#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Julai 09, 2009

Balasan ‘bapa haruan’

Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

KLANG: “Saya hendak jumpa keluarga buat kali terakhir,” rayu seorang lelaki sebelum Mahkamah Sesyen di sini semalam, menjatuhi hukuman penjara 31 tahun dan 16 sebatan terhadapnya selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan termasuk merogol serta meliwat dua anaknya pada bulan lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 49 tahun itu turut merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman minimum.Bagaimanapun, lelaki yang mempunyai lima cahaya mata itu kelihatan hampa apabila Hakim Datuk Anita Harun memberitahu keluarganya tidak hadir di mahkamah, semalam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal memberitahu perbuatan tertuduh serius dan mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran terhadapnya.

“Sebagai seorang bapa, tertuduh perlu melindungi keluarga dan anak-anak...tetapi perbuatannya tidak ubah seperti haruan makan anak kerana berdasarkan fakta kes dia meratah anaknya itu sejak berusia 12 tahun lagi,” katanya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan anak keempatnya berusia 15 tahun dalam bilik mandi sebuah rumah di Telok Gong, dekat sini, pada jam 3 petang, 30 Jun lalu.

Lelaki itu juga dituduh melakukan perbuatan sama terhadap anak bongsunya berusia 13 tahun di bilik tidur utama rumah berkenaan pada jam 2 pagi, 17 Jun lalu.

Pengawal keselamatan itu turut dituduh meliwat anak bongsunya di tempat kerja tertuduh di sebuah kilang di Telok Gong pada jam 11.30 malam, 3 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat.

Berdasarkan fakta kes, pada 30 Jun lalu, anak keempat tertuduh memberitahu ibunya bahawa dia dirogol dalam tandas di rumah berkenaan.

Ketika itu, mangsa sedang mandi sebelum tertuduh mengatakan mahu memasuki bilik berkenaan untuk membuang air kecil.

Bagaimanapun, ketika mangsa mahu keluar dari bilik itu tertuduh bertindak menolaknya hingga remaja berkenaan jatuh ke lantai sebelum merogolnya.

Mangsa turut memberitahu kejadian itu bukanlah yang pertama dan ia berlarutan beberapa kali sejak dia berumur 12 tahun.

Anak bongsu tertuduh juga memberitahu bahawa dia dirogol dan diliwat oleh bapanya sendiri di bilik tidur utama serta di tempat bapanya bekerja.

Lara isteri kedua

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

Keguguran lepas diterajang suami

KLANG: “Saya ingatkan dia boleh membimbing hidup saya, rupa-rupanya dia lebih jahil daripada orang jahil!” demikian keluhan seorang wanita yang menjadi mangsa dera bekas suami yang pernah berkongsi hidup selama setahun pada 2006.

Ibu tunggal berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Ros, 50, memberitahu dia mula didera sejurus mendapat tahu bekas suaminya bersekedudukan dengan isteri orang di kampungnya di Langkawi, Kedah.

“Setiap kali bertanyakan penjelasan, dia seolah-olah dirasuk syaitan. Saya akan ditelanjang kemudian ditendang dan ditumbuk sehingga lebam dan berdarah.

“Apa yang lebih menyedihkan, saya keguguran ketika mengandung dua bulan akibat diterajang di perut.

“Kejadian ngeri ini berlaku berulang-ulang, namun saya takut melaporkan kepada pihak berkuasa kerana bimbang dia akan bertindak lebih ganas,” katanya yang mengetahui bekas suaminya yang dikenali sebagai Haji Shuib, 57, rupa-rupanya lelaki gila seks.

Kak Ros berkata, dia bersyukur diceraikan suaminya dua tahun lalu selepas berkahwin di Songkla, Thailand dan bebas daripada cengkaman lelaki kejam itu.

Menurutnya, mereka hanya tinggal bersama selama sebulan sahaja selepas berkahwin kerana suaminya tidak tinggal bersama dipercayai tinggal bersama isteri tua.

“Walaupun sudah bercerai bekas suami masih mengganggu kerana ingin menuntut hartanya yang diperolehi daripada suami pertama.

“Penderitaan saya tidak berakhir selepas berpisah, malah berlarutan apabila bekas suami mula menuntut beberapa harta termasuk rumah, kereta dan tanah milik saya yang dibeli ketika bersama bekas suami pertama dulu.

“Dia (bekas suami) kemudian datang menyerang di restoran saya dan membelasah di depan pelanggan. Keadaan ketika itu tidak ubah seperti adegan tayangan tinju, namun tiada sesiapa berani menolong saya,” katanya.

Kejadian itu berlaku selepas setahun bercerai ketika dia menjalankan perniagaan kedai makan di Langkawi dan dia dipaksa menandatangani surat pelepasan semua harta terbabit kecuali sebidang tanah dusun.

Kak Ros mendakwa, susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Kuah, Langkawi, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap bekas suaminya.

“Ketika menjadi isterinya, saya tidak dibenarkan keluar rumah walaupun hanya untuk bercakap dengan jiran. Saya menuruti saja kata-katanya kerana khuatir dituduh derhaka.

“Namun, apabila isteri pertama menuduh saya menyembunyikan suaminya itu, saya mula menyiasat gerak-geri suami bagi mendapatkan kepastian hingga akhirnya menyaksikan sendiri suami memasuki bilik hotel bersama perempuan lain,” katanya yang menyangka suaminya pulang ke rumah isteri pertama.

“Dia seorang kontraktor dan berduit, tidak mustahil ramai yang terpedaya dan menjadi mangsanya untuk melepaskan nafsu seks yang melampau itu,” katanya yang tertipu dengan perwatakan bekas suaminya.

“Kerana sering diugut, saya meninggalkan empat anak berusia 13 hingga 29 tahun bersama ibu yang sudah tua di kampung dan menyewa sebuah bilik kecil di sini.

“Saya rindukan anak bongsu yang masih belajar, namun takut pulang ke Langkawi kerana dia mengugut akan menghantar pembunuh upahan selagi tanah itu tidak diberikan kepadanya,” katanya yang kini menetap di sebuah pekan kecil di Selangor.

Muhasabah Diri dalam Tangani Suami Curang

SOALAN:

SAYA sedar, suami berlaku curang dan membuat maksiat dengan wanita lain. Untuk pengetahuan, suami saya rajin ke surau, berjemaah dengan anak-anak serta menyuruh mereka rajin belajar berbuat baik. Bagaimanapun, saya kecewa dengan sikapnya. Pernah saya merajuk dan bertukar bilik agar dipujuk dan diberi penjelasan mengenainya. Malangnya, keadaan bertambah buruk. Suami mengambil kesempatan keluar malam. Jika bertugas di luar tidak memberitahu saya ke mana dia pergi. Saya cuba berdamai dan memohon maaf. Malangnya suami enggan memaafkan. Saya tidak dibenarkan tidur bersama dan bilik dikuncinya.


Saya tetap setia sebagai isteri. Saya masih uruskan makan minum dan pakaiannya. Saya kecewa sebab diabaikan berbelas tahun lamanya. Persoalannya bagaimanakah amalan saya? Takut tidak diterima Allah kerana tidak mendapat keredaan suami. Saya sudah meminta maaf walaupun suami tetap dengan perangai buruknya. Apakah yang perlu saya lakukan untuk menginsafkan suami?

ISTERI Malang.

JAWAPAN:

DUNIA ini adalah pentas ujian. Tidak ada seorang pun dari kita yang terlepas daripada diuji. Hanya bentuk ujian yang berbeza. Mengenai masalah puan, ada beberapa cadangan yang boleh difikirkan. Menjadi sunnah Allah, segala perubahan bermula dari dalam diri sendiri.

Firman Allah bermaksud: "(Balasan) yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 53)

Sehubungan itu, puan perlu melakukan muhasabah diri dengan tulus ikhlas. Perhatikan apakah puan sudah menunaikan segala tanggungjawab terhadap Allah, rasul, ibu bapa, anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, masyarakat, negara, saudara seagama seluruhnya. Begitu juga tanggungjawab terhadap makhluk Allah yang lain. Kadang-kadang kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pihak lain dibalas dengan kecuaian orang lain terhadap hak diri kita.

Ambillah kesempatan waktu suami tidak mahu tidur sebilik untuk bermunajat, berdoa dan memohon ampun kepada Allah di atas segala kesilapan dan dosa terhadap-Nya dan makhluk-Nya. Apabila sudah menunaikan hak Allah dan makhluk-Nya (sekadar yang termampu), insya-Allah, hak kita akan ditunaikan-Nya pula.

Nafkah dan layanan baik adalah sebahagian daripada tanggungjawab suami terhadap isteri yang termaktub dalam al-Quran. Isteri berhak untuk memperolehnya. Sebab itu, ulama berpendapat sekiranya hak itu tidak diberi sewajarnya, isteri diberi dua pilihan.

Pertama, membuat tuntutan supaya ikatan perkahwinan ditamatkan. Perceraian adalah mimpi ngeri yang tidak sanggup dibayangkan oleh kebanyakan wanita.

Ramai yang lebih suka memilih untuk menanggung derita dalam rumah tangga daripada berfikir untuk bercerai. Jadi pilihan yang kedua adalah bersabar. Jika kita bersabar Insya-Allah ganjarannya sangat besar.

Untuk merawat kerisauan, puan boleh bergiat diri dalam kegiatan berfaedah. Sertailah pertubuhan dakwah, sosial atau kebajikan. Dengan ilmu yang ada, banyak sumbangan yang boleh puan berikan bagi membantu masyarakat yang menghadapi masalah yang jauh lebih kronik dan mencemaskan.

Apabila menolong saudara kita, insya-Allah Dia akan menolong kita pula. Paling utama daripada segala-galanya adalah doa. Sesungguhnya hati manusia adalah milik Allah. Hanya Dia yang berkuasa mengubahnya. Jadi jangan berputus asa dalam berdoa.

FAKTA
Sifat wanita mulia
* Tidak suka menuntut perkara yang membebankan suami
* Tidak berhias untuk lelaki bukan muhrimnya
* Menjauhkan diri daripada sifat tercela
* Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
* Tidak keluar rumah tanpa izin suami
* Tidak membelanjakan harta suami tanpa izinnya
* Menjalankan kewajipan terhadap ajaran agama
* Tidak menuntut cerai atau talak
* Tidak cepat cemburu pada sesuatu yang belum pasti
* Berbuat baik dalam menjalinkan hubungan dengan keluarga suami
* Tahan menderita ketika suami ditimpa musibah


DIJAWAB oleh Prof Madya Maznah Daud, Pensyarah Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Sumber : www.wanitajimceria.blogspot.com

Selasa, Julai 07, 2009

'Makanan rapu' dalam perkahwinan

DALAM kehidupan hari ini yang sentiasa sibuk mengejar masa, budaya memesan piza atau memesan makanan melalui kaunter pandu lalu di restoran makan segera semakin menjadi kebiasaan berbanding menikmati makanan malam dengan cara lebih sempurna di meja makan
Kita cenderung mengorbankan sesuatu yang lebih bermanfaat hanya kerana untuk kesenangan yang sedikit. Lebih malang lagi apabila gaya makan makanan segera ini turut 'diadaptasi' dalam perkahwinan.


Sebagaimana sistem imun badan akan menurun apabila kita terlalu bergantung kepada makanan rapu (junk food), begitu juga perkahwinan akan menjadi hambar apabila mengambil mudah dalam hal-hal berkaitan keintiman.

Budaya makan ini mungkin menjadi analogi paling tepat untuk menggambarkan sebuah perhubungan dalam perkahwinan. Jika tubuh manusia memerlukan diet makanan berkhasiat, begitu juga perkahwinan yang memerlukan 'makanan berkhasiat' dalam meningkatkan kehangatan perkahwinan. Berikut tiga 'makanan berkhasiat' tersebut:

Rancang
Sebagaimana pentingnya untuk merancang dalam menyediakan makanan begitu juga pentingnya merancang dalam perkahwinan.


Jangan biarkan rumah tangga atau perkahwinan berlalu begitu saja. Rancang masa untuk anda suami isteri dapat berdua-duaan.

Keluar 'berdating' seminggu sekali mungkin satu idea yang bagus. Memanglah tidak praktikal untuk keluar bersama sepanjang hari, jadi cari jalan untuk mungkin makan tengah hari bersama atau berjalan-jalan berdua selepas malam.

Letakkan peraturan untuk tidak bercakap mengenai kerja atau hal anak-anak ketika 'berdating', sebaliknya tumpukan pada hal-hal lebih peribadi dan impian anda berdua.

Berusaha mencari masa untuk anda berdua dan nikmati sepenuhnya masa yang cukup berharga itu. Ketika anak-anak sudah masuk tidur, tidak ada salahnya duduk bermanja-manja bersama suami atau isteri sambil menonton televisyen.

Memuji
Biasanya apabila anda selesai menikmati makanan yang enak di sebuah restoran anda akan memberi pujian kepada chef yang bertanggungjawab. Bagaimanapun, kita sering terlupa untuk memberi pujian kepada isteri yang membasuh baju kita atau suami yang membereskan segala bil-bil rumah.


Kadang kala apabila usia perkahwinan sudah menjangkau belasan atau puluhan tahun, hubungan akan menempuh rintangan-rintangan emosi yang mungkin memerlukan anda untuk berhenti melihat sejenak apa yang berlaku dan mulalah belajar menghargai satu sama lain.
Jangan biarkan cinta dan kasih sayang terhakis oleh kritikan-kritikan yang menyentuh emosi. Sebaliknya, bina semangat masing-masing dengan saling memuji.


Sebagai contoh, apabila suami menyenangi dan mengagumi isterinya yang bijak dan cantik akan membuatkan isteri berusaha untuk membuatkan suami gembira dengan menjadi lebih bijak dan lebih cantik.

Berdoa
Sebagaimana kita menjadikan membaca doa sebagai amalan harian sebelum makan begitu juga dalam perkahwinan. Sebuah perkahwinan yang disirami dengan keimanan adalah petunjuk kepada satu hubungan yang sihat secara keseluruhannya.


Bersolat dan berdoa bersama mampu mengeratkan lagi keintiman pasangan suami isteri dan untuk lebih berkesan ia haruslah dilakukan dari hati yang tulus ikhlas. Berdoa dapat menyuburkan lagi perkahwinan dan hubungan kita dengan Tuhan.

20 Perkara Buat Wanita Menyampah pada Lelaki..

Wahai kaum lelaki ...berhati2lah kerana 20 perkara ini boleh membuatkan kaum wanita menyampah dengan kaum lelaki..

1. MENINGGIKAN SUARA
Tahulah lelaki dikurniakan suara yang 'macho' tapi kalau nak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego, tak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.

2. MAIN KAYU TIGA
Bab main kayu tiga ni masalah paling besar. Walaupun dah ada kekasih, mereka sukar untuk setia. Apatah lagi kalau digoda, terus disambar tanpa mempedulikan perasaan kekasihnya.

3. SUKA 'CUCI MATA'
Kebanyakan lelaki sukar mengawal mata (mata keranjang). Pantang jumpa perempuan cantik dan seksi mulalah mata tu macam nak terkeluar. Walaupun sedang bersama kekasih, si dia tidak akan peduli. Bagi mereka tidak salah kalau sekadar mencuci mata tetapi hati kekasih kenalah jaga juga cik abang!

4. MENGONGKONG
Itu tak boleh, ini tak boleh, sikit-sikit nak kontrol. Segala gerak-geri kekasih dikawal, sampaikan nak berpakaian pun harus ditentukan. Kalau nak keluar ke kedai pun kena report dulu, kalau tidak mulalah tercetusnya pertengkaran kerana hal sekecil itu. Tetapi, lelaki akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti yg biasa di lakukan lelaki di soal siasat oleh kekasih... macamana tu?

5. EGO
Ini merupakan masalah paling ketara dan merimaskan kaum wanita. Keegoan dan lelaki memang tak dapat dipisahkan. Tetapi ada kalanya lelaki menjadikan keegoan sebagai alasan untuk bertindak tanpa mempedulikan perasaan si gadis. Keegoan membuatkan lelaki mempunyai kuasa veto dalam kehidupan termasuklah memimpin kaum wanita. Tidak salah mempamerkan ego tetapi biarlah kena pada tempatnya.

6. MENIPU
Masalah yang ketara apabila lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tak munasabah. Sanggup memungkiri janji dan memberikan alasan mempunyai masalah yang tak dapat dielakkan padahal sebenarnya mereka enggan melaksanakan janji yg ditaburkan. Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Berterus-teranglah wahai kaum lelaki kerana kaum wanita lebih menghormati yang memiliki sifat berterus-terang ini. Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini lama kelamaan akan membuatkan semua gadis akan menjauhi anda.

7. PERASAN
Aduhaiii... lelaki ini cepat perasan terutamanya jika mereka ini berkerjaya baik, berpenampilan menarik dan mempunyai wajah yang hensem. Boleh tu mengaku merekalah yang menjadi lelaki idaman para wanita. Tapi, mungkin pada pandangan seorang wanita mereka ini sederhana sahaja tapi mereka ini yang suka perasan lebih. Bukan semua wanita memandang pada paras rupa, kalau dah terlebih-lebih perasan tuu... ada wanita yang lebih suka mengutuk dari memuji... hehehe!!

8. MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI
Susah juga kalau dapat yang mementingkan diri sendiri ni. lelaki selalunya tidak mahu mengalah dan ingin menegakkan pendapat sendiri tanpa mempedulikan luahan pasangannya. Lelaki juga suka mendahulukan kemahuan mereka dan jarang hendak mementingkan perasaan kekasih... egolah katakan! Tidak semestinya pendapat kaum wanita ni tak boleh diguna pakai.

9. KURANG MEMBERIKAN PERHATIAN
Lelaki kadangkala suka bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian tidak kira dalam apa jua urusan. Tetapi kalau urusan yang berkaitan dengan dirinya sendiri, pantas pula melaksanakannya. Jika berkaitan teman wanita, alamatnya... mereka kurang mengambil perhatian. Mengapa ya? Kaum wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tetapi cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya kerana sifat semulajadi seseorang wanita itu yang ingin bermanja dan dimanjakan.

10. CEMBURU BUTA
Orang kata cemburu tandanya sayang, tapi kalau cemburu tak tentu pasal dan memanjang saja cemburu, tentu rasa tak selesa juga. Agaknya lelaki yang kuat cemburu ni takut kekasihnya terlepas ke tangan kumbang lain kot. Harus diingat, bukan semua perempuan suka kekasihnya kuat cemburu. Tapi, ada juga sesetengahnya suka apabila teman lelakinya cemburu kerana seolah-olah teman lelakinya amat menghargai dirinya. Jangan cemburu buta sudahlah, malas jugak nak layan kadang-kadang!

11. MATA DUITAN
Jangan tak tahu ada juga lelaki mata duitan atau pun gelarannya 'lelaki spedo'. Mereka tak kisah nak kikis duit kekasih dengan 1001 macam alasan yang adakalanya tidak logik diterima dek akal fikiran. Kalau kisah perempuan mata duitan kita sudah biasa dengar, tapi kalau lelaki pula yang mata duitan... apa cerita ni?? Takkan masa-masa macam ni keegoan lelaki hilang pulak?!!

12. KOMITED TERHADAP KERJAYA
Susah kalau dapat teman lelaki yang terlalu komited dengan kerjaya. Mereka ni selalu sangat memberi banyak alasan kerja apabila diajak keluar. Kalau keluar bersama, selalu pula bercerita tentang kerja dan merungut sering dibebani kerja yang menimbun. Bukanlah tidak boleh lelaki mementingkan kerjaya tetapi pandai-pandailah membahagikan masa bersama teman wanita. Paling tidak pun, seminggu sekali luangkan masa menemaninya dan lupakan segala hal berkaitan kerja. Bukannya kaum wanita ni tidak memahami kalau teman lelakinya pandai membahagikan masa...

13. PANAS BARAN
Aduiii... masalah yang boleh menimbulkan fobia terhadap seseorang gadis apabila mendapat kekasih yang panas baran. Pantang silap sikit, mahu dihambur segala kemarahannya. Ada juga kesilapan bermula dari diri sendiri tetapi tetap menyalahkan orang lain. Setakat kena tengking boleh lagi diterima walaupun sebal satu badan tapi, bagaimana kalau siap sepak terajang? Kalau nak sepak terajang carilah mereka yang sepadan dan janganlah berlawan dengan kaum yang lemah ! Di mana sifat bertanggungjawab dan kepimpinan yang ada? Cuba-cubalah kawal kerana setiap dari kita ada barannya, cuma kena pandai-pandai mengawallah. Kalau dah tak terkawal sangat, tak payah bercintalah!!!

14. KAKI MEROKOK
Ini satu lagi sifat kaum lelaki yang melemaskan wanita. Asyik berasap sana sini, naik lemas dengan bau dan asap rokoknya. Dalam sehari adakalanya habis sekotak rokok. Kalau habiskan duit dengan makan benda berfaedah tak apa juga, ini tidak... asyik menyedut asap yang tidak menyehatkan. Kalau asap tu membawa kesan pada diri sendiri saja tak apa juga, ini tidak... membawa kesan juga pada orang sebelah menyebelah. Kadang-kadang teman wanita menegur bukannya apa, dia sayangkan kita juga dan tak mahu kita jatuh sakit. Lagipun mereka juga tak nak teman lelaki mereka membazirkan duit dengan merokok.

15. PENGOTOR
Ada segelintir lelaki sukar nak menyedari diri mereka ni ada yang pengotor. Terutama bab meludah atau membuang kahak merata-rata. Yarkkk!!! Ada juga yang jarang basuh seluar, pakai baju yang sama berulang kali, tidak memakai deodarant dan macam-macam lagi sampaikan badan sudah berbau semacam pun dia tak sedar. Tidakkah mereka ini terasa segan apabila menyedari badan sudah berbau?? Entahlah... hanya kaum lelaki yang bersifat pengotor ini saja yang dapat menjawabnya.

16. GELOJOH
Kalau bab makan, lelaki ni agak gelojoh.tp x semua tau!!! Macam 'food machine'. Mereka lemas melihat teman wanita mereka makan terlalu sopan tetapi mereka tidak sedar cara mereka makan yang gelojoh juga melemaskan kaum wanita. Sepatutnya, samada lelaki mahupun wanita patutlah makan dengan bersopan. Buat apa terkejar-kejar?

17. PENTINGKAN KAWAN-KAWAN
Sanggup membatalkan temujanji semata-mata hendak bermain bola sepak ataupun menonton WWF bersama kawan-kawan. Lelaki juga selalu mementingkan kawan-kawan dalam banyak hal. Sekali-sekala bolahlah, jangan pula selalu saja memberi alasan hinggakan masa bersama teman wanita tiada langsung semata-mata untuk menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Apa guna bercinta kalau macam tu gayanya? Kalau ada masalah pula, kawan-kawan sebagai tempat mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan si dia. Kalau dah memilih si dia sebagai kekasih, mungkin satu hari si dia juga akan menjadi isteri anda, jadi takkanlah anda selalu hendak merahsiakan sesuatu dari dia. Tak eloklah berbuat demikian, nanti si dia terasa seolah-olah dirinya tidak penting buat anda pula.

18. TIDAK TAHU MEGHARGAI
Sukar untuk bertemu lelaki yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Mereka seboleh-bolehnya mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap meghargai mereka ini. Kalau setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan tu, alamatnya mereka akan berpura-pura tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap anda yang menghargainya di atas apa yang cuba dilakukannya terhadap anda seperti memberi hadiah kecil. Setidak-tidaknya ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba berbuat sesuatu untuk anda.

19. PUTAR BELIT
Lelaki ni ramai yang pakar memutar-belitkan kenyataan walaupun ternyata sememangnya merekalah yang bersalah. Bagi mereka, putar belit ini tak mengapa asalkan si dia mempercayai alasan tersebut dan mereka akan terlepas dari kesalahan sendiri. Sekiranya anda benar-benar menyintai pasangan anda, perkara begini seharusnya tidak berlaku kerana apa akibatnya sekiranya si dia mengetahui juga tipu helah anda suatu hari nanti. Kalau anda tak pandai menyelamatkan keadaan, melepaslah anda! Jujurlah pada pasangan anda.

20. SUKA KONTROL MACHO
Peh! Nak dikatakan macho, ada juga yang tak. hancur je yang lebih kot! Terutama bab sikap, mahu lebih gentleman, berketrampilan dan hensem. Seboleh-bolehnya mereka mahu menampakkan yang diri mereka lelaki sejati dan ada elemen HERO. Tak perlulah nak merasakan diri anda macho kerana wanita sahaja yang layak membuat penilaian terhadap anda. Sekiranya anda rasa diri anda macho, tetapi pada mata wanita tersebut anda tidaklah semacho yang disangkakan, tak guna juga!

Apabila kasih terhenti…


Oleh Nik Rusfa Syafiq

TENSION, frust, pilu, sedih, menangis dan pelbagai lagi kesan yang tidak dijangka akan berlaku apabila tiba-tiba terhentinya kasih dari seseorang. Apatah lagi kasih itu adalah kasih yang paling kita harapkan berkekalan, sehingga jika dilayan perasaan bagai naik gila dibuatnya apabila hilang kasih itu seketika. Sebenarnya itu adalah ujian untuk diri kita, dan cabarannya ialah bagaimana kita dapat menanganinya:

TENANGKAN DIRI
Kawal emosi
Emosi yang tidak stabil akan mendorong tindakan yang negatif. Tambahan lagi bila fikiran yang berceramuk memudahkan syaitan membisikkan kata-kata pujangganya menyebabkan kita akan bertambah runsing dan akhirnya mengambil tindakan yang tidak sepatutnya. Banyakkan beristighfar kepada Allah Ta’ala. Mungkin terlalu banyak dosa kita kepada-Nya menyebabkan begitu hebat ujian yang diberikan kepada kita.

Sentiasa berwuduk
Air wuduk akan memadamkan bisikan syaitan dalam hati kita. Secara tidak langsung boleh menenangkan hati dan jiwa kita.

LUAHKAN
Cari teman
Cuba cari seseorang yang boleh dipercayai untuk mendengar luahan hati kita. Orang yang menjadi pendengar yang setia, amanah dan jujur. Jangan salah pilih teman kerana ia akan lebih memburukkan keadaan. Bagi yang lelaki, jangan terlalu ego sehingga hanya memendamkan apa yang dirasa kerana ia akan memakan diri sendiri.

Berterus-terang
Belajar untuk berkata hak atau benar. Cuba singkap kembali mengapa dan bagaimana kasih itu boleh terhenti. Jangan takut sekiranya kita di pihak yang benar. Sebaliknya jika ada salah silap kita, jangan takut untuk mengaku kesilapan itu kerana itulah yang sebaik-baiknya. Biar teman yang mendengar, faham situasi yang sebenar dan dapat membuat penilaian. Bukan untuk menentukan siapa yang salah dan siapa yang benar, tapi untuk memudahkan mereka memberi pandangan dan tidak lari dari masalah yang sebenar.

CARI PETUA

Pandang ke depan
Atur strategi untuk membetulkan keadaan. Yang lepas, tidak perlu dikenangkan kembali, tapi perlu ambil peduli untuk tidak diulangi.

Cari yang berpengalaman
Dapatkan pandangan dari mereka yang lebih dulu makan garam. Mungkin masalah yang sedang dihadapi, telah mereka hadapi terlebih dahulu. Kekadang cara mereka lebih romantik berbanding dengan gaya orang muda.

KUATKAN ROHANI

Kalau dulu jauh, dekatkan diri dengan Allah. Mungkin ini petanda yang Dia murka, dan masih sayangkan diri anda supaya kembali kepada jalan yang lurus. Bertaubatlah dari segala dosa, pertingkat diri dengan ilmu dan perbaiki segala kekurangan dengan sedaya mampu. Mari kita fikirkan, apa guna kebahagiaan yang sementara, tetapi bergelumang dengan maksiat atau melanggar perintah Allah. Kalau Allah sudah tutup hati, bagaimana? Petuanya mudah, kita lihat diri kita, cermin diri kita - kalau nikmat banyak atau semakin banyak, semuanya berjalan dengan lancar, tapi hakikatnya kita semakin jauh dari Allah, maka yakinilah nikmat itu adalah petanda kehinaan.

Amalkan baca Al-Fatihah
Ummul Kitab al-Fatihah menyimpan pelbagai rahsia yang mujarab. Begitulah juga untuk menjadi pengikat kasih. Bukan sahaja mampu untuk mengubati hati kita yang sakit, bahkan mampu juga untuk mengembalikan kasih sayang antara makhluk. Cuba amalkan membaca al-Fatihah, 14 kali setiap kali selepas solat. Bayangkan wajah insan yang telah terhenti seketika kasihnya kepada kita setiap kali mengalunkan Fatihah. Minta pada Allah untuk dilembutkan hatinya dengan menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah itu kepadanya. Perkara yang baik akan Tuhan kabulkan.

Amalkan ayat Seribu Dinar
Ramai antara kita yang menjadikan Ayat Seribu Dinar itu (surah at-Talaq, ayat 2-3) sebagai hiasan dinding tanpa membacanya. Cuba hafal dan amalkan. Terutama sebagai ayat pendiding dari anasir jahat. Begitu juga apabila keluar untuk mencari rezeki. Tidak kurang juga untuk menjadi ayat tautan ikatan kasih antara dua hati. Pernah dikhabarkan oleh mereka yang mengamalkannya di dalam sebuah keluarga, di mana mereka mengamalkan ayat seribu dinar dengan membaca tiga kali setiap kali selepas solat. Hati mereka seperti diikat antara satu sama lain. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada salah seorang ahli keluarga yang lain akan dapat merasakannya. Begitulah juga apabila mereka berjauhan, hati mereka seolah berinteraksi antara satu sama lain. Itulah rahsia mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Cuma kita yang masih tidak menyedari, rahsia di sebalik mukjizat itu.
Harus diinsafi, seseorang yang hendak mengamalkan ayat-ayat al-Quran wajiblah juga mentaati ajaran dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.

MEMBERI PELUANG

Diri sendiri
Buka semua tingkap yang ada pada diri sendiri. Jangan tutup mahupun separa terbuka. Jika tidak, kita tidak dapat menerima hakikat, pandangan mahupun nasihat daripada orang lain. Ibarat sebuah rumah yang ditutup semua tingkap ataupun tiada tingkap. Bukan sekadar angin tidak dapat masuk, cahaya, pemandangan alam sekitar dan pelbagai lagi tidak akan kelihatan. Tinggal mereka dalam sebuah rumah yang kelam dan lemas dalam dunia sendiri. Buka, dan cuba terima apa yang diberikan oleh orang lain. Tukarkan apa yang mereka katakan kepada suatu tindakan yang positif dan memberikan impak yang berkesan pada diri sendiri.

Orang lain
Dengar dulu pandangan orang lain untuk membetulkan kesilapan kita. Jangan cepat menghukum dengan ilmu kita yang sedikit. Apa yang sering berlaku adalah, kita tidak memberi peluang mahupun ruang kepada orang lain untuk membantu diri kita sedangkan kita memerlukan bantuan. Pendek kata, ego.

Maaf dan memaafkan
Inilah perkara yang sukar untuk dilakukan. Masing-masing akur dengan kesilapan yang berlaku. Tidak salah untuk merendah diri meminta maaf dan memaafkan orang lain. Bahkan bertambah mulia di sisi Tuhan. Janganlah menunggu Aidilfitri, baru kemaafan di pohon. Kemudian berilah ruang dan peluang untuk diri sendiri dan mereka yang terlibat membetulkan diri bagi mengukuhkan semula talian kasih yang terhenti itu.
Kasih sayang yang suci lahir dari hati yang ikhlas dan murni. Bila tertitik noktah hitam maka tercemarlah kesucian itu dan terlerailah ikatan kukuh sebuah kasih sayang. Justeru, perbetulkan kembali keadaan dan cantikkan percaturan. Jangan nafsu dijadikan sandaran kerana ia hanyalah khayalan yang lebih membawa ke arah kesesatan.

Isteri boleh tuntut cerai

Persoalan Agama Bersama Jakim

Apakah hukum seorang isteri meminta cerai daripada suami yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya seperti tidak memberi nafkah, tidak pulang ke rumah dan memukul isteri?
Puan X Kuala Lumpur

Isteri boleh memohon cerai secara fasakh jika suami tidak memberi nafkah, tidak pulang ke rumah dan memukul isteri. Sehubungan itu, isteri perlu melaporkan perkara itu ke Mahkamah Syariah.

Fasakh boleh berlaku dengan beberapa sebab seperti berikut:

1. Suami cuai dari segi pemberian nafkah atau tidak memberi nafkah selama tiga bulan.

2. Suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih dan hukuman itu menjadi muktamad.

3. Suami tidak melaksanakan kewajipan sebagai seorang suami terhadap isterinya selama satu tahun dengan tiada sebab munasabah.


4. Suami mati pucuk pada masa berkahwin dan keadaannya berterusan begitu.

5. Suami gila atau mengidap penyakit merana yang akan mengambil masa panjang untuk sembuh atau tiada harapan sembuh dan jika diteruskan perhubungan suami isteri akan menjejas kesihatan isteri.

6. Suami berlaku kejam terhadap isteri iaitu seperti:

a. Selalu memukul isteri atau menjadikan kehidupannya sengsara akibat kelakuannya yang kejam walaupun tanpa menggunakan kekerasan.
b. Bercampur gaul dengan perempuan lucah atau hidup dalam kehinaan.
c. Mencuba memaksa isteri supaya hidup lucah.
d. Menghalang isteri daripada melaksanakan perintah agama.
e. Tinggal dan bersekedudukan dengan perempuan lain yang bukan isterinya.
f. Jika suami mempunyai isteri lebih daripada satu, suami itu tidak melayannya dengan adil seperti dikehendaki mengikut hukum Islam.

7. Kerana sesuatu sebab lain yang diakui sah untuk cerai fasakh mengikut hukum Islam.

Isnin, Julai 06, 2009

Hak orang, hak dia

BRO sebenarnya malas nak tulis isu ini tetapi bila-bila fikir, Bro rasa patut juga Bro paparkan sebagai teladan kepada semua supaya sesetengah kaum wanita yang rela dimadu memahami di mana kedudukan mereka.

Minggu lalu, Bro berbual-bual dengan seorang kawan, kami berbincang mengenai sikap sesetengah perempuan yang menjadi isteri kedua, seolah-olah tak tahu meletakkan diri mereka.


Sudahlah mereka berkongsi kasih dengan suami orang, lepas itu mengada-gada lebih, dia mahu si suami tumpu perhatian kepada dia sahaja sedangkan dia tahu si suami tu ada isteri lagi satu.
Apa yang paling Bro kasihan, akibat sikap mengada-gada si madu, anak-anak isteri pertama
menjadi mangsa.


Kawan Bro itu menceritakan satu kisah bagaimana dia bertemu dengan kawan lamanya yang kini dimadu oleh suaminya.


''Kasihan Bro, aku dengar cerita dia, dahlah dengan rela hati benarkan si suami bermadu, lepas tu si madu pula buat perangai. Yang aku peliknya si suami yang tahu hukum hakam pun ikut aje apa kata si madu,'' cerita kawan Bro itu.


Bro yakin ini bukan kisah pertama kita dengar si madu buat perangai macam itu, mungkin sudah beribu-ribu kali. Si madu tak sedar diri, dia rampas hak orang tetapi dia nak buat hak orang jadi hak dia.


Selama ini si suami mungkin sudah hidup bahagia bersama si isteri pertama tetapi kita tidak bolehlah tolak hakikat bahawa perkahwinan bukanlah penamat kepada sebuah percintaan bagi seseorang lelaki.


Bro tak kisah kalau si lelaki itu berkahwin lain tetapi biarlah bertanggungjawab dan si madu pula jangan jadi batu api, sepatutnya dia nasihatkan si suami supaya bertindak adil. Tetapi malangnya yang kita selalu dengar si madu yang mengada-gada.


Mentang-mentanglah dia muda, kalau betul-betul muda tak apa, ini dah bergelar janda dan kemudian kahwin dengan suami orang nak buat pula perangai bukan-bukan.


Ingat-ingatlah sama Allah melihat apa yang kita lakukan. Apabila kita bersedia untuk berkongsi kasih dengan suami orang maka pastikan kasih sayang itu dinikmati bersama-sama.


Bro sama sekali tidak menentang poligami kerana itu dibenarkan oleh Allah tetapi manusia yang hendak berbuat demikian atau rela dimadukan mesti tahu batas-batasnya. Jangan sampai niat baik kita akhirnya hanya mendatangkan dosa.


Kepada wanita-wanita yang menjadi isteri muda, fahamilah kedudukan anda. Bro yakin ramai isteri muda yang baik-baik, cuma ada sesetengah sahaja yang perasan lebih dan paling tepat tak sedar diri.


Bro - sudah cukup bahagia

Kacang lupakan kulit

SAYA kagum dengan ketabahan semangat dan keazaman kuat puan Junainah yang kisahnya disiarkan 21 Jun lalu, kerana beliau rela dimadukan kerana terlalu sayangkan suaminya.

''Tetapi akhirnya jiwanya menderita kerana madunya yang masih muda itu tidak dapat menerima kenyataan adat orang bermadu yang terpaksa berkongsi segala-galanya, sebaliknya mahukan suaminya sentiasa berada di sampingnya.

''Walau apa pun pandangan beliau konon suaminya dibomohkan kerana itu hidupnya terpinggir, namun itu adalah salah satu padah yang terpaksa dihadapi oleh setiap wanita jika mereka sanggup bermadu.'' Demikian tegas Norfaizah dalam e-melnya kepada penulis.

''Pada pandangan saya baik wanita zaman ini ataupun zaman dahulu, jiwa, perasaan, emosi dan pengharapan mereka tetap sama, mereka mahukan yang lebih, mahu sentiasa didampingi, disayangi dan disanjung oleh suami, walaupun dia tahu dia telah mengambil suami orang yang terpaksa berkongsi segala-galanya termasuk kasih sayang dan kesenangan hidup.

''Kerana itulah juga dari awal lagi saya berterus-terang dengan suami saya supaya ceraikan jika dia telah tegas dengan keputusannya untuk berkahwin lagi. Walaupun poligami itu dihalalkan oleh agama kita, tetapi saya sebagai manusia biasa saya tidak boleh menipu hati dan perasaan saya bahawa suami saya tidak akan menyayangi keluarganya lagi sebaliknya akan meminggirkan saya setelah dia berkahwin baru.

''Jadi daripada bergaduh, buat lebih banyak lagi dosa seperti berbomoh dan sebagainya untuk menarik perhatian dan kasih sayang suami maka saya fikir lebih baik saya bercerai. Dia pun boleh hidup lebih senang tanpa gangguan saya.

''Sebenarnya saya cukup simpati dengan nasib wanita seangkatan saya, yang mendapat suami macam suami saya. Dia cuma bekerja untuk kepentingan dirinya sendiri. Sedarkan dia kereta besar yang dipandunya kerana bantuan isteri yang sama-sama bekerja keras membantunya dari segi wang ringgit, demi keselesaan hidup mereka sekeluarga, sebaliknya dia mengambil kesempatan menyenangkan dirinya sahaja.

''Seronok sangatkah berpoligami, bolehkah perkahwinan itu membawa kebahagian dalam hidupnya, kerana pada pandangan saya ia lebih menyusahkan diri sendiri, di samping menghancurkan hati dan masa depan anak-anaknya.

''Contohnya macam suami saya umur dah meningkat emas dah dekat setengah abad, lebih tepat dah dekat masuk alam pencen, tetapi seronok nak berkeluarga baru, yang mana memerlukan lebih banyak tuntutan tanggungjawabnya, sedangkan ketika itu sepatutnya dia dan saya sudah boleh bersenang lenang kerana anak-anak sudah membesar sudah bersekolah menengah dan ada yang sudah masuk IPTA.

Sedangkan tindakannya berkahwin baru seumpama baru mula menanam pokok yang perlu diawasi setiap hari, dibaja, di siram dan dijaga dari serangan serangga.''

''Sebagai contoh bekas suami saya, sudah lima tahun berkahwin dengan gadis berusia 26 tahun ketika itu, kini usianya sudah 54 tahun, isteri barunya 31 tahun, dia akan bersara setahun lagi, kini anaknya baru setahun setengah, dan isterinya mengandung lagi.

''Kalau dulu suami saya tak pernah fikir dia perlu hantar anak ke rumah pengasuh, dan kena bangun tengah malam buat susu anak, kini dia terpaksa buat semuanya. Pertama kerana dia sayangkan isteri baru, kedua isterinya tidak ada kereta, nak beli baru tak mampu.

''Bayangkan juga apa nasib dan masa depan anak-anak yang masih kecil itu apabila ayah mereka sudah bersara? Nak harapkan pencen dia bukan kakitangan kerajaan, nak harapkan duit simpanan memang tak ada, sebab dia tak suka menyimpan kerana suka enjoy ketika mudanya, nak harapkan duit simpanan KWSP entah berapa sangat.

''Sedangkan bila bersara nanti biasanya pelbagai penyakit akan datang bertamu, duit KWSP itulah nanti bakal digunakan untuk membeli ubat dan rawatan hospital, jadi berapa sangat dia boleh membantu anak-anaknya yang masih kecil itu?

''Dan jangan lupa bila diri sentiasa diserang pelbagai jenis penyakit, isteri baru tentu tak senang hati untuk menjaga suami yang berpenyakit, kerana ketika itu dia perlu menjaga anak-anaknya yang masih kecil. Jadi di manakah tempat suami di hati isteri mudanya.

''Ketika itulah hati, jiwa dan perasaan si suami akan lebih merana dan kecewa, waktu itulah pelbagai jenis penyakit akan datang menyerang lebih banyak lagi.

''Berdasarkan sebab-sebab inilah saya minta diceraikan, sebab saya tak mahu jadi 'jururawat' menjaga suami sakit. Kerana mungkin ketika itu juga saya juga akan diserang penyakit, maklumlah usia semakin meningkat tua. Jadi saya tak mahu menyusahkan diri menjaga suami ketika dia sakit, sebaliknya ketika dia sihat dia lebihkan isteri barunya.

''Itu baru bab sakit pening, kalau ditakdirkan dia sihat walafiat dan dapat menjaga anak-anak yang masih kecil apakah dia sudah bersedia untuk menyediakan perbelanjaan makan minum mereka. Sudah tersediakah duit untuk menghantar mereka belajar hingga ke kolej atau ke universiti nanti. Kerana masa akan datang kita tidak tahu masih wujudkah lagi PTPTN pinjaman untuk anak-anak meneruskan pelajaran, atau mungkin sudah dihapuskan.

''Sanggupkan suami yang sudah berusia lebih 60 tahun menghantar anak kecil ke sekolah darjah satu, ketika orang lain menghantar cucu mereka. Apa perasaan anda ketika budak budak lain memanggilnya Tok.

''Itu baru bab menghantar anak ke sekolah, apa pula perasaan anda ketika anda duduk di rumah sedangkan isteri yang masih muda keluar bekerja. Tak adakah perasaan cemburu bila melihat isteri melaram ke pejabat sedangkan anda mengambil alih tugasnya memasak, mencuci pakaian dan menjaga anak-anak di rumah?

''Sebenarnya apa yang saya katakan di atas tadi adalah nasihat saya kepada suami ketika dia bercita-cita hendak kahwin lagi. Ketika itu usianya masih muda, baru 45 tahun. Saya katakan pelbagai masalah yang bakal dihadapinya kalau dia kahwin lagi, tentang masalah kewangannya yang tak seberapa teguh, tentang kesanggupannya menjaga anak-anak kecil dan kesabarannya bila melihat isteri mudanya keluar bekerja, ketika dia sudah pun bersara.

''Malangnya semua nasihat saya ditolak tepi, dia sudah buat keputusan muktamad hendak berkahwin, tapi tidak mahu menceraikan saya. Namun saya berkeras kerana saya tak sanggup berpoligami dan saya bukan isteri yang penyabar. Akhirnya kami bercerai.

''Sebenarnya sebelum itu sudah beberapa kali suami saya jatuh cinta dengan ramai wanita dan merancang nak kahwin. Cerita dia bercinta lagi boleh buat novel kalau saya pengarang.

''Agaknya kerana terlalu marahkan saya sentiasa menghalangnya kahwin lagi dan terasa diri tercabar, akhirnya saya diceraikan. Lagi pun kerana bakal isterinya nak naik pelamin, sudah pastilah majlisnya meriah.

''Tetapi saya tidak pernah merasa kerugian ketika diceraikan, sebaliknya saya merasa lebih bahagia. Sebab saya tidak suka berkongsi kasih, dan saya tak fikir hidup berpoligami akan bahagia. Pasti ada sembilu dan terluka di sana sini.

''Kini setelah lebih lima tahun bercerai barulah bekas suami saya sedar dengan kesilapannya, tetapi dia tidak boleh berpatah balik. Dia sayangkan anak-anaknya, dan mahu anak-anak saya sayangkan anak-anak dengan isteri barunya. Malangnya, anak-anak saya tidak dapat menerima keadaan itu, kerana tidak ada kasih sayang antara mereka.

''Kini walaupun saya belum lagi bersara, tetapi saya bahagia, anak-anak ada yang sudah bekerja dan sudah menamatkan sekolah menengah. Mereka sudah boleh berdikari untuk memikirkan masa depan mereka.

''Waktu yang terluang ini saya gunakan untuk menambah ilmu agama yang terkurang, saya telahpun mengerjakan umrah dan akan mengerjakan ibadah haji Insya-Allah tahun ini. Saya tidak pernah menyesal, malah saya merasa lebih bebas membuat kerja-kerja amal di samping memudahkan saya ke masjid dan di surau bila ada kesempatan.

''Dan saya pastikan setahun sekali kami anak beranak pergi bercuti bersama walaupun hanya dalam negeri. Saya juga sudah pun memanjangkan langkah melancong keluar negara bersama teman-teman sepejabat dan geng-geng surau saya. Dan saya bahagia biarpun saya terpaksa mengeluarkan sedikit wang. Anak-anak saya pun menggalakkan.

''Perceraian bukan semuanya menyusahkan, ada waktunya lebih menyenangkan jadi tabahkan hati, fikir positif, mungkin berpisah itu lebih baik, daripada menyakitkan hati melihatkan gelagatnya yang seperti kacang lupakan kulit. Kita wanita lebih menitikberatkan masa depan anak-anak, jadi buat apa bersuami kalau dia tak menghargai kita yang sama-sama susah dengannya. Bangkitlah, bukalah hati menghadapi dugaan Allah.Tentu ada hikmah di sebalik apa yang Dia suratkan buat kita. Hanya Allah Maha Mengetahui apa yg kita tidak tahu. Kerana itu jangan takut kalau ditakdirkan bercerai,'' demikian cerita Norfaizah menceritakan kebahagiaannya setelah bercerai kerana tidak sanggup berpoligami.

Bukan semua wanita boleh berdikari, ada yang hidupnya umpama burung dalam sangkar sanggup teraniaya daripada bercerai. Ingatlah ada rahmatnya disebalik apa yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Fikirkan positif anda akan bahagia.

Jiran jaga tepi kain, jiran berhati mulia

Macam-macam hal yang kadang-kadang tidak terfikir jadi realiti dalam urusan seharian insan, sehinggakan timbul rasa takut untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Ini kerana yang dirancang belum tentu menjadi kenyataan dan yang diharapkan belum pasti boleh dipercayai seratus peratus.

Melayari fasa kehidupan tidak semudah seperti kisah puteri kayangan yang kita tonton di layar perak atau di skrin televisyen.

Alangkah indah dan manis hidup ini jika apa sahaja yang kita hajat berada dalam genggaman termasuk bab hidup berjiran.

Jika dikaji secara terperinci hidup berjiran di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar berbeza dengan kawasan dipinggir bandar.

Di bandar besar hidup berjiran agak formal, kecuali mereka yang hidup bermasyarakat dan aktif dalam aktiviti penduduk atau surau juga persatuan setempat.

Ada juga jiran daripada golongan elit tidak bergaul dengan jiran lain. Mana tidaknya, pintu pagar setinggi bumbung rumah, malah digunakan pula kuasa elektrik untuk menutuk dan membukanya.

Di sesetengah tempat, wajah jiran langsung tidak dikenali kerana masuk keluar dengan kereta, cermin pula gelap gelita.

Di kawasan luar bandar atau bandar kecil, keadaan berbeza sebab masyarakatnya lebih terbuka, bebas dan aktif berpersatuan.

Namun tidak semua jiran bersikap seperti itu, ada juga kawasan yang kehidupan berjirannya amat baik dan mesra. Saya menyentuh soal kejiranan ini kerana merasakan topik ini juga menarik untuk diketengahkan sebagai panduan kepada masyarakat.

Kiriman e-mail daripada N, pembaca setia ruangan ini mengenai pengalamannya hidup berjiran menjadikan saya terpanggil menyiarkan kiriman e-mailnya buat pembaca semua.

Perkara baik pada pandangan saya, elok dihebahkan kerana ia mampu menjana kehidupan lebih baik sesama anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Kita ikuti apa cerita N mengenai pengalamannya hidup berjiran dengan pelbagai kelompok manusia.

"Berjiran dengan keluarga elit ada kalanya menyeronokkan, namun itu hanya gambaran sahaja. Pada mulanya semua nampak baik dan mesra seperti sudah lama berkenalan tetapi lama kelamaan bertukar menjadi sebaliknya.

"Ini kerana gara-gara cemburukan kami 'orang bujang' yang menjadi penyewa, takut merampas hak mereka.

"Telah lama saya berhajat untuk berkongsi cerita orang bujang berjiran dengan orang kelamin seperti mana dia dan kawan-kawannya lalui.

"Saya berusia awal 40-an tinggal bersama tiga orang kawan seusia di sebuah kawasan perumahan yang rata-ratanya orang Melayu.

"Faham-faham sahajalah apabila tinggal di kawasan orang Melayu. Selain mulut yang sentiasa terbuka, mata mereka juga terbeliak selalu. Bukan apa, suka menjaga tepi kain orang.

"Berpusing juga kepala memikirkan bagaimana untuk menjadi jiran yang terbaik dan harmoni. Serba salah jadinya, diberi senyuman dikatakan anak dara murahan, jika serius dilabel sombong dan jika peramah dituduhnya mahu menggoda suami orang.

"Bertegur sapa, hormat menghormati menjadi budaya kita. Semua orang mempunyai pendapat yang sama, tetapi tidak semua orang boleh terima slogan yang dilaung-laungkan ini.

"Contohnya, suatu hari kami pulang kerja lewat malam, kami perasan ada mata yang mengintai melalui jendela, jika untuk menjaga keselamatan kami, syukur dan terima kasih tetapi jika untuk dijadikan bahan gosip, maaflah tidak semua penyewa di kota tidak bermoral.

"Walaupun tidak berkahwin kami masih berpegang kuat kepada hukum antara dosa dan pahala, ingat pesanan ibu ayah di kampung yang memberi didikan agama yang cukup sejak kecil.

"Kata orang kami masih tahu menilai mana buruk mana yang baik di dalam meniti kehidupan yang penuh pancaroba di dunia yang mencabar ini.

"Mak juga berpesan, saudara yang paling hampir dengan kita adalah jiran, berbaiklah dengan mereka. Itulah yang saya dan kawan-kawan cari.

"Tapi macam biasa, nak cari kawan dan jiran yang baik dan memahami kita bukan mudah, yang hendak bermusuh memang ada di mana-mana.

"Itu prinsip hidup berjiran yang saya dan kawan-kawan diamalkan sejak berpuluh-puluh tahun tinggal di ibu kota. Kami berusaha menjadi jiran yang baik, hormatkan orang dan berazam tidak
akan merampas hak sesiapa.

menambat hati jiran
"Selain itu kami juga tidak pernah alpa jika menerima jemputan kenduri atau majlis di rumah-rumah jiran bersebelahan. Jika ada kelapangan kami akan hadir. Itu salah satu cara untuk menambat hati jiran agar silaturahim berpanjangan.

"Sehingga kini kami tidak banyak menghadapi masalah dengan jiran-jiran. Malah kami amat gembira dan seronok tinggal bersama di kawasan penempatan ini sebab kehadiran kami diterima baik oleh sebahagian besar daripada mereka.

"Contohnya sikap seorang yang saya kategorikan orang berada yang memang baik hati budi mereka. Pasangan suami isteri ini amat prihatin, penyayang dan menjadi seperti orang tua bagi kami semua.

"Setiap masalah yang kami adukan sentiasa mendapat perhatian. Malah kami diberi nasihat dan panduan bagaimana hendak menangani masalah yang timbul.

"Selain baik budi bahasa mereka yang begitu baik, pasangan isteri tersebut juga berfikiran terbuka dan sentiasa prihatin dengan hal-hal yang sensitif.

"Secara tidak langsung kami berasa terbela dan seolah-olah diberi perhatian oleh ibu bapa dan keluarga sendiri. Terima kasih kerana menjadi jiran yang baik dan kami amat menghargai budi baik anda suami isteri.

"Kami amat terharu apabila pasangan suami isteri tersebut membenarkan kami meletak kereta di kawasan rumah mereka.

"Tidak cukup dengan itu, mereka juga bertungkus lumus membersihkan kawasan lapang berhampiran rumah mereka bagi memudahkan kami meletak kereta di situ dengan selamat.

"Terlalu baik dan mulia hati mereka. Saya merasa cukup terharu dengan apa yang mereka lakukan. Sebut sahaja apa bantuan yang diperlukan, pasti mereka suami isteri menghulurkannya tanpa banyak soal.

"Sepanjang saya hidup di kota Kuala Lumpur sejak 20 tahun lalu, inilah jiran paling baik pernah saya temui.

"Seandainya saya tidak lagi berjiran dengan mereka, jasa dan budi baik mereka akan saya kenang sampai bila-bila. Mereka adalah pembimbing hidup kami yang jauh daripada ibu bapa dan keluarga.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka suami isteri dan mendoakan agar mereka diberi kesihatan yang baik, murah rezeki dan bahagia hidup di dunia dan akhirat, insya-Allah," kata N menutup ceritanya.

Bertuah N dan kawan-kawannya mendapat jiran yang begitu baik dan mengambil berat. Pastinya pasangan suami isteri, ibu bapa yang sempurna dan disayangi anak-anak mereka.

Memang betul seperti kata N, sukar mencari jiran yang prihatin dan sanggup bersusah senang dengan jiran yang lain dalam keadaan sekarang.

Saya juga pernah melaluinya lebih kurang 25 tahun lalu. Ketika itu saya menyewa sebuah rumah d Ulu Klang milik seorang pakcik yang saya anggap seperti bapa sendiri.

Masalah apa saja yang timbul pasti diselesaikan dengan cepat, termasuk paip tersumbat dan kala banjir melanda mereka anak beranak akan bertungkus lumus membantu.

Namun umurnya tidak panjang, pakcik meninggal ketika anak sulung saya berusia 5 tahun. Namun syukur, hubungan kekeluargaan yang terjalin dengan anak-anaknya terus kekal sampai ke hari ini dan saya telah menganggap mereka seperti saudara kandung.

Mungkin lain orang ada lain pandangan dan pengalaman. Apa pun, sebagai manusia satu perkara yang perlu kita ingat, maut jangan ditempah, musuh juga jangan dicari.

Kehidupan ini sebenarnya memerlukan satu kesinambungan pada satu jalinan kasih sayang dan persahabatan yang di namakan persaudaraan.

Kepada N dan rakan-rakan teruskan kehidupan anda dan hargai pengorbanan dan kebaikan pasangan suami isteri tersebut. Semoga anda semua diberi perlindungan dalam apa juga yang anda lakukan.

Menutup kata, serangkap pantun buat renungan kita bersama.

Dahan tinggi dikerat-kerat,
Harum melor dalam jambangan,
Jiran yang baik hidup berkat,
Jadi sebutan sepanjang zaman.

Salam

Bertemu janji selepas bercerai

PERHUBUNGAN yang telah lama terjalin tidak akan berakhir dalam sekelip mata. Memang, ada perkahwinan yang dibina lebih 20 tahun akhirnya musnah begitu sahaja. Tetapi bila diimbas kembali, perhubungan suami isteri itu mungkin telah retak selama beberapa tahun sebelum perkahwinan itu berkecai.

Mungkin ia berlaku kerana si dia sebenarnya bukanlah pasangan yang tepat. Siapa tahu? Apapun, apabila pasangan anda telah tiada, diri pasti akan rasa kehilangan ditambah pula rasa dikhianati dan timbul kebingungan.

Apabila sebuah perkahwinan menemui kegagalan, ramai wanita mungkin bertindak menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Sejujurnya, boleh dikatakan kasih sayang secara fizikal selalunya akan hilang lebih awal sebelum berakhirnya perkahwinan tersebut. Jadi, apabila diri berasa terluka, perkara lumrah yang dilakukan manusia termasuk wanita adalah cuba menjalinkan hubungan dengan lelaki lain untuk menyakinkan diri bahawa mereka masih mempunyai daya tarikan.

Sebenarnya pengajaran pertama untuk memulih dan membina semula kehidupan adalah dengan bertindak - jangan mencari cinta.

Sebaliknya carilah persahabatan, keseronokan atau apa sahaja asalkan ia bukan cinta. Sebabnya, apabila harga diri sedang terumbang-ambing dan anda ketika itu juga 'terdesak', ia hanya akan mendorong anda kepada lelaki 'jahat'. Pastinya, kita tidak mahu keadaan itu berlaku pada diri masing-masing.

Jadi apa yang perlu dilakukan dahulu? Ketika ini, anda telahpun bersedih dan berkurung di rumah selama beberapa minggu.

Kini, tibalah masa untuk anda bangkit, bersihkan diri dan beri kekuatan kepada diri untuk keluar seketika tidak kira berjalan-jalan atau berseronok. Mungkin kata-kata ini dapat membantu. Senyumlah dan dunia akan tersenyum kembali kepada anda.

Jangan biarkan diri menyendiri. Luahkan kesedihan dan kekecewaan pada teman-teman. Mereka boleh menemani anda secara bergilir-gilir. Suruh mereka membawa anda keluar bersiar-siar.

Ingat! Anda tidak perlu menangis selamanya. Namun ia akan berlarutan jika anda tidak bangkit berusaha melawannya. Tiada apa yang paling teruk selain daripada menangisi dan memberi simpati kepada individu yang sudahpun menjadi sejarah.

Rancang untuk sentiasa sibukkan diri. Jika anda tidak mempunyai ramai teman, langkah terbaik adalah dengan mendaftarkan diri ke gimnasium.

Dengan cara itu anda bukan sahaja dapat bertemu dengan ramai orang, tetapi turut membantu meningkatkan lagi semangat diri.

Apa yang dilihat, ramai yang memasuki gimnasium bukan sahaja beroleh tubuh yang pejal tetapi ia juga membantu mengubah kehidupan mereka menjadi bertambah gembira, bertenaga, positif dan lebih tenang.

Bagi sesetengah wanita, teman-teman yang ditemui di gimnasium memberi kekuatan dan penting dalam melalui proses pemulihan.

Kehadiran mereka membuatkan kenalan bertambah dan sebaiknya rakan baru itu langsung tidak mengenali bekas suami anda. Jadi tidak perlu anda bercerita mengenai kegagalan rumah tangga yang telah berlalu.

Pastikan juga gimnasium yang anda masuki itu adalah sebuah gimnasium yang besar dan sentiasa sibuk. Dengan itu, anda akan bertemu dengan bermacam-macam perangai manusia.
Manalah tahu, anda juga mungkin menemui seseorang yang nyata berbeza berbanding bekas suami anda.


Kala mencari teman, anda sebenarnya akan temui ramai wanita lain yang juga sedang mencari seseorang yang sesuai buat mereka. Jadi, cara terbaik, pastikan anda berkenalan terlebih dahulu dan cuba keluar makan beberapa kali untuk lebih mengenalinya. Jika dirasakan tidak sesuai, jangan paksa diri menerimanya.

Bagi mereka yang tinggal berjauhan daripada teman-teman, keluarga dan tidak mempunyai kemudahan seperti gimnasium, anda mungkin boleh melayari laman web yang khusus untuk mencari teman.

Mungkin melaluinya anda bertemu pilihan hati apatah lagi jika matlamat anda hanya untuk bersahabat, tidak lebih daripada itu.

Andai Internet pilihan anda, pastikan diri tidak terpesong daripada matlamat asal. Perlu diingat, jangan sewenang-wenangnya meruntuhkan harga diri sendiri kerana ada sesetengah lelaki yang dikenali di Internet akan menyuruh anda melakukan perkara yang bukan-bukan dan sebenarnya langsung tidak berminat untuk menjalinkan persahabatan dengan anda.

Lelaki yang melayari laman web mencari teman ini hakikatnya terdiri daripada empat kategori.

Pertama, mereka yang melakukannya kerana ingin menebus kekecewaan.

Kumpulan kedua adalah mereka yang sudah terlalu kerap atau sering melayari laman web berkenaan. Lelaki dalam kategori kedua ini adalah mereka yang tidak pernah kenal erti puas dan selalu menunggu e-mail daripada sesiapapun.

Ketiga adalah mereka yang tidak mempunyai keyakinan dan beranggapan dirinya sudah hilang kelebihan untuk memikat wanita.

Manakala kumpulan keempat merupakan lelaki yang jarang ditemui. Mereka masih berkawan baik dengan bekas isteri, berfikiran terbuka, positif dan berupaya untuk memikat wanita. Cuma, mereka masih belum lagi menemui seseorang yang bersesuaian.

Jika anda ingin menjalinkan hubungan melalui internet, carilah lelaki dalam kategori keempat ini.

Sebolehnya, anda jadilah seorang yang terlalu memilih pasangan agar anda tidak kecewa pada kemudian hari. Jangan cepat membuat temu janji untuk makan malam. Tetapi, jika akhirnya anda membuat keputusan untuk bertemu, carilah tempat yang sibuk.

Jangan mudah terpengaruh atau tergoda dengan gambar-gambar yang ditunjukkan apatah lagi jika ia jelas menggambarkan bahawa dia lelaki yang baik tetapi dikecewakan bekas isterinya.
Akhir sekali, perlu diingat mencari kegembiraan memang mudah, tetapi untuk menemui semula cinta akan mengambil masa yang lama.


Mungkin, anda perlu mencari ramai kenalan untuk mengembalikan keyakinan diri khususnya kepada lelaki. Pentingnya, anda perlu belajar untuk bergembira dan menjadi diri anda yang sebenarnya.