#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, November 30, 2010

Pil rangsang IQ

Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my
2010/11/30


Jangan terlalu taksub, ia mungkin jejaskan kesihatan

IBU muda ini dikendali sebagai Melati begitu bangga dan suka bercerita mengenai perkembangan pendidikan dua anak perempuannya, masing-masing berusia tiga tahun dan enam tahun kerana memiliki kepintaran akal (IQ) dan kepintaran emosi (EQ) yang tinggi.

Melati sanggup berhabis duit untuk membelikan pelbagai bentuk permainan mahal dan makanan tambahan untuk perkembangan dan merangsang minda anaknya. Dia juga terlalu taksub dan percaya kecergasan serta kebijaksanaan anaknya itu juga disebabkan pengambilan makanan tambahan yang dibeli di farmasi selepas terbaca risalah diletakkan di peti surat rumahnya. Berbanding rakan sekerjanya, Aishah pula merendah diri dan lebih suka menjadi pendengar, meskipun dua anaknya yang sudah meningkat remaja turut cemerlang dalam pelajaran, dengan mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala seorang lagi, 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), tahun lalu.

Bagi Aishah, dia tidak begitu memaksa secara keterlaluan anaknya untuk membaca buku saja, sebaliknya beri kebebasan dan keseimbangan dalam semua aspek. Dia tidak perlu beli makanan tambahan untuk merangsang otak anak-anaknya sebaliknya lebih yakin, gaya hidup sihat faktor utama meningkatkan perkembangan minda anak.

Jika ditanya ibu bapa, apa yang mereka impikan untuk masa depan pendidikan anak, jawapannya, pasti mahukan anak bijak, cergas dan dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan serta masuk universiti.

Justeru, ibu bapa mengambil pelbagai inisiatif supaya anak mempunyai kepintaran akal (IQ) dan kepintaran emosi (EQ) yang tinggi. Ada juga ibu bapa yang mahu sangat anak cepat pandai dan memiliki otak geliga, memilih jalan mudah dengan mengambil makanan tambahan merangsang minda. Persoalannya, mampukah pil ini memberi keajaiban?
Pelbagai syarikat dan jenama khususnya jualan langsung menjual produk pil perangsang minda untuk kanak-kanak. Begitu juga jika menjengah ke farmasi, ratusan makanan tambahan berbentuk pil dijual mendakwa produk itu mampu meningkatkan kecergasan minda dan otak kanak-kanak.

Sama saja, jurujual syarikat jualan langsung dan kedai farmasi, masing-masing berlumba-lumba mempromosi produk mereka dengan menjelaskan khasiat dan keunikannya.

Persoalannya, benarkan dengan pengambilan makanan tambahan perangsang minda, sama ada dalam bentuk pil atau serbuk boleh menjadikan IQ anak hebat? Adakah bukti saintifik mengenainya? Sejauh mana impak dan kesan sampingan lain yang bakal dirasai jika mereka mengamalkan pengambilan makanan tambahan perangsang minda itu?

Ketika diajukan mengenai isu, Ketua Ketua Jabatan Farmakologi Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Datin Dr Prof Zahurin Mohamed, menegaskan tidak ada jalan singkat untuk anak menjadi pandai.

Katanya, setakat ini belum ada bukti sahih dan kukuh menyatakan makanan tambahan perangsang minda boleh menjadikan anak otak geliga.

“Memang banyak syarikat pil makanan tambahan itu termasuk perangsang minda yang mendakwa mampu memberikan keberkesanan kepada sesiapa yang memakannya.
Tetapi sehingga kini belum ada bukti secara saintifik makanan tambahan seperti pil perangsang minda boleh membuatkan IQ anak hebat,” katanya.

Ibu bapa, katanya, seharusnya merujuk kepada doktor atau pakar perubatan terlebih dulu bagi memastikan keselamatan pil berkenaan. Ia mungkin memberi kesan alahan kepada kanak-kanak dan lebih buruk, pengambilan ubat yang tidak diketahui kandungan itu boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih bahaya.

Ada makanan tambahan yang dicampur dengan steroid untuk memberi lebih kesan dan hakikatnya, steroid menggugat serta merencatkan tumbesaran anak.

Prof Zahurin berkata, banyak kaedah lain yang boleh meningkatkan IQ anak yang boleh dilakukan tanpa sebarang kesan sampingan kepada kesihatan.

Cara terbaik janganlah bergantung kepada makanan tambahan yang tidak tahu apa bahannya, sebaliknya amalkan makanan berkhasiat dan seimbang kerana ia sudah cukup sempurna selain meningkatkan tenaga dan minda anak.

Penjagaan kesihatan turut menjadi kriteria penting kerana badan yang sihat akan mampu merangsang minda anak, selain elakkan tekanan emosi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan