#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Disember 27, 2013

Hidup tak karuan akibat jiran

ARKIB : 25/12/2013
Utusan Malaysia - Keluarga


Sudah enam bulan semenjak jiran baharunya berpindah dan menyewa di sebelah rumahnya, hidup Hashimah (bukan nama sebenar) sekeluarga, 46, jadi tidak keruan dan tertekan.

Memang pada awal kemunculan pasangan Salmah (bukan nama sebenar), 36, dan suaminya, Rahim (juga bukan nama sebenar), 41, serta dua anak mereka yang berusia tiga dan lima tahun, disambut gembira oleh Hashimah.

Dia berusaha untuk berbaik-baik apatah lagi rumah sebelahnya itu sudah lama kosong selepas penyewa terakhir berpindah ke Alor Setar, Kedah, kerana tuntutan tugas.

Mula-mula sewaktu awal pindah, saya layan keluarga berkenaan dengan baik kerana saya lihat Salmah dan keluarganya mudah mesra serta tidak sombong.

Berbanding penyewa terdahulu, keluarga Salmah secara fizikal nampak moden, sosial dan bergaya dengan kehidupan mereka kelihatan mewah.

Walaupun gaya hidup mereka mungkin agak berbeza dengan keluarga saya yang sederhana, saya terima mereka dengan hati terbuka dan tanpa prejudis, cerita Hashimah ketika kami bertembung di sebuah majlis perkahwinan di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Minggu pertama suai-kenal antara dua keluarga berjiran itu, berlangsung seperti biasa. Mereka saling sapa-menyapa dan bertanya khabar.

Minggu seterusnya, Hashimah tergerak hati menjemput jiran baharunya itu bertandang dan makan malam di rumah sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran mereka di kawasan kejiranan itu.

Pelawaan itu disambut dan perkenalan semakin mesra.

Dari situ Hashimah dapat tahu bahawa Salmah tidak bekerja kerana baharu sahaja balik dari luar negara dan sedang menunggu permohonan kerjanya di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara. Manakala suaminya seorang arkitek yang membuat kerja-kerja dari rumah.

Niat baik Hashimah mengundang jiran tetangga ke rumah akhirnya menimbulkan keadaan yang kurang menyenangkan kepadanya.

Selepas daripada undangan makan malam di rumah saya itu, Salmah dan dua orang anaknya semakin kerap bertandang ke rumah saya tidak kira pagi, tengah hari mahupun petang.

Mula-mula dia datang ketika saya dan keluarga hendak bersarapan, saya terkejut juga apabila tiba-tiba pintu rumah diketuk. Salmah berkata, dia sengaja datang bersama anak-anak kerana bosan di rumah. Sementelah datang ketika kami hendak mula bersarapan, saya jemput sekali mereka makan kerana tidak manis rasanya membiarkan mereka melihat sahaja kami makan.

Mula-mula sarapan, beberapa hari kemudian waktu makan tengahari pula dan begitulah berlarutan selama beberapa bulan ini.

"Apa yang menjadi musykil, setiap kali kami anak-beranak hendak makan, waktu itulah dia dan anak-anak datang ke rumah. Pintu dapur kami sudah seperti pintu rumahnya sahaja kerana dia boleh masuk dan keluar sesuka hati,” jelas Hashimah.

Hashimah memberitahu bukanlah dia kedekut, tetapi sekiranya selalu sangat Salmah dan anak-anaknya berada di ruang dapur rumahnya untuk makan, itu sudah menjadi sesuatu yang luar biasa.

Mula-mula dia diamkan sahaja, namun lama-kelamaan terasa sakit hati pula lebih-lebih lagi apabila melihat perangai anak-anak Salmah yang suka mengambil makanan dengan tangan sehingga habis berkecah lauk-pauk di dapur.

Itu belum ditambah dengan perangai Salmah sendiri yang apabila ke dapur laju sahaja tangannya membuka tudung saji mahupun periuk belanga, sedikit pun tidak ada rasa malu atau segan.

“Saya mula rasa tidak sedap hati dengan sikapnya itu. Tertanya-tanya juga saya sama ada dia memasak atau tidak di rumahnya atau sekurang-kurangnya membeli lauk yang sudah siap bagi makanan dirinya anak-beranak. Mujurlah waktu makan malam dia tidak datang mungkin malu sebab waktu itu suami saya ada di rumah.

“Namun sangkaan saya meleset kerana ternyata Salmah memang jenis yang tidak tahu malu apabila suatu hari dia datang ke rumah dengan hanya berseluar pendek dan baju-T tanpa lengan. Waktu itu hujung minggu, sudah tentu suami dan anak-anak remaja saya ada di rumah.

"Peliknya, dia tidak kisah pun, saya pula yang naik segan dengan suami dan anak-anak yang terpinga-pinga dengan kemunculan Salmah dalam keadaan sebegitu.

Selain pakaiannya yang langsung tidak sesuai, hati saya rasa geram juga kerana kehadirannya mengganggu privacy saya bersama keluarga, jelas Hashimah seolah menahan geram.

Hari demi sehari, pencerobohan Salmah dan anak-anak semakin menjadi-jadi. Anak-beranak tersebut menjadikan rumah Hashimah seperti rumah sendiri, menonton televisyen sambil tidur di atas sofa tanpa rasa malu atau bersalah. Itu belum lagi hutang-hutang Salmah yang dipinjam daripada Hashimah, masih tidak berbayar.

Kehidupan macam orang kaya, lagak bila bercakap tidak mahu kalah, dia sahaja yang menang dan kononnya baharu balik dari luar negara. Kalau bercuti pun ambil pakej yang luar negara sahaja, tidak pandang yang dalam negara, tetapi satu sen pun tiada dalam tangan. Kalau saya tidak masak dan anak-anaknya tidak makan di sini pasti ada yang kebulur.

Soal meminjam duit nombor satu. Biarpun cuma RM5 atau RM10 tapi kalau setiap hari sudah tentu jadi banyak. Itu belum lagi dia meminjam barangan seperti gula, beras, kopi dan sebagainya. Pendek kata semuanya dia pinjam,dengus Hashimah.

Riak kesal nampak jelas pada wajah Hashimah gara-gara terlalu baik dengan jiran.

Jelas Hashimah, suaminya meminta dia menasihati Salmah agar tidak selalu bertandang ke rumah mereka, namun apabila perkara itu disebut pada Salmah, dia hanya mendiamkan diri.

Sehari dua memang dia tidak datang, masuk hari ketiga buat perangai macam biasa. Kadang-kadang saya kuncikan pintu dapur, Salmah akan mengetuk pintu agak lama sebelum pulang ke rumahnya. Apa yang dimusykilkan kenapa suaminya tidak menegur sikap isterinya itu, malah semacam menggalakkan pula.

Kadang-kadang Salmah siap bawa pinggan lagi untuk 'tapau' lauk dan nasi buat suaminya. Nasib baik mereka sekeluarga tidak tidur dan mandi di sini, kalau tidak lagi haru," katanya.

Pelik dan hairan dengan sikap jirannya ini membawa kekesalan kepada Hashimah yang mengakui kini hidupnya sekeluarga tiada privacy lagi.

Ternyata niat mulia Hashimah untuk berbuat baik kepada jiran membawa bala kepadanya sekelurga. Kebaikan yang dihulur diambil kesempatan dan tidak tidak pasti sampai bila mampu bertahan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131225/ke_01/Hidup-tak-karuan-akibat-jiran#ixzz2p0sSYv8o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan