#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 22, 2011

Duka anak dihina ibu

Puan Aniz,
SAYA terpanggil untuk berkongsi masalah yang telah lama saya pendamkan.

Kalau Puan melihat drama di televisyen tentang ibu tiri yang zalim serta pilih kasih terhadap anak-anak, saya pula lebih hebat lagi dipinggirkan ibu kandung.

Sejak lahir, saya dijaga oleh datuk dan nenek kerana ibu menganggap saya membawa nasib malang. Setelah bersekolah saya diambil semula oleh ibu dan bermulalah episod duka dalam hidup saya. Kulit yang gelap, wajah yang tidak cantik menjadi hinaan ibu. Apa yang saya lakukan serba tidak kena. Jika berlaku pertengkaran dengan adik, ibu akan menyalahkan saya, dan saya akan dipukul.

Pernah dalam satu perselisihan faham adik menolak saya dari anjung rumah tingkat satu, menyebabkan saya koma di ICU. Saya harap ibu berubah selepas kejadian itu, tetapi tidak banyak yang berubah.

Saya cukup tertekan, bagaimana Puan harus saya mulakan langkah pertama mengubat diri yang sangat terluka dan sedih ini.

Dila

Segamat, Johor

DILA, kadang kala warna-warni kehidupan tidak pernah kita duga ada berlaku. Permainan minda, prasangka, kata-kata adalah antara bibit-bibit yang akan membuahkan keindahan mahupun kemudaratan dalam hidup insan.

Ia boleh menjadi doa mahupun sumpah yang akan memakan diri. Kenyataan ini memang perit dan tidak mudah diterima anak kecil yang dahagakan kasih sayang, apatah dalam peringkat tumbesaran.

Gaya asuhan ibu bapa di peringkat kosong hingga 18 tahun merupakan tahun-tahun penting individu membentuk personaliti dan jati diri. Apabila berlakunya lekatan seperti ini, mangsa kurang keyakinan diri, mempunyai kritik diri yang tinggi, cenderung mengasingkan diri dan sering mencari alasan untuk membina boundary selamatnya.

Impaknya, hidup berada dalam fasa krisis yang tidak berpenghujung, peperangan diri antara rindukan kehadiran kasih sayang dan belaian ibu serta rasa terkilan, benci dan marah.

Ini yang terkadang walaupun dianugerahkan Allah hadiah-hadiah yang hebat seperti kerjaya cemerlang, sahabat setia mendengar dan kemewahan tidak kan mampu mengubat luka yang hadir.

Mudah sahaja Dila, ia harus bermula dari dalam diri Dila. Perkara asas yang perlu Dila lakukan adalah memaafkan ibu Dila. Ada sebab dia jadi begitu. Lazimnya individu yang suka mencari permusuhan dengan orang lain ada sisi silam mereka yang juga pahit. Mengikut teori, hanya individu yang pernah didera mampu menjadi pendera. Beban rasa, kesakitan, dendam silam dilepaskan kepada anaknya, itulah yang selalunya berlaku. Adalah menjadi virus keturunan jika dendam silam ini tidak diberes dengan baik. Mulakan belajar untuk menyelami sisi silam dan kehidupan ibu Dila, kenapa agaknya dia bersikap sedemikian.

Apabila Dila lebih mengerti penderitaan mahupun kesakitan yang pernah ibu alami, insya-Allah Dila akan lebih mudah memaafkan ibu. Kata-kata hikmah ada menyebut kemaafan merupakan hadiah paling mahal dan berharga bukan untuk orang lain tetapi untuk diri kita. Bersama iringan kemaafan, ia akan menemukan Dila kebebasan daripada beban rasa yang melelahkan. Bukan itu sahaja, ia akan membawa Dila kepada keharmonian dan kelapangan hati.

Isteri perangkap suami bersama madu

BAGI yang selalu minum madu, rasanya tentulah manis dan sedap selain membantu menyihatkan tubuh badan.

Namun manisnya madu, tidak sama dengan mereka yang hidup bermadu walaupun ada segelintirnya beroleh kebahagiaan.

Tentu ramai yang akan tersenyum sinis apabila membaca mukadimah saya minggu ini. Bagi lelaki, amat mudah untuk melafaz kata-kata ingin menambah cawangan atau berpoligami kerana kuasa ada di tangan mereka.

Berbeza pula dengan wanita kerana mereka hanya mampu membantah jika tidak setuju, itu pun bergantung pada nasib, belum tentu suami mendengar atau memang mereka sudah dimadukan.

Begitulah yang dilalui Farhana (bukan nama sebenar) apabila suami, Reza (bukan nama sebenar) menambah cawangan setelah dua tahun ditukarkan bekerja di utara.

Farhana berusia awal 40-an telah 15 tahun bernikah dengan Reza. Pasangan ini bekerja dengan syarikat swasta dan dikurniakan dua anak berusia 14 dan 12 tahun. Sebelum ini mereka keluarga bahagia.

Namun, berita kenaikan pangkat Reza sebagai pengurus yang pada mulanya dianggap rahmat dan rezeki, kini menjadi mimpi ngeri bagi Farhana yang disakiti Reza.

"Saya sudah dua tahun menanggung derita hati dan perasaan dengan sikap suami yang bernikah seorang lagi setahun lalu.

"Semuanya gara-gara dia dinaikkan pangkat dua tahun lalu sebagai pengurus. Dia ditukarkan bekerja di utara tanah air. Kerana kami bekerja di syarikat yang sama, memang saya tidak dapat ikut dia ke sana.

"Kerana memikirkan masa depan kami terutama anak-anak, saya reda suami pergi seorang ke sana untuk menjalankan tugasnya dengan doa dia tidak berubah dan terus cemerlang dalam kerjayanya.

"Saya mengambil cuti seminggu dan membawa anak-anak ke sana ketika suami ditukarkan dulu. Suami menyewa sebuah rumah yang sederhana besar bagi memudahkan saya dan anak-anak tinggal apabila berkunjung ke sana.

"Alhamdulillah, setahun berlalu semuanya berjalan seperti biasa. Dia kerap menelefon bertanya khabar. Sebulan dua kali kami berjumpa. Ada kala suami balik ke Kuala Lumpur, ada masa saya dan anak-anak turun ke utara.

"Siang malam setiap kali solat saya tidak lupa berdoa agar Allah permudahkan segala urusan hidup kami, dan kesihatan yang baik. Saya tidak pernah terfikir suami akan berubah hati kerana saya yakin dia memang sayang saya dan anak-anak.

"Bagaimanapun ujian Allah tidak memilih hamba-Nya. Masuk tahun kedua, suami mula nampak berlainan dari segi sikap, tingkah laku dan lebih mendiamkan diri padahal dia seorang yang suka bergurau dan mengusik saya dan anak-anak.

"Ini diikuti perubahan jadual bertemu saya dan anak-anak. Dulu dua kali sebulan saya boleh turun ke utara, kini tidak lagi. Dia memberitahu terlalu sibuk dengan kerja dan tiada masa menerima kunjungan saya dan anak-anak.

"Apabila saya tanya pegawai di syarikat kami, katanya tidak ada projek besar yang ada di utara melainkan urusan kerja biasa. Apabila saya telefon, dia mula beri alasan sibuk, nanti telefon semula dan macam-macam lagi.

"Saya tidak sedap hati. Saya cari maklumat daripada staf di sana yang saya kenal, malangnya semua mengelak daripada bercerita tentang suami saya.

"Seminggu saya memikirkan hal itu, tidur saya tidak lena, dan kerja juga terjejas. Akhirnya saya ke utara tanpa pengetahuan suami, ditemani adik perempuan saya.

"Kepada anak-anak, saya beritahu terpaksa hadir seminar di Pulau Pinang. Pada hari yang diatur, saya bersama adik bertolak ke utara. Kami sampai di sana lewat petang dan menginap di sebuah hotel. Saya tidak terburu-buru ke rumah sewa suami sebelum saya siasat apa yang berlaku.

"Malam itu saya dan adik nekad ke rumah tersebut dengan harapan kebenaran wujud di depan mata.

"Sampai di rumah itu, saya memberi salam. Seorang wanita berusia awal 20-an muncul dan menjawab salam saya. Orangnya tinggi lampai, tersenyum sambil menjemput saya masuk. Dia bertanya cari siapa dan apabila saya beritahu nama orang yang saya cari, dia pelawa kami masuk.

"Dia memanggil nama suami saya. Darah saya mula menyirap. Tubuh saya menggigil, seperti seluruh dunia ini bergoncang. Saya beristighfar banyak kali, minta Allah beri saya kesabaran.

"Lima minit kemudian muncul suami saya dan wanita itu. Ya Allah! Begitu besar ujian-Mu. Memang betul itu suami saya. Jadi siapa wanita itu? Adakah dia....? Melihat saya di situ, suami tergamam. Langkahnya terhenti.

"Tergagap-gagap dia bertanya bila saya datang, dengan siapa, mana anak-anak? Berani dia berlakon depan saya macam itu? Dia ingat saya ini patung, tidak ada hati dan perasaan. Akhirnya dia mengaku wanita itu isterinya. Mereka bernikah setahun lalu.

"Seperti biasa alasan lelaki, memang nak beritahu tetapi belum sampai masa. Jawapan standard. Saya tidak ada minat untuk bertanya banyak. Saya minta dia buat keputusan, pilih saya atau wanita itu. Saya bukan tamak, tidak juga ego tetapi kesal sikapnya yang membuatkan saya macam orang bodoh. Saya juga ada maruah dan harga diri sebagai wanita dan isteri.

"Selesai melepaskan apa yang terbuku di hati saya mengheret tangan adik dan keluar tanpa mengucapkan selamat tinggal. Saya mendengar isteri keduanya menjerit-jerit memarahi dia sambil menangis kerana tidak memberitahu yang dia sudah beristeri dan anak-anak. Bijaknya lelaki, mengaku bujang.

"Ketika ini air mata saya tidak dapat ditahan lagi, berlinangan di pipi, hancur luluh hati saya mengenangkan apa yang berlaku. Saya nekad apa yang akan berlaku selepas ini. Kepada Allah saya serahkan segala-galanya."

Kepada Farhana, saya bersimpati dengan ujian yang menimpa anda, tetapi saya puji sikap anda yang sabar dan cekal menghadapinya. Saya yakin anda punya keyakinan diri menangani masalah ini secara rasional. Banyakkan bersabar dan berdoa agar kehidupan selepas ini akan menjadi bertambah baik.

Apa juga keputusannya, utamakan masa depan anak-anak. Mereka adalah zuriat, anugerah Allah yang tidak terhingga kepada pasangan suami isteri.

Menutup catatan, wanita adalah matahari yang tidak pernah terbenam, jika pun tidak kelihatan, sinarnya akan sentiasa ada, menerangi hati dan jiwa.

Q&A : Sistem pertahanan badan

Saya kerap mendapat demam dan selsema berbanding rakan-rakan lain. Kawan mencadangkan saya agar mengambil vitamin C untuk membantu saya menguatkan sistem imun. Adakah ia memadai atau perlukah saya mengambil bersama vitamin lain untuk memperkuatkan sistem pertahanan tubuh?

Jawapan: Sistem imun yang lemah bukan sahaja meningkatkan risiko mendapat demam, selsema tetapi juga pelbagai jangkitan serta masalah kesihatan. Proses penyembuhan daripada masalah kesihatan juga akan lebih perlahan. Demam, selsema, mudah jatuh sakit dan jangkitan, sering kelesuan, merupakan beberapa contoh lazim yang mungkin berkaitan kelemahan fungsi imun.

Sistem imun adalah kompleks dan penting untuk kesejahteraan hidup. Sistem imun yang kuat dan seimbang diperlukan untuk pengekalan kesihatan. Kemerosotan sistem imun boleh disabitkan oleh pelbagai faktor termasuk tekanan emosi dan fizikal, persekitaran, pendedahan terhadap radiasi dan pelbagai lagi. Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang juga turut memberi impak ke atas sistem imun.

Antara nutrien-nutrien penting yang bermanfaat kepada sistem imun adalah beta-karoten, vitamin C, E dan beberapa mineral seperti selenium dan zink. Tidak dapat dinafikan cara terbaik memperolehi nutrien-nutrien ini adalah melalui pengambilan pelbagai jenis makanan. Makanan berkhasiat seperti sayuran segar dan buah-buahan, bijirin penuh serta jumlah protein yang mencukupi adalah penting untuk memperolehi tubuh yang sihat. Namun akibat pengambilan makanan proses yang banyak serta tabiat pemakanan yang seringkali diabaikan dan ditambah pula dengan gaya hidup yang tidak sihat, pengambilan suplemen mungkin boleh membantu dan boleh dijadikan alternatif.

Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling banyak difahami. Fungsi asasnya adalah untuk membantu dalam pertumbuhan dan pembaikan tisu serta mengekalkan gusi, tulang dan gigi yang sihat. Ia penting untuk fungsi sistem imun yang optimum dan membantu tubuh melawan jangkitan.

Vitamin C merupakan salah satu nutrien radikal bebas yang utama. Bagaimanapun, ia tidak boleh disimpan dalam tubuh dan mudah termusnah oleh haba semasa memasak. Kita perlu mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C setiap hari untuk memperolehi bekalan yang berterusan.

Vitamin E pula perlu untuk mengekalkan sistem imun yang sihat, jantung, dinding kapilari, kulit dan mengurangkan keterukan keradangan. Ia juga memainkan peranan dalam melambatkan masalah degeneratif seperti penuaan pramatang. Zink dikenali sebagai nutrien mikro kerana diperlukan dalam jumlah kecil untuk kesihatan. Ia disahkan sebagai nutrien penting yang diperlukan untuk fungsi imun yang optimum, kesihatan kulit dan penyembuhan luka.

Mineral seperti selenium juga diperlukan untuk pembentukan enzim glutathione peroxidase, di mana enzim ini memainkan peranan penting dalam pertahanan daripada radikal bebas. Selain itu, selenium mengekalkan hati berfungsi secara optimal, merangsang sistem imun, selain untuk mata, kulit, rambut dan jantung.

Selain daripada menggalakkan sistem imun yang lebih baik, nutrien-

nutrien ini juga merupakan antioksida yang membantu meneutralkan radikal bebas dalam tubuh. Dalam tubuh, radikal bebas ini terbentuk hasil daripada pengoksidaan. Bahaya akan timbul apabila lambakan berlebihan radikal bebas berada dalam tubuh. Dengan sebab itulah vitamin dan nutrien seringkali digabungkan bersama dalam satu formulasi untuk kesan sinergistik.

Dalam usaha memperkuatkan sistem imun, jangan abaikan aspek emosi iaitu tangani stres dengan baik serta sentiasa amalkan pemakanan seimbang dan sihat serta tekankan amalan gaya hidup sihat.

Curang, lelaki dan pengalaman mereka...

Oleh Kucing Jantan

Dalam keluaran lalu, Kucing Jantan ada menyenaraikan ‘pedoman penting mengendalikan telefon bimbit’ yang biasanya lelaki curang praktikkan untuk memastikan perangai buruknya itu dapat terus ditutup.

Mungkin kerana cara ia ditulis dengan sifat Kucing Jantan yang ada kalanya nakal dan gemar mencabar, ada yang menyalahertikan pendedahan itu sebagai mahu mengajar dan mengalakkan kecurangan.

Malah ada yang menganggapnya sebagai satu bentuk ajaran sesat. Kucing Jantan tiada niat langsung untuk berbuat demikian, apatah lagi mahu meruntuhkan institusi keluarga.

Dengan pendedahan itu, Kucing Jantan jangkakan yang akan marah ialah mereka yang berbuat curang atau berhajat berbuat curang kerana rahsia sudah terdedah. Lantas apa yang diharapkan ialah peluang untuk berlaku curang dapat ditutup.

Apa yang Kucing Jantan cuba kupas ialah realiti kehidupan yang diwarnai dengan pelbagai ragam dan kerenah, yang selalu mengitari kehidupan manusia. Kecurangan adalah antara kisah yang selalu kita lihat dan dengar.

Kucing Jantan harapkan pendedahan itu dilihat sama seperti polis yang mendedahkan modus operandi atau cara penjenayah melakukan rompakan. Tentu saja kita juga boleh anggap polis mengajar cara orang merompak.

Jenayah

Begitu juga siri drama jenayah seperti CSI (Crime Scene Investigation) yang begitu popular sekarang, yang memperincikan bagaimana jenayah dilakukan. Kisah sebenarnya ialah bagaimana polis dibantu dengan sains forensik menyelesaikan kes-kes jenayah tetapi sekali lagi ia juga boleh dilihat sebagai mengajar dan menggalakkan orang melakukan jenayah.

Tetapi Kucing Jantan tidaklah mahu berhujah panjang dalam soal itu. Kucing Jantan sentiasa terbuka dengan kritikan dan pandangan. Dan, sebagai menghormati dan menghargai pembaca, Kucing Jantan sertakan sebahagian luahan hati mereka.

Surat 1:

Dari artikel Ada rahsia apa dalam telefon bimbit lelaki? dan artikel sebelumnya, ia telah mengukuhkan pendapat saya bahawa Kucing Jantan adalah seorang lekaki cauvinis, tidak kuat pegangan agama, mementingkan diri sendiri, kurang rasa tanggungjawab sesama manusia dan mungkin mengimpikan kehidupan hedonistik ala-ala Hugh Hefner.

Ini simbolik dengan perangai dan kehidupan kucing jantan di lorong-lorong belakang rumah. Ia akan membuntingkan selagi ada kucing betina dan memakan anak jantannya sendiri yang sama warna atau serupa dengannya. Ini tipikal ‘territorial behaviour’ kucing jantan kerana takut dicabar oleh anaknya apabila besar kelak.

Kucing Jantan tidak perlulah menjadi ejen Dajal untuk memecah-belahkan institusi kekeluargaan yang sememangnya rapuh sekarang dengan menggalakkan orang lelaki untuk berlaku curang. Orang lelaki dahulu tidak perlu telefon bimbit untuk berlaku curang pun. Kadang-kala akibat daripada kecurangan, perkahwinan seterusnya berlaku ataupun bercerai-berai. Tetapi tidak semestinya perkahwinan baru membawa kebahagiaan.

Ini adalah kerana orang lelaki kerdil otaknya dan tidak pandai multi-tasking. Kebiasaannya, isteri pertama dan anak-anak terbiar kebajikan mereka, kehidupan menjadi haru biru dan ada yang mengalami trauma. Contoh-contohnya saya lihat sendiri berlaku kepada ahli keluarga saya.
Contoh pertama, ahli keluarga saya ini berkahwin nombor dua dengan staf tempat bekerja. Malang baginya, isteri kedua kuat main ilmu. Akibatnya sejak 20 tahun lepas hingga sekarang, ahli keluarga saya itu dan isteri pertamanya asyik sakit pelik-pelik. Hinggakan doktor-doktor di sebuah hospital swasta memanggilnya penyakit OGK (Only God Knows). Yang kaya hospital itulah.

Contoh kedua, ahli keluarga saya ini berkahwin dengan isteri kedua yang lagi hebat darinya (isteri pertama diceraikan). Bila ahli kelurga saya itu pergi bekerja, isteri kedua bawa lelaki lain balik rumah dan main sandiwara di dalam bilik tidur. Malangnya, anak lelaki yang bersekolah rendah masa itu nampak apa yang berlaku.

Contoh ketiga, ahli keluarga saya ini kahwin cerai, kahwin tinggal hinggakan tidak terhitung isteri-isteri serta anak-anak berapa dan di mana. Bab-bab tanggungjawabnya terhadap keluarga memang tiada.

Mungkin balasan dari Allah agaknya, beliau terlantar sakit di hospital selama setahun. Ibu mertua tiri terakhir agaknya sudah jemu, jelak dan menyampah menjaga beliau.

Akibatnya, ahli keluarga saya itu meninggal dunia di dalam keadaan daif dan penuh dengan kesengsaraan. Tiada anak-anak di sisinya semasa menghembuskan nafas terakhir.

Oleh itu Kucing Jantan, janganlah mengagungkan sangat idea perlakuan curang kerana keseronokannya hanyalah sementara tetapi akibatnya mungkin tiada siapa sanggup melaluinya. Ingatlah dosa pahala.

Berkahwin lebih daripada seorang boleh jika mampu berlaku adil dari segi kewangan, fizikal, batin, masa, mental dan spiritual. Saya rasa tidak ramai lelaki begitu, mungkin 0.00000001 peratus. Tetapi kubur kan asing-asing. Jangan Kucing Jantan jadi seperti kucing jantan tua berkurap, tidak disayangi sesiapa, terbuang, hidup segan mati tak mau sudahlah.

Yang salah... lelaki

KISAH jangan hukum isteri kedua minggu lalu menerima banyak pandangan. kebanyakannya menyanggah pengalaman Azharina , namun saya paparkan tiga pandangan yang berbeza.

Puan Lily yang menentang poligami dalam e-melnya berkata, kalau dah ambil laki orang tak payah tanya pandangan orang lain. Sememang jelas wanita tak ada wanita yang gembira dan suka apabila suaminya dirampas.

''Lagi satu, tak payah cakap pasal Qada dan Qadar, kalau semuanya pakai Qada dan Qadar tak payahlah ibu bapa bersusah payah didik anak-anak masing-masing untuk jadi manusia. Bbiarkan saja mereka membesar dan serahkan pada takdir sama ada mereka nak jadi penagih, pembunuh, perompak ataupun perogol. Tawakal saja pada Allah. Adakah itu cara yang Azharina mahu? '' kata Lily.

Puan Sali pula dalam emelnya berkata, tidak ada manusia yang sama pandangan bila bercakap tentang poligami. Namun rata-rata semuanya memang tak suka.

''Saya sendiri tidak sanggup berpoligami. Bukan menentang, tetapi saya tau hati saya dan saya berhak untuk hidup bahagia, walaupun bukan bersama seorang lelaki dipanggil suami. Saya lebih rela berpisah daripada berkongsi. Tahniah wanita yang sanggup bermadu.

''Saya tidak bersetuju jika anda kata suami tak bahagia dengan isteri pertama. Bahagia adalah perasaan dalam diri sendiri. Jika tidak bahagia mengapa harus bersama lagi? Kalau alasannya kerana sayangkan anak-anak, itu alasan paling lemah. Bahagiakah anak-anak melihat ibu bapanya sentiasa bertengkar, bergaduh dan tidak bertegur sapa setiap hari?

''Ingat, anak-anak melihat semua itu, dan ia memberi impak negatif kepada mereka. Jadi lebih baik bercerai. Namun lepas cerai si ayah masih boleh menghubungi, melawat, memberi nafkah kepada anak-anak dan meluangkan masa bersama mereka, itu adalah lebih baik daripada memberikan mereka gambaran palsu dan berpura-pura bahagia sedangkan tidak. Lelaki yang beri alasan tak bercerai kerana anak adalah lelaki yang lemah, tidak berani menghadapi kenyataan.

''Jadi isteri kedua juga mesti bersedia mental dan fizikal. Jangan pula kata isteri pertama tidak faham serta tidak mahu berkorban untuk suami. Tidak cukupkah ketaatan yang dicurahkan, melahirkan anak, mengurus rumah, menjaga maruah suami dan sebagainya, tetapi masih dikatakan tidak bahagia?

Rahsia

''Tidak salah kahwin suami orang, tetapi mesti terus terang, kenapa mesti ada rahsia dan minta orang lain menghormati anda dan jangan tuduh anda perampas. Tidak semua manusia itu sempurna dan sama pemikirannya.

''Memang jodoh pertemuan ketentuan Allah. Tetapi kita manusia ada akal yang Allah berikan jadi berfikirlah mana yang baik dan mana yang buruk, jika masih ingin berkongsi, teruskanlah dan terimalah risikonya dengan redha.

''Jangan terlalu memandang tinggi pada suami konon dia insan serba sempurna dan dianiaya isteri pertama, konon tidak pernah dapat hidup bahagia. Itu semua alasan dangkal,'' demikian kata Sali dalam emelnya yang menentang poligami.

Sementara itu Puan Zee dalam emelnya berkata, dia tersenyum ketika membaca kisah Azharina, kerana dia juga isterfi kedua. Dia juga tidak pernah termimpi nak kahwin suami orang.

''Namun ketentuan Allah jua akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerimanya jadi suami. Tiga tahun lamanya kami merahsiakan perkahwinan dan selama itulah saya berkorban dalam banyak hal, pernah Uzir kenalkan saya sebagai stafnya jika berjumpa orang yang dia kenal.

''Selama ini Uzir sering memberitahu isteri pertamanya begitu sempurna. Saya tidak cemburu kalau dia puji kemahiran isterinya dalam banyak hal. Tapi lama kelamaan saya sedar betapa cinta, kasih dan sayangnya Uzir terhadap isterinya begitu mendalam, malah saya merasa saya tidak diperlakukan dengan adil dalam banyak hal.

''Hinggakan saya sering bertanya kenapa dia kahwini saya kalau sudah ada isteri yang sempurna. Jawapannya mudah, saya baik dan dia sayangkan saya. Jiwa saya sangat terdera bila rahsia perkahwinan kami terbongkar. Uzir bertindak mendiamkan diri mengabaikan perasaan saya yang tertekan ketika saya diserang oleh isterinya.

''Ketika isterinya memaki hamun tuduh saya perosak rumahtangga dan kami anak beranak jadi punca pergaduhan mereka, Uzir hanya berdiam diri seolah-olah saya memang layak dipersalahkan. Konon sayalah hendak berkahwin dengannya.

''Pelbagai kata-kata kesat sehingga menyamakan saya dengan binatang haram dan menuduh saya tamakkan harta Uzir, tetapi saya bersyukur saya masih waras dan menelan saja segala kata-kata nista tersebut dengan deraian airmata.

''Ketika itu saya terasa Uzir telah mengkhianati saya dan tepati janjinya, kerana dia langsung tidak membela saya malah mendiamkan diri. Dan Uzir meletakkan semua kesalahan ke atas bahu saya. Saya percaya Allah Maha Mengatahui dan Maha Adil atas setiap kejadian yang menimpa hambaNya kerana itu saya diam walaupun saya sering menitiskan airmata bila mengenangkan kembali saat-saat itu.

''Sedihnya ketika perniagaan Uzir berjaya dan bertambah mewah, hasil daripada apa saya usahakan hanya isteri dan anak-anaknya sahaja mengecapnya. Malah isterinya mendabik dada mendakwa kejayaan itu hasil pengorbanannya, sedangkan sayalah orang belakang tabir berkerja keras memastikan kejayaan syarikat. Saya bersyukur selama ini saya tidak pernah berharap atau mendoakan keruntuhan rumahtangga madu saya. Malah saya selalu doakan keberbahagiaan mereka.

''Dan mengapa wanita sering menyalahkan kaum wanita sahaja konon jadi perampas, sedangkan kaum lelakilah yang memulakan, menggoda, memujuk, merayu wanita jadi isterinya. Tetapi ketika mereka tersepit, mereka akan bertindak melepaskan diri sendiri, dan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Apakah itu adil? Demikian cerita puan Zee tentang pengorbanannya menjadi isteri kedua.

"Ketakutan itu membunuh"

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto WAHIDAH ZAINAL ARIPIN

BAGAIMANA perasaan anda andai suatu hari diberitahu doktor bahawa penyakit yang paling ditakuti sudah bersarang dalam tubuh? Gementar, cemas, takut dan pastinya soalan ini yang terbit dari bibir, "Mengapa saya?"

Soal sebanyak mana sekali pun, anda pasti tidak akan menemui jawapannya. Begitu yang dialami Lena Abdullah, saat disahkan bahawa ketulan kecil yang terdapat di bahagian pahanya adalah sel kanser yang sedang agresif.

Rasa takut dan putus asa menguasai diri. Berhari-hari beliau menangis dan memikirkan kenapa keadaan itu berlaku kepada dirinya.

"Saya tidak merokok, sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan. Malah saya juga tidak ada sejarah keluarga yang menghidap kanser, namun kenapa ia berlaku?," katanya memulakan bicara.

Namun, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak mahu mengalah dan terus bersedih. Berbekalkan sokongan keluarga terutama bila memikirkan anak-anak yang sedang meningkat remaja, dia mengumpul sisa kekuatan untuk bangkit melawan penyakit tersebut.

Melalui Internet dan buku, dia memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan. Tanpa menunggu lebih lama, Lena terus menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.

Tidak mempedulikan kata-kata 'nakal' seperti kemoterapi menyakitkan, wanita berasal dari Pulau Pinang itu tabah melalui setiap satu rawatan yang diwajibkan untuknya.

"Alhamdulillah, walaupun menderita kanser, namun saya bersyukur kerana sepanjang melalui detik itu saya tidak pernah rasa sakit yang teramat sehingga selesai rawatan kemoterapi terakhir sekitar Julai 2009," katanya.

Walaupun terdapat kesan sampingan seperti keguguran rambut dan kening ketika itu, namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang melawan penyakit itu. Lena menjalani kehidupan seperti biasa. Katanya dia ke pasar dengan memakai rambut palsu dan selendang.

"Sebenarnya kesan daripada rawatan itu berbeza setiap individu. Ada yang mengalami reaksi teruk ada yang sederhana. Tapi yang penting kita kena bersedia," katanya yang banyak mengamalkan pemakanan sup, buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang rawatan tersebut.

Melalui seorang teman, Lena mengetahui kewujudan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan berminat untuk terlibat dengannya. Sejak dua tahun lalu dia aktif terlibat dengan kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan pertubuhan itu.

Selepas melalui detik-detik yang sukar, wanita yang sentiasa ceria itu percaya dirinya kini semakin tenang menjalani hidup. Bersama rakan-rakan di NCSM, dia berkongsi pengalaman demi meningkatkan kesedaran pesakit dan juga masyarakat bagi melawan penyakit gerun tersebut.

"Ramai yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan bila mengetahui diri menderita kanser. Mereka bersedih dan menyerah kepada takdir semata-mata tanpa mahu berusaha. Bagi saya, kanser itu tidak membunuh, tapi ketakutan yang membunuh kita sebenarnya," katanya penuh yakin.

Lena menganggap kanser adalah rahmat yang diberi Tuhan hanya kepada insan terpilih sahaja. Penyakit itu katanya, mengajar tentang banyak perkara mengenai kehidupan yang hanya seketika cuma.

Rugi RM2,000 selepas berbual

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Menampilkan perwatakan warak dengan berjubah labuh dan bergerak dalam kumpulan, geng pukau di kalangan wanita Arab dipercayai kembali aktif dengan lebih licik menyasarkan wanita tempatan.

Terbaru, seorang suri rumah kerugian lebih RM2,000 apabila wang di dalam beg sandangnya hilang sekelip mata ketika memilih cermin mata di sebuah kedai di hadapan Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Zaleha Othman, 47, bersama suaminya, Suhaimi Ahmad, ke kedai berkenaan untuk melihat cermin mata.

Sewaktu kejadian, hanya ada mangsa, suaminya, seorang jurujual dan pemilik di kedai berkenaan, sebelum empat wanita Arab berjubah hitam dan berselipar masuk ke kedai berkenaan.

Kehadiran keempat-empat wanita itu menjadikan keadaan menjadi tidak selesa kerana ruang kedai yang agak sempit, sekali gus menyebabkan mangsa ingin keluar selain tidak berkenan dengan cermin mata yang dipamerkan.

Namun, katanya, ketika dia hendak keluar seorang daripada wanita Arab itu menghampiri dan menghimpitnya serta bertanya mengenai cermin mata, sementara tiga lagi kelihatan memerhati koleksi cermin mata di kedai itu.

“Saya kemudian meminta dia merujuk kepada juru jual yang berada di situ, tetapi dia enggan dan terus bertanya kepada saya sambil menghimpit saya dengan badannya menyebabkan badan kami bersentuhan.

“Beberapa detik kemudian, barulah wanita berkenaan membuka ruang bagi membolehkan saya keluar daripada kedai berkenaan, sebelum keempat-empat mereka turut bergegas keluar secara tergesa-gesa.

“Ketika itu saya tidak sedar langsung dan saya percaya terkena pukau. Saya yakin ketika dihimpit, wanita Arab terbabit mengambil kesempatan membuka zip beg sandang saya dan mencuri duit di dalamnya,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila suaminya meminta duit untuk membayar tiket tempat letak kenderaan.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati hanya tinggal beberapa keping wang RM100 dan RM50 di dalam begnya, sedangkan sebelum itu dia membawa lebih RM2,000.

“Menyedari perkara itu, saya dan suami terus berkejar ke Kompleks Pertama untuk mencari wanita berkenaan, malangnya mereka sudah hilang.

“Saya terkejut kerana mereka berani melakukan kegiatan itu di tempat terbuka dan tidak ramai orang, malah saya percaya mereka bergerak secara berkumpulan bagi memudahkan operasi jahat mereka,” katanya.

Dia berkata, pemerhatian melalui rakaman kamera litar tertutup dengan bantuan jurujual terbabit juga gagal mengesan perbuatan jahat tangan wanita Arab terbabit. “Mereka amat licik ketika menjalankan aktiviti itu, kerana kamera litar tidak dapat merakam perbuatan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, dia menasihati orang ramai supaya berhati-hati kerana percaya geng pukau membabitkan warga Arab kembali aktif.

“Saya masih ingat wajah wanita berkenaan dan saya percaya dia berusia sekitar 30-an hingga 40-an dan bertubuh sederhana.

“Saya harap orang ramai lebih berhati-hati ketika berada di kawasan awam, selain sentiasa mengawasi beg yang dibawa selain jangan terlalu mempercayai orang asing,” katanya.

Jumaat, Jun 17, 2011

Antara isteri taat, main kayu tiga atau poligami

Oleh Kucing Jantan

BRO senyum sendirian apabila membaca polemik mengenai penubuhan Kelab Isteri Taat. Bro tak mau ambil tahu siapa yang tubuhkan dan apa motifnya.

Walaupun Bro menolak sekeras-kerasnya seruan agar isteri melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ tetapi Bro bersetuju sangat dengan penubuhan kelab ini.

Mahu tak mahu kaum perempuan kena mengakui bahawa ramai di kalangan isteri sekarang sudah tidak taat kepada suami. Banyak kes yang berlaku bagaimana si suami menangkap si isteri curang dengan lelaki lain.

Bro dapat banyak cerita bagaimana perempuan yang bergelar isteri mengadakan hubungan sulit dengan rakan-rakan sepejabat. Bukan fasal si suami di rumah tu tak baik tetapi kerana si isteri tu yang tidak boleh kawal nafsu, nampak sikit lelaki kacak dan pandai pula ‘mengayat’ lemah longlai si isteri orang itu.

Masa tu tak kira dosa pahala dah, balik kat rumah mula la buat perangai, bila si suami suruh layan sikit jawapan diberi letih la, penat la, badan tak sihat la tetapi masa kat pejabat dok menggatal dengan lelaki lain, ok pula.

Sebab itulah Bro sokong kelab tersebut sebab mereka yang menubuhkan kelab berkenaan dah sedar betapa ramainya isteri yang semakin tak taat.

Jangan la dok bagi alasan kononnya kelab tu bertujuan nak pastikan si suami tak cari perempuan lain. Bagi Bro kalau pun lelaki nak kahwin apa masalahnya?

Bukankah Islam membenarkan si suami berkahwin empat selagi dia berdaya zahir dan batin. Bro tak faham la kenapa perempuan emosi sangat bab suami nak kahwin lain ni.

Poligami dibenarkan oleh Islam maknanya Allah SWT mengizinkannya, jadi buat apa yang kita susah payah dok pening kepala nak bertengkar setuju ke tidak.

Sebagai perempuan reda sahajalah ketentuan Illahi, kalau suami kita hendak berkahwin lain, tidak payah hendak gaduh-gaduh.

Kalau nanti si suami tidak jalankan tanggungjawabnya dengan betul dan adil, biarlah dia jawab dengan Tuhan.

Tak payah dok berdebat setuju atau tak setuju, bagi Bro perempuan yang tentang poligami ni sebenarnya tak faham hukum hakam agama dan yang Bro pelik tu ada antara mereka belum pun berkahwin.

Jadi Bro tak faham macam mana dia tahu poligami tu akan menyusahkan kaum wanita, setiap perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT pasti ada kebaikan, cuma manusia yang tak tahu melaksanakannya.

Daripada dok sibuk-sibuk fasal poligami tu lebih baik tumpu perhatian kepada nasib wanita yang tak berkahwin macam mereka.

Bagaimanapun dalam bab poligami ni, Bro percaya kalau si isteri tu baik dan melayan suami dengan sempurna, Bro percaya si suami tidak akan berkahwin lain tidak kira la muncul perempuan lawa macam mana sekali pun yang datang menggoda.

Bila si suami berkahwin lain ia ada dua sebab, pertama mungkin si isteri membosankan dan kedua, kerana pintu hatinya sudah terbuka untuk menerima cinta baru.

Jadi janganlah perempuan nak mengamuk tak tentu fasal bab poligami dan isteri kena taat ni. Memang perempuan zaman sekarang tak macam zaman dulu, banyak langkah kawalan dan peringatan perlu diberikan supaya mereka tidak terbabas.

Kebebasan yang diberikan oleh suami kadang kala menyebabkan mereka lupa batas sebagai seorang isteri biarpun mereka berjawatan besar. Tetapi kena ingat setinggi mana pun kedudukan mereka, syurga tetap di bawah telapak kaki suami.

Oleh itu apabila Kelab Isteri Taat ini ditubuhkan, janganlah anggap mereka hendak mencari publisiti sebaliknya mereka hendak memberi peringatan kepada kaum perempuan apa yang sepatutnya mereka utamakan.

Perempuan yang risau kononnya kelab seumpama itu akan disalahgunakan oleh lelaki, sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri.

Kalau pun ada lelaki yang cuba menyalah gunakannya itu bukan salah lelaki tetapi salah perempuan kenapa cepat sangat mereka terpengaruh atau lentok bila ‘diayatkan’ lelaki.

Bro bukannya nak tuduh tetapi inilah hakikat yang berlaku di sekeliling kita. Sebab itulah bila ada usaha hendak meningkatkan ketaatan seorang isteri, kita kena sokong.

Lagi pun Bro percaya setiap perkahwinan itu perlu sentiasa diberikan nafas baru terutamanya dalam soal hubungan suami isteri. Janganlah bila dah beranak pinak maka kasih sayang dan cinta antara suami isteri pun luntur.

Sebaliknya banyak perkara perlu dilakukan supaya biar pun sibuk mana pun kehidupan kita, hubungan suami isteri itu perlu sentiasa dijaga dan dipelihara.

Tetapi yang selalu Bro tengok perempuan bila dah ada anak mula nak lupa tanggungjawab layan suami, bila tidur malam pun nak peluk anak aje, si suami yang ‘kesejukan’ tak diendahkan.

Kesudahannya rumah tangga jadi muram dan tidak ceria, bila si suami jatuh cinta dengan perempuan lain mula la nak mengamuk.

Jadi nasihat Bro kepada kaum perempuan, apabila berlaku sesuatu dalam rumahtangga kita, jangan tuding jari kepada orang lain tetapi kajilah diri sendiri untuk mengetahui di mana silapnya yang memungkinkan cinta si suami beralih arah.

Kadang kala si suami bukannya hendak main kayu tiga tetapi sekadar untuk memberi peringatan kepada si isteri supaya jangan lupa tanggungjawabnya.

Minyak aroma terapi

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto Wahidah Zainal

RAMAI yang merungut kehangatan hubungan intim semakin lesu apabila usia meningkat

Sekiranya keadaan ini menjadi masalah yang boleh merenggangkan hubungan mesra suami isteri, adakah anda mengambil langkah yang sewajarnya untuk memperbaikinya sebelum terlambat?

Berjalan sambil berpegang tangan, menonton wayang, makan malam romantik yang diterangi cahaya lilin bukan terhad kepada pasangan muda-mudi.

Tetapi, ia juga patut diamalkan oleh pasangan yang telah lama menjalani kehidupan berumah tangga kerana ia boleh merapatkan kemesraan di antara pasangan.

Isyarat dan bahasa tubuh juga boleh digunakan untuk menyampaikan rahsia tersirat kepada pasangan. Cara yang lebih romantik menggunakan minyak aroma juga dapat menambat hati pasangan.

Tumbuhan seperti lavender, mawar, violet, lili dan banyak lagi akan dikeringkan serta ditampal mengikut kategori masing-masing bersama label kecil untuk membezakan antara satu jenis dengan yang lain.

Kini wangian seperti ini hadir dalam pati minyak yang menggabungkan khasiat 100 peratus pati minyak dengan bahan-bahan semula jadi bagi penjagaan holistik untuk merangsang kepekaan deria dan kesihatan kulit.

Dikenali sebagai minyak aroma terapi, ia merupakan rawatan melalui bau yang menggunakan beberapa titisan minyak pati tumbuhan.

Awet muda

Rawatan menggunakan minyak pati tumbuhan tertentu boleh menjadikan seseorang individu awet muda dan melambatkan proses penuaan di samping memberi kesan positif pada emosi dan psikologi mereka.

Terbaru daripada Sun Fabulous Sdn Bhd, minyak aroma terapi, Soulmate khusus untuk mengeratkan hubungan seks suami isteri.

Menurut Eksekutif Penyelidikan Sun Fabulous, Norehan Kasim, lilin vanila yang dinyalakan sebelum melakukan seks dapat mencipta suasana romantik.

Sains pula menunjukkan aroma terapi bekerja dan memberi haruman berbeza di dalam bilik tidur sehingga memberi rangsangan kepada suami atau isteri.

"Justeru memahami keadaan pasangan yang sudah berkahwin dan mengalami pasang surut hubungan seks, kami di Sun Fabulous mencipta formula atau rawatan alternatif menerusi minyak aroma terapi. Syarikat kami mengeluarkan Soulmate khusus untuk lelaki dan wanita yang mempunyai peranan berbeza.

Bagi wanita, minyak aroma dikatakan dapat mengawal perubahan emosi ketika datang haid atau menopaus. Jika wanita yang menopaus digalakkan melakukan terapi pindahan hormon iaitu HRT (Hormone Replacement Therapy) tetapi kami dapat membantu anda hanya dengan minyak aroma terapi. Hanya sapu di bahagian sulit wanita, ia akan merangsang seluruh sistem badan menjadi lebih stabil dan tenang," ujarnya.

Selain itu, Norehan memberitahu, minyak aroma terapi Soulmate ini membantu mengekalkan awet muda dam menganjal kulit wajah.

"Kandungan zat di dalam minyak pati ini akan memasuki ke dalam sistem aliran darah dan bergerak ke organ-organ dalaman kita. Sebahagian besar minyak tersebut mempunyai kebaikan terapeutik dengan organ tertentu atau sistem badan. Sebagai contoh, minyak mawar mampu menyingkirkan kesan tonik pada rahim. Selain itu, zat-zat di dalam minyak tersebut akan bergerak ke uterus dan membantu dalam penyembuhan rahim," tambahnya

Bagi golongan lelaki, aroma terapi Soulmate berfungsi untuk merangsang lelaki dan efektif ketika mengadakan hubungan seks.

Sebagai pengguna minyak aroma terapi ini, Fairos Osman, 43 merasakan perubahan terutama ketika mengadakan hubungan seks bersama isterinya.

"Isteri saya turut merasakan perubahan. Saya lebih bertenaga dan isteri dapat mencapai kepuasan yang sama seperti saya ketika mengadakan hubungan seks. Apa yang paling saya suka ialah minyak ini tidak mempunyai bau yang menyakitkan hidung tatapi aromanya lebih tenang dan romantik. Setiap pagi saya akan menggunakan minyak aroma untuk anti penuaan untuk keanjalan wajah. ramai yang menegur wajah yang kini lebih tegang dan segar," ujar bekas ahli bina badan ini.

Jangan hukum isteri kedua

SAYA tertarik sungguh dengan cerita kebanyakan isteri sanggup bercerai daripada bermadu. Sebabnya kerana bermadu hanya untuk suami mengecap kebahagiaan sedangkan isterinya hidup merana. Itu anggapan kebanyakan wanita bila tahu suaminya ingin berpoligami. Semua marah dan akan membenci bila ada wanita lain ambil suami orang." Demikian cerita Asharina dalam emelnya.

''Pada pendapat saya pahit atau manis hidup bermadu terpulang kepada individu itu sendiri menerimanya. Mungkin pembaca beranggapan mudah untuk saya berkata begitu kerana saya isteri kedua dan dalam bahasa kasarnya saya dicap perampas suami orang.

''Buat pengetahuan pembaca saya tak pernah bercita-cita nak bermadu. Tetapi ianya terjadi kerana kehendak Allah jua. Sebagai orang yang beriman tentu anda percaya kepada kadaq dan kadar. Dan itulah yang terjadi kepada saya.

''Saya kenali Az suami saya sekarang sejak 11 tahun lalu, waktu itu kami bekerja tempat yang sama, ketika itu saya ibu tunggal dan Az sudah berumah tangga. Waktu kami mula berkenalan hubungan kami telah dihidu oleh isterinya.

''Sebelum perkara buruk berlaku kerana salah faham lebih baik saya angkat kaki. Niat saya ketika itu semata-mata untuk menjaga keharmonian dan tak mahu digelar perampas, saya mengundurkan diri. Kerana memikirkan itu adalah jalan yang terbaik buat kami.

''Akhirnya kerana ada jodoh saya berkahwin dengan seorang duda anak satu dan sesuailah dengan saya juga yang sudah pun ada seorang anak.

"Malangnya rumahtangga saya dengan Bee sentiasa tak aman, sentiasa ada konflik. Kami sering berbalah dan tidak ada persefahaman.

''Pada mulanya Az menyangkakan hidup saya dengan Bee bahagia begitu juga saya sangkakan dia bahagia bersama keluarganya. Tapi keadaan rumahtangga mereka tetap sama. Az mendakwa hidup dan perasaan hatinya sudah tawar.

Jodoh

Dengan kuasa Allah saya bertemu semula Az, insan yang saya cintai tetapi dia tidak tahu masalah rumah tangga saya selama ini.

''Saya buat solat istiqarah selama 3 minggu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Az. Saya sedar risikonya dan saya juga sedar saat-saat kami bersama adalah amat singkat kerana jarak umur kami berbeza hampir 10 tahun. Tetapi apa yang pasti, kami sedar bahawa jodoh kami amat kuat. Walaupun saya cuba elakkan untuk bergelar isteri kedua 10 tahun yang lalu.

''Saya ingin bertanya, adakah orang seperti saya patut terus dipersalahkan tanpa menyelidik sejarah cinta kami? Adakah adil untuk Az dipersalahkan sedangkan rumahtangga yang sedia ada sememangnya tiada lagi bahagia? Saya juga seorang wanita, jika 10 tahun dulu saya tahu saya akan bergelar isteri kedua pasti saya akan mengahwini Az.

''Saya cuba mengelak tapi jodoh bukan di tangan saya. Salahkah kami mengecap kebahagiaan sekali lagi dengan lelaki bergelar suami? Saya amat menghormati madu saya walaupun sehingga kini dia masih meneka dalam kesamaran. Saya sentiasa nasihatkan suami saya agar menjaga hati isteri pertama dan berterus-terang dengannya.

''Tetapi segala masalah Az dengan isterinya bukan masalah saya. Saya boleh jadi pendengar bukan penghasut. Perkahwinan ini adalah atas dasar kasih sayang dan persefahaman. Bukan semua yang bergelar isteri kedua busuk hatinya dan bukan semua yang bergelar isteri pertama sanggup berkorban untuk suaminya.

''Pada saya di dalam sesebuah rumahtangga itu perlu ada kejujuran, keikhlasan dan persefahaman. Janganlah apabila suami beristeri baru atau kahwin lagi, jari hanya menunding pada sang suami tanpa rasa bersalah pada diri sendiri kerana beranggapan diri sudah terlalu hebat dan terbaik. Tiada siapa akan tahu cerita dalam kelambu kita kecuali pasangan itu sendiri dan Allah yang maha mengetahui.

''Jadi apabila suami berkahwin lain janganlah sesedap rasa memanggil insan sejenis kita sebagai betina dan suami pula jantan gatal dan mengumpat keturunannya.

''Saya amat bahagia dengan suami saya walaupun hidup tidak mewah kerana yang saya kahwini adalah kawan, sahabat, kekasih dan suami saya. Material bukanlah segalanya dalam hidup saya walaupun kadang-kala ia menjadi satu keperluan.

''Saya rasa kita sebagai wanita perlu bersikap rasional dan janganlah hendak menjatuhkan apa lagi hukuman tanpa melihat kenapa perkahwinan kedua suami kita berlaku serta menidakkan takdir serta ketentuan Allah untuk kita.

''Sekiranya dan sememangnya saya gatal hendak bermadu dan begitu juga dengan suami saya Az, kenapa kami perlu menunggu 10 tahun untuk berkahwin sedangkan dahulu kami masih sama-sama muda dan berupaya? Kenapa baru sekarang?

''Kini perkahwinan kami hampir 2 tahun. Saya berdoa ini adalah jodoh terakhir saya. Cukuplah apa yang telah saya lalui selama ini. Saya cuma ingin bahagia dan meneruskan hidup ini hingga ke akhir hayat bersama Az. Tidak akan ada orang lain lagi dalam hidup saya sebagai pengganti Az. Doa saya agar kami tidak akan berpisah lagi.

''Jadi, tolang beritahu saya, adakah salah saya kahwin suami orang? Semua wanita tak ingin malah tidak pernah terfikir untuk bercerai selepas berkahwin dan kebanyakan wanita tidak ingin berkongsi kasih tapi jika sekiranya jodoh kita telah ditentukan dengan seseorang itu , walau ke mana kita lari dan bersembunyi jodoh itu tetap menghampiri kita. Itulah yang berlaku pada saya, jadi jangan salahkan saya ataupun wanita lain yang menjadi isteri kedua mahupun ketiga, semuanya berlaku kerana telah disuratkan ke atas hidup mereka.'' Demikian cerita Azharina panjang lebar menjelaskan kedudukannya sebagai isteri kedua.

Bonjolan tanda kanser?

Soalan 2

Bonjolan tanda kanser?

Saya berumur 31 tahun dan mempunyai dua orang anak. Saya mempunyai kemusykilan yang sudah lama saya simpan dan malu untuk bertanya sebelum ini. Saya mempunyai bonjolan di bahagian bawah kedua belah ketiak saya. Dulu semasa saya masih anak dara saya ingat kan dia hanyalah lebihan lemak dan mungkin kerana saya mempunyai saiz payu dara yang agak besar. Tapi daripada dahulu saya memang malu untuk memakai kemeja-T atau baju yang berlengan sangat pendek kerana bonjolan lemak pada bawah ketiak saya itu akan nampak terkeluar.

Sehingga saya melahirkan anak yang pertama. Ibu saya perasan bonjolan itu dan bertanya kepada saya. Saya pun memang tak tahu kenapa saya ada bonjolan sebegitu dan rasa malu bila di ajukan soalan itu. Ibu saya mendesak saya supaya buat pemeriksaan kerana dia risau bonjolan itu adalah tanda-tanda kanser payu dara. Disebabkan rasa takut malu dan segan saya untuk berjumpa doktor saya memberi bermacam-macam alasan kepada ibu saya.


Doktor, bonjolan itu tidak pernah menyakitkan saya hingga semasa saya mengalami bengkak susu. Bonjolan itu turut saya mengeras dan menyakitkan seperti payu dara saya. Sekarang bonjolan itu kembali lembut seperti lemak biasa. Saya tertanya-tanya adakah bonjolan ini adalah tanda-tanda awal kanser payu dara seperti mana yang ibu saya fikirkan. Apakah yang saya lakukan?

* Yus, Dengkil


Jawapan:

Daripada sejarah dan simptom yang diceritakan, kemungkinan besar bonjolan yang dialami oleh Puan Yus disebabkan payu dara tambahan. Ia juga dikenali sebagai accessory breast atau polymastia. Sebanyak 0.4 hingga 6 peratus wanita mempunyai accessory breast ini. Besar kecilnya kelenjar payu dara tambahan ini pun bervariasi.

Adanya payu dara tambahan ini pada salah satu sisi ketiak ataupun kedua-dua belah ketiak. Kebiasaannya bonjolan (payu dara tambahan) akan lebih ketara semasa seseorang itu hamil atau menyusu anak. Ini disebabkan oleh rangsangan hormon.

Kadang-kadang bonjolan ini juga mempunyai areola (kulit berwarna gelap mengelilingi puting susu) dan juga puting susu. Maka tidak mustahil jika ia juga boleh mengeluarkan susu.

Wanita dengan kelainan seperti ini biasanya tidak selesa dengan kondisi tubuhnya. Munculnya kelenjar payu dara tambahan ini juga perlu berwaspada. Bonjolan yang tumbuh sebagai payu dara tambahan ini berkemungkinan berkembang menjadi tumor atau kanser yang tidak diingini.

Saya nasihatkan semoga Puan Yus berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Mungkin Puan Yus dinasihatkan untuk menjalani pembedahan pembuangan bonjolan ini jika ia merungsingkan dan juga untuk sebab kosmetik. Pada masa yang sama bonjolan tersebut dapat dikaji dengan lebih terperinci bagi mendapatkan diagnosis yang sebenar.