#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, September 08, 2010

Program 'Return To Work' PERKESO

Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2010/09/08


Peluang kembali aktif dalam dunia pekerjaan

KEMALANGAN di tempat kerja termasuk ketika dalam perjalanan pergi atau pulang bekerja memang tidak dapat dielakkan kerana kejadian ‘malang’ itu boleh berlaku di mana-mana saja. Secara keseluruhan, sebanyak 65 peratus kemalangan dilaporkan berlaku di tempat kerja manakala 35 peratus membabitkan kemalangan ketika dalam perjalanan berkaitan pekerjaan. Ada pekerjaan yang berisiko terdedah kepada kemalangan jika pekerja tidak mengambil langkah berhati-hati seperti di kilang yang menggunakan banyak mesin. Namun, itu bukan alasan untuk menyalahkan majikan, lebih-lebih lagi jika kedua-dua pihak mematuhi peraturan.

Bagaimanapun, malang tidak berbau. Atas kesilapan, kelalaian yang tidak disengajakan, kemalangan boleh berlaku. Lebih malang, ia menyebabkan pekerja hilang upaya kekal. Dalam keadaan itu harapan untuk bekerja masih cerah dengan adanya program Return To Work (RTW) dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada orang berinsurans (OB).

Berdasarkan statistik, lebih 326 wanita hilang upaya akibat kecederaan dalam kemalangan ketika bekerja serta diserang pelbagai penyakit kronik mendapat manfaat daripada program RTW PERKESO.

Program itu yang dimulakan sejak 2007, mampu meningkatkan keyakinan diri peserta, termasuk sebilangannya berpeluang kembali aktif dalam dunia pekerjaan.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Perkeso, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata program pemulihan fizikal menerusi konsep pengurusan kes disediakan PERKESO, peserta yang mengalami kegagalan fungsi anggota badannya dapat kembali semula ke alam pekerjaan lebih awal.

Melalui pelaksanaan modul baru dan pelantikan pengurus kes, setiap program RTW dapat diuruskan secara profesional dan sistematik.

Untuk memastikan program keberkesanannya, PERKESO melantik 35 pengurus kes dan lima pegawai penempatan pekerjaan bagi menjayakan pelaksanaannya, selain memantau perkembangan peserta apabila mereka kembali bekerja.

Pendekatan pengurus kes yang diguna pakai adalah konsep biologi, psikologi dan sosiologi dengan meneruskan pendekatan pelbagai kaedah dan disiplin.

Dr Mohammed Azman berkata, proses pemulihan RTW membabitkan beberapa peringkat disiplin, namun prosesnya berbeza antara individu dan setiap kes dirujuk akan melalui proses penilaian tahap hilang upaya terlebih dulu bagi mengenal pasti masalah OB.

Keperluan individu terbabit berbeza. Ada yang memerlukan perkhidmatan pemulihan, khidmat kaunseling, psikologi mahu pun penilaian di tempat kerja bagi memastikan mereka mengikuti program pemulihan yang bersesuaian.

Selepas mengikuti RTW, seramai 108 orang dapat bekerja di tempat dan majikan sama, kerja hampir sama dengan kerja dulu dengan majikan sama (22); kerja lain dengan majikan sama (empat), kerja sama dengan majikan lain (lima), kerja hampir sama dengan majikan lain (dua), kerja lain lain dengan majikan lain (21) dan bekerja sendiri (10).

Daripada jumlah itu, hilang upaya sementara (HUS) membabitkan 202 orang dan hilang upaya kekal (HUK) sebanyak 43 kes.

Laporan sepanjang enam bulan pertama tahun ini, seramai 2,622 dilaporkan terbabit dalam kemalangan di sektor perusahaan manakala 2,340 terbabit dengan kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Wanita Melayu dikesan paling tinggi mengikuti program RTW iaitu seramai 180 orang, diikuti India (89), Cina (39), Bidayuh (tiga), Kadazan (dua) serta Melanau dan Murut, masing-masing satu.


Diimbau secara keseluruhan bilangan kemalangan yang dilaporkan sepanjang 2008 berkurangan sebanyak 2,206 kes atau 3.9 peratus kepada 54,133 berbanding 56,339 kes pada 2007.

Penurunan insiden kemalangan menunjukkan kejayaan usaha sama PERKESO dengan badan kerajaan, persatuan majikan dan kesatuan sekerja dalam memupuk kesedaran keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Jika dilihat dari segi laporan, sektor perkilangan mencatat jumlah kemalangan tertinggi iaitu 18,087 kes atau 33.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan yang dilaporkan pada 2008.

Jumlah bayaran faedah hilang upaya sementara pada 2008 meningkat sebanyak RM8.8 juta kepada RM94.06 juta manakala hilang upaya kekal pula membelanjakan sebanyak RM 26.7 juta kepada RM187.8 juta pada 2007.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan