#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, November 12, 2009

Ditipu jurujual kereta

KUALA LUMPUR: Niat seorang gadis membeli kereta baru bagi memudahkan urusan sehariannya berakhir dengan kekecewaan apabila dia diperdaya seorang jurujual kereta dalam satu kejadian baru-baru ini.

Mangsa, Nurul Liana Noor, 21, seorang kakitangan kerajaan berkata, dia berhasrat membeli Proton Saga berharga RM38,000 dan mengunjungi bilik pameran yang terletak di Jalan Kuchai Lama, di sini bagi membuat urusan jual beli.

“Ketika di bilik pameran itu, saya dilayan seorang jurujual dikenali sebagai Yus. Bagi membuat tempahan, saya kemudian diminta membuat bayaran sebanyak RM300.

“Beberapa hari kemudian saya dimaklumkan bank sudah meluluskan pinjaman kereta yang bakal dibeli itu dan saya diminta pula membayar pendahuluan RM 4,298 bagi urusan dokumentasi. Wang itu diserahkan kepada jurujual terbabit dan diberi resit rasmi,” katanya.

Namun, sebaik hari penyerahan kereta, jurujual itu meminta dia mengambil kereta di bilik pameran lain yang terletak di Pandan Indah.

“Saya mula curiga dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena namun pergi juga ke bilik pameran yang dikatakan dan mendapati jurujual itu tiada di situ.

“Saya cuba menghubungi jurujual itu tetapi gagal sebelum ke pejabatnya di Jalan Kuchai Lama. Saya terkejut apabila diberitahu jurujual terbabit sudah diberhentikan kerja,” katanya, semalam.

Selain itu, majikan jurujual itu turut mendakwa mereka tidak pernah mengetahui tentang urusan jual beli keretanya.

“Lebih menyedihkan resit yang diberikan kepada saya adalah palsu walaupun tercetak nama syarikat pengedar itu. Sungguh mengecewakan kerana saya bukan membuat urus niaga di kedai kopi tetapi di bilik pameran,” katanya.

Laporan mengenai kejadian itu sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Brickfields kerana mendakwa ditipu.

Padah guru cemburu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Akibat cemburu buta dan membuat tuduhan melulu kononnya suami mempunyai kekasih gelap, seorang wanita dibelasah pasangan hidupnya itu sebelum dikurung dalam bilik di sebuah pangsapuri di Damansara Damai di sini, pagi semalam.

Difahamkan, kejadian hanya disedari selepas wanita terbabit yang juga seorang guru berusia 30-an di sebuah sekolah di Kuantan, Pahang, menghubungi polis meminta bantuan supaya dia diselamatkan segera.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam apabila polis menerima panggilan kecemasan daripada mangsa yang meminta diselamatkan daripada dikurung dalam bilik oleh suaminya.

Polis yang menyangka ia kes penderaan bergegas ke pangsapuri berkenaan untuk menyelamatkan wanita itu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di pangsapuri berkenaan, suami wanita terbabit enggan bekerjasama walaupun anggota polis berulang kali mengetuk pintu rumah dan memintanya membuka pintu.

Susulan itu, polis terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan selepas berusaha lebih 15 minit untuk memujuk lelaki terbabit.

“Sebaik pintu dibuka, polis membebaskan wanita terbabit yang dikurung dalam sebuah bilik di rumah itu dalam keadaan selamat tanpa kecederaan serius.

“Namun, agak mengejutkan apabila wanita terbabit berubah fikiran dan meminta anggota polis beredar dan tidak masuk campur masalah rumah tangga mereka,” katanya.

Malah, wanita terbabit merayu polis supaya tidak mengambil tindakan termasuk menangkap suaminya yang didakwa hanya melakukan kesilapan kecil susulan salah faham.

“Siasatan mendapati wanita terbabit mengaku dipukul suaminya, namun menganggap ia lumrah hidup berumah tangga dan perkara berkenaan dapat diselesaikan sendiri.

“Siasatan juga mendapati, wanita terbabit yang berasal dari Kuantan sebelum ini menaiki bas ekspres untuk ke ibu kota, semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan sebelum ini mengesyaki suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain menyebabkan dia datang ke pangsapuri suaminya itu untuk membuat pemeriksaan mengejut.

“Namun, tindakan wanita terbabit menyebabkan suaminya ‘naik angin’ kerana tuduhan itu tidak berasas apabila tiada wanita lain ditemui di rumah mereka.

“Susulan itu berlaku pergaduhan menyebabkan mangsa dipukul sebelum dikurung suaminya dalam bilik,” katanya.

Suami mangsa yang disoal siasat mendakwa isterinya terlalu sensitif dan cemburu tidak bertempat menyebabkan mereka sering bertengkar.

Polis hanya mengambil keterangan pasangan terbabit sebelum membebaskan mereka.

Pendam gelodak batin 20 tahun

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammadahmad

shahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Malu diperli atau disindir mendorong segelintir isteri sanggup memendam gelodak batin lebih 20 tahun apabila suami yang sudah memiliki ‘pucuk muda’ langsung tidak menyentuh mereka walaupun tidak mengabaikan keperluan zahir, termasuk memberikan wang untuk keperluan harian.

Malah, ada lelaki yang mempunyai isteri baru sanggup memberikan pelbagai alasan termasuk menghidap penyakit kronik sehingga langsung tidak boleh tidur sekatil dengan isteri tua kerana kononnya boleh menimbulkan masalah kesihatan.

Ini menyebabkan isteri yang tidak tahan dengan gelodak batin terpaksa membawa masalah mereka ke mahkamah bagi menuntut cerai ‘tanpa rela’, tetapi menggunakan alasan lain bagi menjaga maruah diri supaya tidak dilabelkan sebagai wanita gila seks.

Bagaimanapun, ada wanita yang sanggup bertahan bertahun-tahun menanggung derita batin walaupun melakukan pelbagai usaha bagi menarik hati suami, tetapi pasangannya yang balik ke rumah lebih rela menonton dan terlelap di depan televisyen daripada melayani isteri.

Gejala tidak sihat di kalangan isteri menderita itu didedahkan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih Sungai Besi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman, yang mengaku menerima banyak aduan mengenai isteri tidak diberikan nafkah batin selama bertahun-tahun.

Menurutnya, aduan itu bukan pelik, tetapi ia kenyataan yang perlu diterima apabila ada di kalangan suami sanggup menipu isteri dengan memberikan alasan tidak sihat atau menghidap penyakit kronik yang kononnya terpaksa membataskan perlakuan seks dan tidak boleh tidur sekatil dengan isteri.

“Alasan itu digunakan bertahun-tahun bagi mengelak tanggungjawab memberi nafkah batin kepada isteri. Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar apabila si suami meninggal dunia dan suami didapati mempunyai isteri baru dan anak lain.

“Ketika hidupnya dia tidak melayan nafkah batin isteri dengan alasan tidak sihat, tetapi pada masa sama sanggup berada di depan televisyen berjam-jam,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Wan Abdul Halim yang lebih 30 tahun berkecimpung dalam persatuan ibu tunggal berkata, gejala tidak sihat itu membabitkan isteri berusia 18 hingga 50 tahun yang mengakui tidak diberikan layanan seks bertahun-tahun oleh suami.

Malah, katanya, ada lelaki tidak menyentuh isterinya bertahun-tahun walaupun mereka masih tinggal di rumah sama sehingga si isteri terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah.

“Bagaimanapun, bagi menjaga maruah, isteri terpaksa menggunakan isu lain sebagai alasan walaupun nafkah batin isu utama yang sepatutnya diutarakan di mahkamah.

“Senario ini terlalu kerap berlaku dan seolah-olah menjadi asam garam dalam masyarakat sehingga ada isteri yang sanggup menyimpan gelodak jiwa mereka,” katanya.

Menurutnya, gejala ini sebenarnya satu penderaan terhadap golongan isteri yang sering menjadi sasaran apabila suami berkahwin lain secara sulit sehingga mengabaikan tanggungjawab batin terhadap isteri lain.

Tanpa berselindung, Wan Abdul Halim menganggap golongan suami terbabit manusia yang tidak hiraukan dosa dan hanya tahu melayan nafsu sendiri dengan mengambil kesempatan terhadap isteri yang sepatutnya dijaga sebaik-baiknya.

Ditanya sama ada wujud kes isteri yang terbabit dengan gejala tidak sihat apabila menghadapi masalah nafkah batin, Wan Abdul Halim tidak menafikannya, tetapi jumlahnya terlalu sedikit berdasarkan aduan diterima.

Menurutnya, kebanyakan aduan isteri yang menghadapi masalah itu lebih menjurus kepada menuntut perceraian di mahkamah tanpa mengaitkan diri dengan masalah nafkah diabaikan suami bertahun-tahun.

Lebih malang, katanya, ada wanita yang tidak mendapat galakan daripada keluarga dan rakan untuk mengetengahkan isu itu di mahkamah.

“Nasihat negatif kononnya tuntutan itu akan memalukan isteri dan golongan wanita mendorong isteri yang menderita tidak meneruskan hasrat ke mahkamah walaupun mereka mempunyai hak.

“Berdasarkan pemerhatian dan aduan, saya mahu gejala ini dibendung segera supaya tidak menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat, termasuk menghadapkan suami yang mengabaikan tanggungjawab batin kepada isteri ke mahkamah,” katanya.

Selasa, November 10, 2009

Tips Pemanduan Berhemah

Kosmo
GENK

Menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya adalah penting bagi mengelak berlakunya kemalangan. Namun begitu, kebanyakan pemandu yang ada di jalan raya tidak memiliki ciri-ciri tersebut.

SERINGKALI kita berdepan dengan pemandu yang tidak sopan dan gopoh di jalan raya. Mereka dengan sewenang-wenangnya membunyikan hon atau memotong barisan tanpa memberikan lampu isyarat. Ini akan membahayakan pemandu lain terutama bagi mereka yang baru memiliki lesen.

Remaja mungkin terdedah dengan bahaya apabila sesetengah daripadanya begitu ego di jalan raya. Pantang dicabar pasti mereka akan melenting.
GenK senaraikan beberapa tip pemanduan berhemah buat remaja:

Tali pinggang: Pakai tali pinggang keledar ketika memandu dan tegaskan penggunaannya kepada penumpang lain.

Rancang perjalanan: Dapatkan maklumat secukupnya jika anda tidak tahu destinasi yang ingin dituju. Anda perlu mengenal pasti laluan yang akan diambil untuk mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan teragak-agak. Memasuki lorong secara tiba-tiba akan menyebabkan anda atau pemandu lain berdepan dengan bahaya.

Rehat: Elakkan diri memandu pada tengah malam atau awal pagi kerana ketika itu tubuh memerlukan rehat. Perjalanan jauh selepas bekerja atau makan menyebabkan anda letih dan mengantuk.

Ubat-ubatan: Elak mengambil minuman atau ubat yang memberi kesan mengantuk seperti minuman bersusu, ubat selesema atau demam.
Perasaan negatif: Tenangkan diri dahulu sebelum memandu. Ini kerana jika memandu dalam keadaan marah atau sedih, ia bakal mendorong anda melanggar peraturan jalan raya seperti memandu laju atau secara berbahaya.

Jarak: Kekalkan jarak selamat antara kereta anda dengan kenderaan di hadapan. Jika memandu ketika hujan lebat, kekalkan jarak yang jauh sedikit antara kereta dengan kenderaan di hadapan atau belakang anda.

Peka: Peka dan berhati-hati jika sesebuah kereta membelok dengan tiba-tiba untuk mengelak daripada masuk ke dalam lubang besar atau lopak air di jalan raya.

Tayar: Periksa keadaan tayar kereta anda. Pastikan tekanan angin mencukupi dan bunga tayar masih ada untuk mendapat pemanduan serta cengkaman yang baik. Ia penting untuk menjamin keselamatan anda ketika memandu di jalan raya terutamanya ketika hujan.

Tip mempertahankan diri

Kosmo - GenK

SEBAGAI remaja terutamanya wanita, mereka selalunya terdedah dengan ancaman bahaya ketika berada di luar rumah.

Mereka sering menjadi sasaran perogol, perompak atau penculik.

Terdapat beberapa tip mudah untuk menggelakkan diri daripada situasi bahaya tersebut.

Umumnya, idea terbaik adalah dengan menggunakan akal fikiran. Malangnya, ia mungkin tidak memadai.

Sebagai wanita, penting jika mereka tahu cara-cara untuk mempertahankan diri. Walaupun tenaga wanita tidak sekuat lelaki, memadai jika mereka tahu apa yang perlu dilakukan ketika diri diancam bahaya.

Berikut adalah tip yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri.

Jerit sekuat hati

Apabila anda merasa kurang selamat, apa yang perlu anda lakukan adalah menjerit sekuat hati. Ini akan membuatkan penjenayah tersebut panik dan merasa was-was untuk menyerang anda.

Jika penjenayah mengacukan senjata seperti pisau atau pistol ke arah anda dari dalam kereta, lari jauh dari kenderaan itu dan pada masa yang sama menjerit. Ia mungkin akan membuat penjenayah melarikan diri.

Gunakan kekuatan tangan

Jika penjenayah menghampiri anda, genggam kedua-dua belah tangan dengan sekuat hati dan tumbuk bertubi-tubi pada muka penjenayah.

Anda juga perlu bertindak segera dengan menendang kemaluan penjenayah atau titik-titik yang boleh melemahkan diri seperti mata dan lutut.

Jangan perhatikan satu bahagian tubuh penjenayah sahaja. Sebaliknya lihat secara menyeluruh dan perhatikan mana-mana bahagian yang boleh diserang. Sebagai contoh, jika penjenayah memakai subang, tarik subangnya sekuat hati.

Apabila penjenayah tunduk kesakitan, anda boleh lari sambil meminta pertolongan.

Teknik 'kunci kaki'

Jangan sesekali membuka kaki lebih luas jika berdepan dengan penjenayah. Ini memberi peluang kepada mereka untuk menjatuhkan anda.

Jika anda sedar ada dinding berhampiran, sasarkan penjenayah ke arah dinding dan humbankannya.

Jangan panik

Sekiranya anda sedang berjalan, jangan berkelakuan seolah-olah anda mudah menjadi sasaran seperti berjalan sambil tunduk ketakutan dan sebagainya. Tampilkan diri sebagai seorang yang berani.

Usah pakai barang kemas yang terlalu menonjol untuk mengelak perhatian penjenayah.
Sekiranya bertarung dengan penjenayah, elakkan membuat tendangan atau tumbukan dalam keadaan panik atau menutup mata.

Cuba tenangkan diri dan fikir apa yang harus anda lakukan.

Penyembur mata

Paling penting, sediakan pewangi semburan (dalam botol kecil) atau semburan lada setiap masa di dalam beg tangan anda. Ancaman bahaya boleh datang pada bila-bila masa. Justeru, sentiasalah membuat persediaan.

Gunakan apa juga objek

Gunakan apa sahaja objek di sekeliling untuk mencederakan penjenayah. Sama ada kunci kereta, kasut, batu, kayu, payung atau sebagainya. Anda juga boleh bersedia dengan kunci kereta saat memasuki tempat letak kereta.

Jangan mudah menyerah kalah

Jika masih dalam keadaan sedar, lawan dan serang balik. Jangan sesekali menyerah kalah. Salurkan seluruh tenaga pada tangan dan kaki anda untuk mengelakkan anda dicederakan.

Lelangit lembut

ARKIB : 08/11/2009
Utusan Malaysia
Kesihatan


LELANGIT lembut memainkan peranan penting dalam proses menelan makanan dan pertuturan.

MUNGKIN agak pelik bunyinya, apatah istilah seperti 'lelangit lembut' diucapkan. Bahkan, ada di antara kita yang tidak menyedari bahawa ia adalah struktur yang ada pada diri kita sendiri.
Istilah lelangit atau langit-langit merujuk kepada suatu yang terletak di bahagian atas.


Dalam kaviti oral atau rongga mulut kita, terdapat bahagian sebelah atasnya yang kita panggil sebagai lelangit.

Masyarakat umum mungkin menganggap lelangit ialah bahagian hadapan struktur bertulang yang dilingkungi oleh barisan gigi.

Dalam istilah anatomi, bahagian yang kita rujuk sebagai lelangit itu sebenarnya hanyalah sebahagian (50 peratus) daripada keseluruhan struktur lelangit.

Lelangit terbahagi kepada dua iaitu lelangit keras (hard palate) dan lelangit lembut (soft palate).
Bahagian yang kita kenali sebagai lelangit itu ialah lelangit keras, yang sebenarnya kurang fungsi fisiologinya berbanding dengan lelangit lembut.


Lelangit lembut ialah bahagian yang terletak di bahagian belakang lelangit keras.

Berbeza dengan lelangit keras yang terbentuk daripada tulang maksila (maxilla), lelangit lembut terbina daripada struktur otot-otot yang memainkan fungsi-fungsi tertentu yang amat penting bagi membantu menjadikan proses-proses dalam kehidupan manusia berjalan dengan sempurna.

Fungsi Lelangit

Sekurang-kurangnya terdapat lima otot yang membentuk lelangit lembut.

Otot-otot tersebut ialah tensor veli palatini, levator veli palatini, musculus uvulae, palatoglossus dan palatopharyngeus.

Otot-otot ini dikawal oleh saraf-saraf tertentu bagi menjalankan fungsi-fungsi tertentu.

Selaras dengan kedudukannya yang terletak sebagai sempadan nasofarinks (belakang hidung) dan orofarinks (belakang tekak), lelangit lembut ini memainkan peranan yang amat penting terutama sekali bagi proses menelan dan percakapan.

Sewaktu menelan, lelangit lembut akan merapat ke belakang sehingga bersentuh dengan dinding farinks belakang.

Ia akan menyebabkan sempadan nasofarinks dan orofarinks tertutup. Ini amat penting bagi mengelakkan makanan naik dan masuk ke nasofarinks lalu ke rongga hidung.

Perjalanan sehala ini akan memastikan makanan yang ditelan tiada pilihan lain selain untuk turun ke bawah terus ke esofagus.

Sewaktu proses percakapan pula, sebahagian udara perlu keluar melalui hidung namun jumlahnya haruslah dalam kuantiti tertentu yang menyedapkan telinga mendengar.

Pengawalan jumlah udara yang keluar ini juga dikawal sebahagiannya oleh keluasan bukaan antara lelangit lembut dengan dinding belakang farinks.

Bukaan yang terlalu luas akan menyebabkan bunyi menjadi sengau (hipernasaliti) seperti yang terjadi dalam kes rekahan lelangit (cleft palate).

Otot-otot tensor dan levator palatini pula bertanggungjawab membuka tiub Eustachio bagi mengimbangkan tekanan yang terdapat di dalam telinga tengah.

Disebabkan itulah sewaktu kita menghadapi masalah perubahan tekanan dalam telinga, seperti yang berlaku apabila kita berada dalam pesawat yang sedang mendarat, kita digalakkan menelan air liur.

Dengan cara ini, otot-otot tensor dan levator palatini ini akan mengalami kontraksi dan seterusnya membuka tiub Eustachio yang akhirnya menyebabkan tekanan dalam telinga tengah dapat diseimbangkan dengan tekanan di luar.

Lelangit lembut juga mempunyai tunas-tunas rasa (seperti yang terdapat pada lidah) dan kelenjar mukus yang sedikit sebanyak membantu proses pemakanan dan pencernaan.

Masalah lelangit lembut

Jika lelangit lembut tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai pengawal sempadan antara nasofarinks dan orofarinks, maka adakalanya cebisan-cebisan makanan akan termasuk ke dalam tempat yang tidak sepatutnya.

Keadaan ini dikenali sebagai regurgitasi makanan. Selain itu, resonans bunyi yang dihasilkan sewaktu percakapan mungkin kurang sedap untuk didengar akibat terlebih udara yang keluar melalui hidung apabila lelangit lembut tidak dapat mengawal bukaan yang optimum.

Masalah untuk membuka tiub Eustachio juga akan mengakibatkan barotrauma telinga (kecederaan telinga akibat tekanan) sewaktu kita menaiki kapal terbang atau menyelam di dasar laut.

Gangguan fungsi lelangit lembut ini boleh berlaku akibat masalah saraf, terutamanya saraf kranial ke-10 (saraf vagus), keadaan lelangit yang mengalami rekahan sejak lahir yang mengganggu kedudukan otot-otot pada lelangit lembut.

Selain itu, struktur lelangit lembut yang terlalu kuat bergetar sewaktu tidur akan menghasilkan dengkuran yang kuat.

Rawatan

Apabila anda atau sesiapa yang dikenali mempunyai gejala seperti yang dinyatakan di atas, iaitu regurgitasi makanan sewaktu menelan, hipernasaliti, masalah tekanan dalam telinga yang tidak dapat diseimbangkan dengan menelan air liur, atau berdengkur, ia mungkin berpunca daripada masalah lelangit lembut.

Rawatan yang sesuai akan dicadangkan oleh doktor, bergantung kepada masalah yang dihadapi.
Contohnya, bagi masalah yang melibatkan saraf, kaedah menelan dengan betul boleh membantu mengurangkan regurgitasi.


Masalah rekahan lelangit pula perlu diperbetulkan melalui pembedahan dan rawatan bagi masalah ini perlu dimulakan sejak dari awal lagi iaitu ketika kanak-kanak masih kecil atau sebelum mencapai usia dewasa, bergantung kepada tahap rekahan yang dialami.

Ini adalah penting bagi mengelakkan keadaan menjadi sukar dipulihkan dan prognosis menjadi tidak begitu baik bagi pesakit.

Ketuat boleh dirawat

ARKIB : 08/11/2009
Utusan Malaysia
Kesihatan

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my

SERING kali disalah anggap sebagai tahi lalat ataupun jeragat pada kulit, masalah ketuat (warts) sebenarnya berlaku secara meluas di seluruh dunia. Memandangkan kebanyakan kes hanya melibatkan masalah ringan dengan saiz ketuat yang kecil serta jumlah yang sedikit, ia sering kali diabaikan begitu sahaja.

Sememangnya masalah ketuat yang berpunca dari jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) kebiasaannya tidak menjejaskan kesihatan dan hidup seharian. Ini mengelakkan banyak perhatian terhadap masalah ini, dengan kebanyakan kes akan pulih sendiri selepas tempoh masa tertentu.

Namun, penemuan dua kes ketumbuhan ketuat yang ekstrem pada 2007 mengejutkan dunia, terutamanya berita 'lelaki pokok' di Indonesia yang menjadi contoh serangan teruk virus HPV ke atas kulit manusia.

Membezakan

Mungkin ramai kini yang tahu mengenai ketuat alat kelamin yang dikaitkan dengan kanser serviks (pangkal rahim) di samping kontroversi pemberian vaksinnya untuk gadis dan wanita di negara ini. Namun, ramai yang tidak mengetahui mengenai bermacam jenis ketuat lain memandangkan ia tidak membahayakan kesihatan atau mengancam nyawa.

"Ketuat berpunca dari jangkitan virus HPV sahaja. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan setiap jenis ketuat berpunca dari jenis virus berbeza.

"Berbanding ketuat alat kelamin, ketuat biasa, plantar mahupun ketuat leper tidak memerlukan vaksin dan tidak membawa komplikasi besar," jelas Dr. Noraziah Abdul Kadir Jailani, Pakar Perunding Perubatan dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC).

Namun, berita mengenai Dede Koswara, 34, yang badannya dipenuhi ketuat seakan kulit pokok menunjukkan masih ada yang bernasib malang apabila badan mereka gagal menentang jangkitan HPV.

"Kes Dede berpunca daripada masalah imuniti badan yang lemah dan gagal mengawal mahupun menghapuskan virus HPV yang menjangkiti kulitnya.

"Individu lain yang mengalami masalah lemah sistem imuniti akibat penyakit atau pengambilan ubat juga terdedah kepada ancaman penyakit biasa, walaupun penyakit seperti ketuat," kata Dr. Noraziah.

Menurutnya, selagi badan masih sihat dan kuat, jangkitan kuman seperti HPV masih mampu ditentang, walaupun mungkin mengambil masa untuk pulih.

Pada 2007, Dede dan Ion Toader dari Romania menjadi antara pesakit disahkan menghidap penyakit Epidermodysplasia verruciformis (EV) yang ditemui Dr. Felix Lewandowsky dan Dr. Wilhelm Lutz dari Jerman di awal 1920-an. Keadaan kulit seakan kulit pokok pesakit EV dikaitkan dengan virus HPV jenis 5 dan 8 yang biasanya hadir sebagai jangkitan ringan pada 80 peratus populasi dunia.

Dede dilaporkan membuang sekitar enam kilogram ketuat di badannya pada Ogos 2008, ada di antaranya menggunakan gergaji kuasa tinggi. Walaupun lebih 95 peratus ketuat di badan Dede telah dibuang, masalah 'kulit pokoknya' itu masih berterusan dan doktor menganggarkan dia memerlukan dua pembedahan setiap tahun untuk seumur hidupnya bagi mengawal ketumbuhan tersebut.

Muda

Walaupun kes ketuat seperti Dede dan Toader sesuatu yang jarang berlaku, umum perlu mengetahui bahawa virus HPV wujud secara meluas dalam komuniti manusia. Mampu menyebabkan jangkitan ringan hingga sederhana, ketuat yang timbul sebenarnya boleh dirawat terutamanya jika ia menjejaskan penampilan fizikal seseorang.

"Kanak-kanak merupakan yang paling mudah diserang masalah ketuat biasa - di kaki dan tangan, akibat sentuhan semasa mereka bermain di luar ataupun bersama kawan-kawan.

"Sebarang bentuk hubungan dengan virus HPV boleh menyebarkannya, terutamanya jika ada luka," jelas Dr. Noraziah.

Menurut beliau, badan akan melawan jangkitan tersebut dan kebiasaannya kanak-kanak akan pulih sendiri dari masalah ketuat.

Namun tegasnya, jika ketuat tidak hilang selepas berbulan lamannya ataupun semakin banyak, rawatan boleh diberikan untuk mengawal dan memulihkannya.

Apa yang penting adalah mengelakkan anak ataupun diri sendiri daripada mengopek, memotong, memecah atau mengutil ketuat yang timbul. Perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan dan menyebarkan virus HPV ke bahagian badan yang lain.

"Virus HPV mudah merebak di kalangan mereka yang sering berkaki ayam mahupun melalui air seperti di dalam kolam renang yang tidak dijaga rapi.

"Selain itu, perkongsian pakaian, tuala, kasut dan alat membersihkan kulit serta kuku juga boleh menyebarkan virus HPV punca ketuat," tegas Dr. Noraziah.

Rawatan

Dr. Noraziah menjelaskan bentuk rawatan yang diberikan bergantung kepada kedudukan dan juga jenis ketuat.

"Ada yang leper, ada juga yang bertangkai. Jika ketuat kecil tunggal, lama-kelamaan akan hilang sendiri.

"Untuk ketuat yang tidak hilang, terdapat beberapa cara rawatan termasuk krim tertentu, pembedahan dan juga laser."

Beliau menerangkan kaedah pembekuan ketuat dan pembedahan menggunakan jarum elektrik menjadi antara kaedah rawatan paling biasa digunakan. Asid salasilik pula menjadi antara pilihan mudah bagi pesakit yang tidak mahu berjumpa doktor.

"Ramai penghidap ketuat bermula dengan rawatan sendiri. Bila sudah merebak teruk barulah mereka akan datang mendapatkan rawatan dari doktor," ujar Dr. Noraziah.

Katanya, ketuat di muka menjadi contoh jenis yang mudah merebak, terutamanya jika terluka ketika bercukur.

Selain pembekuan dan jarum elektrik, terdapat kaedah lain untuk merawat ketuat. Ini termasuk Cantharidin, pembedahan laser, immunoterapi, Bleomycin dan retinoid yang dipilih mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan.

"Rawatan mungkin perlu diulang beberapa kali sebelum pesakit pulih sepenuhnya.

"Kos rawatan juga cuma sekitar beberapa ratus ringgit, tetapi mungkin mencecah ribuan ringgit untuk kaedah rawatan laser," jelasnya.

Dr. Noraziah bagaimanapun menekankan perkara yang paling penting adalah untuk tidak memburukkan keadaan dan menyebarkan jangkitan virus HPV itu.

"Jangan dikacau ketuat yang timbul. Walau apa jenis sekalipun, jangan dikutil atau ia akan merebak ke seluruh badan!"

Tingkatkan Pendidikan Seks

ARKIB : 08/11/2009
Utusan Malaysia
Kesihatan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

MASYARAKAT Malaysia inginkan lebih maklumat mengenai hubungan intim demi kesejahteraan seksual mereka.

Menurut Kajian Kesejahteraan Seksual Global Durex 2007/2008, tidak sampai 50 peratus (hanya 42 peratus) rakyat negara ini menyatakan bahawa mereka mendapat maklumat yang mencukupi bagi menikmati kebahagiaan seksual secara menyeluruh.

Angka itu menunjukkan negara kita berada jauh di belakang Mexico iaitu yang tertinggi sebanyak 80 peratus, Brazil (71 peratus) dan Amerika Syarikat (62 peratus).

Walaubagaimanapun kedudukan kita lebih baik daripada negara Asia yang lain seperti Hong Kong (38 peratus), Thailand (35 peratus) dan Jepun (19 peratus).

Kebanyakannya setuju pengetahuan yang luas mengenai seks dapat meningkatkan lagi kesejahteraan seksual sekali gus memperbaiki tahap kesihatan secara menyeluruh.

Oleh itu, mereka inginkan lebih banyak lagi maklumat mengenai hubungan intim melalui pendidikan seks sama ada yang dipelajari di sekolah mahu pun melalui perantara media cetak dan elektronik.

Malaysia bagaimanapun menerajui senarai di mana 73 peratus daripada mereka yang mempunyai pendidikan seks formal berpendapat berpuas hati dengan kesejahteraan seksual mereka, berbanding purata global (59 peratus) dan Thailand (48 peratus).

Manakala di kalangan rakyat yang tidak mempunyai pendidikan seks formal pula, hanya 58 peratus berpuas hati dengan kesejahteraan seksual mereka.

Kajian ini disertai oleh 1,026 rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dengan jumlah bilangan lelaki dan wanita adalah sama.

Dalam kajian ini, kebanyakan yang terlibat mengharapkan agar pendidikan seks disampaikan dengan lebih bersifat emosi untuk mudah difahami. Mereka mahukan lebih tumpuan diberikan kepada aspek emosi melibatkan semua peringkat umur terutama kalangan generasi usia emas.

Lebih kurang 44 peratus daripada mereka yang berumur antara 16 hingga 24 tahun mengatakan mahu mendapat lebih banyak maklumat mengenai perkara ini, menurut kajian tersebut.

Manakala di kalangan mereka yang berusia antara 35 hingga 44 tahun pula, peratusannya meningkat kepada 62 peratus.

Responden turut menyatakan bahawa pendidikan seks hanya bersifat fizikal dan kerap kali tidak memasukkan aspek lain termasuk kasih sayang, hormat serta keseronokan yang dikongsi bersama dalam memberi kenikmatan kepada pasangan.

Kajian tersebut mendedahkan separuh daripada mereka yang mendapat pendidikan seks di sekolah tidak belajar mengenai kehamilan manakala 71 peratus lagi tidak diajar mengenai penyakit berjangkit melalui hubungan seks.

Hanya 36 peratus menganggap pendidikan seks yang diterima di sekolah sebagai sumber utama bagi mendapat maklumat mengenai seks (berbanding Singapura 54 peratus). Negara kita berada di kedudukan kedua terendah selepas Rusia (23 peratus) daripada 26 buah negara yang terlibat dalam kajian ini.

Seramai 75 peratus bergantung kepada Internet untuk mendapatkan maklumat mengenai pendidikan seks, diikuti majalah (73 peratus), buku (65 peratus), rakan sebaya (56 peratus) dan pasangan (43 peratus).

Wanita Malaysia didapati lebih cenderung memilih majalah untuk mendapatkan maklumat mengenai seks (73 peratus), berbanding lelaki yang lebih suka melayari Internet (75 peratus).

Menurut Pakar Kesihatan Seksual dari United Kingdom, Dr Kevan Wylie, keputusan ujian ini menunjukkan responden tidak kira muda atau tua mahukan kesejahteraan seksual yang sempurna meliputi aspek fizikal dan emosi semasa mengadakan hubungan seks.

"Kajian menunjukkan responden mahukan lebih maklumat mengenai hubungan intim. Kesimpulannya, lebih banyak anda ketahui dan fahami, maka anda akan berasa lebih yakin, berkeupayaan dan kemungkinan untuk menikmati kehidupan seks yang lebih memuaskan," katanya yang juga merupakan Pengerusi British Society of Psychosomatic Obstetrics, Gynaecology & Andrology.

Ahad, November 01, 2009

Pemakanan untuk tulang sihat

MAKAN, satu nikmat kehidupan bagi kebanyakan daripada kita tetapi makanan juga penting dan menjadi keperluan hidup. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa tulang kita juga merupakan tisu hidup yang perlukan makanannya tersendiri untuk terus ‘hidup’!

Sambil kita berjalan, melompat dan berlari, tulang kita turut melalui kitaran terhakis dan terbina semula dengan sendirinya.

Seperti mana kita memerlukan makanan untuk terus hidup, tulang juga perlu diberikan nutrien yang diperlukannya untuk menggantikan tulang yang terhakis.

Tahukah anda apa hidangan hebat untuk tulang? Kalsium dan vitamin D.

“Kalsium bukan sahaja penting untuk pembentukan tulang tetapi turut digunakan dalam fungsi badan lain seperti penyenggaraan saraf dan otot.

“Badan kita juga akan mengambil kalsium dari tulang apabila berlaku kekurangan bekalan kalsium,” jelas Dr Winnie Chee, pakar diet dan Setiausaha Kehormat Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL).

*Pentingnya vitamin D

Vitamin D membantu dalam penyerapan kalsium. Sesungguhnya, badan kita menghasilkan Vitamin D apabila didedahkan kepada cahaya matahari.

Jadi janganlah takut untuk menghabiskan sedikit masa di bawah matahari kerana ianya baik untuk tulang anda!

Namun begitu, anda perlu mengelak daripada pengambilan (kalsium dan pendedahan kepada cahaya matahari) berlebihan.

Seperti perkara lain dalam hidup, amalkan kesederhanaan supaya anda dapat memenuhi keperluan tanpa perlu menghadapi kesan sampingan yang tidak sepatutnya.

Pengambilan kalsium perlu menepati cadangan pengambilan harian anda. Tahap umur yang berbeza memerlukan jumlah kalsium yang berlainan.

Berapa banyak yang anda perlukan setiap hari? Anda boleh merujuk kepada cadangan pengambilan nutrien untuk kalsium dalam jadual berikut:

Bagi orang dewasa, anda memerlukan kira-kira 800 miligram (mg) hingga 1,000 mg kalsium setiap hari.

Macam susah, bukan? Tetapi meminum segelas susu sehari (240 ml) sudah menyumbang kira-kira 250 ke 500 mg pengambilan kalsium harian anda. Dan susu bukan satu-satunya sumber kalsium yang sedia ada!

“Anda juga boleh mendapat kalsium dari makanan seperti sayuran hijau dan berdaun seperti kai lan dan pak choy Cina, produk berasaskan soya seperti taufu fah dan ikan bertulang lembut yang boleh dimakan seperti sardin dalam tin dan ikan bilis,” kata Dr. Chee.

Dan jangan lupa semua makanan bukan susu yang diperkaya dengan kalsium yang mudah didapati di pasaran hari ini.

Kini, banyak minuman jus oren, malt dan yogurt, dan tidak lupa juga bijirin sarapan, biskut dan roti yang diperkaya dengan kalsium.

Jadi memang terdapat banyak pilihan sewaktu memilih makanan yang kaya dengan kalsium. Tetapi ingat, bukan kalsium saja yang kita perlukan.

Nutrien lain turut menyumbang kepada kesihatan tulang. Malah, mengambil cuma sejenis hidangan saja amat membosankan.

Jadi, tambah selera anda dengan hidangan seimbang setiap hari dengan merujuk kepada piramid makanan.

Bijirin perlu membentuk asas diet anda. Ambil dari sumber seperti nasi, roti dan bijirin dan pilihlah yang diperkaya dengan kalsium yang baik untuk tulang. Dan teruskan dengan mengambil lima hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari.

“Tulang kita sentiasa terhapus dan terbina dengan sendirinya dalam proses yang dipanggil pembentukan semula tulang.

“Tetapi, apabila mencapai umur 50 tahun, kemerosotan tulang atau penghapusan berlaku lebih cepat dari pembentukannya.

“Kajian menunjukkan individu yang mengambil banyak buah-buahan dan sayuran dalam diet mereka mempunyai kadar kehilangan tulang yang lebih perlahan dan kurang keretakan akibat osteoporosis,” jelas Dr. Chee.

Kumpulan seterusnya dalam menu piramid makanan adalah makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan, ayam itik dan legum.

Dua hingga tiga sajian sehari cukup untuk keperluan harian anda.

Dan sudah tentu, lengkapkan hidangan sihat dengan satu hingga dua sajian produk berasaskan susu seperti susu dan keju setiap hari untuk tambahan kalsium.

Akhir sekali, cuba kekalkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak pada tahap minimum.

Dr. Chee turut menggalakkan pengurangan pengambilan gula dan kafein. Menurutnya, pengambilan garam dan kafein yang berlebihan meningkatkan kehilangan kalsium dalam air kencing, dan akan digantikan dengan pengambilan kalsium dari ‘tabung simpanan badan’ - tulang anda sendiri!

Berat badan juga turut memainkan peranan dalam penjagaan tulang. Kekalkan berat badan yang ideal kerana malnutrisi bukan saja menjejaskan kesihatan tetapi tulang juga.

Elakkan tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti anoreksia, bulimia dan makan mengikut perasaan. Ianya tidak sihat dan merampas semua nikmat makanan yang dari lidah anda.

Siapa sangka menjaga tulang boleh juga memberikan nikmat hidup, bukan? Anda makan makanan yang enak dan berkhasiat dan pada masa yang sama menjaga tulang anda!

Dan semuanya bermula dengan kesedaran bahawa tulang juga perlu makan, sama seperti semua benda hidup yang lain.

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL) ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands Sdn. Bhd. dan Rottapharm Madaus. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat (Ultra Works) di talian 03-56300791 atau 03-56301668.

Usia muda bukan jaminan

Oleh Hafizah Iszahanid


Barah payu dara tidak kenal umur, boleh dicegah jika dikesan awal

ABBY Tajudin, 33, bukanlah dalam kategori berisiko tinggi diserang barah payu dara. Tiada seorang pun dalam keluarganya diserang barah payu dara. Malah dengan usia 33 tahun, dia tidak pun membuat ujian imbasan mamogram sebelum ini.

Umumnya di hospital kerajaan, wanita berusia 40 tahun yang diwajibkan menjalani ujian mamogram. Wanita muda yang tidak berada dalam kumpulan berisiko, walaupun mahu melakukan ujian mamogram akan disuruh ke hospital swasta.


Justeru, sewaktu Abby diserang sakit belakang yang teruk dan mengambil masa hampir 30 minit untuk bangun dari katil setiap pagi, tidak terlintas langsung di fikirannya itu adalah simptom barah payu dara.

“Mulanya saya ambil paracetamol bagi melegakan kesakitan. Kemudian, apabila masih sakit saya berjumpa pakar tulang, tetapi tidak sembuh juga. Sakit masih berulang dan akhirnya saya dirujuk kepada pakar bedah payu dara. Rupanya sakit belakang itu ialah simptom barah payu dara,” katanya ketika ditemui pada majlis bersempena Bulan Kesedaran Barah Payu Dara Sedunia yang jatuh pada bulan ini.

Barah payu dara yang menyerang Abby ialah jenis metastasis (sel barah merebak ke saluran limfa atau salur darah sebelum ke organ lain) dan sudah merebak hingga ke tulang belakang. Lebih menyentuh hatinya, ia sudah di tahap empat!

Anehnya, Abby, anak bongsu enam beradik tidak mempunyai sejarah barah payu dara dalam keluarganya. Justeru, waktu disahkan menghidap barah payu dara, hidupnya seakan-akan terhenti seketika. Dia yang masih menjalani rawatan kemoterapi itu bagaimanapun, menyerahkannya kepada Allah SWT kerana percaya, setiap apa yang terjadi ada hikmahnya.

“Saya percaya pada qada dan qadar dan tidak akan mudah menyerah kalah. Saya akan terus berjuang menentang barah payu dara untuk dua anak yang sedang membesar,” kata ejen hartanah yang dan dikurniakan dua anak lelaki.

Malah kehadiran cahaya matanya itu menyebabkannya tetap tabah menjalani hidup. Untuknya, barah payu dara bukan penghalang untuk terus bekerja dan meneruskan kehidupan seperti insan lain.

Abby ialah antara contoh wanita yang diserang barah payu dara walaupun tidak tergolong dalam kumpulan berisiko. Dia masih muda, tidak lahir dalam keluarga yang mempunyai sejarah barah payu dara dan aktif bekerja dan bersukan.

Walaupun, satu daripada faktor risiko terbesar barah payu dara dikaitkan dengan faktor genetik, namun ia bukan satu kemestian.

Justeru, menjalani rawatan awal seperti ujian imbasan mamogram ialah antara keperluan utama wanita walaupun usia anda belum mencecah 40 tahun.

Pakar Bedah Payu Dara, Hospital Gleneagles Intan, Kuala Lumpur Datuk Dr Suseela Nair, berkata barah payu dara ialah barah yang paling kerap ditemui di kalangan wanita Malaysia, mencecah hingga 31.3 peratus daripada semua jenis barah.

“Wanita Cina dan India merekodkan kes tertinggi berbanding Wanita Melayu. Namun, angka itu berdasarkan statistik lawatan ke hospital. Justeru, ia mungkin tidak membayangkan jumlah kes sebenar,” katanya.

Jelas Dr Suseela, ada banyak kes pesakit lebih gemar merujuk kepada pengamal perubatan alternatif untuk rawatan berbanding mendapat rawatan di hospital. Pesakit hanya akan ke hospital apabila tidak sembuh dan ketika itu, ia sudah pun terlambat.

“Memilih rawatan tradisional bukan langkah bijak kerana keberkesanannya dalam rawatan barah payu dara belum dibuktikan,” katanya.

Jelasnya, gaya hidup sihat memang memainkan peranan mengelak barah payu dara. Namun lebih penting mengurangkan menu yang boleh menjadi faktor risiko seperti pengambilan terlalu banyak daging, produk tenusu, selain rendah pengambilan sayur-sayuran dan serat.

Namun, bolehkah anda melawan barah payu dara? Tentu saja, kerana barah payu dara mudah dikesan, selagi anda melakukan ujian mamogram atau melakukan ujian sendiri. Simptom barah payu dara juga mudah diketahui dengan simptom paling mudah - mengesan ketulan dalam payu dara.

Ujian mamogram pula memudahkan anda mengesan perubahan pada payu dara dengan imej yang jelas. Mamogram direka secara khusus untuk imbasan payu dara pada kadar radiasi yang rendah. Rawatan barah payu dara yang berjaya bergantung kepada pengesanan awal, justeru mamogram ialah antara kaedah pengesanan awal terbaik.

Pihak Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) melaporkan, mamogram membantu mengesan ketulan barah payu dara antara 85 ke 90 peratus bagi kalangan wanita berusia 50 ke atas.

Tidak dinafikan, payu dara yang juga gabungan lemak, kelenjar dan tisu yang kenyal.

Justeru ada kala ujian mamogram mendatangkan sedikit ketidakselesaan. Namun ia bukan alasan untuk tidak melakukannya, apatah lagi jika anda berada dalam golongan berisiko.

INFO:

Simptom

  • Ketulan pada payu dara dan makin jelas ketika haid
  • Pendarahan atau lelehan dari puting payu dara
  • Perubahan bentuk payu dara
  • Kulit payu dara atau puting yang tertarik ke dalam

    Golongan Berisiko
    • Usia yang meningkat (namun dalam kes Abby, barah payu dara boleh juga terjadi pada usia muda)
    • Sejarah keluarga (adik beradik dan saudara terdekat, nenek, sepupu, ibu saudara)
    • Pernah dirawat dengan barah payu dara sebelum ini
    • Haid yang datang pada usia muda (sebelum 12 tahun dan menopaus lewat (selepas 50 tahun)
    • Tidak menyusukan anak
    • Melahirkan anak pada usia lewat (melepasi 30 tahun)
    • Pemakanan tinggi lemak tetapi rendah serat
    • Obes, minum arak, merokok

Rapuh atau tegar


KALSIUM bukan sahaja banyak di dalam susu dan produk tenusu,malahan sayur, bijirin dan juga makanan yang diperkaya dengan kalsium tambahan.


ANDA pernah makan ketam? Hidupan laut dengan kulit sekeras batu ini tidak begitu mudah dimakan kerana ‘kulit’ itu sebenarnya adalah tulang yang melindungi keseluruhan badan ketam dan hidupan lain seumpamanya.

Tulang yang membentuk sistem kerangka badan juga wujud dalam bentuk berbeza mengikut keperluan dan spesies hidupan.

Bagi manusia, sistem kerangka tulang berada di dalam badan (endoskeleton). Bagi sesetengah hidupan seperti ketam, udang karang dan kerang, kerangka tulangnya berada di luar (exoskeleton).

Pertahanan dan sokongan

Asas utama struktur tulang di dalam atau luar badan adalah untuk memberikan pertahanan dan bentuk pejal kepada badan. Tulang memberikan sokongan di samping bekerjasama dengan otot bagi memudahkan pergerakan.

Bagi sistem kerangka dalaman seperti pada manusia dan mamalia lain, tulang di dalam badan memudahkan pembesaran badan sambil mengekalkan keutuhan bentuk dan pergerakan badan. Bagi kebanyakan haiwan, termasuk manusia, sistem kerangka dalaman ini turut memberi perlindungan kepada organ-organ dalaman utama tanpa terlalu menjejaskan kemampuan bergerak, terutamanya bagi manusia berjalan dengan stabil di atas dua kaki.

Kerangka dalaman juga membolehkan otot bertumpu kepada kaki, tangan dan bahagian sendi-sendi untuk pergerakan. Sambungan otot pada tulang turut menambah sokongan dan keutuhan bentuk badan khusus mengikut spesies, dan juga keturunan (bagi manusia).

Sistem kerangka luaran pula lebih bertumpu kepada pertahanan, bukan sahaja dari musuh malahan dari persekitaran yang ekstrem seperti kekeringan melampau akibat kehilangan air (musim kemarau). Bagaimanapun, sistem kerangka luaran menyukarkan pertumbuhan dan haiwan seperti ketam terpaksa menyalin kulit setiap kali badannya membesar melebihi saiz kerangka luarannya.

Penyu dan kura-kura merupakan antara spesies yang mempunyai kedua-dua sistem kerangka, luar dan dalam. Secara evolusi, penyu dan kura-kura yang tidak mengalami perubahan besar sejak berjuta tahun lamanya dianggap menggunakan kedua-dua sistem kerangka sebagai pertahanan dari pemangsa. Sistem kerangka dalaman memberikan haiwan tersebut bentuk dan sokongan sementara kerangka luaran menyukarkan pemangsa mencapai bahagian dalaman badan.

Kuat dan lemah

Setiap manusia dewasa mempunyai 206 tulang sementara kanak-kanak mempunyai 270 tulang. Seperti mana-mana struktur dalaman lain, kesihatan dan kekuatan tulang sering kali diabaikan dan diambil mudah berbanding kulit yang jelas kelihatan.

Selain memberi struktur dan perlindungan badan, tulang juga menyimpan sum-sum tulang yang menghasilkan sel darah merah dan sel darah putih (sel imuniti). Selain itu, tulang juga menjadi pusat simpanan mineral (terutamanya kalsium), mengimbangkan pH darah, simpanan lemak, menyahtoksin dan juga amat penting untuk pendengaran (tulang osikel - tulang paling kecil dalam badan dan tulang temporal kepala - tulang paling padat).

Seperti tisu badan yang lain, tulang mengalami hakisan akibat tekanan terhadap fungsinya dan perlu sentiasa diganti dengan tisu baru. Proses hakis dan ganti ini berterusan sejak kita lahir bagi memastikan tulang dapat menampung bentuk dan saiz badan. Namun, proses ini semakin perlahan dengan peningkatan usia dan terjejas teruk jika tidak mendapat bekalan mineral dan nutrien secukupnya.

Osteoporosis merupakan keadaan di mana kepadatan tulang seorang individu telah terjejas teruk sehingga terlalu rapuh untuk menampung keperluan badannya. Akibat tulang yang lemah dan rapuh, bentuk fizikal badan mungkin berubah (bongkok), menyukarkan pergerakan dan pastinya amat mudah retak dan patah, walaupun bagi aktiviti semudah bangun dari katil ataupun menaiki tangga. Jika telah mencapai tahap teruk, amat sukar untuk mengembalikan keutuhan, sokongan dan pertahanan tulang.

Hilang sokongan

Boleh dikatakan hampir keseluruhan sokongan tulang terhadap struktur dan pertahanan badan akan hilang bagi penghidap osteoporosis. Seperti biskut yang rapuh, tulang yang rapuh tidak dapat mengekalkan bentuk badan jika tidak mampu menampung beban graviti dan berat badan. Tulang yang rapuh juga dengan mudahnya retak, patah atau hancur, walaupun cuma dengan tekanan sederhana - sehingga mendedahkan organ-organ dalaman kepada bahaya kecederaan.

Osteoporosis boleh menyerang kebanyakan peringkat usia, tetapi lebih lazim di kalangan warga emas. Ia menyerang lelaki mahupun wanita, tetapi lebih banyak berlaku di kalangan wanita selepas mencapai menopaus (putus haid). Namun ini tidak bermakna lambat-laun semua warga emas dan semua wanita akan menghidap osteoporosis!

Hanya mereka yang tidak peduli atau gagal memantau tahap kesihatan tulang (termasuk lelaki dan golongan muda) akan tewas kepada osteoporosis.

Kesedaran

Anlene di bawah syarikat induknya, Fonterra, antara jenama utama susu untuk bekalan optimum kalsium tulang telah mengambil inisiatif mengumpulkan maklumat tahap kesihatan tulang penduduk rantau Asia sejak 2005. Selain itu, Anlene turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan universiti tempatan dalam usaha memastikan tulang penduduk rantau ini kekal sihat dan kuat.

Malangnya, lebih satu pertiga daripada 1.8 juta individu yang turut serta dalam tinjauan serantau Anlene didapati berisiko tinggi membentuk osteoporosis. Kajian bersama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Otaga, New Zealand pula mendapati kurang 50 peratus wanita negara ini mendapatkan bekalan kalsium secukupnya.

Satu laporan yang dikeluarkan Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) sebelum ini menunjukkan kejadian retak atau patah tulang pinggul akibat osteoporosis di Malaysia paling banyak berlaku di kalangan kaum Cina, diikuti kaum Melayu dan India. Selain kekurangan kalsium, 71 peratus wanita Melayu yang telah putus haid turut didapati gagal mendapatkan bekalan Vitamin D secukupnya.

Vitamin D dihasilkan kulit yang didedahkan kepada cahaya matahari dan diperlukan bagi meningkatkan penyerapan kalsium ke dalam tulang. Masalah kurang pengambilan kalsium dan vitamin D turut dikesan di kesemua 14 negara yang terbabit dalam laporan tersebut.

Pengurus Besar Fonterra Malaysia, John McKay memaklumkan imbasan tulang Anlene menunjukkan peningkatan bilangan mereka yang berisiko menghidap osteoporosis.

“Data ini diperkukuhkan oleh laporan IOF yang menunjukkan peningkatan dua atau tiga kali ganda kejadian retak atau patah tulang pinggul di kebanyakan negara Asia sejak 30 tahun lalu.

“Negara-negara rantau Asia perlu mengambil langkah segera bagi memahami dan bertindak menentang penyakit yang boleh dicegah ini,” katanya.

Tambahnya, laporan IOF turut menyarankan pembentukan segera satu pangkalan data kebangsaan khusus untuk osteoporosis, termasuk kejadian retak atau patah yang berkaitan dengannya.

“Laporan tersebut turut menggesa lebih banyak langkah meningkatkan tahap kesedaran umum terhadap osteoporosis!”

Fonterra telah memainkan peranan aktif dalam kempen pendidikan dan pencegahan osteoporosis di Malaysia, termasuk dengan pelancaran kempen ‘Dengar kepada tulang anda’ yang disokong Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain meningkatkan kesedaran, kempen ini juga menawarkan khidmat imbasan tulang percuma di seluruh negara.

“Hasil tinjauan kami berbeza dari satu negara ke satu negara, tetapi sebilangan besar penduduk di setiap negara terbabit didapati berdepan dengan masalah kepadatan tulang yang rendah, dan pastinya turut berdepan dengan ancaman osteoporosis,” tegas McKay.

Apa yang pasti, jika terus diabaikan, osteoporosis bakal menjadi satu lagi penyakit boleh dicegah yang menyelubungi rantau ini seperti mana diabetes, strok, penyakit jantung serta HIV/AIDS yang telah mencengkam hidup sebilangan besar penduduk Asia.

Segala perkembangan teknologi menghasilkan tulang sintetik, sel stem tulang mahupun sistem kerangka luar (exoskeleton) tiruan juga akan menjadi sia-sia kerana kita sebenarnya tiada cara lain bagi menggantikan sepenuhnya fungsi, sokongan dan peranan sistem kerangka tulang badan. Berikan sedikit perhatian kepada tulang anda, mulakan hari ini!

Untuk maklumat lanjut mengenai osteoporosis dan kempen kesihatan tulang Anlene, layari laman web www.listentoyourbones.com.my atau hubungi talian 1-800-88-3122.