#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, September 08, 2010

Tudung, coli jadi senjata

JENAYAH rogol boleh berlaku pada wanita bila-bila masa, tidak mengira umur dan lokasi. Bagaimanapun, ia boleh dihindari sekiranya wanita memahami sepenuhnya tiga jenis zon yang mereka lalui setiap hari.

Begitu nasihat perunding keselamatan yang juga Pengasas Persatuan Sukarelawan Penyelamat dan Kebakaran Malaysia (MVFRA), Balasupramaniam Krishnan.

Balasupramaniam berkata, wanita yang berada di dalam pejabat ketika waktu bekerja boleh dianggap dalam zon hijau iaitu zon selamat.

Zon kuning pula iaitu zon perlu berhati-hati adalah selepas jam 5 petang iaitu apabila kebanyakan rakan sekerja sudah pulang.

Katanya, tahap keselamatan diri sendiri perlu ditingkatkan sebaik saja memasuki zon merah iaitu ketika semua rakan sepejabat sudah beredar.

Keselamatan diri tidak boleh dianggap ringan meskipun berada di pejabat sendiri dan mempunyai pengawal keselamatan."Keselamatan diri sendiri perlu diutamakan kerana anda mungkin boleh dirogol pada bila-bila masa oleh orang yang tidak dikenali atau yang berada di sekeliling anda.

"Ini kerana perogol boleh melakukan jenayah keji itu asalkan mereka mempunyai peluang dan masa," katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Kapten Bala.Balasupramaniam menjelaskan, untuk jenayah rogol, penjenayah jarang membawa peralatan kerana mereka biasanya akan menggunakan apa saja barangan kepunyaan mangsa seperti tudung, coli atau beg untuk dijadikan senjata.

Ia dibuktikan dengan banyak kes rogol yang kehilangan nyawa selepas penjenayah menjerut leher mereka dengan tudung, coli serta plastik makanan yang dibawa mangsa.

Untuk mengatasi kes ragut pula, dia menyarankan wanita tidak membawa beg bersaiz besar atau jenis jahitan tali mati tanpa gancu kerana jika di ragut, mereka mungkin akan diseret di atas jalan raya dan menyebabkan kecederaan serius.

"Seeloknya, beli beg tangan bersaiz sederhana dan mempunyai klip atau gancu yang membolehkan tali dan beg berpisah apabila ditarik dengan kuat. Beg sebegini memang tidak begitu bergaya tetapi ia mampu menghalang anda daripada terbabit dengan kecederaan serius apabila diragut.

"Selain itu, peringatan penting kepada wanita bertudung untuk tidak memakai kerongsang bersaiz besar dan diletakkan betul-betul di atas kepala.

"Jika diragut dan terjatuh, ada kemungkinan kerongsang berkenaan akan tercucuk di kepala tanpa disengajakan. Untuk itu, kerongsang atau pin yang bersaiz kecil saja sudah memadai kerana malang tidak berbau," katanya ketika kursus pendek cara mengatasi jenayah di kalangan wanita di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), baru-baru ini.

Kursus yang diadakan percuma untuk penduduk sekitar kawasan Pandan itu adalah projek anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pandan, Persatuan Belia Rakan Nusa serta Yayasan Bakti Nusa dan dihadiri Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Kiat sendiri.

Sepanjang lebih tiga jam program berlangsung, peserta yang semuanya wanita didedahkan dengan kajian pelbagai kes jenayah, cara untuk menghalang berserta panduan terbaik untuk mengatasinya.

Antara topik yang dikongsi Balasupramaniam bersama peserta adalah kaedah yang boleh dilakukan ibu bapa untuk membantu menghalang anak mereka daripada menjadi mangsa jenayah, menangani ancaman menerusi telefon, cara untuk mengelak daripada menjadi mangsa samun selepas mengeluarkan duit daripada mesin ATM, mengesan kamera tersembunyi serta panduan menghadapi keganasan yang berlaku.

Menurutnya, wanita tidak seharusnya mudah percaya kepada orang di sekeliling mereka kerana banyak kes jenayah yang dilaporkan sebenarnya dilakukan mereka yang sering berdekatan dengan mangsa.

Contoh terbaik adalah kes seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Kulai, Johor, yang diculik dan kemudian dibunuh empat lelaki yang juga rakan rapat mangsa.

"Meskipun keluarga mangsa sudah menyerahkan wang tebusan yang dikehendaki, mangsa tetap dibunuh kerana dia mengenali penjenayah itu.

"Jadi, masyarakat tidak kira dewasa atau kanak-kanak perlu bertanggung jawab menjaga keselamatan diri sendiri dan wanita terutamanya, perlu lebih berwaspada dan jangan terpedaya dengan individu yang berperwatakan baik mahupun sudah lama dikenali," katanya.

Dia turut menasihati masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan penjenayah yang berpura-pura sebagai anggota keselamatan atau daripada jabatan agama.

Pasangan yang ditangkap ketika sedang berdua-duaan perlu meminta pegawai berkenaan menunjukkan pengenalan diri dan paling mustahak, pastikan mereka membawa bersama anggota wanita.

Katanya, operasi polis atau jabatan agama biasanya disertai anggota wanita dan mereka juga tidak akan membawa kamera video serta melakukan soal siasat di tempat terbuka.

"Jangan menempah bahaya dengan mengadakan temu janji di kawasan gelap atau hutan yang jauh daripada orang ramai.

"Ini kerana, teman lelaki anda tidak akan dapat melawan penjenayah yang mungkin datang secara berkumpulan," katanya.

Selain itu, dia turut menasihatkan wanita yang selalu menggunakan kenderaan awam seperti teksi untuk mengingati nombor plat dan menghubungi rakan terdekat bagi memaklumkan mereka laluan serta warna kereta yang dinaiki.

Wanita juga tidak digalakkan untuk menggunakan laluan serta waktu yang sama setiap hari kerana bimbang ada penjenayah yang mengikuti dan hanya menunggu masa terbaik untuk bertindak.

"Bagi yang menaiki bas, LRT atau komuter, pastikan anda tidak tertidur di sepanjang perjalanan kerana kita tidak tahu individu yang berada di depan itu mungkin mahu merakamkan gambar dengan tujuan untuk memalukan.

"Lebih memburukkan, barangan berharga juga boleh dicuri sekiranya anda alpa untuk menjaganya dengan cermat," katanya.

Untuk menghindari rakaman memalukan di tempat awam seperti di tandas atau tempat menukar baju, dia meminta wanita lebih berwaspada kerana siapa tahu di sebalik cermin berkenaan, ada pihak yang tidak bertanggungjawab meletakkan kamera tersembunyi.

Kamera tersembunyi kini boleh diperoleh dengan mudah pada harga yang murah dan ia menyebabkan semua orang boleh memilikinya.

Bagi yang mampu, mereka boleh membeli alat pengesan khas yang boleh mengesan kewujudan kamera tersembunyi meskipun di sebalik cermin.

"Alat ini boleh membantu wanita ketika mereka memasuki tandas awam atau menukar baju di pasar raya.

"Tetapi jika tidak mampu memilikinya, anda perlu pastikan tidak menanggalkan baju sepenuhnya dan ada pakaian lain yang melindungi badan," katanya.

Mengulas mengenai aspek pertahanan diri, menurutnya, setiap wanita digalakkan untuk memiliki penyembur mata sendiri dan dibawa pada setiap masa.

Sebaiknya, penyembur itu mestilah daripada jenis air kerana semburannya terus kepada objek di depan tanpa rembesan.

Jelasnya, jika berdepan dengan penjenayah dan berpeluang menggunakan penyembur mata itu, halakan ia kepada mukanya.

"Semburan itu mampu menyakitkan mata penjenayah dan kesempatan itu perlu diambil untuk melarikan diri.

"Sekiranya anda disamun atau dirompak di tepi jalan, jangan cuba menjadi hero dengan melawan atau mengejar penjenayah secara sendirian kerana ia mungkin akan mengancam nyawa.

"Sebaiknya, anda perlu meminta pertolongan orang yang terdekat untuk membantu atau melaporkan kepada polis sebaik saja penjenayah berlalu," katanya.

Sementara itu, peserta, Hanizah Tambi, 46, berkata, program berkenaan memberi banyak maklumat berguna kepada wanita dan ibu sepertinya.

Menurutnya, peningkatan kadar jenayah yang berlaku dalam masyarakat hari ini sedikit sebanyak membimbangkannya apatah lagi dia mempunyai dua anak perempuan yang sedang meningkat remaja.

Hati ibu mana yang tidak gusar memikirkan keselamatan anak perempuan mereka lebih-lebih lagi apabila membaca pelbagai laporan kejadian jenayah yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Katanya, biarpun dua anak perempuannya (berusia 18 dan 15 tahun) tidak dapat menyertai kursus berkenaan kerana berada di kolej dan mengikuti tuisyen, sebagai ibu, dia mahu mendapatkan sebanyak maklumat yang boleh untuk dikongsi bersama.

"Saya menyertai program ini bersama rakan. Sebagai ibu, kami perlu mengetahui maklumat penting mengenai jenayah yang sering berlaku kepada wanita dan mempelajari cara untuk menghindarinya.

"Program sebegini jarang sekali diadakan secara percuma jadi kesempatan yang ada tidak kami lepaskan untuk hadir mendengar penerangan mengenai cara untuk mencegah jenayah yang berlaku di sekeliling kita," katanya.

Sammy Choi, 41, pula tidak ketinggalan membawa tiga anak perempuannya yang masing-masing berusia 16,15 dan 13 tahun untuk mengikuti kursus berkenaan bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai aspek keselamatan diri sendiri serta keluarga.

Dia gembira kerana tiga anaknya itu mahu ikut bersama dan walaupun berlangsung lebih tiga jam, ia tidak membosankan kerana penceramah bijak membuat jenaka supaya peserta tidak mengantuk.

"Selepas mendengar penerangan yang diberikan, saya akan pastikan anak-anak lebih berhati-hati pada masa depan.

"Tidak kira dalam pergaulan atau ketika berada di rumah sendiri, kami akan lebih berwaspada kerana jenayah boleh berlaku di mana-mana.

"Namun, jika kursus pendek seperti ini diadakan lagi pada masa depan, saya akan pastikan kami semua tidak ketinggalan untuk menyertainya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan