#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Disember 21, 2010

Usah gusar haid pertama

Oleh ZUHAYATI YAZID
Utusan Malaysia
16 Disember 2010

KATA orang, waktu remaja datang hanya sekali. Ia sungguh mengujakan, tetapi juga boleh mengelirukan. Selain mengalami satu macam perasaan serba baru, perubahan ketara yang dialami fasa ini juga adalah pada bentuk badan atau fizikal.

Jika anda seorang gadis, pada ketika ini payudara mula timbul dan mengalami datang bulan pertama. Itu menandakan anda sekarang sudah melangkah ke dunia baru iaitu dunia wanita hakiki.

Bagaimanapun, selepas akil baligh berlaku di antara usia lapan hingga 14 tahun, bentuk badan mereka akan mula berubah mengikut perkembangan seksual masing-masing.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, pada peringkat ini berlakunya pengeluaran hormon yang menyebabkan pembentukan payudara dan permulaan kitaran haid.

Kematangan hormon juga menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis dengan ovari kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan.

''Dengan kata lain, ovulasi sudah berlaku. Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim iaitu endometrium yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid,''ujarnya ketika ditemui pada forum media anjuran PT Softex di Petaling Jaya baru-baru ini.

Turut dibincangkan pada forum tersebut ialah persediaan menghadapi kedatangan haid pertama, mengurus aliran haid, kaedah betul untuk membuang tuala wanita dan juga sindrom prahaid.

Tegas Dr. Harlina, masa untuk seorang remaja mencapai akil baligh pula bergantung kepada beberapa faktor seperti kesihatan umum, genetik, pemakanan dan juga aktiviti fizikal.

''Akil baligh yang awal bermula sebelum seorang remaja perempuan mencapai umur lapan tahun. Sementara remaja yang lambat baligh pula selalunya tidak datang haid dan tiada perkembangan seksual sebelum usianya mencapai 14 tahun,'' ujarnya.

Oleh itu, wanita perlu mengetahui haknya untuk mendapatkan maklumat kesihatan yang tepat dan lengkap mengenai penjagaan diri serta persediaan menghadapi kedatangan haid.

Katanya, kebanyakan anak gadis akan mendapat haid pertama sekitar umur 12 tahun. Haid pertama biasanya sedikit sahaja dan berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali setiap bulan.

Bagaimanapun katanya, berkemungkinan juga darah haid anak gadis tidak teratur dan datang sekali setiap dua bulan atau mungkin dalam jumlah darah lebih sedikit.

Oleh itu, seorang ibu perlu memberi tunjuk ajar kepada anak gadisnya supaya menanda kehadiran haid dalam diari ataupun kalendar.

Dengan cara sebegini, anak gadis dapat meramalkan bila haid berikutnya dan julat antara dua peristiwa haid berdekatan.

Katanya, penjagaan kebersihan dan kesihatan sepanjang tempoh haid juga adalah penting.

''Perlu diingat bahawa tuala wanita perlu ditukar setiap empat jam kerana darah haid yang terkumpul mungkin menjadi tempat pembesaran yang baik untuk bakteria.

''Biasanya untuk beberapa hari pertama, tuala wanita perlu ditukar dengan lebih kerap disebabkan jumlah darah yang keluar terlalu banyak,'' ujarnya.

Bagaimanapun tambah Dr. Harlina, untuk pengalaman yang pertama, ramai gadis mengalami kekejangan di bahagian bawah abdomen semasa kehadiran haid.

Sekiranya itu berlaku, jangan rungsing kerana ini adalah normal untuk pengalaman awal kehadiran haid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan