yang terkenal dan disegani di kampungnya meninggal dunia pada usia 65 tahun ketika menajak rumput di sawahnya. Beliau meninggalkan harta tidak alih berupa tanah sawah seluas 30 relung serta wang simpanan di Tabung Haji dan bank.
Pak Samad meninggalkan waris, balu, dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Tidak lama selepas kematian bapanya, Idrus (bukan nama sebenar), anak lelaki sulung dan adiknya, Yaakob (bukan nama sebenar) yang tinggal dan bekerja di bandar pulang ke kampung untuk berbincang mengenai harta peninggalan bapa mereka. Persoalan pokok yang dibincangkan adalah mengenai pembahagian tanah sawah milik simati yang kini terbiar. Sebagai anak lelaki sulung, Idrus melantik dirinya sebagai Pemegang Kuasa (Pentadbir Pusaka) untuk mengurus semua harta pusaka peninggalan bapanya. Idrus membuat keputusan membahagikan tanah itu mengikut hukum faraid dan memberi ibunya tanah sawah seluas lima relung (6/48 bahagian mengikut hukum faraid) yang terletak di pinggir hutan mengkuang, agak jauh dari rumah.
Dua adik perempuannya, Zainab dan Sapiah mendapat 7/48 bahagian setiap seorang iaitu tanah sawah seluas enam relung dan mereka berkongsi tanah di atas dua geran seluas 12 relung satu penjuru (satu penjuru bersamaan 0.1775 ekar).
Sementara Yaakob diberi dua keping tanah berkeluasan 11 relung satu penjuru. Idrus pula mengambil tanah dua relung yang sedang diusahakan ibunya dan tiga tanah sawah yang semuanya berjumlah 11 relung dua penjuru.
Ibu dan kedua adik perempuannya membantah cadangan pemberian tanah yang terlalu jauh dari tempat tinggal mereka dan sukar untuk diusahakan. Idrus marah dan bertindak mengambil semua geran tanah milik arwah tanpa memberi sekeping tanah kepada ibu dan adik perempuan.
Setelah dua tahun kematian Pak Samad, Idrus masih belum memohon Surat Kuasa Mentadbir. Semua tanah disewakan dan hasilnya dipungut Idrus tanpa diagihkan kepada waris yang lain.
Simpati dengan nasib tiga beranak itu, seorang jiran menasihatkan mereka ke AmanahRaya untuk menyelesaikan soal pembahagian harta pusaka. Zainab dan Sapiah mendapatkan khidmat nasihat daripada AmanahRaya.
Mereka diterangkan konsep Pemegang Kuasa hanyalah adat saja dan tidak mempunyai kuasa undang-undang.
Pemegang Kuasa bukanlah wakil diri yang sah kepada arwah dari segi undang-undang kerana tiada pelantikan secara undang-undang bagi tujuan itu.
“Dari segi undang-undang, Pemegang Kuasa sebegini tidak diiktiraf. Abang puan tidak boleh selama-lamanya menguasai semua harta arwah tanpa dibuat pembahagian kepada waris lain yang berhak,” jelas pegawai AmanahRaya kepada Zainab dan Sapiah.
Mereka dinasihatkan untuk mengemukakan Permohonan Mentadbir Harta Pusaka bagi semua harta arwah termasuk simpanan wang di Tabung Haji dan bank. Zainab dan Sapiah risau akan dimarahi Idrus jika membuat permohonan itu nanti.
Pegawai AmanahRaya memberitahu semua waris yang berhak kepada harta pusaka layak menjadi pemohon.
Masalah geran tanah asal yang disimpan Idrus tidak menjadi halangan kerana AmanahRaya akan membuat carian rasmi tanah itu berdasarkan salinan geran yang ada dalam simpanan mereka.
Melalui carian itu, permohonan mendapatkan nilaian tanah dari Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta serta proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau perintah pembahagian harta pusaka arwah dari Pejabat Penyelesaian Pusaka Kecil dapat dilakukan.
Pada masa sama, Idrus bertemu dengan pegawai kes di AmanahRaya dan setelah diberi penerangan lengkap, faham bahawa tindakan beliau selama ini salah serta berjanji memberi sokongan kepada AmanahRaya dan akan menyelesaikan masalahnya dengan waris lain.
Perkembangan itu memudahkan usaha penyelesaian oleh AmanahRaya. Setelah semua siasatan lengkap dan pengesahan penilaian dibuat terhadap enam keping tanah serta jumlah wang simpanan di Tabung Haji dan bank diperoleh, permohonan mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dikemukakan ke Pejabat Penyelesaian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian.
Tidak lama selepas itu, Pejabat Penyelesai Pusaka Kecil mengeluarkan Notis Petisyen Dan Pendengaran untuk perbicaraan Permohonan Surat Kuasa Mentadbir kepada AmanahRaya sebagai pemohon dan juga kepada semua waris.
Pada hari pendengaran permohonan, semua waris hadir. Mereka kelihatan gembira ketika menjejakkan kaki ke Pejabat Tanah untuk perbicaraan permohonan Surat Kuasa Mentadbir bagi harta pusaka arwah Pak Samad.
Ketika menunggu giliran, pegawai AmanahRaya meminta waris berbincang cara terbaik membahagikan harta pusaka itu.
Perbicaraan permohonan berjalan lancar kerana mereka bersetuju membahagikan tanah sawah seluas 30 relung mengikut faraid.
Sementara semua wang simpanan di Tabung Haji dan di bank diserahkan kepada ibu mereka dengan AmanahRaya dilantik sebagai Pentadbir Harta Pusaka yang sah. Begitu juga tanah setengah relung yang turut menempatkan tapak rumah diserahkan kepada ibu mereka.
Semua ahli keluarga berpuas hati apabila melangkah keluar dari bilik Mesyuarat Pejabat Tanah. Ibu mereka juga gembira kerana tanah dan tapak rumah didiaminya kembali menjadi miliknya sementara Zainab dan Sapiah mendapat bahagian tanah yang boleh mereka usahakan.
Semua mereka saling berpelukan antara satu sama lain sebelum membawa haluan masing-masing.
Rabu, Julai 28, 2010
Bapa dakwa anak ditatu dalam tahanan

Harakahdaily
Hairul ditahan di Balai Polis Kota Belud pada 5 Mac lalu dan kemudian dibawa ke penjara Kepayan 12 Mac hingga 16 April bagi menunggu keputusan kimia.
Selepas itu beliau kemudian dibawa semula ke Balai Polis Kota Belud untuk tahanan lanjut.
Dia kemudian didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dijatuhkan hukuman penjara pada 19 April.
Beliau sekali lagi dibawa ke Penjara Kepayan untuk menjalani hukuman sehingga dibebaskan 25 Mei lalu.
Menurut Hassan, kegiatan itu berleluasa di penjara tersebut di mana mesin tatu tersebut didakwa bergerak bebas tanpa sebarang halangan pihak berkuasa penjara.
Umat Islam ambil mudah isu makanan halal
Berita harian
2010/07/28
Pengusaha makanan hanya utama sambutan pelanggan Melayu bukan logo JAKIM, JAIN
PADA Jun lalu, akhbar melaporkan sebuah kilang di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah dikesan menjual produk bebola babi, yang diletakkan bercampur dengan makanan halal dalam sebuah peti sejuk besar. Pekerja kilang itu memakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi.
Sebelum itu, pada Mei lalu, berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pemilik premis yang sering dipenuhi umat Islam bagaikan sengaja cuba memperdaya pelanggan apabila memasang tiga logo halal JAKIM bersaiz besar di hadapan premis bagi menarik kedatangan orang ramai. Dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, orang bukan Islam juga menjalankan perniagaan makanan seperti hotel, restoran serta kopitiam yang juga dikunjungi oleh orang Islam. Namun, sejauh manakah pengusaha hotel dan restoran ini menitikberatkan soal halal haram makanan disajikan?
Sebagai pelanggan, adakah kita juga memastikan dengan yakin makanan dihidangkan kepada kita halal untuk dimakan?
Saya pernah diajak seorang teman ke sebuah restoran bukan Islam. Apabila saya bertanya adakah makanan di restoran itu halal? Jawapan diberikan, “ala ramai orang Melayu makan di situ”, membuat saya berfikir banyak kali.
Mungkin ini sikap segelintir masyarakat Islam hingga ada pihak yang begitu mudah mengeksploitasi sehingga berlaku kes dinyatakan. Islam amat menitikberatkan makanan yang halal dan baik.
Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, makanlah yang halal dan baik (thayiban) dari apa-apa yang ada di bumi, dan janganlah kalian ikuti langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Banyak orang berusaha sekuat tenaga untuk beribadah kepada Allah lalu mengangkat kedua tangannya seraya memohon, “Ya Allah! Ya Allah! kumohon pada-Mu, terimalah ibadahku.” Tetapi jika makanannya haram, minumannya juga haram, pakaiannya pun haram, bagaimana mungkin doa mereka itu akan dikabulkan?” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)
Islam juga menyeru umatnya menjauhi perkara yang diragui halal atau haramnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas dan di antara kedua-duanya ada hal yang subahat (samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barang siapa hati-hati dari perkara subahat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya.” (Hadis riwayat Muslim)
Saya pasti, sepanjang puasa Ramadan ini sudah pasti ramai umat Islam akan berkunjung ke hotel untuk berbuka puasa. Suatu yang menyedihkan apabila laporan mendedahkan bahawa hotel bertaraf lima bintang yang dimiliki pengusaha bukan Islam memiliki kesedaran minimum terhadap kepentingan untuk mendapatkan sijil halal bagi dapur mereka.
Faktor ini adalah penyebab nisbah hotel yang memiliki sijil halal ketika ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel di negara ini. Hanya sejumlah 32 daripada 2,360 buah hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal.
Hakikatnya masyarakat Islam boleh menggunakan kuasa kepenggunaan mereka untuk menghukum pengusaha, pengilang atau pengeluar makanan yang terbukti mengambil ringan isu halal haram dengan langkah memboikot produk mereka.
Begitu juga jika mereka menipu pengguna Islam dengan mempamerkan logo halal palsu. Tindakan ini seolah-olah mempersenda dan mempermainkan pengguna Islam. JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah pihak dipertanggungjawabkan secara rasmi mengeluarkan sijil dan logo halal untuk makanan dan rumah sembelihan di negara ini.
Sebarang logo halal atau sijil pengesahan halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf oleh kerajaan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai cadangan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972, tepat pada masanya.
Pindaan itu bakal memperuntukkan hanya JAKIM dan JAIN diberi kuasa mengeluarkan sijil dan logo halal, serta pihak yang menipu pengguna dengan logo halal palsu bakal berdepan hukuman dua atau tiga kali ganda lebih berat berbanding hukuman sedia ada.
Mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Namun persoalannya, adakah JAKIM atau JAIN sudah bersedia dengan bilangan kakitangan, prasarana atau peralatan canggih lain, untuk menjalankan tugas penguatkuasaan jika cadangan pindaan itu diluluskan?
Timbul juga persoalan, kenapa tidak diperuntukkan atau digubal suatu akta khusus yang mewajibkan semua pengusaha hotel memperoleh sijil halal daripada JAKIM atau JAIN?
Disarankan juga penggunaan sijil halal diperluaskan secara menyeluruh kepada semua pengusaha gerai makan, kantin, medan selera atau restoran sebagai prasyarat mendapatkan lesen pengendali makanan daripada pihak berkuasa tempatan.
Pada masa ini, pengesahan halal hanya dikeluarkan kepada pengusaha gerai atau pihak pengurusan medan selera atas permohonan pihak berkenaan, tetapi ia bukanlah suatu peraturan wajib. Jika pengusaha tidak memohon sijil halal, tiada tindakan boleh dikenakan ke atas mereka.
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com atau laya
Selasa, Julai 27, 2010
Malaysia paling murah
"Saya mahu menjadi seorang ibu. Disebabkan masalah kesihatan ini, saya rasa masanya sudah tiba untuk mengurangkan saiz payu dara," katanya.
Dilihat sebagai simbol kewanitaan dan seksualiti yang mampu menarik perhatian lelaki, pastinya imej wanita akan terjejas sekiranya dadanya leper sebelah ataupun berada dalam bentuk yang tidak normal.
RAMAI memilih untuk menggunakan prostesis silikon kerana tekstur dan beratnya sama seperti payu dara normal namun bagi yang kurang mampu, prostesis serat menjadi pilihan mereka.
Justeru, untuk meningkatkan keyakinan terutamanya apabila berada di kalangan masyarakat, rawatan pembinaan payu dara yang menggunakan tisu daripada tubuh sama ada di bahagian belakang badan atau perut diperlukan.
"Bagi pesakit kanser payu dara, tentunya mereka mengimpikan pembedahan pembinaan semula namun sebilangan besar daripadanya terpaksa menyimpan hasrat tersebut berikutan kos pembedahan yang tinggi sehingga mencecah RM10,000," kata Patricia.
Rawatan yang boleh dijalankan sebaik sahaja payu dara dibuang bakal menghasilkan payu dara palsu yang kelihatan tidak ubah seperti asal, malah ia turut memiliki puting.
"Bagi pesakit kanser yang memiliki payu dara bersaiz kecil, pengeluaran benjol dan tisu di sekitar kawasan yang dikenal pasti terdapat sel kanser akan mengubah struktur payu dara daripada saiz asal terutamanya jika saiz benjolan sudah besar. Mungkin saiz payu dara akan mengecil atau meleper.
"Untuk kes seperti ini, pesakit dicadangkan untuk menjalani pembedahan mastektomi iaitu membuang seluruh payu dara yang dijangkiti kanser dan membinanya semula menggabungkan prostesis implan saline dan tisu yang diambil dari belakang badan ataupun dari bahagian perut.
"Pesakit tidak perlu gusar tentang kualiti implan tersebut kerana ia mengandungi air serupa dengan air dalam badan. Ia juga tidak mudah pecah atau bocor kecuali jika ditusuk dengan benda tajam," jelasnya lagi.
Tambah Patricia, walaupun secara zahirnya payu dara kelihatan seperti asli, ia tidak boleh menghasilkan susu kerana tisu asal telah dibuang.
"Rangsangan sensual di bahagian payu dara juga akan hilang. Mereka hanya boleh merasai sentuhan tetapi bukan nikmat erotis," katanya.
Tidak hanya golongan Hawa, sebilangan lelaki juga tidak ketinggalan untuk menjalani pembedahan implan untuk mendapatkan payu dara yang lebih menonjol.
"Teknik rawatan sedikit berbeza namun hasilnya sama.
"Industri implan payu dara di negara ini semakin ke depan dengan lebih banyak kemasukan pesakit luar negara, sama ada pelancong atau ekspatriat yang menetap di sini. Mereka lebih yakin dengan kepakaran tempatan. Malah, kos rawatan di sini lebih murah jika dibandingkan dengan Singapura ataupun Thailand," ujar Patricia yang merupakan antara lapan pakar payu dara bertauliah di Malaysia.
Sementara
Selain pembinaan payu dara, masih ada alternatif lain yang membolehkan bekas pesakit kanser payu dara kelihatan seperti wanita normal.
Dengan menggunakan prostesis sementara yang diperbuat daripada gumpalan serat, pesakit yang baru menjalani pembedahan membuang payu dara kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan bentuk payu dara yang lebih berisi.
Melalui usaha amal kumpulan The Thimble Thumb (TTT) yang terdiri daripada golongan sukarelawan yang juga survivor kanser payu dara, 10 hingga 15 prostesis sementara dapat dihasilkan seminggu.
TTT yang bergiat aktif dalam menjahit prostesis sementara turut menjalankan lawatan sosial ke hospital-hospital sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk memberi perangsang dan menyuntik semangat pesakit kanser payu dara.
"Kami mahu mereka (pesakit) tahu bahawa mereka boleh sembuh. Dengan berkongsi pengalaman, ia bagaikan memberikan satu harapan kepada pesakit untuk mereka kuat untuk melawan penyakit ini," ujar pesara Guru, Vivien Tham Siew Yoong, 74.
Dia yang hadir setiap Selasa ke pejabat Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Petaling Jaya, Selangor, akan bersama rakan-rakannya memulakan proses melakar, melukis, menggunting, menjahit dan mengisi gumpalan serat di dalam satu kain khas.
"Prostesis sementara ini akan diberikan secara percuma kepada pesakit selepas pembedahan payu dara dijalankan," katanya yang memulakan rutin jahitan daripada pukul 10.30 pagi hingga 2 petang.
Bagi Leong Soi Lin, 62, pula, sumbangan tenaga yang dianggap tidak seberapa itu adalah medium sokongan yang mampu diberikan kepada pesakit.
"Terdapat dua jenis prostesis, iaitu serat untuk kegunaan sementara dan prostesis silikon yang harganya lebih mahal iaitu antara RM300 hingga RM700 dan mampu tahan lebih lama.
"Bagi yang kurang berkemampuan, mereka akan memilih untuk menggunakan protesis serat untuk jangka masa yang lama kerana ia lebih menjimatkan.
"Selain prostesis, pesakit juga perlu membeli coli khas untuk memasukkan prostesis yang mana ia perlu diimport dan harganya setiap satu mencecah ratusan ringgit.
"Kos yang tinggi ini sudah tentu menjadi beban kepada pesakit yang sudah sedia runsing dengan masalah kesihatan," katanya.
Menekankan kualiti dalam setiap prostesis serat yang dihasilkan, TTT melakukannya penuh berhati-hati malah setiap sukarelawan memiliki pengkhususan sendiri bagi menjamin keselesaan prostesis pada pemakai.
Taubat Lara
Kosmo - Rencana Utama
SUDAH lama Lara, 13, (nama samaran) tidak mengecapi kebahagiaan dan ketenangan seperti yang dinikmatinya pada hari ini.
Biarpun sudah dua bulan terasing daripada keluarga kerana menjalani pemulihan di sebuah rumah perlindungan, jiwa remaja ini tidak lagi cepat memberontak dan liar seperti dahulu.
Tempoh sesingkat itu bagaikan berupaya menjinakkan hatinya untuk menjalani kehidupan berlandaskan cara hidup Islam yang sebenar.
“Walaupun berjauhan daripada keluarga, hati saya tenang. Di sini ramai kawan-kawan dan pembimbing yang tidak jemu memberi sokongan agar saya berubah dan mulakan kehidupan baru.
“Saya menyesal dengan tabiat lama saya yang membelakangkan agama. Ia juga memburukkan lagi keadaan keluarga yang selama ini kucar-kacir,” ujarnya sayu ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Ice baby
Membuka kisah hidupnya, bicara remaja ini dilihat lebih matang daripada usianya. Pernah menjadi pelajar cemerlang di sekolah, ia bukan jaminan untuk anak bongsu daripada empat beradik ini terlepas daripada pengaruh sosial yang mampu meragut masa depannya.
“Saya jadi begini kerana mama dan papa bercerai. Tahun lepas, semasa saya berada dalam darjah enam hubungan mereka semakin tegang dan sebagai anak, saya mula bosan dengan suasana di rumah, langsung tak ada ketenangan,” cerita Lara yang mendapat 5A dalam peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.
Sikap ibu bapanya yang dianggap tidak mempedulikan keperluan pembelajaran anak-anak, menjadikan Lara lebih suka melepak, sama ada di kompleks beli-belah, taman permainan ataupun rumah sewa rakan-rakannya yang lebih berusia.
“Habis saja waktu sekolah saya akan melencong keluar bersama kawan-kawan. Mama dan papa tidak tahu kerana bekerja dan mereka hanya pulang lewat petang.
“Waktu malam pula, saya lebih suka memerap dalam bilik dan buat kerja sekolah. Lagipun, bila-bila masa perang mulut antara mama dan papa boleh berlaku,” katanya yang mengakui sangat tertekan dengan suasana kaku di rumah.
Jelas Lara, setiap malam dia terpaksa memekakkan telinga mendengar ibu bapanya bergaduh malah keadaan lebih buruk apabila ibunya mendapat tahu bapanya berkahwin lain.
“Kadang-kadang saya fikir mereka tidak pernah peduli perasaan kami empat beradik sedangkan kami amat memerlukan perhatian daripada mereka, lebih-lebih lagi saya akan hadapi UPSR manakala kakak akan menduduki PMR (Penilaian Menengah Rendah),” ujarnya.
Tidak betah dengan apa yang berlaku di rumah, Lara dan tiga kakaknya lebih gemar menghabiskan masa dengan rakan-rakan di luar.
Jika mereka berduit, panggung wayang dan pusat boling menjadi tumpuan mereka. Jika tidak, Lara dan kakaknya hanya melepak dan bermain permainan video di rumah rakannya.
Dek pergaulan tanpa sekatan itu, Lara mula belajar menghisap rokok dan meminum arak. Bermula sekadar suka-suka, tabiat itu semakin lama semakin sebati dengan jiwanya dan Lara bagaikan ketagih.
“Saya juga pernah mencuba ice baby yang ditawarkan oleh kawan-kawan. Mujur saya tidak sampai pada tahap ketagih kerana saya tidak menyukai rasanya yang sedikit pahit dan memeritkan tekak,” katanya.
Lari rumah
Selepas perpisahan ibu bapanya, dia dan seorang kakaknya diambil untuk tinggal bersama ibu mereka manakala dua lagi kakaknya mengikut bapa mereka pindah ke Kuala Lumpur.
Hidup Lara lebih liar selepas itu. Ibunya pula jenis yang tidak kisah jika anak gadisnya itu keluar bersama rakan-rakan asalkan pulang ke rumah dan tidak terlanjur.
“Apabila papa dapat tahu saya semakin liar, saya dibawa tinggal bersamanya di Kuala Lumpur apabila tiba musim cuti sekolah. Saya yang tidak suka dikongkong, nekad melarikan diri dari rumah dan kembali semula ke rumah rakan-rakan.
“Masuk ke tingkatan satu, nakal saya semakin menjadi-jadi. Saya kerap ponteng sekolah dan selalu bergaduh dengan mama kalau dia cuba menyekat kebebasan saya.
“Papa yang sudah lama bersabar dengan perangai liar saya ada memujuk agar saya tinggal bersamanya semula. Mujur ibu tiri saya menerima saya dan kakak dengan baik.
“Melihat kemesraan dan kesudian mereka untuk menjaga dan mengambil berat keadaan diri saya, hati saya terbuka untuk mengikut papa. Tetapi, apabila papa menyuarakan pendapat untuk menghantar saya ke rumah perlindungan ini, saya membantah,” tuturnya.
Selain Lara, kakaknya yang berusia 16 tahun juga dimasukkan ke rumah perlindungan lain namun tidak diketahui lokasinya.
“Mama tidak tahu saya dan kakak dimasukkan ke rumah pemulihan. Hanya papa, ibu tiri dan keluarga sebelah papa sahaja yang tahu. Mulanya saya malu dan memberontak, tetapi kini, saya sedar.
“Saya amat hargai usaha mereka untuk saya menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.
Enggan lagi menghabiskan masa remaja dengan perkara yang sia-sia, Lara berazam untuk menjadi anak yang lebih baik selepas keluar dari pusat bimbingan ini.
“Saya mahu kembali ke sekolah dan saya berjanji tidak mahu lagi mengecewakan mama, papa dan ibu tiri saya. Saya bersyukur kerana masih belum terlambat untuk saya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
“Perjalanan hidup saya masih panjang dan saya telah berjanji dengan diri saya sendiri, saya tidak akan sia-siakan peluang kedua ini,” katanya mengakhiri perbualan.
Isteri curang bijak simpan rahsia
KOSMO - Rencana Utama
KISAH isteri curang atau suami menangkap isteri berkhalwat dengan lelaki lain semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini.
Kes terbaru berlaku di Kuantan, Pahang, 5 Julai lalu. Seorang suami, dikenali sebagai Muhammad yang mengesyaki isterinya bermain kayu tiga bertindak memasang perangkap dengan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Menurut Muhammad, pada mulanya beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu sibuk dengan perniagaan butiknya.
“Namun, saya sendiri yang menangkapnya ketika dia berdua-duaan dengan seorang lelaki lain di sebuah bilik sewa yang terletak di atas sebuah restoran,” cerita beliau.
Bagi Halim (bukan nama sebenar) pula, dia tidak menyangka isterinya Halimah (nama samaran) yang berperwatakan baik sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.
“Sepanjang hidup bersamanya, tidak sedikit pun saya meragui kesetiaannya memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka,” katanya dalam ruangan forum Internet.
Halim memberitahu, ketika dia bersusah payah membangunkan perniagaan, Halimah merupakan menjadi sumber inspirasinya.
Isterinya juga melayannya dengan penuh kasih sayang dan rumah tangga mereka bertambah bahagia selepas dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.
Namun, ada juga rakan memberitahu Halim mereka pernah melihat Halimah bersama lelaki lain dalam keadaan mencurigakan tetapi tidak diendahkan Halim.
Pada suatu hari, kereta yang dipandu Halim rosak dan beliau terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil sebuah lagi keretanya.
Di rumah, Halim terkejut besar melihat kelibat seorang lelaki keluar dari pintu belakang. Dengan segala kudrat, Halim mengejar lelaki itu dan berjaya menangkapnya.
Meningkat
Tetapi apa yang menyedihkan, Halim mendapati isterinya berada dalam keadaan kusut dan memakai baju tidur tanpa coli di ruang tamu. Mereka berdua akhirnya bercerai.
Menurut seorang peguam syarie, Musa Awang, kes perceraian akibat isteri curang seperti yang dilalui Muhammad dan Halim itu meningkat 20 peratus setiap tahun.
“Perkara ini cukup serius terutama bagi pasangan suami isteri yang menetap di bandar besar. Saya berpendapat antara puncanya ialah isteri banyak menghabiskan masa di tempat kerja.
“Mereka kurang bersama suami dan jika ada masalah rumah tangga, mereka akan berkongsi dengan orang ketiga yang suka mengambil kesempatan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun mengendalikan kes cerai di mahkamah syariah.
Beliau berpendapat, perkara-perkara itu boleh menyebabkan hubungan suami dan isteri renggang, bergaduh dan akhirnya memilih cerai sebagai jalan untuk keluar daripada konflik rumah tangga.
Musa tidak menyalahkan isteri seratus peratus. Suami juga, katanya, mungkin menjadi punca isteri curang, misalnya suami tidak menunaikan tanggungjawab zahir dan batin.
“Selain itu, suami sendiri mungkin curang terlebih dahulu hingga menyebabkan isteri beralih cinta kepada orang lain. Begitu juga jika suami berpoligami tanpa kebenaran, berperwatakan kasar dan suka memukul isteri,” terang beliau.
Musa memberitahu, dalam keadaan itu, perceraian dianggap penyelesaian terbaik.
Bagi Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM), Linda Jamaluddin, masalah bermula apabila si isteri mengadu kepada orang lain yang tidak berkaitan.
Katanya, wanita lebih terdorong untuk berjumpa teman sepejabat atau jiran-jiran untuk meluahkan perasaan.
Cinta sepejabat
“Daripada situlah timbul perasaan kasihan lebih-lebih lagi kawan lelaki hingga membibitkan cinta terlarang,” katanya.
Linda berpendapat kecurangan berlaku disebabkan masalah komunikasi dalam rumah tangga. Suami tidak memahami isteri dan begitulah sebaliknya. Faktor lain ialah suami tidak mahu berkongsi kerja dan tugas menguruskan rumah tangga.
“Kesilapan paling utama adalah apabila suami atau isteri berkongsi masalah rumah tangga dengan orang lain hingga menimbulkan masalah lain khususnya curang,” hujah beliau.
Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, kecurangan merupakan salah satu punca perceraian di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka yang tepat berhubung kes cerai yang melibatkan isteri curang.
“Kes cerai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ialah sebanyak 15 hingga 18 peratus berbanding jumlah perkahwinan yang didaftarkan setiap tahun,” katanya.
Che Mat memberitahu, faktor kewangan suami yang tidak stabil selain cabaran kehidupan di bandar besar juga boleh mengakibatkan isteri curang.
“Dahulu, rata-rata isteri menjadi suri rumah tetapi kini kebanyakan mereka bekerja. Pergaulan di pejabat juga menjadi sebab isteri bermain kayu tiga selain waktu yang singkat bersama suami sendiri.
“Lagipun tempoh perkahwinan selama satu hingga lima tahun merupakan tempoh yang kritikal dan pasangan suami isteri yang dapat menghadapinya dengan baik mungkin perkahwinan mereka akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Pakar psikologi, Dr. Suradi Salim pula berpandangan manusia sebenarnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
“Manusia bukan malaikat. Seperti curang seorang lelaki, wanita juga boleh melakukannya,” katanya. Namun, menurut Suradi lelaki lebih cenderung bersikap curang kerana sikap ego mereka.
“Wanita dikenali dengan kesetiaan tetapi lebih berbahaya kerana mereka bijak menyimpan kecurangan mereka,” terang beliau.
Isnin, Julai 26, 2010
Tindakan tiada perasaan
2010/07/26
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang kontraktor yang mempunyai empat isteri, tetapi masih tergamak menjadikan anak kandungnya tempat untuk melampias nafsunya jelas menunjukkan dia sedang mengalami masalah psikologi.
Ahli Lembaga Kaunselor yang dilantik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim (gambar) berkata, perbuatan sebegitu menunjukkan pelakunya seorang yang tidak normal serta menjadi individu tidak mempunyai perasaan.
Menurutnya, kemungkinan individu ini tidak ada pengetahuan mengenai batasan dalam hubungan kekeluargaan hingga tergamak memuaskan nafsunya dengan anak sendiri.
Katanya, terdapat juga kemungkinan pelakunya mempunyai masalah dalam pergaulan bersama masyarakat hingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keluarganya.
“Selalunya, jika seseorang itu mempunyai nafsu seks yang kuat, tetapi mempunyai pegangan agama dan menjadi ahli masyarakat yang baik...dia tidak tergamak untuk berbuat demikian kepada ahli keluarganya sendiri,” katanya.
