#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, September 21, 2010

'Tak semua madu jahat'

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

TIDAK semua orang ketiga berniat untuk meruntuhkan perkahwinan yang sedia ada, namun bukan semua manusia berhati mulia.

TIDAK semua pasangan yang hidup berpoligami menemui kemanisan dalam rumah tangga. Malah, mungkin boleh dikira bilangan wanita yang menikmati ‘madu’ sebenar dalam perkongsian kasih bersama seorang lelaki bergelar suami.

Pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, Jurnal berkesempatan bertemu dengan dua wanita yang menjadi suri hati kepada seorang kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Nazri, 44.

Dari kaca mata orang luar, kehidupan keluarga ini tampak mesra, bagai tiada hati yang terguris. Namun, apabila ditanya kisah awal perkongsian suami ini, kedua-duanya kelu seketika.

Isteri pertama memperkenalkan dirinya dengan panggilan Kak Normah, 43, dan isteri kedua hanya mahu dikenali dengan nama Zainab, 36.

Menurut Zainab, beliau ialah ibu tunggal yang memiliki lima orang anak, dua lelaki dan tiga perempuan, berumur di antara lima hingga 16 tahun. Suami pertamanya telah meninggal empat tahun lalu selepas lima bulan terlibat dalam satu kemalangan di tempat kerja.

“Selepas kematian suami pertama, saya patah kandar. Tanggungjawab membesarkan anak-anak tergalas di bahu saya seorang.

Suami orang

“Berbekalkan sedikit pengalaman, saya mencuba-cuba bidang andaman dan perundingan perkahwinan. Saya bermula dengan empat helai baju, saya bertatih perlahan-lahan.

“Alhamdulillah, berkat usaha gigih dan rezeki anak-anak, saya kini memiliki koleksi hampir 200 baju pengantin.

“Namun, dalam kesibukan itu, hati saya sunyi. Anak-anak memang sentiasa ada di sisi, tetapi tidak sama dengan belaian seorang lelaki yang bergelar suami,” ujar Zainab membuka bicara.

Mempunyai perwatakan menarik dengan tubuh kurus tinggi lampai serta kulit kuning langsat, Zainab akui, tempoh empat tahun bergelar janda tidak pernah sunyi daripada kunjungan beberapa lelaki yang bertanyakan peluang untuk mengisi kekosongan hatinya.

Sungguhpun begitu, hati ibu muda ini tidak pernah terbuka sehingga pada suatu hari, muncul seorang lelaki yang berupaya menyuntik getaran naluri wanitanya.

“Saya mengenali Nazri melalui seorang kawan. Bermula sebagai rakan biasa, dia menyuarakan hasrat untuk memperisterikan saya. Saya tahu masa itu dia sudah pun beristeri dan memiliki seorang anak lelaki.

“Saya mulanya takut untuk menerima lamarannya. Saya tidak nafikan, dia lelaki yang baik. Ada kerja yang bagus dan nampak bertanggungjawab.

“Namun, untuk melukakan hati wanita lain demi kebahagiaan saya sendiri, tidak mungkin saya lakukannya. Pada masa yang sama, dalam diam, hati saya telah terpaut padanya,” katanya.

Menurut Normah yang duduk di samping Zainab, beliau tidak mampu melahirkan anak selepas kelahiran anak tunggalnya yang berumur 22 tahun kerana komplikasi.

Main bomoh

“Saya tidak dibenarkan mengandung selepas kelahiran pertama. Saya tahu, suami memang sudah lama mahukan anak lagi. Beberapa kali saya mengajaknya mencari anak angkat, tetapi dia menolak pula. Saya tahu, dia mahukan anak daripada benihnya sendiri.

“Saya mula menjadi seorang yang curiga selepas itu. Oleh kerana saya tidak mampu memberikannya zuriat lain, saya jadi curiga jika suami berkawan dengan mana-mana perempuan. Saya takut kehilangan dia,” kata Normah yang juga merupakan seorang kontraktor.

Selepas berjaya menghidu perhubungan antara Zainab dan suaminya, Normah tidak senang duduk.

“Walaupun Zainab ada datang berjumpa dengan saya seorang diri dan menerangkan segala-galanya, saya tetap tak boleh terima.

“Habis dia kena sembur dengan sumpah seranah saya. Saya betul-betul marah.

“Saya pernah panggil dia pelacur, perempuan kemaruk seks, malah saya sering bertanya, apa hebat sangatkah suami saya di ranjang sehingga dia tergila-gilakan suami saya,” ujarnya sambil menggenggam erat jari Zainab.

Menganggap dirinya sebagai teraniaya, Normah tidak merasakan apa yang dilakukannya itu salah kerana baginya dia perlu mempertahankan rumah tangga yang dibina 23 tahun lalu.

Menurut Normah, dek kerana geram dan marah, diakui hatinya kering ketika itu.

“Saya sanggup bomohkan Zainab supaya dia jauh daripada suami saya. Pada masa itu, tidak terfikir soal hukum. Apa yang penting, saya puas,” ujarnya sebak.

Menurut Zainab, kerana buatan itu, beliau sakit berbulan-bulan lamanya. Tidur malamnya tidak pernah lelap, anak-anak seakan terabai malah hendak mekapkan pengantin, tangannya kaku.

“Alhamdulillah, selepas puas berubat, saya beransur sembuh. Entah bagaimana Nazri memujuk, Kak Normah akhirnya membenarkan kami berkahwin,” katanya.

Hakikatnya, menurut dua wanita bekerjaya ini, bukan mudah untuk berkongsi kasih seorang suami dengan wanita lain.

“Tiga bulan pertama perkahwinan, saya mula merasa kehidupan sebenar bermadu. Kak Normah masih tidak senang dengan kehadiran saya dan anak-anak, kami sering dipanggil beban sedangkan saya tidak pernah menyusahkan suami.

“Perbelanjaan anak-anak saya sediakan, rumah yang saya diami sudah habis bayar, begitu juga kereta peninggalan suami saya.

“Cuma suami ada memberi nafkah perbelanjaan RM1,000 sebulan untuk saya dan anak-anak. Itu pun saya tidak minta, Nazri yang beri,” jelas Zainab.

Hendak dijadikan cerita, selepas setahun perkahwinan kami, Normah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kaki dan tangannya patah. Ketika kejadian itu, Zainab sedang hamil tujuh bulan.

Kemalangan

Simpati dengan keadaan Nazri yang terpaksa berkejar ke pejabat dan menguruskan isterinya, Zainab suarakan hasrat untuk menolongnya. Dalam keadaan tiada pilihan, Nazri dan Normah tidak mampu membantah.

“Saya menjaganya bagai keluarga sendiri. Sesekali teringat juga caci dan makian dia, tapi saya tak tahu mengapa perasaan dendam itu tidak wujud dalam diri saya. Mungkin kerana saya hadir sebagai orang ketiga,” tutur Zainab.

“Pada bulan pertama selepas kemalangan, saya tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri.

“Daripada memasak, meneman hingga mengelap tubuh, semua diuruskan oleh Zainab dan anak-anaknya.

“Jika dia ada kerja mengandam, anak-anak dan suami akan menemani saya di rumah. Jika tidak, dia yang sedang sarat mengandung akan menjaga saya sehingga tarikh bersalin dua bulan selepas itu,” celah Normah.

Selepas lebih dua bulan hidup sebumbung, hubungan dua isteri ini beransur baik.

“Kalau nak tahu, Kak Normahlah yang banyak menjaga saya semasa dalam pantang. Makan minum saya dipantau dan bayi kecil saya tidak pernah jauh daripada matanya.

“Walaupun pada masa itu dia tak banyak bercakap, saya tahu dia sudah mula menerima kehadiran kami.

“Anak-anak mula gemar berbual dengannya, begitu juga saya. Suami pula tidak membeza-bezakan kami dan sentiasa ada bersama,” ujar Zainab sambil tersenyum memandang Normah.

Mengakhiri perbualan kami petang itu, Normah sempat berkata, setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya.

“Tidak semua madu itu jahat dan tidak semua orang yang ketiga dalam perkahwinan itu datang kerana mahu meruntuhkan perkahwinan yang dibina.

“Namun, berwaspadalah kerana tidak semua manusia berhati mulia di dunia ini,” nasihat Normah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan