#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Oktober 22, 2010

Maut berebut alat kawalan jauh TV

22/10/2010 5:33pm
KOSMO


KUANTAN - Gara-gara berebutkan alat kawalan jauh televisyen dengan adik, seorang pelajar lelaki Maahad Tahfiz Batu 4 di sini menemui ajal selepas tercetus pertengkaran dengan saudaranya di Taman Balok Baru di sini, 4.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Mohd Haris Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa, Naili Nafiz Zakaria, 14, dipercayai bertengkar dengan adik perempuannya berusia lima tahun yang berebut mahu menonton siaran pilihan masing-masing di televisyen.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Haris berkata, seorang saudara mangsa yang melihat pertengkaran itu dikatakan segera campur tangan sambil mengacah membaling serpihan kaca tingkap yang terdapat di depan pintu kepada mangsa.

Mohd Haris berkata, serpihan kaca berkenaan tiba-tiba terlepas dari tangan dan terkena paha kanan mangsa yang menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

Menurut Mohd Haris, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Balok di sini oleh jirannya sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.40 petang ketika sedang mendapatkan rawatan.

Katanya ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah. – Bernama

Placenta praevia boleh ragut nyawa




PENDARAHAN ketika hamil merupakan antara perkara yang ditakuti kaum ibu mengandung kerana ia berisiko menyebabkan keguguran jika tidak disusuli dengan rawatan segera.

Pendarahan boleh berlaku di bahagian luar faraj iaitu pada vulva atau pangkal rahim. Ia boleh terjadi kerana komplikasi kehamilan atau keadaan plasenta yang tidak normal iaitu kedudukannya berhampiran atau betul-betul di atas serviks yang dipanggil placenta praevia.

Umum mengetahui, plasenta merupakan organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim. Ia berfungsi membekalkan makanan termasuk oksigen daripada ibu kepada janin dan mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu.

Namun, kedudukan plasenta yang songsang daripada kedudukan normal boleh mengakibatkan pendarahan yang serius.

Pakar Ginekologi dan Obstetrik, Hospital Pantai Ampang, Dr. Sudha Kumari memberitahu, terdapat empat jenis placenta praevia iaitu lateral, marginal, partial dan central.




“Plasenta praevia lateral merujuk kepada kedudukan plasenta yang cenderung jaraknya lima sentimeter atau lebih daripada serviks manakala kedudukan marginal pula menunjukkan plasenta berada betul-betul di margin serviks.

“Placenta praevia partial pula menunjukkan keadaan plasenta menutupi sebahagian serviks, manakala penutupan serviks sepenuhnya pula dipanggil central iaitu kedudukan plasenta betul-betul di atas serviks. Dalam keempat-empat kes, keadaan central ini paling merbahaya,” katanya.

Tambah Sudha, keadaan tersebut berlaku selepas tempoh 24 minggu kehamilan dan ia disebabkan beberapa perkara iaitu parut ketika proses kelahiran atau pembedahan, kekerapan bersalin dan infeksi.

“Keadaan ini akan menjadi punca plasenta akan terus melekat di situ dan tidak bergerak. Pada awal tempoh kehamilan, plasenta berada di mana-mana dalam rahim kerana pada masa itu saiz bayi terlalu kecil, namun apabila tempoh kehamilan bertambah ia (plasenta) berubah tempat ke bahagian atas rahim.

“Kedudukan plasenta yang tidak berubah dipanggil placenta praevia. Sebenarnya, plasenta tidak bergerak tetapi uterus membesar dan mengembang, oleh itu ia secara automatik akan naik ke atas,” ujarnya.

Ia akan terjadi selepas 24 minggu tempoh kehamilan kerana dalam tempoh tersebut plasenta akan berada di kedudukan atas.

Menurut Sudha, walaupun plasenta berada di bawah pada kehamilan minggu ke-24, kebarangkalian ia berpindah ke atas tetap ada dan ia memerlukan pemantauan kandungan dengan kerap.


WANITA yang mengalami placenta praevia terpaksa melahirkan anak melalui kaedah caesarean.

“Biasanya jika kedudukan plasenta dalam keadaan lateral dan marginal pada minggu ke-26 kehamilan, ada kemungkinan plasenta akan naik tetapi jika plasenta dalam keadaan central dan partial, kemungkinan besar ia tidak akan naik kerana kedudukannya betul-betul di atas serviks.

“Kerana itu, seseorang ibu perlu menjalani rawatan susulan dengan doktor. Selepas minggu ke-34 kita akan dapat tahu sama ada plasenta akan naik atau tidak,” katanya.

Siapa yang berisiko mendapat placenta praevia?

Mereka yang berisiko tinggi mendapat placenta praevia adalah dalam kalangan wanita yang pernah mengalami placenta praevia pada kehamilan sebelumnya.

Selain itu katanya, kekerapan bersalin setiap tahun, kelahiran anak kembar, pernah menjalani pembedahan caesarean dan fibroid, malah ada yang berpendapat wanita yang mengambil kokain dan merokok juga mempunyai risiko yang sama.

“Apabila umur meningkat risiko juga akan meningkat. Umur yang berisiko ialah wanita berusia bawah 20 tahun dan melebihi 35 tahun. Umur yang paling selamat ialah 20 hingga 30 tahun. Risiko wanita untuk mendapat placenta praevia adalah satu dalam 200 kehamilan.


BEGINILAH kedudukan plasenta yang normal iaitu di atas rahim bukan di kedudukan berhampiran serviks seperti gambarajah sebelah.

“Seseorang yang didiagnos mengalami placenta praevia apabila berlaku pendarahan pada minggu ke-24 kehamilan. Oleh itu, doktor perlu buat ujian ultra bunyi bagi memastikan kedudukan plasenta,” jelasnya.

Wanita yang dikesan mengalami placenta praevia dinasihatkan untuk berehat, tidak membuat kerja-kerja berat, tidak bersenam, tidak mengadakan pemeriksaan vagina dan tidak melakukan hubungan seks sepanjang tempoh kehamilan kerana ia boleh menyebabkan pendarahan.

Sudha memberitahu, wanita yang mengalami placenta praevia central dalam minggu ke-34 kehamilan akan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan.

“Jika tiada sebarang pendarahan, mereka boleh berehat di rumah dengan syarat, jarak rumah mereka dekat dengan hospital dan mempunyai pengetahuan mengenai keadaan kehamilannya bagi mengelakkan risiko ke atas ibu dan anak.

“Segera berjumpa dengan doktor jika berlaku sebarang pendarahan tanpa rasa sakit. Buat permulaan, pendarahan kali pertama akan keluar sikit dan akan berhenti seketika sebelum berlaku pendarahan yang banyak,” katanya.

Tambahnya lagi, jika berlaku sedikit pendarahan dalam tempoh kehamilan masuk minggu ke-34, pihak hospital akan menunggu sehingga cukup bulan, tetapi jika si ibu mengalami pendarahan yang banyak, bayi perlu dikeluarkan segera demi kebaikan ibu dan anak.


SUDHA menunjukkan kedudukan plasenta yang betul iaitu berada di atas bahagian rahim.

“Jika berlaku pendarahan yang banyak, jantung bayi akan jatuh dan bayi perlu dikeluarkan segera jika tidak, bayi akan mati di dalam kandungan.

“Ibu yang mengalami placenta praevia tidak boleh melahirkan bayi secara normal dan perlu menjalani pembedahan caesarean. Bukan itu sahaja, ia memerlukan doktor yang berpengalaman luas mengendalikan kes placenta praevia serta kakitangan hospital yang terlatih. Jika tidak keadaan itu mengundang risiko kematian,” jelasnya.

Ujar beliau, dalam keadaan pendarahan yang banyak, seboleh-bolehnya, doktor mahu menyelamatkan nyawa kedua-dua ibu dan bayi tetapi keutamaan diberikan kepada ibu.

Rabu, Oktober 20, 2010

Isteri Bukan Hak Suami

Situasi: Puan A adalah isteri kepada seorang lelaki yang sering mabuk dan pulang ke rumah dengan emosi yang tidak stabil.

Kerap kali, Puan A dipukul, ditendang, ditengking oleh suaminya yang sentiasa memarahinya.

Kemuncak penderitaan Puan A adalah apabila dia dikelar suaminya dengan pisau panas hingga dia jatuh pengsan.

Malangnya, jeritan dan pekikkannya tidak pernah dihiraukan atau diambil peduli oleh sesiapa, walaupun mereka tinggal di salah sebuah unit rumah pangsa yang dikelilingi jiran tetangga yang sangat dekat.

SITUASI yang dinyatakan di atas adalah situasi yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Isteri tersebut menderita pelbagai kecederaan fizikal selain mental yang sangat tidak stabil akibat daripada perbuatan suaminya.

Namun fokus perbincangan kita pada kali ini adalah berkenaan sikap jiran atau masyarakat setempat yang memandang ringan atau mengambil keputusan untuk menutup sebelah mata (jika tidak kedua-duanya) terhadap penyakit masyarakat yang sedang menular dewasa kini - keganasan rumah tangga.

Masyarakat sebenarnya mampu untuk memainkan peranan besar bagi menghentikan jenayah tersebut daripada terus berlaku.

Secara umumnya, masyarakat masih beranggapan bahawa masalah dalam rumah tangga seseorang adalah masalah peribadi orang tersebut dan tidak seharusnya campur tangan.

Masyarakat juga sering mengambil sikap berkecuali dalam hal seperti itu atas alasan tidak mahu mencari masalah dengan terlibat dalam masalah orang lain.

Apatah lagi kita sering memberi justifikasi lemah bahawa masalah kita sendiri tidak selesai, jangan ditambahkan dengan masalah orang lain. Walaupun ia berlaku di sebelah rumah kita atau di depan mata kita sendiri.

Masih ramai di kalangan masyarakat kita juga mengatakan bahawa hal ehwal dan isu berkaitan dengan rumah tangga seseorang adalah hak peribadi dan hak mutlak seseorang itu.

Lebih dahsyat lagi, ada yang mengiyakan bahawa isteri adalah hak mutlak suaminya dan suami tersebut bebas berbuat apa sahaja atas alasan suami adalah ketua dalam rumah tangga. Justeru, suami berhak menyelesaikan masalah rumah tangga mengikut cita rasa, keadaan dan kehendak dirinya sendiri.

Hakikat dari segi perundangan adalah sebaliknya. Melalui peruntukan yang termaktub di bawah Sekyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga (AKRT) 1994, adalah jelas bahawa pihak penggubal undang-undang negara melihat kepentingan peranan yang boleh dimainkan oleh orang perseorangan dalam masyarakat bagi membendung isu keganasan rumah tangga.

Seksyen 18 AKRT 1994, antara lain memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan keganasan rumah tangga telah berlaku, atau sedang berlaku boleh memberi maklumat kepada pegawai penguatkuasa atau pihak polis.

Lebih menarik, peruntukan undang-undang tersebut juga mewujudkan perlindungan berbentuk imuniti bagi pelapor tersebut daripada sebarang liabiliti fitnah, jika didapati laporan yang dibuat adalah terbukti tidak tepat atau tidak benar sama sekali.

Secara ringkasnya, peruntukan itu, memberikan hak kepada mana-mana orang dalam masyarakat kita untuk melakukan sesuatu dalam mendepani isu keganasan rumah tangga ini, iaitu melaporkan perkara tersebut ke pihak berkuasa.

Menariknya peruntukan ini memberikan juga kuasa atau hak kepada ahli masyarakat untuk melaporkan kes-kes keganasan rumah tangga yang mereka ada alasan untuk mempercayai bahawa ia telah atau sedang berlaku.

Ahli masyarakat tidak perlu menyaksikan peristiwa keganasan tersebut, dan peruntukan undang-undang mengatakan hanya cukup sekiranya mana-mana individu tersebut timbul syak atau ada alasan yang baik menjurus kepada persepsi bahawa keganasan rumahtangga telah atau sedang berlaku.

Peruntukan undang-undang ini jelas mengetepikan sikap 'jangan jaga tepi kain orang lain' dalam menangani isu keganasan rumah tangga dalam masyarakat kita hari ini.

Pendek kata dalam istilah yang bersahaja, setiap suami perlu ingat bahawa isteri bukan lagi hak mutlak mereka.

Jika seorang suami itu gagal atau tidak mampu menjaga isteri mereka dengan sempurna dan kehidupan rumah tangga hingga sering disulami dengan perlakuan atau tindakan yang ganas, maka orang lain boleh 'campur tangan' bagi menyelamatkan dan seterusnya 'membawa' sang isteri tersebut keluar dari kancah permasalahan yang dihadapi.

Selasa, September 21, 2010

Bayi dikandung remaja mati ditendang

2010/09/21
Harian Metro

KUALA LUMPUR: Satu keluarga terkejut apabila mendapati anak remaja perempuan yang tiba-tiba pengsan selepas terjatuh di dalam bilik mandi di rumahnya di Batang Kali, di sini awal pagi semalam, rupanya hamil tujuh bulan.

Lebih memeranjatkan apabila bayi di dalam kandungan remaja terbabit didapati tidak lagi bernyawa dipercayai selepas perut remaja perempuan itu ditendang seseorang yang dikenali mangsa.

Penemuan mengejutkan itu menyebabkan doktor terpaksa menjalankan pembedahan kecemasan bagi mengeluarkan mayat bayi yang dibimbangi boleh meragut nyawa mangsa.

Sumber polis berkata, mangsa sebelum itu ditemui terbaring kira-kira jam 4 pagi oleh ahli keluarganya.

Menurutnya, mangsa yang sudah tidak lagi bersekolah kemudian dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan apabila disangka mangsa pengsan akibat jatuh sakit.

“Semasa tiba di hospital, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan doktor kemudian mendapati dia hamil tujuh bulan, tetapi bayi dalam kandungannya sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, pihak hospital turut mendapati ada kesan lebam seperti dipijak pada perut mangsa. Demi menyelamatkan nyawa remaja terbabit, doktor terpaksa menjalankan pendedahan untuk mengeluarkan bayinya yang sudah mati itu.

Beliau berkata, mengesyaki kecederaan dialami mangsa mempunyai unsur jenayah, pihak hospital kemudian membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Polis kini sedang berusaha mengesan individu yang bertanggungjawab mencederakan mangsa. Kita turut merujuk kes itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana ia turut mempunyai kaitan dengan agama,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pemuda berusia 19 tahun diberkas polis selepas didapati memperkosa teman wanitanya berusia 14 tahun yang sengaja dibawa pulang ke rumah sewa ketika rakan-rakan serumahnya pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri minggu lalu.

Dalam kejadian Khamis lalu, suspek mengambil kesempatan untuk memperkosa mangsa yang masih bersekolah terbabit di rumah sewanya di Kelana Jaya, di sini.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, perbuatan sumbang mereka bagaimanapun diketahui oleh keluarga mangsa sebelum bertindak membuat laporan polis.

'Tak semua madu jahat'

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

TIDAK semua orang ketiga berniat untuk meruntuhkan perkahwinan yang sedia ada, namun bukan semua manusia berhati mulia.

TIDAK semua pasangan yang hidup berpoligami menemui kemanisan dalam rumah tangga. Malah, mungkin boleh dikira bilangan wanita yang menikmati ‘madu’ sebenar dalam perkongsian kasih bersama seorang lelaki bergelar suami.

Pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, Jurnal berkesempatan bertemu dengan dua wanita yang menjadi suri hati kepada seorang kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Nazri, 44.

Dari kaca mata orang luar, kehidupan keluarga ini tampak mesra, bagai tiada hati yang terguris. Namun, apabila ditanya kisah awal perkongsian suami ini, kedua-duanya kelu seketika.

Isteri pertama memperkenalkan dirinya dengan panggilan Kak Normah, 43, dan isteri kedua hanya mahu dikenali dengan nama Zainab, 36.

Menurut Zainab, beliau ialah ibu tunggal yang memiliki lima orang anak, dua lelaki dan tiga perempuan, berumur di antara lima hingga 16 tahun. Suami pertamanya telah meninggal empat tahun lalu selepas lima bulan terlibat dalam satu kemalangan di tempat kerja.

“Selepas kematian suami pertama, saya patah kandar. Tanggungjawab membesarkan anak-anak tergalas di bahu saya seorang.

Suami orang

“Berbekalkan sedikit pengalaman, saya mencuba-cuba bidang andaman dan perundingan perkahwinan. Saya bermula dengan empat helai baju, saya bertatih perlahan-lahan.

“Alhamdulillah, berkat usaha gigih dan rezeki anak-anak, saya kini memiliki koleksi hampir 200 baju pengantin.

“Namun, dalam kesibukan itu, hati saya sunyi. Anak-anak memang sentiasa ada di sisi, tetapi tidak sama dengan belaian seorang lelaki yang bergelar suami,” ujar Zainab membuka bicara.

Mempunyai perwatakan menarik dengan tubuh kurus tinggi lampai serta kulit kuning langsat, Zainab akui, tempoh empat tahun bergelar janda tidak pernah sunyi daripada kunjungan beberapa lelaki yang bertanyakan peluang untuk mengisi kekosongan hatinya.

Sungguhpun begitu, hati ibu muda ini tidak pernah terbuka sehingga pada suatu hari, muncul seorang lelaki yang berupaya menyuntik getaran naluri wanitanya.

“Saya mengenali Nazri melalui seorang kawan. Bermula sebagai rakan biasa, dia menyuarakan hasrat untuk memperisterikan saya. Saya tahu masa itu dia sudah pun beristeri dan memiliki seorang anak lelaki.

“Saya mulanya takut untuk menerima lamarannya. Saya tidak nafikan, dia lelaki yang baik. Ada kerja yang bagus dan nampak bertanggungjawab.

“Namun, untuk melukakan hati wanita lain demi kebahagiaan saya sendiri, tidak mungkin saya lakukannya. Pada masa yang sama, dalam diam, hati saya telah terpaut padanya,” katanya.

Menurut Normah yang duduk di samping Zainab, beliau tidak mampu melahirkan anak selepas kelahiran anak tunggalnya yang berumur 22 tahun kerana komplikasi.

Main bomoh

“Saya tidak dibenarkan mengandung selepas kelahiran pertama. Saya tahu, suami memang sudah lama mahukan anak lagi. Beberapa kali saya mengajaknya mencari anak angkat, tetapi dia menolak pula. Saya tahu, dia mahukan anak daripada benihnya sendiri.

“Saya mula menjadi seorang yang curiga selepas itu. Oleh kerana saya tidak mampu memberikannya zuriat lain, saya jadi curiga jika suami berkawan dengan mana-mana perempuan. Saya takut kehilangan dia,” kata Normah yang juga merupakan seorang kontraktor.

Selepas berjaya menghidu perhubungan antara Zainab dan suaminya, Normah tidak senang duduk.

“Walaupun Zainab ada datang berjumpa dengan saya seorang diri dan menerangkan segala-galanya, saya tetap tak boleh terima.

“Habis dia kena sembur dengan sumpah seranah saya. Saya betul-betul marah.

“Saya pernah panggil dia pelacur, perempuan kemaruk seks, malah saya sering bertanya, apa hebat sangatkah suami saya di ranjang sehingga dia tergila-gilakan suami saya,” ujarnya sambil menggenggam erat jari Zainab.

Menganggap dirinya sebagai teraniaya, Normah tidak merasakan apa yang dilakukannya itu salah kerana baginya dia perlu mempertahankan rumah tangga yang dibina 23 tahun lalu.

Menurut Normah, dek kerana geram dan marah, diakui hatinya kering ketika itu.

“Saya sanggup bomohkan Zainab supaya dia jauh daripada suami saya. Pada masa itu, tidak terfikir soal hukum. Apa yang penting, saya puas,” ujarnya sebak.

Menurut Zainab, kerana buatan itu, beliau sakit berbulan-bulan lamanya. Tidur malamnya tidak pernah lelap, anak-anak seakan terabai malah hendak mekapkan pengantin, tangannya kaku.

“Alhamdulillah, selepas puas berubat, saya beransur sembuh. Entah bagaimana Nazri memujuk, Kak Normah akhirnya membenarkan kami berkahwin,” katanya.

Hakikatnya, menurut dua wanita bekerjaya ini, bukan mudah untuk berkongsi kasih seorang suami dengan wanita lain.

“Tiga bulan pertama perkahwinan, saya mula merasa kehidupan sebenar bermadu. Kak Normah masih tidak senang dengan kehadiran saya dan anak-anak, kami sering dipanggil beban sedangkan saya tidak pernah menyusahkan suami.

“Perbelanjaan anak-anak saya sediakan, rumah yang saya diami sudah habis bayar, begitu juga kereta peninggalan suami saya.

“Cuma suami ada memberi nafkah perbelanjaan RM1,000 sebulan untuk saya dan anak-anak. Itu pun saya tidak minta, Nazri yang beri,” jelas Zainab.

Hendak dijadikan cerita, selepas setahun perkahwinan kami, Normah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kaki dan tangannya patah. Ketika kejadian itu, Zainab sedang hamil tujuh bulan.

Kemalangan

Simpati dengan keadaan Nazri yang terpaksa berkejar ke pejabat dan menguruskan isterinya, Zainab suarakan hasrat untuk menolongnya. Dalam keadaan tiada pilihan, Nazri dan Normah tidak mampu membantah.

“Saya menjaganya bagai keluarga sendiri. Sesekali teringat juga caci dan makian dia, tapi saya tak tahu mengapa perasaan dendam itu tidak wujud dalam diri saya. Mungkin kerana saya hadir sebagai orang ketiga,” tutur Zainab.

“Pada bulan pertama selepas kemalangan, saya tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri.

“Daripada memasak, meneman hingga mengelap tubuh, semua diuruskan oleh Zainab dan anak-anaknya.

“Jika dia ada kerja mengandam, anak-anak dan suami akan menemani saya di rumah. Jika tidak, dia yang sedang sarat mengandung akan menjaga saya sehingga tarikh bersalin dua bulan selepas itu,” celah Normah.

Selepas lebih dua bulan hidup sebumbung, hubungan dua isteri ini beransur baik.

“Kalau nak tahu, Kak Normahlah yang banyak menjaga saya semasa dalam pantang. Makan minum saya dipantau dan bayi kecil saya tidak pernah jauh daripada matanya.

“Walaupun pada masa itu dia tak banyak bercakap, saya tahu dia sudah mula menerima kehadiran kami.

“Anak-anak mula gemar berbual dengannya, begitu juga saya. Suami pula tidak membeza-bezakan kami dan sentiasa ada bersama,” ujar Zainab sambil tersenyum memandang Normah.

Mengakhiri perbualan kami petang itu, Normah sempat berkata, setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya.

“Tidak semua madu itu jahat dan tidak semua orang yang ketiga dalam perkahwinan itu datang kerana mahu meruntuhkan perkahwinan yang dibina.

“Namun, berwaspadalah kerana tidak semua manusia berhati mulia di dunia ini,” nasihat Normah.

Rabu, September 08, 2010

Isu pengguguran tanggungjawab sosial

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
ARKIB : 05/09/2010


MAKCIK, saya terpaksa mengesahkan anak makcik mengandung,” menyirap darah Fatimah apabila mendengar kata-kata doktor.

Lebih merisaukan anaknya bakal menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi (IPT).

Pastinya berita itu mengecewakan mereka sekeluarga apabila anaknya tidak layak hanya kerana pemeriksaan kesihatan mengesahkan dia mengandung.

Dengan nada sedih, Fatimah merayu pada doktor untuk mencari jalan supaya anaknya dapat masuk ke IPT.

Fatimah dimaklumkan bahawa calon yang mengandung tidak dibenarkan mendaftar pengajian kerana dibimbangi mengganggu pelajaran.

Terdetik di hati Fatimah supaya anaknya menggugurkan kandungan memandangkan masa depan anaknya lebih penting.

“Doktor, tolonglah saya. Saya sanggup buat apa sahaja asalkan anak saya dapat masuk IPT. Mungkin anak saya perlu gugurkan kandungan?” ujar Fatimah.

Doktor menggelengkan kepala, dengan nada perlahan dia menasihatkan Fatimah melupakan hajatnya itu. Pengguguran paksaan itu jelas menyalahi undang-undang dan moral.

Berbeza dengan pengguguran terapeutik, keguguran secara paksaan adalah sengaja dilakukan, selalunya atas kehendak sendiri.

Kebiasaannya ia mempunyai tujuan-tujuan tertentu seperti melewatkan kehamilan atau tidak mahu mengandung lagi.

Selain itu, ada juga yang tidak mahu mengganggu kerja atau pelajaran, mengelak masalah kewangan dan perhubungan.

Keguguran paksaan juga dilakukan kerana kehamilan yang tidak dirancang atau tidak diingini kerana tidak menggunakan kontraseptif.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Prince Court, cara-cara pengguguran secara paksa menggunakan perubatan yang dikenali sebagai pengguguran kimia.

Bahan yang biasa digunakan adalah mifepristone dan prostaglandins, biasanya dilakukan di peringkat awal kehamilan.

Satu lagi jenis keguguran paksaan adalah pengguguran pembedahan.

Misalnya, penyedutan dengan vakum yang dilakukan secara manual atau elektronik iaitu menggunakan mesin elektronik bagi usia kandungan kurang daripada 12 minggu.

Pengguguran pembedahan juga melibatkan Dilatation and Curettage (D&C) bagi usia kandungan 15-24 minggu, dilatasi dan menarik keseluruhan bayi bagi usia kandungan melebihi 24 minggu.

Hormon anti penuaan

ARKIB : 29/08/2010
Utusan Malaysia - Kesihatan


Ramai yang memberi reaksi positif apabila saya memperkatakan tentang anti penuaan. Tidak kurang juga yang mempunyai tanggapan negatif kerana tidak tahu dan kurang memahami pengertian anti aging atau anti penuaan yang sebenar.

Mereka menganggap perubatan anti penuaan sebagai cubaan melawan takdir ketentuan Ilahi dan hanya mampu memberi kulit yang licin tanpa kedut tanpa membantu kesihatan dalaman tubuh. Ini adalah tidak benar kerana perubatan anti penuaan mempunyai matlamat menghindari penyakit dan masalah manusia apabila berhadapan dengan isu-isu penuaan.

Anti penuaan adalah satu cabang kesihatan yang membolehkan kita hidup sihat pada usia tua, mengekalkan kesihatan dan kehidupan ideal manusia. Ia mengekalkan fungsi organ dalaman badan seperti jantung, buah pinggang, kelenjar-kelenjar yang penting serta kesihatan otak manusia. Ia juga menjadikan kelenjar hormon dalam tubuh kita berfungsi semula sebagaimana semasa muda.

Pada zaman ini tempoh hayat seorang manusia dianggarkan selama 90 tahun. Ramai yang masih hidup sihat meskipun sudah melebihi usia tersebut.

Kata-kata yang sering diluahkan oleh mereka yang kurang pengetahuan mengenai anti penuaan adalah:

l Menjadi tua dan mengalami menopaus adalah proses semula jadi maka tidak ada apa yang mampu mengubahnya.

l Saya sudah menopaus dan mencapai usia 60-an maka tidak mungkin saya boleh kembali muda. Saya tidak percaya wujudnya kaedah yang boleh membuatkan saya lebih muda.

l Usia tua adalah takdir yang tidak boleh ditolak.

l Saya mengamalkan cara hidup sihat, senaman serta mengamalkan pemakanan seimbang. Sudah tentu badan saya sihat. Mengapa saya perlukan perubatan anti penuaan?

Cuba anda fikirkan fakta ini.

l Punca utama kematian adalah usia yang tua. Orang yang mencecah usia 40 ke atas mudah mendapat kanser, kerana itu mereka digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.

l Orang yang berusia mudah mendapat tulang rapuh. Ramai orang orang tua terlantar di hospital kerana osteoporosis yang teruk membuatkan tulang patah.

l Orang yang tua mudah murung dan sensitif

l Orang tua mudah mendapat darah tinggi, sakit jantung dan sakit kronik lain berbanding orang muda.

l Paras kolestrol, gula dalam darah dan fungsi organ akan menjadi tidak baik apabila usia meningkat.

Mestikah seseorang berasa murung, letih, layu dan kelesuan apabila usia meningkat? Mestikah paras rupa berubah menjadi cengkung dan berlekuk-lekuk, wajah menjadi berpigmen serta berkedut?

Usia tidak dapat ditolak namun jika kita mengamalkan perubatan anti penuaan kita akan dapat menghalang penyakit penyakit dan masalah penuaan.

Masalah penuaan bagi lelaki

l Andropaus. Lelaki menjadi murung kurang bertenaga, mudah marah dan mudah tertekan.

l BPH prostat menjadi bengkak dan mula mengganggu sistem urinasi (kencing). Mereka mula mendapat jangkitan kencing yang kerap.

l ED adalah masalah menegangkan zakar.

Bagi wanita pula;

l Menopaus

l Masalah pada buah dada

l Masalah rahim dan vagina.

Bagi lelaki dan wanita

l Atherosclerosis

l Darah tinggi dan kencing manis

l Dementia (nyanyuk atau pelupa)

l Lain lain yang melibatkan sakit tua seperti tulang rapuh dan sakit badan.

Dari segi kosmetik pula kesan kesan penuaan mengakibatkan paras rupa yang cantik hilang serinya.

Apabila usia bertambah kelenjar hormon pada tubuh bekerja keras bagi memastikan penghasilan yang cukup untuk tubuh badan kita. Hormon merupakan molekul-molekul yang amat penting serta mempunyai tugas khas bagi menseimbangkan dan memastikan fungsi tubuh badan menjadi lancar. Kelenjar ini menjadi mengecut dan kurang aktif apabila usia meningkat. Hal ini dapat dilihat melalui kajian para saintis yang menilai saiz kelenjar melalui kaedah CT scan.

Cuba lihat di sekeliling kita. Seorang wanita atau lelaki yanng periang berubah menjadi murung dan anti sosial apabila usia meningkat. Tidak kurang juga mengalami masalah berat badan yang tidak dapat diturunkan melalui pemakanan semata-mata. Diet tidak akan berkesan tanpa pengurusan hormon yang betul. Dengan terapi hormon yang betul barulah seseorang mampu menurunkan beratnya dengan efektif.

Seseorang yang kurang hormon akan letih, lesu dan kurang gembira. Badannya terasa berat dan sukar untuk bersenam. Apabila hormon rendah tubuh akan berasa malas dan letih selalu. Apabila hormon metabolik tertentu ditambah, ia akan berubah menjadi lebih baik dan cantik. Tubuh mula membakar lemak di dalam badan. Hasil tubuh mendapat tenaga yang baik dan mula menjadi lebih langsing.

Mengapa kadar patah tulang, serta tulang rapuh sering berlaku pada orang tua. Jawapannya adalah kerana hormon tubuh sangat rendah membuatkan kadar penyerapan kalsium menjadi tidak efektif.

Mengapa orang orang tua cepat tersinggung dan mudah bersedih. Ini juga kerana tubuhnya tidak mempunyai hormon yang cukup. Hormon tertentu merangsang perasaan agar positif dan sentiasa gembira.

Apabila kelenjar hormon mengalami keletihan maka penghasilan hormon terjejas. Kelenjar-kelenjar yang keletihan akhirnya gagal berfungsi. Inilah puncanya seseorang menjadi lesu dan lemah. Bagi wanita pula kegagalan fungsi hormon seks mengakibatkan menopaus yang merupakan satu gangguan hebat bagi tubuh. Justeru menjaga kelenjar hormon agar menopaus berlaku dalam suasana yang tidak mengganggu fungsi tubuh adalah disarankan.

Pada minggu akan datang saya akan mengupas isu hormon dengan lebih mendalam lagi.

Buat sendiri di rumah

Utusan Malaysia - Kesihatan
ARKIB : 29/08/2010


Apa yang kita makan setiap hari bukan saja menjadi membentuk badan secara fizikal malah menentukan masa depan kesihatan tulang jantung dan juga risiko mendapat diabetes ketika mencecah usia akhir 40-an.

Oleh itu ambil makanan dan minuman yang mampu merangsang metabolisme antaranya:

* Menambah cili atau mustard dalam makanan akan membantu membakar sehingga 12 peratus kalori.

* Lima cawan teh hijau sehari juga dipercayai merangsang metabolisme dan membakar 100 kalori sehari.

* Amalkan susu soya, tauhu dan kacang soya dalam pemakanan harian. Ia mengandungi oestrogen yang membantu menseimbangkan perubahan hormon yang boleh menyebabkan kelaparan.

* Pentingkan makanan kaya protein setiap kali mengambil makanan untuk mengekalkan rasa kenyang dan juga melawan perubahan mood yang boleh menimbulkan rasa lapar.

* Cuba minum susu dan makan telur semasa bersarapan; tuna, salmon, kekacang dan ayam untuk makan tengah hari; daging merah tipis atau produk berasaskan soya bagi makan malam.

* Amalkan makan kekacang antara makan tengah hari dan minum petang. Badam boleh merangsang kalsium yang diperlukan untuk pembentukan tulang dan vitamin E bagi mendapatkan kulit yang berkualiti dan cantik selain membantu mengawal berat badan.

* Beri perhatian kepada makanan yang kaya dengn nutrisi dan jangan 'bazirkan' kalori anda untuk makanan yang tidak mampu merangsang nutrisi penting untuk badan.

* Tukar diet bebas lemak dan karbohidrat kepada diet sihat yang seimbang dengan mengawal peratusan makanan yang diambil.

Bina piramid pemakanan anda terdiri daripada 40 peratus karbohidrat kompleks, 30 peratus protein dan 30 peratus lemak sihat.

Badan pear atau epal?

ARKIB : 05/09/2010
Utusan Malaysia - Kesihatan


KITA sering melihat bentuk tubuh manusia yang berbeza-beza. Ada orang yang besar di dada dan lengan. Ada pula mempunyai dada dan lengan yang kecil namun saiz punggung lebar dan besar

Seorang sahabat saya mempunyai punggung yang serta paha yang besar walaupun jika dipandang daripada saiz tubuhnya di bahagian atas dia tampak kecil sahaja. Badan yang sebegini dinamakan bentuk pear. Ia seolah-olah buah pear yang kecil daripada tangkainya namun lebar di bawah.

''Saya terpaksa memakai skirt atau kain kembang bagi menutup kekurangan ini,'' kata kawan saya itu lantaran menurut beliau memakai seluar memang tidak sesuai kerana punggung yang terlalu lebar. Keadaan itu mendatangkan masalah kepada sahabat saya apabila mahu membeli baju. Jika bajunya muat sudah tentu kainnya ketat lantaran saiz tubuhnya yang mengembang di bahagian punggung. Seorang sahabat yang lain pula mempunyai tubuh yang berbentuk epal. Tubuhnya besar dan lebar di bahagian dada dan belakang (atas), manakala paha dan kaki pula kecil. Punggungnya juga kecil. Namun beliau kelihatan sangat gemuk kerana bahagian belakang badan dada dan pinggangnya berlemak. Dengan kata lain bentuk tubuh seperti ini diberikan gelaran bentuk epal lantaran bentuknya yang gempal di atas dan menguncup pula di bahagian bawah..

Seorang sahabat saya pula mengadu perutnya buncit. Walaupun dia tidaklah terlalu gemuk namun perutnya tidak dapat disembunyikan. Puas dia mencuba pelbagai jenis jamu dan ubat-ubatan tradisional bagi menurunkan saiz perut namun tidak berjaya. Masalah perut buncit sering berlaku kepada lelaki.

Seorang sahabat pula mengadu anaknya terlalu gemuk dan rendang sahaja. Tubuhnya seimbang dari atas ke bawah dipenuhi lemak sahaja. Dia turut berasa hairan apakah masalah yang dihadapi oleh anaknya itu. Apabila berdiet berat tidak boleh turun dengan mudah. Anaknya juga tidak makan terlalu banyak namun berat badannya sentiasa sama sahaja meskipun menjaga pemakanan dengan ketat.

Mengapakah ini berlaku? Mengapakah seseorang tidak serupa bentuk tubuhnya berbanding orang lain?

Jawapannya adalah kerana di dalam tubuh kita terdapat kelenjar hormon yang berbeza-beza keaktifannya. Kelenjar hormon yang aktif akan menjadi kelenjar yang dominan di dalam tubuh seseorang dan akan merembes lebih banyak hormon berbanding kelenjar yang kurang aktif.

Kelenjar hormon bukan sahaja mempengaruhi bentuk tubuh seseorang malah juga mempengaruhi perangai seseorang, corak pemakanan, kecenderungan terhadap cuaca dan suhu persekitaran dan sikap seseorang dalam menangani kehidupan sehariannya. Hal sebegini sangat unik. Justeru itu jika kita tahu kelenjar hormon yang dominan dalam tubuh adalah lebih mudah bagi untuk menangani masalah kesihatan kita.

Kelenjar utama dalam tubuh kita adalah kelenjar pituitary yang terletak di otak, kalenjar insulin di pankreas, kelenjar tiroid di leher dan juga kelenjar adrenal di buah pinggang kita. Kesemua kelenjar ini memainkan peranan yang berbeza, berfungsi membentuk tubuh dan menjadikan tubuh berbeza-beza bentuknya.

Tubuh kita akan terbentuk mengikut rangsangan hormon yang dominan. Jenis hormon yang dominan ditentukan oleh genetik seseorang di mana setiap daripada kita mempunyai kelenjar yang berbeza aktivitinya. Seseorang yang lahir di kalangan ahli keluarga yang mempunyai kelenjar tiroid yang dominan akan mempunyai bentuk tubuh yang tinggi lampai dan berbadan kurus. Mereka ini mempunyai kadar metabolik tubuh yang amat tinggi dan mampu membakar lemak dengan mudah dan cepat. Oleh kerana itu mereka tidak mudah gemuk melainkan jika wujudnya masalah yang membuatkan kerosakan pada kelenjar tiroid mereka. Mereka yang mempunyai kelenjar adrenal sebagai kelenjar dominan akan mempunyai tubuh berbentuk epal. Bahagian atas tubuh besar dan berlemak manakala bahagian yang lain kecil saja. Kumpulan ini mempunyai tenaga yang tinggi sepanjang hari. Mereka tidak mudah merasa letih dan mampu bekerja atau menjalankan aktiviti fizikal sepanjang hari. Mereka juga mempunyai semangat yang tinggi dan amat tekun dalam urusan pekerjaan.

Mereka yang mempunyai punggung lebar dan dikatakan berbentuk pear pula mempunyai hormon gonad sebagai kelenjar mereka yang dominan.

Sara ialah seorang gadis berusia 35 tahun dan bertubuh gemuk. Dari zaman kanak-kanak lagi tubuhnya besar dan tidak pernah turun beratnya meskipun Sara mengamalkan diet yang ketat. Sara telah mencuba pelbagai kaedah diet namun tidak juga berhasil. Perubatan tradisional dan moden juga dia telah dicuba namun tidak juga berhasil.

Sara cepat berasa letih. Dia cuba melakukan senaman namun tubuhnya terasa berat sekali. Dia juga berasa tangan dan kakinya agak sejuk. Apabila teman-teman mengajak berenang di kolam maupun pantai Sara enggan masuk ke dalam air kerana dia berasa sejuk. Sara hairan kerana dia mempunyai lemak yang banyak dalam badan namun kenapa asyik berasa sejuk. Sejak akhir akhir ini Sara berasa berat badannya naik mendadak lagi. Dia juga melihat perubahan pada struktur kulitnya yang tampak kasar dan dan di bawah matanya kelihatan agak lebam.

Rambutnya menjadi agak kasar dan gugur dengan banyak. Sara mengagak mungkin hal ini disebabkan oleh usianya yang meningkat.

Masalah yang dihadapi oleh Sara adalah kekurangan hormon tiroid di dalam tubuhnya. Ini membuatkan Sara menjadi perlahan pergerakannya dan lemak mudah berkumpul. Hormon tiroid adalah hormon yang menjana metabolik tubuh. Ia membolehkan tubuh kita menjana tenaga yang digunakan bagi aktiviti tubuh kita. Apabila usia meningkat hormon ini semakin berkurangan dan menyebabkan kita semakin lesu. Memang benar ramai di antara kita yang tidak menyedari hakikat ini namun setelah dibuat analisis barulah kita faham masalah sebenar.

Sumbang mahram bukti kedangkalan agama, adat resam

Oleh Tuan Musa Awang
Berita Harian
2010/09/08

Islam melaknat orang melakukan perkara terkutuk di dunia dan akhirat

RAMADAN kali ini banyak menguji keimanan sebagai umat Islam. Menatap akhbar sepanjang Ramadan, kita dihidangkan berita meruntun jiwa dan menyayat hati. Kisah adik beradik dirogol abang kandung, datuk merogol cucu dan adik merogol kakak sendiri.


Sumbang mahram ialah perbuatan zina yang dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau keturunan dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan mereka tidak sah di sisi agama, undang-undang serta adat resam.

Islam melaknat orang melakukan sumbang mahram di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan berikut), ibu kamu, anak kamu dan saudara kamu, saudara bapa kamu, saudara ibu kamu, anak saudara kamu yang lelaki, dan anak saudara kamu yang perempuan dan ibu kamu yang telah menyusukan kamu....” (Surah an-Nisa’: 23)

Sumbang mahram bukan saja merosakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial yang berpotensi tinggi menghasilkan keturunan secara biologi lemah fizikal dan mental (cacat), tetapi juga suatu bukti kedangkalan agama serta adat resam.

Sumbang mahram ialah jenayah menurut Seksyen 376A dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta sebatan.

Sumbang mahram dikenakan hukuman menurut Seksyen 20, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, (Akta 559), yang memperuntukkan: “Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”


Mengikut statistik Polis Bukit Aman, sepanjang 2000 hingga 2007, Johor dan Selangor mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 308 kes daripada keseluruhan 2,158 kes dilaporkan kepada polis.

Sabah mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 258 kes, diikuti Perak (197), Kedah (195), Pahang (164) dan Sarawak (136). Terengganu mencatatkan sebanyak 109 kes, Kelantan (107), Negeri Sembilan (102), Melaka (101), Kuala Lumpur (96), Pulau Pinang (59) dan Perlis (18).

Statistik kes sumbang mahram kerap dilaporkan. Namun, ada juga mangsa tidak membuat laporan khuatir si pelaku akan dipenjarakan atau hilang mata pencarian. Ada juga mangsa diugut supaya tidak melaporkan jenayah itu. Dalam kebanyakan kes, sumbang mahram tidak dilaporkan serta merta.

Kajian Dr Abdul Hadi Zakaria, pada 1996 dan laporannya diterbitkan Januari 1998 dengan tajuk ‘Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia’ menunjukkan dari 1992 hingga 1994, 30 peratus kes rogol dilaporkan membabitkan sumbang mahram.

Pelaku utama jenayah ini ialah bapa kandung (48.8 peratus) dan diikuti bapa tiri (24.4 peratus). Si pelaku lain ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Kebanyakan kes sumbang mahram berlaku di rumah kediaman mangsa.

Kajian juga menunjukkan kes sumbang mahram membabitkan mangsa yang muda, iaitu 54.9 peratus dari mereka berumur antara 11 hingga 15 tahun manakala umur si pelaku pula dari semuda 18 hingga 65 tahun.

Antara punca berlaku sumbang mahram ialah kegagalan atau kecuaian isteri memuaskan keperluan suami akibat tuntutan kerja, kepenatan, kelemahan iman, ketandusan ilmu dan kurang penghayatan agama.

Kelemahan agama menjadi lebih parah jika mereka terdedah dengan gambar atau filem porno yang mudah dimuat turun atau dipindahkan ke dalam telefon bimbit.

Islam melarang lelaki dan wanita berdua-duaan di tempat sunyi kerana akan muncul syaitan yang menghasut ke arah kejahatan seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak berada di tempat sunyi antara seorang lelaki dan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan.”

Islam juga mensyariatkan supaya dipisahkan tempat tidur anak dan ibu bapa sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam serta meminta izin terlebih dulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa.

Islam mensyariatkan supaya bilik untuk anak gadis diasingkan dengan bilik anak lelaki apabila mereka akil baligh, serta menekankan batas aurat, pergaulan antara ibu bapa dengan anak dan adik beradik berlainan jantina. Perasaan malu mendedahkan aurat perlu ditekankan sejak anak kecil lagi.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat kepada hamba-Nya supaya mereka mengenang dan bersyukur).” (Surah Al-A'raaf: 26)

Walaupun ahli keluarga boleh membuka aurat dalam kalangan mereka tetapi tidak sehingga menampakkan bahagian antara pusat dan lutut, berpakaian terlalu nipis, seksi atau mengikut bentuk badan. Anak juga perlu ditekankan larangan berzina dan melakukan dosa besar.

Peningkatan kadar perceraian, dikhuatiri kanak-kanak terdedah kepada risiko gejala sumbang mahram. Jika seseorang ibu berkahwin semula, anak perempuan akan tinggal serumah dengan bapa tiri, menjadikan risiko mereka terdedah kepada penganiayaan seksual bapa tiri.

Bagi kes yang membabitkan adik beradik, keluarga yang bercerai akan menyumbang kepada faktor ini kerana si ibu keluar rumah untuk mencari rezeki dengan meninggalkan abang menjaga adik di rumah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Lindungi rumah daripada banjir

2010/09/08
Berita Harian

Cari kaedah sesuai elak harta benda musnah

BANJIR adalah bencana alam yang tidak mengira situasi, walaupun ketika musim perayaan. Kemusnahan yang berpunca daripada banjir boleh merosakkan harta benda dan tapak rumah. Oleh kerana itu, anda perlu mencari kaedah yang bersesuaian untuk melindungi kediaman daripada mengalami kemusnahan yang berpunca daripada air atau banjir. Apa yang penting, kaedah berkenaan mampu untuk melindungi rumah daripada bencana ini untuk beberapa tahun. Berikut adalah beberapa panduan untuk melindungi rumah anda daripada dimusnahkan oleh banjir.

* Sentiasa peka

Sentiasa peka dengan ramalan cuaca. Setiap kali terdapat risiko banjir berhampiran kawasan tempat tinggal anda, mula bertindak dengan mengumpulkan barang berharga di tempat yang mudah dicapai jika anda dikehendaki meninggalkan rumah.

Anda mesti memahami di bahagian mana dan apa yang boleh menyebabkan rumah anda tidak mampu untuk menghadapi banjir. Kemudian selenggara rumah anda dan kerap melakukan pemeriksaan terutama di bahagian paling lemah pada struktur rumah anda.

* Sistem saliran

Periksa sistem saliran di luar rumah anda. Pastikan sistem air bawah tanah di kediaman anda tidak memerangkap tanah ke dalam saluran. Jika kediaman anda terletak di kawasan aliran air hujan yang menghala ke arah rumah, bina sistem saliran yang boleh mengalirkan air hujan supaya menjauhi kawasan rumah anda.

Periksa jika terdapat retakan atau sumbat pada sistem saliran. Saliran bawah tanah yang tersumbat boleh menyebabkan banjir.

Jika rumah anda terletak di kawasan yang mudah dilanda banjir, tembok penghalang banjir dapat menyokong menghalang air banjir daripada masuk ke dalam rumah.

Pasang pengadang kalis air pada tapak rumah. Pengadang bergetah dapat membantu menyalurkan air menjauhi tapak rumah melalui saliran berpelapik jubin di sekeliling rumah anda.

* Elektrik

Pemanas air, relau dan panel elektrik perlu diletak di tempat yang lebih tinggi. Tinggikan soket elektrik sekurang-kurangnya 1.5 meter dari lantai.

Potong perkhidmatan bekalan elektrik pada pemutus arus jika sistem elektrik dan saluran keluar berkemungkinan berada di bawah paras air.

* Rumah

Guna jubin seramik untuk lantai, ambal juga lebih baik daripada permaidani kerana lebih mudah dibersihkan. Simen kapur pada dinding berbanding simen gipsum. Gantikan pintu kayu dan bingkai cermin dengan bahan jenis UPVC yang difabrikasi.

Tanam lebih banyak tumbuhan hijau dan pokok di kawasan rumah anda untuk membantu menghalang hakisan tanah. Hakisan menyumbang kepada banjir dan degredasi sisa di sekitar rumah anda.

Walaupun menaikkan rumah lebih tinggi dari aras paras banjir memerlukan kos yang tinggi, kaedah ini adalah antara kaedah yang paling berkesan untuk melindungi rumah anda, lebih-lebih lagi jika anda tinggal di kawasan zon banjir.

Sumber: Konsumer Kini