#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Oktober 19, 2009

Suami kaki pukul

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

Shikin sering menjadi bahan 'melepaskan geram' walaupun sedang hamil

SERING dipukul dan diperlakukan tanpa belas kasihan. Tidak cukup dengan pukulan dan tumbukan badan dipukul dengan apa juga peralatan yang sempat dicapai serta dicucuh dengan api rokok supaya ‘keseronokan’ dicapai sebelum melepaskan nafsu setiap kali pulang ke rumah.

Lebih malang, Shikin, yang berusia 34, berkata setiap kali pulang malam hari, suaminya berada dalam keadaan mabuk dan sering marah-marah tidak tentu pasal. Apabila keadaan itu berlaku, Shikin akan mengalami kecederaan dan lebam-lebam di seluruh badan akibat diserang tanpa belah kasihan.

Tetapi, apakan daya, dia terpaksa reda kerana tiada tempat untuk mengadu kasih berikutan kehidupannya yang yatim piatu.

“Setiap kali terdengar bunyi enjin kereta Zul (bukan nama sebenar) yang terhenti secara mendadak di laman rumah kami, hati saya mula cemas dan tidak menentu. Saya tahu sudah pastinya dia sedang mabuk dan mencari mangsa untuk melepaskan nafsu binatangnya itu.

“Tanpa menghiraukan keadaan saya yang letih dan berbadan dua, sebelum melakukan hubungan seks, dia gemar melihat saya meraung kesakitan akibat ditarik dari katil dan jatuh ke lantai serta bertindak untuk menampar dan menggigit saya sepuas hatinya,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah rendah syariah di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Shikin yang kelihatan jauh lebih berusia dari umurnya berkata, kekejaman itu berlarutan selama tiga tahun dan sudah berkali-kali dia mengalami keguguran akibat perbuatan suaminya sehinggalah perkara itu disedari oleh ibu mentuanya sendiri.

“Saya sering merayu kepada Zul supaya berubah dan mengingatkannya akan keadaan saya yang berbadan dua, namun tidak diendah. Sebaliknya dia bertukar menjadi lebih ganas dan kelakuannya sungguh mengerikan.

“Penderaan dilakukan suami akhirnya terbongkar secara tidak sengaja apabila ibunya secara tidak sengaja masuk ke bilik saya ketika saya sedang menyapu ubat dan terlihat kesan lebam termasuk luka serta gigitan,” katanya.

Ibu mentua yang bersimpati terhadap apa yang menimpa Shikin tanpa berfikir panjang terus membawanya berjumpa doktor kerana khuatir akan kesihatan bayi yang dikandung sekali gus membuat laporan polis demi keselamatan menantunya.

“Ibu sangat baik dan tidak menyebelahi anak tunggalnya. Namun pertolongan yang dihulurkan ibu dibantah sekeras-kerasnya oleh suami saya sehingga dia hampir menaikkan tangan terhadap ibu sendiri.

“Zul yang berang terus keluar dari rumah dan meninggalkan kami tanpa berita selama seminggu sehinggalah dia menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) dan menceraikan saya kerana membenarkan orang lain campur tangan dalam hal rumah tangga kami,” katanya.

Menyedari perkahwinannya itu tidak dapat diteruskan dan tidak sanggup menjadi tempat untuk melepaskan nafsu buas suaminya, dia rela menerima perceraian yang dilafazkan suaminya.

“Proses perceraian yang dilakukan atas kerelaan hati masing-masing itu namun terpaksa ditangguh kerana saya sedang mengandung dan talak tidak boleh dijatuhkan pada waktu sebegini. Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tahun depan sebagai tarikh keputusan perceraian kami.

“Hati saya masih sedih dengan keputusan yang diambil oleh suami, saya terima dengan hati yang ikhlas dan harap bayi yang dikandung ini menjadi permata hati yang tidak ternilai harganya. Saya juga sentiasa mendoakan agas Zul berubah dan tahu menilai erti seorang isteri bukan sekadar tempat melepaskan nafsu buasnya itu,” katanya dalam nada yang sebak dan kesal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan