#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, November 01, 2009

Orgasma: pengukur kepuasan seks

ARKIB : 25/10/2009

KEPUASAN seks akan dapat dicapai andai pasangan saling bekerjasama ketika melakukan hubungan intim. - Gambar hiasan.


MAAF. Rencana ini agak sensitif. Terutama bagi masyarakat kita yang menjunjung tinggi kesopanan dan adat budaya.

Namun, ia sebenarnya isu yang sangat menarik dan perlu dilihat dari perspektif pendidikan kesihatan, kerana setiap insan hampir pasti akan melaluinya.

"Kesihatan seksual adalah keperluan asas manusia. Semua insan tidak kira lelaki atau wanita berhak memilikinya demi kesejahteraan hidup secara menyeluruh," kata Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Perubatan PrimaNora.

Menurut beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan seksualiti sebagai sebahagian daripada personaliti yang dimiliki oleh setiap individu; lelaki dan perempuan.

"Ia adalah keperluan asas manusia yang penting sama seperti aspek lain kehidupan," ujarnya.

Orgasma

Hubungan seks bermaksud hubungan kelamin antara dua individu berlainan jantina. Orgasma pula bermaksud mencapai kemuncak kepuasan syahwat ketika melakukan hubungan seks atau lebih mudah disebut klimaks.

Ia adalah dua perkara yang berbeza. Setiap pasangan yang melakukan hubungan seks belum pasti memperoleh orgasma.

"Semua pasangan berkahwin pernah melakukan hubungan seks. Namun, bagaimana pula dengan orgasma?" soal Dr. Nor Ashikin.

Bagi lelaki kata beliau, ia merupakan perkara biasa ketika melakukan hubungan kelamin namun wanita pula sebaliknya.

"Ada wanita yang mencapai orgasma setiap kali melakukan hubungan namun peratusannya sangat rendah, ada juga yang hanya sesekali dan jangan terperanjat, andai ada yang langsung tidak pernah merasainya," kata beliau.

Beliau merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh Durex pada tahun 2007/ 2008 di kalangan pasangan suami isteri di Malaysia, hanya 25 peratus wanita yang melakukan hubungan kelamin mencapai orgasme berbanding lelaki 62 peratus.

Kajian itu juga menunjukkan hanya 58 peratus wanita berpuas hati dengan intensiti orgasma mereka berbanding lelaki iaitu 66 peratus. Kajian tersebut mendedahkan wanita Malaysia ketinggalan dari segi pengalaman orgasma berbanding wanita Sepanyol (52 peratus), Mexico (51 peratus) dan Afrika Selatan (49 peratus).

"Orgasma membantu menyuburkan kesihatan seksual. Ia adalah sesuatu yang patut kita (sebagai wanita) kecapi dan rasa bangga. Katakan kepada suami anda, saya mahukannya kerana ia adalah hak saya," kata beliau.

Menurutnya, kesihatan seksualiti yang baik mempengaruhi fikiran, perasaan, tindakan dan perhubungan seperti juga kesihatan mental dan fizikal.

"Jangan terperanjat andai seks yang baik mampu menjana prestasi kerja yang lebih bagus," katanya lagi.

Seksualiti

Ditanya mengenai faktor utama mengapa wanita Malaysia sukar mencapai orgasma, Dr. Nor Ashikin berkata, ia banyak dipengaruhi oleh kepercayaan masyarakat kita.

"Bagi orang timur, berbicara mengenai seks adalah sesuatu yang tabu dan memalukan. Ilmu mengenai pendidikan seks tidak dibincangkan secara terbuka, kerana itu masyarakat kita terutama wanita tidak mendapat gambaran sebenar mengenai hubungan seksual yang sewajarnya," katanya.

Jelas beliau lagi, sudah menjadi adat orang Timur mengharapkan anak mereka 'faham' sendiri mengenai perkara berkaitan seks tanpa mahu memberi panduan mengenainya.

"Apabila berumah tangga, seandainya mereka tiada komunikasi yang baik antara suami isteri masalah ini akan berlaku," katanya.

Selain itu katanya, faktor umur juga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap orgasma individu, begitu juga dengan faktor kesihatan, pengalaman peribadi dan hubungan suami isteri.

Jelas Dr. Nor Ashikin, tahap seksualiti bergantung kepada sistem hormon, neurologi dan vaskular (salur darah).

"Organ seks sebenar yang paling penting dalam menentukan kebolehan untuk mencapai orgasma adalah otak kita sendiri," tekan beliau.

Katanya, hubungan intim mempengaruhi kitaran tindakbalas seks wanita. Ia bermula dengan keintiman emosi yang menjadi motivasi kepada seksualiti neutral wanita. Seterusnya ia merangsang seks yang mana faktor psikologi dan biologi memainkan peranan untuk meningkatkan tahap seks.

Keinginan seks akan meningkat lalu mencapai tahap kepuasan fizikal dan emosi.

Kitar tindak balas seks wanita

1. Peringkat pertama adalah keterujaan atau ransangan yang mana dicetuskan oleh stimulasi psikologi dan fizikal. Tanda-tandanya adalah perubahan emosi, peningkatan kadar denyutan jantung, respirasi dan penebalan dinding serta pengeluaran pelincir dari vagina.

2. Pengekalan rangsangan dipanggil plateau iaitu tahap kedua. Vagina akan menebal, kadar denyutan jantung dan ketegangan otot meningkat sekali gus stimulasi akan berterusan. Payu dara akan membengkak, puting payu dara menegang dan uterus terbenam.

3. Akhir kemuncak adalah orgasma.

4. Fasa terakhir adalah resolusi melibatkan pengaliran darah dari vagina ke seluruh tubuh, pengecutan payu dara dan puting payu dara serta penurunan denyutan jantung, respirasi dan tekanan darah.

"Orgasma adalah sensasi menakjubkan. Ada pendapat yang mengatakan bahawa malam yang baik mengundang kepada pagi yang baik di pejabat," kata Dr. Nor Ashikin sambil tersenyum.

Orgasma katanya, disebut juga sebagai destinasi terakhir dalam setiap hubungan seksual.

"Ironinya, tekanan yang kita letakkan pada diri untuk mencapai orgasma boleh memacu kita untuk memdapatkannya," kata Dr. Nor Ashikin.

Sebaliknya kata beliau, jika kita tidak fikirkan sangat mengenai orgasma dan tidak belajar bagaimana untuk memperolehnya (teori dan praktikal), peluang untuk memperoleh nikmat hubungan seksual termasuk orgasma samar.

Jelas beliau lagi, orgasma terbahagi kepada tiga jenis iaitu klitoris orgasma, orgasma dan gabungan kedua-duanya.

"Orgasma vagina berlaku ketika stimulasi di titik G (G-spot) menyebabkan orgasma tercapai lalu melibatkan sistem uterus dan juga reproduksi," katanya.

Intensiti orgasma

l tempoh dan intensiti orgasma berbeza antara seorang wanita dengan seorang yang lain dan satu pengalaman dengan pengalaman yang lain.

l orgasma berbeza antara satu pengalaman singkat yang cepat hilang berbanding sensasi pengalaman menakjubkan dalam tempoh sedikit panjang, hingga kemuncak nikmat.

l wanita biasanya mengambil masa yang lama untuk mencapai tahap orgasma

Punca sukar mencapai orgasma

Selain persekitaran, faktor utama yang menyebabkan wanita sukar mencapai orgasma adalah disfungsi seksual. Masalah ini berlaku di kalangan 20 hingga 50 peratus wanita.

"Ia melibatkan banyak faktor; biologi, psikologi dan personaliti. Juga tekanan emosi dan fizikal termasuk peningkatan umur," kata Dr. Nor Ashikin.

Ia termasuk masalah keinginan seksual, sukar mencapai kepuasan, orgasma dan sakit ketika melakukan hubungan seks.

"Masalah keinginan seks terbahagi kepada dua iaitu masalah keinginan seks hipoaktif dan masalah tidak suka seks.

"Masalah kesakitan pula antaranya dyspareunia (kekeringan bahagian labia), vaginismus (jangkitan kulat vagina) dan lain-lain masalah kesakitan.

Dari segi biologi kata beliau, faktor jantina dan umur, endokrin, kemurungan, kesihatan keseluruhan dan perubatan memainkan peranan.

Masalah emosi dan berkaitan tekanan, penderaan seks dan konflik hubungan antara faktor psikologi yang sering berlaku.

Selain itu kara Dr. Nor Ashikin, masalah pengaliran darah seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, paras kolestrol tinggi, merokok menyebabkan orgasma sukar dicapai.

"Masalah hormon seperti menopaus, masalah endokrin, kekurangan hormon selepas bersalin dan diabetes juga boleh menjejaskan orgasma," katanya.

Pilihan rawatan

"Mereka yang mengalami masalah mencapai orgasma perlu mendapatkan rawatan sewajarnya kerana ia menjejaskan kesihatan keseluruhan kita," kata beliau.

Bagi Dr. Nor Ashikin, pasangan perlu menjalani kaunseling untuk memulihkan semula tahap keinginan seks mereka.

Selain itu katanya, dapatkan juga terapi gantian hormon estrogen atau estrogen bersama androgen.

Rawatan bukan hormon seperti menggunakan pelembap atau pelincir ketika melakukan hubungan seks, akupuntur dan terapi herba juga boleh membantu.

Bagi mengurangkan kesakitan, Dr. Nor Ashikin mengesyorkan agar pasangan bertenang sebelum melakukan hubungan, mempraktikkan senaman Kegel, menggunakan pelincir dan mencuba posisi atau kaedah baru.

"Yang paling penting adalah berbincang dengan pasangan. Kembalikan kehangatan ketika baru berumah tangga, barulah anda boleh mencapai kemuncak ketika melakukan hubungan," kata beliau.

Syor beliau lagi, pasangan perlu merancang setiap kali ingin melakukan hubungan intim.

"Tanamkan dalam fikiran untuk mendapatkan seks yang terbaik, buangkan perasaan tidak selesa dan takut, nikmati masa anda berdua sebaiknya," kata beliau.

Seks ketika usia emas

Dr. Nor Ashikin berkata, usia emas tidak patut dijadikan alasan untuk tidak mengecapi nikmat hubungan seks.

"Pasangan masih boleh menikmatinya andai mereka benar-benar mahukan dan ia mampu menceriakan hidup mereka," katanya.

Beliau menyarankan agar pasangan tidak berasa gusar kerana seks pada usia ini memerlukan toleransi masa yang lebih panjang serta memerlukan stimulasi manual yang lebih.

"Berbincanglah dengan pasangan. Kongsi apa yang buat anda suka kepada pasangan," katanya.

Selain itu katanya, mengingati saat manis berdua ketika baru menjejak kaki ke alam rumah tangga mampu mengembalikan keseronokan bersama.

"Ambil masa untuk menjelajah semua aspek keseronokan bersama dengan memaksimumkan kemahiran rasa anda," kata beliau lagi.

Sindrom mata tua

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Presbyopia jadikan penglihatan kabur, boleh dialami seawal 30 tahun

JIKA anda membaca, berapa jauhkah jarak bahan bacaan dengan mata? Pada ukuran lengan didepa atau perlu dibengkok bagi memudahkan anda lebih fokus? Jika anda menulis atau menjahit pula, adakah anda terasa sakit kepala dan mata pula menjadi kering dan penat?

Kesemua itu adalah tanda-tanda anda mengalami presbyopia iaitu keadaan ‘mata tua’ yang disebabkan faktor usia. Ia berlaku perlahan-lahan menyebabkan anda tidak menyedari ia berlaku hinggalah usia mencecah 40 tahun ke atas.


Ketua Pengarah Eksekutif, Institut Penyelidikan Mata, Universiti New South Wales, Prof Brien Holden berkata, mata tua disebabkan presbyopia berbeza dengan masalah rabun jauh, rabun dekat atau pun silau (astigmatism). Kesemua masalah itu berkait dengan bentuk anak mata yang kerap kalinya disebabkan genetik atau faktor persekitaran. Namun, presbyopia pula adalah hilangnya keupayaan fleksibel kanta dalam mata.

Jelasnya, faktor usia menyebabkan perubahan terjadi pada protein dalam kanta mata, mengakibatkan kanta mengeras dan kurang elastik. Ia turut menjadi punca perubahan pada otot di sekeliling serat kanta. Disebabkan ia kurang elastik, mata sukar untuk memfokus.

Walaupun presbyopia umumnya berlaku pada mereka yang berusia 40 tahun ke atas, ada juga yang berhadapan dengan masalah ini lebih awal disebabkan komplikasi penyakit lain atau pengambilan sesetengah jenis ubat.

Pesakit diabetes, sclerosis berbilang (MS), atau pesakit jantung adalah mereka yang berisiko diserang presbyopia pada usia yang lebih muda. Selain itu pengambilan ubat antikemurungan atau alkohol turut mempengaruhi.

Bagaimanapun jelas Holden, tahap usia diserang presbyopia adalah berbeza mengikut negara. Misalnya jika di Finland, warganya berhadapan dengan presbyopia pada usia 48 tahun, 38 tahun di Malawi dan mungkin 30 tahun di Malaysia, berikutan faktor sinaran matahari.

Malah, disebabkan faktor jangka hayat yang meningkat jumlah mereka yang berhadapan dengan presbyopia juga bertambah. Jika pada 2005 ada satu bilion penghidap presyobia, jumlah itu dijangka bertambah sekali ganda pada 2020.

Jelas Holden, selalunya pesakit tidak mengetahui mereka berhadapan dengan presbyopia dan berpendapat perubahan kualiti penglihatan sebagai satu kelaziman akibat usia yang meningkat.

“Malah, mereka mendapat rawatan di hospital untuk masalah lain tetapi kemudian mendapati mengalami presbyopia,” katanya.

Presbyopia tidak boleh ditangani dengan pembedahan malah kerana ia sebahagian faktor penuaan, presbyopia juga tidak boleh dicegah.

Holden berkata, presbyopia boleh dibaiki dengan memilih kanta lekap yang sesuai. Walaupun sesetengah orang lebih menyukai kaca mata, teknologi terkini membenarkan mereka yang berhadapan dengan presbyopia memilih kanta lekap dari jenis multifokal.

Andainya anda tidak pernah memakai cermin mata atau kanta lekap sebelum berhadapan dengan presbyopia, anda mungkin boleh membaiki penglihatan dengan menggunakan cermin mata saja. Untuk mendapatkan kaca mata dan kanta lekap yang sesuai, dapatkan rawatan dan khidmat nasihat daripada pakar mata. Tidak merawat presbyopia bermakna anda memilih untuk hidup dalam tekanan.

INFO: Gejala

  • Penglihatan kabur pada objek yang dekat

  • Sukar membaca tulisan yang kecil

  • Mata yang letih terutama apabila membaca di tempat kurang cahaya atau waktu petang

  • Mata tegang dan sakit kepala apabila terlalu dekat dengan bahan bacaan/jahitan.

  • Memegang bahan bacaan pada jarak kejauhan lengan untuk melihat dengan lebih jelas.
  • Teknik Ikat Perut

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my


    Bahagian perut yang diikat

    Mereka yang mencatat BMI 30 ke atas perlu menitikberatkan pengurusan berat badan

    OBESITI atau kegemukan ialah masalah sejagat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015 ada 2.3 bilion orang yang berusia 15 tahun ke atas boleh dikategorikan sebagai terlebih berat, manakala 700 juta yang lain dalam kategori obes.

    Selain itu 20 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun didapati terlebih berat pada 2005.

    Kadangkala tindakan mengawal pemakanan, mengambil pil diet, bersenam atau kaedah menyedut lemak bukan lagi jawapan terbaik untuk menurunkan berat badan. Apatah lagi jika anda memiliki jisim berat badan (BMI) melebihi 37.2! Dikategorikan sebagai morbid obesiti, anda sebenarnya memerlukan kaedah pengurusan berat badan yang lebih baik.


    Ada banyak prosedur perubatan yang selamat untuk anda pilih apabila berat badan mula mencecah kategori obes. Jangan tunggu sehingga BMI 37.2, sebaliknya jika BMI anda sudah mencatat angka 30 ke atas, ditambah dengan faktor rekod perubatan keluarga yang buruk, anda layak untuk memilih jalan pintas untuk kurus.

    Pakar Runding Am, Gastrousus dan Pembedahan Laparaskopik, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr Lukman Mohd Rashid, berkata ada banyak prosedur perubatan yang selamat boleh dipilih mereka yang obes dengan syarat merujuk kepada doktor pakar untuk kaunseling dan nasihat.

    Imbasan belon intragastrik dalam tubuh pesakit.

    "Nasihat doktor membantu seseorang itu membuat pilihan terbaik berdasarkan kemampuannya. Ada sesetengah prosedur pula tidak boleh dilakukan kepada kanak-kanak," katanya.

    Dr Lukman berkata, antara prosedur perubatan yang boleh dipilih ialah balon intragastrik atau pembedahan ikat perut (gastrik banding).

    "Jika dibanding antara kedua-duanya, balon intragastrik ialah prosedur tanpa pembedahan, tidak kekal dan agak murah jika dibanding dengan teknik yang lain), manakala gastrik banding membabitkan pembedahan dan lebih mahal," katanya.

    Belon intragastrik


    Prosedur belon intragastik sudah dikenali sejak 1980. Berbanding pembedahan 'gastrik banding', prosedur ini bersifat sementara dan dianggap sebagai terapi menurunkan berat badan.

    "Belon intragastik tidak membabitkan pembedahan. Sebaliknya, satu belon silikon akan dimasukkan ke bahagian perut dalam prosedur ringkas yang mengambil masa sekitar 30 minit," katanya.

    Dalam prosedur ini, belon yang dibuat daripada silikon lembut akan dimasukkan ke dalam perut melalui mulut berpandukan kamera endoskopik. Bius am digunakan (atau sedation 'bius separa' boleh digunakan), membantu otot lebih rehat dan memudahkan prosedur.

    Apabila belon dimasukkan, ia akan diisi dengan saline (cecair) bersteril menerusi tiub kecil yang dilekat bersama belon. Belon mampu menampung cecair antara 400 cc hingga 700 cc bergantung kepada kesesuaian pesakit) yang mengisi sebahagian besar ruang perut. Disebabkan prosedur yang singkat, pesakit juga boleh pulang ke rumah selepas 24 jam.

    "Bagaimanapun, belon tidak boleh lama berada dalam perut untuk mengelak komplikasi pecah jika digunakan selama lebih daripada enam bulan. Selepas itu, ia akan dikeluarkan dalam satu lagi prosedur ringkas. Ia adalah teknik pilihan, terutama kanak-kanak obes," katanya.

    Kata Dr Lukman, belon yang mengisi sebahagian perut menyebabkan pesakit berasa kenyang dan kurang berselera makan. Tanpa pembedahan, prosedur ini hanya menyelaraskan diet dan mengubahsuai tingkah laku.

    Dalam tempoh enam bulan, seseorang itu mampu menurunkan berat badan sehingga 15 kilogram. Malah dalam dua minggu pertama, pesakit mampu mengurangkan hingga empat kilogram.

    "Sebenarnya mengekalkan berat badan itu yang lebih sukar berbanding menurunkan berat badan. Walaupun belon akan dikeluarkan selepas enam bulan, tetapi mereka yang berdisiplin mampu mengekalkan berat badan. Mereka akan memperoleh berat badan ideal dan mempertahankannya tanpa bantuan belon," katanya.

    Pembedahan ikat perut (gastrik banding)

    Pembedahan ikat perut ialah satu lagi prosedur pembedahan mengawal berat badan yang popular. Tidak seperti belon intragastrik, prosedur ini membabitkan pembedahan dan memakan masa antara satu ke dua jam.

    "Bagaimanapun, prosedur ini disarankan kepada mereka yang mengalami masalah morbid obesiti dan mengelak komplikasi penyakit yang berkaitan dengan obesiti. Ia bukan pembedahan kosmetik," katanya.

    Kata Dr Lukman, morbid obesiti mahupun obesiti adalah ancaman kesihatan yang membawa kepada komplikasi penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi dan masalah berdengkur atau pernafasan. Malah, kemandulan juga boleh dikaitkan dengan morbid obesiti.

    Justeru, ia seharusnya tidak disalah guna oleh mereka yang tidak sepatutnya. Misalnya, model yang ingin kekal kurus.

    Dalam prosedur pembedahan ikat perut, gegelung silikon penyekat akan diletakkan di sekeliling perut untuk membentuk perut seperti punjut kecil. Bahagian yang dijerut dengan silikon menyebabkan laluan atas perut itu sempit.

    Ini membuatkan pesakit berasa kenyang walaupun pengambilan makanan dihadkan. Malah dalam sesetengah kes, jika pesakit itu masih menikmati makanan sesuka hati, dia akan termuntah. Namun, prosedur begini memerlukan kerjasama dan disiplin pesakit.

    Dr Lukman berkata, walaupun makanan pejal tidak boleh melepasi ikatan perut tetapi makanan dalam bentuk cecair boleh melepasinya. Justeru, pembedahan ini tidak akan mencapai sasaran jika pesakit masih mengambil minuman dengan kadar kalsium atau karbohidrat yang tinggi.

    Dalam prosedur ini, bahagian atas perut akan diikat tetapi kedua-dua bahagian akan disambungkan ruang saluran kecil. Makanan akan melalui ruang ini daripada bahagian atas perut dengan lebih perlahan menyebabkan rasa kenyang lebih lama.

    Gegelung yang mengikat bahagian perut boleh dilaraskan kerana bahagian permukaan dalamnya boleh diisi dengan larutan bergaram atau dikempiskan untuk mengubah saiz ruang, seperti gelung tekanan darah.

    Ia disambungkan menerusi tiub ke takungan larut garam yang diletakkan di bawah kulit dan lemak ketika pembedahan. Takungan ini tidak boleh dilihat tetapi dirasai apabila anda menekan abdomen. Selepas pembedahan, doktor boleh mengawal larutan bergaram dalam gegelung memasukkan jarum halus menerusi kulit.

    Pembedahan ini membantu pesakit menurunkan hingga 40 peratus berat badannya. Bagaimanapun, jumlah itu berbeza untuk setiap orang. Ikatan pada perut juga boleh dibuka jika pesakit sudah mendapatkan berat badan yang sesuai atau berubah fikiran.

    Kata Dr Lukman, berbanding belon intragastrik, prosedur ini agak mahal bergantung pada pusat rawatan yang dipilih pesakit.

    INFO: Obesiti dan prosedur ikat perut

  • Senaman, diet dan pil kurus bukan jawapan terbaik untuk anda yang mengalami morbid obesiti

  • Prosedur menurunkan berat badan boleh dilakukan sekiranya BMI anda melebihi 30

  • Belon intragastrik adalah prosedur tanpa bedah dan dilakukan dalam masa 30 minit

  • Belon intragastrik bagaimanapun bukan prosedur kekal. Belon perlu dikeluarkan enam bulan selepas prosedur.

  • Pembedahan ikat perut adalah prosedur popular menurunkan berat badan bagi mereka yang morbid obesiti.

  • Pembedahan ini membabitkan jerutan bahagian atas perut dengan gegelung boleh laras

  • Selepas pembedahan, pesakit perlu mematuhi diet yang disarankan dan membuat rawatan susulan.
  • Remaja kini bebas bergaul

    MENGIKUTI kisah-kisah yang tersiar dalam ruangan di celah-celah kehidupan, merupakan hobi utama saya, kerana saya peminat setia DCCK. Setiap minggu saya dapati ruangan ini banyak memaparkan kisah yang berkisar pada masalah rumahtangga khususnya suami atau isteri.

    “Amat jarang sekali membincangkan masalah yang lebih utama iaitu anak-anak kita khasnya remaja. Namun jika kita baca surat khabar keseluruhannya setiap hari kita akan rasa takut dengan berita gempar seperti kes buang bayi, kes rogol, khalwat yang membabitkan remaja khususnya yang masih di bangku sekolah lagi. Siapakah yang hendak dipersalahkan dalam hal ini? Ibu bapa? Guru? Atau remaja itu sendiri?

    “Tujuan utama saya menghantar e-mel memaparkan pandangan saya ini adalah untuk mendapatkan pandangan di samping menyedarkan pembaca sekelian khususnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja supaya melihat sendiri perbuatan anak-anak mereka sebelum perkara yang lebih buruk terjadi. Agar anda tidak menyesal kemudian hari.” Demikian menurut Shareena dalam e-mel kepada penulis.

    “Saya katakan demikian kerana saya sendiri hampir terlupa dengan tugas saya. Sebelum bercerita panjang elok saya kenalkan diri. Saya ibu muda berusia hampir 40 tahun, mempunyai dua orang anak lelaki remaja berusia 15 dan 11 tahun. Tinggal di pinggir Kuala Lumpur. Manakala anak-anak bersekolah di Bangi.”

    “Memandangkan saya menjalankan perniagaan bersama suami membantunya menguruskan urusan di pejabat, maka dapatlah juga saya mengurus rumah sehinggalah hal-hal bersangkutan persekolahan anak-anak pergi dan balik sekolah.

    ‘‘Saya sanggup berhenti dari kerja semata-mata ingin memenuhi tanggungjawab saya membesarkan kedua cahaya mata saya ini, memandangkan keadaan hidup kita sekarang amat membimbangkan dengan pelbagai jenis jenayah yang menakutkan.

    ‘‘Di samping itu tujuan saya adalah untuk mendekati anak-anak saya ini selain, mendidik dan mendalami setiap masalah yang mereka hadapi. Kerana saya percaya jika kita mendekati anak-anak kita bukan sebagai ibu bapa tapi sebagai sahabat maka mereka akan menjadikan kita tempat rujukan sebarang masalah terutama masalah rakan sebaya.

    ‘‘Setiap hujung minggu saya dan suami akan membawa anak-anak keluar makan atau menonton wayang tapi sekiranya suami saya sibuk sayalah yang akan mengambil alih tugas tersebut, supaya anak-anak tidak terasa diri mereka sendirian dan terpinggir.

    ‘‘Dalam pada itu persekitaran sekolah anak-anak saya juga amat baik sekali kerana sekolah tersebut mengamalkan pendidikan agama kepada murid-muridnya. Namun masalah saya bermula pada tahun lalu ketika anak sulung saya berusia 14 tahun.

    ‘‘Di sekolah yang mempunyai pelajar campur lelaki dan perempuan adalah biasa untuk mereka sekiranya meminati satu sama lain. Maklumlah itu keadaan semula jadi naluri manusia. Dan ia perkara yang memang tidak dapat dielakkan. Bukanlah hendak membangga diri, tetapi anak sulung saya ini memang tampan dan segak.

    ‘‘Di sekolah dia merupakan pelajar popular bukan saja kerana kehensemannya itu tetapi juga kerana dia aktif dalam sukan mewakili sekolah dan daerah selain menjadi ketua pengakap dan pengawas sekolah. Jadi ramai pelajar perempuan meminatinya walaupun dia tidak pernah bercerita hal ini pada saya.

    ‘‘Selain itu walaupun hubungan saya rapat dan mesra dengan anak-anak tapi saya agak garang dalam mendidik terutama dalam perkara yang melibatkan displin dan akhlak amat saya utamakan selain pelajaran, supaya mereka tahu apa yang baik atau sebaliknya.

    ‘‘Tak dapat dinafikan dalam kecanggihan dan kebimbangan dunia sekarang saya terpaksa mengikutnya dengan memberikan handphone kepada anak-anak dengan tujuan untuk memudahkan mereka menghubungi kami sekiranya saya sibuk bekerja.

    amaran

    ‘‘Tapi yang menjadikan masalah sekarang ialah kemudahan handphone yang diberikan telah disalahgunakan untuk SMS kawan perempuannya bernama Wan. Apabila saya dapat tahu kejadian ini tahun lalu maka saya beri amaran dan marah kepadanya supaya dia berubah dan bersikap baik sekiranya masih mahukan kemudahan yang diberikan atau kemudahan itu akan ditarik balik.

    ‘‘Dalam pada itu saya SMS Wan minta dia jangan lagi hubungi anak saya dan saya nasihatkan dia supaya tumpukan pada pelajaran tapi tidak diendahkannya. Wan langsung tidak umpamakan nasihat saya orang yang lebih tua dan harus dihormati. Jadi saya cuma nasihatkan anak saya saja dan mengawal tingkah lakunya.

    ‘‘Dia berubah sekejap. Tapi buat hubungan lagi dengan budak perempuan lain nama Jey. Apa yang ingin saya kongsikan di sini bukanlah hendak salahkan sesiapa kerana saya selalu meletakkan kesalahan pada diri sendiri, kerana mungkin terlepas pandang, tapi saya selalu tertanya-tanya adakah ibu bapa budak perempuan itu tahu apa yang dibuat oleh anak gadis mereka. Pernahkah mereka lihat beg sekolah atau handphonenya?

    ‘‘Soalan inilah yang selalunya tidak memberikan saya jawapannya. Saya malu apabila membaca SMS anak-anak perempuan ini, mereka tanpa segan dan malu menceritakan tentang alat sulit mereka, dengan rasa bangga sekali! Mereka bercerita soal seks dengan lancar, seperti mereka pernah melakukannya. Seperti hubungan suami isteri! Ya Allah! Saya amat terkejut dan menjadi amat takut.

    ‘‘Saya tak tahulah sama ada saya ketinggalan zaman atau tidak up to date hinggakan perkara seperti ini terjadi. Soal seks bagaikan tidak ada rahsia di kalangan remaja. Saya amat marah pada anak saya, saya kuarantin dia dan ambil semula handphonenya. Saya tak mahu dia terpengaruh dan dihiburkan dengan benda-benda seperti itu.

    ‘‘Apabila saya hubungi handphone Jey dia tidak menjawab. Saya SMS dia mintak jangan ganggu anak saya lagi memandangkan dia akan menduduki PMR tidak lama lagi. Tapi SMS saya langsung tidak dibalas, jauh sekali meminta maaf.

    ‘‘Apa yang saya ceritakan ini saya percaya berlaku di mana-mana. Cuma saya tidak tahu setakat mana kita sebagai ibu bapa menjalankan tanggungjawab kita terhadap anak-anak remaja kita ini. Sekiranya kita biarkan saja mereka menganggap mereka tahu baik dan buruk sesuatu perkara kerana mereka telah diberi didikan agama di sekolah.

    Benar kata Shareena, kita sering ambil mudah anak remaja kita, sedangkan pada usia itulah mereka mesti diawasi lebih ketat, kerana banyak kesilapan berlaku pada usia muda, namun tidak dinafikan pada usia beginilah remaja terlalu sukar didekati kerana tenggelam dalam hayalan dunia mereka sendiri. Jadi mari kita awasi mereka supaya selamat.

    Penyusuan ibu

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@bharian.com.my













    Tempoh berpuasa tidak jejas kualiti susu

    "ANAK saya berusia enam bulan dan masih menyusu badan. Jika saya berpuasa, adakah ia akan mengurangkan kuantiti susu?,"

    Ini persoalan yang paling lazim disuarakan ibu-ibu muda. Adakah puasa akan menjejaskan kuantiti susu? Adakah menyusukan anak boleh menyebabkan dehidrasi.

    Umumnya, menyusukan anak di bulan Ramadan tidak jauh berbeza dengan-bulan lain. Ini kerana menyusukan bayi adalah mengikut keperluan bayi dan bukannya sepanjang waktu.

    Kuantiti dan kualiti susu masih sama di bulan Ramadan, seperti hari-hari lain. Bayi juga tidak akan terjejas. Malah jika si ibu berpuasa 24 jam pun, kandungan lemak dalam susu tidak akan berubah. Apa yang mungkin berubah jenis lemak dalam susu itu bukan jumlahnya.

    Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Rawatan Az-Zahra, Bangi, Dr Noraini Nor berkata, menyusukan bayi bermaksud ibu seharusnya memilih diet yang baik mengandungi semua jenis makanan dalam piramid makanan.


    Katanya, pemakanan kaya protein dan kalsium dapat meningkatkan pengeluaran air susu.

    “Disarankan, ibu menyusukan bayi mengambil air yang banyak, melebihi lapan gelas sehari. Pengambilan susu akan meningkatkan kualiti air susu. Ini kerana keperluan kalsium untuk ibu mengandung adalah sebanyak 1000mg sehari. Bagaimanapun, biasanya badan ibu akan memastikan kualiti air susu adalah tidak berubah,” katanya.

    Jelas Dr Noraini, kemungkinan untuk berlaku dehidrasi pada bulan Ramadan adalah sangat rendah. Ini kerana berpuasa hanya mengambil masa yang pendek berbanding mereka yang berhadapan masalah kebuluran. Apa yang penting, pengambilan air yang secukupnya sepanjang berpuasa.

    “Jika berlaku masalah kekurangan susu, apa yang boleh dilakukan adalah meningkatkan kekerapan penyusuan. Jika boleh, tingkatkan kekerapan penyusuan setiap dua ke dua setengah jam sekali supaya pengeluaran hormon oxytocin bertambah untuk mengekalkan pengeluaran air susu,” katanya.


    Dr Noraini berkata, tidak dinafikan kadang kala wanita yang menyusukan bayi terpaksa mengambil cuti untuk memastikan penyusuan intensif.

    “Penyusuan oleh bayi adalah lebih baik berbanding dengan pam kerana ia akan menghasilkan lebih banyak air susu,” katanya.

    Dugaan pengantin baru



    Isteri muda tertekan suami menganggur, wang habis sara keluarga


    Soalan:
    Saya baru berkahwin empat bulan lalu. Suami saya diperkenalkan oleh kawan. Namun, dalam hati memang rasa kasih dan sayang ada untuk suami, begitu juga dengannya. Kami tiada masalah sebelum dan selepas kahwin.

    Kami tinggal di rumah kuarters kerana saya kakitangan kerajaan. Baru-baru ini, suami kehilangan pekerjaan. Sejak itu, kami berusaha untuk mendapatkan kerja namun sudah hampir dua bulan, masih buntu. Gaji saya pula habis digunakan untuk perbelanjaan bulanan, begitu juga dengan wang simpanan untuk biayai pinjaman dan barang dapur. Kebetulan, ada ahli keluarga lain yang tinggal bersama saya sejak kami kahwin. Oleh kerana terlalu lama tinggal bersama kami, suami berasa kurang selesa apabila berada di rumah kerana dia tidak bekerja dan saya pula pulang lewat. Maka dia terpaksa duduk di rumah bersama ahli keluarga tadi. Tapi ini tidak berpanjangan kerana saudara perempuan itu akan berpindah, bulan depan.

    Keadaan kewangan yang meruncing, termasuk perbelanjaan bulanan itu menyebabkan hubungan kami berdua agak tegang. Saya cuba bertahan dan memujuk suami untuk bersabar tetapi dia lebih mengikut perasaannya. Saya rasa tertekan. Hendak diceritakan kepada keluarga saya, takut pula hanya memalukan suami. Hendak mengadu kepada mentua, tidak sampai hati kerana bapa mentua menghidap sakit jantung. Saya serba salah jadinya. Saya tidak tahu apa yang harus saya buat melainkan berdoa pada Allah. saya cadangkan pada suami supaya cari kerja apa saja termasuklah di kiosk makanan, namun tidak diterima. Dia lebih mencari kerja melalui online. Saya mohon pada umi, apa yang perlu saya lakukan.


    Isteri Sayu

    Jawapan:
    Salam semangat untuk Isteri Sayu. Apa yang anda hadapi sesungguhnya satu ujian getir daripada Allah SWT. Anggaplah ini sesungguhnya satu ujian untuk menguji anda sama ada anda mengahwini suami anda kerana Allah SWT atau kerana dirinya.

    Perkahwinan yang baru berpucuk, belum pun kembang menjadi daun, sudah diuji seberat ini. Perkahwinan tidak hanya menyatu dua hati, tetapi paling penting bagaimana menjalin dan menyemai kasih sayang sewaktu susah mahu pun senang. Sejauh mana anda dapat memberi dan menerima, begitu jugalah yang harus dilakukan suami kepada anda.

    Ini bermakna anda harus bertanyakan dengan diri anda, tanyakan sama ada anda masih sayangkan suami kerana dia suami yang dipilih Allah SWT untuk anda? Atau adakah anda menerimanya sebagai syarat untuk melepasi gerbang perkahwinan, sebagai mana adat orang hidup dan berumah tangga dan terlepas dari status andartu? Jika sebabnya kerana Allah SWT, maka mengadulah dengan Allah SWT kerana Dialah pembekal rezeki.

    Jika anda renungkan, rasakan bahawa hidup ini ibarat seperti satu perdagangan. Peniaga tidak akan sentiasa rugi dan tidak mungkin rugi seumur hidup. Tetapi sebagai peniaga yang yakin bahawa setiap yang hidup ada rezekinya dan sudah ditakdirkan oleh Allah SWT dan Dia tidak pernah tidak adil pada hambanya. Kita juga sering diingatkan, andai kamu bersyukur pada apa yang diberikan sekarang, maka Allah SWT akan tambah rezekinya, Insya-Allah.

    Tapi, jika kamu kufur maka Allah SWT akan tarik menjadi sesempit-sempitnya. Berdasarkan penjelasan ini sebenarnya anda masih sangat bernasib baik kerana masih mempunyai pekerjaan dan tinggal di rumah kerajaan yang sewanya antara yang terendah.

    Sedangkan di pihak lain, ada keluarga yang mana kedua-dua suami isteri diberhentikan kerja, menganggur serentak. Bayangkan betapa sengsaranya mereka berdepan kesusahan sedemikian.

    Mungkinkah dugaan yang anda hadapi ini menjadi ujian bagi membuktikan sedalam manakah cinta anda dan sejauh manakah suami mahu bertanggungjawab mempertahankan rumah tangga yang baru dibina. Ia juga menjadi medan menguji kesetiaan dan sebanyak mana pengorbanan yang mampu anda laksanakan demi memanjangkan hayat perkahwinan yang baru bermula. Atau dalam erti kata lain, sejauh mana anda dan suami dapat memastikan istana yang dibina dapat terus kukuh berdiri biarpun diterjah dugaan hebat.

    Dan paling penting, setebal manakah lapisan kesabaran anda sebagai seorang hamba Allah SWT, seorang isteri dan seorang menantu dan sebagai pasangan dan sahabat kepada suami.

    Sebagai hamba Allah SWT misalnya, adakah anda rela hati dan puas dengan pemberian-Nya? Menyingkap sejarah generasi awal umat Islam ini adalah orang yang secara material sememangnya susah malah termasuk fakir miskin. Mereka tidak memiliki harta melimpah, rumah untuk bermegah, kenderaan yang bagus, namun ternyata mereka mampu membuat kehidupan ini lebih bermakna serta membuat diri mereka dan masyarakatnya lebih bahagia.

    Ini kerana mereka memanfaatkan setiap pemberian Allah SWT di jalan yang benar dan kerana itu umur, waktu, kemampuan dan keterampilan mereka menjadi penuh berkat.

    Berbanding kita yang terkadang diberi secukupnya, seperti masih ada air yang hendak diminum, ada nasi yang nak disuap dan ada rumah tempat berlindung tapi terus diselubungi rasa takut hilang rasa selesa lalu mudah berasa derita, cemas dan gelisah kerana hubungan dengan Allah SWT ternyata jauh.

    Jika anda mahukan kebahagiaan, terimalah apa yang Allah SWT berikan sekarang dengan rela hati atas prinsip hidup ‘jika anda sentiasa tetap senang hati, menerima sedikit apa pun yang anda miliki dan rela dengan segala sesuatu yang tidak lepas dari milik anda.’

    Jika dilihat, anda masih boleh dianggap bernasib baik kerana suami tetap berikhtiar mencari kerja. Dia sudah berikhtiar dan tugas anda dan dia selepas berikhtiar, adalah berdoa dan merendah diri kepada Allah SWT kerana tabung rezeki ada ditangan-Nya. Ini jelas seperti “Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah SWT itu amat dekat.” (QS Al-Baqarah:214).

    Dan dalam satu hadis sahih juga ada disebutkan: “Ketahuilah bahawa pertolongan itu ada bersama dengan kesabaran dan jalan keluar itu akan selalu beriringan dengan cubaan. Oleh itu jangan bersedih dan berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya, tiada berputus asa daripada rahmat Allah SWT kecuali orang-orang kafir.

    Oleh itu kendalikan perasaan anda dengan bijak kerana emosi dan perasaan akan bergolak disebabkan dua perkara - kegembiraan yang memuncak dan musibah yang berat.

    Oleh itu Rasulullah SAW ada mengingatkan umatnya: “Sesungguhnya aku melarang dua macam ucapan yang bodoh lagi tercela iaitu keluahan tatkala mendapat rahmat dan umpatan tatkala mendapat musibah.”

    Perempuan yang aniaya perempuan

    KETIKA berbual dengan seorang teman baru-baru ini, dia menceritakan mengenai konflik yang berlaku antara bos-bos perempuan di pejabatnya. Menurut kawan Bro itu, berdasarkan pemerhatiannya adalah jelas kalau perempuan bermasam muka antara satu sama lain, keadaannya akan menjadi lebih buruk berbanding lelaki bermasam muka.

    Dalam soal ini, Bro teringat kata-kata seorang kawan iaitu, ‘‘Kalau lelaki bergaduh mungkin ia hanya merosakkan sebuah rumah tetapi kalau perempuan bergaduh, mungkin musnah sebuah kampung.’’

    Bila Bro fikir-fikirkan balik apa yang dimaksudkan dengan kata-kata ini, ia jelas ingin memberi peringatan bahawa kalau perempuan bergaduh sesama mereka dalam apa juga situasi, keadaan akan menjadi begitu buruk sekali.

    Apa yang Bro pelik, ada kalanya mereka bergaduh atau bermasam muka bukan kerana apa tetapi disebabkan salah seorang daripada mereka akan dinaikkan pangkat. Sepatutnya sebagai perempuan, orang yang tak naik pangkat itu bersyukurlah kerana ia menunjukkan kehebatan perempuan.

    Tetapi malangnya, si perempuan pula yang rasa cemburu kepada kawan perempuannya. Berikutan itu maka berlaku pelbagai ‘adegan’ termasuklah gerakan untuk memburuk-burukkan si perempuan yang mendapat rezeki naik pangkat itu.

    Macam-macam cerita buruk disebarkan supaya kenaikan pangkat yang berlaku dipandang serong. Akibat tidak puas hati juga, ada pula pekerja perempuan yang sanggup meletakkan jawatan.

    Dia lebih rela menganggur atau berpindah tempat kerja daripada melihat rakannya yang sudah bertahun-tahun berkawan dengannya naik pangkat.

    Bro tak faham apa ‘spesis’ perempuan macam ini. Bagi Bro, sejak dulu lagi sama ada yang naik pangkat itu lelaki atau perempuan Bro sentiasa tumpang gembira.

    Bagi Bro, semua itu rezeki yang ditentukan oleh Allah. Mungkin hari ini kita tidak naik pangkat, mungkin di masa depan rezeki kita pula. Apa perasaan kita, kalau apabila kita naik pangkat orang kata macam-macam?

    Burukkan

    Jadi kalau tak mahu, orang burukkan kita maka kita pun janganlah burukkan orang. Biarlah kawan kita yang naik pangkat itu melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik-baiknya.

    Bro yakin perasaan dengki atau cemburu ini juga tidak ada kepada kaum lelaki lain, kalau ada rakan mereka naik pangkat. Mungkin ada perasaan terkilan tetapi tidaklah sampai hendak memburuk- burukkan rakan berkenaan.

    Apa yang Bro tulis ini bukanlah tuduhan tetapi fakta bagi mengingatkan kaum perempuan tak payahlah cemburu sesama rakan sejenis. Adalah lebih baik mereka bersyukur dan tumpang gembira. Tak ada faedah pun nak menganiaya kawan sendiri.

    Beberapa kawan perempuan Bro mengakui fakta ini dan minta Bro tulis untuk peringatkan semua kaum wanita supaya jangan terlalu banyak perasaan dengki dan iri hati.

    Namun begitu Bro terima hakikat bahawa di kalangan sesetengah perempuan, dia tidak boleh lihat ada perempuan lain lebih daripadanya. Ada sahaja yang hendak dikritiknya, hatta dari segi pakaian sekalipun.

    Perempuan macam ini kehidupannya tidak akan sampai ke mana, silap-silap hari bulan, dia boleh jatuh sakit. Semua itu berlaku kerana hatinya tidak bersih asyik nak dengki kat orang lain sahaja. Oleh itu jagalah hati kita, siramilah ia dengan niat-niat yang baik-baik sahaja. Jumpa lagi minggu depan.

    Bro – Bersyukur dengan rezeki yang ada.

    Suami kian hanyut

    Isteri risau pasangan pentingkan duniawi, suka berahsia

    SOALAN

    SAYA seorang isteri dan ibu yang sedaya upaya mahu mempertahankan rumah tangga ini. Malangnya, saya mempunyai suami yang tidak mahu solat. Malah selama enam tahun berkahwin, dia tidak akan solat jika saya tidak menyuruh. Sedari dulu lagi, apabila saya tidur di bilik atas, dia akan turun ke tingkat bawah rumah jam 1 atau 2 pagi untuk melayari internet. Dia hanya naik tidur pada waktu saya mahu bangun dan menunaikan solat subuh.

    Kedua ibu bapa mendidik saya dengan cukup, agama dan pendidikan duniawi. Selepas berkahwin saya bertudung, tetapi dalam setahun ini saya buka tudung kerana suami tidak suka saya bertudung. Apa yang membimbangkan, sekarang saya juga terikut-ikut perangainya yang tidak mahu solat. Kami selalu bergaduh bukan saja kerana dia tidak solat tetapi juga kerana dia suka menyimpan rahsia sejak kahwin sehingga sekarang.


    Jiwa saya tidak tenang, sedih dan mahu dilepaskan olehnya. Saya tidak mahu anak-anak mengikut apa yang tidak sepatutnya. Percakapan hanya akan menjadi pergaduhan. Ibu bapa saya memang suruh saya bersabar, tapi patutkah saya bersabar dengan perangainya yang kelihatan seperti tidak berubah? Saya tidak mampu untuk menegurnya lagi, meletihkan mental dan fizikal saya.

    ANITA

    JAWAPAN

    Salam keberanian buat Anita. Sesungguhnya hidup ini adalah ibarat seorang musafir yang sedang bernaung di bawah sebatang pohon, yang sejenak kemudian pergi dan meninggalkan pohon itu. Jika inilah kehidupan maka kita disuruh untuk terus berusaha dan tidak boleh berhenti mencari Allah SWT dalam semua urusan sebelum dijemput-Nya.

    Oleh itu, seperti pesanan Rasulullah, “Orang yang cerdik adalah orang yang mampu menakluk hawa nafsunya dan melakukan persiapan bagi tempoh selepas kematian, sedangkan orang yang bodoh adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan mengharap pertolongan Allah SWT.

    Berdasarkan pesanan ini jelas anda adalah tergolong dalam kumpulan cerdik yang sedang dipengaruhi untuk menjadi orang bodoh, mendapat suami yang tidak pernah solat, kecuali bila disuruh dan melakukan perkara yang bercanggah dengan tabii hidup beragama dan berkeluarga. Dia seharusnya perlu sedar siapa pemimpin dan dipimpin dalam rumah tangga?

    Anda sudah ditunjukkan perlakuan kotor yang jelas menyimpang daripada perintah Allah SWT dan bertentangan perintah agama. Tindakannya yang enggan solat, ditambah dengan sikap suka melayari internet pada jauh-jauh malam hingga ke awal pagi serta sikap berahsia, bukan pegangan yang harus ada bagi mereka yang seharusnya bergelar suami dan nakhoda rumah tangga.

    Orang yang menyimpang daripada jalan Allah SWT tidak akan melakukan yang baik kecuali berkelakuan kurang ajar dengan manusia dan menunjukkan sikap bermusuhan dengan-Nya secara terang-terangan hingga tidak ada lagi perasaan malu berbuat dosa. Orang sebegini juga tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas sehingga menjadikan mereka sama seperti binatang melata dalam bentuk manusia dan berkelakuan seperti haiwan berbentuk manusia.

    Bagaimana orang sebegini yang anda harapkan untuk jadi pemimpin anda dan mahu anda taat perintahnya dan diikuti kelakuannya. Sedangkan anda di didik secara Islam. Jika dia terus enggan tunduk dengan perintah Allah SWT, mana mungkin dia akan membekalkan anda dengan kebahagiaan, sedangkan dia jauh malah berpaling dari pemilik dan pembekal kebahagiaan itu sendiri. Lebih malang lagi, anda sudah terikut-ikut dengan perangainya menjauhi Allah SWT - membuka tudung iaitu aurat setiap wanita dan meninggalkan solat. Sampai bila anda harus begini demi terus menawan kasihnya?

    Anda perlu sedar, Allah SWT sudah berjanji akan memberikan kebahagiaan itu kepada orang yang Dia kehendaki. Bagaimana anda harus terus sabar bertahun-tahun sedangkan dia tidak berusaha untuk membaiki dirinya sendiri sebagai hamba-Nya? Bagaimana dia akan membimbing anda dan anak-anak anda sedangkan dia sudah membuat Allah SWT murka. Ini tidak termasuk soal mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada-Nya.

    Jelaslah, apa yang dilakukannya sekarang jika terus berkelakuan sedemikian adalah menempah kesengsaraan di akhirat nanti yang berupa neraka jahanam. Dia hanya menambah kesengsaraan hidup dengan sikap tidak bertanggungjawab selain tekanan mental. Ini di jelaskan Allah “Dan, barang siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” (QS Thaha:124).

    Oleh itu nasihat saya, puan harus mampu membuat perancangan hidup sendiri yang berteraskan agama dan membangun diri mengikut lunas agama. Jika anda bertanggung jawab dengan diri dan dengan Allah SWT, anda harus berani demi memperoleh akhir hidup yang baik. Sebab itu kita dipesan melalui QS Adh-Dhuha; “Dan, sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu dari permulaan.”

    Jika anda tidak membuat pilihan cara hidup yang bersandarkan agama Allah SWT, memuliakan dan beribadat kepada-Nya, walaupun anda tinggal di istana yang paling megah, di rumah yang paling luas dan memiliki semua yang anda sukai, maka ketahuilah bahawa akhir kehidupan adalah pahit dan penderitaan yang sebenar-benarnya.

    Andai ini terjadi bermakna sampai bila-bila pun, anda tidak akan memiliki kunci kebahagiaan. Jangan takut membuat pilihan dalam hidup ini demi syurga di dunia dan syurga di akhirat kerana Allah SWT sudah berjanji: “Sesungguhnya Allah SWT membela orang yang beriman (QS Al:Hajj:38).

    Jangan takut menyelamatkan anak dan diri sendiri yang sudah lama menderita kerana jika kita mencari Allah SWT dalam hidup kita disediakan jaminan.

    Dan, barang siapa yang beriman kepada-Nya nescaya Allah SWT akan memberi petunjuk kepada hatinya(QS At-Taghabun:11). Yakinlah janji Allah ini kerana Allah tidak mengizinkan kita menyiksa diri sendiri dalam hidup ini. Carilah cinta Allah jika cinta manusia membawa kamu menjauhi cinta Nya, kerana cinta Allah sangat abadi dan kudus. Hunuslah pedang semangat ituuntuk menebs pedihnya kehidupan ang sedang anda lalui. Amin....

    Wanita dihina & disisih

    SAYA wanita berusia 23 tahun yang hidup kesedihan dan penuh air mata sejak emak dan bapa berpisah. Saya selalu dihina oleh bapa tiri dan keluarga emak saya.

    Saya cemburu melihat kawan yang ada keluarga bahagia, sedangkan bagi saya hanya air mata menjadi teman. Setiap hari saya melihat mereka ketawa. Jika ada majlis keramaian di sekolah, emak dan bapa mereka datang menemani. Saya? Selalu dibiarkan bersenderian.

    Ketika berumur 16 tahun, saya lari dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap emak. Saya kemudian berkenalan dengan seorang lelaki dan terus berkahwin pada usia muda. Saya berkahwin bukan kerana cinta, tapi kerana ingin mencari tempat tinggal.

    Menjelang majlis akad nikah, barulah pertama kali saya berjumpa bapa kandung yang tidak pernah saya jumpa selama 16 tahun. Malangnya, sikap bapa juga lebih kurang sama dengan perangai emak.

    Bapa minta semua duit kahwin saya, baru dia setuju nak jadi wali. Nak tak nak, saya terpaksa mengikut cakapnya.

    Selepas berkahwin, bermulalah episod kedua penderitaan hidup saya. Emak mentua tidak sukakan saya kerana saya tidak macam menantu yang lain. Mereka ada harta dan keluarga bahagia, tapi saya tidak.

    Saya selalu dihina di depan orang ramai, malah emak mentua juga selalu melaga-lagakan saya dengan adik ipar saya. Bila saya tanya kenapa dia buat begitu, emak mentua diam saja. Biasalah, mungkin mereka membenci saya. dari kecil hingga dewasa, saya hidup sebagai wanita yang disish dan dihina.

    Saya cemburukan kakak ipar saya kerana dia ada segala-galanya termasuk harta dan keluarga bahagia. Saya selalu minta kepada Allah supaya saya dapat hidup bahagia sepertinya.

    Kenapa Tuhan tidak adil dengan saya? Saya sekolah hanya setakat darjah enam, jadi macam mana saya nak dapat kerja yang bagus. Saya juga tidak pandai bersolat. Suami pun buat tidak tahu dengan saya. Dia tidak pernah mengajar saya perkara-perkara agama.

    Sampai bila saya perlu hidup menderita? Semua orang benci pada saya. Hidup saya membawa sial kepada semua orang. Sudah menjadi adat dunia, apabila ada harta, baru orang suka.

    * Ita, Pahang.

    Ita,

    Hidup kita ini tidak selalu indah. Setiap orang pasti ada suka duka yang perlu dilalui. Apa yang perlu kita lakukan, perbaiki diri. Jika tidak tahu bagaimana hendak mengerjakan solat. Bergurulah dengan buku. Selain itu, ita perlu meluahkan segalanya dengan suami. Mungkin dia sendiri tidak tahu apa yang Ita inginkan dalam hidup. Kebahagiaan itu tidak akan tercapai dalam sehari. Mungkin Ita diuji pada usia yang masih muda. Allah bukan tidak adil. Ia hanya secebis ujian buat Ita.

    Jangan menyesali nasib diri. Ukuran diri kerana harta hanya pada pandangan manusia. Di akhirat kelak, hanya iman dan takwa bekalan manusia. Mulai sekarang, Ita perlu memperbaiki diri. Penuhkan ilmu di dada dengan keimanan. Jangan sekali-kali berputus asa dan mempertikaikan takdir Allah. Dekatkan diri, bersolat dan mohon doa agar Ita sekeluarga diberi petunjuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

    Dilema wanita ingin berkongsi kasih

    LELAKI ini saya gelarkan Rosli. Saya mengenalinya tiga tahun lepas. Di awal perkenalan saya tidak mengetahui Rosli sudah berkahwin. Akhirnya walaupun saya tahu Rosli sudah berkahwin, saya tetap berhubungan dengannya.

    Pernah juga berkali-kali saya cuba jauhkan diri daripadanya tetapi tak menjadi. Dia sangat matang dalam hidup. Dialah yang banyak memberi nasihat dan memotivasikan diri ini tatkala diri dilanda masalah. Lama kelamaan, daripada suka-suka kami bertambah serius dan pernah terlanjur. Kami sebenarnya amat mencintai satu sama lain. Dan kini Rosli juga menyatakan hasratnya mahu mengambil saya sebagai isterinya. Saya minta Rosli berterus terang dengan isterinya. Tetapi saya kecewa kerana Rosli masih belum berterus-terang dan itu amat mengecewakan saya. Sebaliknya, Rosli tidak pula percaya dengan perceraian. Jadi mahu tidak mahu, saya pasti menjadi isteri kedua jika mahu bersamanya. Ibu dan ayah tidak tahu yang Rosli adalah suami orang dan ketika ini ibu sememangnya suka jika aku bersama Rosli kerana H dilihatnya sempurna.

    Ada kerjaya, berharta dan mempunyai paras rupa . Aku tidak dapat bayangkan jika emak dan keluargaku tahu dia suami orang kerana menjadi isteri kedua dianggap amat negatif. Namun, dalam hati, terdetik yang Rosli mampu beristeri dua dan berlaku adil.

    * Mila, Johor.

    Mila,

    Sudahkah Mila bersedia untuk hidup bermadu? Semua jawapan ada dalam diri Mila. Jika benar Mila bersedia untuk berkongsi kasih dengan orang lain, bersedia untuk berterus terang dengan keluarga Mila.

    Apa pun keputusan keluarga Mila, jangan cepat berputus asa. Pesan Putri, setiap perhubungan perlu mendapat restu daripada keluarga. Terangkan keadaan sebenarnya kepada mereka.

    Dalam pada itu, Mila dan Rosli juga perlu memastikan isteri pertamanya benar-benar reda tentang hubungan ini. Persetujuan isteri pertama perlu untuk memastikan rumah tangga yang dibina mencapai kebahagiaan.

    Mila dan Rosli juga pernah terlanjur, bertaubatlah kerana zina itu besar dosanya. Jika diri sendiri sudah bersih daripada kesilapan lalu, Allah pasti permudahkan jalan penyelesaian.

    Mila sendiri perlu lakukan pilihan, memohon dengan-Nya agar diberi petunjuk.

    Semoga Mila mendapat petunjuk permasalahan ini.

    Suami lupa daratan

    Isteri sengsara tanggung hutang suami kemaruk cinta siswa

    Soalan:
    Puan, saya ada terbaca mengenai kisah penangan cinta siber tidak lama dulu. Kisah anak dara yang bercinta dengan suami orang. Dalam kes saya ini, sayalah isteri yang teraniaya apabila suami mula berpacaran dengan anak dara iaitu pelajar universiti.

    Kami sama-sama graduan, ditakdirkan Allah SWT berjaya dalam hidup dan memiliki firma sendiri yang dikongsi bersama. Namun, suami hanya beri nama, semua urusan saya yang uruskan termasuk bayaran kad kreditnya. Dia hanya tahu guna kad kredit itu saja.

    Kenakalan suami bermula apabila saya menghadiahkan sebuah komputer laptop sebagai hadiah hari jadi. Dari situ, dia mula nakal, bersembang di ruang siber dan hanya sesekali datang ke pejabat.


    Saya uruskan hal ehwal keluarga di rumah dan hal ehwal pekerja di pejabat. Dia hanya tahu berbelanja dengan kad kredit (yang saya juga bayarkan setiap bulan) dan bersembang di ruang siber dengan gadis itu.

    Mentua saya baik hingga tidak sanggup untuk bercerita mengenai keburukan anaknya yang sedang mabuk asmara dan melupakan tanggungjawabnya pada keluarga. Saya pendam semua tetapi saya tidak tahu sampai bila.

    Saya masih sayangkan dia dan mahukan dia kembali, seperti mana saya mengenalinya sebelum ini. Namun, seakan-akan semakin jauh. Memang dia tidak memukul tetapi penderaan ke atas mental dan emosi rasanya lebih hebat. Apakah nasihat puan untuk saya? Menasihati dan bercakap dengan suami seperti bercakap dengan kayu mati kerana mabuk asmara dan tidak berminat mendengar nasihat.

    Saya juga tidak faham dengan perangai anak dara zaman sekarang, apakah yang dikejar daripada suami orang. Cinta sejati atau kemewahan duniawi? Jika cinta, rasanya cinta tidak akan membenarkan pengkhianatan. Tetapi kemewahan duniawi selalunya menyebabkan orang tegar mengambil hak orang lain yang sama-sama dikumpul dibina bermula dari kosong.

    Tidak mengapalah, hidup ini satu putaran, hari ini saya terkena esok mungkin dia. Namun, waktu ini saya mahu menyembuhkan hati, puan saya sayangkan suami tetapi saya tidak tahu apakah yang perlu saya lakukan waktu ini?

    Isteri setia.

    Jawapan:
    Salam sabar buat isteri setia. Puan adalah antara isteri yang terperangkap dengan ‘dilema suami mabuk anak dara, atau anak dara mabuk pada lelaki berpunya dan berharta”.

    Kisah ini berputar seperti bumi mengelilingi matahari, yang mana putarannya tidak pernah dirasai oleh penghuni bumi, tetapi hanya meninggalkan kesan yang sangat memilukan dan memalukan. Apapun kesannya, selaku isteri, anda harus merawat diri agar mampu meneruskan hidup di bumi milik Allah SWT ini.

    Sedarlah kita dan mereka adalah manusia dan dunia ini tidak mungkin lepas daripada kotoran, yang membosankan mata dan mengotorkan iman, maka adalah tidak adil jika kita menginginkan adanya manusia yang sangat sempurna, sedangkan kita sememangnya dijadikan tidak sempurna. Hubungan yang paling abadi ialah hubungan kita dengan putaran hari, yang diselang seli dengan curahan hujan yang kadangkala menakutkan.

    Namun jika dikaji punca turunnya hujan dan kejadiannya maka ketakutan kita pada hujan segera berlalu. Penyair ada menasihatkan, perlindungan kamu hanyalah Allah SWT jika kamu bertemu dengan kemarahan. Itulah sentuhan dan cumbuan terbaik daripada orang yang mentaati kepada Yang Maha Mencintai. Ini sesuai dengan pujukan Allah SWT bagi mereka yang berduka lara berbunyi “Seandainya tidak kerana kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya. (QS An-Nur:21).

    Pujukan berbentuk amaran ini menjelaskan bahawa manusia memang terdedah kepada perlakuan menyimpang setiap saat, seperti kata bijak pandai. Adakah kayu walau sewangi manapun baunya, tidak mengeluarkan asap? Jawapannya tidak ada kayu yang dibakar tidak mengeluarkan asap. Begitu juga manusia, termasuklah suami puan. Jika ini yang dipaparkan oleh Allah SWT kepada manusia, maka kita selaku manusia harus menerima setiap yang dihidangkan Allah SWT kepada kita, sama ada kita mahu menjamahnya atau tidak itu adalah hidangan daripada Allah SWT untuk membantu hambanya untuk rapat kepadanya.

    Persoalan yang puan hadapi adalah ujian tentang keteguhan hati dengan Allah SWT. Selama ini anda berada dalam zon selesa, mungkin ketika itu hubungan semakin renggang dengan Allah SWT kerana nikmat yang dicurahkan, lalu dipanggil semula untuk membaiki hubungan itu dengan-Nya. Sebagai hamba Allah SWT belajarlah berbincang dan berterus terang dengan pasangan, semak semula matlamat perkahwinan dan matlamat perniagaan. Adakah masih di landasan yang betul, jika dia mahukan perubahan maka berbincanglah dengan sabar, kerana lelaki ini, kata Umar ibn Khathab: “Bagi lelaki diam itu adalah kelalaian, sedangkan bagi wanita adalah dalam keadaan nafsu membara.” Maka bercakaplah dengan jujur dan santun dengan suami apa yang dia mahukan dalam hidup ini apakah yang sedang dirancang dan apakah yang mahu dicapai.

    Dalam perbincangan itu nyatakanlah perasaan anda dan keputusan anda dengan jelas kepadanya. Jika dia bersetuju maka usahakan jalan penyelesaian yang terbentang luas di bumi Allah SWT ini, dimulai dengan berbincang, jika buntu, temuilah kaunselor yang anda percayai dan yakini keadilannya. Dan jika itupun tidak selesai maka bawalah kes ke pengetahuan mahkamah untuk memutuskannya.

    Puan, tidak wajar hanya berdiam dan makan hati, sedangkan suami mabuk dilamun asmara, jika puan tidak bertindak mencari penyelesaian suami akan terus hanyut di arus sungai asmara dan tenggelam dalam dunia zina.

    Saya mohon agar puan bertindak mengikut lunas yang betul, bukan dengan marah-marah, semak telefonnya, mesejnya, e-melnya dan perbuatan lain-lain yang membuang masa dan tenaga, tetapi hakikatnya jauh daripada titik penyelesaian.

    Jangan biarkan hati puan dimamah luka dan lara yang tidak wajar dan tidak dirawat, kerana ini bermakna anda merelakan diri dizalimi keadaan dan suami. Sabar bukan berdiam diri dan membilang huraian air mata, tapi berusaha melepaskan diri dari enapan kecurangan dan ketidakadilan. Anda berhak untuk hidup bahagia sama ada bersama suami atau tanpanya. Kerana jadi isteri bukan lesen untuk derita dan mengalah tanpa punca.

    Dalam persoalan puan jalan paling penting diambil jangan biarkan hari berlalu tanpa manfaat, dan jangan kau tanamkan kehebatan kamu pada sesuatu yang tidak produktif, sebab umur ini terlalu pendek untuk disia-siakan.

    Nabi Isa pernah berkata : “Kebaikan itu ada tiga, iaitu ucapan, penglihatan dan diam.” Maka langkah pertama puan harus melatih lidah untuk bercakap kerana Allah SWT dan bertujuan mencari reda Allah SWT, jika dia melakukan selain itu maka itu adalah sia-sia. Jika penglihatan seseorang itu tidak untuk mengambil pelajaran bagi hidupnya, maka sesungguhnya dia telah luap dan lali. Barang siapa yang diamnya tidak kerana berfikir tentang kebenaran, maka dia sudah tenggelam dalam dunia main-main dan tidak serius.

    Oleh itu bertindaklah puan dengan memulakan langkah mohon perlindungan daripada Allah SWT. Ini kerana sehebat manapun manusia dia pasti sangat memerlukan Allah SWT sebagai sumber perlindungan, kekuatan dan pertolongan, hukuman, kekayaan dan keabdian. Ini kerana hanya Allah SWT yang Maha Esa, Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Memelihara.

    Jika puan tidak mahu menerima cubaan Allah SWT ini dan terus dikuasai nafsu negatif, bermakna puan sudah digenggam iblis dan akan menjadi pelurunya untuk kita bertindak lebih buruk. Biarpun puan masih sayang dengan suami tapi apalah maknanya sayang yang sudah berbaur iblis, yang mata dan hatinya sudah tidak kepada kita tapi sudah pada yang lain. Nasihat saya terima qada ini dengan lapang dada, pasti puan akan mampu melalui tekanan ini dengan rasa yang lebih mudah dan ringan.

    Setelah menerima yakinlah ada hikmah yang dirahsia pembuat qada, dan Dia lebih tahu apa yang bermanfaat buat hambanya. Kedua, berpasrah dirilah menunggu ganjaran yang banyak yang dijanjikan Allah SWT kepada hamba-Nya yang sedang ditimpa musibah dan bersabar dan ketiga sedarilah bahawa semua keputusan dalam hidup kita ini adalah percaturan Allah SWT dan peranan hamba hanyalah berserah diri dan tunduk. Sikap reda akan menyingkirkan hawa nafsu dari dalam hati, bertindaklah mencari hak dan pembelaan yang sudah dibekalkan-Nya untuk insan bernama wanita. Selamat berjuang mencari kebenaran.