#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, September 05, 2009

Bekas khas kutip bayi dibuang


SEORANG sukarelawan wanita mendukung seorang bayi yang dibuang di Johannesburg.


JOHANNESBURG - Sebuah rumah kebajikan di sini, Afrika Selatan mempunyai cara tersendiri bagi mengambil bayi yang dibuang oleh ibu bapa yang menghadapi kesan krisis ekonomi, lapor sebuah akhbar semalam.

Lubang yang diperbuat daripada logam itu dikenali sebagai Baby Bin memberi harapan baru kepada keluarga miskin yang berhubung nasib masa depan bayi mereka.

Pengurus pertubuhan kebajikan yang dikenali sebagai Door of Hope, Kate Allen, 34, yang mengurus Baby Bin berkata: "Adalah mengejutkan apabila melihat kesan kemelesetan ekonomi. Terdapat terlalu sedikit golongan kaya yang menawarkan kerja kepada penduduk miskin Afrika Selatan."

Bilangan bayi dibuang di Afrika Selatan kini meningkat daripada lima orang sebulan pada tiga tahun lalu kepada 15 orang setiap bulan.

Kebanyakan bayi itu tidak cukup zat makanan dan dibuang pada waktu malam. - Agensi

Jumaat, September 04, 2009

Manfaat berjalan kaki

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my




Senaman melangkah laju beri kesan kesihatan serta kecantikan

RAMAI wanita yang beranggapan senaman di gimnasium saja sudah memadai untuk mendapatkan badan yang sihat serta cergas. Tanggapan sedemikian menenggelamkan satu lagi amalan senaman yang bukan saja mudah dibuat, tetapi tidak membabitkan sebarang kos.

Inilah keistimewaan aktiviti atau senaman berjalan kaki laju yang memberi lebih banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan berbanding berjalan kaki secara santai.

Ini bukan sekadar andaian, tetapi terbukti menerusi beberapa kajian termasuk kajian di Belanda membabitkan 5,209 responden dalam tempoh 46 tahun. Hasil kajian yang disiarkan Archives of Internal Medicine mendakwa amalan berjalan kaki 30 minit sehari, dapat menambah kira-kira 1.3 tahun kepada hayat seseorang.

Malah, amalan berjalan kaki laju itu mempunyai sembilan manfaat iaitu:

  • Berat badan stabil

Amalan berjalan kaki laju juga meningkatkan metabolisma tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang, lebih banyak lagi kalori akan terbakar apabila metabolisma tubuh meningkat sehingga peningkatan berat badan sukar berlaku.

  • Menurunkan berat badan

    Selain mampu menstabilkan berat badan, mereka yang mengalami pertambahan berat badan disarankan supaya melakukan senaman berjalan kaki laju secara rutin.

  • Risiko elak serangan jantung

    Seperti yang kita semua tahu, otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras supaya ia sentiasa berfungsi dengan normal. Justeru, berjalan kaki laju mempercepatkan aliran darah ke dalam koroner jantung.

    Selain itu, kelenturan pembuluh darah menguncup dan mengembang ketika berjalan laju juga cenderung menyebabkan tekanan darah menjadi lebih rendah selain dapat mengurangkan risiko berlakunya darah beku di pembuluh darah ke jantung.

  • Angin ahmar atau strok

    Walaupun masih tiada bukti kukuh mampu mengaitkan senaman berjalan kaki laju dengan strok namun kajian dilakukan terhadap 70,000 pesakit di Sekolah Kesihatan Awam Harvard, Amerika Syarikat, yang sering berjalan kaki iaitu purata 20 jam seminggu, risiko mereka diserang strok menurun sebanyak 2 daripada 3 kes.

  • Mencegah kencing manis

    Dengan membiasakan berjalan kaki laju sekitar 6 kilometer sejam dipercayai mampu mencegah masalah diabetes Tahap 2 terutama di kalangan individu bertubuh gempal. (Sumber: Institut Diabetes dan Masalah Hati Kebangsaan).

    Gula di dalam darah juga dapat dikawal dengan cara berjalan kaki (brisk walking), justeru ubat tidak diperlukan. Ia bermakna, berjalan kaki laju sama manfaatnya dengan mengambil ubat anti diabetes.

  • Mencegah osteoporosis

    Pergerakan badan yang aktif dan berjalan kaki laju boleh memperkuatkan otot badan serta tulang. Individu yang sering melakukan senaman dan cukup sumber kalsium di dalam badan boleh terhindar daripada ancaman kereputan tulang sehingga usia 70 tahun.

  • Meredakan sakit lutut

    Lebih sepertiga mereka yang lanjut usia di Amerika Syarikat mengalami masalah sakit lutut atau osteoarthiris. Dengan membiasakan diri berjalan laju atau berjalan di dalam kolam renang mampu meredakan masalah itu.

    Bagaimanapun, untuk penghidap osteoarthiris, mereka disarankan melakukan senaman berjalan kaki berselang-seli supaya sendi tidak terjejas.

  • Tekanan

    Pergerakan badan terjadi ketika berjalan kaki laju juga sebenarnya dapat membantu pesakit yang mengalami tekanan perasaan. Berjalan kaki laju dapat menggantikan ubat anti tekanan yang harus diambil secara rutin. Kajian terhadap kaitan antara masalah tekanan perasaan dan berjalan kaki sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.

  • Kanser

    Pembunuh nombor satu ini dikatakan mampu dijauhkan jika anda rajin berjalan kaki, setidak-tidaknya kanser usus besar. Seperti yang anda semua maklum, pergerakan badan membantu melancarkan penghadaman usus. Kajian juga ada menyebut mengenai peranan berjalan kaki di dalam mengurangkan risiko terkena kanser payudara.

    Tip jalan laju

  • Pilih kasut yang dapat lindungi dan jadikan kaki selesa

  • Lokasi sesuai seperti tempat atau padang rata

  • Langkah betul - Buat langkah sebesar mungkin bagi pergerakan lebih laju

  • Gerakkan lengan ketika berjalan

  • Sematkan dalam minda yang anda sedang mengejar sesuatu

  • Tingkatkan kelajuan langkah serta tempoh senaman
  • 10 tip menjadi pasangan yang baik


    * Rujukan: \www.sekolahorangtua.com\
    www.f-buzz.com


    KURANG berkomunikasi, cemburu dan sikap tidak peduli menjadi antara sebab utama pasangan sering bertelingkah dan bermasam muka.

    Sudah tentu kebahagiaan tanpa sebarang pertelingkahan yang serius diidamkan setiap pasangan dan perpisahan adalah sesuatu yang patut dielakkan.

    Kadangkala individu tidak mempedulikan kekurangan diri dan tidak berusaha untuk mengubah diri demi memenuhi kepentingan perhubungan dan percintaan.

    Tidak perlu menyalahkan pasangan jika berlaku sebarang salah faham. Sebaliknya, cuba perbaiki diri agar tidak menyumbang kepada pertelagahan.

    Minggu ini, Pesona berkongsi 10 tip bagaimana menjadi pasangan yang baik sekali gus memperbaiki hubungan rumah tangga atau percintaan.

    1)Terima seadanya: Jangan cuba untuk mengubah pasangan mengikut kemahuan anda. Ingat, pasangan yang anda kahwini atau cintai itu adalah pilihan anda sendiri. Jangan terlalu dambakan kesempurnaan. Terima segala kekurangan kerana tiada manusia yang sempurna. Cuba fikirkan kebaikan pasangan daripada terus memikirkan kekurangan dan keburukannya.

    2)Berkomunikasi secara terbuka: Jangan selalu membuat andaian mengenai perasaan pasangan anda. Adalah lebih baik mengajak pasangan untuk berbincang secara terbuka mengenai segala hal. Belajar untuk mengekspresi perasaan dengan cara terbaik supaya pasangan memahami anda ketika anda marah, terluka, tersinggung atau gembira. Ucaplah kata sayang sekerap yang mungkin walaupun kadangkala ia dianggap keterlaluan. Tetapi itulah yang mahu didengar oleh pasangan. Sikap mendiamkan diri adalah sesuatu yang patut dielakkan.

    3)Aktiviti bersama: Aktiviti bersama mampu merapatkan perhubungan. Carilah sesuatu yang boleh dilakukan bersama. Misalnya, menonton video di rumah atau menonton wayang seperti waktu bercinta dahulu. Anda perlu berhati-hati jika anda lebih gemar untuk bersama rakan-rakan melebihi pasangan anda. Ini kerana itu adalah petanda yang tidak baik.

    4)Tunjukkan cinta anda: Setelah berumah tangga, ramai yang kurang mengambil perhatian mengenai perihal hati pasangan. Ramai yang berkata 'sudah kahwin untuk apa romantik lagi'. Itu adalah tanggapan yang salah. Rasa cinta dan sayang tidak ada salahnya jika diluahkan dengan sejambak bunga buat isteri atau makan malam romantis untuk suami. Menunjukkan rasa cinta secara berterusan kepada pasangan adalah sesuatu yang mampu mengekalkan perhubungan pada tahap yang selesa.

    5)Kawal perasaan: Apabila marah atau ada hal yang mengganggu anda, cubalah bertenang dan bertanya kepada pasangan. Elakkan tuduhan melulu dan meninggikan suara kerana ia hanya akan membawa kepada pergaduhan. Pasangan akan menghargai jika anda bertenang dalam menghadapi sebarang situasi.

    6Jangan ungkit kisah lalu: Berhentilah mengungkit masa lalu yang negatif. Tidak ada sesiapa mahu mengingati kesilapan yang mungkin merupakan kenangan pahit atau memalukan. Jangan jadikan kesilapan lalu pasangan sebagai senjata setiap kali berlaku pertengkaran.

    7)Kurangkan rasa cemburu: Setiap individu tidak boleh lari daripada pasangan cemburu. Namun, cemburu yang keterlaluan patut dielakkan kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan dan rasa tidak selesa pada diri sendiri. Hubungan cinta harus dibina atas dasar percaya kepada pasangan.

    8)Jaga komitmen antara satu sama lain: Elakkan membuat janji yang tidak mampu dipenuhi. Jika berlaku, ia akan menyebabkan pasangan kurang menghormati kita. Menjaga kepercayaan merupakan komitmen dalam satu perhubungan yang sihat. Apabila pasangan merasakan anda mula mengabaikan komitmen, maka bersiap sedialah untuk kehilangannya.

    9)Jujur: Jujur adalah perkara yang paling penting dalam perhubungan. Jangan sesekali menipu pasangan kerana ia adalah antara punca utama sebuah perpisahan. Kejujuran yang dimaksudkan adalah kejujuran untuk mengungkap perasaan kita terhadap pasangan. Jika terluka, katakan bahawa anda terluka. Katakanlah dengan tenang tanpa perlu meninggikan suara.

    10)Beri layanan terbaik sepanjang hidup: Layanlah pasangan anda seperti sebelum berkahwin. Jika dahulu jalan berpimpinan tangan, pimpinlah tangan pasangan setelah berkahwin. Ramai pasangan cenderung untuk mengabaikan keakraban perhubungan selepas berkahwin kerana lebih tertumpu kepada keperluan keluarga atau anak-anak.

    - JULIA ISMAIL

    Sumber : KOSMO

    Ibu tinggal bayi pada pelajar perempuan

    ARKIB : 01/09/2009
    Sumber : Utusan Malaysia
    01/09/2009 4:40pm

    KUANTAN 1 Sept. — Seorang pelajar perempuan tergamam apabila didatangi seorang wanita yang memintanya menjaga seorang bayi berusia beberapa hari di Kampung Sungai Karang Darat di sini, dua hari lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, ACP T. Narenasagaran berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, pelajar berusia 18 tahun berkenaan berada bersendirian di rumah sepupunya sementara menunggu saudaranya itu pulang dari tempat kerja.

    Beliau berkata, pelajar tersebut kemudian didatangi seorang wanita yang mendukung seorang bayi dalam bungkusan kain lampin lalu bertindak meletakkan bayi tersebut di atas tangga rumah itu.

    “Wanita berkenaan kemudian meminta pelajar tersebut menjaga anaknya sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Pelajar terbabit yang tergamam dengan kejadian tersebut hanya membiarkan bayi itu di atas tangga rumah sehingga sepupunya pulang sebelum menghantar bayi berkenaan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, katanya.

    Katanya, polis sedang mengesan ibu bayi terbabit. - Bernama

    Menangani kesedihan ditinggal suami

    ARKIB : 31/08/2009
    Sumber : Utusan Malaysia
    Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

    peserta dikehendaki berbaring, diberi bantal dan selimut, sambil diiringi kata-kata daripada moderator serta diiringi alunan muzik instrumental untuk memberi ketenangan.


    BERCERAI, ditinggalkan, berpisah dan teraniaya sama ada daripada aspek mental ataupun fizikal adalah antara beberapa terma yang amat digeruni wanita yang telah berkahwin.

    Wanita yang berhadapan dengan situasi di atas lazimnya membiarkan diri terus tertekan, dihantui rasa takut dan bersalah yang bercampur baur dalam diri.

    Tidak ramai daripada wanita yang ditinggalkan atau diceraikan mengetahui saluran yang betul untuk merujuk masalah mereka. Apabila perasaan negatif menyelubungi diri, pelbagai tindakan yang tidak masuk akal boleh terjadi.

    Bagi wanita yang pernah berhadapan dengan situasi penceraian atau salah satu yang disebutkan di atas, jangan patah semangat kerana ada golongan ingin membantu.

    Baru-baru ini bertempat di Pusat Konvensyen Swan, Pusat Perubatan Sunway, Selangor telah diadakan forum bertajuk 'Memperkasakan Wanita yang Ditinggal' yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Ch'ng Lin Ling serta Ketua Divisi Kesihatan Siemens Malaysia, Micheal Schmermer sebagai penaja forum.

    Forum dua hari tersebut disertai oleh 30 wanita yang telah ditinggalkan. Forum yang lebih berbentuk kepada bengkel ini diketuai oleh Perunding Psikologi Klinikal Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan.

    Beliau yang juga merupakan pensyarah psikologi di Monash University, Sunway, berkata, wanita yang hadir dalam bengkel ini datang dari pelbagai latar belakang dan sejarah hidup.

    Meluahkan

    "Dalam bengkel tersebut masing-masing akan meluahkan fasa kesedihan dan kesakitan yang telah mereka lalui dan saya akan memberikan panduan untuk mengatasinya.

    "Bukan itu sahaja, mereka turut diberitahu cara-cara untuk mengatasi kesunyian setelah ditinggalkan pasangan masing-masing," jelasnya yang pernah memberi rundingan kepada lebih 5,000 individu yang berhadapan dengan masalah kekeluargaan.

    Menurut Paul, paling penting bagi wanita yang berhadapan situasi sebegini ialah kekuatan yang datang dalam diri mereka sendiri.

    Antara jenis rawatan yang boleh diberikan kepada mereka ialah stimulasi dan rangsangan yang dilakukan secara individu dan dalam kumpulan.

    Ketika satu sesi meluahkan perasaan, ramai peserta yang menitiskan air mata. Mereka dikehendaki berbaring, diberi bantal dan selimut, sambil diiringi kata-kata daripada moderator serta alunan muzik instrumental dipasang untuk memberi ketenangan kepada peserta.

    Mereka kemudiannya dikehendaki menggunakan satu perkataan bagi menggambarkan keadaan diri mereka ketika itu.

    Peserta kemudiannya dikehendaki berbaris dalam dua barisan dan bergilir-gilir mengambil tempat sambil membacakan emosi yang tercatat pada sekeping kertas yang ditampal pada bahagian depan baju masing-masing.

    Pada forum tersebut, penulis berkesempatan menemuramah tiga peserta yang sudi berkongsi kisah rumah tangga mereka dan perasaan setelah menyertai bengkel memperkasakan wanita yang ditinggalkan.

    Pengakuan eksklusif:

    MASRIAH Abdullah, 54, seorang pekerja di klinik swasta. Ibu kepada lima anak berusia antara 21 hingga 31 tahun ini mengikut suaminya yang melanjutkan pelajaran di England pada tahun 1993.

    "Suami saya seorang yang panas baran. Sepanjang 19 tahun lamanya saya mengalami penganiayaan mental.

    "Satu hari ketika dia hendak mengambil peperiksaan, suami telah menjatuhkan talak ke atas saya. Ketika itu saya merasakan pengorbanan saya sia-sia belaka, dia (suami) mendapat apa yang diingini, saya pula tidak berpeluang meneruskan cita-cita saya dalam bidang perubatan. Situasi tersebut benar-benar mengganggu fikiran dan emosi.

    "Kekecewaan itu masih kekal hingga kini. Bagaimanapun dengan adanya bengkel seperti ini saya dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi dan sedikit demi sedikit mengawal rasa marah dan kecewa yang selama ini membelenggu diri," ujarnya.

    SABRINA Low, 45, ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Berasal dan menetap di Kuala Lumpur. Menurut Sabrina, perkahwinan dia dan suami memang bahagia hinggalah ketika dia hampir melahirkan anak kedua.

    "Perkahwinan saya menjangkau empat tahun namun ketika usia kandungan kedua memasuki lapan bulan, suami membuat pengakuan bahawa dia sudah mempunyai kekasih lain.

    "Saya rasa seperti mahu mati. Dalam masa menunggu untuk bersalin saya tidak mampu menjamah apa-apa makanan pun hinggalah rakan saya membawa saya berjumpa dengan kaunselor. Saya akhirnya bersalin tanpa suami di sisi dan selepas itu saya membawa diri dan anak-anak tinggal bersama ibu bapa.

    "Bagaimanapun, setelah melibatkan diri dalam beberapa bengkel motivasi, barulah saya rasa bersyukur kerana bercerai. Tidak ada gunanya tinggal bersama suami yang kaki judi dan kaki perempuan.

    "Kini kehidupan saya lebih baik dan saya juga telah sembuh daripada luka akibat ditinggalkan suami," ujarnya yang hingga kini masih belum berjumpa pengganti.

    JOANNE Lim, 70, memang kelihatan lebih muda dari usianya. Jika orang mengatakan masalah membuatkan kita tampak lebih berusia dari umur sebenar tapi tidak bagi ibu kepada tiga orang cahaya mata ini. Dia yang berasal dari Pulau Pinang berpisah dengan suami ketika berusia 36 tahun.

    "Saya diceraikan sehari selepas melahirkan anak bongsu. Walaupun sudah bercerai, hati saya berkeras tetap mahukannya, saya akui rasa sayang terhadap suami amat kuat, dalam masa yang sama saya rasakan saya amat bodoh kerana menyayangi orang yang membenci saya.

    "Selepas bercerai, saya mudah jatuh hati kepada mana-mana lelaki yang mendekati saya. Saya ada menerangkan kepada pakar psikologi tentang keadaan tersebut dan mereka mengatakan bahawa saya masih mahukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang suami. Tetapi hingga kini saya masih sendiri kerana belum bertemu dengan yang sesuai.

    "Melibatkan diri dalam bengkel seperti yang dianjurkan pada hari ini amat membantu perasaan sedih yang saya alami. Ia sekali gus membuatkan saya tabah dalam meneruskan kehidupan bersendiri," ujarnya yang telah bercerai selama lebih 30 tahun.

    Wanita berkuasa di dunia

    ARKIB : 30/08/2009
    Sumber : Utusan Malaysia
    Oleh Hafizahril Hamid



    PADA 20 Ogos lepas majalah kewangan terkemuka, Forbes mengeluarkan senarai 100 wanita paling berkuasa di dunia. Menariknya walaupun wanita yang terpilih ini dikatakan sangat berkuasa dan berpengaruh dari 100 mereka yang tersenarai hanya 18 dari mereka terlibat dalam politik. Dari senarai tersebut juga dua wanita yang terpilih merupakan dari golongan bangsawan iaitu Ratu Elizabeth II yang menduduki tempat ke-42 dan Ratu Rania dari Jordan yang berada di kedudukan ke-76. Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama turut tersenarai buat pertama kali pada tahun ini.

    Walaupun Michelle merupakan orang yang paling dekat dengan Presiden AS, Barack Obama, namun beliau hanya mampu berada di tangga ke-40.

    Selebihnya wanita-wanita berkuasa ini menduduki hierarki tertinggi dalam dunia korporat. Keupayaan para wanita ini sememangnya membanggakan walaupun dari segi kedudukan dan pengaruh politik mereka mungkin dilihat agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum Adam. Namun kejayaan mereka mentadbir dan mengurus syarikat-syarikat terkemuka dunia telah membuktikan bahawa tangan yang mengayun buaian turut mampu menggoncang dunia.

    Kesemua wanita ini bertanggung jawab mengawal wang tunai berjumlah AS$26 trilion (RM93 trilion ) di seluruh dunia. Namun begitu kegawatan ekonomi yang melanda dunia turut sama menjejaskan kedudukan wanita yang tersenarai tahun lepas sehingga ada di antara mereka yang disingkirkan dari jawatan yang dipegang. Antara mereka ialah bekas presiden syarikat bermasalah Alcatel Lucent, Patricia Russo dan bekas Presiden Morgan Stanley, Zoe Cruz.

    Menduduki tangga pertama, Canselor Jerman, Angela Merkel kekal wanita paling berkuasa di dunia bagi tahun keempat berturut-turut selepas majalah tersebut menonjolkan peranannya sebagai pemimpin negara ekonomi keempat termaju di dunia. Beliau yang akan berhadapan dengan pilihan raya pada September ini dijangka akan terus mempertahan jawatan itu berikutan keupayaannya memimpin Jerman mengharungi kemelut ekonomi dunia.

    Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hanya menduduki tempat yang ke-36, satu kedudukan yang dilihat agak terkebelakang berbanding jawatan dan pengalaman beliau. Clinton jatuh dari tangga 28 pada tahun lepas semasa beliau hampir memenangi pencalonan Presiden AS bagi Parti Demokratik ke tangga 36 pada tahun ini, meskipun mengetuai Jabatan Negara AS yang paling berpengaruh. Malah ada yang mempertikaikan pemilihan senarai 100 wanita berkuasa ini kerana Hillary sewajarnya menduduki tempat yang lebih baik.

    Antara wanita yang terlibat dalam politik dan menempatkan diri dalam senarai ini ialah Presiden Argentina, Cristina Fernandez yang menduduki tempat ke-11, Presiden Parti Kongres Kebangsaan India, Sonia Gandhi tempat ke-13, Menteri Ekonomi, Kewangan dan Pekerjaan Perancis, Christine Legarde tempat ke-17 dan Presiden Chile yang menduduki tempat ke-22, Michelle Bachelet.

    pemimpin wanita

    Nama-nama lain ialah seperti Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo yang menduduki tempat ke-44, Yulia Tymoshenko yang juga Perdana Menteri Ukraine, tempat ke-47, Presiden Liberia, Ellen Johnson-Sirleaf tempat k- 67, Mary McAleese yang juga Presiden Ireland, Perdana Menteri Iceland, Johanna Sigurdardottir tempat ke-75 dan Perdana Menteri Bangladesh Hasina Wajed yang menduduki tempat ke-79. Satu-satunya pemimpin wanita dari dunia Arab yang tersenarai dan menduduki tempat ke-95 ialah Menteri Ekonomi UAE, Sheikha Lubna Al Qasimi.

    Bagi wanita yang menduduki tempat tertinggi dalam senarai wanita berkuasa dari dunia korporat, tempat kedua dalam senarai ini diungguli oleh Sheila Bair yang juga pengerusi Federal Deposit Insurance Corp. Syarikat ini yang bertanggungjawab menginsurankan bank-bank di AS yang kini masih belum selamat dari kemelut kegawatan ekonomi.

    Wanita seterusnya adalah seorang yang menarik untuk diperkatakan. Beliau merupakan wanita berusia 53 tahun dan dilahirkan di daerah Chennai dalam Tamil Nadu, India. Beliau turut mendapat pendidikan Madras Christian College di Calcutta sebelum melanjutkan pelajaran di

    Yale School of Management. Beliau yang dimaksudkan ialah Indra Krishnamurthy Nooyi atau lebih dikenali sebagai Indra Nooyi yang kini memegang jawatan sebagai

    Ketua Pegawai Eksekutif di PepsiCo, sebuah syarikat terkemuka dunia dalam bidang makanan dan minuman.

    Beliau yang memegang jawatan itu sejak dari 2006 dibayar gaji sebanyak AS$6,230,366 (RM 22.3 juta) setahun. Nooyi sememangnya telah tersenarai antara wanita berkuasa dunia sejak memegang jawatan tertinggi di PepsiCo sejak 2006.

    Cynthia Carroll, Ketua Eksekutif syarikat Anglo American yang juga antara syarikat perlombongan terbesar di dunia menduduki tempat keempat dalam senarai tersebut tahun ini.

    Syarikat tersebut yang mempunyai pegangan besar dalam pelbagai syarikat perlombongan sama ada emas, berlian mahu pun besi dan kuprum seperti DeBeers, MMX Minas-Rio dan AngloGold Ashanti.

    Pengalaman selama 17 tahun dalam bidang perlombongan dan industri minyak dan gas telah menjadikan beliau antara pemimpin yang dihormati dalam industri tersebut.

    Tempat kelima senarai tersebut pula diduduki oleh Ho Ching yang juga ketua eksekutif di syarikat pelaburan Temasek Holdings yang dimiliki oleh kerajaan Singapura. Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

    Beliau pernah mengumumkan untuk berundur dari syarikat yang memiliki aset melebihi AS$100 bilion pada 6 Februari 2009 dan digantikan dengan Charles "Chip" W. Goodyear. Namun pada 21 Julai beliau kekal dengan jawatan tersebut setelah Goodyear berhadapan masalah dengan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

    Dalam memperkatakan tentang kedudukan wanita, sesungguhnya dunia harus mengakui bahawa kedudukan wanita kini semakin baik berbanding zaman sebelumnya. Di Malaysia. bersesuaian dengan peredaran zaman kedudukan wanita juga semakin baik dalam pelbagai bidang sama ada politik mahupun ekonomi dengan menjawat pelbagai jawatan yang satu ketika dimonopoli oleh lelaki.

    Namun begitu kita tidak seharusnya terlalu terikut-ikut dan terpengaruh dengan kehendak Barat yang seboleh-bolehnya mahu kita mengikut rentak mereka dalam semua perkara dari politik mahupun cara kita berpakaian. Kita telah dididik supaya berbangga dengan cara dan acuan kita yang tersendiri. Inilah perkara yang membezakan kita dengan nilai-nilai Asia dan ketimuran yang jauh berbeza dengan mereka di Barat. Janganlah hanya kerana perkara remeh seperti ugutan media Barat dalam isu rotan baru-bari ini kita perlu berasa takut dan terikut-ikut dengan kehendak mereka. Walau apa pun, kedudukan dan peranan wanita di negara ini masih banyak yang perlu dipertingkatkan dan adalah diharapkan supaya satu hari nanti nama wanita Malaysia mampu menjadi pegawai tertinggi syarikat ternama dunia seperti yang dilalui oleh CEO PepsiCo, Indra Noir. Pastinya dengan kedudukan sebegini hebat ia mampu membuka mata seluruh dunia terhadap keupayaan wanita negara ini sekali gus melayakkan mereka menduduki senarai antara wanita berkuasa dunia.

    Orang Eropah berubah wajah kerana makanan

    ARKIB : 02/09/2009
    Sumber : Utusan Malaysia



    Penduduk Eropah yang telah mengubah tabiat pemakanan mereka 5,500 tahun dahulu kerana masalah kekurangan makanan telah menyebabkan muka mereka menjadi pucat sehingga ke hari ini.

    Ahli-ahli saintis percaya, perubahan wajah tersebut berpunca daripada kekurangan makanan ketika mereka berkebun di ladang sehingga menyebabkan kekurangan vitamin D serta menyebabkan perubahan tona warna pada kulit.

    Semasa berkebun di ladang, mereka juga terdedah dengan pancaran sinaran matahari menyebabkan kulit bertambah gelap. Faktor makanan yang tidak betul dan kekurangan zat menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.

    Ahli-ahli sains di Universiti di Oslo percaya bahawa perubahan dalam cara pemakanan yang betul dengan cara lebih mementing makanan yang kaya dengan vitamin D akan menjadikan kulit seseorang itu semakin cerah dan mempunyai tona muka lebih sekata.

    Penyelidikan telah membuktikan susu dan beberapa makanan lain seperti ikan berlemak adalah diperkuatkan dengan vitamin D tetapi kebanyakan orang mendapat sangat sedikit melalui pemakanan mereka.

    Kekurangan Vitamin D juga boleh membawa kepada masalah lain seperti mudah mendapat kanser, masalah tulang, kencing manis dan sklerosis.

    Mamogram tentukan keseriusan kanser

    ARKIB : 01/09/2009
    Sumber : Utusan Malaysia

    pemeriksaan mamogram boleh mengesan ketumbuhan dua tahun lebih awal sebelum ia dapat dirasa. - Gambar hiasan


    Apabila menyebut 'kanser', pesakit pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan standard seperti kemoterapi atau radioterapi.

    Pada peringkat itu, kebanyakan pesakit pasrah dengan dugaan menimpa dirinya dan tidak kurang ada yang berputus asa terhadap kehidupan yang dilalui.

    Namun, tidak semestinya apa yang dijangka akan berlaku kerana pada akhirnya hanya yang Maha Esa sahaja yang berkuasa menentukan ajal maut setiap individu.

    Perunding Pembedahan Payu Dara Pusat Perubatan Prince Courts, Dr. Harjit Kaur berkata, tanggapan salah pesakit menyebabkan hidup pesakit menjadi tertekan serta murung.

    Hal demikian menyebabkan ramai beranggapan kanser sama maknanya dengan kematian sehingga menjadikan mereka tidak bersemangat meneruskan hidup.

    Sehubungan itu, tambah Harjit, pengesanan awal penting dalam menentukan keseriusan tahap kanser tersebut.

    ''Sebenarnya, jika dikesan secara awal ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa dan peratusan untuk sembuh adalah tinggi.

    ''Oleh sebab itu, pemeriksaan payu dara sendiri, pemeriksaan klinikal serta mamogram sangat mustahak,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

    Katanya, pemeriksaan dan rawatan awal adalah satu keperluan dewasa ini bagi mengelakkan serangan penyakit yang akan membebankan diri dan keluarga kelak.

    ''Kalau kita sanggup berbelanja untuk memperbaiki rumah atau harta benda yang lain, mengapa kita tidak sanggup memperbaiki tahap kesihatan diri sendiri,'' katanya.

    Jelasnya, antara sebab utama masyarakat tidak berusaha mendapatkan rawatan kanser kerana tiada keyakinan bahawa mereka mempunyai peluang untuk hidup.

    "Wanita yang telah disahkan menghidap penyakit ini tidak mempercayai bahawa penyakit ini tidak boleh dikawal dan mereka hanya fikirkan hal kematian.

    "Faktor kurangnya pengetahuan tentang rawatan penyakit ini, misalnya, wanita yang berada di luar bandar dan kampung menjadikan jumlah kes kematian akibat kanser ini meningkat,'' ujarnya.

    Harjit memberitahu, wanita terutamanya golongan ibu perlu ingat sekiranya mereka tidak mengambil langkah kesihatan, bagaimana mereka hendak menjaga keluarga.

    "Wanita mempunyai tanggungjawab yang banyak. Mungkin sokongan daripada keluarga terutamanya orang terdekat seperti suami memainkan peranan penting.

    "Dalam hal ini, suami boleh menemankan isteri mereka untuk melakukan pemeriksaan awal dan apabila disahkan menghidap kanser ini,'' katanya.

    Menurut Harjit, selain pemeriksaan sendiri di rumah , wanita boleh melakukan mamogram.

    "Mamogram ialah satu pemeriksaan payudara menggunakan sinar-X.

    "Ia akan memaparkan kelenjar susu, lemak dan saluran darah serta kelenjar di dalam ketiak. Pemeriksaan ini dilakukan oleh juru x-ray.

    "Ia akan menghasilkan imej payu dara yang kemudian akan diproses secara digital dan dicetak pada filem,'' jelasnya.

    Tambanya, adakalanya, kanser payu dara pada peringkat awal hanya dilihat sebagai sekumpulan kalsium halus (mikrokalsifikasi) dan ini hanya dapat dikesan dengan mamogram.

    Ditanya kenapa seorang wanita itu memerlukan mamogram, Harjit menjelaskan, pengesanan awal melalui kaedah mamogram dapat mengesan kanser dan juga ketumbuhan yang bukan kanser yang masih terlalu kecil untuk dirasa oleh individu ataupun doktor.

    "Mamogram boleh mengesan ketumbuhan dua tahun lebih awal sebelum ia dapat dirasa semasa membuat pemeriksaan.

    "Ia juga boleh mengesan perubahan pada tisu-tisu payu dara yang boleh menunjukkan tanda-tanda kanser pada peringkat awal.

    "Hakikatnya, saringan mamogram di kalangan kaum wanita yang tidak mempunyai apa-apa gejala penyakit payu dara telah menurunkan kadar kematian disebabkan kanser payu dara,'' ujarnya.

    Tambahnya, antara persediaan yang perlu dilakukan ialah merancang pemeriksaan selepas haid atau apabila payu dara berasa tidak sakit dan tegang.

    "Sekiranya kafien boleh menyebabkan payu dara anda berasa sakit dan tegang, berhenti mengambil produk mengandungi kafein seperti kopi, teh, coklat dan air bergas), '' jelasnya.

    Pesannya, faktor pemakanan penting dalam mengurangkan risiko untuk penyakit kanser.

    Oleh itu, amalkan pemakanan seimbang. Kurangkan pengambilan lemak.

    Sentuhan ajaib si manja

    ARKIB : 30/08/2009
    Sumber : Utusan Malaysia

    Dr. Zulkifli sedang menunjukkan cara yang betul untuk mengurut bayi.


    SESIAPA saja gemar dibelai. Apatah lagi bayi yang baru melihat dunia, pastinya belaian daripada insan yang paling hampir dengannya iaitu ibu berupaya memberi kuasa yang menakjubkan.

    Belai dan urutlah si manja tersayang. Dengan belaian dan urutan mereka akan rasa selamat.

    Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, urutan bayi memberi faedah kepada si bayi dan juga orang yang mengurutnya.

    Menurut beliau, urutan selama 15 minit dua kali seminggu terbukti membantu bayi mendapat tidur lebih lena, meredakan kesakitan dan memberi ketenangan kepada mereka.

    "Ia menggalakkan stimulasi, merehatkan minda serta fizikal dan mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak. Urutan lembut membantu pernafasan, melancarkan perjalanan darah, menguatkan ketahanan badan dan sistem penghadaman. Dengan itu menghilangkan tekanan pada bayi dan juga orang yang mengurutnya," katanya ketika melancarkan Bengkel Urutan Bayi 'Touch' Johnson & Johnson baru-baru ini.

    Katanya lagi, berdasarkan kajian, didapati bayi lebih cepat tidur selepas diurut, kurang terjaga di tengah malam, lebih stabil, tenang, selesa dan kanak-kanak yang mengalami masalah berjalan ketika tidur juga berjaya mengatasinya selepas beberapa kali diurut.

    Bagi orang yang mengurut pula katanya, ia membantu menurunkan paras kerisauan, mengurangkan simptom kemurungan, mengurangkan paras hormon stres, lebih jalinan sosial, mengurangkan kesakitan (didapati mereka yang mengurut kurang bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan) dan memperbaiki tidur serta meningkatkan tahap keyakinan diri.

    Dr. Zulkifli berkata, di kalangan bayi pramatang, urutan didapati membantu pertambahan berat badan sehingga 47 peratus dan proses tumbesaran menjadi lebih baik.

    "Bayi pramatang juga akan lebih aktif dan sentiasa bersedia dengan persekitaran hingga boleh discaj lebih awal enam hari dari hospital berbanding bayi pramatang yang tidak diurut," katanya.

    Menceritakan mengenai sejarah urutan kata Dr. Zulkifli, zaman dahulu di Mesir urutan digunakan untuk merawat histeria manakala di India ia bertujuan untuk manfaat kesihatan.

    "Di Greek dan Rom pula, urutan digunakan untuk memulih dan menguatkan otot olahragawan manakala di China ia dijadikan terapi," katanya.

    Menurutnya satu kajian yang dijalankan pada 1938 oleh Jururawat Margaret Ribble di sebuah hospital mendapati kematian di kalangan bayi pramatang menurun daripada 30 peratus kepada kurang daripada 10 peratus.

    "Bagi saya urutan adalah satu amalan yang memberi manfaat dan membantu proses tumbesaran bayi. Ambillah masa untuk mengurut bayi anda, ia tidak memerlukan apa-apa, hanya anda dan si manja," katanya lagi.

    Masih muda untuk bercinta

    ARKIB : 30/08/2009
    Sumber : Utusan Malaysia

    NAMA saya Suria, saya berumur 20 tahun dan bekerja di salah sebuah syarikat yang agak terkenal di Johor. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang berumur 20 tahun dan bekerja sebagai Juruteknik di Johor. Saya telah mengenalinya sejak setahun yang lalu.

    Kami bercinta atas dasar cinta sesama kami. Dia telah berjanji akan melamar saya satu masa nanti. Masalahnya, ibu saya tidak merestui hubungan kami, kata ibu lagi dia inginkan saya mencari teman yang lain atau dia yang akan mencarinya sendiri. Dia juga pernah berkata teman lelaki saya ini budak kampung, muka tak lawa dan pelbagai lagi.

    Saya hanya mendengar dan menipu ibu saya dengan mengatakan kami hanya berkawan, namun pada hakikatnya saya begitu menyayanginya. Saya juga pernah memberitahunya mengenai hal ini. Dia begitu marah dan kesal dengan sikap ibu saya. Jadi saya mengambil keputusan untuk meminta putus daripadanya.

    Tetapi saya juga pernah terfikir mungkinkah ibu tidak menyukai lelaki itu kerana dia tidak mahu saya bercinta lagi kerana masih muda untuk memikirkan soal hati dan perasaan atau mungkinkah dia memandang harta.

    Keluarga teman lelaki saya bukanlah seorang yang kaya tetapi bagi saya itu semua tidak penting. Hanya sikapnya yang sangat baik dan begitu menjaga saya dan menyayangi saya paling utama.

    n Gadis mentah, Muar, Johor

    Gadis mentah,

    Pada usia yang muda, 20 tahun, pelbagai perkara boleh dilakukan selain memikirkan soal cinta. Adik sendiri pernah terfikir mungkinkah ibu tidak menyukai lelaki itu kerana adik masih muda untuk bercinta atau mungkinkah dia memandang harta.

    Sebenarnya, bagi menjawab persoalan tersebut, adik perlu berterus terang dengan ibu adik. Nasihat Putri, dalam meniti sebuah perhubungan cinta, restu ibu bapa amat penting. Adik boleh jadikan ibu sebagai teman berbicara untuk meminta pendapat dan berkongsi masalah.

    Bercinta atas dasar cinta sahaja tidak cukup kerana cinta itu lahir daripada perasaan dalam diri yang memerlukan komitmen pada masa hadapan.

    Insaflah, perempuan tetap perempuan

    ARKIB : 30/08/2009
    Sumber : Utusan Malaysia

    SEJAK awal lagi Bro dah kata perempuan tak perlu tunjuk handal. Apa pun berlaku mereka tetap perempuan dan sudah ditakdirkan menjadi golongan lemah.

    Oleh itu tak payahlah kalau ada yang cuba-cuba nak perjuangkan supaya perempuan diletakkan sama taraf dengan lelaki. Kalau mereka menjadi bos pun bukan bermakna mereka boleh menandingi kehebatan lelaki.

    Bro sentuh perkara ini kerana Bro rasa terpanggil untuk komen berhubung isu rotan melibatkan seorang model yang heboh diperkatakan sekarang ini. Bro pelik si empuya badan dah rela, orang lain pula yang heboh-heboh.

    Paling Bro bosan bila ada sesetengah nak bertindak menjadi wira memperjuangkan nasib perempuan sehingga kata-kata mereka seolah-olah mempertikaikan hukum Allah.

    Hukuman rotan bukan manusia putuskan tetapi Allah SWT, kita hanya laksanakan. Oleh itu jangan emosional buat komen seolah-olah hukuman berkenaan boleh mencemarkan Islam.

    Apa yang Bro hairan, sebelum ini ramai kaum wanita begitu beria-ia benar hendak memperjuangkan hak mereka. Kononnya mereka hendak sama taraf dengan lelaki termasuklah dari segi kuota membuat keputusan dan selalu yakin bahawa bos perempuan lebih bagus daripada lelaki.

    Oleh itu kalau dah nak sama dalam semua hal, janganlah bila nak kena rotan cakap pula tak adil dan sebagainya kerana pesalah seorang perempuan.

    Jadi kepada geng-geng perempuan yang hendak membela tak tentu fasal itu, Bro rasa lebih baik kalau mereka diam sahaja. Hormatilah keputusan mahkamah. Kalau empunya badan sanggup dirotan yang lain hendak menyibuk apa hal.

    Hukuman

    Sepatutnya, puak-puak perempuan sokong hukuman tu kerana ia menunjukkan bahawa perempuan setaraf dengan lelaki, kalau lelaki boleh tahan kena rotan kenapa kaum perempuan tak boleh?

    Kalau dah rasa perempuan semakin hebat kononnya selari dengan perkembangan zaman, maka tak perlu bantah-bantah. Buktikanlah dalam apa juga hal perempuan tetap sama hebat dengan lelaki, barulah okey.

    Ini bila bab nak kuasa dan pangkat, melaung-laungkan perempuan kata mereka dah boleh buat kerja sama taraf dengan lelaki tetapi bila nak dirotan kerana buat kesalahan, terus berhujah tak sesuai dengan perempuan, apa punya alasan ni! Jadi terimalah hakikat, dalam apa juga keadaan perempuan tetap perempuan. Jumpa lagi minggu depan.

    n Bro - Tak suka membela membuta tuli