#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Oktober 19, 2009

Dinoda teman lelaki sehingga hamil

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

fatin@bharian.com

HABIS madu sepah dibuang. Begitulah luahan hati wanita malang ini selepas kecewa ditinggalkan kekasih yang pernah menabur janji manis untuk sehidup semati. Ijan (bukan nama sebenar), bukan saja sanggup berkongsi harta dan wang, bahkan rela ditiduri demi menjaga hati lelaki durjana itu.

Semuanya kerana terlalu percayakan pujukan Hamid (juga bukan nama sebenar) yang dianggap benar-benar ingin bersama buat selamanya tidak kira susah mahupun senang, sama-sama ditempuhi, walaupun hubungan mereka ditentang tegas oleh keluarga.

Bagi Ijan, demi cinta yang tulus, lautan api sanggup direnangi sehingga keterlanjuran mereka menghasilkan benih tanpa ikatan yang sah di sisi Islam.

Pada pertemuan baru-baru ini, wanita berusia 24 tahun yang tidak ubah lagaknya seperti lelaki itu berkata, pada mulanya dia menyangka Hamid akan bertanggungjawab terhadap dirinya apabila menerima khabar berita mengenai orang ketiga itu dan mereka dapat bersama menjalani kehidupan seperti pasangan lain yang hidup sebagai suami isteri yang sah.

“Saya berusia 18 tahun ketika itu. Kami hidup mengalahkan pasangan suami isteri dan tidak pernah berenggang. Saya rasa sungguh bahagia dan menanam impian untuk terus hidup bahagia bersamanya lebih-lebih lagi apabila mengetahui saya mengandungkan anaknya.

“Namun, dia terkejut dengan ‘kejutan’ saya, lalu menyuruh saya menggugurkan kandungan itu kerana tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab yang berat dan berjanji akan menerima keadaan itu selepas benar-benar bersedia,” katanya ketika ditemui di mahkamah syariah, baru-baru ini.

Kata wanita itu, dia yang terpedaya dengan pujukan pasangannya itu tanpa rasa bersalah bersetuju untuk menggugurkan kandungan itu, sehingga mengalami pendarahan yang banyak dan menanggung kesakitan amat sangat. Keperitan itu terubat apabila lelaki itu mengajaknya untuk berkahwin dan menginsafi segala perbuatan sumbang yang dilakukan oleh mereka berdua.

“Walaupun kenduri kahwin kami itu diadakan secara kecil-kecilan dan pernikahan itu tidak diwalikan bapa saya, saya sangat bersyukur dan gembira pada saat itu. Selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga bersamanya, saya didapati mengandung lagi.

“Berita gembira yang ingin dikongsi bersama itu ditepis olehnya sekali lagi dan saya disuruh untuk menggugurkan kandungan buat kali kedua. Bagaimanapun, saya yang enggan melakukan pengguguran itu dimaki dan ditendang,” katanya sambil mengeluh dan memalingkan pandangannya ke arah jalan besar.

Memandangkan dia tegar dengan keputusannya untuk meneruskan kandungan, Hamid melafazkan cerai.

“Mahkamah memutuskan talak yang dijatuhkan kepada saya ditangguhkan dan berkuat kuasa sehingga anak yang dikandung ini lahir. Segala pahit getir, susah senang mengandung dan bersalin saya jalani sendiri tanpa bantuannya.

“Saya selamat melahirkan anak lelaki. Baru saya sedar betapa sukarnya ibu mengandungkan saya dan tanpa rasa simpati saya sewenang-wenangnya menghancurkan hatinya. Mulai saat itu saya berazam untuk membesarkan anak saya dan memberikannya kasih sayang yang secukupnya.

“Keadaan sedikit sebanyak mempengaruhi emosi saya, saya tertekan dengan kehidupan ditindas oleh suami sendiri sehingga mengubah perwatakan saya dari seorang yang berambut panjang menjadi pendek. Saya juga mula memakai kemeja-T dengan seluar besar dan ini membuatkan saya rasa gagah untuk berdikari,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kehadirannya yang masih berada di mahkamah pada hari itu, Ijan berkata, bekas suaminya yang dulu enggan memikul tanggungjawab sebagai bapa, kini cuba mengubah kenyataan itu sekali gus memfailkan tuntutan penjagaan anak.

“Seketika dulu, dia pernah cuba untuk membunuh anaknya itu, kini dia ingin merebutnya daripada saya selepas pahit-getir saya lalui sendiri. Tidak kira apa pun, saya akan terus berusaha untuk mendapatkan hak penjagaan itu.

“Cara Hamid yang menyuruh saya melakukan perbuatan kejam itu tidak mungkin dapat saya lupakan apatah lagi hendak melepaskan anak saya kepada orang yang dulunya hendak membunuhnya dan harap proses ini dapat dipercepatkan oleh pihak mahkamah syariah,” katanya yang tidak mampu menahan sebak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan