#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Oktober 19, 2009

Berpantang maut sebelum ajal

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

afzan@bharian.com.my

Fifi tabah terima kenyataan diserang barah payu dara pada usia 20-an

MELIHAT penampilannya yang ceria dan segar, siapa sangka wanita comel ini yang pernah bergelut dengan barah yang menjadi pembunuh nombor satu wanita, apatah pula dalam gembira membilang hari bergelar raja sehari.

Bak kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal. Penyakit yang dikatakan kerap menyerang wanita berusia 40 ke atas, rupanya semakin tidak mengenal mangsa. Bagi Fithrahana Baharuddin atau panggilan mesranya, Fifi, selagi termampu, beliau akan terus berjuang untuk menyelamatkan nyawa dan terus berfikiran positif mendepani masa depan yang belum pasti.

Oktober tahun lalu tarikh yang tidak mungkin lupus dalam ingatannya apabila secara tidak langsung mengesan ketulan keras sebesar syiling 20 sen di sebelah payu dara kanannya.

Beliau yang tidak pernah culas melakukan sendiri pemeriksaan payu dara (PSP) memang pasti ketulan itu berbeza daripada ketulan sedia ada kerana sudah arif mengenainya.

“Ia keras, tidak berubah kedudukan dan tidak sakit. Mendapatkan kepastian, saya tanya emak dan tidak lama selepas itu saya ke Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur untuk memastikan ketulan luar biasa itu.

“Masa itu memang saya tidak fikir yang buruk walaupun ada juga terdetik di hati, ia barah memandangkan kriteria ketulan itu. Tetapi saya pujuk hati menafikan hal berkenaan sebab saya terlalu muda, 26 tahun ketika itu untuk melalui semua itu,” katanya.

Melalui pembedahan ‘lumpectomy’, seminggu selepas itu pihak hospital memaklumkan bahawa ketulan itu adalah barah.

“Bila emak kata saya perlu mengambil keputusannya, saya ingat ingin pergi sendirian, tetapi emak berkeras untuk ikut. Mula-mula saya pelik juga kenapa emak ingin ikut serta, tetapi apabila sampai di hospital, barulah doktor mengatakan keputusan bahawa ketulan itu berbentuk barah. Emak yang tahu lebih awal mengenai keputusan itu dinasihatkan doktor untuk menemani saya menerima hakikat saya perlu menjalani rawatan mematikan sel barah yang mungkin sedang agresif,” katanya.

Fifi berkata, apabila menerima keputusan itu, beliau bagaikan tidak percaya berikutan usianya yang jauh daripada usia lazim yang dikaitkan dengan barah berkenaan, apatah pula tidak lama lagi akan bergelar pengantin.

“Bila tengok doktor pun serius dan emak pun macam nak nangis, barulah saya akur dan mula bertanya kenapa saya dan bukan orang lain, kenapa sekarang dan bukan 30 tahun lagi? Macam-macam saya fikirkan.

“Keesokan harinya apabila bangun dari tidur, barulah saya benar-benar berasa sedih dan maklumkan kepada bakal suami, Saiful Amani (ketika itu, mereka belum berkahwin). Beliau tenang mendengarnya. Apa yang paling saya sedih kerana saya tahu barah akan mengubah cara hidup saya dan keluarga,” katanya mengimbas kembali kenangan lalu.

Rutin hidupnya kian berbeza, bererti beliau kini perlu menyusun jadual hariannya. Hospital sudah menjadi rumah kedua buatnya. Pembedahan ‘clerance’ di kawasan ketumbuhan bagi mengelakkan barah kemungkinan berada di kawasan sekitar itu dilakukan, memberikan rasa tidak selesa. Kawasan bawah lengan kanan dirasakan kebas dan pelik.

“Ia tidak terhenti di situ apabila perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali. Bagaimanapun, saya meminta ia ditangguhkan dulu kerana saya ingin mendirikan rumah tangga sebelum itu,” katanya yang banyak membaca dan melayari laman web bagi mengetahui mengenai barah itu.

Persiapan perkahwinan mungkin tidak seperti pasangan lain kerana tergambar jadual rawatan demi rawatan di hospital. Bulan madunya bukan dihabiskan dengan menziarah sanak-saudara atau ke pusat peranginan, sebaliknya di hospital kerana tidak lama selepas berkahwin Fifi meneruskan rawatan kemoterapi.

Benarnya sangkanya kerana susulan rawatan itu memberikan rasa yang cukup tidak selesa.

“Selalunya selepas rawatan saya akan pulang ke rumah dan duduk dalam bilik gelap dan sunyi. Saya menjerit, saya menangis dan marah kepada sesiapa saja kerana tidak tertanggung rasa pedihnya. Tetapi saya bersyukur kerana keluarga dan rakan sekerja sangat memberikan sokongan. Bila dikenang balik peristiwa itu, rasa macam bersalah sangat kepada mereka,” katanya yang sudah menghabiskan tiga sesi rawatan kemoterapi setakat ini.

Fifi berkata, hakikatnya barah memang menakutkan, tetapi individu khususnya wanita tidak perlu takut menghadapinya kerana ada cara mengubatinya.

“Sakit dan takut memang ada, apatah lagi sekiranya kita masih muda, tetapi selagi kita berfikiran positif, Insya-Allah kita mampu menghadapinya,” katanya yang menyertai Yayasan Reben Merah Jambu atau dikenali sebagai Pride sejak tahun lalu kerana memikirkan ia bagaikan ‘terapi’ bila bersama kumpulan yang mengalami sakit sama.

Impian bergelar ibu

“SESIAPA yang bergelar isteri sudah pasti mengimpikan untuk memiliki anak sendiri, tidak terkecuali saya. Tetapi saya fikir biarlah bila saya benar-benar kuat dan sihat sebelum bergelar ibu,” katanya yang hanya boleh hamil pada 2012, itupun sekiranya kesihatannya mengizinkan.

Katanya, mengambil anak angkat mungkin jalan paling mudah mengisi kehidupannya bersama suami, tetapi katanya biarlah bila dirinya pulih sepenuhnya.

“Sejak memulakan kerja pada Mei tahun ini, saya dapati diri saya mudah penat dan letih. Kalau begitu keadaannya, bagaimana nak jaga baby kan? Tetapi saya bernasib baik kerana majikan saya faham,” katanya.

Hakikatnya, Fifi turut bersimpati dengan suaminya dan pernah menyatakan perkahwinan mereka mungkin tidak sama seperti pasangan berkahwin yang lain, tetapi Alhamdulillah hingga kini suaminya sentiasa di sisi memberikan sokongan.

Fifi berkata, setiap apa yang menimpanya mempunyai hikmah tertentu dan sejak dikesan menghidap barah, beliau menjadi seorang yang lebih penyabar dan menghargai nilai kasih sayang keluarga.

“Sebelum ini saya mudah juga naik angin, tetapi bila sakit dan tengok sokongan keluarga dan suami, saya menjadi lebih penyabar, mudah berterima kasih dan menghargai, walaupun pada perkara yang kecil. Sebagai contoh, emak, ayah dan suami berusaha mengadakan kenduri doa selamat, mencari air penawar untuk meringankan penderitaan saya itu,” katanya.

Fifi akur kemungkinan sel barah kembali menyerang adalah tinggi, tetapi tetap bersabar dalam menghadapi apa jua rintangan mendatang dan berdoa supaya lebih kuat menghadapinya.

“Saya berusaha mana yang boleh seperti makan makanan lebih sihat, bersenam ringan dan mendekatkan diri kepada Allah. Saya percaya sekiranya kita positif, kita mampu menghadapinya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan