#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Disember 31, 2013

Makna azam tahun baru

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
ARKIB : 29/12/2013

RAMAI yang berpendapat tidak lengkap tahun baru tanpa azam baru. Menurut satu kajian tentang isu ini di United Kingdom yang dilakukan oleh sebuah badan bukan kerajaan - Mind, azam tahun baru boleh menyebabkan stres.

Laporan kajian tersebut mengatakan azam tahun baru membuatkan seseorang fokus pada keburukan diri, mencari kesilapan dan kehodohan sepanjang masa depan. Ia dikatakan tidak baik untuk masa depan kerana seseorang itu akan diselubungi dengan perkara negatif sahaja.

Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr. Mariani Mohd. Nor berpendapat kajian ini tidak 100 peratus sahih kerana setiap individu mempunyai pemikiran berbeza berdasarkan pergaulan sosial dan latarbelakang kehidupan masing-masing.

Tambah beliau, setiap orang tidak dikelilingi oleh kelompok orang yang sama.

"Jika individu mempunyai azam baru yang lebih fokus untuk mendapatkan kejayaan, dia tidak akan menoleh ke arah fakta yang lebih kepada mencari kesilapan. Sebaliknya dia akan menggunakannya untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Hanya individu yang kecewa sahaja nampak kepada keburukan diri sendiri. Sudah namanya azam, ia lebih bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan untuk masa depan lebih terjamin, bahagia dan ceria," katanya.

Tambah Dr. Mariani, perlunya azam tahun baru kerana ia bermakna bermulanya matlamat hidup seseorang dalam sesuatu tahun itu.

"Matlamat hidup pula boleh dilihat dari segi jangka pendek dan jangka panjang. Matlamat jangka panjang lebih umum dan untuk mencapainya, seseorang itu perlu mencapai matlamat jangka pendek terlebih dulu. Semua ini memberi motivasi atau pendorong kepada seseorang untuk memulakan tindakan," katanya.

Sementara itu, Dr. Mariani menasihatkan mereka yang ingin memulakan azam baru supaya menyebutnya lebih spesifik.

Selain itu, setiap individu perlu perkemaskan langkah yang perlu dalam mencapai azam yang baru itu.

Kemudian, gunakan segala kesilapan teknikal yang telah berlaku sebagai pengajaran sahaja dan bukan sebagai sempadan untuk tidak mahu mencuba lagi. Jangan lupa, meningkatkan kelemahan diri dan cari strategi positif yang lain. Pastikan anda menjadikan kekuatan diri sebagai perisai untuk lebih berjaya dalam mencapai matlamat atau azam baru," jelas beliau.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131229/ke_02/Makna-azam-tahun-baru#ixzz2p0q7Wwjv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan