#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, November 22, 2009

Darah tidak sampai

Oleh DR NIZAR ABDUL JALIL
(Pakar Bius dan Kesakitan Kronik, Hospital Universiti Sains Malaysia)


ANDA mungkin tahu mengenai sakit jantung iskemia atau yang dikenali sebagai penyakit jantung koronari. Iskemia adalah keadaan di mana tisu mengalami kekurangan bekalan oksigen akibat aliran darah tersumbat. Ini menyebabkan sel atau tisu badan tidak mampu melakukan metabolisme asas untuk terus hidup.

Pengumpulan toksik akan berlaku dan ini memberi gejala sakit yang kuat pada anggota terbabit. Jika dibiarkan, sel dan tisu ini menjadi mati dan tidak dapat diselamatkan.

Namun tahukah anda, keadaan iskemia ini juga boleh berlaku pada organ dan anggota lain, contohnya pada kaki. Puncanya sama; iaitu bekalan darah tidak sampai ke kaki.

Ada beberapa keadaan yang boleh menyebabkan salur darah tersumbat, contohnya penyakit Burger’s dan Kawasaki, plak arterosklerosis pada saluran darah atau ketulan darah beku halus (embolisme) yang tersumbat pada salur darah yang kecil.

Penyakit iskemia yang membabitkan kaki menyebabkan pesakit berasa sangat sakit. Selain itu kulit kaki kebiruan, sejuk dan beransur-ansur menjadi gelap.

Hujung kaki bengkak dan sangat sakit bila dipicit. Denyutan urat nadi pada kaki hilang jika dibanding dengan sebelah kaki yang normal.

Kesakitannya luar biasa dan tidak dapat dikawal dengan ubat makan atau suntikan biasa. Keadaan ini sangat kritikal kerana jika lambat dirawat, sel dan tisu kaki mati dan bertukar menjadi hitam (gangren).

Akibatnya kaki terpaksa dipotong. Mungkin ramai tidak tahu, ada rawatan pilihan lain yang mampu menyelamatkan kaki pesakit iaitu Simpatektomi Lumbar.

Simpatektomi Lumbar adalah satu suntikan khusus pada saraf simpatetik yang terletak pada sisi tulang belakang anda. Fungsi saraf simpatetik ialah mengawal kaliber saluran darah dan berperanan dalam transmisi rasa sakit.

Prosedur bertujuan melumpuhkan saraf itu dan kesannya ialah kaliber salur nadi akan bertambah, saluran darah mengembang dan mampu menambah bekalan darah dan oksigen yang sebelum itu terjejas.

Kesakitan hilang serta merta dan kulit kaki kembali menjadi panas kemerahan. Kaedah ini banyak dilakukan pakar kesakitan kronik di negara maju dalam merawat pesakit yang mengalami kesakitan kronik pada kaki.

Malangnya di Malaysia doktor yang tahu dan mahir dalam teknik rawatan ini sangat sedikit. Kini teknik rawatan ini ada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di bawah seliaan perkhidmatan Unit Rawatan Kesakitan Kronik.

Sejak diperkenalkan, banyak kaki pesakit yang mengalami kesakitan kaki iskemia berjaya diselamatkan daripada dipotong.

Bayangkan betapa gembiranya pesakit jika kaki mereka dapat diselamatkan kerana harga kaki anugerah tuhan ini terlalu tinggi dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Bagaimanapun, rawatan ini perlu dilakukan dengan segera kerana jika terlewat, kaki menjadi mati dan teknik ini mungkin tidak lagi berkesan.

Prosedur Simpatektomi Lumbar dilakukan oleh pakar rawatan kesakitan kronik dengan menggunakan jarum dan mesin radiofrekuensi khas. Suntikan ini dilakukan di dalam bilik pembedahan di bawah panduan sinar X.

Suntikan dilakukan pada belakang pesakit. Jarum yang panjang berkenaan diarah pada lokasi saraf simpatetik yang berada pada sisi tulang belakang.

Kemudian aliran elektrik berfrekuensi tinggi dialirkan melalui jarum untuk ‘melumpuhkan’ saraf simpatetik. Ketika prosedur ini, pesakit dalam keadaan sedar tetapi tidak perlu risau kerana ia dilakukan dengan kaedah dan di tempat selamat. Ubat bius setempat diberi untuk mengurangkan rasa sakit.

Selain sakit kaki iskemia, prosedur Simpatektomi Lumbar selalu digunakan dalam merawat beberapa gejala penyakit kronik pada kaki seperti Sindrom Kesakitan Serantau Kompleks (CRPS), jangkitan Herpes zoster (kayap) dan iskemia atau ulser kaki akibat komplikasi kencing manis.

CRPS ialah sejenis kesakitan kronik disebabkan saraf simpatetik teruja yang boleh berlaku susulan daripada kecederaan lampau seperti pembedahan atau luka. Malah, teknik ini berjaya merawat ramai pesakit yang mengalami gejala ‘aneh’ pada kaki mereka.

Aneh kerana kesakitan dibawa oleh saraf simpatetik mempunyai gejala pelik seperti rasa sejuk, panas, tusukan jarum, bengkak, semut-semut atau gejala yang tidak dapat diberi justifikasi standard oleh doktor yang merawat.

Di HUSM, ramai pesakit yang mempunyai gejala pelik seperti di atas sembuh selepas diberi suntikan Simpatektomi Lumbar.

Elak perut berangin

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my


SELEPAS makan tengah hari, walaupun hanya sedikit makanan dijamah, perut rasa kembung dan tidak selesa. Pinggang skirt atau seluar terasa mencengkam sehingga ada kalanya kancing terpaksa dibuka supaya perut tidak terus terseksa.

Ini antara gejala yang biasa dialami akibat masalah banyak angin dalam saluran sistem pencernaan atau usus. Biasanya perut lebih lega jika angin dapat dikeluarkan sama ada melalui sendawa atau kentut.

Bagi kebanyakan masyarakat, sendawa di depan orang masih boleh diterima tetapi individu itu dianggap kurang sopan jika ‘terlepas angin’.

Bukan saja orang sekeliling berasa kurang senang tetapi individu itu sendiri turut malu dan mungkin menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat!

Isu angin atau gas ini adalah isu semua orang, jadi tiada apa perlu dimalukan. Dianggarkan tujuh atau lapan daripada 10 orang ada masalah ini.

Secara purata kita menghasilkan antara 0.5 hingga dua liter gas di dalam sistem pencernaan setiap hari. Gas ini membabitkan beberapa jenis iaitu oksigen, karbon dioksida, nitrogen, hidrogen sulfida, ammonia dan metana.

Oksigen, karbon dioksida dan nitrogen yang masuk ke dalam sistem pencernaan melalui mulut (ketika kita menelan) adalah komponen paling besar.

Gas ini tidak berbau tetapi bau kentut yang busuk disebabkan kehadiran gas surih seperti hidrogen sulfida yang terhasil apabila makanan di dalam usus mengalami proses pereputan.

Sendawa dan kentut adalah dua fungsi badan yang penting untuk mengeluarkan gas ini, namun kebanyakan gas dikeluarkan melalui kentut. Yang membezakan ialah ada orang kentut lebih kerap.

Kentut antara enam hingga 20 kali sehari adalah normal. Malah ada laporan mengatakan kekerapan kentut sehingga 25 kali sehari juga perkara normal walaupun ia mungkin mendatangkan rasa kurang selesa.

Menurut Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Gan Ing Earn, jika gas ini tidak dikeluarkan, ia menyebabkan seseorang mengalami masalah kembung dan tidak selesa. Keadaan ini boleh menjejaskan daya tumpuan, prestasi kerja dan kualiti hidup.

“Gas yang terkumpul dalam perut dan usus dikeluarkan secara berperingkat sepanjang hari. Biasanya ia tidak menimbulkan masalah tetapi bagi individu yang sensitif, pengumpulan gas ini menyebabkan ketidakselesaan.

“Ini sebabnya mereka berasa kembung, terutama selepas makan, walaupun hanya makan sikit. Ia masalah biasa dialami hampir kebanyakan orang, terutama wanita.

“Selain itu orang tua, pesakit kencing manis atau pengambilan ubat yang boleh memperlahankan aktiviti usus juga kerap mengalami masalah ini,” katanya.

Menurutnya, gas dalam usus datang daripada dua sumber utama iaitu udara yang ditelan dan makanan. Setiap kali kita menelan, sedikit gas masuk ke dalam perut dan berpindah ke usus kecil di mana sebahagian daripadanya diserap.

Baki gas yang tidak diserap akan masuk ke dalam usus besar (kolon) dan dikeluarkan melalui dubur (rektum). Namun bagi sesetengah orang, angin yang masuk ke dalam perut tidak berpindah ke usus kecil atau besar, sebaliknya dikeluarkan melalui mulut (sendawa).

Biasanya masalah kembung atau sakit perut lebih terasa pada waktu tengah hari, terutama selepas makan, kerana makanan berlemak juga sebenarnya boleh merangsang kepada pengumpulan gas di dalam perut.

Ini kerana lemak memperlahankan proses pengosongan perut dan membenarkan lebih banyak gas terkumpul, menyebabkan seseorang berasa kembung dan tidak selesa.

Punca

Banyak faktor boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah angin berlebihan, antaranya:

  • Tekanan — Individu yang tertekan biasanya menelan lebih banyak angin

  • Kerap mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula yang keras

  • Merokok

  • Makan atau minum terlalu cepat dan makanan ditelan sebelum ia lumat. Apabila kita makan terlalu cepat, kita tidak sedar menelan lebih banyak udara dan menyebabkan masalah sedia ada bertambah buruk

  • Gigi palsu tidak dipasang dengan baik juga menyebabkan seseorang itu menelan lebih banyak udara

  • Minum minuman berkarbonat. Kandungan karbon dioksida dalam minuman ini menghasilkan lebih banyak gas apabila ia menjadi hangat di dalam perut

  • Ia juga boleh disebabkan keradangan pada lapisan dalam perut atau gastritis. Banyak perkara boleh menyebabkan gastritis dan antara paling lazim ialah jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori). Apabila bakteria ini masuk ke dalam perut, ia menyebabkan masalah kembung yang berpanjangan

  • Makan makanan yang banyak lemak kerana lemak mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan memberi peluang banyak gas terkumpul dalam perut

  • Pemecahan makanan yang tidak tercerna — Bukan semua makanan diserap oleh badan. Sesetengah jenis karbohidrat, contohnya gula, kanji dan serat di dalam usus tidak dapat diserap akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Jadi makanan yang tidak diserap badan berpindah dari usus kecil ke usus besar di mana bakteria baik memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen, karbon dioksida dan metana pada sesetengah orang. Semua gas ini akhirnya keluar melalui dubur

    Gejala

  • Kerap buang angin — Secara purata kita buang angin kira-kira 10 kali sehari. Namun kekerapan ini boleh bertukar antara enam hingga 20 kali sehari. Jika lebih daripada itu, ia dikira keterlaluan

  • Kerap sendawa — Sendawa selepas makan adalah perkara normal dan gas dikeluarkan apabila perut penuh berisi makanan. Bagaimanapun jika kerap sendawa, ia mungkin disebabkan seseorang itu menelan terlalu banyak udara dan melepaskan udara berkenaan sebelum ia sampai ke perut. Sesetengah orang sengaja menelan udara untuk membuat mereka sendawa bagi melegakan ketidakselesaan perut. Kajian menunjukkan tindakan ini tidak memberi kelegaan, sebaliknya ia hanya menambah kandungan udara dalam perut. Malah menurut Dr Gan, ini bukan tabiat baik kerana ia boleh merangsang berlakunya masalah asid refluks iaitu aliran songsang asid dalam perut ke dalam salur makanan kerana asid gastrik di dalam perut tertolak ke atas ketika individu berkenaan cuba sendawa. Selain itu sendawa yang terlalu kerap mungkin menjadi petanda kepada masalah usus atas seperti ulser peptik atau asid refluks

  • Kembung — Keadaan ini boleh disebabkan oleh kehadiran angin dalam perut dan usus. Ia juga mungkin disebabkan jangkitan bakteria H pylori

  • Sakit perut atau rasa tidak selesa — Ia adalah masalah biasa tetapi kadangkala gejala ini boleh mengelirukan. Pengumpulan gas dalam usus yang menyebabkan kesakitan boleh berlaku di mana-mana sepanjang usus, sama ada di kiri atau kanan. Jika pengumpulan gas berlaku pada bahagian kiri usus, mungkin ditafsir sebagai penyakit jantung dan jika di belah kanan pula, ia menyerupai masalah batu hempedu atau apendiks.

    Adakah masalah gas berlebihan ini satu penyakit?

    Tidak. Ia adalah masalah biasa yang dialami ramai orang dan boleh diatasi dengan melakukan beberapa perubahan seperti pemilihan makanan, cara makan dan bersenam.

    Bagaimanapun jika ketidakselesaan atau kesakitan berlanjutan, Dr Gan menasihatkan untuk berjumpa doktor supaya punca sebenar dapat diketahui.

    Ini kerana jika masalah disebabkan jangkitan bakteria H pylori, ia perlu dirawat segera kerana bakteria yang mampu hidup bertahun-tahun lamanya pada persekitaran berasid di dalam perut boleh menyebabkan ulser perut dan duodenum iaitu bahagian pertama usus kecil.

    Ia memberi lebih banyak masalah kerana individu itu boleh alami masalah sakit perut (pada bahagian atas), ketidakhadaman, kembung, pendarahan dalam perut akibat ulser dan berak berdarah (najis berdarah atau berwarna hitam yang menandakan kehadiran darah).

    Berlebihan gas dalam usus juga mungkin menandakan beberapa keadaan lain seperti usus anda tidak aktif, ada masalah sistem perkumuhan atau usus mengandungi banyak bakteria yang menghasilkan banyak gas.

    “Rawatan untuk masalah banyak angin atau gas sangat mudah. Anda boleh beli ubat perangsang aktiviti usus di farmasi. Ia memudahkan pengeluaran gas daripada usus. Selain itu anda perlu lebih teliti ketika memilih makanan supaya masalah tidak bertambah teruk.

    “Jika masalah berlarutan, jumpa doktor kerana ia mungkin disebabkan jangkitan H pylori. Jangkitan bakteria ini boleh dirawat dengan pengambilan ubat antibiotik selama dua minggu. Jangan biarkan masalah ini terus mengganggu hidup anda,” katanya.

    Makanan

    Antara makanan yang boleh menggalakkan penghasilan gas dalam usus ialah:

  • Bunga kubis

  • Kekacang

  • Kubis

  • Kubis Brussels

  • Brokoli

  • Bran

  • Kebanyakan makanan berkanji (kentang, jagung, bihun, gandum). Beras adalah makanan berkanji yang tidak menyebabkan penghasilan gas

  • Bawang

  • Makanan bergoreng dan banyak lemak

  • Serat (kebanyakan orang beralih kepada pemakanan sihat dengan menambah pengambilan serat. Namun masalah gas berlebihan boleh berlaku jika mengambil terlalu banyak serat sama ada daripada bijirin (oat, bran atau gandum), roti mil penuh, buah-buahan atau sayur-sayuran. Pada peringkat awal, pengambilan serat yang banyak akan menyebabkan rasa kembung tetapi masalah ini akan hilang perlahan-lahan dalam masa beberapa minggu. Bagaimanapun, ada juga yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan penambahan serat dalam diet mereka. Untuk mengelak masalah ini, anda perlu minum lebih banyak air supaya serat tidak terkumpul dalam usus. Serat boleh menyerap air dan mengembang beberapa kali ganda daripada saiz asal. Jika anda minum air secukupnya, serat ini menjadi lembut dan mudah dikeluarkan daripada usus

  • Susu dan produk tenusu — Antara punca lazim menyebabkan seseorang mengalami masalah kembung dan banyak angin ialah kekurangan enzim laktase yang bertanggungjawab mencernakan gula laktosa dalam susu dan produk tenusu.

    Ketiadaan enzim laktase menyebabkan laktosa yang tidak dicerna dipindahkan terus ke dalam usus besar dan melalui proses penapaian akibat tindakan bakteria. Dalam proses inilah banyak gas terhasil.

  • Buah-buahan dan pemanis makanan — Makanan manis mengandungi gula fruktosa juga boleh menyebabkan penghasilan gas berlebihan dalam usus. Usus kecil kita hanya boleh menyerap fruktosa pada jumlah tertentu dan selebihnya masuk ke dalam usus besar dan menjalani proses penapaian seperti laktosa. Elak juga pemanis makanan seperti sorbitol kerana ia sukar diserap badan

    Penjagaan di rumah

  • Jumpa doktor gigi, pastikan gigi palsu betul-betul padan dengan gusi

  • Elak mengunyah gula getah atau mengulum gula-gula (terutama gula getah tanpa pemanis atau gula-gula dietetik yang mengandungi sorbitol)

  • Hentikan pengambilan minuman berkarbonat dan kurangkan makanan yang tinggi kandungan sirap fruktosa jagung

  • Elak susu dan produk tenusu seperti keju lembut jika anda ada masalah tidak toleran laktosa. Sebaliknya, cuba susu yang gula laktosanya dipecahkan (rujuk pada label)

  • Kurangkan makan makanan yang banyak menghasilkan gas seperti kubis, bunga kubis, kubis Brussels, brokoli, kacang dan bran. Beli ubat pelega gas daripada farmasi yang boleh membantu memecahkan karbohidrat dalam makanan yang tidak boleh diserap badan

  • Makan perlahan-lahan dan kunyah sehingga lumat sebelum ditelan. Apabila makan terlalu cepat, kita menelan banyak udara

  • Buat diari makanan untuk mengetahui makanan mana yang menyebabkan anda lebih cepat mengalami masalah ini

  • Minum banyak air masak, sekurang-kurangnya satu hingga satu setengah liter sehari

  • Jangan makan terlalu banyak kerana ia juga menyebabkan penghasilan gas berlebihan selain masalah obesiti. Hadkan pengambilan makanan bergoreng dan berlemak

  • Banyakkan bersenam kerana senaman merangsang aktiviti usus supaya makanan yang tidak dihadam boleh dikeluarkan segera daripada badan.
  • Bahaya di sebuah air terjun

    Be careful when playing near waterfalls.You just won't know whether it's raining upstream & by the time the water reaches the waterfall,it'll be too late for you to run to safety.

    Show these photos to our kids or students to avoid this kind of tragedy.

    We do have a no. of these falls in Malaysia and similar tragedies striked so many times despite all the warnings.

    Pictures tell a thousand words.






























    Krim kecantikan jadikan wanita lebih tua





    KYOTO - Penyelidik Jepun mendapati wanita yang memakai produk kosmetik untuk antipenuaan sebenarnya mempercepatkan lagi kulit menjadi tua, lapor sebuah akhbar semalam.

    Penemuan itu hasil kajian saintis di Universiti Perubatan Kyoto Prefectural yang dibiayai oleh sebuah syarikat. Penyelidik menjelaskan, proses penuaan itu diakibatkan oleh bahan-bahan pengawet yang digunakan dalam kosmetik tersebut.

    Mereka malah mendapati secara purata wanita lazim melakukan solekan rutin dengan menggunakan sejumlah 515 bahan kimia sintetik berbeza pada tubuh mereka setiap hari.

    Kebanyakan produk di pasaran didapati berasaskan kepada bahan pembersih kediaman yang boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti alahan dan kulit sensitif.

    Ia juga menyebabkan gangguan hormon, kesuburan dan barah manakala bahan paraben seperti Methylparaben mudah menjadi toksik apabila didedah kepada sinaran matahari.

    Bahan popular ini yang digunakan sebagai pengawet dapat ditemui di dalam lebih 16,000 produk termasuk syampu, gel rambut, losyen badan, pelembap dan ubat gigi. - Agensi

    Sabtu, November 21, 2009

    Cuti sekolah ‘cuci’ anak

    PELBAGAI gejala tidak sihat melanda remaja masa kini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memantau secara optimum pergerakan dan tingkah laku anak mereka sepanjang cuti sekolah ini.

    Anak seharusnya dididik agar menggunakan masa cuti dengan perkara mendatangkan manfaat kepada mereka. Membiarkan mereka berbuat sesuka hati tanpa diberikan panduan dan teguran membina boleh membawa kepada unsur negatif. Ingatlah kepada pesanan Nabi s.a.w yang bermaksud: “Dua nikmat daripada nikmat-nikmat Allah yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah sihat dan masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

    Cuti sekolah boleh dikategorikan sebagai masa lapang buat anak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mesti mempergunakan masa ini sebagai detik berkesan untuk mengasuh minda anak dengan asuhan pendidikan keagamaan dan sosial yang berguna.

    Dalam usaha memberikan asuhan dan pendidikan kepada anak, ibu bapa seharusnya melakukan melalui teladan. Ini kerana anak khususnya pada peringkat sekolah rendah sangat mudah dibentuk dan mereka sering mencontohi golongan dewasa. Misalnya, jika kita hendak membudayakan amalan membaca, maka ibu bapa perlu menunjukkan lebih dulu bahawa mereka berbudaya sedemikian.

    Jangan hanya kita pandai menyuruh anak, tetapi diri kita sebagai ibu bapa tidak pun berbuat demikian. Demikianlah juga dalam aspek larangan. Misalnya, kita bimbang anak akan terjebak dengan amalan kurang sihat seperti merokok. Dalam hal ini ibu bapa, khasnya si ayah tidak boleh sekali-kali merokok. Ini tidak, kita larang anak merokok, tetapi diri kita sebaliknya.

    Jangan sampai dikatakan bagai ketam mengajar anak berjalan betul. Ingatlah, memberi teladan baik itu lebih berkesan dalam mendidik anak berbanding memerintah atau larangan. Kata Thomas Fuller: “Teladan yang baik adalah nasihat yang terbaik.”

    Manakala seorang ahli falsafah Barat, Joseph Joulbert menyatakan: “Anak lebih banyak memerlukan teladan daripada kritikan.” Jadi pada cuti sekolah kali ini, ibu bapa perlu memainkan peranan berkesan dalam menjuruskan hala tuju pembinaan sahsiah anak. Dengan kata lain jangan ambil mudah dan bersikap acuh tak acuh dalam memantau landskap ekologi pencernaan anak.

    Ketahuilah gejala sosial yang tidak pernah surut graf perkembangannya di negara kita kerana ibu bapa mudah melepaskan tanggung jawab mendidik anak kepada pihak lain seperti guru. Berilah kasih sayang tetapi jangan sampai melampaui batas.

    Kita perlu bersikap tegas, tetapi bukan keras. Inilah elemen pemangkin kepada keutuhan penyaluran pendidikan kepada anak. Dalam keluarga yang harmoni, damai, tenteram dan ceria sudah pasti akan membibitkan nilai kasih mengasihi antara ibu bapa dan anak. Anak yang berkembang dan membesar dalam ruang lingkup sedemikian lebih aktif, bermotivasi belajar serta berperibadi unggul.

    Ibu bapa mesti memberikan bimbingan berkesan mendidik anak mengenai akhlak mulia yang sejajar kehendak dan tuntutan agama. Kata orang ‘Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.’ Demikianlah juga dalam membina akhlak murni anak kita. Gerakan pendidikan akhlak itu seawal usia lagi. Insya-Allah berkat kesungguhan kita sebagai ibu bapa dan dengan niat yang ikhlas kerana Allah, pasti anak kita akan menjadi seorang insan soleh dan cemerlang.

    Memetik kata-kata Hassan Al-Bana yang menyentuh peranan wanita atau ibu dalam membangunkan kecemerlangan ummah: “Perempuan (ibu) adalah madrasah pertama yang membentuk dan memformatkan model generasi, bagaimana cara pengarahan yang diterima seorang anak itulah yang menentukan perjalanan bangsa dan umat. Lebih daripada itu, perempuan (ibu) adalah orang pertama yang memberikan sumbangan dalam kehidupan seorang pemuda dan bangsa.”

    Marilah kita renungi betul-betul maksud kata-kata itu agar kesempurnaan anak dapat dijana. Ingatlah selalu peringatan Allah mengenai tanggungjawab kita sebagai ibu bapa supaya anak tidak menjadi beban kepada kita di akhirat nanti.

    Firman Allah dalam Surah At-Tahrin ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang- orang yang beriman, jagalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.” Jelas di sini Allah memerintahkan bukan saja memelihara diri kita sendiri daripada kemurkaan Allah, tetapi peringatan Allah itu merangkumi ahli keluarga kita.

    Justeru, wahai ibu bapa, jangan abaikan tanggungjawab mendidik anak dengan asuhan agama dan adab budaya yang murni. Sinarilah anak kita dengan siraman iman yang kukuh, bajailah mereka dengan takwa yang padu dan warnailah mereka dengan nilai akal budi yang luhur. Insya-Allah anak kita akan cemerlang di dunia dan mendapat kebahagiaan di akhirat. Semuanya bergantung kepada peranan kita sebagai ibu bapa yang mencorakkannya.

    Dengan didikan sempurna daripada ibu bapa terhadap anak dapatlah diibaratkan ‘keluarga itu sebagai inti peradaban bangsa’. Akhirnya, mari kita hayati pesanan Imam Al-Ghazali: “Kuat dan jayanya sesuatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka akan binasalah umat itu.” Oleh itu, pembinaan umat berakhlak tinggi seharusnya bermula di rumah dan ibu bapalah pembinanya.

    Penulis ialah seorang guru
    Sumber : Harian Metro/Minda

    Diabetes tandingi kanser

    OBESITI antara masalah utama 285 juta penghidap diabetes di seluruh dunia kini.

    SEJENIS ubat tradisional berasaskan herba dikhabarkan begitu mujarab bagi menyembuhkan penyakit kencing manis atau diabetes.

    Begitu juga dengan rawatan terapi khas yang mengiringi pengambilan ubat-ubatan tersebut.

    Semua pernyataan di atas adalah suatu pembohongan!

    Rekod klinikal membuktikan apabila seseorang menghidap diabetes, dia akan hidup bersama penyakit itu sehingga akhir hayatnya.

    “Diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya. Ubat-ubatan fungsinya hanya untuk mengawal.

    “Oleh itu, usah percaya kepada sebarang ubat-ubatan yang dikatakan mampu ‘menyembuhkan’ diabetes sedangkan pesakit terus terikat untuk membeli bekalan ubat tersebut,” kata Konsultan Endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.

    Tambah beliau, bagaimana penghidap itu dapat menjalani kehidupan normal walaupun ‘membawa’ penyakit tersebut sepanjang hayat bergantung kepada usaha mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan di samping memperbaiki gaya hidup.

    Jumlah penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan kenaikan yang membimbangkan.

    Pada tahun 1996, sebanyak 6.5 peratus rakyat Malaysia di kalangan usia lebih daripada 30 tahun didiagnosis dengan penyakit tersebut dan meningkat kepada 9.5 peratus pada tahun 2006.

    “Kebimbangan ini seiring dengan risiko penyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, angin ahmar dan strok.

    “Pada tahun 2006 saja, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes.

    “Jumlah itu lebih tinggi berbanding mereka yang menghidap kanser atau AIDS,” terang Mafauzy kepada Jurnal.



    Gemuk di pinggang

    Ramai antara kita yang tidak sedar mengenai kecenderungan kumpulan tertentu dalam masyarakat yang berisiko tinggi mendapat diabetes.

    Berita buruk ini bukan saja menakutkan mereka yang berusia di antara 40 hingga 50 tahun, bahkan menghantui wanita yang dalam fasa kehamilan, orang yang hipertensi, berpenyakit vaskular, dislipidaemia, serta mereka yang menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).

    “Masalah kegemukan yang mencapai tahap obesiti juga membawa masalah lebih-lebih lagi jenis obesiti tengah iaitu kegemukan di bahagian perut dan pinggang.

    “Kegemukan inilah yang menjadi punca utama rintangan insulin,” jelas Mafauzy.

    Selain itu, faktor genetik sangat ketara dalam membentuk kemungkinan penghidapnya.

    Mereka yang mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga perlu berwaspada dengan kemungkinan tersebut memandangkan masalah itu boleh diwarisi.

    “Jika bercakap tentang pecahan mengikut kaum, orang India mempunyai kecenderungan tertinggi bagi penyakit ini, diikuti oleh orang Melayu dan Cina.

    “Statistik 2006 juga mencatatkan bahawa Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai laporan kes diabetes paling banyak, sementara penduduk Sabah adalah yang terendah mendapat diabetes,” ulas beliau yang mengaitkan trend perangkaan itu dari sudut populasi kaum, gaya hidup berasaskan kuasa ekonomi serta corak pemakanan.

    Mesej yang hendak disampaikan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia semalam adalah penyakit ini perlu dicegah dan dikesan lebih awal supaya apabila sudah didiagnosis, ia perlu diuruskan secara lebih agresif.

    Setiap tindakan awal boleh menghindar rentetan masalah kesihatan yang lebih buruk.

    “Bagi pesakit diabetes Jenis 2, komplikasi miksovaskular sudah boleh dikesan semasa diagnosis.

    “Ini termasuklah keseriusan masalah berkaitan deria penglihatan atau retinopati (12 peratus), nefropati (18 peratus), disfungsi erektil (20 peratus) dan neuropati (12 peratus),” kata Mafauzy.

    Disiplin

    Maka, langkah mencegah yang pertama adalah dengan meningkatkan kepekaan terhadap faktor-faktor risiko iaitu melalui pemeriksaan.

    Jika diabetes dikesan, keberkesanan penjagaan diet ideal dan senaman fizikal perlu dipertingkatkan agar berat badan dapat dikurangkan.


    KEGEMUKAN menjadi punca utama rintangan insulin.


    Pesakit juga perlu berdisiplin dengan senaman yang dijalankan. Ujian klinikal dan kecergasan mengesyorkan senaman minimum adalah dengan berjalan kaki selama 30 minit sebanyak tiga kali seminggu.

    Sementara itu, pengambilan ubat-ubatan hanya boleh dimulakan sekiranya perubahan gaya hidup tadi tidak menunjukkan sebarang impak positif selepas enam bulan.

    Sehingga kini dianggarkan lebih 285 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes. Sebanyak 344 juta lagi tergolong dalam kategori mereka yang berisiko tinggi menghidapnya.

    Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 25 peratus rakyatnya akan menghidap diabetes menjelang tahun 2020.

    Apakah kita masih tidak mengambil peduli untuk mengubah anggaran tersebut, atau sekurang-kurangnya berubah demi kebaikan diri sendiri?

    Derita talasemia

    Oleh Ridzuan Ahmad
    am@hmetro.com.my


    POKOK SENA: “Anak saya bukan saja memerlukan bantuan bekalan darah sepanjang hayat, malah perlu memakai sebuah mesin di perutnya untuk memasukkan ubat bagi membuang zat besi di dalam badannya,” kata Maizura Mat Rozi, 30, ibu kepada Nurul Izzati Abdul Rahim, 4, yang menderita penyakit talasemia sejak berusia setahun.

    Menurutnya, anak bongsu daripada empat adik beradik itu mula dikesan menghidap penyakit itu selepas pembesarannya terbantut ketika berusia enam bulan selain badannya kekuningan dan tekanan darahnya rendah.

    Katanya, selepas itu dia perlu membawa anaknya berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setiap minggu bagi menjalani rawatan intensif termasuk menerima darah untuk merawat penyakitnya.

    “Hospital dah menjadi seperti rumah kedua kami kerana anak saya perlu menjalani rawatan daripada pakar. Sekiranya bekalan darah tidak mencukupi, kami terpaksa membawa penderma darah sendiri bagi menampung keperluan darah anak saya.

    “Anak saya memiliki darah jenis A+ dan kadang-kadang darah penderma itu tidak sesuai dengan darahnya,” katanya.

    Maizura berkata, setiap tiga kali seminggu, anaknya perlu memakai mesin di bahagian perut selama sembilan jam sehari untuk merawat penyakit berkenaan bagi mengelakkan kesan lebih teruk termasuk hati dan limpa bengkak sehingga boleh memudaratkan kesihatannya

    Katanya, walaupun mengalami pelbagai simptom penyakit, Nurul Izati tetap aktif seperti kanak-kanak lain seolah-olah dia tidak menghidap sebarang
    penyakit.

    “Anak sulung dan kedua saya dikesan sebagai pembawa penyakit ini. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan kami akan terus berusaha untuk merawat penyakit ini.

    “Setiap bulan kami membelanjakan hampir RM500 untuk membiayai kos rawatan termasuk kos untuk berulang alik ke HSB,” katanya yang turut menjadi ahli Persatuan Talasemia Kedah.

    katanya, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu perangkaan (sementara) semata-mata untuk menjaga anaknya yang memerlukan penjagaan rapi setiap hari.

    Buang sial kukuh cinta

    Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
    anbia@hmetro.com.my


    BANTING: Hanya kerana mahu membuktikan cintanya, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun sanggup lari dari rumahnya di Melaka semata-mata untuk mengikut kekasihnya menjalani rawatan tradisional yang didakwa mampu membuang sial dalam percintaan sebelum diperdaya dan diperkosa, Selasa lalu.

    Difahamkan, kekasih mangsa yang juga warga Indonesia berusia 31 tahun bijak merayu mangsa mengikutnya menjalani upacara berubat istimewa berkenaan yang diadakan di sebuah pulau.

    Namun upacara membuang sial terbabit sebaliknya bertukar upacara korban nafsu apabila mangsa yang masih bersekolah dirogol dua kali oleh kekasihnya itu.

    Ketua Polis Kuala Langat, Superintendan Mohammad Radzi Ishak, berkata kejadian dialami remaja perempuan berkenaan bermula selepas mangsa dibawa teman lelakinya itu ke Pulau Carey di sini.

    “Sebelum itu, mangsa dipujuk berulang kali oleh teman lelakinya itu sehingga sanggup lari dari rumahnya di Melaka. Mereka datang ke negeri ini menaiki bas ekspres sehari sebelum kejadian berkenaan.

    “Mangsa yang masih mentah dan tidak berfikir panjang bersetuju mengikut pasangannya itu kerana percaya tujuan ‘berubat’ terbabit adalah untuk mengukuhkan ikatan cinta mereka,” katanya.

    Menurutnya, sebaik tiba di rumah berkenaan, mangsa diajak bermalam terlebih dahulu.

    “Suspek memberi alasan mangsa perlu tidur semalaman kerana upacara berubat terbabit hanya akan dilakukan awal pagi keesokan harinya.

    “Malangnya, ketika menginap di rumah itu, mangsa diperkosa dan dijadikan ‘santapan’ nafsu lelaki warga asing terbabit secara paksa,” katanya.

    Beliau berkata, tiada sebarang upacara berubat seperti didakwa suspek akan dilakukan di Pulau Carey terbabit sebaliknya mangsa dijadikan pemuas nafsu lelaki itu.

    “Mangsa yang berasa ditipu meloloskan diri dari rumah berkenaan sebelum meminta pertolongan seorang lelaki tempatan yang ditemui secara kebetulan,” katanya.

    Menurutnya, lelaki terbabit membawa mangsa ke Balai Polis Teluk Panglima Garang di sini untuk membuat laporan.

    “Susulan laporan remaja itu, polis menjalankan gerakan memburu suspek terbabit yang dikesan bersembunyi sejurus menyedari mangsa melarikan diri.

    “Usaha polis lebih 24 jam berhasil apabila suspek diberkas di sebuah ladang berhampiran kira-kira jam 1.30 pagi keesokan harinya,” katanya.

    Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh itu kini direman sehingga Rabu depan selain disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

    “Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami trauma dan kini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

    “Kejadian seumpama ini dapat dielakkan sekiranya ibu bapa memberi perhatian dan memantau aktiviti sosial anak-anak,” katanya.

    Guru berusia hampir separuh abad disyaki cabul murid tahun dua

    GEORGETOWN: “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Itulah yang berlaku apabila seorang guru yang sepatutnya memberi contoh yang baik kepada pelajarnya, sebaliknya mencalit peristiwa hitam apabila sanggup mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berusia lapan tahun.

    Lebih memalukan, guru lelaki berusia 47 tahun itu sanggup bertindak rakus apabila meraba dan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

    Murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di daerah Seberang Prai Selatan (SPS) itu menjadi mangsa cabul dan seks oral guru sekolahnya, Selasa lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tuanku Said, mengesahkan kejadian itu.

    Syak mentua seterika muka anak

    Oleh Mohd Fauzi Abdullah
    fauzie@hmetro.com.my

    KUANTAN: Alasan tidak masuk akal apabila seorang nenek mendakwa cucunya terkena seterika panas di beberapa bahagian badan akibat perbuatan kanak-kanak itu sendiri, sekali gus mengundang curiga menantunya yang juga bapa budak perempuan berusia dua tahun terbabit yang mengesyaki anaknya didera.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, lelaki terbabit yang berada di tempat kerjanya di Indera Mahkota di sini, menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak mereka yang dijaga wanita berusia 49 tahun itu cedera.

    Bapa berusia 32 tahun yang juga seorang mekanik bergegas ke rumah ibu mentuanya di Kampung Tengah di sini, bagi mendapatkan kepastian.

    Namun, setiba di sana, dia terkejut mendapati kecederaan dialami anak sulungnya itu tidak mungkin akibat perbuatan sendiri kerana kesan melecur terdapat pada muka dan kedua-dua tangan.

    Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, anak perempuannya dijaga ibu mentuanya dan mereka tinggal berasingan.

    Dia yang dihubungi semalam berkata, anak sulungnya itu baru enam bulan dijaga ibu mentuanya selepas dia menghadapi krisis rumah tangga dengan isterinya yang berusia 30 tahun.

    “Saya tak boleh terima alasan anak saya terkena seterika selepas dia bermain dengan alat menggosok pakaian itu seperti didakwa emak mentua.

    “Jika benar dia terkena seterika akibat perbuatan sendiri, tak mungkin kecederaan dialaminya membabitkan bahagian muka dan kedua-dua belah tangan.

    “Bukan satu bahagian saja yang kena, tapi banyak bahagian badan lain,” katanya yang tidak puas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu.

    Berikutan itu, katanya dia membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian itu.

    Menurutnya, ini kejadian pertama menimpa anaknya sejak dijaga wanita berkenaan enam bulan lalu.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.

    Katanya, lelaki berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas menghantar anaknya untuk pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

    “Polis sedang menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dilakukan.

    “Jika benar kanak-kanak itu didera, polis akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu,”

    Oren perisa arak

    Oleh Amir Abd Hamid
    amir@hmetro.com.my


    TUNJUK...Subbarow menunjukkan minuman ringan berperisa arak.
    TUNJUK...Subbarow menunjukkan minuman ringan berperisa arak.

    KUALA LUMPUR: Luaran nampak seperti minuman ringan biasa, namun ia sebenarnya minuman berperisa arak yang kini menjadi kegilaan remaja terutama di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

    Mendedahkan perkembangan membimbangkan itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N V Subbarow, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati minuman itu mengandungi alkohol 5.5 peratus.

    Menurutnya, ramuan arak yang ditin dan dibotolkan itu menggunakan pewarna seperti warna oren, epal dan campuran buah tropika bagi menarik perhatian pembeli membelinya dengan harga antara RM5 hingga RM12 sebotol.

    “Ibu bapa terutama mereka yang beragama Islam perlu memberi perhatian serius kerana peratusan alkohol dalam minuman ringan ini melebihi kandungan (alkohol) yang terkandung dalam setin ‘beer’ iaitu 5 peratus saja.

    “Kajian yang dilakukan CAP mendapati lebih 50 peratus murid dan pelajar sekolah kini menyukai minuman ini. Lebih serius ia mudah didapati di pasar raya mini dan kedai serbaneka.

    “Pejabat CAP dihujani panggilan daripada golongan ibu bapa yang risau dengan penjualan minuman ringan itu kerana ada di antaranya mendakwa anak-anak mereka berasa pening lalat selepas meminumnya,” katanya di Balai Berita di sini, semalam.

    Selain itu, pihak CAP turut mendapat aduan daripada pihak sekolah yang mengatakan segelintir murid dan pelajar membawa minuman ini ke sekolah untuk tujuan mengadakan jamuan hari jadi.

    Menurutnya, tinjauan CAP mendapati terdapat lebih 25 jenama minuman ringan berperisa alkohol dijual di pasaran negara ini.

    “Undang-undang negara jelas menyatakan sebarang minuman yang mengandungi alkohol dilarang penjualannya secara terbuka kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah.

    “Tetapi murid dan pelajar sekolah secara biasanya tidak gemar membaca kandungan label dan terus minum sebaik saja membelinya.

    “Justeru, CAP bimbang dengan perkara ini kerana ia tahap permulaan untuk mereka minum arak apabila meningkat dewasa,” katanya.