#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 27, 2009

Menantu perempuan mesti beralah

PENDEDAHAN seorang nenek yang menceritakan pengalamannya dalam ruangan ini minggu lalu menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit pandangan.

Tetapi tanpa mahu merujuk secara keseluruhan kepada keluhan tersebut, saya cuma ingin mengulas mengenai sikap menantu perempuan.

Saya sendiri sudah mendengar banyak cerita mengenai menantu perempuan yang kadang kala menunjukkan kerenah yang bukan-bukan.

Ada antara mereka tidak tahu menghormati mertua, biarpun sebenarnya kalau mertua tidak mengizinkan sudah tentu mereka tidak akan mendapat suami yang mereka idamkan. Mereka berpendapat, apabila seseorang lelaki itu sudah berkahwin maka ia menjadi hak eksklusif mereka, orang lain tidak boleh kacau-kacau termasuklah ibu bapa lelaki berkenaan.

Kesudahannya hubungan menantu dengan mertua menjadi renggang. Kalau hendak balik ke rumah mertua macam-macam alasan diberikan tetapi kalau hendak balik rumah sendiri awal-awal lagi sudah kemaskan pakaian.

Kepada kaum wanita yang menjadi menantu, faham-fahamlah bahawa tanggungjawab seorang lelaki terhadap ibu bapa mereka tidak akan berakhir biarpun mereka sudah berkahwin. Selagi ibu bapa mereka masih bernafas di alam fana ini, selagi itulah mereka bertanggungjawab menjaga kedua-dua orang tuanya.

Saya sering baca di ruangan ini, paparan-paparan mengenai sikap menantu lelaki termasuklah kritikan oleh sesetengah isteri kerana si suami terlalu beratkan ibu bapa mereka.

Bagi saya, itu sikap yang mulia cuma jangan sampai rumah tangga dan kebajikan anak-anak terabai.

Saya juga sering berjumpa dengan menantu perempuan yang suka sangat mengkritik ibu bapa mertua mereka. Mungkin kedua-dua orang tua itu ada buat salah tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim.

Tetapi masalahnya kaum wanita ini kebanyakannya suka sangat ikut perasaan. Bila nampak suami berat sikit di sebelah ibu bapanya, mula buat muka. Sebenarnya, selagi suami itu tidak mengabaikan rumah tangga, biarlah dia menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki.

Selain itu, kalau sudah meminta tolong ibu bapa mertua menjaga anak-anak maka faham-fahamlah untuk memberikan sedikit sumbangan. Jangan kerana hendak jimat wang maka anak-anak dihantar kepada ibu bapa mertua untuk dijaga.

Sebenarnya orang tua kita tak kisah untuk menjaga cucu-cucunya, malah kasih sayang mereka kepada cucu kadang kala lebih tinggi berbanding mereka sayangkan kita. Namun orang Melayu diajar untuk berbudi berbahasa, maka kalaulah ibu bapa mertua dah jaga anak-anak kita, pandai-pandailah kita membalas budi mereka.

Sebagai datuk dan nenek, mereka tidak akan meminta balasan, malah mereka bahagia bila cucu-cucu ada di rumah, tetapi kita pun kena juga tahu apa yang patut kita berikan. Jangan ingat kudrat yang mertua kita keluarkan percuma sahaja. Sepatutnya pada usia tua mereka berehat dan menumpukan perhatian kepada beribadat kepada Allah.

Tetapi bila kita hantar anak-anak ke rumah mereka untuk dijaga, sedikit sebanyak waktu lapang mereka sudah terganggu. Namun kita yakin mereka tidak akan bersungut.

Satu hal lagi, kalau bermusuh dengan ibu bapa mertua, janganlah menghasut suami pun ikut sama. Apa pun berlaku hubungan anak dan ibu bapa tidak boleh diputuskan. Si suami pun janganlah mengikut sahaja, kalau tahu si isteri melakukan perkara yang salah.

Tetapi paling baik si menantu harus tahu beralah, jangan hendak tunjuk keras kepala tidak tentu fasal kerana apa pun kita harus faham bahawa setiap niat yang baik pasti diberkati Allah.
Mungkin sesetengah mertua ada perangainya sendiri tetapi kita tidak boleh melawan kerana apa pun mereka akan tetap pertahankan pendirian mereka.

Oleh itu daripada pening-peningkan kepala adalah lebih baik menantu-menantu perempuan ini bersabar sahaja. Bagi si suami pula, pandai-pandailah menyelesaikan masalah yang timbul, jangan kita pun berat sebelah.

Saya memberikan pandangan ini secara ikhlas dan berharap tidak ada mana-mana pihak tersinggung.

Hasbullah, Melaka.

Dilema cinta internet

Saya benar-benar perlukan pertolongan Putri. Saya seorang penuntut IPT yang bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi. Teman lelaki saya pula sudah bekerja dan jarak umur kami agak jauh.

Saya namakan dia I. saya tinggal di utara tanah air manakala I pula di selatan. Kami berkenalan melalui Internet.

Saya sendiri mengakui bercinta melalui Internet memang tidak boleh dipercayai. Pada saya, manusia dalam Internet merupakan manusia yang tidak boleh dipercayai dalam dunia. Bak kata pepatah barat, what goes around… comes around…

Saya juga terjebak dalam cinta Internet. walaupun pada mulanya saya sekadar hendak berseronok, mengisi masa lapang yang ada, sambil merawat hati yang luka.

Saya pernah dikecewakan oleh lelaki sebelum ini, sebab itu saya mengambil keputusan untuk bersembang-sembang dengan kenalan baru di Internet. Itu pun atas nasihat kawan-kawan.
Pada awal perkenalan, memang saya tidak menaruh kepercayaan yang banyak terhadap I.

Tetapi setelah mengenalinya dengan lebih jauh, saya mula yakin yang dia memang bertul ikhlas dengan saya. Terbukti, sangkaan saya salah. Tidak semua orang di internet itu seperti yang saya fikirkan.

Kini, sudah hampir setahun perhubungan kami, saya sayangkan dia sepenuh hati dan saya boleh nampak sayang dia kepada saya melebihi sayang saya kepadanya.

Pendirian ibu dan bapa saya sama sahaja. Mereka berdua tidak menyokong perhubungan itu. Ketika itu, luluh hati saya berbaur rasa kecewa.

Apa salahnya bercinta dengan orang bukan Melayu? kalau nak kata I akan jadi jahat dengan memukul atau curang kepada saya selepas berkahwin nanti, kita selidiki siapa yang selalu keluar masuk mahkamah kerana kesalahan memukul isteri.

berkahwin

Bagi saya. jahat atau buruk seseorang itu bergantung kepada diri sendiri.

Untuk pengetahuan putri, kami sudah merancang untuk berkahwin. Namun perhubungan kami dihalang oleh keluarga. Sebabnya hanya satu, dia bukan orang Melayu

Salahkah saya menyintainya? Saya benar-benar keliru. Saya tidak mahu cinta tanpa restu keluarga. saya tidak mahu mengecewakan keluarga saya dan juga kekasih saya.

Cinta,
Ipoh, Perak.

Cinta,
Selepas membuat penilaian hampir setahun, Cinta akhirnya yakin dengan cinta internet.


Namun, jangan terlalu mudah mempercayainya. Tidak dinafikan ramai juga yang berjaya dengan cinta internet. Dalam hal ini, adakah Cinta sudah menemuinya. memastikan tempat kerjanya? Status sama ada sudah berkahwin atau belum? Rakan-rakannya? Perkara ini perlu dipastikan kebenarannya terlebih dahulu agar Cinta tidak tertipu kelak.

Sebaiknya ajak ahli keluarga untuk menyiasat kebenaran latar belakang I. Perkahwinan bukan suatu perkara remeh-temeh. Ia merupakan ikatan dua jiwa membentuk kebahagiaan yang berpanjangan.

Berkahwin juga bermakna mengikat hubungan antara dua buah keluarga suami dan isteri.

Mungkin lelaki tersebut tidak mendapat kepercayaan daripada keluarga Cinta. Keluarga Cinta tidak mahu Cinta kecewa.

Sebaiknya, perkenalkan I kepada keluarga Cinta. Biar mereka selidiki dan kenal hati budi I. Persetujuan itu mungkin mengambil masa. Tidak perlu rasa terdesak, bak kata pepatah, biar lambat asal selamat.

Semua kejadian itu pasti ada hikmahnya. Cinta perlu bersabar, jika jodoh antara I dan Cinta kuat, Insya-Allah pasti bersatu jua. Yang penting, jangan ada pihak yang terluka demi membina kebahagiaan sendiri.


Jangan malu bermadu

Saya tertarik dengan luahan Siti Mariam minggu lalu.

Saya memahami derita puan kerana terpaksa memendam perasaan. Lebih memedihkan, puan terpaksa berselindung tentang status tersebut daripada pengetahuan keluarga dan kawan-kawan.

Namun, apalah yang hendak dimalukan dengan status bermadu. Seharusnya lelaki atau suami yang perlu malu kerana gagal menjalankan tanggungjawab dengan adil selepas berpoligami.

Wanita yang sanggup bermadu perlu berbangga kerana sanggup berkorban demi kebahagiaan suami dan wanita lain. Tetapi jika berlaku ketidakadilan, wanita perlu bangkit.

Perjuangkan hak kepada saluran yang betul. Rujuklah ke mahkamah syariah atau kaunselor agar penyelesaian itu dapat dijalankan dengan baik.

Di sini, saya ingin berkongsi dengan pembaca, wanita selalu mengikut emosi ketika marah. Itu perlu dielakkan kerana apabila wanita mengamuk atau marah. Ia menunjukkan kelemahan kita.
Wanita perlu menyelesaikan sesuatu masalah dengan kelembutan.

Sifat ini tidak dimiliki oleh lelaki. Justeru, wanita perlu menggunakan kuasa dengan mencairkan hati lelaki menggunakan kelembutan. Tetapi bukan untuk menggoda lelaki atau suami orang. Sebaiknya ia digunakan ketika berhubung dengan suami.

Kepada Siti Mariam, saya doakan kebahagiaan anda. Bersabarlah. Saya kagum dengan ketabahan anda.

n Mawar, Melaka.

Hentikanlah segala bentuk kegelisahan, bersabarlah, hadapilah kenyataan hidup dengan tabah dan teruslah melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup anda.


Perempuan pun ego juga

Bro hormati kaum perempuan kerana kalau dalam soal membela kaum sejenis mereka pasti berkobar-kobar. Malah bagi mereka dalam apa situasi pun perempuan mesti betul dan lelaki salah.Mereka juga akan bersedia bertengkar sampai hendak putus urat leher, kalau ada isu-isu berkaitan kepentingan mereka.


Hujah orang lain mereka dah tak peduli, hujah mereka sahaja yang perlu didengar, ditambah pula dengan suara terjerit-jerit macam pontianak maka riuhlah suasana.


Bro dah tak hairan lagi berjumpa dengan perempuan seperti ini, mereka bukannya hendak dengar cakap orang, kalau pun mereka salah, mereka tetap anggap mereka betul.


Kesudahannya apabila berlaku pertelingkahan kaum lelaki juga yang dipersalahkan. Selalunya Bro bila berhadapan dengan perempuan macam tu, Bro buat tak layan aje, biarlah dia bising sampai ke pagi pun.


Buat apa kita hendak buang masa hendak bertengkar dengan orang perempuan yang merasakan diri mereka aje betul. Selama ini kaum perempuan selalu anggap lelaki ada sikap ego, tetapi sebenarnya di kalangan mereka sendiri pun banyak yang ego.

melenting

Bila tegur sikit mulalah melenting, sudah-sudah kita pula yang dipersalahkan. Bro sebenarnya tak kisah kalau mereka betul dan cuba pertahankan pendapat mereka tetapi acap kali biarpun kita tegur kesilapan mereka, kita yang akan menjadi mangsa.


Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa Bro bercakap fasal ego ini. Bro tulis benda ini sebab sejak kebelakangan ini Bro lihat banyak sangat kaum perempuan yang perasan dan ego.


Sikap ego paling tinggi ditunjukkan oleh sebahagian kaum wanita yang berjawatan, dia perasan dia aje bagus. Malah kalaupun yang tegur itu perempuan tetapi disebabkan perempuan berkenaan orang bawahan dia, maka teguran itu tak dilayan.


Jadi Bro hendak katakan, cukup-cukuplah hanya pandai mengatakan lelaki ego. Perempuan pun ego juga malah kadang kala keegoan seorang wanita lebih hebat daripada lelaki.


Bagi Bro tak salah untuk lelaki ego kerana memang sifat lelaki dilahirkan untuk menjadi pemimpin. Apa salahnya ego kalau ia berniat baik. Perempuan hanya dilahirkan untuk menjadi pengikut dan kalaupun hendak menegur biarlah dengan rasional bukannya emosional.


Kepada sebahagian kaum perempuan yang masih bersikap demikian, belajar-belajarlah ubah perangai buruk itu, sehebat manapun anda tak akan mampu melawan kudrat lelaki. Jumpa lagi minggu depan.


n Bro - Tetap ego, bila betul

26/7/2009

Epilog 'cinta' lelaki beruban

Hampir sahaja lelaki ini mahu mengutuk gelagat pasangan yang sedang asyik maksyuk duduk di sebelah mejanya. Tak sedar diri! Tetapi mujur hatinya cepat terdetik dan akhirnya dia senyum sendirian.

Pasangan beruban dan gadis muda polos itu kelihatan begitu leka bertentang mata diselang seli dengan belaian dan usikan manja. Tidak terlihat ada beban antara mereka. Ah! Alangkah indahnya hidup mereka.

Lelaki ini senyum sendirian kerana sedar itulah yang berlaku dalam hidupnya selama setahun lalu sebelum rahsia percintaannya terbongkar oleh isterinya sendiri. Porak peranda hidupnya akibat amuk isterinya itu.

Tetapi apabila melihat sekeliling, lelaki ini tahu dia tidak sendirian. Dia juga percaya pasangan beruban dan gadis polos di sebelah mejanya di sebuah restoran 24 jam di Kuala Lumpur itu, satu ketika nanti akan melalui fasa 'kantoi' yang telah dilaluinya.

Pada kaca mata lelaki ini, percintaannya selama setahun ini bukanlah satu perbuatan curang. Aneh kerana pada masa sama, dia turut mengambil segala daya untuk menyembunyikan cinta gelapnya itu. Kalau bukan curang, apa namanya?

Dia dalam dilema antara menjaga keharmonian rumah tangga dan menikmati kelangsungan kebahagiaan hidup bersama kekasih mudanya itu. Dalam setiap masa, dia mahu kedua-duanya.

Untuk berterus-terang dengan isteri, dia belum berani. Belum lagi bab untuk mendapatkan persetujuan keluarga kekasihnya. Semuanya mengundang masalah. Dan akhirnya, akibat lalai untuk menghapus khidmat pesanan ringkas (SMS) kiriman si kekasih, hidupnya kini dalam persimpangan.

Si lelaki beruban yang ketagihan belaian dan layanan manja perempuan yang tidak lagi diperoleh daripada isterinya itu, sedang mengumpul kekuatan untuk membulatkan tekadnya.

Dia bertekad jika leteran, pemantauan 24 jam dan kebengisan isterinya terus berpanjangan, jalan pilihannya ialah menoktahkan ikatan kasih gelapnya dengan berkahwin, Alang-alang tertangkap basah...

- nuranilelaki@yahoo.com


Manusia mudah lupa...

Seramai 15 juta orang meninggalkan secawan teh sehingga sejuk hari ini, sementara kira-kira jumlah penduduk dunia yang sama akan terlupa di mana mereka meletakkan kunci kereta atau rumah.

Manakala 12 juta lagi pergi ke kedai dan betul-betul lupa apa yang perlu dibeli. Jumlah manusia yang sama juga akan lupa mengenai pakaian basah dalam mesin basuh, menurut kajian yang dijalankan oleh National-Lottery.co.uk.

Nombor PIN, kata laluan dan kerja rumah seperti mengeluarkan makanan sejuk daripada peti ais malam sebelumnya dan mengecas telefon bimbit juga merupakan antara yang tersenarai dalam kajian itu.

Kajian sama juga mendapati lelaki lebih berkemungkinan lupa mengenai sesuatu berbanding wanita - walaupun kaum hawa secara amnya mempunyai lebih banyak perkara yang perlu diingati.

Jurucakap National Lottery berkata, orang British lebih sibuk kini dengan pekerjaan dan kehidupan peribadi, jadi kita mempunyai terlalu banyak untuk disimpan dalam minda yang terlalu berserabut.

"Gaya hidup moden yang sibuk, peningkatan bebanan kerja dan tekanan turut memainkan peranan. Namun teknologi moden seperti komputer, telefon membantu kita mengingati perkara penting setiap hari," katanya.

Kajian juga menunjukkan, ramai orang sering terlupa temujanji penting, nama kawan lama, anak sendiri, tarikh ulang tahun sendiri dan pasangan serta ulang tahun perkahwinan.

ANTARA YANG PALING DILUPA
* Membiarkan secawan teh sehingga sejuk
* Di mana anda letakkan kunci
* Untuk apa anda ke kedai
* Pakaian basah di dalam mesin basuh
* Mengecas telefon bimbit / iPod
* Di mana anda letakkan kenderaan
* Menyiram pokok bunga
* Umur sendiri
* Membeli susu
* Mengunci kereta
* Di mana anda letakkan dompet

Ampun bang

Oleh NAZARALI SAERIL nazarali@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Tidak ada wanita mahu perkahwinan dengan suami tersayang terhenti di tengah jalan, apatah lagi bahtera yang dibina baru berusia beberapa minggu atau bulan.

Namun, isteri mana dapat bertahan jika keupayaan seksual suami sangat luar biasa, dipercayai akibat berdamping dengan makhluk halus, dan akhirnya meminta cerai.

Mungkin ada yang menganggap perkara terbabit kisah karut dalam zaman serba maju sekarang, tetapi hakikatnya ada dua kes perceraian kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpunca daripada kekuatan seksual dimiliki suami.

Dalam kes pertama, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata kes dikendalinya membabitkan pasangan suami isteri berumur dalam lingkungan 30-an.

“Mereka berkahwin tak sampai setahun. Dalam aduannya, si isteri memohon cerai kerana mendakwa kehendak seksual suaminya sangat kuat, menyebabkan dia tidak mampu melayan nafsu serakahnya.

“Kemusykilan berkaitan kekuatan luar biasa itu akhirnya terjawab apabila ahli keluarga wanita terbabit mendapati suaminya masih ada di rumah walaupun sebelum itu dia dilihat keluar ke tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata, beberapa saudara kandung wanita itu terdengar suara lelaki di dalam bilik tidur, sedangkan mereka melihat dia keluar pada awal pagi.

“Mereka bertanya mengenai kehadiran ipar mereka di dalam bilik itu kepada ibu yang kemudian menyatakan menantunya sudah keluar.

“Bagaimanapun, apabila diselidik, didapati individu di dalam bilik itu memang kelihatan seperti si suami,” katanya.

Berikutan itu, kata Musa, si isteri membuat aduan di pejabat agama dan memfail permohonan fasakh kerana tidak tahan lagi melayan kehendak seks suaminya.

“Ketika hadir di mahkamah, lelaki itu setuju menceraikan isterinya. Oleh itu permohonan fasakh berkenaan dibatalkan.

“Anggota keluarga kedua-dua pihak mungkin tahu berkaitan kekuatan luar biasa lelaki terbabit, tetapi ia menjadi rahsia selepas bersetuju menceraikan isterinya. Jika dibicarakan, mungkin mahkamah boleh tahu perkara sebenar,” katanya.

Dalam satu kes lagi, pakar Perubatan Islam Mustajab, Nazri Md Isa, mendedahkan seorang isteri yang baru berusia 18 tahun memohon cerai fasakh kerana tidak tahan melakukan hubungan seks dengan suami hingga berbelas kali setiap hari.

Bagaimanapun, menurutnya, dalam kes terbabit, lelaki itu mempunyai ritual tersendiri sebelum meniduri isterinya, iaitu dengan masuk ke bilik air seketika.

“Semuanya bermula apabila isteri muda itu menikahi lelaki berkenaan pada pertengahan 2008. Suaminya menunjukkan kehebatan seorang lelaki pada malam pertama perkahwinan dengan memberi nafkah batin hingga 17 kali,” katanya.

Mulanya, si isteri tidak menyangka apa-apa kerana beranggapan lelaki terbabit hanya menjalankan tanggungjawab sebagai suami.

Selepas keadaan itu berlarutan setiap hari, wanita itu mula terasa letih, selain hairan dengan kehebatan ditunjukkan suami.

“Wanita terbabit akhirnya membuka mulut dengan menceritakan kepada ibu mentuanya, namun terkejut apabila ibu mentuanya berkata itu perkara biasa,” katanya.

Selepas gagal mendapatkan kepastian daripada keluarga mentua, wanita itu memaklumkan ibu kandungnya yang membawanya membuat aduan di jabatan agama bagi mendapatkan nasihat kerana beranggapan ada kaitan kes deraan seks.

Nazri berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit bertabiat pelik apabila keluar masuk bilik air sebelum meniduri isterinya.

“Apabila diselidiki, dua ‘pihak’ dengan wajah saling tidak tumpah keluar masuk bilik air itu. Si suami kemudian diminta hadir ke pejabat agama sebelum merungkai misteri kekuatan luar biasa dimilikinya,” katanya.

Permohonan fasakh wanita itu dipenuhi mahkamah dan kini pasangan terbabit sudah bercerai.

Samseng di sekolah, alim di rumah

KEBELAKANGAN ini hangat diperkatakan mengenai tingkah laku pelajar yang amat membimbangkan ibu bapa.

Ponteng, merokok, buli dan samseng adalah gejala lama di kalangan pelajar sekolah menengah, tinggal lagi tidak diuar-uarkan dan diketengahkan, hanya baru-baru ini ia meletup hingga merunsingkan semua pihak.

Bermula dari rumah, remaja tidak diawasi secara berkesan memandangkan kebanyakan ibu bapa bekerja dan tiada di rumah dari pagi hingga malam.

Hanya pada hujung minggu mereka bersama anak dan ada juga disebabkan rumah tangga bergolak hingga kebajikan anak terabai.

Semua ibu bapa menyayangi anak, hanya cara mereka mendidik anak daripada kecil hingga remaja membezakan peribadi anak.

Bagi ibu bapa yang menitikberatkan perkembangan anak dan mempunyai latar belakang keagamaan utuh, mereka mendidik anak mengikut acuan sepatutnya. Anak menerima didikan begini beruntung dan membesar menjadi rakyat cemerlang.

Maaf saya katakan, bagi ibu bapa yang longgar keimanannya dan rumah tangga bermasalah, anak tidak dikawal selia sebagaimana yang diamanahkan Allah. Pengawasan terhadap anak terlalu tipis akibatnya anak terabai.

Anak sebegini pasti akan membesar dengan meniru gejala songsang, maklumlah dunia tanpa sempadan, mereka mudah mengakses pelbagai sumber negatif. Anak yang kurang mendapat pengawasan inilah apabila remaja kelak akan menimbulkan masalah di sekolah, kepada jiran tetangga, masyarakat malah negara.

Di sekolah, mereka mempengaruhi rakan supaya ponteng, merokok dan membentuk kumpulan samseng dan bersikap biadap. Jika ditegur, mereka sanggup memaki-hamun dan memukul.

Peliknya, di depan ibu bapa anak ini boleh bertukar perangai. Ini yang menyebabkan ibu bapa tidak percaya jika ada yang menuduh anak mereka nakal.

Di peringkat ini, peranan semua pihak iaitu ibu bapa dan guru amat penting. Mereka harus berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing untuk menangani gejala tidak sihat daripada lebih parah. Jangan menuding jari mana-mana pihak, perbuatan ini tidak menyelesaikan masalah.

Di sekolah, guru ada kuasa dan berhak meminta daripada pelajar sijil cuti sakit atau surat daripada ibu bapa jika pelajar tidak hadir ke sekolah. Sekurang-kurangnya pihak sekolah dapat memberitahu ibu bapa mengenai ketidakhadiran pelajar supaya ibu bapa boleh melaksanakan peranan mereka. Jika tiada timbal-balas, ibu bapa tidak tahu sama ada anak ke sekolah atau tidak.

Pelajar yang terbabit dengan gejala lebih serius seperti membuli rakan dan berkelakuan samseng, persatuan ibu baba dan guru (PIBG) sekolah berhak menggantung persekolahan pelajar. Ia dilakukan ketika siasatan ke atas pelajar dijalankan serta menghukumnya dengan hukuman setimpal atau dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), menukarkan sekolah pelajar terbabit.

Ibu bapa harus memberi kerjasama dan menerima dengan hati terbuka tindakan sekolah terhadap anak. Tidak wajar pelajar berkenaan dibuang sekolah kerana pembuangan pelajar adalah tindakan terakhir. Itu pun sekiranya pelajar itu melakukan jenayah berat.

Beri mereka peluang kedua untuk memperbaiki diri. Jangan musnahkan masa depan mereka semata-mata kerana hukuman mengikut emosi. Elakkanlah mereka menjadi dewasa dengan tidak berpelajaran, nanti akan menyusahkan masyarakat.

Kepada guru, didiklah pelajar supaya menjadi warga negara. Guru umpama lilin dan mereka mempunyai anak, pasti ada naluri keibubapaan dalam diri mereka. Sayangilah anak bangsa dan generasi pelapis kepemimpinan.

Kepada ibu bapa, laksanakanlah amanah Allah dengan mendidik anak ke jalan lurus.

WARGA PRIHATIN
Seremban, Negeri Sembilan.

Sempat sarung kain janda

Oleh Zuliaty Zulkiffli am@hmetro.com.my


LANGKAWI: Disebabkan takut dan panik ketika diserbu jabatan agama, seorang lelaki hanya sempat menyarung kain batik milik seorang janda untuk menutup badannya sebelum lari bersembunyi di bahagian tandas dapur sebuah rumah di Kampung Nyior Cabang, Mukim Padang Mat Sirat, di sini, awal pagi semalam.

Malah, lelaki berusia 27 tahun itu juga terpaksa ‘bergayut’ seperti seekor kelawar di pintu bilik air rumah berkenaan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa tetapi tindakannya gagal apabila dicekup tidak lama kemudian.

Penguasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal), Aswad Kasa, berkata beliau bersama tiga anggota yang menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat itu bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan, kira-kira jam 3 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pintu hadapan rumah itu dikunci dengan mangga kononnya rumah itu tiada berpenghuni tetapi selepas mengetuk pintu belakang rumah terbabit, seorang wanita berusia 25 tahun yang hanya berkemban kain batik membukanya tidak lama kemudian.

“Wanita itu mendakwa tinggal seorang diri di rumah itu selepas berpisah dengan suaminya manakala anak lelaki mereka tinggal bersama bapanya.

“Bagaimanapun, pemeriksaan kemudian mendapati terdapat seorang lelaki berada di dinding bilik air sedang ‘bergantung’ seperti kelawar dalam keadaan ketakutan sebelum ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan pasangannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan didapati bersalah kerana melakukan maksiat.

Aswad berkata, berdasarkan maklumat, lelaki itu kerap ke rumah wanita itu sejak seminggu lalu untuk bermalam di rumah berkenaan.

Katanya, pasangan itu mengenali antara satu sama lain ketika mereka sama-sama berniaga di pasar malam dan mengambil peluang itu untuk melakukan maksiat.

“Pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuah untuk maklumat tangkapan sebelum dibawa ke pajabat agama untuk siasatan lanjut.

Penderaan seksual

Oleh Maiamalina Mohamed Amin maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tindakan suami yang mendesak isteri memuaskan nafsu luar biasanya sehingga mahukan persetubuhan belasan kali sehari, disifatkan penderaan seksual yang tidak ubah seperti rogol.

Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata meskipun menjadi tanggungjawab isteri memenuhi tuntutan batin suami, namun tidak pada tahap yang melampau.

Menurut beliau, si isteri boleh memohon fasakh sekiranya mendapati nafsu berlebihan suami boleh memudaratkan dirinya atau mungkin membawa kepada perkara lebih buruk termasuk kematian sekiranya berlaku seks ganas.

“Isteri memang boleh mohon fasakh dalam kes ini tetapi jika mohon bercerai atas alasan lain, tidak boleh kerana (memenuhi nafsu suami) adalah sebahagian tanggungjawab isteri dari segi batinnya, dia wajib jalankan.

“Jika tidak mampu (melayan suami) itu yang Islam benarkan poligami supaya keinginan batin suami boleh dipenuhi isterinya yang lain, namun tidak ramai wanita yang sanggup pula,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Metro Ahad, semalam mengenai dua wanita yang baru berkahwin tidak sampai setahun terpaksa mengemukakan permohonan fasakh di mahkamah syariah berikutan tidak mampu melayani nafsu suami.

Kedua-duanya mendakwa menderita kerana terpaksa melayani tuntutan batin luar biasa suami yang mahu melakukan hubungan seks hingga 17 kali sehari termasuk percaya suami berdamping dengan makhluk halus bagi mendapatkan kekuatan berkenaan.

Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata wanita yang menderita keganasan seksual akibat nafsu berlebihan suami berisiko menghadapi gangguan psikologi.

“Tidak dinafikan wanita yang menerima layanan suami begini mungkin akan terganggu dari sudut psikologinya, apatah lagi apabila bersabit keganasan seksual, cuma apabila kes ke mahkamah, sukarlah kumpul bukti sebab dera seksual,” katanya.

Bersabit suami yang dipercayai berdamping syaitan untuk mendapatkan kebolehan luar biasa begitu, Noor Aziah berkata, jarang mendengar kes perceraian akibat perbuatan terbabit tetapi tidak menafikan ia wujud.

Nekad selepas suami mati

KUALA LUMPUR: Kemurungan selepas kematian suami sejak dua tahun lalu dipercayai punca seorang wanita warga emas bertindak nekad mengikat tangan kirinya dengan batu sebelum ditemui mati di sungai di Batu 11, Bestari Jaya, Kuala Selangor, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati kes berkenaan tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kita (polis) memperoleh laporan hasil bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Tanjung Karang dan ikatan tali pada tangan mangsa didapati longgar.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barangan milik mangsa, antaranya telefon bimbit dan barang kemas, masih ada di sekitar lokasi kejadian dengan jarak 500 meter dari kediaman mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa yang juga ibu angkat kepada seorang anggota polis di Ijok dipercayai mengikat tangan kirinya menggunakan tali untuk menenggelamkan dirinya.

“Mangsa bertindak demikian dipercayai berikutan tidak dapat menahan sedih akibat kematian suaminya sejak dua tahun lalu.

“Mayat mangsa dituntut ahli keluarga dari hospital semalam untuk dikebumikan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, ratusan penduduk kampung itu gempar berikutan penemuan mayat seorang wanita terapung bersama tali yang diikat dengan batu sebesar buah kelapa.

Mayat mangsa, Hasnah Ijoh @ Johari, 54, dari Kampung Ladang Baru, Selangor, ditemui jam 5.30 petang oleh beberapa penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu.

Difahamkan, tali diikat pada batu itu yang ditemui berhampiran mayat dijadikan pemberat untuk menenggelamkan mangsa.

Polis bergegas ke tempat kejadian dan mangsa dipercayai mati dalam tempoh kurang tiga jam sebelum ditemui.