#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Februari 17, 2011

Tanda pengenalan penyakit

Oleh Shah Che Ahmad
bhnita@bharian.com.my
2011/02/17


Elak serangan lebih teruk

KELEWATAN mengenal pasti alahan atau menerima rawatan yang tidak sepatutnya disebabkan kecemasan boleh menyebabkan penyakit bertambah teruk, malah mengundang maut.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan seorang suri rumah yang menderita sakit kulit kronik, selepas didakwa tersalah makan ubat yang diberikan sebuah hospital besar di Kota Bharu. Akibat kejadian itu, kulit Normah Husin, 47, menggelupas serta gatal selain bengkak keseluruhan muka sehingga sukar untuk membuka mata, bercakap dan berjalan.

Kejadian itu berlaku apabila Normah memakan ubat yang dibekalkan selepas menjalani rawatan mencuci buah pinggang.

Ibu lima anak, Sharifah Kisut, 52, kini tergolong dalam kategori golongan orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan kaki kiri dan jari kedua-dua belah tangan, gara-gara tersalah makan ubat.

Difahamkan, Sharifah yang mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang memakan ubat gastrik diberi sebuah klinik kesihatan selepas mendapatkan rawatan akibat sakit perut.

Selepas beberapa bulan, kaki kirinya menjadi bengkak dan busuk menyebabkan terpaksa dipotong hingga ke paras peha. Begitu juga dengan keadaan dua jari tangan kanannya yang juga terpaksa dipotong kerana sudah membengkak manakala dua jari tangan kirinya mereput dan terputus.

Mendedahkan kepentingan rawatan kecemasan segera dan mengelakkan kejadian salah makan ubat, Medic Alert menyarankan kepada orang ramai khususnya penghidap penyakit kronik untuk mempunyai tanda pengenalan penyakit sendiri.

Pengarah Kolej Perubatan Sains, Universiti Cyberjaya, Dr Abdul Ali Raja Mohamed, berkata tanda pengenalan penyakit memaparkan maklumat kesihatan individu, termasuk jenis penyakit, kumpulan darah dan alah kepada sesetengah ubat.

Menggunakan tanda pengenalan kesihatan Medic Alert itu, katanya, membantu doktor membuat rawatan kecemasan segera serta mengenal pasti jenis ubat yang sesuai diberikan kepada pesakit sejurus melihat tanda pengenalan itu.

“Pesakit yang menghidap asma, darah tinggi, serangan jantung, epilepsy, hemophilia, hypertension, parkinson dan alzheimer serta keadaan luar biasa perlu mendapatkan tanda pengenalan kesihatan bagi mengelakkan kesilapan mengambil ubat, yang akan mengakibatkan serangan yang lebih teruk,” katanya ketika ditemui.

Pakar rawatan kecemasan, Dr Rishya Manikam, mengakui tanda pengenalan itu penting bagi setiap individu sebagai persediaan jika berlaku kemalangan serius yang mengakibatkan pengsan, koma atau hilang ingatan.

“Doktor perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk mengenal pasti jenis darah seseorang pesakit yang mengalami kehilangan darah yang banyak seperti kecelakaan jalan raya.

“Melalui tanda pengenalan kesihatan ini akan menjadi rujukan terus kepada doktor untuk memberikan rawatan yang tepat dengan segera,” katanya.

Dr Rishya berkata, pesakit yang mempunyai tanda keselamatan kesihatan tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk memberikan maklumat kesihatan dirinya apabila ingin diberi rawatan.

“Sejurus melihat tanda pengenalan kesihatan itu, doktor boleh terus mengetahui jenis penyakit dan alah yang dihadapi pesakit.

“Terdapat juga ukiran nombor kod pengguna untuk diakses oleh doktor yang mengandungi maklumat kesihatan lanjut pesakit di belakang tanda pengenalan kesihatan itu,” katanya.

Tanda pengenalan itu, katanya, bukan saja berguna di Malaysia, malah kini turut diguna pakai di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Iceland, New Zealand, Afrika Selatan, United Kingdom dan Zimbabwe.

Medic Alert ditubuhkan sejak 55 tahun lalu di California dan diperkenalkan pada 1967 di Malaysia dengan empat bilion pengguna di serata dunia. Medic Alert Yayasan Malaysia bertindak sebagai organisasi sukarela bertujuan membantu golongan yang mengalami latar belakang perubatan tersembunyi yang mungkin mengancam nyawa dan memerlukan rawatan khusus.

Bergerak dengan kemajuan teknologi dan inovasi, tanda pengenalan kesihatan Medic Alert kini direka dalam pelbagai bentuk aksesori tubuh manusia seperti rantai leher, gelang tangan dan kaki serta jam tangan yang diperbuat daripada logam berkualiti dan emas, mengikut permintaan.

Medic Alert Yayasan Malaysia turut mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana syarikat atau pertubuhan untuk menderma kepada Medic Alert bagi menampung perbelanjaan dan kos pengurusan.

Bagi yang berminat untuk mendaftar atau mendapat maklumat lanjut boleh layari di www.MedicAlert.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan