#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Jun 22, 2009

Suami terima SMS ajak tidur!

KATA orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah sering diucapkan mereka yang menghadapi masalah rumah tangga.

Tidak kena pada hidung sendiri, maka kita tidak akan tahu, itu juga yang dilaungkan para isteri yang tercalar hati kerana sikap suami menduakan kasih.

Amy (bukan nama sebenar) berusia 25 tahun, baru dikurniakan seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinan dengan lelaki yang dicintainya selama tujuh tahun semasa menuntut di universiti.

Berulang kali Amy menelefon saya untuk berbual tentang rumah tangganya, kebetulan panggilan ketiganya dapat saya layan. Hampir sejam kami berbual.

Banyak yang Amy luahkan dalam esak tangis dan ketawa yang menyimpan pelbagai kisah suka duka setelah baru setahun jagung bergelar isteri.

Jodohnya dengan lelaki yang dipanggilnya Ari kini goyah gara-gara suami kaki perempuan.

Beratus-ratus kali berjanji akan ubah perangai, sayangnya tidak menjadi. Itu juga yang berlaku.
Kelahiran bayi sulung juga tidak membawa banyak perubahan sebaliknya kata Amy dia yang terus makan hati. Di rumah perangai suami lain, di belakang pula lain.

Apa kata, kita kongsi masalah Amy seperti yang diluahkan kepada saya. Begini kisah Amy:

"Sebelum bernikah suami seorang kaki perempuan, tapi dia berjanji akan berubah setelah kami berkahwin. Saya memilih dia kerana dia memahami saya, penyayang dan mengambil berat.

"Pelbagai dugaan saya lalui sebelum berkahwin dengannya. Kami berkenalan semasa menuntut di universiti. Masa hendak mendapatkan suami dulu saya terpaksa korbankan hati dan perasaan sebab perangai kasanovanya itu.

"Walaupun ramai yang ingin mendekati saya, tetapi hati saya kuat mengatakan dia jodoh saya. Setelah bercinta hampir tujuh tahun, akhirnya kami dinikahkan pada November 2007.

"Saya sangka inilah pemberian terbaik Allah SWT untuk saya. Gembiranya hati saya hanya Allah saja yang tahu. Bukanlah saya tidak mensyukuri apa yang Allah kurniakan, saya benar-benar bersyukur.

"Tetapi sudah takdir saya begini. Lima bulan selepas bernikah, saya disahkan mengandung. Hati saya sangat gembira kerana doa saya untuk menimang anak secepat mungkin dikabulkan Yang Maha Esa.

"Saya mengalami alahan teruk semasa mengandung. Suami menjaga saya dan kandungan dengan baik. Tidak nampak tanda-tanda dia mengabaikan saya.

"Namun dalam usia kandungan baru mencecah dua bulan saya mula menerima dugaan yang hebat. Suatu hari saya terbaca e-mel suami yang masih berhubung dengan rakan Internetnya, seorang jururawat yang mengajak suami saya tidur bersamanya!

"Bingung saya seketika sebab tidak percaya suami saya sanggup menerima dan mengirim mesej seperti itu. Hancur luluh hati saya saat itu. Saya menangis semahu-mahunya. Kami bergaduh besar. Saya adukan sikap suami kepada mertua.

"Mujurlah saya mempunyai mertua yang sangat baik. Mertua membantu menyelesaikan kekusutan yang berlaku dan menyelamatkan perkahwinan kami.

"Masuk enam bulan kandungan, suami terpaksa keluar daerah kerana urusan kerja. Saya
memberi sepenuh kepercayaan kepadanya walaupun berat rasa hati untuk melepaskan dia berjauhan dengan saya sebab saya tahu dia akan berubah sikap apabila di belakang saya.

"Sepanjang berada jauh dari saya, setiap masa dia menghubungi saya. Namun pada waktu malam, khidmat pesanan ringkas (SMS ) dan telefon saya tidak berjawab.

"Kemusykilan mula timbul dalam hati. Apa yang sedang berlaku? Saya dapat rasakan yang dia melakukan perkara buruk di belakang saya.

"Tekaan saya betul. Sebaik dia pulang, saya terjumpa rakaman hubungan seks suami dengan seorang wanita di dalam telefon bimbitnya.

"Ya Allah, amat berat dugaan yang Engkau berikan padaku. Hancur hati saya melihat suami sendiri menjamah wanita lain. Saya menangis dan meraung.

"Di rumah kami bergaduh besar, saya menunjukkan telefon bimbit yang merakamkan aksi melampau itu. Dia buat-buat macam tidak bersalah dan cuba berbaik-baik dengan saya, sekali lagi kami hampir bercerai kerana saya tidak sabar lagi diperlakukan begitu.

"Demi memikirkan masa depan bayi yang bakal lahir kami berbaik semula. Disebabkan terlalu tertekan, saya telah bersalin lebih awal lima minggu.

"Melihat sendiri saya melahirkan dan kesakitan yang dialami, menyebabkan suami berubah baik seketika dan lebih menghargai saya. Sepanjang berpantang di kampung dua bulan saya berjauhan dengan suami tetapi hujung minggu dia datang menjenguk kami dua beranak.

"Saya gembira kerana sangka suami telah bertaubat. Sebaik kembali ke rumah sehabis pantang, saya telah dikejutkan lagi dengan cerita baru. Rupa-rupanya suami ada lagi satu telefon bimbit lain yang disorok.

"Setelah memeriksa, saya dapati semuanya nombor wanita dan SMS berunsur lucah. Sepanjang saya berpantang, rupanya, suami menjalin hubungan sulit dengan seorang jururawat.

"Saya berjaya menghubungi wanita tersebut dan menghentikan hubungan terlarang itu dan menghamburkan kata-kata kesat kepadanya kerana melayan suami saya.

"Belum pun sebulan reda kes itu, saya mendapat khabar suami ada skandal dengan kerani baru di tempat kerjanya. Saya juga berjaya menghubungi wanita tersebut, tetapi dia enggan mengaku.

"Di depan saya dia menyatakan tiada apa-apa hubungan dan berjanji menjauhi suami saya. Tetapi rupanya semakin hari mereka semakin intim.

"Keadaan rumah tangga kami semakin genting sebab kami selalu bergaduh. Dia nekad untuk bersama wanita itu walaupun terpaksa meninggalkan saya dan anak kami.

"Tiada pilihan, saya akhirnya reda dengan apa yang berlaku sebab tidak mahu anak tidak mendapat kasih sayang bapanya. Pada masa sama, suami terus rapat dengan wanita itu sebab mereka selalu berjumpa di pejabat.

"Saya hilang daya untuk menangani masalah ini tetapi akan kuatkan semangat menanganinya. Nampaknya menyalahkan wanita lain juga tidak patut sebab kadang-kadang suami kita juga pandai cucuk jarum, kata orang bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.

"Air mata saya mengalir laju saat membaca semua SMS yang suami terima. Betapa murahnya wanita sekarang, boleh tawar diri untuk ditiduri oleh suami orang.

"Saya berdoa agar Allah SWT memberi kekuatan untuk saya menghadapi dugaan dan ujian hebat ini. Saya nekad, jika ditakdirkan jodoh saya sampai setakat ini, saya reda.

"Saya sanggup kehilangan suami yang tidak tahu menghargai isteri dan terus dijadikan barang mainan dalam rumah tangga.

"Kadang-kadang saya terfikir, anak yang saya lahirkan akan lebih sempurna hidupnya jika tidak mempunyai bapa seperti suami saya. Dengan kerjaya yang saya miliki, saya mampu memberi segala kesenangan kepadanya. Cuma yang saya tak mampu beri adalah kasih sayang seorang bapa.

"Kepada kaum wanita yang suka mengganggu suami orang, tolonglah hormat hak kaum sejenis anda. Jangan guris hati dan perasaan orang kerana satu masa nanti hati anda bukan setakat terluka malah akan terkoyak kerana perbuatan anda sendiri," Amy menutup cerita dengan kata-kata sinis.

Apa pun saya mengharapkan Amy akan terus tabah menjalani hidupnya bersama bayinya yang baru mengenal dunia serta berusaha menyelamatkan masjid yang dibina dengan kasih sayang dan rasa cinta.

Mengundur diri, pesanan saya, hidup tidak boleh hanya bergantung kepada soal hati dan perasaan kerana ada masa ia boleh menjahanamkan diri sendiri sebaliknya, kita harus memikirkan bagaimana menerima atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan situasi yang dilalui. Salam

Sumber : Utusan Malaysia

Bertunang janji murni ke arah penuhi Sunnah

Oleh Masmawi Abdullah
Berita Harian
Agama

Batas hubungan pasangan belum bernikah perlu dijaga bagi elak perbuatan zina

PERTUNANGAN bertujuan memberi kesempatan kepada lelaki dan perempuan lebih mengenali diri serta keluarga masing-masing, bukan tiket untuk bergaul mesra seumpama suami isteri yang sah kerana perhubungan lelaki dan wanita mempunyai batasan tertentu.

Oleh itu, bagi pasangan muda mudi yang masih di alam percintaan atau pertunangan perlu menjaga batas hubungan ditetapkan agama. Jika mereka melakukan hubungan seks sebelum bernikah, mereka sudah melanggar batasan agama melarang perbuatan zina.

Berdasarkan hukuman Islam, mereka yang melakukan zina boleh dihukum 100 kali sebat bagi individu yang belum bernikah, dan direjam dengan batu bagi mereka yang sudah bernikah.

Mereka yang sudah mampu dan bersedia dari segi mental, fizikal serta mempunyai keyakinan daripada aspek ekonomi perlulah menyahut seruan agama untuk bernikah atau mendirikan rumah tangga.

Amalan menangguhkan perkahwinan atau pernikahan tidak digalakkan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga perkara jangan dilewatkan, iaitu solat apabila sampai waktunya, jenazah apabila siap diuruskan untuk dikebumikan dan wanita yang belum bersuami, tetapi sudah ada calon sesuai." (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

Larangan menjauhi perbuatan menjurus kepada zina termasuk berdua-duaan lelaki dan perempuan banyak diingatkan dalam firman Allah sebagai dalil yang perlu diberi perhatian disebabkan kesannya yang boleh membawa kehancuran serta masalah besar.

Antaranya firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan mendatangkan keburukan." (Surah al-Israk, ayat 32)

Diriwayatkan daripada Abu Bakar, Umar, Ali Jabir bin Abdullah, Abu Sanid Al-Khudri, Abu Hurairah, Zaid bin Khalid, Buraidah al-Aslam, bahawa seorang sahabat nabi bernama Masiz dihukum rejam oleh pengawasnya sendiri bahawa ia berzina.

Begitu juga dua perempuan dari Bani Kakhim dan Bani Khamid yang dijatuhi hukuman rejam di atas pengakuan berzina.

Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah kepada orang yang beriman, hendaklah kamu menahan pandangan mereka serta memelihara kemaluan mereka." (Surah an-Nur, ayat 31)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak akan berbicara dengan Allah pada hari kiamat, dan Allah juga tidak akan memandang mereka dan akan mendapat azab yang pedih iaitu, lelaki tua yang berzina, pemimpin yang berbohong dan orang miskin yang sombong." (Hadis riwayat Muslim)

Banyak lagi dalil memberi amaran serta mengingatkan umat Islam supaya menjauhi zina. Ini perlu diingatkan dan didedahkan kerana dapat dilihat budaya masyarakat hari ini, majlis tunang ibarat majlis pernikahan.

Jika dulu, majlis pertunangan hanya dihadiri ahli keluarga atau wakil pihak lelaki untuk berbincang dengan keluarga perempuan, tetapi hari ini si jejaka turut hadir sama, malah bergambar dalam suasana menimbulkan fitnah kepada orang ramai.

Majlis pertunangan kini berubah seakan majlis persandingan apabila kedua-dua lelaki dan perempuan yang hanya baru diikat dengan kata janji untuk disatukan, dibenarkan duduk bersebelahan sambil disaksikan keluarga.

Mungkin restu yang diberikan ahli keluarga menyebabkan pasangan bertunang lupa akan batasan yang perlu dijaga hingga ada yang setiap hari berjumpa malah, ada juga yang dibawa pulang untuk bermalam di rumah ibu bapa.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab, ibu bapa sepatutnya membimbing pasangan yang bertunang supaya menjaga hubungan itu mengikut syariat agama sehingga mereka sah disatukan sebagai suami isteri kerana tempoh bertunang ialah masa untuk mereka memahami satu sama lain.

Jika dilihat, pasangan bertunang agak bebas dalam pergaulan, sebaiknya ibu bapa serta keluarga menyegerakan upacara pernikahan kerana itu lebih baik daripada membiarkan mereka terus terjebak dengan tingkah laku menyalahi ajaran agama.

Agak menyedihkan apabila tingkah laku anak muda hari ini tidak dipedulikan ibu bapa yang menganggap adalah sesuatu yang biasa untuk membenarkan mereka sering berjumpa atas alasan supaya lebih mengenali.

Sudah diberi amaran jelas akan perkara itu dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan kamu berseronok-seronok atau berdua-duaan dengan wanita, kerana yang ketiga itu adalah syaitan." (Hadis riwayat at-Tabrani).

Seriusnya supaya mengelakkan diri daripada terjebak dengan hubungan intim lelaki dan wanita, Rasulullah SAW bersabda bermaksud yang bermaksud: "Lebih baik seseorang lelaki berdekatan dengan binatang bernajis yang berlumuran lumpur daripada ia berdekatan bahunya kepada wanita yang tidak halal baginya." (Hadis Riwayat at-Tarbrani).

Hormati ikatan pertunangan dengan menjadikannya sebagai janji murni ke arah memenuhi Sunnah Rasulullah SAW untuk membina keluarga yang dilimpahi perasaan kasih sayang dan kesejahteraan.

Tua sebelum waktu

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

BUKAN semua solekan menyerlahkan kecantikan wanita. Kadangkala teknik solekan yang salah boleh menyebabkan wanita kelihatan tua daripada usia sebenarnya. Pemilihan cara solekan tidak kena wajah, pemilihan rona tidak tepat dan calitan pembayang tidak kena antara punca wajah 'rosak'.

Mungkin anda juga pernah ditanya: “Eh! Ingatkan usia kamu sudah 45 tahun, sebab wajah anda nampak terlalu matang.” Ketahui punca kaitan solekan dan usia.

Ketahui teknik sesuai bagi serlahkan wajah semula jadi

KEBANYAKAN wanita akan kecewa apabila siap bersolek cantik ke sesebuah majlis, tetapi pujian yang sepatutnya diterima bertukar cemuhan, gara-gara mengenakan solekan yang tidak sesuai dengan bentuk wajah, sekali gus menampakkan anda kelihatan tua daripada usia sebenar.

Apatah lagi sekiranya kita berhabis ribuan ringgit membeli produk antipenuaan dan solekan mahal untuk kelihatan sejelita model yang menggayakan solekan itu kerana keinginan digelar awet muda, atau muda daripada usia sebenar.

Bagi individu yang dilahirkan memiliki kulit cantik dan sihat selain wajah keanak-anakan memang bertuah, tetapi bagi individu sebaliknya, usah gusar kerana apa yang diperlukan hanyalah ketelitian dalam memilih teknik solekan ketika berhias depan cermin.

Jurusolek profesional, StevenSunny, berkata antara penyebab solekan menyebabkan wanita tampak lebih berusia ialah penggunaan bedak asas yang terlalu tebal.

Katanya, solekan yang terlalu tebal adalah cara terbaik untuk kelihatan lebih tua daripada usia sebenar. Penggunaan bedak asas khususnya dalam bentuk cecair yang terlalu tebal akan menyebabkan bedak disapukan selepas itu lebih tebal dan dengan kata lain mudah bercapuk dan tidak asli.

“Seharusnya bedak asas disapukan tipis saja atau kenakan pelembap yang tidak berwarna dengan teknik menepuk-nepuk menggunakan span. Ia bagi membolehkan produk berkenaan mesra dengan kulit, seharusnya melancarkan teknik solekan seterusnya.

“Pada masa sama pemilihan rona bedak asas juga perlu diambil kira yang mana sekiranya ia berwarna pucat daripada warna kulit asli anda, ia hanya akan menyerlahkan lagi garis halus pada wajah. Justeru wanita seharusnya cuba untuk memilih warna yang sedikit lebih gelap daripada warna asli kulit wajah.

“Sebagai contoh, sekiranya anda memiliki kulit putih, pilih bedak asas satu atau dua tingkat lebih gelap dan memiliki partikel-partikel yang membuat wajah kelihatan sedikit berkilat, untuk memperlihatkan wajah lebih bersinar dan segar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, solekan tebal kadangkala tidak disedari seseorang wanita, hinggalah ia menerima teguran daripada orang sekeliling, justeru cara terbaik sebelum melangkah keluar rumah, cuba bertanya kepada rakan baik atau suami mengenai gaya solekan yang anda gayakan itu, lainlah sekiranya anda mendapat khidmat jurusolek profesional.

Pada masa sama tidak dinafikan proses penuaan menyebabkan wajah tampak lebih tua, tetapi itu bukan alasan wanita menyerlahkan usia sebenarnya, khususnya bahagian mata yang paling ketara menyerlahkan usia menerusi garisan halus sekitar kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, penggunaan penggaris mata pada bahagian atas mata dan lebih tebal pada bahagian tepi mata boleh membentuk ilusi mata lebih besar dan tidak kelihatan ‘jatuh’ sejajar pertambahan usia. Penggunaan penggaris mata pada bahagian bawah mata pula dikhuatiri menjadikan bentuk mata anda kelihatan ganjil.

“Mengelakkan wajah kelihatan menggeleber, elakkan daripada mengenakan pemerah pipi pada puncak tulang pipi. Bagi menambahkan warna-warna pada titik tertinggi pada tulang pipi, jangan terlalu dekat ke hidung, sebaliknya naikkan ke atas dan menutupi seluruh tulang pipi.

“Selain itu, hindari pemakaian warna yang terlalu glamor. Warna-warna seperti emas dan coklat tua akan membuat wajah nampak tirus jika anda bertubuh kurus, sebaliknya sekiranya tidak kurus, anda akan kelihatan seperti badut. Rona semula jadi seperti merah jambu lembut antara pilihan terbaik untuk kebanyakan kulit dan bentuk wajah,” katanya.

Menyentuh mengenai bibir, garis bibir akan mulai pudar dan boleh menyebabkan gincu yang dikenakan ke bibir tidak kemas apabila ia mudah ‘terkeluar’ daripada garisan bibir. Justeru, bagi mengelakkan keadaan itu pemakaian penggaris bibir amat digalakkan kerana ia bukan saja mengelakkan calitan gincu terkeluar sebaliknya menjadikan solekan lebih kemas. Dalam pada itu, penggunaan sedikit pengilat pada penghujung mata mampu membuat ilusi mata sederhana menjadi luar biasa, tetapi pastikan ia dibiaskan pada bahagian hujung mata.

“Menyelaputi bulu mata bahagian bawah dengan maskara akan mempertegaskan garis halus kerutan pada sudut luar mata dan lingkaran hitam di bawah mata. Justeru elakkan keadaan itu berlaku dengan hanya mengenakan maskara pada bulu mata bahagian atas saja.

“Pemilihan rona maskara paling gelap menjadikan mata kelihatan lebih segar kerana mata putih anda akan kelihatan lebih jelas. Sekiranya anda fikirkan maskara jenis tebal hebat, lupakan saja kerana hakikatnya ia cenderung bersememeh dan berkumpul pada bulu mata,” katanya yang menyatakan bulu mata akan semakin kering ketika usia meningkat.

Aspek yang tidak kurang penting diambil kira untuk mengelakkan solekan tampak lebih tua ialah pemilihan rona gincu. Rona yang keterlaluan atau terlalu gelap, warna metalik atau berkilat-kilat dianggap terlalu berat bagi bibir yang semakin menipis sekiranya anda semakin berusia.

“Pilihlah warna merah yang semula jadi. Sekiranya anda tidak selesa dengan gincu, gantikan saja dengan pemakaian pengilat bibir yang pasti memperlihatkan bibir anda lebih penuh dan segar,” katanya.

Seronoknya dia mengumpat

ARKIB : 21/06/2009
Utusan Malaysia
Keluarga

Bersama Bro
bromingguan@yahoo.com


Salam semua,
Sebahagian besar daripada kita sudah tentu masih ingat salah satu babak dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang memaparkan dua wanita hendak membuang sampah ke dalam sebuah perigi lama.

Ketika hendak berbuat demikian mereka sedang ‘mengumpat’, antara dialognya berbunyi, ‘dia cucuk sini, dia cucuk sini’. Walaupun ia hanya sebuah filem tetapi bro akui itulah perangai sebahagian perempuan.

Bagi sebahagian daripada mereka, mengumpat sudah menjadi makanan harian, kalau sehari tak mengumpat tak senang duduk. Malah kalau ikut pandangan bro, sesetengah perempuan itu kalau mengumpat tak masak nasi sehari pun tak apa.

Macam-macam isu yang menjadi umpatan mereka dan bro yakin paling mereka suka kalau ia melibatkan skandal seseorang. Walaupun kadang kala yang mereka dengar itu khabar angin atau fitnah tetapi mereka tak kisah janji dapat mengumpat.

Bila dah mengumpat tu mulalah nak tokok tambah cerita yang didengar akhirnya ia menjurus kepada fitnah, bertambahlah lagi dosa.

Bro sebenarnya pelik dengan perangai perempuan-perempuan macam itu, tak tahu nak insaf-insaf apatah lagi kalau umur dan nak masuk ‘waktu senja’.

Mereka bukan tak tahu mengumpat tu berdosa tetapi mereka sahaja buat-buat lupa. Ada antara mereka bila bangun tidur aje dah fikir siapa yang hendak dijadikan mangsa umpatan.

Kebetulan bila sampai pejabat ada kisah baru, apa lagi makin seronoklah si pengumpat-pengumpat ini. Bro bersimpati dengan mereka menjadi mangsa umpatan ini tetapi dalam masa yang sama gembira kerana mereka mendapat pahala percuma.

Oleh itu, bro hendak nasihatkan perempuan-perempuan yang mulut tak boleh nak tutup ini, udah-udah le tu, tak payahlah meneruskan perangai buruk tu, banyak-banyaklah bertaubat kepada Allah.

Bro mahu ingatkan, dosa kita dengan Tuhan boleh kita minta ampun kepada-Nya tetapi kalau kesalahan kita dengan manusia, ia tidak akan terampun selagi orang yang berkenaan tidak memberikan kemaafan.

Jadi jangan buat dosa kering dengan mengamalkan sikap suka sangat mengumpat atau lebih tepat lagi suka jaga tepi kain orang. Ingatlah pesan orang tua-tua, jangan sampai kita tuding kain orang lain terkoyak sedangkan kain kita sendiri sudah terlondeh.

Kita duduk dalam dunia fana ini hanya sementara sahaja, daripada dok habiskan masa mengumpat hal orang, lebih baik waktu itu digunakan untuk buat kebajikan demi bekalan di akhirat kelak. Jumpa lagi minggu depan.

Jumaat, Jun 19, 2009

This I Promise You

Beautiful Woman

Bayi perlu belaian

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH
ABDULLAHadawiyah.koh@utusan.com.my

Sentuhan merupakan salah satu cara yang paling berkesan bagi ibu untuk melahirkan kasih sayang mereka kepada permata hati mereka.

Sama ada pada waktu makan, bermain, mandi atau menukar lampin, sentuhan menghasilkan perasaan kasih sayang yang lebih mendalam buat si manja kepada ibu mereka.

Lantaran perkembangan fizikal dan emosi bayi banyak dipengaruhi oleh hubungan serta interaksi ibu bapa dan anak, maka perlunya ikatan melalui sentuhan kasih sayang.

Melalui sentuhan tersebut, bayi akan mula belajar komunikasi dan mengalami perubahan tumbesaran.

Menurut Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Anna Padmavathy Soosai, sentuhan lembut menjadi pemangkin kepada perkembangan bayi.
Bayi akan mula mengenali dan memahami sentuhan ibu seawal usia dua bulan lagi.


Bagi bayi, sentuhan itu merupakan tanda kasih sayang dan melindungi mereka.

"Pada peringkat bayi merupakan masa yang terbaik untuk menyentuh dan membelai bayi. Jika ibu tidak dapat melakukannya sendiri, ia merupakan satu kerugian kerana mereka tidak dapat membina hubungan yang intim," katanya ketika majlis pelancaran Johnson's Baby Most Loving Moments seiring dengan pengenalan rangkaian produk penjagaan bayi - Johnson's Baby Moisturizing Wash, Baby Lotion dan Baby Cream , baru-baru ini.

Sementara itu, Dr. Anna mengakui ibu bapa kini lebih gemar membeli permainan namun ia sebenarnya tidak sesuai untuk bayi yang berumur empat bulan ke bawah.

"Pada peringkat ini, bayi hanya inginkan sentuhan dan wajah ibunya sahaja. Sebagai langkah lain, ibu boleh bercakap dengan anak untuk memberi rangsangan kepada perkembangan sosial. Mungkin ramai ibu bapa tidak perasan dan memahami perkembangan bayi mereka. Secara umumnya, pada peringkat usia sebulan, bayi anda akan mula tersenyum, dua bulan (mula mengeluarkan suara), empat bulan (cuba mencapai ibunya, menatap mata bayi menjadi lama dan bayi bergelak ketawa)," tambahnya.

Reaksi kasih sayang

Bayi tersenyum…

Percaya atau tidak, menyentuh bayi anda boleh membuatnya tersenyum dengan lebih kerap, yang membuktikan keeratan anda berdua. Sedang bayi anda membesar, anda akan sedar bahawa senyumannya akan menjelma tiap kali anda berada disampingnya atau setiap kali bayi menjangka kehadiran anda.

Bayi cuba mencapai ibunya

BAYI mungkin cuba memberitahu si ibu untuk memeluk dan membelainya untuk merapatinya atau si bayi gembira dengan kehadiran ibu. Apa yang penting, bayi sedang menunjukkan rasa perlunya terhadap ibu, dan ini menandakan hubungan erat antara ibu dan anak.

Bayi ketawa

GELAK pertama bayi menandakan perkembangan sosialnya kerana ia biasanya merupakan suatu tindak balas yang berlaku apabila dia berkongsi dunianya dengan orang yang tersayang. Apabila bayi gelak sebagai salah satu cara untuk bertindak balas dengan anda, ianya merupakan cara bayi untuk memberitahu betapa seronoknya dia meluangkan masa dengan anda.

Prosedur kahwin warga asing

Soalan
Sayamerancang untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Pasangan saya adalah warga Pakistan yang telah tiga tahun menetap di Malaysia. Apakah prosedur yang perlu dilakukan untuk melangsungkan perkahwinan. Adakah pasangan saya perlu mengikuti kursus praperkahwinan?
Irma, Ampang


Jawapan
Perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warga asing atau di antara dua warga asing adalah boleh dan dibenarkan untuk dilakukan di Malaysia. Bagi perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warganegara asing, prosedur yang harus diikuti adalah berlainan daripada prosedur perkahwinan di antara sesama rakyat Malaysia.


Secara amnya apabila warga asing dan rakyat Malaysia ingin berkahwin, mereka wajib untuk memohon kebenaran berkahwin dari Jabatan Agama.

Borang permohonan perkahwinan haruslah disertakan dengan dokumen-dokumen berikut:
l Salinan pasport atau salinan kad pengenalan (lelaki dan perempuan);
l Surat kebenaran dari kedutaan negara pemohon (bagi kes saudari, Kedutaan Pakistan);
l Surat keterangan dari Jabatan Imigresen Malaysia;
l Surat Akuan Cerai atau Surat Akuan Kematian (jika pernah berkahwin atau kematian pasangan sebelumnya);
l Surat Kebenaran Poligami dari Mahkamah Syariah di Malaysia (jika berpoligami);
l Surat wakalah wali (bagi wanita); dan
l Salinan Sijil Kursus Perkahwinan.


Borang permohonan dan dokumen-dokumen ini haruslah dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Nikah Kariah di mana saudari bermastautin.

Ini adalah untuk mendapatkan kelulusan bernikah dari Pendaftar Nikah. Permohonan ini haruslah diserahkan dalam tempoh sebulan atau tidak kurang dari tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dirancang.

Adalah dinasihatkan untuk melakukan persediaan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Sekiranya bakal suami saudari adalah penduduk tetap negara ini atau pemegang Kad Pengenalan Merah, dokumen yang lain harus disertakan iaitu:
l Salinan Kad Pengenalan Merah dan permit masuk; dan
l Surat Pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara atau pengesahan permit masuk dari Jabatan Imigresen.


Kedua-dua situasi di atas adalah bagi warga asing yang mempunyai pas masuk secara sosial atau perniagaan. Situasi adalah berbeza bagi warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini melalui permit pekerjaan.

Perlu dimaklumkan bahawa warga asing yang memegang permit kerja adalah tidak dibenarkan memohon untuk berkahwin di negara ini. Sekiranya perkahwinan ini berlangsung dengan tidak mematuhi undang-undang, maka ia akan memberi implikasi kepada permit kerja yang telah diberi kepadanya.

Ini adalah berdasarkan kepada kontrak yang telah dipersetujui dan ditandatangani. Sekiranya warga asing tersebut mahu berkahwin dengan wanita tempatan, kontrak atau permit kerja pekerja asing tersebut di Malaysia adalah terbatal.

Kemudian warga asing tersebut perlu pulang ke negara asal untuk tempoh enam bulan (cooling period) dan sepanjang tempoh tersebut warga asing tersebut hanya diberikan pas sementara (pas lawatan) yang tidak akan dilanjutkan.

Selepas tempoh enam bulan tersebut barulah warga asing tersebut boleh mendaftar di imigresen untuk mendaftar sebagai suami kepada warganegara.

Untuk pengetahuan saudari, satu pekeliling telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di mana suami/isteri kepada warganegara Malaysia yang telah diberikan/layak diberikan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang berdasarkan syarat-syarat dan peraturan-peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa adalah dibenarkan untuk bekerja (melakukan pekerjaan berbayar), berniaga dan pekerjaan profesional tanpa perlu menukar status Pas Lawatan Sosial mereka kepada pas kerja yang berkaitan (Pas Penggajian / Pas Lawatan Kerja Sementara).

Berkenaan dengan kursus pra perkahwinan, warga asing tidak diwajibkan mengikutinya. Walau bagaimanapun jika kursus pra perkahwinan diadakan dalam bahasa yang boleh difahami oleh bakal suami saudari, digalakkan untuk menyertainya.

Diharap penjelasan ini dapat membantu saudari, jika terdapat sebarang kemusykilan boleh menghubungi pihak kami atau layari laman web Sisters di www.sistersinislam.org.my

Mendepani cabaran keluarga Muslim

ARKIB : 16/06/2009
Utusan Malaysia
Oleh ZUARIDA MOHYIN

SAYANGNYA, realiti dalam masyarakat kita, terlalu banyak permasalahan yang melanda keluarga Muslim hari ini. Kes-kes keganasan rumah tangga sama ada secara fizikal, mental dan seksual kerap kita dengar. Begitu juga dengan kes perceraian sehingga mencecah belasan ribu kes setiap tahun.

Selain itu, kita turut dipaparkan dengan kisah suami meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa khabar berita, apatah lagi melunaskan tanggungjawab menyediakan nafkah. Gejala sosial di kalangan remaja seperti; penagihan dadah, lepak merempit, seks bebas, juga semakin meruncing dari sehari ke sehari. Yang membimbangkan bilangan ini sentiasa dijuarai oleh kelompok Muslim.

Hakikatnya, semua ini adalah petanda bahawa keluarga Muslim di negara ini sudah tidak lagi berpandukan kepada ajaran agama Islam dalam melayari kehidupan ini.

Tambah malang, apabila ada segelintir daripada golongan ini langsung tidak mengendahkan garis panduan bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mereka lebih suka memilih atau mencari jalan sendiri dalam kehidupan yang serba mencabar ini.

Keseriusan permasalahan di atas ini turut diakui Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucapan beliau ketika berucap pada Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa pada penghujung Mei lalu di IKIM.

Terang beliau, dalam satu kajian mendapati 34.7 peratus wanita bekerja menghantar anak kepada saudara mara untuk dijaga apabila mereka keluar bekerja, 19.2 peratus lagi menghantar anak kepada pengasuh yang merupakan jiran, 13 peratus menghantar anak ke pusat asuhan dan 7.9 peratus menggunakan khidmat pembantu rumah.

"Walau apapun bentuk jagaan yang dipilih, apa yang penting ibu bapa itu tidak mengabaikan tanggungjawab mereka dalam soal mendidik anak-anak. Tidak salah ibu bapa mengharapkan orang lain menjaga anak-anak, khususnya apabila keluar bekerja namun tanggungjawab mendidik anak masih terpikul di bahu ibu bapa.

"Malah dalam Laporan Keselamatan Kehidupan Dalam Talian Norton 2009 yang dilakukan di kalangan 9000 orang dewasa dan kanak-kanak di 12 negara di seluruh dunia mendapati, golongan dewasa melayari Internet tiga jam sehari atau 89 jam sebulan berbanding kanak-kanak, kira-kira 39 jam sebulan. Ini menjelaskan bahawa ICT pada hari ini merupakan sebahagian daripada kehidupan dua golongan ini dan sudah pastinya, golongan remaja.

"Selain komputer berInternet, telefon bimbit turut menjadi kegilaan remaja. Ia mendedahkan remaja kepada kegiatan tidak sihat yang mampu merosakkan pemikiran dan masa depan generasi muda ini. Di samping itu, ibu bapa juga perlulah berhati-hati berkaitan aspek pergaulan anak-anak terutamanya dalam memilih rakan sebaya. Ini kerana pengaruh rakan sebaya amatlah kuat," kata beliau yang berharap sebahagian cabaran-cabaran yang mendepani institusi keluarga dapat di atasi menerusi penglibatan para peserta pada forum dua hari itu.

Pada sesi satu seminar itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman dalam kertas kerjanya bertajuk, 'Profil Keluarga di Malaysia dan Kesannya Kepada Keluarga' turut sependapat dengan Ahmad Sarji.
Oleh itu, tegas beliau kefungsian keluarga dan peranan institusi itu amat penting ke arah pembangunan insan, pembentukan dan perkembangan manusia, pembangunan potensi setiap ahli keluarga dan mencorakkan perkembangan dan kesejahteraan rakyat.

"Institusi keluarga di Malaysia sedang melalui perubahan dan transisi tanpa disedari. Keupayaan keluarga untuk mengharungi arus permodenan dan pembangunan menjadi antara isu utama yang perlu diberi perhatian.

"Maka kita perlu lebih berdaya tahan dalam menangani cabaran-cabaran hidup seperti penjagaan anak terutama bagi pasangan dwi-kerjaya, pengurusan kewangan, keibubapaan anak remaja dan tanggungjawab kepada ibu bapa tua," katanya.

Aminah turut menggariskan beberapa kesan kehidupan kekeluargaan yang perlu diambil perhatian di antaranya;

"Peningkatan dalam kumpulan umur bekerja merupakan bonus demografi kepada negara. Penduduk dikatakan berada pada tahap optimum di mana manfaat dapat diperoleh hasil daripada pelaburan ekonomi yang produktif kerana tanggungan ekonomi adalah rendah dan secara relatifnya terhadap ramai pekerja yang menanggung penduduk yang bukan produktif. Pada kesempatan ini, pelaburan ke atas pembangunan sosial perlu diperhebatkan, terutamanya kepada golongan remaja ke arah pembentukan sahsiah diri yang jitu dan resilien.

"Kestabilan institusi perkahwinan perlu dititikberatkan seperti menangani senario kahwin lewat dan perceraian. Kesedaran mengenai perkahwinan dan kepentingan hidup berkeluarga perlu diperluas supaya senario pembujangan tidak menjadi satu budaya dalam masyarakat.

"Pendidikan kemahiran keibubapaan berteraskan tanggungjawab bersama antara suami dan isteri perlu diutamakan agar peranan yang dimainkan lebih signifikan ke arah membina keluarga sejahtera.

"Intervensi untuk membimbing golongan remaja perlu diperhebatkan kerana golongan ini bakal menjadi pewaris di dalam masyarakat negara ini. Langkah ini juga dilihat mampu membendung gejala sosial yang semakin membarah.

"Penerapan nilai-nilai murni dibudayakan dalam masyarakat dan nilai ini perlu disemarakkan sebagai tonggak utama mengukuhkan institusi keluarga agar lebih berdaya tahan, sekali gus menyatupadukan masyarakat.

"Menyedari hakikat bahawa institusi keluarga kini perlu diberi sokongan, perhatian yang khusus dan program-program berbentuk support system perlu dilaksanakan secara istiqamah.

"Warga emas perlu diberi perhatian yang sewajarnya seperti memperbanyakkan prasarana dan kemudahan komuniti yang mesra warga emas. Ia sekali gus membantu mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

"Agensi-agensi kerajaan serta pihak berkenaan yang terlibat secara langsung dan tidak dalam perancangan dan penggubalan dasar mahupun perancangan pembangunan negara perlu memberi keutamaan kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

Kekayaan tak bawa bersama kebahagiaan

Oleh Nawawi Subandi
Berita Harian, Agama

Rumah tangga bahagia boleh dibina dengan sifat sentiasa bersyukur

APABILA berkata mengenai bahagia, sudah pasti semua mengimpikannya. Kebahagiaan adalah perasaan yang sangat sukar diungkapkan dan bersifat subjektif. Bahagia selalunya dicapai apabila seseorang itu merasa kepuasan, gembira, kecukupan serta penuh kesyukuran dan keredaan.

Kebahagiaan adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki mereka yang kaya raya dan berharta kerana boleh saja mereka yang kaya raya berasa tidak bahagia serta runsing memikirkan keselamatan hartanya yang bertimbun. Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang hari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahupun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.

Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman mewah dan indah. Rumah besar itu boleh menjadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung terkurung dalam sangkar emas.

Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan suami atau isteri yang tampan dan cantik rupawan kerana ketampanan serta kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.

Antara faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup, sekali gus berasa bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah dengan itu saja?

Kebahagiaan belum tentu dapat dicapai hanya dengan berbekalkan harta melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. Bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman manusia?

Jika kembali kepada agama, kebahagiaan itu dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip agama bagi setiap urusan dilakukan dalam kehidupan mereka. Apabila meletakkan prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka mengutamakan Allah.

Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan dan dengannya mereka bersikap qana'ah atau sentiasa berasa cukup serta berpuas hati.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu yang berasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari itu, seakan-akan dia sudah diberi semua kenikmatan dunia." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana'ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa reda dan berasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan, tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Benar-benar beruntung orang yang memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana'ah di dalam menerima apa juga pemberian Allah terhadapnya." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW berpesan supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa kita miliki, bukannya dengan melihat kekayaan dimiliki orang yang mewah berbanding diri kita.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Rasulullah SAW itu bertujuan mengajak kita sentiasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang diusahakan serta diperoleh, sekali gus menjauhkan diri daripada berasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik merujuk kepada kehidupan berkeluarga, iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak dan keperluan berkaitan dengannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita (isteri), anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami dalam setiap hal ehwal urusan kehidupan. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang digariskan agama.

Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka. Rumah tangga bahagia dibina atas landasan agama, akan membawa pasangan suami isteri berkekalan hingga ke syurga yang penuh kenikmatan.

Ia dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga sebagai medan meraih keredaan dan mengejar cinta Allah. Dalam persoalan ini, suami selaku ketua keluarga bertanggungjawab mengemudi keluarga dibinanya menuju kebahagiaan.

Ia dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik dan sentiasa berusaha membimbing ahlinya kepada perkara dicintai Allah.

Kefahaman agama yang teguh membolehkan keluarga mencapai kebahagiaan kerana berkongsi fokus yang sama, iaitu mencari keredaan Allah. Ia menjauhkan mereka daripada perkara negatif apabila hidup dipenuhi tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran serta kemesraan.

Antara faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah seperti digambarkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, isteri salihah, rumah yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan selesa. Dan empat perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah isteri buruk akhlaknya, jiran tetangga jahat, kenderaan buruk serta rumah yang sempit." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dimaksudkan dengan isteri yang salihah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.

Rumah yang luas adalah rumah sentiasa terisi dengan sifat qana'ah, aktiviti dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria serta kemudahan yang baik.

Kenderaan yang selesa penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal ehwal urusan serta tugas seharian.

Jiran tetangga yang baik merujuk kepada soal pergaulan dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syariat yang betul. Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur yang mampu mendatangkan keburukan, sekali gus jauh daripada nilai sebuah kebahagiaan.

Sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredaan Allah, sekali gus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat. Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik." (Surah ar-Ra'd, ayat 29)

Ibu diceraikan selepas bapa dibenar berpoligami

Selain memfailkan tuntutan mutaah bekas isteri boleh tuntut edah, harta sepencarian

Soalan:
SAYA ingin bertanya mengenai status kedua ibu bapa saya. Bapa sudah memohon ke Mahkamah Syariah untuk berpoligami dan mahkamah sudah membenarkan. Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian bapa menceraikan ibu depan saya, kakak dan bapa saudara.
Pada keesokan harinya bapa saya berkahwin lain sedangkan perceraian dengan ibu tidak dimaklumkan kepada Mahkamah Syariah.

Apakah tindakan yang perlu dilakukan ibu saya dan adakah ibu saya berhak mendapat mutaah dan lain-lain hak selepas perceraian.

Anak risau,
Selangor

Jawapan:
Langkah pertama yang perlu dilakukan ibu anda adalah memfailkan kes bagi mengesahkan perceraian di Mahkamah Syariah seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 57 (1)(2)(3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Permohonan pengesahan lafaz cerai ini boleh dimohon sama ada oleh ibu atau bapa sebagai suami dan sewajarnya didaftarkan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh lafaz.


Dalam menentukan sah atau tidak sesuatu perceraian, mahkamah akan melihat kepada bentuk lafaz cerai sama ada lafaz sareh (nyata) atau kinayah (tidak nyata). Jika lafaz kinayah, niat bapa ketika melafazkan cerai akan diambil kira bagi menentukan sama ada jatuh talak atau sebaliknya.

Sebaliknya jika lafaz nyata seperti, "Saya ceraikan awak dengan talak satu", mahkamah tidak memerlukan niat suami untuk mengesahkan sesuatu lafaz cerai kerana lafaz itu tidak boleh dipertikaikan kerana ia jelas bermaksud untuk menceraikan isteri.

Perlu diingat, perceraian di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah satu kesalahan yang boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Kesalahan itu diperuntukkan mengikut Seksyen 126 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Selanjutnya, merujuk kepada isu mutaah pula, seorang isteri hanya boleh menuntut mutaah selepas sah berlaku perceraian antara suami isteri. Ia bermakna hanya selepas Mahkamah Syariah memutuskan berlaku perceraian antara ibu dan bapa, barulah ibu anda boleh menuntut mutaah.

Sesungguhnya pemberian mutaah kepada isteri bertujuan meringankan beban ditanggung bekas isteri yang akan memulakan penghidupan baru secara sendirian. Pemberian mutaah diharap dapat menjadi penawar kepada perceraian yang berlaku.

Mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, "Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seorang perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah dan mahkamah boleh selepas mendengar pihak itu dan apabila berpuas hati memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak."

Isu utama yang akan diputuskan oleh mahkamah dalam kes pemberian mutaah adalah apakah perceraian benar-benar berlaku, adakah isteri diceraikan tanpa sebab yang patut dan berapa kadar akan diberikan kepada isteri diceraikan?

Mengikut hukum syarak, mutaah adalah pemberian wajib oleh suami yang menceraikan isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang baik." (Surah al-Baqarah, ayat 241)

Dalam menentukan kadar mutaah kepada isteri, Allah berfirman yang bermaksud: "Hendaklah kamu memberikan mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut, lagi menjadi kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat kebaikan." (Surah Al-Baqarah, ayat 236)

Berdasarkan ayat itu, kadar mutaah bergantung kepada kemampuan suami, namun begitu ia juga ditentukan berdasarkan kedudukan isteri, sumbangan isteri kepada perkahwinan dan kerosakan serta kemudaratan dialami disebabkan perceraian yang berlaku tanpa sebab.

Jika mahkamah memutuskan perceraian yang berlaku antara ibu bapa anda tidak sah, ia bermakna ibu tidak boleh menuntut mutaah. Namun, jika mahkamah mensabitkan perceraian itu sah maka barulah timbul hak mutaah ibu terhadap perceraian yang berlaku.

Memandangkan mahkamah sudah membenarkan bapa anda berkahwin lain, saya percaya mahkamah juga memerintahkan jumlah tertentu pemberian nafkah isteri kepada ibu anda yang perlu dibayar oleh bapa, begitu juga dengan pengisytiharan harta sepencarian.

Ia seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 23(10) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (2003) yang memberi kuasa kepada mahkamah membenarkan poligami atas permintaan mana-mana pihak kepada perkahwinan menghendaki seseorang membayar nafkah kepada isteri dan memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh pihak dalam tempoh perkahwinan dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi.

Ia bermaksud ibu anda boleh meminta pemberian nafkah dan harta sepencarian turut diputuskan dalam perbicaraan poligami terdahulu bagi membolehkan perintah nafkah isteri dan harta sepencarian dikeluarkan serentak kebenaran poligami.

Namun begitu, jika ibu anda disahkan oleh mahkamah sudah bercerai, tindakan selanjutnya yang boleh diambil selain memfailkan mutaah ialah memfailkan tuntutan edah dan harta sepencarian yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Marlina Amir Hamzah