#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, November 30, 2010

Lewat timang anak

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2010/11/30

Suami jangan salahkan isteri

KEHADIRAN zuriat atau anak dalam rumah tangga tidak dinafikan bukan saja sebagai penyeri tetapi juga menyemarakkan dan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang.

Ketiadaan gelak tawa dan tangisan si kecil bukan saja menyebabkan suasana dalam mahligai perkahwinan menjadi suram atau hambar tetapi boleh menjadi punca keretakan dalam hubungan suami isteri. Bukanlah mustahil, apabila sekian lama membina rumah tangga dan tiada tanda untuk menimang cahaya mata, ada pasangan mula salah-menyalahi antara satu sama lain serta sering mencari kelemahan pasangannya.

Namun, ada juga pasangan yang bersikap positif dan terbuka dalam menangani masalah itu sehinggakan sanggup menjalani pelbagai kaedah pemeriksaan serta rawatan sebagai usaha mendapatkan zuriat.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat dalam hal ini, kebanyakan lelaki atau suami sukar memberi kerja sama. Ada yang sering memberi seribu satu alasan, mengelak membuat rawatan mahu pun pemeriksaan. Lebih menyakitkan hati wanita atau isteri, apabila mereka dipersalahkan kerana gagal memberikan zuriat sedangkan kesahihannya belum lagi dibuktikan.

Bagi pasangan suami isteri, Dr Sofiah Zainal Abidin dan Ahmad Abdul Hamid, yang dikurniakan anak hanya selepas lapan tahun berkahwin, dalam berdepan ujian seperti itu, masing-masing perlulah bertolak ansur, duduk berbincang dan bekerjasama.
Abdul Hamid berkata, antara faktor yang membuatkan lelaki sukar atau enggan membuat rawatan atau pemeriksaan kerana mungkin wujud perasaan malu dalam diri, di samping terbitnya perasaan ego, yang lazimnya memang azali ada dalam diri lelaki.

“Bukan saja malu, menyebut atau bersembang mengenai hal itu pun tidak mahu kecualilah apabila ada yang mula buka cerita. Lama-lama, barulah lelaki ingin berkongsi. Namun, dalam usaha mendapatkan zuriat, sokongan dan kerjasama suami isteri adalah penting. Justeru, perlu ketepikan semua perasaan itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis Observation of National Family Day, yang meraikan anak hasil rawatan kesuburan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di ibu negara, baru-baru ini.

Abdul Hamid yang bekerja sebagai jurutera berkata, dalam berdepan dengan ketiadaan atau lambat mendapat zuriat, suami isteri juga perlulah banyak bersabar, jangan putus asa dan kuatkan semangat, khususnya berdepan dengan kata-kata orang luar yang tidak disenangi serta pelbagai cabaran lain.

Katanya, suami atau lelaki jangan asyik menyalahkan isteri, sebaliknya memeriksa diri sendiri dulu kerana rawatan kesuburan tidak boleh dilakukan satu pihak saja terutama apabila membabitkan ujian sperma.

“Jika tiada anak memang terasa kosong hidup berumah tangga sebab itulah kami tidak berputus asa berusaha. Tetapi bagi kami, nasib baiklah masing-masing sibuk belajar sebab itulah tidak terasa sangat. Cuma bagi wanita memang lebih sensitif terutama apabila ada yang sering bertanya bila hendak menimang cahaya mata,” katanya mengenai perasaan apabila lambat dikurniakan cahaya mata.

Abdul Hamid, 42, dan Dr Sofiah, 42, mendapat zuriat sulung melalui kaedah intrauterine insemination (IUI) iaitu rawatan menggunakan kateter memasukkan sperma terus ke uterus. Kedua-dua pasangan itu membuat rawatan di LPPKN dan gembira berhasil selepas empat kali mencubanya.

Sepanjang membuat rawatan, pasangan yang menetap di Kuala Kangsar, Perak itu terpaksa banyak berkorban untuk berulang alik ke Kuala Lumpur.

Bagi Dr Sofiah pula, kerinduan seorang ibu mendengar tangisan dan gelak ketawa terubat apabila selamat melahirkan kembar, Hanisah Humairah dan Hasanah Nadirah, yang kini sudah pun mencecah enam tahun.

Dr Sofiah berkata, sebelum ini mereka membuat rawatan di hospital di Kuala Kangsar tetapi disebabkan kurang peralatan kelengkapan dan kepakaran, rawatan dibuat gagal. Oleh sebab itulah mereka membuat keputusan membuat rawatan di LPPKN di ibu negara sekali pun terpaksa datang sekurang-kurangnya empat kali sebulan untuk membuat ujian dan pemeriksaan.

“Masalah tiada anak bukanlah terlalu besar sangat tetapi ia boleh menjadi masalah besar apabila keluarga kedua-dua belah pihak kerap bertanya. Saya dulu, apabila diajukan soalan itu sering saja menjawab masih tiada rezeki tetapi tidak dinafikan, kadang-kadang berasa tertekan. Tambahan apabila timbul kata-kata yang mengingatkan, suami akan cari lain jika tidak mengandung,” ceritanya.

Dr Sofiah yang turut mencuba kaedah tradisional untuk mendapatkan zuriat, bertuah kerana suami sering memujuk dan menasihatkan supaya memahami dan menerima takdir Allah terhadap setiap ujian dilalui.

“Anak ini penyambung warisan dan dalam rumah tangga anak dianggap punca rezeki kerana itulah penting kita berusaha selagi terdaya untuk mendapatkan zuriat,” katanya.

Kegembiraan kedua-dua pasangan berkenaan berganda apabila mendapat dua lagi cahaya mata lelaki secara normal, yang kini berusia dua tahun dan empat tahun.

Pasangan suami isteri, Vick Lai, 42, dan Lai Bin Chin, 42, juga mempunyai cerita tersendiri dalam usaha mereka untuk mendapatkan cahaya mata sendiri. Berkahwin dalam lewat usia 30-an menyebabkan pasangan berkenaan berasa bimbang tidak berpeluang untuk memiliki anak kandung.

Vick berkata, pada awalnya, dia agak keberatan membuat rawatan di LPPKN kerana ingin mendapatkan anak melalui kaedah normal seperti mana kebanyakan pasangan lain. Namun, dia membuang ego dan sikap mementingkan diri dengan menjadikan kesibukan kerjaya sebagai timbalan presiden di syarikat korporat.

“Mula-mula fikir dulu memang tidak mahu membuat rawatan tetapi bimbang juga faktor usia yang meningkat, boleh menjadi lebih sukar saya mendapatkan anak. Isteri saya lagilah bimbang dan tertekan apabila memikirkan faktor usia sebab itulah dia berterusan cuba memujuk. Saya pula memang mahu anak daripada genetik sendiri dan jika boleh tidak mahu ambil anak angkat kecualilah jika kami tiada pilihan.

“Saya percaya jika terus berdegil dan enggan membuat rawatan, kami suami isteri boleh bergaduh semata-mata kerana hal ini. Hakikatnya, kehadiran anak memang penting apabila pasangan itu berkahwin. Jika hidup hanya berdua suami isteri mungkin tidak banyak perkara yang boleh dikongsi dan dibicarakan.
Ini tentu membosankan berbanding jika ada anak, banyak perkara baru sama-sama pelajari, sekali gus membantu mengeratkan lagi kasih sayang,” katanya.

Bin Chin yang bertugas sebagai jururawat mengakui, meskipun keluarga tidak mendesak, rasa ‘tidak selamat’ tanpa anak menyebabkannya tidak jemu memujuk suami untuk membuat rawatan.

Katanya, tiada apa yang menggembirakannya sebaik saja suami bersetuju cadangan diusulkan. Lebih menggembirakan pasangan berkenaan, hanya dengan sekali kaedah rawatan IUI, hasrat mereka menimang cahaya mata termakbul.

Anak sulung yang dilahirkan menerusi kaedah IUI kini sudah pun berusia lima tahun. Mereka memberinya nama, Vania Wayer yang nyata membesar sebagai anak pintar dan comel.

Dua tahun selepas itu, Bin Chin hamil lagi, tanpa sebarang rawatan. Kehadiran anak lelaki, Vidhvan Wayer, 3, melengkapkan keluarga itu dan menambahkan keriuhan di rumah mereka.

Info

* SERAMAI 3,000 bayi berjaya dilahirkan oleh pasangan bermasalah mendapatkan zuriat menerusi program rawatan kesuburan yang diperkenalkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak 1979.

* 30 peratus masalah kegagalan mendapatkan zuriat berpunca daripada pihak suami manakala isteri, 30 peratus dan selebihnya faktor yang tidak dapat dikenal pasti.

* Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah ketidaksuburan dikategorikan sebagai satu penyakit yang memerlukan rawatan seawal mungkin.

* Terdapat tiga klinik rawatan kesuburan LPPKN di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor Baharu. Klinik berkenaan menawarkan pelbagai kaedah rawatan untuk membantu pasangan mendapatkan zuriat seperti rawatan Invitro Fertilisation (IVF) dan rawatan Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan